Thursday, March 28, 2024

Ahli Neraka Saling Menyalahkan Sesama Mereka

:: al-Quran 1 ::
Allah ﷻ berfirman:
“Masuklah kamu ke dalam neraka bersama-sama umat-umat yang terdahulu daripada kamu, dari jin dan manusia. Tiap-tiap satu umat yang masuk, mengutuk akan saudaranya (golongannya sendiri); hingga apabila mereka semua berhimpun di dalamnya, berkatalah golongan yang akhir mengenai golongan yang pertama di antara mereka: ‘Wahai Tuhan kami, mereka inilah yang telah menyesatkan kami; oleh itu berilah kepada mereka azab seksa yang berlipat ganda dari (azab) neraka’. Allah berfirman: ‘Kamu masing-masing disediakan (azab seksa) yang berlipat ganda tetapi kamu tidak mengetahui’. Dan berkatalah golongan pertama (ketua-ketua) di antara mereka, kepada golongan yang akhir (pengikut-pengikutnya): ‘(Jika demikianlah hukuman Tuhan), maka tidak ada bagi kamu sebarang kelebihan atas kami’. (Allah berfirman): ‘Oleh itu rasalah kamu azab seksa disebabkan apa yang kamu telah usahakan’.”
(al-A'raaf [7]: ayat 38-39)

:: al-Quran 2 ::
Allah ﷻ berfirman:
“(Semasa ia dihumbankan ke dalam neraka Jahannam, ia mendakwa bahawa Syaitanlah yang menjadikan dia sesat; pada saat itu) Syaitan yang sentiasa menyertainya (di dunia dahulu) berkata: ‘Wahai Tuhan kami, aku tidak menyesatkannya tetapi sememangnya dia sendiri berada di dalam kesesatan yang jauh terpesong’. Allah berfirman: ‘Janganlah kamu berbalah lagi di hadapan-Ku, (tidak ada gunanya berbalah pada masa Aku membuat keputusan); padahal (kamu sedia mengetahui bahawa) Aku dahulu telah memberi amaran kepada kamu (akan menyeksa orang-orang yang bersalah). Keputusan-Ku itu tidak dapat diubah atau ditukar ganti, dan Aku tidak sekali-kali berlaku zalim kepada hamba-Ku’.”
(Qaaf [50]: ayat 27 - 29)

:: al-Quran 3 ::
Allah ﷻ berfirman:
“Dan (ingatkanlah perkara yang berlaku) semasa orang-orang yang kafir dan yang menderhaka berbantah-bantahan dalam neraka, iaitu orang-orang yang lemah (yang menjadi pengikut) berkata kepada pemimpin-pemimpinnya yang sombong takbur: ‘Sesungguhnya kami telah menjadi pengikut-pengikut kamu, maka dapatkah kamu menolak dari kami sebahagian daripada azab neraka ini?’ Orang-orang yang sombong angkuh itu menjawab: ‘Sebenarnya kita semua menderita bersama-sama dalam neraka (tidak ada jalan untuk kita melepaskan diri), kerana sesungguhnya Allah telah menetapkan hukuman-Nya di antara sekalian hamba-Nya’. Dan berkatalah pula orang-orang yang ada dalam neraka kepada malaikat-malaikat penjaga neraka Jahannam: ‘Pohonkanlah kepada Tuhan kamu, supaya Ia meringankan sedikit azab seksa dari kami sehari sahaja’.  Malaikat penjaga neraka menjawab: ‘Bukankah kamu telah didatangi Rasul-rasul kamu dengan membawa keterangan-keterangan (yang menyatakan akibat perbuatan derhaka kamu)?’ Mereka menjawab: ‘Ya, telah datang’. Malaikat itu berkata: ‘Jika demikian, maka berdoalah kamu sendiri. Dan doa permohonan orang-orang yang kafir pada saat ini hanya menyebabkan mereka berada dalam keadaan dukacita dan kecewa sahaja’.”
(Ghaafir [40]: ayat 47 - 50)

:: al-Quran 4 ::
Allah ﷻ berfirman:
“Dan masing-masing pun mengadap satu sama lain, sambil kata mengata dan cela mencela. Pengikut-pengikut berkata (kepada ketuanya): ‘Sesungguhnya kamu dahulu selalu datang menyekat kami (daripada beriman) dengan menggunakan kuasa kamu’. Ketua-ketuanya menjawab: ‘(Tidak!) Bahkan kamulah sendiri tidak mahu menjadi orang-orang yang beriman!’ Dan sekali-kali kami tidak berkuasa terhadapmu, bahkan kamulah kaum yang melampaui batas. Maka tetaplah di atas kita janji seksa (yang dijanjikan) oleh Tuhan kita, bahawa kita semua tentu akan merasai (azab itu). Maka kami pun mengajak kamu menjadi sesat, kerana sebenarnya kami adalah orang-orang sesat. Maka sesungguhnya mereka semua pada hari itu, menderita azab bersama.”
(as̄-S̄aaffaat [37]: ayat 27 - 33)

:: al-Quran 5 ::
Allah ﷻ berfirman:
“Dan (ingatlah) hari dihimpun musuh-musuh Allah untuk dibawa ke neraka, lalu mereka dijaga serta diatur keadaan dan perjalanannya masing-masing. Sehingga apabila mereka sampai ke neraka, (maka) pendengaran dan penglihatan serta kulit-kulit badan mereka menjadi saksi terhadap mereka, mengenai apa yang mereka telah kerjakan. Dan (setelah berlaku yang demikian), berkatalah mereka kepada kulit-kulit badan mereka: ‘Mengapa kamu menjadi saksi terhadap kami?’ Kulit-kulit badan mereka menjawab: ‘Allah yang berkuasa menjadikan tiap-tiap sesuatu pandai berkata-kata telah menjadikan kami dapat berkata-kata; dan Dia-lah yang menciptakan kamu pada mulanya, dan kepada-Nyalah kamu dikembalikan (untuk menerima balasan)’.”
(Fus̄s̄ilat [41]: ayat 19 - 21)

No comments:

Post a Comment