:: Hadis 1 ::
Nabi ﷺ bersabda,
“Kami adalah suatu kaum yang tidak akan makan hingga merasa lapar, jika kami makan maka tidak sampai kenyang.”
(HR. Burhanuddin al-Halabi [rujuk: Sirah al-Halabiyyah,3/295])
NOTA:
Kata Syaikh al-Albani tentang hadis ini: “La asla lahu (tiada asalnya)” (rujuk: Silsilah as-Sahihah,3942). Walaupun hadis ini tidak sahih, namun maknanya benar berdasarkan hadis sahih yang lain:
:: Hadis 2 ::
dari Miqdam bin Ma’di Karib,Nabi ﷺ bersabda,
“Anak adam itu tidak memenuhi suatu bekas yang lebih buruk daripada perutnya. Cukuplah bagi anak Adam itu beberapa suapan yang dapat meluruskan tulang belakangnya (memberikan kekuatan kepadanya). Sekiranya dia tidak dapat (berbuat demikan), maka satu pertiga untuk makanan, satu pertiga untuk minuman dan satu pertiga untuk pernafasan.”
(HR. at-Tirmidzi,no.2380. Dinilai ‘Hasan Sahih’ oleh imam at-Tirmidzi)
NOTA:
Namun, makan/minum sehingga kenyang juga dibolehkan jika sekali sekala & tidak memudaratkan, kerana terdapat beberapa hadis sahih yang menunjukkan bahawa perkara tersebut dibenarkan, seperti beberapa hadis yang panjang:
:: Hadis 3 ::
dari Abu Hurairah,Nabi ﷺ bersabda,
“...‘Duduk dan minumlah’. Lalu aku duduk dan minum. Baginda berkata lagi: ‘Minumlah’. Maka aku minum lagi. Baginda tidak henti menyuruhku minum sehingga aku berkata: ‘Aku tidak mahu lagi. Demi Tuhan yang mengutuskan Engkau dengan kebenaran, aku tidak mendapati bahagian dalam badanku yang boleh menerima minuman lagi’. Baginda berkata: ‘Berikan kepadaku’. Lalu, aku memberikan bekas minuman kepada Rasulullah ﷺ. Baginda bertahmid kepada Allah, membaca Basmalah dan meminum lebihan susu tersebut.”
(HR. Bukhari,no.6452)
:: Hadis 4 ::
dari Anas bin Malik,bahawa ketika Abu Thalhah dan Ummu Sulaim menjamu Nabi ﷺ dan para sahabat yang menggali parit,
“...Kemudian baginda ﷺ berkata: ‘Izinkan 10 orang masuk’. Lalu mereka diizinkan masuk, mereka makan sehingga kenyang, kemudian mereka keluar...”
(HR. Bukhari,no.3578)
:: Hadis 5 ::
dari ‘Aisyah,dia berkata,
“Rasulullah ﷺ meninggal dunia ketika kami merasai kekenyangan disebabkan tamar dan air.”
(HR. Bukhari,no.5383)
No comments:
Post a Comment