Wednesday, July 22, 2026

Memakai Minyak Wangi Adalah Sunnah

:: Hadis 1 ::
dari Abu Hurairah,Rasulullah ﷺ bersabda,
“Sesiapa yang dipelawa minyak wangi, maka janganlah dia menolak, kerana sesungguhnya ia ringan untuk dibawa dan harum baunya”
(HR. Muslim,no.2253)

:: Hadis 2 ::
dari ‘Azrah bin Tsabit,dia berkata,
“Aku menemuinya (Tsumamah bin ‘Abdullah), lalu ia menghulurkan minyak wangi kepadaku. Dia berkata: ‘Anas radhiyallahu‘anhu tidak pernah menolak minyak wangi’. Kemudian Anas berkata bahawa Nabi ﷺ juga tidak pernah menolak minyak wangi’.”
(HR. Bukhari,no.2582)

:: Hadis 3 ::
dari ‘Aisyah,dia berkata,
“Aku memakaikan Rasulullah ﷺ minyak wangi sebelum ihramnya, sebelum baginda berihram, dan untuk tahallulnya sebelum baginda melakukan tawaf (mengelilingi Kaabah).”
(HR. Bukhari,no.1539. Muslim,no.1189)

:: Hadis 4 ::
dari Abu Sa‘id al-Khudri,Rasulullah ﷺ bersabda,
“Wangian yang paling harum baunya adalah al-Misk (kasturi).”
(HR. at-Tirmidzi,no.991. Dinilai Hasan Sahih oleh imam at-Tirmidzi)

:: Hadis 5 ::
dari Salman al-Farisi,Nabi ﷺ bersabda,
“Sesiapa yang mandi pada hari jumaat, bersuci dengan apa yang termampu untuk bersuci, kemudian meminyakkan (rambut) atau memakai wangian, kemudian dia pergi tanpa dia melangkah dengan paksaan di antara dua orang, kemudian dia mendirikan solat seperti mana yang diperintahkan kepadanya, kemudian apabila keluar imam (untuk berkhutbah) dia berdiam diri, maka diampunkan dosanya, di antara jumaat itu dengan jumaat yang lalu.”
(HR. Bukhari,no.910)

:: Hadis 6 ::
dari Sa‘ad bin Malik,Rasulullah ﷺ bersabda,
“Mandi pada hari Jumaat adalah wajib atas setiap orang yang telah baligh, bersiwak (membersihkan gigi), dan memakai sedikit wangian sekadar yang termampu, walaupun daripada wangian wanita (isterinya).”
(HR. Muslim,no.846b)

Saturday, July 4, 2026

Apabila Allah Menurunkan Azab, Orang Soleh Turut Terkena

:: Hadis 1 ::
dari ‘Abdullah bin ‘Umar,Rasulullah ﷺ bersabda,
“Apabila Allah mengkehendaki azab berlaku kepada sesuatu kaum, Allah akan menimpakan azab kepada semua yang berada dalam kalangan mereka. Kemudian mereka akan dibangkitkan dengan amalan-amalan mereka.”
(HR. Bukhari,no.7108. Muslim,no.2879)

:: Hadis 2 ::
dari ‘Aisyah,Rasulullah ﷺ bersabda,
“Akan ada satu pasukan tentera yang menyerang Ka’bah. Apabila mereka sampai di sebuah kawasan lapang (padang pasir) di bumi, maka bahagian hadapan dan bahagian belakang pasukan itu akan ditelan ke dalam bumi’. Aku bertanya: ‘Wahai Rasulullah, bagaimana mereka semua ditelan ke dalam bumi, sedangkan dalam kalangan mereka terdapat para peniaga (atau orang yang datang ke pasar mereka) dan juga orang yang bukan daripada pasukan itu?’ Baginda bersabda: ‘Bahagian hadapan dan bahagian belakang mereka semuanya akan ditelan ke dalam bumi. Kemudian mereka akan dibangkitkan (pada hari kiamat) menurut niat masing-masing’.”
(HR. Bukhari,no.2118. Muslim,no.2884)

:: Hadis 3 ::
dari Zainab binti Jahsy,dia berkata,
“...Adakah kami akan binasa dalam keadaan orang-orang soleh berada dalam kalangan kami?’ Maka baginda menjawab: ‘Ya, jika kejahatan semakin banyak’.”
(HR. Bukhari,no.7059)

:: Hadis 4 ::
Ummu Salamah,Rasulullah ﷺ bersabda,
“Apabila munculnya kejahatan di atas muka bumi maka Allah akan menurun azab-Nya kepada seluruh penduduk bumi’. Aku (Ummu Salamah) bertanya: ‘Sekalipun dalam kalangan mereka ada orang soleh?’ Maka Rasulullah menjawab: ‘Ya, meskipun dalam kalangan mereka ada orang soleh. Mereka ditimpa sepertimana yang ditimpa oleh orang ramai kemudian mereka kembali kepada rahmat Allah’.”
(HR. Ahmad,no.24179. at-Thabrani [rujuk: Mu’jam al-Awsath,no.2089])

NOTA:
Hadis ini dinilai Sahih oleh Syaikh al-Albani (rujuk: Silsilah al-Sahihah,1372. Sahih al-Jami’,680). Tetapi hadis ini dinilai Dhaif oleh Syaikh Musthofa al-‘Adawi secara lafaz, namun ia sahih dari segi makna, lalu beliau membawakan “Hadis 2” (rujuk: video).