Showing posts with label ● Tentang Syurga & Neraka. Show all posts
Showing posts with label ● Tentang Syurga & Neraka. Show all posts

Thursday, October 31, 2024

Bersikap Kasar, Sombong Dan Angkuh Adalah Sifat Ahli Neraka

:: Hadis 1 ::
dari Haritsah bin Wahb,Nabi ﷺ bersabda,
“Mahukah aku beritahu kamu tentang ahli syurga?’ Mereka menjawab: ‘Ya’. Baginda ﷺ bersabda: ‘Setiap orang yang lemah, yang dipandang rendah. Sekiranya dia bersumpah atas nama Allah, nescaya Allah akan memakbulkannya’. Kemudian Baginda bersabda: ‘Mahukah aku beritahu kamu tentang ahli neraka?’ Mereka menjawab: ‘Ya’. Baginda bersabda: ‘Setiap orang yang kasar, sombong dan angkuh’.”
(HR. Bukhari,no.4918. Muslim,no.2853)

:: Hadis 2 ::
dari Abu Hurairah,Nabi ﷺ bersabda,
“Syurga dan neraka saling berdebat. Neraka berkata: ‘Orang-orang sombong dan bengis memasukiku’. Syurga berkata: ‘Sedangkan aku, tiada yang memasukiku selain orang-orang lemah dan hina (pada pandangan manusia)’. Lalu Allah berfirman kepada syurga: ‘Kau adalah rahmat-Ku, denganmu Aku rahmati siapa sahaja yang Aku kehendaki dari hamba-hamba-Ku’. Kemudian Allah berfirman kepada neraka: ‘Kau adalah azab-Ku, denganmu Aku menyiksa sesiapa pun yang Aku kehendaki. Dan masing-masing dari keduanya mempunyai isinya sendiri’. Adapun neraka tidak terisi penuh sehingga Allah meletakkan kaki-Nya, kemudian neraka berkata: ‘Cukup! cukup!’ Saat itulah neraka penuh dan sebahagiannya menindih sebahagian yang lain. Allah tidak menzalimi seorang pun dari makhluk-Nya. Sedangkan syurga, Allah menciptakan penghuninya.”
(HR. Bukhari,no.4850)

Saturday, May 25, 2024

Allah Memberi Syafa’at-Nya Di Akhirat Kelak

dari Abu Sa‘id al-Khudri,Rasulullah ﷺ bersabda,
“...Demi Tuhan yang diriku di tangan-Nya. Manusia-manusia beriman akan memohon dengan bersungguh-sungguh kepada Allah untuk memperjuangkan hak saudara mereka yang berada di neraka. Mereka berkata: ‘Tuhan kami, mereka berpuasa, solat dan mengerjakan haji bersama kami’. Lalu dijawab kepada mereka: ‘Keluarkan dari neraka sesiapa yang kalian kenal’. Lalu diharamkan mereka daripada neraka. Orang beriman itu pun mengeluarkan sejumlah manusia yang ramai, yang mana mereka telah dimakan neraka sedalam separuh betis hingga ke lutut. Kemudian orang beriman akan berkata: ‘Tuhan kami, sudah tiada seorang pun lagi yang kalian suruh kami keluarkan’. Lalu Allah menjawab: ‘Kembalilah lagi, sesiapa yang kalian dapati pada hatinya terdapat sebesar dinar kebaikan, keluarkan dia’. Lalu mereka mengeluarkan sejumlah manusia yang ramai, kemudian mereka berkata: ‘Tuhan kami, kami tidak meninggalkan seorang pun yang engkau suruh kami keluarkan’. Kemudian Allah berkata: ‘Kembalilah lagi, sesiapa yang kalian dapati dalam hatinya terdapat separuh dinar kebaikan, keluarkanlah dia’. Lalu mereka mengeluarkan sejumlah ramai manusia, kemudian mereka berkata: ‘Tuhan kami, kami tidak meninggalkan seorang pun yang engkau suruh kami keluarkan’. Kemudian Allah berkata: ‘Kembalilah, sesiapa yang kalian dapati dalam hatinya ada sebesar zarah kebaikan, keluarkanlah dia’. Lalu mereka mengeluarkan sejumlah manusia yang ramai. Kemudian mereka berkata: ‘Tuhan kami, kami tidak meninggalkan langsung sesiapa yang ada kebaikan di sana’...Maka berkata Allah Ta’ala: ‘Malaikat telah memberi Syafa’at, para Nabi telah memberi Syafa’at, dan kaum mukminin telah memberi Syafa’at dan tiada yang tinggal (untuk memberi Syafa’at) kecuali Yang Maha Mengasihani (Allah)’. Lalu Dia menggenggam segenggam daripada neraka dan dikeluarkan daripadanya kaum yang tiada amal kebaikan langsung (namun beriman) dan mereka menjadi arang. Kemudian Allah melempar mereka ke dalam sungai yang berada di tepi syurga yang disebut sebagai sungai kehidupan...”
(HR. Muslim,no.183)

Tuesday, May 7, 2024

Tiada Orang Yang Bujang Dalam Syurga

dari Abu Hurairah,Rasulullah ﷺ bersabda,
“Sesungguhnya orang yang awal masuk ke dalam syurga ialah atas rupa bulan purnama dan yang mengiringinya pula atas rupa seperti bintang yang sangat terang sinarnya di langit. Bagi setiap ahli syurga dari mereka itu dua isteri yang mana dapat dilihat dari belakang daging akan sumsum dua betisnya dan tiadalah di dalam syurga itu orang yang bujang.”
(HR. Muslim,no.2834)

Sunday, May 5, 2024

Perkara Yang Disukai Banyak Menjerumus Ke Neraka

dari Abu Hurairah,Rasulullah ﷺ bersabda,
“Neraka diselaputi perkara-perkara yang disukai, manakala syurga diselaputi perkara-perkara yang tidak disukai.”
(HR. Bukhari,no.6487)

Saturday, April 27, 2024

Allah Mencipta 100 Rahmat: 1 Diturunkan Ke Bumi,99 Disimpan Di Akhirat

:: Hadis 1 ::
dari Abu Hurairah,Rasulullah ﷺ bersabda,
“Sesungguhnya Allah telah menciptakan 100 rahmat. Allah simpan di sisi-Nya 99 rahmat dan menurunkan satu rahmat pada semua makhluk-Nya. Seandainya orang kafir tahu tentang semua rahmat yang ada di sisi Allah, mereka tidak akan berputus asa daripada memasuki syurga. Seandainya orang beriman tahu semua azab yang ada di sisi Allah, dia tidak akan berasa selamat daripada neraka.”
(HR. Bukhari,no.6469)

:: Hadis 2 ::
dari Abu Hurairah,Nabi ﷺ bersabda,
“Sesungguhnya Allah memiliki 100 rahmat. Allah menurunkan satu rahmat untuk jin, manusia, haiwan dan serangga. Dengan satu rahmat tersebut terhasilnya perasaan saling mengasihi sesama makhluk. Dengan satu rahmat tersebut juga seekor haiwan liar bersikap lunak kepada anaknya. Allah menyimpan 99 rahmat lagi dan dengan 99 rahmat tersebut Allah akan mengasihi para hamba-Nya (yang beriman) di hari kiamat.”
(HR. Muslim,no.2752)

:: Hadis 3 ::
dari Salman al-Farsi,Rasulullah ﷺ bersabda,
“Sesungguhnya Allah memiliki 100 rahmat. Daripadanya terdapat 1 rahmat yang mana dengannya makhluk-makhluk saling berkasih sayang antara mereka. 99 rahmat lagi adalah untuk hari Kiamat.”
(HR. Muslim,no.2753)

Tuesday, March 12, 2024

Azab Orang Yang Meninggalkan Solat Fardhu,Ada Ilmu al-Quran Tapi Tidak Mengamalkannya,Suka Menipu,Berzina & Pemakan Riba

Samurah bin Jundab,dia berkata,
“Rasulullah ﷺ sering bertanya kepada sahabat-sahabatnya: ‘Adakah ada daripada kamu yang bermimpi?’ Lalu sesiapa yang dikehendaki Allah akan menceritakan (mimpinya) kepada baginda ﷺ. Pada satu pagi, baginda ﷺ berkata: “Sesungguhnya malam tadi, datang dua (malaikat) kepada ku (di dalam mimpi). Mereka berdua mengejutkan aku. Mereka berkata kepada aku: ‘Bergeraklah’. Maka aku bergerak bersama mereka. Kami bertemu dengan seseorang lelaki yang sedang berbaring, dan ada seorang lelaki lagi sedang berdiri sambil memegang batu yang besar. Lelaki yang memegang batu itu menjatuhkan batu besar itu ke atas kepala lelaki yang berbaring tadi. Lalu berkecailah kepalanya. Batu itu bergolek dan lelaki yang menjatuhkan batu itu mengikut batu itu dan mengambilnya kembali. Apabila lelaki yang mengambil itu kembali kepada lelaki yang berbaring tersebut, keadaan kepalanya sudah kembali pulih seperti sedia kala. Lelaki itu mengulangi perbuatannya seperti yang dia lakukan pada kali pertama (iaitu menjatuhkan batu besar itu ke kepala lelaki yang berbaring itu). Aku bertanya kepada mereka berdua: ‘Maha suci Allah. Siapakah dua orang lelaki tadi?’ Kedua-dua malaikat menjawab: ‘Bergeraklah’. Lalu kami bergerak sehinggalah kami menemui seorang lelaki yang sedang terlentang di atas tengkuknya, dan ada seorang lagi lelaki sedang berdiri di atasnya dengan memegang pencangkuk yang diperbuat daripada besi. Lelaki yang memegang pencangkuk tadi pergi ke satu bahagian wajah lelaki yang berbaring tadi, lalu dia mencarik hujung mulutnya sehingga ke tengkuknya, mencarik dari lubang hidungnya hingga ke tengkuknya, dan mencarik dari matanya hingga ke tengkuknya. Kemudian lelaki itu beralih pula sisi wajah yang satu lagi, lalu dia melakukan seperti mana yang dia lakukan pada sisi wajah yang tadi. Tidaklah dia selesai melakukan hal tersebut pada sisi wajah itu melainkan bahagian wajah yang pertama dicarik tadi sudah pulih seperti asalnya. Kemudian lelaki itu akan kembali ke bahagian wajah yang sudah pulih itu lalu melakukan sebagaimana yang dia lakukan pada kali pertama tadi. Aku berkata: ‘Maha suci Allah. Siapakah dua orang ini?’ Kedua-dua malaikat itu berkata kepada ku: ‘Bergeraklah’. Lalu kami pun bergerak sehingga kami sampai ke satu tempat yang bentuknya seperti tempat membakar roti. Kedengaran di dalam tempat tersebut jeritan suara. Kami meninjau ke dalamnya lalu kami dapati di dalam tempat tersebut terdapat lelaki dan wanita yang dalam keadaan bertelanjang. Api datang menjamah mereka dari arah bawah mereka. Apabila api itu datang ke arah mereka, maka mereka akan menjerit. (Dalam riwayat Jarir bin Hazim: (Tempat seperti bekas membakar roti itu) bahagian atasnya sempit dan bawahnya luas. Dinyalakan di bawahnya api. Apabila api itu marak menjulang ke atas, penghuni di dalamnya naik ke atas sehingga hampir-hampir keluar darinya, apabila api itu telah reda, maka mereka kembali ke dalam tempat tersebut). Aku bertanya kepada dua malaikat: ‘Siapakah mereka (iaitu orang-orang yang di dalam tempat seperti pembakar roti)?’ Kedua-dua malaikat menjawab: ‘Bergeraklah, bergeraklah’. Lalu kami bergerak sehingga kami sampai di sebatang sungai yang merah seperti darah. Di dalam sungai itu terdapat seorang lelaki yang sedang berenang, manakala di tebing sungai terdapat seorang lelaki yang mengumpulkan banyak batu bersamanya. Apabila lelaki yang berenang itu terus berenang sehinggalah dia sampai ke tempat lelaki yang mengumpulkan banyak batu tadi, lalu perenang itu membukakan mulutnya, dan lelaki yang di tebing sungai itu mencampakkan batu ke dalam mulut perenang tadi. Lalu perenang tadi terus berenang, kemudian datang kembali ke tempat lelaki di tebing sungai itu. Setiap kali dia kembali ke lelaki itu, dia akan membuka mulutnya dan lelaki itu mencampakkan batu ke dalam mulutnya. Aku bertanya kepada dua malaikat itu: ‘Siapakah dua orang tersebut?’ Kedua-dua malaikat itu menjawab: ‘Bergeraklah, bergeraklah’. Lalu kami bergerak sehingga kami bertemu dengan seorang lelaki yang sangat hodoh wajahnya, seolah-olah itu adalah manusia paling hodoh yang pernah engkau lihat. Bersama dengan lelaki itu adalah api, dia menyalakannya dan mengelilingi api itu. Aku bertanya kepada kedua-dua malaikat lagi: ‘Siapakah lelaki ini?’ Mereka berkata: ‘Bergeraklah, bergeraklah’. Lalu kami bergerak sehingga kami bertemu kami sampai ke satu taman yang sangat rimbun pokok-pokoknya dengan segala jenis warna bunga-bunganya. Di tengah-tengah taman tersebut terdapat seorang lelaki yang tinggi, hampir-hampir aku tidak dapat melihat kepalanya kerana tingginya sehingga ke langit. Di sekeliling lelaki itu terdapat kanak-kanak yang sangat ramai yang pernah aku lihat. Aku bertanya kepada dua malaikat itu: ‘Siapakah lelaki ini, dan siapa pula kanak-kanak itu?’ Dua malaikat itu menjawab: ‘Bergeraklah, bergeraklah’. Lalu kami bergerak sehingga sampai ke taman yang sangat besar. Tidak pernah aku lihat taman yang lebih besar dan lebih cantik daripada taman itu. Kedua-dua malaikat itu berkata kepada ku: ‘Panjatlah taman itu’. Lalu kami memanjatnya sehingga kami sampai ke satu bandar yang dibina daripada batu-bata yang diperbuat daripada emas dan perak. Kami pergi ke pintu bandar itu lalu meminta agar pintu itu dibuka. Maka dibukakan pintu itu untuk kami. Kami masuk dan kami bertemu dengan sekelompok manusia yang separuh daripada tubuh badan mereka adalah secantik-cantik yang pernah engkau lihat, manakala separuh daripada tubuh badan mereka pula adalah sehodoh-hodoh yang pernah engkau lihat. Kedua-dua malaikat itu berkata kepada mereka: ‘Pergilah dan masuk ke dalam sungai itu’. Sungai itu adalah sungai yang mengalir dan airnya putih seolah-olah susu yang asli. Mereka pergi dan masuk ke dalam sungai tersebut. Kemudian mereka kembali kepada kami dalam keadaan telah hilang rupa yang hodoh daripada tubuh mereka, dan mereka berubah menjadi sebaik-baik bentuk. (Dalam riwayat Jarir bin Hazim: Kedua malaikat itu menaikkan aku ke atas pokok itu, dan memasukkan aku ke dalam rumah yang paling indah yang pernah aku lihat. Di dalamnya terdapat kaum lelaki tua dan muda, wanita dan kanak-kanak. Kemudian kedua malaikat itu mengeluarkan aku dari tempat itu dan menaikkan aku ke atas pokok dan memasukkan aku ke dalam satu rumah yang lain pula. Rumah itu lebih indah dan baik. Di dalamnya terdapat lelaki tua dan muda). Kedua-dua malaikat itu berkata kepada ku: ‘Ini adalah syurga ‘Adn. Ini pula adalah rumah engkau’. Lalu aku pun mengangkat pandangan ku ke atas. Aku melihat terdapat sebuah istana seperti awan-awan yang putih. Kedua-dua malaikat itu berkata kepada ku: ‘Ini adalah rumah engkau’. Aku berkata kepada mereka berdua: ‘Semoga Allah memberkati kamu. Tinggalkanlah aku supaya aku dapat masuk ke dalamnya’. Kedua-dua malaikat itu berkata: ‘Sekarang tidak boleh, akan tetapi engkau akan memasukinya jua (selepas mati nanti). Aku bertanya kepada kedua-dua malaikat itu: ‘Sesungguhnya sejak malam tadi aku telah melihat perkara-perkara yang pelik. Apakah perkara-perkara yang telah aku lihat itu?’ Kedua-dua malaikat itu berkata: ‘Kami akan beritahu kepada mu. Lelaki yang pertama yang engkau datang kepadanya, lalu kepalanya dipecahkan dengan batu. Sesungguhnya dia adalah lelaki yang mengambil al-Quran lalu menolaknya, dan dia tidur daripada menunaikan solat fardhu. (Dalam riwayat Jarir bin Hazim: Dia adalah seorang lelaki yang telah Allah berikan ilmu tentang al-Quran, akan tetapi dia tidur daripadanya pada waktu malam, dan tidak beramal dengannya di waktu siang). Lelaki yang engkau lihat dicarik hujung mulutnya sehingga ke tengkuk, lubang hidungnya hingga ke tengkuk, dan matanya hingga ke tengkuk, adalah lelaki yang keluar dari rumahnya lalu banyak menipu. Lelaki dan perempuan yang bertelanjang di dalam tempat seperti tempat membakar roti ialah wanita dan lelaki yang berzina. Lelaki yang engkau lihat berenang di sungai dan diberi makan batu, dia adalah pemakan riba. Lelaki yang hodoh wajahnya yang bersama api yang dia nyalakan dan mengelilinginya, itu adalah malaikat Malik, penjaga neraka. Lelaki yang tinggi di taman itu adalah Nabi Ibrahim. Kanak-kanak yang ada di sekelilingnya adalah setiap kanak-kanak yang mati dalam keadaan fitrah’. Sebahagian sahabat bertanya: ‘Ya Rasulullah, bagaimana pula dengan anak orang Musyrikin? Baginda menjawab: ‘Begitu juga anak-anak orang musyrikin (mereka akan berada di situ seperti anak-anak orang Islam)’. Kelompok manusia yang separuh tubuhnya elok, dan separuhnya rosak. Mereka adalah kelompok yang mencampurkan amal soleh mereka dengan amal kejahatan, akan tetapi Allah telah mengampuni mereka.(Dalam riwayat Jarir bin Hazim: Rumah yang pertama yang aku masuki adalah rumah kebanyakan orang beriman, manakala rumah yang kedua adalah rumah mereka yang mati syahid). (Dalam riwayat Jarir bin Hazim, kedua-dua malaikat itu akhirnya memperkenalkan diri mereka: ‘Aku adalah Jibril, dan ini Mikail). (Dalam riwayat Jarir bin Hazim juga disebutkan: ‘Dilaksanakan (azab itu) sehingga hari kiamat’).”
(HR. Bukhari,no.7047 & 1386)

Sunday, February 18, 2024

Ahli Syurga Masih Ingat Buah-Buahan Ketika Di Dunia Dahulu

Allah ﷻ berfirman:
“Dan berilah khabar gembira kepada orang-orang yang beriman dan beramal soleh, sesungguhnya mereka beroleh syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai; tiap-tiap kali mereka diberikan satu pemberian dari sejenis buah-buahan syurga itu, mereka berkata: ‘Inilah yang telah diberikan kepada kami dahulu’, dan mereka diberikan rezeki itu yang sama rupanya (tetapi berlainan hakikatnya), dan disediakan untuk mereka dalam syurga itu pasangan-pasangan, isteri-isteri yang sentiasa bersih suci, sedang mereka pula kekal di dalamnya selama-lamanya.”
(al-Baqarah [2]: ayat 25)

Saturday, February 17, 2024

Allah Jadikan Bumi Menjadi Sekeping Roti Pada Hari Kiamat

dari Abu Sa‘id al-Khudri,Rasulullah ﷺ bersabda,
“Bumi pada hari kiamat nanti menjadi sekeping roti, al-Jabbar (Allah) akan membolak-balikkannya dengan tangan-Nya seperti mana seseorang kamu membolak-balikkan rotinya sewaktu safar, ia disediakan sebagai hidangan untuk Ahli Syurga”. Kemudian itu datang seorang lelaki Yahudi seraya berkata: ‘Semoga kamu diberkati ar-Rahman (Allah) wahai Abul Qasim (Rasulullah), mahukah kamu aku memberitahu berkenaan hidangan untuk Ahli Syurga di hari kiamat?’ Jawab baginda: ‘Silakan’. Lelaki Yahudi itu berkata: ‘Bumi akan menjadi sekeping roti..’ sama seperti yang diceritakan Nabi ﷺ lalu Nabi ﷺ melihat kepada kami kemudian ketawa sehingga tampak gusi baginda. Kemudian lelaki Yahudi itu berkata: ‘Apakah mahu aku beritakan kepada kamu berkenaan kuah cicah mereka?’ Katanya: ‘kuah cicah mereka adalah Balam dan Nun’. Kata para Sahabat: ‘apakah ini? (yakni Balam)’ katanya: ‘Lembu liar dan ikan nun, akan makan seramai 70,000 orang daripada “zaidah” hati keduanya (bahagian pada hati Nun dan Lembu dan ia adalah bahagian yang paling sedap)’.”
(HR. Bukhari,no.6520. Muslim,no.2792)

Saturday, February 10, 2024

Tiada Kematian Dalam Syurga Dan Neraka

:: al-Quran ::
Allah ﷻ berfirman:
“Sesungguhnya orang-orang yang kufur ingkar kepada ayat-ayat keterangan Kami, Kami akan membakar mereka dalam api neraka. Tiap-tiap kali kulit mereka masak hangus, Kami gantikan untuk mereka kulit yang lain supaya mereka dapat merasa azab sengsara itu. Dan (ingatlah) sesungguhnya Allah adalah Maha Kuasa lagi Maha Bijaksana.”
(an-Nisa' [4]: ayat 56)

:: Hadis 1 ::
dari ‘Abdullah bin ‘Umar,Nabi ﷺ bersabda,
“Apabila penghuni syurga sudah memasuki syurga, dan penghuni neraka sudah memasuki neraka. Dibawakan kematian sehingga diletakkan di antara syurga dan neraka. Kemudian ia disembelih. Kemudian seorang penyeru menyeru: ‘Wahai penghuni syurga, tiada lagi kematian. Wahai penghuni neraka, tiada lagi kematian’. Lalu bertambahlah kegembiraan penghuni syurga dan bertambahlah kesedihan penghuni neraka.”
(HR. Bukhari,no.6548. Muslim,no.2850)

:: Hadis 2 ::
dari Abu Sa‘id al-Khudri,Rasulullah ﷺ bersabda,
“Kematian akan dibawa dalam bentuk seekor kibas berwarna hitam bercampur putih. Lalu seorang penyeru akan menyeru: ‘Wahai penghuni syurga’. Lalu penghuni syurga akan mendongak dan melihat. Lalu penyeru tadi berkata: ‘Adakah kamu kenal siapakah ini?’ Lalu mereka menjawab: ‘Ya. Ini adalah kematian’. Kesemua mereka dapat melihatnya. Kemudian diseru: ‘Wahai penghuni neraka’. Lalu penghuni neraka mendongak dan melihat. Lalu penyeru tadi berkata: ‘Adakah kalian kenal siapakah ini?’ Lalu mereka menjawab: ‘Ya. Ini adalah kematian’. Kesemua mereka dapat melihatnya. Lalu kibas tadi disembelih. Kemudian penyeru itu berkata: ‘Wahai penghuni syurga, kekallah kamu dan tiada lagi kematian. Wahai penghuni neraka, kekallah kamu dan tiada lagi kematian’. Kemudian baginda membaca: ‘Berilah peringatan kepada mereka tentang hari Penyesalan tatkala keputusan telah diberikan sedangkan mereka dalam keadaan lalai dan tidak beriman (Maryam [19]: ayat 39)’. Mereka yang dalam keadaan lalai itu ialah penduduk dunia.”
(HR. Bukhari,no.4730)

Wednesday, July 26, 2023

Kisah 3 Lelaki Yang Diheret Ke Neraka Namun Dibebaskan

dari Ibnu ‘Abbas,dia berkata,
“Seorang lelaki akan diheret ke neraka. Namun, neraka malah menjauhkan diri dan bahagian-bahagiannya mengecut antara satu sama yang lain. Allah Yang Maha Pengasih bertanya kepada neraka: ‘Apa yang terjadi padamu?’ Neraka menjawab: ‘Lelaki itu selalu memohon perlindungan (pada-Mu) agar selamat dariku’. Kemudian, Allah berfirman kepada para malaikat: ‘Bebaskanlah hamba-Ku itu’. Selanjutnya, ada lagi lelaki yang tengah diheret ke neraka. Ketika diheret, dia berkata: ‘Wahai Tuhanku, bukankah ini prasangka (baik) pada-Mu’. Allah lalu bertanya: ‘Apa prasangka baikmu?’ Dia menjawab: ‘Rahmat-Mu akan meliputiku’. Maka Allah kembali berfirman kepada para malaikat: ‘Bebaskanlah hamba-Ku’. Terakhir, ada lagi lelaki yang diheret ke neraka, akan tetapi neraka berteriak kepadanya seakan-akan seperti tarikan baghal ketika melihat gandum, lalu berbunyi dengan kuat tatkala semua orang di sana ketakutan.”
(HR. at-Thobari [rujuk: Tafsir at-Thobari,19/244]. Ibnu Katsir [rujuk: Tafsir Ibnu Katsir,6/97]. Kata Ibnu Katsir: “Ini adalah sanad yang Sahih”)

Wednesday, November 2, 2022

Kanak-Kanak Bukan Islam Yang Mati (Belum Baligh) Akan Masuk Syurga

:: al-Quran 1 ::
Allah ﷻ berfirman:
“Dan tiadalah Kami mengazabkan sesiapapun sebelum Kami mengutuskan seorang Rasul (untuk menerangkan yang benar dan yang salah).”
(al-Isra' [17]: ayat 15)

NOTA:
daripada ayat ini, Imam Ibnu Hajar al-Asqalani menukilkan kata² Imam an-Nawawi bahawa: “Sekiranya tidak diazab mereka yg berakal kerana keadaan mereka yg tidak sampai seruan dakwah, maka tidak diazab orang yang tidak berakal adalah lebih utama” (rujuk: Fath al-Bari,4/462)

:: al-Quran 2 ::
Allah ﷻ berfirman:
“Sesungguhnya Allah tidak sekali-kali menganiaya (seseorang) sekalipun seberat zarah (debu)..”
(an-Nisa' [4]: ayat 40)

:: Hadis ::
dari Samurah bin Jundab,Rasulullah ﷺ bersabda,
“..Adapun lelaki yang tinggi di dalam Raudhah (taman syurga), ia adalah Ibrahim ﷺ. Adapun anak-anak yang ada di sekelilingnya adalah setiap anak-anak yang dilahirkan yang mati di atas fitrah (yakni Islam dan dimasukkan ke dalam syurga). Lalu sebahagian orang Islam bertanya: ‘Wahai Rasulullah, adakah ia termasuk kanak-kanak orang musyrikin?’ Lalu Rasulullah ﷺ menjawab: ‘Termasuk anak-anak orang musyrikin’..”
(HR. Bukhari,no.7047)

Saturday, July 9, 2022

Hamba Allah Yang 'Dicelup' Sekali Ke Dalam Neraka & Hamba Yang 'Dicelup' Ke Dalam Syurga

:: Hadis 1 ::
dari Anas bin Malik,Rasulullah ﷺ bersabda,
“Orang paling nikmat di dunia dalam kalangan penghuni neraka didatangkan pada hari kiamat, lalu dicelupkan sekali ke dalam neraka. Setelah itu, dikatakan kepadanya: ‘Wahai anak cucu Adam, adakah engkau pernah melihat kebaikan sedikit pun? Adakah engkau pernah merasakan kenikmatan sedikit pun?’ Dia menjawab: ‘Tidak,demi Allah, wahai Tuhan.’ Kemudian didatangkan pula orang yang paling sengsara di dunia dalam kalangan penghuni syurga. Kemudian dicelupkan sekali ke dalam syurga, setelah itu dikatakan kepadanya: ‘Wahai anak cucu Adam, adakah engkau pernah melihat kesengsaraan sedikit pun? Adakah engkau pernah merasa sengsara sedikit pun?’ Dia menjawab: ‘Tidak, demi Allah, wahai Tuhan, aku tidak pernah merasa sengsara sedikit pun dan aku juga tidak pernah melihat kesengsaraan pun’.”
(HR. Muslim,no.2807)

:: Hadis 2 ::
dari Anas bin Malik,Rasulullah ﷺ bersabda,
“Pada hari kiamat dikatakan kepada penghuni dunia yang kafir yang paling senang: ‘Celupkan sekali dia ke dalam nereka’. Setelah dicelupkan dia dikeluarkan. Lalu ditanya kepadanya: ‘Wahai fulan, adakah kamu pernah mendapat kenikmatan dalam hidupmu?’ Dia menjawab: ‘Tidak ada kebaikan yang pernah kuperolehi’. Kemudian dibawa orang yang beriman yang paling susah dan amat banyak sekali mendapat bencana, lalu dikatakan padanya: ‘Celupkan dia sekali ke dalam syurga’. Kemudian ditanya kepadanya: ‘Adakah kamu pernah merasakan kesusahan dan bencana?’ Doa menjawab: ‘Tidak ada kesusahan dan bencana yang pernah kurasakan’.”
(HR. Ibnu Majah,no.4312. dinilai ‘Sahih’ oleh Syaikh al-Albani [rujuk: Sahih Ibnu Majah,no.3506])

NOTA:
Maksudnya, azab neraka membuatkan penghuni neraka lupa dengan nikmat-nikmat yang Allah bagi ketika di dunia (walaupun ketika di dunia, orang itu adalah orang paling kaya, mewah dan hidup bahagia), tetapi disebabkan azab dalam neraka yg begitu dahsyat, buatkan penghuni neraka itu seolah-olah ‘hilang ingatan’. Begitu juga dengan nikmat di dalam syurga, ia membuatkan seseorang yang hidup menderita ketika di dunia menjadi lupa dengan penderitaannya ketika di dunia, disebabkan nikmat syurga yg begitu ‘dahsyat’.
Wallahua’lam.

Luas Dan Dalamnya Neraka

:: Hadis 1 ::
dari Anas bin Malik,Nabi ﷺ bersabda,
“Neraka Jahannam tidak berhenti bertanya: ‘Masihkah ada tambahan? (Qaf [50]: ayat 30)’, sampai Allah Rabbul ‘Izzati meletakkan telapak kaki-Nya di sana hingga neraka berkata: ‘Cukup! cukup! demi kemuliaan-Mu!’, hingga sebahagian penghuni neraka menghimpit sebahagian yang lainnya.”
(HR. Bukhari,no.6661. Muslim,no.2848. at-Tirmidzi,no.3195)

:: Hadis 2 ::
dari Anas bin Malik,Nabi ﷺ bersabda,
“Neraka Jahannam sentiasa dilempar (penghuni Neraka) dan ia (Neraka) selalu bertanya: ‘Masih ada tambahan?’ hingga Rabbul ‘Izzah meletakkan kaki-Nya kemudian sebahagiannya terhimpun dengan sebahagian yang lain. Ia (Neraka) berkata: ‘Cukup,cukup! Demi keagungan dan kemuliaan-Mu!’. Di syurga sentiasa ada lebihan (ruang) hingga Allah menciptakan makhluk untuknya, lalu Ia menempatkan mereka di (tempat) lebihan syurga.”
(HR. Bukhari,no.7384. Muslim,no.2848)

:: Hadis 3 ::
dari Abu Hurairah,Nabi ﷺ bersabda,
“Syurga dan neraka saling berdebat. Neraka berkata: ‘Orang-orang sombong dan bengis memasukiku’. Syurga berkata: ‘Sedangkan aku, tiada yang memasukiku selain orang-orang lemah dan hina (pada pandangan manusia)’. Lalu Allah berfirman kepada syurga: ‘Kau adalah rahmat-Ku, denganmu Aku rahmati siapa sahaja yang Aku kehendaki dari hamba-hamba-Ku’. Kemudian Allah berfirman kepada neraka: ‘Kau adalah azab-Ku, denganmu Aku menyiksa sesiapa pun yang Aku kehendaki. Dan masing-masing dari keduanya mempunyai isinya sendiri’. Adapun neraka tidak terisi penuh sehingga Allah meletakkan kaki-Nya, kemudian neraka berkata: ‘Cukup! cukup!’ Saat itulah neraka penuh dan sebahagiannya menindih sebahagian yang lain. Allah tidak menzalimi seorang pun dari makhluk-Nya. Sedangkan syurga, Allah menciptakan penghuninya.”
(HR. Bukhari,no.4850)

:: Hadis 4 ::
dari Abdullah bin Mas'ud,Rasulullah ﷺ bersabda,
“Pada hari itu Neraka Jahannam didatangkan, ia mempunyai 70,000 tali. Setiap tali terdapat 70,000 malaikat yang akan menariknya.”
(HR. Muslim,no.2842)

:: Hadis 5 ::
dari Abu Hurairah,dia berkata,
“Kami pernah bersama Nabi ﷺ, tiba-tiba tendengar suara sesuatu yang jatuh berdebuk. Nabi ﷺ bertanya: ‘Tahukah kamu itu apa?’ Kami menjawab: ‘Allah dan rasul-Nya lebih tahu’. Baginda bersabda: ‘Itu adalah batu yang dilemparkan ke dalam neraka sejak 70 tahun yang lalu dan ia baru sampai di dasar neraka saat ini’.”
(HR. Muslim,no.2844)

Thursday, July 7, 2022

Ahli Syurga Akan Melihat Allah & Melihat-Nya Adalah Nikmat Yang Paling Besar

:: al-Quran 1 ::
Allah ﷻ berfirman:
“Pada hari akhirat itu, wajah (orang-orang yang beriman) berseri-seri, melihat kepada Tuhannya”.
(al-Qiamah [75]: ayat 22-23)

:: al-Quran 2 ::
Allah ﷻ berfirman:
“Untuk orang-orang yang berusaha menjadi amalnya baik akan dikurniakan segala kebaikan, serta satu tambahan yang mulia..”
(Yunus [10]: ayat 26)

:: al-Quran 3 ::
Allah ﷻ berfirman:
“Mereka beroleh apa yang mereka kehendaki di situ, dan di sisi Kami ada lagi tambahan (limpah kurnia yang tidak terlintas di hati mereka)”.
(Qaf [50]: ayat 35)

:: Hadis 1 ::
dari Suhaib,Nabi ﷺ bersabda,
“Apabila penduduk syurga memasuki syurga, berfirman Allah Tabaraka wa Ta‘ala: ‘Apakah kamu ingin Aku tambahkan lagi nikmat kepadamu?’ Mereka menjawab: ‘Bukankah Engkau telah memutihkan wajah-wajah kami? Bukankah Engkau telah memasukkan kami ke dalam syurga dan menyelamatkan kami dari api neraka?’ Lalu Allah membuka hijab (pembatas), dan tidaklah mereka itu diberikan sesuatu yang lebih mereka cintai berbanding nikmat melihat Tuhan mereka”.
(HR. Muslim,no.181. Ibnu Majah,no.187)

:: Hadis 2 ::
dari Abu Hurairah,para sahabat bertanya, “Wahai Rasulullah, adakah kami akan melihat Tuhan kami pada hari kiamat nanti?” Maka Rasulullah ﷺ bersabda: “Apakah kamu kesulitan melihat bulan ketika malam purnama?” “Tidak”, Jawab para sahabat. Rasulullah bertanya lagi: “Apakah kamu kesulitan melihat matahari yang tidak berawan?” Para sahabat menjawab: “Tidak, ya Rasulullah”. Nabi bersabda: “Sesungguhnya kamu akan melihat-Nya...”
(HR. Bukhari,no.7437. Muslim,no.267)

:: Hadis 3 ::
dari Jarir,dia berkata,
“Suatu hari kami duduk-duduk bersama Nabi ﷺ. Tiba-tiba baginda melihat bulan yang ketika itu bulan purnama lalu baginda bersabda:
‘Kamu akan melihat Tuhan sebagaimana kamu melihat bulan ini, kamu tidak akan mempunyai masalah untuk melihat-Nya..”
(HR. Bukhari,no.7434. Muslim,no.633)

NOTA:
maksud ‘kamu tidak akan mempunyai masalah untuk melihat-Nya’ ialah ahli syurga tidak perlu bersesak-sesak semata-mata untuk melihat Allah, kerana semua pasti dapat melihat-Nya dengan jelas.

:: Hadis 4 ::
dari 'Abdullah bin Qais,Nabi ﷺ bersabda,
“Ada dua taman syurga dari perak, bekas makanan dan minuman serta segala yang ada di dalamnya dari perak. Ada dua taman syurga diperbuat dari emas, bekas makanan dan minuman serta segala yang ada di dalamnya dari emas. Tiada yang menghalang kaum itu (orang-orang beriman) melihat kepada Tuhan mereka melainkan selendang keangkuhan di wajah-Nya dalam syurga ‘Adn (yang kekal abadi).”
(HR. Bukhari,no.4878. Muslim,no.180)

Wednesday, July 6, 2022

Ganjaran Di Akhirat Untuk Orang Yang Kematian Anak Kecil

:: Hadis 1 ::
dari Abu Hurairah,Rasulullah ﷺ bersabda kepada para wanita Ans̄ar,
“ Tidaklah mati tiga orang anak kepada salah seorang dari kamu, lalu si ibu itu menyerahkan hal itu kepada Allah melainkan wanita itu akan masuk syurga. Seorang wanita daripada mereka bertanya: ‘Bagaimana jika dua orang ya Rasulullah?’ Baginda menjawab: ‘Atau jika dua orang (si ibu tetap mendapat kelebihan itu)’.”
(HR. Muslim,no.2632)

:: Hadis 2 ::
dari Anas bin Malik,Nabi ﷺ bersabda,
“Tidak seorang muslim pun yang mati tiga orang anaknya yang belum baligh kecuali Allah memasukkannya ke dalam syurga kerana limpah rahmat-Nya kepada mereka”.
(HR. Bukhari,no.1381. an-Nasaie,no.1850)

:: Hadis 3 ::
dari Abu Hassan,dia berkata,
“Aku bertanya kepada Abu Hurairah tentang keadaan dua anakku kecilku yang telah meniggal dunia: ‘Boleh tidak engkau menyampaikan kepadaku satu hadis daripada Rasulullah ﷺ yang boleh memujuk jiwa-jiwa kami kerana kematian ini?’ Jawab Abu Hurairah: ‘Boleh, anak-anak mereka ialah Da‘amis̄ Syurga. Salah seorang daripada mereka menemui ayah mereka, atau ibu bapa, lalu menarik bajunya, atau menarik tangannya, seperti aku menarik hujung jahitan bajumu ini. Anak itu tidak akan melepaskannya sehingga Allah memasukkannya dan ibu bapanya ke syurga’.”
(HR. Muslim,no.2635)

NOTA:
Tentang makna “Da‘amis̄”, imam an-Nawawi berkata: “Da’amis̄ itu bererti ahli syurga yang kecil, asalnya ialah du’mūs yang bermaksud haiwan-haiwan kecil yang berada di dalam air, mereka tidak berpisah dengannya. Ertinya, anak-anak kecil di dalam syurga tidak berpisah darinya” (rujuk: Syarh Sahih Muslim,16/182). Berkata imam Ibn al-Atsir: “Mereka itu bebas bergerak di dalam syurga, masuk ke dalam rumah-rumahnya, tiada apa yang menghalang mereka daripada suatu tempat, seperti perangai kanak-kanak ketika di dunia, tiada siapa yang boleh menghalang mereka memasuki haram (yakni kawasan peribadi satu-satu keluarga), tiada siapa yang perlu berhijab bila dengan mereka” (rujuk: al-Nihayah fi Gharib al-Hadith wa al-Atsar,2/289)

:: Hadis 4 ::
dari Abu Hurairah,dia berkata,
“Seorang wanita datang menemui Nabi ﷺ sambil membawa bayi lelakinya. Dia berkata: ‘Wahai Nabi Allah, doakan bayi lelaki ku ini. Sesungguhnya aku telah mengebumikan tiga orang anak aku’. Baginda bertanya: ‘Engkau telah mengebumikan tiga orang anak?’ Beliau menjawab: ‘Ya’. Baginda bersabda: ‘Sesungguhnya engkau telah menghadang dengan penghadang yang kuat daripada api neraka’.”
(HR. Muslim,no.2636)

:: Hadis 5 ::
dari Mu‘awiyyah bin Qurrah,dari ayahnya,
“Bahawa seorang lelaki datang kepada Nabi ﷺ bersama dengan seorang anak lelakinya. Nabi ﷺ bertanya kepada lelaki itu: ‘Adakah engkau menyayanginya?’ Lelaki itu menjawab: ‘Ya Rasulullah, aku mencintai Allah sebagaimana aku menyayanginya’. Kemudian, selepas hari tersebut, baginda tidak melihat lagi anak lelaki itu. Baginda bertanya: ‘Apa yang sedang dilakukan oleh anak si fulan?’ Para sahabat menjawab: ‘Ya Rasulullah, dia telah meninggal dunia’. Nabi ﷺ berkata kepada ayahnya: ‘Adakah engkau suka jika engkau mendatangi pintu syurga, lalu engkau mendapati anakmu sedang menunggumu di sana?’ Seorang sahabat bertanya: ‘Adakah itu kes yang khusus atau ia umum untuk anak kami semua?’ Baginda menjawab: ‘Ia untuk kamu semua’.”
(HR. Ahmad,no.15595. hadis ini sanadnya dinilai ‘Sahih’ oleh al-Hakim [rujuk: al-Mustadrak] dan Syaikh Syu‘aib al-Arnauth [rujuk: semakan beliau kepada Musnad Ahmad])

:: Hadis 6 ::
dari Abu Musa al-Asy‘ari,Rasulullah ﷺ bersabda,
“Apabila anak seorang hamba meninggal dunia, Allah berfirman kepada malaikat-Nya: ‘Kamu telah mencabut nyawa anak hamba-Ku?’ Mereka berkata: ‘Ya’. Allah berfirman: ‘Kamu telah mencabut nyawa buah hatinya?’ Mereka menjawab: ‘Ya’. Allah berfirman: ‘Apa yang diucapkan oleh hamba-Ku ketika itu?’ Mereka berkata: ‘Ia memujimu dan mengucapkan istirja’ (innaa lilaahi wa innaa ilaihi rooji’uun)’. Allah berfirman: ‘Binakan untuk hamba-Ku ini satu rumah di syurga dan namakan ia Baitul H̱amdi (rumah pujian).”
(HR. at-Tirmidzi,no.1021. Dinilai 'Hasan Gharib' oleh imam at-Tirmidzi)

NOTA:
Hadis ini dinilai ‘Dhaif’ oleh Syaikh Musthofa al-‘Adawi dalam video beliau.

NOTA (2):
Hadis-hadis ini hanya menyebutkan tentang kematian anak kecil yang belum baligh. Sebahagian ulama’ mengatakan, hadis² ini juga termasuk bayi yang keguguran. Kata Imam an-Nawawi: “Seorang anak yang meninggal dunia akan menjadi penghalang daripada api neraka, begitu juga anak yang keguguran” (rujuk: al-Majmu’ Syarah al-Muhadzzab,5/295)

Friday, September 11, 2015

Ketinggian Nabi Adam 60 hasta?

:: Hadis 1 ::
dari Abu Hurairah,Nabi ﷺ bersabda, 
“Allah menciptakan Adam dengan ketinggian 60 hasta. Kemudian Allah berkata: ‘Pergilah (Wahai Adam) dan ucapkanlah salam ke atas mereka dalam kalangan para malaikat. Lalu dengarlah apa yang dijawab oleh mereka kepada engkau, itulah salam bagi engkau dan zuriatmu’. Maka (Adam) mengucapkan: ‘Assalamu‘alaikum’, lalu mereka (para malaikat) menjawab: ‘Assalamu‘alaika wa Rahmah’, mereka menambahkan: ‘wa rahmatullah’. Maka, setiap yang masuk ke syurga adalah dalam bentuk Adam. Manusia sentiasa berkurangan (ketinggian mereka) semenjak penciptaannya sehingga sekarang.”
(HR. Bukhari,no.3326 & 6288. Muslim,no.2841)

:: Hadis 2 ::
dari Abu Hurairah,Nabi ﷺ bersabda,
“Allah menciptakan Adam sebagaimana bentuknya, tingginya 60 hasta. Setelah Allah menciptakannya, Dia berfirman: ‘Pergilah dan berilah salam kepada para malaikat yang sedang duduk itu. Dengarkan apa salam yang mereka ucapkan kepadamu. Sesungguhnya ia adalah salammu dan salam keturunanmu’. Kemudian dia mengucapkan: Assalamu‘alaikum (semoga kesejahteraan untukmu)’. Maka mereka menjawab: Wa‘alaikumussalam wa rahmatullah (semoga kesejahteraan dan rahmat Allah untukmu). Mereka menambahnya: Wa rahmatullah (Dan rahmat Allah). Semua orang yang masuk syurga memiliki rupa bentuk seperti Adam. Lalu ciptaan itu terus berkurangan ukurannya sehingga sekarang.”
(HR. Bukhari,no.6227)

Friday, July 31, 2015

7 Golongan yang Allah Tidak Akan Pandang di Akhirat Kelak

dari ‘Abdullah bin ‘Amr,Rasulullah ﷺ bersabda,
“Tujuh golongan yang tidak akan dipandang oleh Allah ‘azza wa jalla pada hari kiamat, Allah tidak akan membersihkan mereka dari dosa dan Allah akan berkata: ‘Masuklah kamu ke dalam neraka bersama orang-orang yang memasukinya’: 
(1) Orang yang melakukan,orang yang diperlakukan (homoseks)
(2) orang yang berkahwin dengan tangannya (melakukan onani)
(3) orang yang bersetubuh dengan binatang
(4) orang yang bersetubuh dengan wanita melalui duburnya
(5) orang yang bersetubuh dengan wanita beserta anak perempuannya
(6) orang yang berzina dengan isteri jirannya
(7) serta orang yang mengganggu jirannya sehingga dia melaknatnya.”
(HR. Ibn Busyran [rujuk: al-Amali,86/1-2])

NOTA:
Hadis ini dinilai ‘Dhaif’ oleh imam al-Mundziri,dengan katanya: “Diriwayatkan oleh Ibnu Abi Dunya, al-Kharaithi dan selainnya, lalu mengisyaratkan bahawa ianya Dhaif” (rujuk: at-Targhib,3/195). Juga dinilai Dhaif oleh Syaikh al-Albani (rujuk: Silsilah al-Ahadith ad-Dhaifah wa al-Maudhu'ah,1/490,no.319), kerana di dalam sanadnya terdapat dua perawi yang lemah iaitu ibnu Lahi‘ah dan ‘Abdur Rahman bin Ziyad al-Afriqi. Hadis ini ada diriwayatkan daripada jalan-jalan yang lain, tetapi semuanya lemah (rujuk: al-Albani,Irwa' al-Ghalil,8/58,no.2401. maktab islami,tahqiq: zuhair syawisy). Tetapi harus diingat, meskipun hadisnya Dhaif, tetapi kebanyakkan daripada dosa-dosa di atas mempunyai ancaman/azab yang tsabit daripada al-Quran dan hadis² Sahih yang lain.

Monday, June 3, 2013

Dapat Nikmat Syurga Sesuai Yang Kita Inginkan

:: Hadis 1 ::
dari Abu Hurairah,dia berkata,
“Sesungguhnya salah seorang lelaki ahli syurga meminta kepada Allah untuk bercucuk tanam. Lalu Allah berfirman kepadanya: ‘Bukankah kamu bebas melakukan apa sahaja yang kamu hendaki?’ Dia berkata: ‘Benar. Akan tetapi aku sangat suka bercucuk tanam’. Nabi ﷺ bersabda: Kemudian lelaki itu pun menyemai benih lalu tumbuh dengan subur dan apabila menuai, hasilnya seperti sebuah gunung. Lalu Allah berfirman: ‘Ambillah, wahai anak Adam. Sesungguhnya tidak ada yang memuaskan hati kamu (kenyang)’. Lelaki Badwi itu pun berkata: ‘Demi Allah, tidak akan ditemui seperti itu melainkan kaum Quraisy atau Ans̄ar. Ini disebabkan mereka golongan petani, sedangkan kami bukan golongan petani’. Lalu Nabi ﷺ tertawa.”
(HR. Bukhari,no.2348)

:: Hadis 2 ::
dari Abu Hurairah,dia berkata,
“Bahawa orang ramai bertanya: ‘Ya Rasulullah, adakah kami akan melihat tuhan kami pada hari kiamat?’ Rasulullah ﷺ menjawab: ‘Adakah kamu terhalang daripada melihat bulan purnama ketika ia penuh?’ Sahabat menjawab: ‘Tidak ya Rasulullah’. Baginda bertanya lagi: ‘Adakah kamu terhalang daripada melihat matahari ketika tiadanya kabus?’ Mereka menjawab: ‘Tidak ya Rasulullah’. Baginda berkata: ‘Kamu akan melihat Allah seperti itu. Allah akan mengumpulkan manusia pada hari Kiamat lalu berkata: ‘Sesiapa yang menyembah sesuatu, hendaklah dia mengikut apa yang dia sembah. Maka sesiapa yang menyembah matahari akan mengikut matahari, sesiapa yang menyembah bulan akan mengikut bulan, sesiapa yang menyembah thaghut-thaghut akan mengikut thaghut-thaghut. Tinggallah pada umat ini orang-orang yang baik’. Allah datang kepada mereka dan berkata: ‘Aku adalah tuhan kamu. Mereka (iaitu orang beriman mengingkari lalu) berkata: ‘Kami akan tetap di tempat ini sehingga datang kepada kami tuhan kami. Apabila datangnya tuhan kami, kami akan mengenalinya’. Lalu Allah datang kepada mereka dalam rupa yang mereka ketahui lalu berkata: ‘Aku adalah tuhan kamu’. Mereka menjawab: ‘Engkau adalah tuhan kami’. Lalu mereka mengikutnya. Dibentangkan al-S̄irath melintasi neraka. Aku dan umat ku akan menjadi yang awal melintasinya. Tiada sesiapa yang bercakap pada hari itu kecuali para rasul, dan doa para rasul pada hari itu ialah: ‘Ya Allah, selamatkan, selamatkan’. Di neraka terdapat cangkuk-cangkuk seperti duri al-Sa’dan. Adakah kamu pernah melihat pokok al-Sa’dan?’ Sahabat menjawab: ‘Pernah wahai Rasulullah’. Baginda berkata: ‘Sesungguhnya cangkuk ini seperti duri pokok Al-Sa’dan, tiada siapa yang tahu besarnya saiz dia kecuali Allah. Cangkuk-cangkuk itu akan menarik manusia berdasarkan amalan mereka. Ada yang terjatuh ke dalam neraka dan kekal di dalamnya, sebahagian lagi dipotong dan dicampak ke dalam neraka, dan selainnya. Sehingga apabila Allah selesai memutuskan qadha untuk hamba-hambaNya, dan Dia mahu mengeluarkan dengan rahmat-Nya sesiapa yang Dia kehendaki. Lalu Allah menyuruh malaikat mengeluarkan dari neraka sesiapa yang tidak menyekutukan Allah dengan sesuatu pun, dan sesiapa yang Allah kehendaki dengan rahmat-Nya daripada mereka yang bersaksi tiada tuhan yang berhak disembah selain Allah. Malaikat mengenali mereka di neraka dengan tanda sujud mereka. Api neraka akan membakar manusia kecuali pada bahagian sujud mereka. Allah mengharamkan ke atas neraka daripada membakar kesan sujud. Mereka keluar dari neraka dalam keadaan sudah terbakar. Disiram ke atas mereka air kehidupan, lalu mereka tumbuh di bawahnya sebagaimana tumbuhnya biji benih pada aliran sungai. Kemudian Allah selesai memutuskan nasib hamba-hambaNya. Lalu tinggal seorang lelaki yang wajahnya menghadap neraka, dan dia adalah penghuni neraka terakhir akan masuk ke syurga. Dia berkata: ‘Wahai tuhan ku, palingkanlah wajah ku dari neraka. Sesungguhnya udaranya menggangguku dan kepanasannya membakarku’. Dia meminta kepada Allah apa yang dia kehendaki. Kemudian Allah berkata: ‘Boleh jadi engkau akan meminta hal lain jika aku memberikan apa yang kau minta’. Lelaki itu berkata: ‘Tidak, demi kemuliaan-Mu, aku tidak akan meminta apa-apa selain itu’. Kemudian dia akan memberikan kepada tuhannya janji sebagaimana yang Allah kehendaki. Lalu Allah memalingkan wajahnya dari api neraka. Apabila dia menghadap ke arah syurga, dia melihatnya, lalu dia mendiamkan diri selama mana yang Allah kehendaki. Kemudian dia berkata: ‘Wahai tuhan ku, hampirkanlah aku ke pintu syurga’. Allah berkata: ‘Bukankah engkau telah berjanji untuk tidak meminta hal lain daripada Aku selamanya selain daripada apa yang telah aku berikan kepada engkau? Sungguh engkau memungkiri janji wahai anak Adam’. Dia berkata: ‘Wahai tuhan ku’, dia terus berdoa kepada Allah sehingga Allah berkata: ‘Boleh jadi engkau akan meminta hal lain jika aku memberikan apa yang kau minta’. Lelaki itu berkata: ‘Tidak, demi kemuliaan-Mu, aku tidak akan meminta apa-apa selain itu’. Lalu dia berjanji kepada tuhannya, lalu dia digerakkan ke pintu syurga. Apabila dia berdiri di pintu syurga, terbuka untuknya syurga dan dia melihat kesenangan yang ada di dalamnya. Lalu dia mendiamkan diri selama yang Allah kehendaki, kemudian dia berkata: ‘Wahai tuhan ku, masukkanlah aku ke dalam syurga’. Allah berkata: ‘Bukankah engkau telah berjanji untuk tidak meminta hal lain daripada Aku selamanya selain daripada apa yang telah aku berikan kepada engkau? Sungguh engkau memungkiri janji wahai anak Adam’. Lelaki itu berkata: ‘Wahai tuhan ku, janganlah aku menjadi makhluk yang paling sengsara’. Dia terus berdoa sehingga Allah ketawa kepadanya. Selepas mentertawakannya, Allah berkata kepadanya: ‘Masuklah ke syurga’. Apabila dia telah masuk ke syurga, Allah berkata kepadanya: ‘Berharaplah untuk apa-apa sahaja’. Lalu lelaki itu memohon kepada Allah dan berharap untuk apa-apa yang dia mahu sehingga Allah mengingatkannya untuk mengharap perkara tertentu sehingga selesailah semua permintaannya. Allah berkata: ‘Itu semua untuk engkau dan yang semisalnya bersamanya’.”
(HR. Bukhari,no.7437)

Thursday, April 4, 2013

Kisah Orang Yang Terakhir Masuk Syurga

:: Hadis 1 ::
Dari 'Abdullah bin Mas'ud,Rasulullah ﷺ bersabda,
“Sesungguhnya aku tahu tentang orang yang terakhir akan keluar dari neraka, dan orang yang terakhir memasuki syurga. Dia adalah seorang lelaki yang akan keluar dari neraka dalam keadaan merangkak. Lalu Allah berkata: ‘Pergilah, dan masuklah ke dalam syurga’. Lalu lelaki itu pergi ke syurga tetapi dia membayangkan bahawa syurga telah penuh. Lelaki itu pun kembali kepada Allah lalu berkata: ‘Wahai Tuhan, aku mendapati syurga telah penuh’. Allah berkata lagi: ‘Pergilah, dan masuklah ke dalam syurga’. Lalu lelaki itu pergi ke syurga tetapi dia membayangkan bahawa syurga telah penuh. Lelaki itu pun kembali kepada Allah lalu berkata: ‘Wahai Tuhan, aku mendapati syurga telah penuh’. Lalu Allah berkata: ‘Pergilah, dan masuklah ke dalam syurga. Sesungguhnya untuk engkau seperti dunia dan sepuluh kali gandanya’. Lelaki itu berkata: ‘Adakah Engkau mempermainkan aku, atau mentertawakan aku, sedangkan Engkau Raja?’.” Kata 'Abdullah bin Mas'ud: “Aku melihat Rasulullah ﷺ ketawa sehingga nampak gigi geraham baginda. Kemudian baginda bersabda: ‘Itulah penghuni surga yang paling rendah derajatnya’.”
(HR. Bukhari,no.6571. Muslim,no.186)

:: Hadis 2 ::
Dari 'Abdullah bin Mas'ud,Rasulullah ﷺ bersabda,
“Orang terakhir memasuki syurga ialah seorang lelaki yang berjalan, tersungkur dan dibakar oleh api neraka. Apabila dia telah melepasi api itu, dia akan berpaling dan berkata: ‘Maha suci keagungan Tuhan yang telah menyelamatkan aku daripada engkau, sesungguhnya Allah telah memberikan kepada aku sesuatu yang tidak pernah dia berikan kepada seorang pun daripada orang-orang yang awal dan terkemudian’. Lalu tumbuh satu pokok untuknya, seraya lelaki itu berkata: ‘Wahai Tuhan ku, dekatkanlah aku dengan pokok ini supaya aku dapat berteduh di bawahnya dan minum airnya’. Allah menjawab: ‘Wahai anak Adam, boleh jadi jika Aku memberikannya kepada engkau, engkau akan meminta yang lain pula’. Lelaki itu menjawab: ‘Tidak, wahai tuhan ku’. Dia berjanji tidak akan meminta selain itu, dan tuhannya memberikan keuzuran kerana lelaki itu melihat apa yang dia tidak mampu bersabar daripadanya. Lalu didekatkan dia kepada pokok itu, lalu dia berteduh dan minum airnya. Kemudian tumbuh satu pokok untuk lelaki itu dan pokok itu lebih baik daripada yang awal tadi. Lelaki itu berkata: ‘Wahai tuhan ku, dekatkan aku dengan pokok ini supaya aku dapat minum airnya dan berteduh di bawahnya. Aku tidak akan meminta yang lain lagi daripada engkau’. Allah berkata: ‘Wahai anak Adam, bukankah engkau telah berjanji kepada Aku untuk tidak meminta apa-apa yang lain. Boleh jadi jika aku dekatkan engkau kepada pokok ini, engkau akan meminta yang lain lagi’. Lelaki itu berjanji untuk tidak meminta yang lain lagi, dan tuhannya memberikan keuzuran kepadanya kerana lelaki itu melihat apa yang dia tidak mampu bersabar daripadanya. Didekatkannya kepada pokok itu, lalu lelaki itu berteduh di bawahnya dan meminum airnya. Kemudian tumbuh untuknya sebatang pokok di pintu syurga, pokok ini lebih baik daripada dua pokok yang awal tadi. Lelaki itu berkata: ‘Tuhan ku, dekatkan aku kepada pokok ini agar aku dapat berteduh di bawahnya dan meminum airnya. Aku tidak akan meminta selain itu’. Allah menjawab: ‘Wahai anak Adam, bukankah engkau telah berjanji untuk tidak meminta hal lain daripada aku?’ Lelaki itu menjawab: ‘Ya, wahai tuhan ku. Ini sahaja dan aku tidak akan meminta hal lain lagi’. Tuhannya memberikan keuzuran kepadanya kerana dia melihat sesuatu yang dia tidak dapat bersabar daripadanya. Lalu dia dibawa dekat kepada pokok itu. Apabila dia sudah menghampiri pokok itu, dia mendengar suara-suara ahli syurga, lalu dia berkata: ‘Wahai Tuhanku, masukkan aku ke dalamnya’. Tuhannya berkata: ‘Wahai anak Adam, apa yang akan menghentikan engkau daripada meminta kepada ku? Adakah itu akan membuatkan engkau redha jika Aku memberi kepada engkau dunia dan semisal dengannya bersamanya?’ Lelaki itu menjawab: ‘Tuhan ku, adakah engkau mempermainkan aku sedangkan Engkau tuhan sekalian alam?’ Kemudian Ibn Mas‘ud ketawa, lalu berkata (kepada para sahabat yang lain): “Tidak mahukah kamu bertanya kenapa aku ketawa?” Mereka bertanya: “Kenapa engkau ketawa?” Ibn Mas’ud menjawab: “Beginilah ketawa Rasulullah ﷺ. Para sahabat bertanya: ‘Kenapa engkau ketawa ya Rasulullah?’ Baginda menjawab: ‘Kerana ketawanya Allah ketika lelaki itu berkata: ‘Adakah engkau mempermainkan aku sedangkan Engkau tuhan sekalian alam?’ Allah menjawab: ‘Aku tidak mempermainkan engkau. Sebaliknya aku ini mampu melakukan apa yang aku mahu’.”
(HR. Muslim,no.187)

:: Hadis 3 ::
dari Abu Hurairah,dia berkata,
“Bahawa orang ramai bertanya: ‘Ya Rasulullah, adakah kami akan melihat tuhan kami pada hari kiamat?’ Rasulullah ﷺ menjawab: ‘Adakah kamu terhalang daripada melihat bulan purnama ketika ia penuh?’ Sahabat menjawab: ‘Tidak ya Rasulullah’. Baginda bertanya lagi: ‘Adakah kamu terhalang daripada melihat matahari ketika tiadanya kabus?’ Mereka menjawab: ‘Tidak ya Rasulullah’. Baginda berkata: ‘Kamu akan melihat Allah seperti itu. Allah akan mengumpulkan manusia pada hari Kiamat lalu berkata: ‘Sesiapa yang menyembah sesuatu, hendaklah dia mengikut apa yang dia sembah. Maka sesiapa yang menyembah matahari akan mengikut matahari, sesiapa yang menyembah bulan akan mengikut bulan, sesiapa yang menyembah thaghut-thaghut akan mengikut thaghut-thaghut. Tinggallah pada umat ini orang-orang yang baik’. Allah datang kepada mereka dan berkata: ‘Aku adalah tuhan kamu. Mereka (iaitu orang beriman mengingkari lalu) berkata: ‘Kami akan tetap di tempat ini sehingga datang kepada kami tuhan kami. Apabila datangnya tuhan kami, kami akan mengenalinya’. Lalu Allah datang kepada mereka dalam rupa yang mereka ketahui lalu berkata: ‘Aku adalah tuhan kamu’. Mereka menjawab: ‘Engkau adalah tuhan kami’. Lalu mereka mengikutnya. Dibentangkan al-Sirath melintasi neraka. Aku dan umat ku akan menjadi yang awal melintasinya. Tiada sesiapa yang bercakap pada hari itu kecuali para rasul, dan doa para rasul pada hari itu ialah: ‘Ya Allah, selamatkan, selamatkan’. Di neraka terdapat cangkuk-cangkuk seperti duri al-Sa’dan. Adakah kamu pernah melihat pokok al-Sa’dan?’ Sahabat menjawab: ‘Pernah wahai Rasulullah’. Baginda berkata: ‘Sesungguhnya cangkuk ini seperti duri pokok al-Sa’dan, tiada siapa yang tahu besarnya saiz dia kecuali Allah. Cangkuk-cangkuk itu akan menarik manusia berdasarkan amalan mereka.  Ada yang terjatuh ke dalam neraka dan kekal di dalamnya, sebahagian lagi dipotong dan dicampak ke dalam neraka, dan selainnya. Sehingga apabila Allah selesai memutuskan qadha untuk hamba-hambaNya, dan Dia mahu mengeluarkan dengan rahmat-Nya sesiapa yang Dia kehendaki. Lalu Allah menyuruh malaikat mengeluarkan dari neraka sesiapa yang tidak menyekutukan Allah dengan sesuatu pun, dan sesiapa yang Allah kehendaki dengan rahmat-Nya daripada mereka yang bersaksi tiada tuhan yang berhak disembah selain Allah. Malaikat mengenali mereka di neraka dengan tanda sujud mereka. Api neraka akan membakar manusia kecuali pada bahagian sujud mereka. Allah mengharamkan ke atas neraka daripada membakar kesan sujud. Mereka keluar dari neraka dalam keadaan sudah terbakar. Disiram ke atas mereka air kehidupan, lalu mereka tumbuh di bawahnya sebagaimana tumbuhnya biji benih pada aliran sungai. Kemudian Allah selesai memutuskan nasib hamba-hamba-Nya. Lalu tinggal seorang lelaki yang wajahnya menghadap neraka, dan dia adalah penghuni neraka terakhir akan masuk ke syurga. Dia berkata: ‘Wahai tuhan ku, palingkanlah wajah ku dari neraka. Sesungguhnya udaranya menggangguku dan kepanasannya membakarku’. Dia meminta kepada Allah apa yang dia kehendaki. Kemudian Allah berkata: ‘Boleh jadi engkau akan meminta hal lain jika aku memberikan apa yang kau minta’. Lelaki itu berkata: ‘Tidak, demi kemuliaan-Mu, aku tidak akan meminta apa-apa selain itu’. Kemudian dia akan memberikan kepada tuhannya janji sebagaimana yang Allah kehendaki. Lalu Allah memalingkan wajahnya dari api neraka. Apabila dia menghadap ke arah syurga, dia melihatnya, lalu dia mendiamkan diri selama mana yang Allah kehendaki. Kemudian dia berkata: ‘Wahai tuhan ku, hampirkanlah aku ke pintu syurga’. Allah berkata: ‘Bukankah engkau telah berjanji untuk tidak meminta hal lain daripada Aku selamanya selain daripada apa yang telah aku berikan kepada engkau? Sungguh engkau memungkiri janji wahai anak Adam’. Dia berkata: ‘Wahai tuhan ku’, dia terus berdoa kepada Allah sehingga Allah berkata: ‘Boleh jadi engkau akan meminta hal lain jika aku memberikan apa yang kau minta’. Lelaki itu berkata: ‘Tidak, demi kemuliaan-Mu, aku tidak akan meminta apa-apa selain itu’. Lalu dia berjanji kepada tuhannya, lalu dia digerakkan ke pintu syurga. Apabila dia berdiri di pintu syurga, terbuka untuknya syurga dan dia melihat kesenangan yang ada di dalamnya. Lalu dia mendiamkan diri selama yang Allah kehendaki, kemudian dia berkata: ‘Wahai tuhan ku, masukkanlah aku ke dalam syurga’. Allah berkata: ‘Bukankah engkau telah berjanji untuk tidak meminta hal lain daripada Aku selamanya selain daripada apa yang telah aku berikan kepada engkau? Sungguh engkau memungkiri janji wahai anak Adam’. Lelaki itu berkata: ‘Wahai tuhan ku, janganlah aku menjadi makhluk yang paling sengsara’. Dia terus berdoa sehingga Allah ketawa kepadanya. Selepas mentertawakannya, Allah berkata kepadanya: ‘Masuklah ke syurga’. Apabila dia telah masuk ke syurga, Allah berkata kepadanya: ‘Berharaplah untuk apa-apa sahaja’. Lalu lelaki itu memohon kepada Allah dan berharap untuk apa-apa yang dia mahu sehingga Allah mengingatkannya untuk mengharap perkara tertentu sehingga selesailah semua permintaannya. Allah berkata: ‘Itu semua untuk engkau dan yang semisalnya bersamanya’.”
(HR. Bukhari,no.7437)

:: Hadis 4 ::
dari al-Mughirah bin Syu’bah,Nabi ﷺ bersabda,
“Musa bertanya kepada tuhannya: ‘Siapakah orang yang paling rendah kedudukannya di syurga nanti?’ Allah menjawab: ‘Dia adalah orang yang paling akhir masuk syurga selepas semua penghuni lain memasukinya, lalu dikatakan kepadanya: ‘Masuklah ke dalam syurga!’ Orang itu menjawab: ‘Wahai Tuhanku, bagaimana mungkin, sedangkan setiap orang telah menempati kedudukan mereka dan telah mengambil apa yang menjadi bahagian mereka?’ Lalu ditanya kembali kepadanya: ‘Apakah engkau tidak redha (suka) jika kau mendapat bahagian kerajaan seperti seorang raja di antara raja-raja dunia?’ Orang itu menjawab: ‘Aku redha wahai Tuhan’. Lalu Allah berkata kepadanya: ‘Kau akan dapat seperti itu, digandakan, digandakan, digandakan. Pada kali kelima, orang itu berkata: ‘Aku redha wahai Tuhan’. Allah berkata: ‘Ini kurniaan untukmu, dan kamu akan mendapatkan 10 kali ganda, dan segala yang kau inginkan dan suka pada pandanganmu’. Orang itu berkata: ‘Aku redha wahai Tuhan’...”
(HR. Muslim,no.189)

Siksaan Neraka Yang Paling Ringan

:: Hadis 1 ::
dari Nu’man bin Basyir,Nabi ﷺ bersabda,
“Penghuni neraka yang paling ringan siksaannya pada hari kiamat adalah seseorang yang tapak kakinya dialaskan sandal, sehingga otaknya mendidih, seperti mendidihnya cerek dan periuk.”
(HR. Bukhari,no.6562. Muslim,no.213)

NOTA:
Pada jalur kedua dalam riwayat Muslim (no.213) menyebut tambahan:

:: Hadis 2 ::
“..Orang tersebut merasa bahawa tidak ada orang lain yang siksaannya lebih pedih daripadanya, padahal siksaannya adalah yang paling ringan di antara mereka.”
(HR. Muslim,no.213)

NOTA:
Salah seorang manusia yang menerima azab paling ringan ini adalah bapa saudara Rasulullah ﷺ, iaitu Abu Thalib:

:: Hadis 3 ::
dari Ibnu 'Abbas,Rasulullah ﷺ bersabda,
“Penghuni neraka yang paling ringan siksaannya adalah Abu Thalib. Dia memakai dua sandal (dari api) hingga mendidih otaknya (kerana panasnya kedua sandal itu).”
(HR. Muslim,no.213. Hadis pada riwayat yg lain)