dari Abu Sa'id al-Khudri,dia berkata,
“‘Ali bin Abi Thalib mengirim kepada Rasulullah ﷺ dari Yaman seketul emas mentah yang masih berada dalam kulit (bekas kulit yang disamak dengan daun qaraz) dan belum dibersihkan sepenuhnya daripada tanahnya. Lalu baginda membahagikannya kepada empat orang: ‘Uyainah bin Badr, Aqra’ bin Habis, Zaid al-Khail, dan yang keempat sama ada Alqamah atau ‘Amir bin al-Thufail. Maka seorang daripada para sahabat berkata: ‘Sebenarnya kami lebih berhak mendapat bahagian ini daripada mereka’. Perkara itu sampai kepada Nabi ﷺ, lalu Baginda bersabda: ‘Tidakkah kamu mempercayaiku, sedangkan aku adalah orang yang dipercayai oleh Yang di langit? Berita dari langit datang kepadaku pagi dan petang’. Kemudian bangun seorang lelaki yang matanya cengkung, tulang pipinya menonjol, dahinya menonjol, berjanggut lebat, berkepala botak, dan kainnya tersingkap hingga ke atas buku lali. Dia berkata: ‘Wahai Rasulullah, bertakwalah kepada Allah!’ Baginda bersabda: ‘Celaka engkau! Bukankah aku orang yang paling berhak di bumi ini untuk bertakwa kepada Allah?’ Kemudian lelaki itu berpaling pergi. Lalu Khalid bin al-Walid berkata: ‘Wahai Rasulullah, mahukah aku penggal lehernya?’ Baginda bersabda: ‘Tidak. Barangkali dia menunaikan solat’. Khalid berkata: ‘Berapa ramai orang yang solat, tetapi mengucapkan dengan lidahnya apa yang tidak ada dalam hatinya’. Rasulullah ﷺ bersabda: ‘Sesungguhnya aku tidak diperintahkan untuk memeriksa hati manusia dan tidak pula membelah perut mereka’. Kemudian Baginda memandang lelaki itu ketika dia sedang berlalu pergi lalu bersabda: ‘Sesungguhnya akan muncul daripada keturunan (atau golongan) lelaki ini suatu kaum yang membaca Kitab Allah dengan lancar, tetapi bacaan itu tidak melepasi kerongkong mereka. Mereka terkeluar daripada agama sebagaimana anak panah terlepas menembusi sasarannya’.” (Perawi berkata: “Aku rasa baginda juga bersabda): ‘Jika aku sempat menemui mereka, nescaya aku akan membunuh mereka sebagaimana dibinasakannya kaum Tsamud’.”
(HR. Bukhari,no.4351)
Monday, June 15, 2026
Rasulullah: Orang Kepercayaan Yang Di Langit
Tuesday, June 9, 2026
Sifat Tamak Manusia
dari Anas bin Malik,Rasulullah ﷺ bersabda,
“Dan jika seseorang anak Adam (manusia) itu diberikan satu lembah yang dipenuhi dengan emas, nescaya dia mahu memiliki dua lembah yang lain lagi; dan tidak akan dapat memuaskannya melainkan mulutnya dipenuhi dengan tanah (ditimbus setelah mati). Namun, Allah menerima taubat sesiapa yang bertaubat kepada-Nya.”
(HR. Bukhari,no.6439. Muslim,no.1048b)
Monday, June 1, 2026
Solat Sunat Rawatib: Kelebihan, Jenis Dan Waktu
FADHILAT (KELEBIHAN) DAN GALAKAN SOLAT SUNAT RAWATIB:
:: Hadis 1 ::
dari Ummu Habibah (isteri Nabi ﷺ),dia berkata,
“Aku mendengar Rasulullah ﷺ bersabda: ‘Tidaklah seorang hamba Muslim mengerjakan solat kerana Allah dalam satu hari 12 rakaat sebagai tathawwu’ dan bukan fardhu, melainkan Allah akan membangunkan untuknya sebuah rumah di syurga’. Maka aku tidak pernah meninggalkannya sejak aku mendengarnya daripada Rasulullah ﷺ.”
(HR. Muslim,no.728a)
:: Hadis 2 ::
dari Ummu Habibah,Rasulullah ﷺ bersabda,
“Barangsiapa yang mengerjakan solat (sunat) sebanyak 12 rakaat dalam sehari semalam, kelak akan dibangunkan untuknya sebuah rumah di syurga. 12 rakaat itu adalah 4 rakaat sebelum solat Zuhur, 2 rakaat setelah solat Zuhur, 2 rakaat setelah solat Maghrib, 2 rakaat setelah solat ‘Isyak dan 2 rakaat sebelum solat Subuh.”
(HR. at-Tirmidzi,no.415. Dinilai hasan sahih oleh imam at-Tirmidzi)
:: Hadis 3 ::
dari ‘Abdullah bin ‘Umar,dia berkata,
“Aku telah menghafal (menjaga) dari Nabi ﷺ tentang 10 rakaat (iaitu solat sunat), iaitu 2 rakaat sebelum solat Zuhur dan 2 rakaat sesudahnya, 2 rakaat setelah solat Maghrib di rumahnya, 2 rakaat setelah solat ‘Isyak di rumahnya dan 2 rakaat sebelum solat Subuh.”
(HR. Bukhari,no.1180)
NOTA:
Solat sunat Rawatib terbahagi kepada dua, pertama yang Mu‘akkad (ditekankan), kedua yang Ghairu Mu‘akkad (tidak ditekankan).
● SOLAT RAWATIB YANG MU‘AKKAD ●
• Dua rakaat sebelum Subuh
• Dua atau empat rakaat sebelum Zuhur
• Dua rakaat selepas Zuhur
• Dua rakaat selepas Maghrib
• Dua rakaat selepas ‘Isyak
2 RAKAAT QABLIYYAH (SEBELUM) SUBUH:
:: Hadis 4 ::
dari ‘Aisyah,Nabi ﷺ bersabda,
“2 rakaat sunat fajar (Subuh) itu lebih baik daripada dunia dan segala apa di dalamnya.”
(HR. Muslim,no.725)
:: Hadis 5 ::
dari ‘Aisyah,dia berkata,
“Nabi ﷺ solat ‘Isyak kemudian baginda solat 8 rakaat, 2 rakaat dengan duduk, serta 2 rakaat di antara 2 azan (azan dan iqamat). Baginda tidak pernah meninggalkan 2 rakaat (sunat Fajar) tersebut.”
(HR. Bukhari,no.1159)
2 ATAU 4 RAKAAT QABLIYYAH (SEBELUM) & 2 RAKAAT BA’DIYYAH (SELEPAS) ZUHUR:
:: Hadis 6 ::
dari Ibn ‘Umar,dia berkata,
“Aku solat bersama Rasulullah ﷺ dua rakaat sebelum Zuhur, dua rakaat selepasnya, dua rakaat selepas Maghrib, dua rakaat selepas ‘Isyak, dan dua rakaat selepas Jumaat. Adapun solat Maghrib, ‘Isyak dan Jumaat itu, aku solat bersama Nabi ﷺ di rumah baginda.”
(HR. Muslim,no.729)
:: Hadis 7 ::
dari ‘Aisyah,dia berkata,
“Nabi ﷺ tidak pernah meninggalkan 4 rakaat sebelum Zuhur dan 2 rakaat sebelum Subuh.”
(HR. Bukhari,no.1182)
2 RAKAAT BA’DIYYAH (SELEPAS) MAGHRIB & ‘ISYAK:
:: Hadis 8 ::
dari ‘Abdullah bin ‘Umar,dia berkata,
“Aku telah menghafal (menjaga) dari Nabi ﷺ tentang 10 rakaat (iaitu solat sunat), iaitu 2 rakaat sebelum solat Zuhur dan 2 rakaat sesudahnya, 2 rakaat setelah solat Maghrib di rumahnya, 2 rakaat setelah solat ‘Isyak di rumahnya dan 2 rakaat sebelum solat Subuh.”
(HR. Bukhari,no.1180)
:: Hadis 9 ::
dari Ibn ‘Umar,dia berkata,
“Aku solat bersama Rasulullah ﷺ dua rakaat sebelum Zuhur, dua rakaat selepasnya, dua rakaat selepas Maghrib, dua rakaat selepas ‘Isyak, dan dua rakaat selepas Jumaat. Adapun solat Maghrib, ‘Isyak dan Jumaat itu, aku solat bersama Nabi ﷺ di rumah baginda.”
(HR. Muslim,no.729)
● SOLAT RAWATIB YANG GHAIRU MU‘AKKAD ●
• Dua rakaat sebelum Maghrib
• Dua rakaat sebelum ‘Asar
• Dua rakaat sebelum ‘Isyak
2 RAKAAT QABLIYYAH (SEBELUM) MAGHRIB:
:: Hadis 10 ::
dari Anas bin Malik,dia berkata,
“Biasanya apabila muadzdzin (juru azan) mengumandangkan azan, maka para sahabat Nabi ﷺ berdiri dan segera menghampiri tiang-tiang (untuk dijadikan sutrah) sampai Nabi ﷺ keluar sedang mereka dalam keadaan demikian. Mereka solat 2 rakaat sebelum (qabliyah) Maghrib. Tiada (yakni jarak waktu yang singkat) sesuatu di antara azan dan iqamah.”
(HR. Bukhari,no.625)
2 RAKAAT (ATAU LEBIH) QABLIYYAH ‘ASAR DAN ‘ISYAK:
:: Hadis 11 ::
dari ‘Abdullah bin Mughaffal,Rasulullah ﷺ bersabda,
“Di antara setiap dua azan (iaitu azan dan iqamah), ada solat (sunat) – Baginda mengulanginya hingga 3 kali- bagi yang menghendakinya.”
(HR. Bukhari,no.624 & 627. Muslim,no.838)
:: Hadis 12 ::
dari Ibnu ‘Umar,Nabi ﷺ bersabda,
“Allah mengasihi orang yang mengerjakan solat 4 rakaat sebelum ‘Asar.”
(HR. Ahmad,no.5980. Abu Daud,no.1271. at-Tirmidzi,no.430. Dinilai gharib hasan oleh imam at-Tirmidzi)
NOTA:
Hadis ini diperselisihi kesahihannya di kalangan para ulama’ Hadis. Imam Abu Daud diam setelah meriwayatkan hadis ini, menunjukkan bahawa hadis ini Soleh di sisi beliau. Imam at-Tirmidzi berkata: “Gharib Hasan” setelah meriwayatkan hadis ini. Imam Ibnu Hibban memasukkan hadis ini di dalam kitab Sahih-nya, menunjukkan hadis ini sahih disisi beliau (rujuk: Sahih Ibnu Hibban,no.2453). Hadis ini juga dinilai sahih oleh Imam al-Mundziri (rujuk: Targhib wa at-Tarhib,1/275), Syaikh Ahmad Syakir (rujuk: Takhrij al-Musnad,8/183), Syaikh Ibn Bazz, dengan katanya: “Isnadnya jayyid (baik), tidak mengapa padanya” (rujuk: al-Fawaid al-‘Ilmiyyah min ad-Durus al-Baaziyah,5/62). Hadis ini dinilai Hasan oleh Syaikh al-Albani (rujuk: Sahih Abi Daud,no.1271. Sahih at-Tirmidzi,no.430), Syaikh al-Wadi‘i (rujuk: al-Sahih al-Musnad,no.714), Syaikh Syu‘aib al-Arnauth (rujuk: Takhrij Musnad Ahmad,no.5980. Takhrij Sahih Ibnu Hibban,no.2453. Takhrij Sunan Abi Daud,no.1271). Namun hadis ini dinilai Dhaif oleh Imam Ibnu Qaththan, kerana di dalam sanadnya terdapat perawi yang bernama Muhammad bin Mihran, yang mana beliau menukilkan perkataan ‘Amr bin ‘Ali bahawa dia berkata: “Abu Daud at-Thayalisi meriwayatkan daripadanya beberapa hadis yang Munkar. Dan hadis ini termasuk dalam riwayat Abu Daud at-Thayalisi daripadanya” (rujuk: al-Wahm al-Ilham,5/702) dan di dalam kitab beliau yang lain beliau menyebutkan: “Di dalam (sanad)nya terdapat Muhammad bin Mahyan, dan dia dinilai lemah oleh Abu Zur‘ah” (rujuk: Faid al-Qadhir,4/24), Imam Ibnu ‘Abdul Hadi juga menilai hadis ini Dhaif dengan katanya: “Dinilai lemah oleh Abu Zur‘ah para perawinya” (rujuk: al-Muharrar fil-Hadis,135). Hadis ini juga dinilai Dhaif oleh Syaikh Musthofa al-‘Adawi (rujuk: video), namun kata beliau, sekalipun sanad hadis ini Dhaif, namun ia boleh diamalkan berdasarkan hadis umum yang lain (rujuk Hadis 11).
Wallahua‘lam.
Friday, May 29, 2026
Lelaki Memakai Minyak Wangi Wanita
dari Sa‘ad bin Malik,Rasulullah ﷺ bersabda,
“Mandi pada hari Jumaat adalah wajib atas setiap orang yang telah baligh, bersiwak (membersihkan gigi), dan memakai sedikit wangian sekadar yang termampu, walaupun daripada wangian wanita (isterinya).”
(HR. Muslim,no.846b)
NOTA:
Hadis ini dijadikan dalil oleh beberapa ulama’ bahawa lelaki harus (boleh) memakai minyak wangi (perfume) wanita, salah satunya Syaikh Sulaiman al-‘Alwan (rujuk: video).
Saturday, March 14, 2026
Mengapa Allah Menguji Kita?
Wednesday, March 11, 2026
Larangan Lelaki Menyerupai Wanita Dan Wanita Menyerupai Lelaki
Golongan Teguh Di Baitul Maqdis
Saturday, March 7, 2026
Ahli Ilmu Lebih Utama Daripada Ahli Ibadah
dari Abu Umamah al-Bahili,Rasulullah ﷺ bersabda,
“Keutamaan seorang ‘alim (ahli ilmu) atas seorang ‘abid (ahli ibadah) bagaikan keutamaanku atas seorang yang paling rendah diantara kalian (para Sahabat). Sesungguhnya penghuni langit dan bumi, bahkan semut yang di dalam lubangnya dan bahkan ikan, semuanya berselawat kepada orang yang mengajarkan kebaikan kepada orang lain.”
(HR. at-Tirmidzi,no.2685. Hadis ini dinilai hasan sahih gharib oleh imam at-Tirmidzi)
Thursday, March 5, 2026
Cara Menggenggam Jari Ketika Tasyahud (Tahiyat)
● IBU JARI DAN JARI TENGAH MEMBENTUK LINGKARAN HURUF ‘O’ ●
Dari Wail bin Hujr,dia berkata,
“Aku melihat Nabi ﷺ melingkarkan ibu jari dan jari tengahnya, dia mengangkat (jari telunjuk) yang dekat keduanya. Baginda berdoa dengannya pada waktu tasyahud.”
(HR. Abu Daud,no.726. an-Nasaie,no.1265. Ibnu Majah,no.912. Dan ini lafaz Ibn Majah)
NOTA:
Imam Abu Daud diam (tidak mengkritik) setelah meriwayatkan hadis ini, menunjukkan hadis ini Soleh disisi beliau. Hadis ini juga dinilai Sahih oleh Syaikh al-Albani (rujuk: Aslu Sifat Solat Nabi,3/834. Sahih Abi Daud,no.957. Sahih an-Nasaie,no.1264. Sahih Ibn Majah,no.753) dan Syaikh Syu‘aib al-Arnauth, dengan katanya: “Sanadnya Qowi (kuat)” (rujuk: Takhrij Sunan Abi Daud,no.957. Takhrij Syarh as-Sunnah,563. Zaad al-Ma‘ad,1/247).
● GENGGAM SEMUA JARI KECUALI JARI TELUNJUK ●
dari ‘Ali bin ‘Abdurrahman,dia berkata,
“Ibnu ‘Umar melihatku sedang menggerak-gerakan kerikil ketika solat. Setelah selesai solat, dia melarangku dengan berkata: ‘Buatlah sebagaimana yang dilakukan Rasulullah ﷺ’. Aku berkata: ‘Bagaimana Rasulullah ﷺ lakukan?’ ‘Abdullah menjawab: ‘Apabila duduk dalam solat, maka baginda meletakkan telapak tangan kanan di atas paha kanan dan menggenggam semua jari-jari, lalu berisyarat dengan jari telunjuk. Baginda juga meletakkan tangan kiri di atas paha kiri’.”
(HR. Muslim,no.580c. an-Nasaie,no.1267. Dan ini lafaz an-Nasaie)
● MENGGENGGAM TANGAN KANAN DENGAN MELETAKKAN IBU JARI DI BAWAH JARI TELUNJUK ●
dari ‘Amir bin ‘Abdullah bin Zubair,dari ayahnya berkata:
“Rasulullah ﷺ apabila duduk untuk tasyahhud, baginda meletakkan tapak tangan kanan di atas peha kanan dan tapak tangan kiri di atas peha kiri, sambil mengangkat jari telunjuk dalam keadaan ibu jari diletakkan di atas jari tengah, manakala tapak tangan kiri baginda pula menutup bahagian lutut.”
(HR. Muslim,no.579b)
Doa Memakai Pakaian Dan Kelebihannya
Monday, March 2, 2026
Sungai Furat Mengering: Tanda Sebelum Kiamat
:: Hadis 1 ::
dari Abu Hurairah,Rasulullah ﷺ bersabda,
“Tidak akan berlaku Hari Kiamat sehingga Sungai Furat (Euphrates) menyingkap sebuah gunung daripada emas. Manusia akan saling berperang kerananya, lalu daripada setiap 100 orang, 99 akan terbunuh. Setiap lelaki di antara mereka berkata: ‘Mudah-mudahan akulah yang terselamat’.”
(HR. Muslim,no.2894a)
:: Hadis 2 ::
dari Ubai bin Ka‘ab,Rasulullah ﷺ bersabda,
“Hampir sahaja Sungai Furat (Euphrates) itu mengering dan akan menzahirkan segunung harta berupa emas. Apabila manusia mendengar berkenaannya, mereka akan beramai-ramai datang mengerumuninya. Lantas, orang yang berada di situ akan berkata: ‘Jika kami biarkan orang lain mengambilnya, maka tentu semua ini akan habis dibolot oleh mereka’. Lantas mereka saling berperang untuk mendapatkannya, dan terbunuhlah sebanyak 99 orang dari setiap 100 orang.”
(HR. Muslim,no.2895)
:: Hadis 3 ::
dari Abu Hurairah,Rasulullah ﷺ bersabda,
“Hampir sahaja Sungai Furat (Euphrates) itu mengering dan terzahir daripadanya harta yang sangat banyak berupa emas. Sesiapa yang menyaksikannya, maka janganlah dia mengambil suatu apa pun daripadanya!”
(HR. Bukhari,no.7119. Muslim,no.2894b)
Friday, February 13, 2026
Membangunkan Keluarga Untuk Solat Sunat
Wednesday, February 4, 2026
Minum Sambil Berdiri
Kebanyakan Penghuni Neraka Adalah Wanita
Doa Yang Rasulullah Ajar Kepada Abu Bakar as-Siddiq
dari Abu Bakar as-Siddiq,bahawa dia berkata kepada Nabi ﷺ,
“Ajarkanlah aku satu doa yang aku boleh berdoa dengannya dalam solatku’. Baginda bersabda: ‘Katakanlah:
اللَّهُمَّ إِنِّي ظَلَمْتُ نَفْسِي ظُلْمًا كَثِيرًا، وَلاَ يَغْفِرُ الذُّنُوبَ إِلَّا أَنْتَ، فَاغْفِرْ لِي مَغْفِرَةً مِنْ عِنْدِكَ، وَارْحَمْنِي إِنَّكَ أَنْتَ الغَفُورُ الرَّحِيمُ
Allahumma innii Zholamtu Nafsii Zhulman Katsiiroo, Walaa Yaghfirudz-Dzunuuba illaa Anta, Fagh-firlii Magh-firotan Min ‘Indika, Warẖamnii, Innaka Antal Ghofuurur Roẖiim
(Ya Allah, sesungguhnya aku telah banyak menzalimi diriku dan tidak ada yang dapat mengampunkan dosa-dosa melainkan Engkau. Maka, Kau ampunilah aku dengan keampunan di sisi-Mu serta Kau rahmatilah aku. Sesungguhnya Engkau Maha Pengampun lagi Maha Penyayang)’.”
(HR. Bukhari,no.834 & 6236)