Samurah bin Jundab,dia berkata,
“Rasulullah ﷺ sering bertanya kepada sahabat-sahabatnya: ‘Adakah ada daripada kamu yang bermimpi?’ Lalu sesiapa yang dikehendaki Allah akan menceritakan (mimpinya) kepada baginda ﷺ. Pada satu pagi, baginda ﷺ berkata: “Sesungguhnya malam tadi, datang dua (malaikat) kepada ku (di dalam mimpi). Mereka berdua mengejutkan aku. Mereka berkata kepada aku: ‘Bergeraklah’. Maka aku bergerak bersama mereka. Kami bertemu dengan seseorang lelaki yang sedang berbaring, dan ada seorang lelaki lagi sedang berdiri sambil memegang batu yang besar. Lelaki yang memegang batu itu menjatuhkan batu besar itu ke atas kepala lelaki yang berbaring tadi. Lalu berkecailah kepalanya. Batu itu bergolek dan lelaki yang menjatuhkan batu itu mengikut batu itu dan mengambilnya kembali. Apabila lelaki yang mengambil itu kembali kepada lelaki yang berbaring tersebut, keadaan kepalanya sudah kembali pulih seperti sedia kala. Lelaki itu mengulangi perbuatannya seperti yang dia lakukan pada kali pertama (iaitu menjatuhkan batu besar itu ke kepala lelaki yang berbaring itu). Aku bertanya kepada mereka berdua: ‘Maha suci Allah. Siapakah dua orang lelaki tadi?’ Kedua-dua malaikat menjawab: ‘Bergeraklah’. Lalu kami bergerak sehinggalah kami menemui seorang lelaki yang sedang terlentang di atas tengkuknya, dan ada seorang lagi lelaki sedang berdiri di atasnya dengan memegang pencangkuk yang diperbuat daripada besi. Lelaki yang memegang pencangkuk tadi pergi ke satu bahagian wajah lelaki yang berbaring tadi, lalu dia mencarik hujung mulutnya sehingga ke tengkuknya, mencarik dari lubang hidungnya hingga ke tengkuknya, dan mencarik dari matanya hingga ke tengkuknya. Kemudian lelaki itu beralih pula sisi wajah yang satu lagi, lalu dia melakukan seperti mana yang dia lakukan pada sisi wajah yang tadi. Tidaklah dia selesai melakukan hal tersebut pada sisi wajah itu melainkan bahagian wajah yang pertama dicarik tadi sudah pulih seperti asalnya. Kemudian lelaki itu akan kembali ke bahagian wajah yang sudah pulih itu lalu melakukan sebagaimana yang dia lakukan pada kali pertama tadi. Aku berkata: ‘Maha suci Allah. Siapakah dua orang ini?’ Kedua-dua malaikat itu berkata kepada ku: ‘Bergeraklah’. Lalu kami pun bergerak sehingga kami sampai ke satu tempat yang bentuknya seperti tempat membakar roti. Kedengaran di dalam tempat tersebut jeritan suara. Kami meninjau ke dalamnya lalu kami dapati di dalam tempat tersebut terdapat lelaki dan wanita yang dalam keadaan bertelanjang. Api datang menjamah mereka dari arah bawah mereka. Apabila api itu datang ke arah mereka, maka mereka akan menjerit. (Dalam riwayat Jarir bin Hazim: (Tempat seperti bekas membakar roti itu) bahagian atasnya sempit dan bawahnya luas. Dinyalakan di bawahnya api. Apabila api itu marak menjulang ke atas, penghuni di dalamnya naik ke atas sehingga hampir-hampir keluar darinya, apabila api itu telah reda, maka mereka kembali ke dalam tempat tersebut). Aku bertanya kepada dua malaikat: ‘Siapakah mereka (iaitu orang-orang yang di dalam tempat seperti pembakar roti)?’ Kedua-dua malaikat menjawab: ‘Bergeraklah, bergeraklah’. Lalu kami bergerak sehingga kami sampai di sebatang sungai yang merah seperti darah. Di dalam sungai itu terdapat seorang lelaki yang sedang berenang, manakala di tebing sungai terdapat seorang lelaki yang mengumpulkan banyak batu bersamanya. Apabila lelaki yang berenang itu terus berenang sehinggalah dia sampai ke tempat lelaki yang mengumpulkan banyak batu tadi, lalu perenang itu membukakan mulutnya, dan lelaki yang di tebing sungai itu mencampakkan batu ke dalam mulut perenang tadi. Lalu perenang tadi terus berenang, kemudian datang kembali ke tempat lelaki di tebing sungai itu. Setiap kali dia kembali ke lelaki itu, dia akan membuka mulutnya dan lelaki itu mencampakkan batu ke dalam mulutnya. Aku bertanya kepada dua malaikat itu: ‘Siapakah dua orang tersebut?’ Kedua-dua malaikat itu menjawab: ‘Bergeraklah, bergeraklah’. Lalu kami bergerak sehingga kami bertemu dengan seorang lelaki yang sangat hodoh wajahnya, seolah-olah itu adalah manusia paling hodoh yang pernah engkau lihat. Bersama dengan lelaki itu adalah api, dia menyalakannya dan mengelilingi api itu. Aku bertanya kepada kedua-dua malaikat lagi: ‘Siapakah lelaki ini?’ Mereka berkata: ‘Bergeraklah, bergeraklah’. Lalu kami bergerak sehingga kami bertemu kami sampai ke satu taman yang sangat rimbun pokok-pokoknya dengan segala jenis warna bunga-bunganya. Di tengah-tengah taman tersebut terdapat seorang lelaki yang tinggi, hampir-hampir aku tidak dapat melihat kepalanya kerana tingginya sehingga ke langit. Di sekeliling lelaki itu terdapat kanak-kanak yang sangat ramai yang pernah aku lihat. Aku bertanya kepada dua malaikat itu: ‘Siapakah lelaki ini, dan siapa pula kanak-kanak itu?’ Dua malaikat itu menjawab: ‘Bergeraklah, bergeraklah’. Lalu kami bergerak sehingga sampai ke taman yang sangat besar. Tidak pernah aku lihat taman yang lebih besar dan lebih cantik daripada taman itu. Kedua-dua malaikat itu berkata kepada ku: ‘Panjatlah taman itu’. Lalu kami memanjatnya sehingga kami sampai ke satu bandar yang dibina daripada batu-bata yang diperbuat daripada emas dan perak. Kami pergi ke pintu bandar itu lalu meminta agar pintu itu dibuka. Maka dibukakan pintu itu untuk kami. Kami masuk dan kami bertemu dengan sekelompok manusia yang separuh daripada tubuh badan mereka adalah secantik-cantik yang pernah engkau lihat, manakala separuh daripada tubuh badan mereka pula adalah sehodoh-hodoh yang pernah engkau lihat. Kedua-dua malaikat itu berkata kepada mereka: ‘Pergilah dan masuk ke dalam sungai itu’. Sungai itu adalah sungai yang mengalir dan airnya putih seolah-olah susu yang asli. Mereka pergi dan masuk ke dalam sungai tersebut. Kemudian mereka kembali kepada kami dalam keadaan telah hilang rupa yang hodoh daripada tubuh mereka, dan mereka berubah menjadi sebaik-baik bentuk. (Dalam riwayat Jarir bin Hazim: Kedua malaikat itu menaikkan aku ke atas pokok itu, dan memasukkan aku ke dalam rumah yang paling indah yang pernah aku lihat. Di dalamnya terdapat kaum lelaki tua dan muda, wanita dan kanak-kanak. Kemudian kedua malaikat itu mengeluarkan aku dari tempat itu dan menaikkan aku ke atas pokok dan memasukkan aku ke dalam satu rumah yang lain pula. Rumah itu lebih indah dan baik. Di dalamnya terdapat lelaki tua dan muda). Kedua-dua malaikat itu berkata kepada ku: ‘Ini adalah syurga ‘Adn. Ini pula adalah rumah engkau’. Lalu aku pun mengangkat pandangan ku ke atas. Aku melihat terdapat sebuah istana seperti awan-awan yang putih. Kedua-dua malaikat itu berkata kepada ku: ‘Ini adalah rumah engkau’. Aku berkata kepada mereka berdua: ‘Semoga Allah memberkati kamu. Tinggalkanlah aku supaya aku dapat masuk ke dalamnya’. Kedua-dua malaikat itu berkata: ‘Sekarang tidak boleh, akan tetapi engkau akan memasukinya jua (selepas mati nanti). Aku bertanya kepada kedua-dua malaikat itu: ‘Sesungguhnya sejak malam tadi aku telah melihat perkara-perkara yang pelik. Apakah perkara-perkara yang telah aku lihat itu?’ Kedua-dua malaikat itu berkata: ‘Kami akan beritahu kepada mu. Lelaki yang pertama yang engkau datang kepadanya, lalu kepalanya dipecahkan dengan batu. Sesungguhnya dia adalah lelaki yang mengambil al-Quran lalu menolaknya, dan dia tidur daripada menunaikan solat fardhu. (Dalam riwayat Jarir bin Hazim: Dia adalah seorang lelaki yang telah Allah berikan ilmu tentang al-Quran, akan tetapi dia tidur daripadanya pada waktu malam, dan tidak beramal dengannya di waktu siang). Lelaki yang engkau lihat dicarik hujung mulutnya sehingga ke tengkuk, lubang hidungnya hingga ke tengkuk, dan matanya hingga ke tengkuk, adalah lelaki yang keluar dari rumahnya lalu banyak menipu. Lelaki dan perempuan yang bertelanjang di dalam tempat seperti tempat membakar roti ialah wanita dan lelaki yang berzina. Lelaki yang engkau lihat berenang di sungai dan diberi makan batu, dia adalah pemakan riba. Lelaki yang hodoh wajahnya yang bersama api yang dia nyalakan dan mengelilinginya, itu adalah malaikat Malik, penjaga neraka. Lelaki yang tinggi di taman itu adalah Nabi Ibrahim. Kanak-kanak yang ada di sekelilingnya adalah setiap kanak-kanak yang mati dalam keadaan fitrah’. Sebahagian sahabat bertanya: ‘Ya Rasulullah, bagaimana pula dengan anak orang Musyrikin? Baginda menjawab: ‘Begitu juga anak-anak orang musyrikin (mereka akan berada di situ seperti anak-anak orang Islam)’. Kelompok manusia yang separuh tubuhnya elok, dan separuhnya rosak. Mereka adalah kelompok yang mencampurkan amal soleh mereka dengan amal kejahatan, akan tetapi Allah telah mengampuni mereka.(Dalam riwayat Jarir bin Hazim: Rumah yang pertama yang aku masuki adalah rumah kebanyakan orang beriman, manakala rumah yang kedua adalah rumah mereka yang mati syahid). (Dalam riwayat Jarir bin Hazim, kedua-dua malaikat itu akhirnya memperkenalkan diri mereka: ‘Aku adalah Jibril, dan ini Mikail). (Dalam riwayat Jarir bin Hazim juga disebutkan: ‘Dilaksanakan (azab itu) sehingga hari kiamat’).”
(HR. Bukhari,no.7047 & 1386)
No comments:
Post a Comment