Tuesday, June 23, 2026

Makmum Berbeza Niat Dengan Imam Dalam Solat Berjemaah

:: Hadis 1 ::
dari Jabir bin ‘Abdullah,dia berkata,
“Bahawa Mu‘adz bin Jabal pernah solat bersama-sama Nabi ﷺ, kemudian dia pulang dan mengimamkan kaumnya pula. Maka dia menunaikan solat ‘Isyak dan membaca Surah al-Baqarah…”
(HR. Bukhari,no.701. Muslim,no.465)

:: Hadis 2 ::
dari Jabir bin Yazid al-Aswadi,dari ayahnya,dia berkata,
“Aku menghadiri solat Subuh bersama Rasulullah ﷺ di Masjid al-Khaif. Tatkala baginda selesai solat, baginda melihat dua orang lelaki di bahagian belakang yang tidak solat bersama baginda. Baginda bersabda: ‘Bawa mereka berdua ke sini’. Maka kedua-duanya dibawa (menghadap baginda), sedang sendi-sendi mereka menggigil ketakutan. Lalu baginda bersabda: ‘Mengapa kalian tidak solat bersama kami?’ Mereka menjawab: ‘Wahai Rasulullah, kami telah solat di tempat permusafiran kami’. Baginda bersabda: ‘Jangan buat begitu. Jika kalian telah solat, dan kalian datang ke masjid dan mendapati solat jemaah sedang berlangsung, hendaklah kalian solat bersama mereka, dan ia akan menjadi solat sunat bagi kamu’.”
(HR. an-Nasaie,no.858. at-Tirmidzi,no.219. Hadis ini dinilai Hasan Sahih oleh imam at-Tirmidzi)

NOTA:
Perbezaan niat antara makmum dan imam dikira sah, jika sifat solatnya sama, walaupun berbeza rakaat seperti imam solat ‘Isyak, makmum solat Maghrib, atau imam solat Fardhu, makmum solat sunat, atau makmum solat Fardhu tapi imam solat sunat. Jenis solat tidak sah ialah seperti imam solat Jenazah, makmum solat ‘Asar, kerana solat Jenazah tidak mempunyai ruku’ dan sujud sebagaimana solat ‘Asar. Begitu juga jika imam solat Gerhana, makmum solat Maghrib. Maka solatnya tidak sah kerana solat Gerhana mempunyai dua kali ruku’ sedangkan solat Maghrib hanya satu kali ruku’ di setiap satu rakaat.
Wallahua‘lam.

Wednesday, June 17, 2026

Mata Terbuka Ketika Kematian

dari Ummu Salamah,dia berkata,
“Rasulullah ﷺ masuk menziarahi jenazah Abi Salamah yang baru meninggal dunia dan ketika itu matanya terbuka. Lantas, baginda menutupnya seraya bersabda: ‘Sesungguhnya roh apabila diambil maka pandangan akan mengikutinya’. Hal ini menyebabkan orang ramai di kalangan keluarganya riuh-rendah. Kemudian baginda bersabda: ‘Jangan sekali-kali kamu doa terhadap diri kamu kecuali yang  baik. Maka, sesungguhnya para malaikat akan mengaminkan apa yang kamu katakan’. Kemudian, baginda berdoa: ‘Ya Allah, ampunkanlah bagi Abi Salamah dan angkatlah darjatnya bersama orang yang diberi petunjuk dan gantilahnya pada keturunannya serta ampunkanlah bagi kami dan baginya wahai Rabb yang memiliki sekalian alam. Lapangkanlah baginya kuburnya dan cahayakanlah baginya pada kuburnya’.”
(HR. Muslim,no.920)

Monday, June 15, 2026

Rasulullah: Orang Kepercayaan Yang Di Langit

dari Abu Sa'id al-Khudri,dia berkata,
“‘Ali bin Abi Thalib mengirim kepada Rasulullah ﷺ dari Yaman seketul emas mentah yang masih berada dalam kulit (bekas kulit yang disamak dengan daun qaraz) dan belum dibersihkan sepenuhnya daripada tanahnya. Lalu baginda membahagikannya kepada empat orang: ‘Uyainah bin Badr, Aqra’ bin Habis, Zaid al-Khail, dan yang keempat sama ada Alqamah atau ‘Amir bin al-Thufail. Maka seorang daripada para sahabat berkata: ‘Sebenarnya kami lebih berhak mendapat bahagian ini daripada mereka’. Perkara itu sampai kepada Nabi ﷺ, lalu Baginda bersabda: ‘Tidakkah kamu mempercayaiku, sedangkan aku adalah orang yang dipercayai oleh Yang di langit? Berita dari langit datang kepadaku pagi dan petang’. Kemudian bangun seorang lelaki yang matanya cengkung, tulang pipinya menonjol, dahinya menonjol, berjanggut lebat, berkepala botak, dan kainnya tersingkap hingga ke atas buku lali. Dia berkata: ‘Wahai Rasulullah, bertakwalah kepada Allah!’ Baginda bersabda: ‘Celaka engkau! Bukankah aku orang yang paling berhak di bumi ini untuk bertakwa kepada Allah?’ Kemudian lelaki itu berpaling pergi. Lalu Khalid bin al-Walid berkata: ‘Wahai Rasulullah, mahukah aku penggal lehernya?’ Baginda bersabda: ‘Tidak. Barangkali dia menunaikan solat’. Khalid berkata: ‘Berapa ramai orang yang solat, tetapi mengucapkan dengan lidahnya apa yang tidak ada dalam hatinya’. Rasulullah ﷺ bersabda: ‘Sesungguhnya aku tidak diperintahkan untuk memeriksa hati manusia dan tidak pula membelah perut mereka’. Kemudian Baginda memandang lelaki itu ketika dia sedang berlalu pergi lalu bersabda: ‘Sesungguhnya akan muncul daripada keturunan (atau golongan) lelaki ini suatu kaum yang membaca Kitab Allah dengan lancar, tetapi bacaan itu tidak melepasi kerongkong mereka. Mereka terkeluar daripada agama sebagaimana anak panah terlepas menembusi sasarannya’.” (Perawi berkata: “Aku rasa baginda juga bersabda): ‘Jika aku sempat menemui mereka, nescaya aku akan membunuh mereka sebagaimana dibinasakannya kaum Tsamud’.”
(HR. Bukhari,no.4351)

Tuesday, June 9, 2026

Sifat Tamak Manusia

dari Anas bin Malik,Rasulullah ﷺ bersabda,
“Dan jika seseorang anak Adam (manusia) itu diberikan satu lembah yang dipenuhi dengan emas, nescaya dia mahu memiliki dua lembah yang lain lagi; dan tidak akan dapat memuaskannya melainkan mulutnya dipenuhi dengan tanah (ditimbus setelah mati). Namun, Allah menerima taubat sesiapa yang bertaubat kepada-Nya.”
(HR. Bukhari,no.6439. Muslim,no.1048b)

Monday, June 1, 2026

Solat Sunat Rawatib: Kelebihan, Jenis Dan Waktu

FADHILAT (KELEBIHAN) DAN GALAKAN SOLAT SUNAT RAWATIB:

:: Hadis 1 ::
dari Ummu Habibah (isteri Nabi ﷺ),dia berkata, 
“Aku mendengar Rasulullah ﷺ bersabda: ‘Tidaklah seorang hamba Muslim mengerjakan solat kerana Allah dalam satu hari 12 rakaat sebagai tathawwu’ dan bukan fardhu, melainkan Allah akan membangunkan untuknya sebuah rumah di syurga’. Maka aku tidak pernah meninggalkannya sejak aku mendengarnya daripada Rasulullah ﷺ.”
(HR. Muslim,no.728a)

:: Hadis 2 ::
dari Ummu Habibah,Rasulullah ﷺ bersabda,
“Barangsiapa yang mengerjakan solat (sunat) sebanyak 12 rakaat dalam sehari semalam, kelak akan dibangunkan untuknya sebuah rumah di syurga. 12 rakaat itu adalah 4 rakaat sebelum solat Zuhur, 2 rakaat setelah solat Zuhur, 2 rakaat setelah solat Maghrib, 2 rakaat setelah solat ‘Isyak dan 2 rakaat sebelum solat Subuh.”
(HR. at-Tirmidzi,no.415. Dinilai hasan sahih oleh imam at-Tirmidzi)

:: Hadis 3 ::
dari ‘Abdullah bin ‘Umar,dia berkata,
“Aku telah menghafal (menjaga) dari Nabi ﷺ tentang 10 rakaat (iaitu solat sunat), iaitu 2 rakaat sebelum solat Zuhur dan 2 rakaat sesudahnya, 2 rakaat setelah solat Maghrib di rumahnya, 2 rakaat setelah solat ‘Isyak di rumahnya dan 2 rakaat sebelum solat Subuh.”
(HR. Bukhari,no.1180)

NOTA:
Solat sunat Rawatib terbahagi kepada dua, pertama yang Mu‘akkad (ditekankan), kedua yang Ghairu Mu‘akkad (tidak ditekankan).


● SOLAT RAWATIB YANG MU‘AKKAD ●

• Dua rakaat sebelum Subuh
• Dua atau empat rakaat sebelum Zuhur
• Dua rakaat selepas Zuhur
• Dua rakaat selepas Maghrib
• Dua rakaat selepas ‘Isyak


2 RAKAAT QABLIYYAH (SEBELUM) SUBUH:

:: Hadis 4 ::
dari ‘Aisyah,Nabi ﷺ bersabda,
“2 rakaat sunat fajar (Subuh) itu lebih baik daripada dunia dan segala apa di dalamnya.”
(HR. Muslim,no.725)

:: Hadis 5 ::
dari ‘Aisyah,dia berkata,
“Nabi ﷺ solat ‘Isyak kemudian baginda solat 8 rakaat, 2 rakaat dengan duduk, serta 2 rakaat di antara 2 azan (azan dan iqamat). Baginda tidak pernah meninggalkan 2 rakaat (sunat Fajar) tersebut.”
(HR. Bukhari,no.1159)


2 ATAU 4 RAKAAT QABLIYYAH (SEBELUM) & 2 RAKAAT BA’DIYYAH (SELEPAS) ZUHUR:

:: Hadis 6 ::
dari Ibn ‘Umar,dia berkata,
“Aku solat bersama Rasulullah ﷺ dua rakaat sebelum Zuhur, dua rakaat selepasnya, dua rakaat selepas Maghrib, dua rakaat selepas ‘Isyak, dan dua rakaat selepas Jumaat. Adapun solat Maghrib, ‘Isyak dan Jumaat itu, aku solat bersama Nabi ﷺ di rumah baginda.”
(HR. Muslim,no.729)

:: Hadis 7 ::
dari ‘Aisyah,dia berkata,
“Nabi ﷺ tidak pernah meninggalkan 4 rakaat sebelum Zuhur dan 2 rakaat sebelum Subuh.”
(HR. Bukhari,no.1182)


2 RAKAAT BA’DIYYAH (SELEPAS) MAGHRIB & ‘ISYAK:

:: Hadis 8 ::
dari ‘Abdullah bin ‘Umar,dia berkata,
“Aku telah menghafal (menjaga) dari Nabi ﷺ tentang 10 rakaat (iaitu solat sunat), iaitu 2 rakaat sebelum solat Zuhur dan 2 rakaat sesudahnya, 2 rakaat setelah solat Maghrib di rumahnya, 2 rakaat setelah solat ‘Isyak di rumahnya dan 2 rakaat sebelum solat Subuh.”
(HR. Bukhari,no.1180)

:: Hadis 9 ::
dari Ibn ‘Umar,dia berkata,
“Aku solat bersama Rasulullah ﷺ dua rakaat sebelum Zuhur, dua rakaat selepasnya, dua rakaat selepas Maghrib, dua rakaat selepas ‘Isyak, dan dua rakaat selepas Jumaat. Adapun solat Maghrib, ‘Isyak dan Jumaat itu, aku solat bersama Nabi ﷺ di rumah baginda.”
(HR. Muslim,no.729)


● SOLAT RAWATIB YANG GHAIRU MU‘AKKAD ●

• Dua rakaat sebelum Maghrib
• Dua rakaat sebelum ‘Asar
• Dua rakaat sebelum ‘Isyak


2 RAKAAT QABLIYYAH (SEBELUM) MAGHRIB:

:: Hadis 10 ::
dari Anas bin Malik,dia berkata,
“Biasanya apabila muadzdzin (juru azan) mengumandangkan azan, maka para sahabat Nabi ﷺ berdiri dan segera menghampiri tiang-tiang (untuk dijadikan sutrah) sampai Nabi ﷺ keluar sedang mereka dalam keadaan demikian. Mereka solat 2 rakaat sebelum (qabliyah) Maghrib. Tiada (yakni jarak waktu yang singkat) sesuatu di antara azan dan iqamah.”
(HR. Bukhari,no.625)


2 RAKAAT (ATAU LEBIH) QABLIYYAH ‘ASAR DAN ‘ISYAK:

:: Hadis 11 ::
dari ‘Abdullah bin Mughaffal,Rasulullah ﷺ bersabda,
“Di antara setiap dua azan (iaitu azan dan iqamah), ada solat (sunat) – Baginda mengulanginya hingga 3 kali- bagi yang menghendakinya.”
(HR. Bukhari,no.624 & 627. Muslim,no.838)

:: Hadis 12 ::
dari Ibnu ‘Umar,Nabi ﷺ bersabda,
“Allah mengasihi orang yang mengerjakan solat 4 rakaat sebelum ‘Asar.”
(HR. Ahmad,no.5980. Abu Daud,no.1271. at-Tirmidzi,no.430. Dinilai gharib hasan oleh imam at-Tirmidzi)

NOTA:
Hadis ini diperselisihi kesahihannya di kalangan para ulama’ Hadis. Imam Abu Daud diam setelah meriwayatkan hadis ini, menunjukkan bahawa hadis ini Soleh di sisi beliau. Imam at-Tirmidzi berkata: “Gharib Hasan” setelah meriwayatkan hadis ini. Imam Ibnu Hibban memasukkan hadis ini di dalam kitab Sahih-nya, menunjukkan hadis ini sahih disisi beliau (rujuk: Sahih Ibnu Hibban,no.2453). Hadis ini juga dinilai sahih oleh Imam al-Mundziri (rujuk: Targhib wa at-Tarhib,1/275), Syaikh Ahmad Syakir (rujuk: Takhrij al-Musnad,8/183), Syaikh Ibn Bazz, dengan katanya: “Isnadnya jayyid (baik), tidak mengapa padanya” (rujuk: al-Fawaid al-‘Ilmiyyah min ad-Durus al-Baaziyah,5/62). Hadis ini dinilai Hasan oleh Syaikh al-Albani (rujuk: Sahih Abi Daud,no.1271. Sahih at-Tirmidzi,no.430), Syaikh al-Wadi‘i (rujuk: al-Sahih al-Musnad,no.714), Syaikh Syu‘aib al-Arnauth (rujuk: Takhrij Musnad Ahmad,no.5980. Takhrij Sahih Ibnu Hibban,no.2453. Takhrij Sunan Abi Daud,no.1271). Namun hadis ini dinilai Dhaif oleh Imam Ibnu Qaththan, kerana di dalam sanadnya terdapat perawi yang bernama Muhammad bin Mihran, yang mana beliau menukilkan perkataan ‘Amr bin ‘Ali bahawa dia berkata: “Abu Daud at-Thayalisi meriwayatkan daripadanya beberapa hadis yang Munkar. Dan hadis ini termasuk dalam riwayat Abu Daud at-Thayalisi daripadanya” (rujuk: al-Wahm al-Ilham,5/702) dan di dalam kitab beliau yang lain beliau menyebutkan: “Di dalam (sanad)nya terdapat Muhammad bin Mahyan, dan dia dinilai lemah oleh Abu Zur‘ah” (rujuk: Faid al-Qadhir,4/24), Imam Ibnu ‘Abdul Hadi juga menilai hadis ini Dhaif dengan katanya: “Dinilai lemah oleh Abu Zur‘ah para perawinya” (rujuk: al-Muharrar fil-Hadis,135). Hadis ini juga dinilai Dhaif oleh Syaikh Musthofa al-‘Adawi (rujuk: video), namun kata beliau, sekalipun sanad hadis ini Dhaif, namun ia boleh diamalkan berdasarkan hadis umum yang lain (rujuk Hadis 11).
Wallahua‘lam.