Saturday, July 9, 2022

Hamba Allah Yang 'Dicelup' Sekali Ke Dalam Neraka & Hamba Yang 'Dicelup' Ke Dalam Syurga

:: Hadis 1 ::
dari Anas bin Malik,bahawa Rasulullah ﷺ bersabda,
“Orang paling nikmat di dunia dalam kalangan penghuni neraka didatangkan pada hari kiamat,lalu dicelupkan sekali ke dalam neraka. Setelah itu,dikatakan kepadanya: ‘Wahai anak cucu Adam,adakah engkau pernah melihat kebaikan sedikit pun? Adakah engkau pernah merasakan kenikmatan sedikit pun?’ Dia menjawab: ‘Tidak,demi Allah,wahai Tuhan.’ Kemudian didatangkan pula orang yang paling sengsara di dunia dalam kalangan penghuni syurga. Kemudian dicelupkan sekali ke dalam syurga,setelah itu dikatakan kepadanya: ‘Wahai anak cucu Adam,adakah engkau pernah melihat kesengsaraan sedikit pun? Adakah engkau pernah merasa sengsara sedikit pun?’ Dia menjawab: ‘Tidak,demi Allah,wahai Tuhan,aku tidak pernah merasa sengsara sedikit pun dan aku juga tidak pernah melihat kesengsaraan pun’.”
(HR. Muslim,no.2807)

:: Hadis 2 ::
dari Anas bin Malik,bahawa Rasulullah ﷺ bersabda,
“Pada hari kiamat dikatakan kepada penghuni dunia yang kafir yang paling senang: ‘Celupkan sekali dia ke dalam nereka’. Setelah dicelupkan dia dikeluarkan. Lalu ditanya kepadanya: ‘Wahai fulan,adakah kamu pernah mendapat kenikmatan dalam hidupmu?’ Dia menjawab: ‘Tidak ada kebaikan yang pernah kuperolehi’. Kemudian dibawa orang yang beriman yang paling susah dan amat banyak sekali mendapat bencana,lalu dikatakan padanya: ‘Celupkan dia sekali ke dalam syurga’. Kemudian ditanya kepadanya: ‘Adakah kamu pernah merasakan kesusahan dan bencana?’ Doa menjawab: ‘Tidak ada kesusahan dan bencana yang pernah kurasakan’.”
(HR. Ibnu Majah,no.4312. dinilai 'Sahih' oleh Syaikh al-Albani [rujuk: Sahih Ibnu Majah,no.3506])

NOTA:
Maksudnya,azab neraka membuatkan penghuni neraka 'lupa' dengan nikmat-nikmat yang Allah bagi ketika di dunia (walaupun ketika di dunia,orang itu adalah orang paling kaya,mewah dan hidup bahagia),tetapi disebabkan azab dalam neraka yg begitu dahsyat,buatkan penghuni neraka itu 'hilang ingatan'. Begitu juga dengan nikmat di dalam syurga,ia membuatkan seseorang yang hidup menderita ketika di dunia menjadi 'lupa' dengan penderitaannya ketika di dunia,disebabkan nikmat syurga yg begitu 'dahsyat'.
Wallahua'lam.

No comments:

Post a Comment