Sunday, July 24, 2022

Melihat Langit Ketika Berdoa Adalah Sunnah

dari al-Miqdad,dia berkata,
“Aku dan kedua sahabatku datang, pada waktu itu pendengaran dan penglihatan kami telah kabur kerana lapar dan sangat keletihan. Lalu kami mendatangi para sahabat ﷺ, namun tidak ada seorang pun dari mereka yang menerima kami. Lalu kami datang kepada Nabi ﷺ, baginda membawa kami kepada keluarganya. Ketika itu di rumahnya terdapat tiga ekor kambing betina, lalu Nabi ﷺ bersabda: ‘Perahlah susu kambing-kambing ini untuk kita’. Maka kami segera memerah, lalu setiap orang dari kami minum bahagian kami masing-masing dan kami menyisihkan sebahagian daripadanya untuk Nabi ﷺ. Pada waktu itu baginda datang pada waktu malam hari, lalu mengucapkan salam dengan salam yang tidak membangunkan orang yang tengah tidur, namun dapat didengar oleh mereka yang masih terbangun. Kemudian baginda pergi ke masjid untuk melaksanakan solat, setelah itu baru baginda kembali mencari sesuatu untuk diminum. Pada malam itu, ketika aku menghabiskan bahagianku, tiba-tiba aku tergoda dengan bisikkan syaitan yang selalu terngiang di telingaku: ‘Muhammad mendatangi orang-orang Ansar dan mereka pun menjamunya. Setelah itu, dia (Muhammad) mendapat jamuan di tengah mereka sehingga dia (Muhammad) tidak memerlukan minumannya yang seteguk ini’. Aku pun terpengaruh, lalu aku minum minuman Nabi ﷺ tersebut. Setelah minuman itu masuk ke perutku, aku tahu tidak ada lagi jalan untuk mengembalikannya, maka syaitan membisikkan rasa penyesalan ke dalam hatiku: ‘Celaka kamu! Apa yang telah kamu lakukan? Mengapa kamu minum sehingga habis minuman Muhammad itu? Jika dia datang dan tidak mendapati minumannya, dia (pasti) akan mendoakan kamu hingga kamu celaka, maka kamu akan rugi dunia dan akhirat’. Kebetulan pada saat itu aku tengah mengenakan jubah yang apabila aku menutupi kedua kakiku, maka kepalaku akan terlihat. Sebaliknya, apabila aku tutup kepalaku, maka kakiku keluar (terlihat). Disebabkan itu, aku tidak dapat tidur dengan tenang. Sementara kedua sahabatku, mereka berdua dapat tidur dengan nyenyak kerana mereka tidak melakukan seperti apa yang telah aku lakukan. Tidak lama kemudian, Rasulullah ﷺ datang dan memberi salam seperti biasa. Setelah itu, baginda pergi ke masjid untuk melaksanakan solat. Setelah melaksanakan solat, baginda kembali untuk mengambil minumannya untuk diminum. Tetapi, baginda mendapati minuman di dalam gelas itu sudah habis. Akhirnya, baginda mengangkat kepalanya ke langit. Hatiku berkata: ‘Sekaranglah mungkin waktunya Rasulullah akan mendoakan kebinasaan untukku (kerana telah menghabiskan minumannya)’. Tetapi,ternyata baginda berdoa:
اللَّهُمَّ أَطْعِمْ مَنْ أَطْعَمَنِي وَأَسْقِ مَنْ أَسْقَانِي
Allahumma Ath-‘im, Man ath-‘Amanii wa Asqi Man Asqooni
(Ya Allah, berilah makan orang yang telah memberiku makan dan berilah minum orang yang telah memberiku minum).
Mendengar hal itu, aku segera mengetatkan jubahku, bergegas mengambil parang, lalu aku pergi ke kandang dimana kambing-kambing betina berada. Aku memilih di antara kambing-kambingku yang paling gemuk untuk aku sembelih. Dan ternyata, kambing-kambing tersebut penuh dengan air susu. Aku pun segera mencari wadah milik keluarga Muhammad ﷺ yang biasa mereka gunakan untuk memerah susu ke dalam wadah tersebut, hingga buih susunya melimpah. Setelah itu, aku datang kepada Rasulullah ﷺ. Baginda bertanya: ‘Apakah kamu telah minum minuman kamu malam tadi?’ Aku menjawab: ‘Wahai Rasulullah, silakan minum’. Baginda segera minum, lalu menyerahkan kepadaku. Aku berkata lagi: ‘Wahai Rasulullah, silakan minum’. Baginda minum, kemudian menyerahkan kepadaku. Setelah aku yakin bahawa Nabi ﷺ benar-benar telah puas dan mendapatkan doa baginda (seperti tersebut di atas), maka aku terlepas ketawa hingga aku terjatuh ke tanah. Baginda bersabda: ‘Pasti kamu telah melakukan sesuatu yang kurang baik kan, wahai Miqdad?’ Aku pun menjawab: ‘Wahai Rasulullah, malam tadi keadaanku begini dan begini, dan aku telah melakukan begini dan begini’. Nabi ﷺ bersabda: ‘Tidaklah semua ini terjadi kecuali dengan rahmat Allah. Mengapa kamu tidak memberitahuku, sehingga kita membangunkan kedua saudara kita untuk sama-sama mendapatkannya’. Aku menjawab: ‘Demi Dzat yang telah mengutusmu dengan membawa kebenaran. Aku tidak akan peduli siapa lagi orang yang mendapatkannya, jika engkau telah mendapatkannya bersamaku’.”
(HR. Muslim,no.2055)

NOTA:
Kata Syaikh ‘Abdul ‘Aziz ath-Tharifi (dalam facebook rasmi beliau), bahawa memandang ke langit ketika berdoa adalah sunnah mahjurah (yang ditinggalkan, yang hampir pupus kerana ditinggalkan oleh ramai manusia).

No comments:

Post a Comment