Wednesday, July 6, 2022

Ganjaran Di Akhirat Untuk Orang Yang Kematian Anak Kecil

:: Hadis 1 ::
dari Abu Hurairah,Rasulullah ﷺ bersabda kepada para wanita Ans̄ar,
“ Tidaklah mati tiga orang anak kepada salah seorang dari kamu, lalu si ibu itu menyerahkan hal itu kepada Allah melainkan wanita itu akan masuk syurga. Seorang wanita daripada mereka bertanya: ‘Bagaimana jika dua orang ya Rasulullah?’ Baginda menjawab: ‘Atau jika dua orang (si ibu tetap mendapat kelebihan itu)’.”
(HR. Muslim,no.2632)

:: Hadis 2 ::
dari Anas bin Malik,Nabi ﷺ bersabda,
“Tidak seorang muslim pun yang mati tiga orang anaknya yang belum baligh kecuali Allah memasukkannya ke dalam syurga kerana limpah rahmat-Nya kepada mereka”.
(HR. Bukhari,no.1381. an-Nasaie,no.1850)

:: Hadis 3 ::
dari Abu Hassan,dia berkata,
“Aku bertanya kepada Abu Hurairah tentang keadaan dua anakku kecilku yang telah meniggal dunia: ‘Boleh tidak engkau menyampaikan kepadaku satu hadis daripada Rasulullah ﷺ yang boleh memujuk jiwa-jiwa kami kerana kematian ini?’ Jawab Abu Hurairah: ‘Boleh, anak-anak mereka ialah Da‘amis̄ Syurga. Salah seorang daripada mereka menemui ayah mereka, atau ibu bapa, lalu menarik bajunya, atau menarik tangannya, seperti aku menarik hujung jahitan bajumu ini. Anak itu tidak akan melepaskannya sehingga Allah memasukkannya dan ibu bapanya ke syurga’.”
(HR. Muslim,no.2635)

NOTA:
Tentang makna “Da‘amis̄”, imam an-Nawawi berkata: “Da’amis̄ itu bererti ahli syurga yang kecil, asalnya ialah du’mūs yang bermaksud haiwan-haiwan kecil yang berada di dalam air, mereka tidak berpisah dengannya. Ertinya, anak-anak kecil di dalam syurga tidak berpisah darinya” (rujuk: Syarh Sahih Muslim,16/182). Berkata imam Ibn al-Atsir: “Mereka itu bebas bergerak di dalam syurga, masuk ke dalam rumah-rumahnya, tiada apa yang menghalang mereka daripada suatu tempat, seperti perangai kanak-kanak ketika di dunia, tiada siapa yang boleh menghalang mereka memasuki haram (yakni kawasan peribadi satu-satu keluarga), tiada siapa yang perlu berhijab bila dengan mereka” (rujuk: al-Nihayah fi Gharib al-Hadith wa al-Atsar,2/289)

:: Hadis 4 ::
dari Abu Hurairah,dia berkata,
“Seorang wanita datang menemui Nabi ﷺ sambil membawa bayi lelakinya. Dia berkata: ‘Wahai Nabi Allah, doakan bayi lelaki ku ini. Sesungguhnya aku telah mengebumikan tiga orang anak aku’. Baginda bertanya: ‘Engkau telah mengebumikan tiga orang anak?’ Beliau menjawab: ‘Ya’. Baginda bersabda: ‘Sesungguhnya engkau telah menghadang dengan penghadang yang kuat daripada api neraka’.”
(HR. Muslim,no.2636)

:: Hadis 5 ::
dari Mu‘awiyyah bin Qurrah,dari ayahnya,
“Bahawa seorang lelaki datang kepada Nabi ﷺ bersama dengan seorang anak lelakinya. Nabi ﷺ bertanya kepada lelaki itu: ‘Adakah engkau menyayanginya?’ Lelaki itu menjawab: ‘Ya Rasulullah, aku mencintai Allah sebagaimana aku menyayanginya’. Kemudian, selepas hari tersebut, baginda tidak melihat lagi anak lelaki itu. Baginda bertanya: ‘Apa yang sedang dilakukan oleh anak si fulan?’ Para sahabat menjawab: ‘Ya Rasulullah, dia telah meninggal dunia’. Nabi ﷺ berkata kepada ayahnya: ‘Adakah engkau suka jika engkau mendatangi pintu syurga, lalu engkau mendapati anakmu sedang menunggumu di sana?’ Seorang sahabat bertanya: ‘Adakah itu kes yang khusus atau ia umum untuk anak kami semua?’ Baginda menjawab: ‘Ia untuk kamu semua’.”
(HR. Ahmad,no.15595. hadis ini sanadnya dinilai ‘Sahih’ oleh al-Hakim [rujuk: al-Mustadrak] dan Syaikh Syu‘aib al-Arnauth [rujuk: semakan beliau kepada Musnad Ahmad])

:: Hadis 6 ::
dari Abu Musa al-Asy‘ari,Rasulullah ﷺ bersabda,
“Apabila anak seorang hamba meninggal dunia, Allah berfirman kepada malaikat-Nya: ‘Kamu telah mencabut nyawa anak hamba-Ku?’ Mereka berkata: ‘Ya’. Allah berfirman: ‘Kamu telah mencabut nyawa buah hatinya?’ Mereka menjawab: ‘Ya’. Allah berfirman: ‘Apa yang diucapkan oleh hamba-Ku ketika itu?’ Mereka berkata: ‘Ia memujimu dan mengucapkan istirja’ (innaa lilaahi wa innaa ilaihi rooji’uun)’. Allah berfirman: ‘Binakan untuk hamba-Ku ini satu rumah di syurga dan namakan ia Baitul H̱amdi (rumah pujian).”
(HR. at-Tirmidzi,no.1021. Dinilai 'Hasan Gharib' oleh imam at-Tirmidzi)

NOTA:
Hadis ini dinilai ‘Dhaif’ oleh Syaikh Musthofa al-‘Adawi dalam video beliau.

NOTA (2):
Hadis-hadis ini hanya menyebutkan tentang kematian anak kecil yang belum baligh. Sebahagian ulama’ mengatakan, hadis² ini juga termasuk bayi yang keguguran. Kata Imam an-Nawawi: “Seorang anak yang meninggal dunia akan menjadi penghalang daripada api neraka, begitu juga anak yang keguguran” (rujuk: al-Majmu’ Syarah al-Muhadzzab,5/295)

No comments:

Post a Comment