Tuesday, July 5, 2022

Sayangi Penduduk Bumi Nescaya Allah Akan Sayang Kepadamu

:: Hadis 1 ::
dari ‘Abdullah bin ‘Amr,Rasulullah ﷺ bersabda,
“Orang-orang yang penyayang itu akan dikasihi oleh ar-Rahman (Allah yang Maha Penyayang). Kasihilah yang ada di bumi, nescaya kamu akan dikasihi oleh yang di atas langit. Lafaz ar-Rahim (rahim atau kasih sayang) itu diambil dari lafaz ar-Rahman, maka sesiapa yang menyambung tali silaturrahim, nescaya Allah akan menyambungnya (dengan rahmat-Nya) dan sesiapa yang memutus tali silaturrahim, maka Allah akan memutuskannya (dari rahmat-Nya).”
(HR. at-Tirmidzi,no.1924. dinilai ‘Hasan Sahih’ oleh imam at-Tirmidzi)

:: Hadis 2 ::
dari ‘Abdullah bin ‘Amr,Nabi ﷺ bersabda,
“Orang penyayang, akan disayangi oleh Ar-Rahman. Sayangilah penduduk bumi, nescaya kamu akan disayangi oleh penduduk di langit.”
(HR. Abu Daud,no.4941. Ahmad,no.6206)

NOTA:
Hadis 1 & 2 ini dinilai ‘Dhaif’ oleh Syaikh Musthofa al-‘Adawi (dalam video beliau), katanya: “Sanadnya Dhaif”. Akan tetapi, makna hadis ini benar. Kerana terdapat hadis sahih yang lain yang menguatkan makna kedua² hadis ini:

:: Hadis 3 ::
dari ‘Abdullah bin ‘Amr,Rasulullah ﷺ bersabda,
“Hendaklah kamu menyayangi, nescaya kamu akan disayangi. Maafkanlah, nescaya kamu dimaafkan. Celakalah kepada Aqma‘ul Qoul (orang yang mendengarkan perkataan, namun tidak beramal dengannya), dan celaka bagi orang yang terus-menerus melakukan dosa, padahal dia mengetahuinya”.
(HR. Bukhari [rujuk: al-Adab al-Mufrod,no.380]. Ahmad,no.6541)

:: Hadis 4 ::
dari Jarir bin ‘Abdullah,Rasulullah ﷺ bersabda,
“Siapa yang tidak menyayangi, dia tidak akan disayangi”.
(HR. Bukhari,no.6013)

:: Hadis 5 ::
dari Jarir bin ‘Abdillah,Rasulullah ﷺ bersabda,
“Siapa yang tidak merahmati (mengasihi) manusia yang lain, dia tidak akan dirahmati oleh Allah ‘azza wa jalla.”
(HR. Bukhari,no.7376. Muslim,no.2319. Ini lafaz riwayat Muslim)

:: Hadis 6 ::
dari Abu Hurairah,dia berkata,
“Rasulullah ﷺ pernah mencium al-Hasan bin Ali (cucu Nabi ﷺ) sedangkan disisi baginda ada al-Aqra’ bin Habis at-Tamimi sedang duduk. Lalu Aqra’ berkata: ‘Sesungguhnya aku ada sepuluh orang anak, namun aku tidak pernah mencium mereka walaupun sekali’. Maka Rasulullah ﷺ memandangnya dan bersabda: ‘Barangsiapa tidak menyayangi, maka dia tidak akan disayangi’.”
(HR. Bukhari,no.5997. Muslim,no.2318)

:: Hadis 7 ::
dari Ummu Khalid binti Khalid bin Sa‘id,dia berkata,
“Aku mengunjungi Rasulullah ﷺ bersama ayahku, sedangkan aku tengah mengenakan baju berwarna kuning, Rasulullah ﷺ bersabda: ‘Bagus, bagus’. Lalu aku beranjak untuk mempermainkan cincin kenabian baginda, maka ayahku mengherdikku, namun Rasulullah ﷺ bersabda: ‘Biarkanlah ia’. Kemudian baginda bersabda: ‘Pakailah (kain tersebut), semoga panjang umur (tidak cepat rosak) dan pakailah semoga panjang umur dan pakailah semoga panjang umur’.”
(HR. Bukhari,no.5993)

:: Hadis 8 ::
dari Abu Hurairah,Rasulullah ﷺ bersabda,
“Pada suatu masa, ada seorang lelaki sedang berjalan melalui suatu jalan. Lalu dia merasa terlalu dahaga. Kebetulan dia menemukan sebuah sumur, maka dia turun ke sumur itu untuk minum. Setelah keluar dari sumur, dia melihat seekor anjing menjulurkan lidahnya menjilat-jilat tanah kerana dahaga. Orang itu berkata dalam hatinya: ‘Alangkah dahaganya anjing itu, seperti yang baru ku alami tadi’. Lalu dia turun kembali ke sumur, kemudian dia mencedok air dengan kasutnya, dibawanya ke atas dan diminumkannya kepada anjing itu. Maka Allah berterima kasih kepada orang itu (amalnya diterima) dan mengampuni dosanya. Para sahabat bertanya: ‘Ya Rasulullah, adakah bagi kami atas perbuatan terhadap binatang juga ada pahala?’ Jawab baginda: ‘Ya, setiap hati yang basah (bersikap rahmat) ada pahala’.”
(HR. Bukhari,no.2363,6009. Muslim,no.2244)

:: Hadis 9 ::
dari ‘Abdullah bin ‘Amr,Rasulullah ﷺ bersabda,
“Bukanlah dari golongan kami, sesiapa yang tidak mengasihi kanak-kanak dan tidak pula menghormati orang tua di kalangan kami.”
(HR. at-Tirmidzi,no.1920. Dinilai sahih oleh imam at-Tirmidzi pada hadis no.1921)

No comments:

Post a Comment