Thursday, April 4, 2013

Kisah Orang Yang Terakhir Masuk Syurga

:: Hadis 1 ::
Dari 'Abdullah bin Mas'ud,Rasulullah ﷺ bersabda,
“Sesungguhnya aku tahu tentang orang yang terakhir akan keluar dari neraka, dan orang yang terakhir memasuki syurga. Dia adalah seorang lelaki yang akan keluar dari neraka dalam keadaan merangkak. Lalu Allah berkata: ‘Pergilah, dan masuklah ke dalam syurga’. Lalu lelaki itu pergi ke syurga tetapi dia membayangkan bahawa syurga telah penuh. Lelaki itu pun kembali kepada Allah lalu berkata: ‘Wahai Tuhan, aku mendapati syurga telah penuh’. Allah berkata lagi: ‘Pergilah, dan masuklah ke dalam syurga’. Lalu lelaki itu pergi ke syurga tetapi dia membayangkan bahawa syurga telah penuh. Lelaki itu pun kembali kepada Allah lalu berkata: ‘Wahai Tuhan, aku mendapati syurga telah penuh’. Lalu Allah berkata: ‘Pergilah, dan masuklah ke dalam syurga. Sesungguhnya untuk engkau seperti dunia dan sepuluh kali gandanya’. Lelaki itu berkata: ‘Adakah Engkau mempermainkan aku, atau mentertawakan aku, sedangkan Engkau Raja?’.” Kata 'Abdullah bin Mas'ud: “Aku melihat Rasulullah ﷺ ketawa sehingga nampak gigi geraham baginda. Kemudian baginda bersabda: ‘Itulah penghuni surga yang paling rendah derajatnya’.”
(HR. Bukhari,no.6571. Muslim,no.186)

:: Hadis 2 ::
Dari 'Abdullah bin Mas'ud,Rasulullah ﷺ bersabda,
“Orang terakhir memasuki syurga ialah seorang lelaki yang berjalan, tersungkur dan dibakar oleh api neraka. Apabila dia telah melepasi api itu, dia akan berpaling dan berkata: ‘Maha suci keagungan Tuhan yang telah menyelamatkan aku daripada engkau, sesungguhnya Allah telah memberikan kepada aku sesuatu yang tidak pernah dia berikan kepada seorang pun daripada orang-orang yang awal dan terkemudian’. Lalu tumbuh satu pokok untuknya, seraya lelaki itu berkata: ‘Wahai Tuhan ku, dekatkanlah aku dengan pokok ini supaya aku dapat berteduh di bawahnya dan minum airnya’. Allah menjawab: ‘Wahai anak Adam, boleh jadi jika Aku memberikannya kepada engkau, engkau akan meminta yang lain pula’. Lelaki itu menjawab: ‘Tidak, wahai tuhan ku’. Dia berjanji tidak akan meminta selain itu, dan tuhannya memberikan keuzuran kerana lelaki itu melihat apa yang dia tidak mampu bersabar daripadanya. Lalu didekatkan dia kepada pokok itu, lalu dia berteduh dan minum airnya. Kemudian tumbuh satu pokok untuk lelaki itu dan pokok itu lebih baik daripada yang awal tadi. Lelaki itu berkata: ‘Wahai tuhan ku, dekatkan aku dengan pokok ini supaya aku dapat minum airnya dan berteduh di bawahnya. Aku tidak akan meminta yang lain lagi daripada engkau’. Allah berkata: ‘Wahai anak Adam, bukankah engkau telah berjanji kepada Aku untuk tidak meminta apa-apa yang lain. Boleh jadi jika aku dekatkan engkau kepada pokok ini, engkau akan meminta yang lain lagi’. Lelaki itu berjanji untuk tidak meminta yang lain lagi, dan tuhannya memberikan keuzuran kepadanya kerana lelaki itu melihat apa yang dia tidak mampu bersabar daripadanya. Didekatkannya kepada pokok itu, lalu lelaki itu berteduh di bawahnya dan meminum airnya. Kemudian tumbuh untuknya sebatang pokok di pintu syurga, pokok ini lebih baik daripada dua pokok yang awal tadi. Lelaki itu berkata: ‘Tuhan ku, dekatkan aku kepada pokok ini agar aku dapat berteduh di bawahnya dan meminum airnya. Aku tidak akan meminta selain itu’. Allah menjawab: ‘Wahai anak Adam, bukankah engkau telah berjanji untuk tidak meminta hal lain daripada aku?’ Lelaki itu menjawab: ‘Ya, wahai tuhan ku. Ini sahaja dan aku tidak akan meminta hal lain lagi’. Tuhannya memberikan keuzuran kepadanya kerana dia melihat sesuatu yang dia tidak dapat bersabar daripadanya. Lalu dia dibawa dekat kepada pokok itu. Apabila dia sudah menghampiri pokok itu, dia mendengar suara-suara ahli syurga, lalu dia berkata: ‘Wahai Tuhanku, masukkan aku ke dalamnya’. Tuhannya berkata: ‘Wahai anak Adam, apa yang akan menghentikan engkau daripada meminta kepada ku? Adakah itu akan membuatkan engkau redha jika Aku memberi kepada engkau dunia dan semisal dengannya bersamanya?’ Lelaki itu menjawab: ‘Tuhan ku, adakah engkau mempermainkan aku sedangkan Engkau tuhan sekalian alam?’ Kemudian Ibn Mas‘ud ketawa, lalu berkata (kepada para sahabat yang lain): “Tidak mahukah kamu bertanya kenapa aku ketawa?” Mereka bertanya: “Kenapa engkau ketawa?” Ibn Mas’ud menjawab: “Beginilah ketawa Rasulullah ﷺ. Para sahabat bertanya: ‘Kenapa engkau ketawa ya Rasulullah?’ Baginda menjawab: ‘Kerana ketawanya Allah ketika lelaki itu berkata: ‘Adakah engkau mempermainkan aku sedangkan Engkau tuhan sekalian alam?’ Allah menjawab: ‘Aku tidak mempermainkan engkau. Sebaliknya aku ini mampu melakukan apa yang aku mahu’.”
(HR. Muslim,no.187)

:: Hadis 3 ::
dari Abu Hurairah,dia berkata,
“Bahawa orang ramai bertanya: ‘Ya Rasulullah, adakah kami akan melihat tuhan kami pada hari kiamat?’ Rasulullah ﷺ menjawab: ‘Adakah kamu terhalang daripada melihat bulan purnama ketika ia penuh?’ Sahabat menjawab: ‘Tidak ya Rasulullah’. Baginda bertanya lagi: ‘Adakah kamu terhalang daripada melihat matahari ketika tiadanya kabus?’ Mereka menjawab: ‘Tidak ya Rasulullah’. Baginda berkata: ‘Kamu akan melihat Allah seperti itu. Allah akan mengumpulkan manusia pada hari Kiamat lalu berkata: ‘Sesiapa yang menyembah sesuatu, hendaklah dia mengikut apa yang dia sembah. Maka sesiapa yang menyembah matahari akan mengikut matahari, sesiapa yang menyembah bulan akan mengikut bulan, sesiapa yang menyembah thaghut-thaghut akan mengikut thaghut-thaghut. Tinggallah pada umat ini orang-orang yang baik’. Allah datang kepada mereka dan berkata: ‘Aku adalah tuhan kamu. Mereka (iaitu orang beriman mengingkari lalu) berkata: ‘Kami akan tetap di tempat ini sehingga datang kepada kami tuhan kami. Apabila datangnya tuhan kami, kami akan mengenalinya’. Lalu Allah datang kepada mereka dalam rupa yang mereka ketahui lalu berkata: ‘Aku adalah tuhan kamu’. Mereka menjawab: ‘Engkau adalah tuhan kami’. Lalu mereka mengikutnya. Dibentangkan al-Sirath melintasi neraka. Aku dan umat ku akan menjadi yang awal melintasinya. Tiada sesiapa yang bercakap pada hari itu kecuali para rasul, dan doa para rasul pada hari itu ialah: ‘Ya Allah, selamatkan, selamatkan’. Di neraka terdapat cangkuk-cangkuk seperti duri al-Sa’dan. Adakah kamu pernah melihat pokok al-Sa’dan?’ Sahabat menjawab: ‘Pernah wahai Rasulullah’. Baginda berkata: ‘Sesungguhnya cangkuk ini seperti duri pokok al-Sa’dan, tiada siapa yang tahu besarnya saiz dia kecuali Allah. Cangkuk-cangkuk itu akan menarik manusia berdasarkan amalan mereka.  Ada yang terjatuh ke dalam neraka dan kekal di dalamnya, sebahagian lagi dipotong dan dicampak ke dalam neraka, dan selainnya. Sehingga apabila Allah selesai memutuskan qadha untuk hamba-hambaNya, dan Dia mahu mengeluarkan dengan rahmat-Nya sesiapa yang Dia kehendaki. Lalu Allah menyuruh malaikat mengeluarkan dari neraka sesiapa yang tidak menyekutukan Allah dengan sesuatu pun, dan sesiapa yang Allah kehendaki dengan rahmat-Nya daripada mereka yang bersaksi tiada tuhan yang berhak disembah selain Allah. Malaikat mengenali mereka di neraka dengan tanda sujud mereka. Api neraka akan membakar manusia kecuali pada bahagian sujud mereka. Allah mengharamkan ke atas neraka daripada membakar kesan sujud. Mereka keluar dari neraka dalam keadaan sudah terbakar. Disiram ke atas mereka air kehidupan, lalu mereka tumbuh di bawahnya sebagaimana tumbuhnya biji benih pada aliran sungai. Kemudian Allah selesai memutuskan nasib hamba-hamba-Nya. Lalu tinggal seorang lelaki yang wajahnya menghadap neraka, dan dia adalah penghuni neraka terakhir akan masuk ke syurga. Dia berkata: ‘Wahai tuhan ku, palingkanlah wajah ku dari neraka. Sesungguhnya udaranya menggangguku dan kepanasannya membakarku’. Dia meminta kepada Allah apa yang dia kehendaki. Kemudian Allah berkata: ‘Boleh jadi engkau akan meminta hal lain jika aku memberikan apa yang kau minta’. Lelaki itu berkata: ‘Tidak, demi kemuliaan-Mu, aku tidak akan meminta apa-apa selain itu’. Kemudian dia akan memberikan kepada tuhannya janji sebagaimana yang Allah kehendaki. Lalu Allah memalingkan wajahnya dari api neraka. Apabila dia menghadap ke arah syurga, dia melihatnya, lalu dia mendiamkan diri selama mana yang Allah kehendaki. Kemudian dia berkata: ‘Wahai tuhan ku, hampirkanlah aku ke pintu syurga’. Allah berkata: ‘Bukankah engkau telah berjanji untuk tidak meminta hal lain daripada Aku selamanya selain daripada apa yang telah aku berikan kepada engkau? Sungguh engkau memungkiri janji wahai anak Adam’. Dia berkata: ‘Wahai tuhan ku’, dia terus berdoa kepada Allah sehingga Allah berkata: ‘Boleh jadi engkau akan meminta hal lain jika aku memberikan apa yang kau minta’. Lelaki itu berkata: ‘Tidak, demi kemuliaan-Mu, aku tidak akan meminta apa-apa selain itu’. Lalu dia berjanji kepada tuhannya, lalu dia digerakkan ke pintu syurga. Apabila dia berdiri di pintu syurga, terbuka untuknya syurga dan dia melihat kesenangan yang ada di dalamnya. Lalu dia mendiamkan diri selama yang Allah kehendaki, kemudian dia berkata: ‘Wahai tuhan ku, masukkanlah aku ke dalam syurga’. Allah berkata: ‘Bukankah engkau telah berjanji untuk tidak meminta hal lain daripada Aku selamanya selain daripada apa yang telah aku berikan kepada engkau? Sungguh engkau memungkiri janji wahai anak Adam’. Lelaki itu berkata: ‘Wahai tuhan ku, janganlah aku menjadi makhluk yang paling sengsara’. Dia terus berdoa sehingga Allah ketawa kepadanya. Selepas mentertawakannya, Allah berkata kepadanya: ‘Masuklah ke syurga’. Apabila dia telah masuk ke syurga, Allah berkata kepadanya: ‘Berharaplah untuk apa-apa sahaja’. Lalu lelaki itu memohon kepada Allah dan berharap untuk apa-apa yang dia mahu sehingga Allah mengingatkannya untuk mengharap perkara tertentu sehingga selesailah semua permintaannya. Allah berkata: ‘Itu semua untuk engkau dan yang semisalnya bersamanya’.”
(HR. Bukhari,no.7437)

:: Hadis 4 ::
dari al-Mughirah bin Syu’bah,Nabi ﷺ bersabda,
“Musa bertanya kepada tuhannya: ‘Siapakah orang yang paling rendah kedudukannya di syurga nanti?’ Allah menjawab: ‘Dia adalah orang yang paling akhir masuk syurga selepas semua penghuni lain memasukinya, lalu dikatakan kepadanya: ‘Masuklah ke dalam syurga!’ Orang itu menjawab: ‘Wahai Tuhanku, bagaimana mungkin, sedangkan setiap orang telah menempati kedudukan mereka dan telah mengambil apa yang menjadi bahagian mereka?’ Lalu ditanya kembali kepadanya: ‘Apakah engkau tidak redha (suka) jika kau mendapat bahagian kerajaan seperti seorang raja di antara raja-raja dunia?’ Orang itu menjawab: ‘Aku redha wahai Tuhan’. Lalu Allah berkata kepadanya: ‘Kau akan dapat seperti itu, digandakan, digandakan, digandakan. Pada kali kelima, orang itu berkata: ‘Aku redha wahai Tuhan’. Allah berkata: ‘Ini kurniaan untukmu, dan kamu akan mendapatkan 10 kali ganda, dan segala yang kau inginkan dan suka pada pandanganmu’. Orang itu berkata: ‘Aku redha wahai Tuhan’...”
(HR. Muslim,no.189)

No comments:

Post a Comment