dari Anas,dia berkata,
“Nabi ﷺ bersabda kepada Fathimah: ‘Apa yang menghalangmu daripada mendengar apa yang aku wasiatkan kepadamu? Hendaklah kamu ucapkan apabila pagi dan petang:
يَا حَيُّ يَا قَيُّومُ بِرَحْمَتِكَ أَسْتَغِيثُ أَصْلِحْ لِي شَأْنِي كُلَّهُ وَلَا تَكِلْنِي إِلَى نَفْسِي طَرْفَةَ عَيْنٍ
Ya H̱ayyu Ya Qayyum, Biroẖmatika Astaghist. As̄liẖ Lii Syaknii Kullah, Wala Takilni ilaa Nafsi Thorfata ‘Ain
(Wahai Yang Maha Hidup, Wahai Yang Maha Berdiri Sendiri. Dengan rahmat-Mu aku memohon pertolongan, perbaikilah segala urusanku, dan janganlah Engkau serahkan aku kepada diriku walau sekelip mata).”
(HR. an-Nasaie [rujuk: Sunan al-Kubra,no.10405]. al-Hakim [rujuk: al-Mustadrak,no.2000])
NOTA:
Kata imam al-Hakim setelah meriwayatkan hadis ini: “Hadis ini sahih menurut syarat Syakhain, namun mereka tidak meriwayatkannya”. Hadis ini dinilai Hasan oleh Syaikh al-Albani (rujuk: Sahih Jami’ al-Saghir,no.10759). Namun hadis ini dinilai sedikit Dhaif (Dhaif yang terlalu ringan) oleh Syaikh Musthofa al-‘Adawi (rujuk: video).
Tuesday, December 31, 2024
Doa Agar Allah Mengurus Urusan Kita
Monday, December 30, 2024
Peristiwa ‘Aisyah (Isteri Nabi ﷺ) Dituduh Berzina

dari ‘Aisyah,dia berkata,
“Biasanya Rasulullah ﷺ apabila hendak keluar melakukan perjalanan, baginda membuat undian di antara isteri-isterinya. Siapa sahaja antara mereka yang undiannya keluar, maka baginda akan keluar bersamanya. Baginda pun mengadakan undian antara kami dalam suatu perjalanan untuk perang yang akan Baginda lakukan. Akhirnya undianku keluar dan aku pun berangkat bersama baginda, dan pada saat itu telah diturunkan ketetapan hijab. Aku dibawa di atas sekedup dan diturunkan bersamanya (semasa di persinggahan). Kami pun berjalan hingga setelah Rasulullah ﷺ selesai daripada peperangannya itu, baginda berangkat pulang dan kami telah menghampiri Madinah. Maka baginda mengumumkan pada waktu malam untuk berangkat (meneruskan perjalanan). Saat mereka mengumumkan untuk berangkat, lalu aku berjalan sehingga melepasi (penempatan) pasukan tentera. Ketika aku telah menyelesaikan hajatku, aku kembali ke tempatku, kemudian menyentuh dadaku, tiba-tiba aku mendapati kalungku, yang diperbuat daripada Jaz‘i azfar telah terputus (hilang). Aku pergi semula dan mencari kalungku, dan aku pun tertahan (daripada menyertai mereka yang sedang bersiap untuk balik) disebabkan mencarinya. Kemudian datang orang-orang yang ditugaskan untuk mengangkatku lalu mengangkat sekedupku dan meletakkannya di atas unta yang aku tungganginya sebelum ini. Mereka menyangka aku berada di dalamnya. Perempuan-perempuan pada masa itu ringan (badannya), tidak berat dan tidak pula gemuk. Mereka hanya memakan beberapa suap makanan. Oleh itu, orang-orang yang mengangkat sekedup tidak berasa pelik dengan keberatan sekedup itu ketika mengangkatnya, lalu mereka mengangkatnya. Tambahan pula ketika itu aku seorang wanita yang masih muda. Mereka pun melepaskan unta, lalu bergerak pergi. Aku menemukan kalungku setelah pasukan tentera berlalu pergi. Aku datang ke perkhemahan mereka, namun tidak ada seorang pun di sana, lalu aku pergi ke tempat persinggahan tadi, dan aku merasakan bahawa mereka akan menyedari ketiadaanku, dan mereka akan kembali semula kepadaku. Ketika sedang duduk, aku dikuasai oleh rasa mengantuk sehingga aku tertidur. Sementara itu, Sofwan bin al-Mu‘aththal as-Sulami, kemudian dinisbahkan kepada al-Zakwani berada di belakang pasukan. Maka, beliau telah sampai ke tempatku dan melihat kelibat seseorang yang sedang tidur, lalu beliau datang kepadaku dan beliau pernah melihatku sebelum turun perintah hijab. Aku terbangun mendengar suaranya mengucapkan istirja’. Ketika beliau menurunkan tunggangannya, kemudian beliau memijak kaki depan unta, lalu aku menaikinya. Beliau berjalan menuntun kenderaanku hingga kami sampai kepada pasukan tentera tersebut ketika mereka berhenti singgah pada waktu tengahari. Binasalah mereka yang binasa! Orang yang mengepalai mereka yang menyebarkan berita dusta adalah ‘Abdullah bin Ubai bin Salul. Kami telah sampai ke Madinah, dan aku (‘Aisyah) telah jatuh sakit di sana selama sebulan. Dalam pada itu, orang ramai sedang menyebarkan perkataan para penyebar berita dusta. Satu hal yang mencurigakanku saat sakit, iaitu bahawa aku tidak nampak daripada Nabi ﷺ kelembutan yang biasa aku melihat daripadanya ketika aku sakit sebelum ini. Baginda hanya masuk, memberi salam lalu bertanya: ‘Bagaimanakah keadaanmu?’ Aku tidak merasakan apapun daripada kejadian itu hingga aku telah sembuh. Aku keluar bersama Ummu Misthaẖ ke arah al-Manas̄i’ iaitu tempat kami qada’ hajat. Kami tidak keluar kecuali dari satu malam ke malam berikutnya, hanya pada malam hari. Hal itu berlaku sebelum dibina tandas yang dekat dengan rumah-rumah kami. Keadaan kami sama seperti keadaan orang-orang Arab terdahulu yang mencari kawasan pedalaman atau tempat yang sangat jauh daripada penduduk (untuk qada’ hajat). Kemudian aku kembali bersama Ummu Misthaẖ binti Abu Ruhm sambil berjalan kaki. Beliau telah tergelincir kerana terpijak kainnya, lalu mengatakan: ‘Celakalah Misthaẖ!’ Aku berkata kepadanya: ‘Alangkah buruk apa yang engkau katakan, adakah engkau mencaci maki seorang lelaki yang turut serta dalam perang Badar?’ Beliau berkata: ‘Wahai sayangku! Adakah engkau belum mendengar apa yang mereka katakan?’ Lalu beliau (Ummu Misthaẖ) menceritakan kepadaku tentang perkataan para penyebar berita dusta. Maka, semakin bertambah rasa sakitku yang telah ada. Ketika kembali ke rumahku, Rasulullah ﷺ masuk menemuiku dan memberi salam, kemudian bertanya: ‘Bagaimanakah keadaanmu?’ Aku berkata: ‘Izinkanlah aku pergi kepada kedua ibu bapaku’. Ketika itu, aku ingin mencari kepastian tentang cerita tersebut daripada mereka berdua. Rasulullah ﷺ pun mengizinkanku. Aku datang kepada kedua ibu bapaku dan berkata kepada ibuku: ‘Apakah yang dibicarakan oleh orang-orang tentang diriku?’ Beliau menjawab: ‘Wahai puteriku kesayanganku! Tenanglah menghadapi masalah ini. Demi Allah, sangat sedikit wanita cantik yang bersama suami yang mencintainya dan dia mempunyai madu melainkan mereka akan banyak membicarakan tentang (keburukan) wanita itu’. Aku berkata: ‘Maha Suci Allah! Benarkah orang ramai telah membicarakan hal ini?’ Malam itu aku bermalam sehingga pagi dengan air mata yang terus mengalir dan aku tidak dapat tidur. Kemudian Rasulullah ﷺ memanggil ‘Ali bin Abu Thalib dan Usamah bin Zaid (ketika wahyu lambat turun) untuk meminta pendapat daripada keduanya untuk menceraikan isterinya. Adapun Usamah, beliau menyarankan kepada baginda dengan saranan yang beliau tahu ada pada diri Nabi ﷺ iaitu kecintaan baginda terhadap mereka. Usamah berkata: ‘Isterimu, wahai Rasulullah, dan kami tidak mengetahui, demi Allah, melainkan kebaikan’. Adapun ‘Ali bin Abu Thalib berkata: ‘Wahai Rasulullah! Allah tidak sekali-kali akan menyempitkanmu dan wanita-wanita selainnya masih ramai, tanyalah kepada hamba perempuan, nescaya dia akan membenarkan hal itu kepadamu’. Rasulullah ﷺ memanggil Barirah dan bertanya: ‘Adakah engkau pernah melihat padanya sesuatu yang mencurigakanmu?’ Barirah berkata: ‘Tidak, demi Allah yang telah mengutusmu dengan kebenaran, aku tidak pernah melihat apa-apa perkara padanya yang boleh untuk aku pandang rendah lebih daripada bahawa beliau hanyalah seorang wanita yang masih muda. Beliau tertidur meninggalkan adunan keluarganya, lalu datang kambing memakannya’. Pada hari itu, Rasulullah ﷺ berdiri dan mencari keuzuran (pembelaan) daripada (tuduhan) ‘Abdullah bin Ubai bin Salul. Rasulullah ﷺ bersabda: ‘Siapakah yang dapat membelaku daripada orang yang gangguannya berkenaan isteriku sampai kepadaku? Maka, demi Allah, aku tidak mengetahui isteriku kecuali seorang yang baik. Mereka telah menyebutkan pula seseorang yang aku tidak mengetahuinya kecuali orang yang baik. Beliau tidak masuk menemui isteriku melainkan bersama denganku’. Maka, Sa‘d bin Mu‘adz telah berdiri seraya berkata: ‘Wahai Rasulullah, demi Allah, aku akan membelamu daripadanya. Sekiranya dia berasal daripada suku Aus, nescaya kami akan memenggal lehernya. Sekiranya dia saudara kami dalam kalangan suku Khazraj dan engkau memerintahkan kami, nescaya kami akan melakukan perintahmu’. Kemudian Sa‘d bin ‘Ubadah telah berdiri, dan beliau ialah ketua suku Khazraj. Sebelum itu, beliau seorang yang soleh, namun semangat perkauman telah menimbulkan kemarahannya. Beliau berkata: ‘Demi Allah, engkau berdusta! Demi Allah, engkau tidak akan membunuhnya dan tidak akan mampu melakukannya’. Lalu Usaid bin H̱udhair bangun seraya berkata: ‘Engkau berdusta, demi Allah, pasti kami akan membunuhnya! Sungguh engkau adalah orang munafiq dan membela orang-orang munafiq’. Terjadi pergolakan antara dua suku kaum; Aus dan Khazraj hingga hampir-hampir mereka berperang, dan Rasulullah ﷺ masih berada di atas mimbar. Baginda turun dan menenangkan mereka sehingga mereka tenang. Baginda pun diam. Aku terus menangis pada hari itu, dan air mataku tidak pernah kering daripadaku serta aku tidak dapat tidur. Pada pagi hari, kedua ibu bapaku telah berada di sisiku, sementara aku terus-menerus menangis satu hari dua malam hingga aku merasakan tangisan akan membelah hatiku. Ketika keduanya sedang duduk di sisiku dan aku masih terus menangis, tiba-tiba seorang wanita daripada kalangan Ans̄ar meminta izin dan aku memberi izin kepadanya, lalu dia duduk dan menangis bersamaku. Ketika kami dalam keadaan demikian, Rasulullah ﷺ masuk dan duduk, dan baginda tidak pernah duduk di sebelahku sejak hari yang dikatakan mengenaiku apa yang dikatakan sebelumnya. Telah berlalu satu bulan dan belum diwahyukan kepada baginda sesuatupun tentang urusanku. Baginda bersyahadah kemudian bersabda: ‘Wahai ‘Aisyah! Sesungguhnya telah sampai kepadaku berita tentang dirimu begini dan begitu. Jika engkau bersih daripada semua itu, nescaya Allah akan membersihkanmu. Tetapi sekiranya engkau melakukan dosa, maka mohonlah keampunan kepada Allah dan bertaubatlah kepada-Nya; kerana sesungguhnya hamba apabila mengakui dosanya kemudian bertaubat, nescaya Allah akan menerima taubatnya’. Ketika Rasulullah ﷺ selesai perkataannya, air mataku berhenti keluar hingga aku tidak merasakan satu titis pun. Aku berkata kepada bapaku: ‘Berilah jawapan kepada Rasulullah ﷺ bagi pihakku’. Maka, beliau berkata: ‘Demi Allah, aku tidak tahu apa yang perlu dikatakan kepada Rasulullah ﷺ’. Lalu aku berkata pula kepada ibuku: ‘Berilah jawapan kepada Rasulullah ﷺ bagi pihakku pada apa yang telah baginda katakan’. Beliau berkata: ‘Demi Allah! Aku tidak tahu apa yang perlu aku katakan kepada Rasulullah ﷺ’. Ketika itu aku seorang budak perempuan yang masih kecil dan belum banyak membaca al-Quran. Aku berkata: ‘Demi Allah! Sungguh aku telah mengetahui bahawa kamu semua telah mendengar apa yang diperbualkan orang, hal itu telah meninggalkan kesan dalam hati kamu dan kamu telah membenarkannya, sekiranya aku mengatakan kepada kamu bahawa aku bersih (daripada dosa), dan Allah Maha Mengetahui bahawa aku benar-benar bersih (daripadanya), pasti kamu tidak akan mempercayai aku dalam hal itu. Kalau aku mengaku kepadamu tentang suatu perkara, dan Allah Maha Mengetahui bahawa sesungguhnya aku bersih (daripadanya), nescaya engkau akan mempercayaiku. Demi Allah! Aku tidak mendapatkan pemisalan bagi diriku dan dirimu kecuali bapa Nabi Yusuf ketika mengatakan: ‘Maka kesabaran yang baik itulah (kesabaranku). Dan Allah sahajalah yang dimohonkan pertolongan-Nya terhadap apa yang engkau ceritakan (Yusuf [12]: ayat 18)’. Kemudian aku berpindah ke tempat tidurku sambil berharap Allah akan membersihkanku. Akan tetapi, demi Allah, aku tidak pernah sangka akan diturunkan wahyu mengenai keadaanku. Sungguh aku lebih rendah pada pandangan diriku untuk disebut dalam al-Quran mengenai keadaanku. Akan tetapi, aku berharap Rasulullah ﷺ akan melihat di dalam tidurnya mimpi yang akan membebaskanku (daripada tuduhan itu). Demi Allah, sebelum sempat baginda beredar daripada tempat duduknya, dan sebelum seorang pun yang ada di dalam rumahnya sempat keluar, tiba-tiba turun wahyu kepada baginda. Maka terjadi kepada baginda kesusahan yang biasa terjadi kepada baginda (ketika menerima wahyu), sehingga menitis daripada baginda peluh seperti permata pada hari yang sejuk. Setelah keadaan itu dihilangkan daripada Rasulullah ﷺ, baginda tersenyum, dan kalimah pertama yang baginda ucapkannya ialah baginda bersabda kepadaku: ‘Wahai ‘Aisyah, pujilah Allah! Sungguh Allah telah membersihkanmu (daripada tuduhan)’. Ibuku berkata kepadaku: ‘Berdirilah kepada Rasulullah ﷺ!’ Aku berkata: ‘Tidak, demi Allah, aku tidak akan berdiri kepadanya dan aku tidak akan memuji melainkan Allah’. Allah Ta‘ala menurunkan firman-Nya: ‘Sesungguhnya orang-orang yang membawa berita yang amat dusta itu ialah segolongan dari kalangan kamu; janganlah kamu menyangka (berita yang dusta) itu buruk bagi kamu, bahkan ia baik bagi kamu. Tiap-tiap seorang di antara mereka akan beroleh hukuman sepadan dengan kesalahan yang dilakukannya itu, dan orang yang mengambil bahagian besar dalam menyiarkannya di antara mereka, akan beroleh seksa yang besar (di dunia dan di akhirat) (an-Nur [24]: ayat 11)’. Ketika Allah menurunkan ayat ini, berkaitan kesucianku, maka Abu Bakar as̄-S̄iddiq berkata sedangkan sebelum ini beliau sering memberi nafkah kepada Misthaẖ bin Utsatsah kerana hubungan kerabat antara mereka: ‘Demi Allah, aku tidak akan memberi nafkah sedikitpun kepada Misthaẖ untuk selama-lamanya setelah apa yang beliau telah katakan tentang ‘Aisyah’. Lalu Allah Ta‘ala menurunkan firman-Nya: ‘Dan janganlah orang-orang yang berharta serta lapang hidupnya dari kalangan kamu, bersumpah tidak mahu lagi memberi bantuan kepada kaum kerabat dan orang-orang miskin serta orang-orang yang berhijrah pada jalan Allah; dan (sebaliknya) hendaklah mereka memaafkan serta melupakan kesalahan orang-orang itu; tidakkah kamu suka supaya Allah mengampunkan dosa kamu? Dan (ingatlah) Allah Maha Pengampun lagi Maha Mengasihani (an-Nur [24]: ayat 22)’. Abu Bakar berkata: ‘Bahkan demi Allah, sungguh aku benar-benar ingin Allah memberi keampunan kepadaku’. Beliau kembali memberikan kepada Misthaẖ apa yang biasa diberikan sebelumnya. Rasulullah ﷺ pernah bertanya kepada Zainab binti Jahsyi tentang urusanku. Baginda bersabda: ‘Wahai Zainab! Apakah yang engkau ketahui? Apakah yang engkau lihat?’ Beliau menjawab: ‘Wahai Rasulullah! Aku menjaga pendengaranku dan penglihatanku. Demi Allah, aku tidak mengetahui dirinya kecuali yang baik’. Beliau adalah orang yang menyaingiku, namun Allah telah melindunginya dengan sifat wara’.”
(HR. Bukhari,no.2661)
Friday, December 27, 2024
Doa Agar Selalu Mengingati Allah, Bersyukur Dan Beribadah Kepada-Nya

dari Mu‘adz bin Jabal,Rasulullah ﷺ bersabda,
“Wahai Mu‘adz, demi Allah, sesungguhnya aku mencintaimu. Demi Allah, sesungguhnya aku mencintaimu. Aku berpesan kepadamu wahai Mu‘adz, janganlah kau meninggalkan pada penghujung setiap solat dari kau membaca:
اللَّهُمَّ أَعِنِّى عَلَى ذِكْرِكَ وَشُكْرِكَ وَحُسْنِ عِبَادَتِكَ
Allahumma a-‘inni ‘alaa dzikrika, wa syukrika, wa ẖusni ‘ibadatik
(Ya Allah, bantulah aku untuk mengingati-Mu, bersyukur kepada-Mu, dan elok dalam beribadah kepada-Mu).”
(HR. Abu Daud,no.1522)
NOTA:
Hadis ini dinilai sahih oleh Syaikh al-Albani (rujuk: Sahih Sunan Abi Daud,no.1522), juga dinilai sahih oleh Syaikh Musthofa al-‘Adawi (rujuk: video).
Tuesday, December 24, 2024
Ketika Rasulullah Melalui Ujian Yang Berat

:: Hadis 1 ::
dari ‘Aisyah,dia berkata bahawa dia bertanya kepada Rasulullah ﷺ,
“Wahai Rasulullah, adakah hari yang lebih berat bagimu daripada hari Uhud?” Baginda menjawab: “Sesungguhnya aku telah menghadapi banyak perkara daripada kaummu, dan hari yang paling berat bagiku adalah hari di Aqabah, ketika aku menemui Ibn ‘Abd Yalil bin ‘Abd Kulal untuk menyeru kepadanya, tetapi dia tidak menjawab seperti yang aku harapkan. Aku pun pergi dalam keadaan sangat sedih dan terus berjalan tanpa arah, sehingga aku sampai di Qarn ast-Tsa’alib. Lalu aku mengangkat kepalaku dan melihat ada awan yang menaungiku. Aku memandang ke dalamnya, dan ternyata ada Jibril di sana. Dia memanggilku dan berkata: ‘Sesungguhnya Allah telah mendengar apa yang dikatakan oleh kaummu kepadamu dan bagaimana mereka menolakmu. Allah telah mengutus malaikat penjaga gunung kepadamu untuk kamu arahkan apa yang kamu kehendaki terhadap mereka. (Baginda meneruskan:) Kemudian malaikat penjaga gunung memanggilku dan memberi salam kepadaku. Dia berkata: ‘Wahai Muhammad, sesungguhnya Allah telah mendengar apa yang dikatakan oleh kaummu kepadamu. Aku adalah malaikat penjaga gunung, dan Tuhanmu telah mengutusku kepadamu untuk menuruti perintahmu. Apa yang engkau kehendaki? Jika engkau mahu, aku akan menghancurkan mereka dengan menimpakan dua gunung ini kepada mereka’.” Namun, Rasulullah ﷺ menjawab: “Tidak, bahkan aku berharap semoga Allah mengeluarkan dari keturunan mereka orang-orang yang menyembah Allah semata-mata dan tidak menyekutukan-Nya dengan sesuatu pun.”
(HR. Bukhari,no.3231. Muslim,no.1795)
:: Hadis 2 ::
dari Anas bin Malik,dia berkata,
“Kami pergi bersama Rasulullah ﷺ menemui tukang besi bernama Abu Saif, dan dia ialah suami kepada ibu susu Ibrahim (anak Nabi). Rasulullah ﷺ mengambil Ibrahim dan menciumnya serta mencium baunya dan kemudian kami memasuki rumah Abu Saif selepas itu. Pada masa itu Ibrahim menghembuskan nafasnya yang terakhir, lalu mata Rasulullah ﷺ mulai bergenangan. ‘Abd al-Rahman bin ‘Auf berkata kepada baginda: ‘engkau menangis wahai Rasulullah?’ Baginda bersabda: ‘Wahai Ibn ‘Auf, ini ialah rahmat’. Kemudian air mata baginda mengalir lagi. Sabda baginda: ‘Sesungguhnya mata menangis dan hati bersedih, kami tidak akan mengucapkan sesuatu melainkan apa yang Tuhan kami redha. Wahai Ibrahim! Sesungguhnya kami bersedih dengan perpisahanmu’.”
(HR. Bukhari,no.1303)
:: Hadis 3 ::
dari ‘Aisyah,dia berkata,
“Aku tidak pernah melihat seseorang yang lebih berat menanggung kesakitan daripada Rasulullah ﷺ.”
(HR. Bukhari,no.5646. Muslim,no.2570)
:: Hadis 4 ::
dari ‘Abdullah bin Mas‘ud,ia berkata,
“Aku pernah menemui Rasulullah ﷺ ketika beliau sedang sakit, lalu aku berkata: ‘Wahai Rasulullah, engkau sedang mengalami sakit yang amat berat’. Baginda bersabda: ‘Benar, rasa sakit yang menimpaku ini sama sepertimana rasa sakit yang menimpa dua orang daripada kamu’. Aku kemudian berkata: ‘Sebab itu engkau mendapat dua pahala?’ Baginda menjawab: ‘Benar, seperti itulah. Tidaklah seorang muslim yang tertimpa suatu musibah (penyakit) atau yang lain, melainkan Allah akan menghapuskan kesalahan-kesalahannya sepertimana pohon menggugurkan dedaunannya’.”
(HR. Bukhari,no.5648)
:: Hadis 5 ::
dari Ja’far bin ‘Amru bin Umayyah al-Dhamri,dia berkata,
“Aku keluar bersama ‘Ubaidillah bin ‘Adi bin al-Khiyar, dan apabila kami tiba di H̱ims̄, ‘Ubaidillah berkata kepadaku: ‘Adakah kamu ingin bertemu dengan Waẖsyi, kita bertanya kepadanya tentang pembunuhan H̱amzah?’ Aku menjawab: ‘Ya’. Waẖsyi tinggal di H̱ims̄, jadi kami bertanya mengenai beliau, dan dikatakan kepada kami bahawa dia berada di bawah bayang-bayang istananya, seperti orang yang sedang berehat. Kemudian kami pergi hingga berhenti tidak jauh darinya, kami memberi salam, dan dia membalas salam kami. ‘Ubaidillah menutup kepalanya dengan serbannya, sehingga Waẖsyi hanya dapat melihat matanya dan kakinya. ‘Ubaidillah berkata: ‘Waẖsyi, adakah kamu mengenaliku?’ Dia memandangnya kemudian berkata: ‘Tidak, demi Allah, kecuali aku tahu bahawa ‘Adi bin al-Khiyar telah mengahwini seorang wanita bernama Ummu Qital binti Abi al-‘Is̄, dan dia melahirkan seorang anak lelaki untuknya di Mekah, dan aku yang menyusukan anak lelaki itu. Aku membawanya bersama ibunya, lalu aku serahkan anak itu kepadanya. Seolah-olah saya melihat kaki kamu’. Lalu ‘Ubaidillah membuka pelitup wajahnya. Kemudian berkata: ‘Tidakkah engkau mahu mengkhabarkan kepada kami tentang pembunuhan H̱amzah?’ Beliau menjawab: ‘Baiklah. H̱amzah membunuh Thu‘aimah bin ‘Adi bin al-Khiyar dalam perang Badar. Maka tuan aku Jubair bin Muth‘im berkata kepadaku: ‘Jika engkau dapat membunuh H̱amzah sebagai membalas dendam ke atas ayah saudaraku maka engkau akan dimerdekakan’.’ Beliau berkata: ‘Apabila orang Mekah hendak keluar (untuk menyertai perang Uhud) pada tahun ‘Ainain iaitu nama bukit yang setentang dengan bukit Uhud yang antara ia dan Uhud terdapat lembah, aku keluar bersama mereka. Ketika mereka telah berbaris untuk berperang, Siba’ keluar dan berkata: ‘Ada sesiapa (daripada orang Islam) yang ingin bertarung denganku?’ Beliau berkata: ‘Lalu H̱amzah bin ‘Abd al-Mutthalib maju kepadanya dan berkata: ‘Wahai Siba’, wahai putera Ummu Anmar tukang khatan wanita, adakah engkau menentang Allah dan Rasul-Nya ﷺ?’ Beliau berkata: ‘Kemudian H̱amzah menyerangnya dan membunuhnya dia seperti semalam yang telah berlalu pergi tanpa meninggalkan kesan’. Beliau berkata: ‘Aku bersembunyi di bawah batu besar untuk menyerangnya. Ketika beliau mendekatiku, aku melempar tombak kecil ke arahnya, yang aku halakan ke bahagian bawah pusatnya sehingga tombak itu tembus keluar dari punggungnya’. Beliau berkata: ‘Maka demikian itulah menjadi sebab kesyahidannya. Ketika orang ramai pulang semula ke Mekah, aku juga pulang bersama mereka. Lalu aku tinggal di Mekah sehinggalah Islam tersebar (di kota Mekah). Kemudian aku keluar menuju ke Thaif. Setelah itu mereka (penduduk Thaif) mengirim utusan kepada Rasulullah ﷺ dan dikatakan kepadaku bahawasanya baginda tidak menyakiti utusan. Aku pun keluar bersama mereka sehingga sampai kepada Rasulullah ﷺ. Ketika melihatku, baginda bertanya: ‘Adakah engkau Waẖsyi?’ Aku menjawab: ‘Benar’. Baginda bertanya lagi: ‘Adakah engkau yang membunuh H̱amzah?’ Aku berkata: ‘Halnya adalah seperti apa yang telah sampai kepadamu’. Baginda bersabda: ‘Bolehkah engkau sembunyikan wajahmu daripadaku?’ Beliau berkata: ‘Kemudian aku keluar, dan apabila Rasulullah ﷺ wafat, Musailimah al-Kadzdzab muncul. Aku berkata: ‘Aku akan keluar untuk menemui Musailimah, semoga aku dapat membunuhnya sebagai pembalasan untuk H̱amzah’. Maka aku keluar bersama orang ramai, dan terjadi perkara-perkara tertentu. Tiba-tiba, aku melihat seorang lelaki berdiri di celah tembok, seolah-olah dia seperti unta yang bertanduk, dengan rambut kepala yang terjuntai. Aku melemparkan tombakku kepadanya, dan aku menancapkannya di antara kedua-dua dadanya hingga keluar dari belakang bahunya. Kemudian, seorang lelaki dari kalangan Ans̄ar melompat kepadanya dan memukulnya dengan pedang di kepala’.”
(HR. Bukhari,no.4072)
:: Hadis 6 ::
dari ‘Umar bin al-Khattab,dia berkata,
“Ketika hari Perang Badar, Rasulullah ﷺ memandang kepada orang-orang musyrik yang jumlah mereka 1000 orang, sedangkan sahabat-sahabat baginda hanya 319 orang. Maka Nabi Allah ﷺ menghadap ke arah kiblat, lalu baginda mengangkat kedua-dua tangannya dan berdoa kepada Tuhannya:
اللَّهُمَّ أَنْجِزْ لِي مَا وَعَدْتَنِي اللَّهُمَّ آتِ مَا وَعَدْتَنِي اللَّهُمَّ إِنْ تَهْلِكْ هَذِهِ الْعِصَابَةُ مِنْ أَهْلِ الإِسْلاَمِ لاَ تُعْبَدْ فِي الأَرْضِ
Allahumma Anjizli Maa Wa‘adtani, Allahumma Ati Maa Wa‘adtani. Allahumma Intahlik Ha-dzihil ‘is̄obah Min Ahlil Islam, Laa Tu’bad Fil Ardh
(Ya Allah, sempurnakanlah untukku apa yang Engkau telah janjikan. Ya Allah, tunaikanlah apa yang Engkau telah janjikan kepadaku. Ya Allah, sekiranya binasa pasukan ini daripada kalangan orang Islam, pasti Engkau tidak akan disembah lagi di muka bumi ini).
Baginda terus-menerus berdoa kepada Tuhannya sambil mengangkat kedua-dua tangannya dan menghadap ke arah kiblat, sehingga selendangnya jatuh dari kedua bahunya. Maka datanglah Abu Bakar, lalu mengambil selendang baginda, meletakkannya kembali ke atas bahunya, dan memeluk baginda dari belakang. Abu Bakar berkata: ‘Wahai Nabi Allah, cukup sudah permintaanmu kepada Tuhanmu, sesungguhnya Dia pasti akan menyempurnakan apa yang telah dijanjikan kepadamu’. Lalu Allah ‘azza wa jalla menurunkan firman-Nya: “Ketika kamu memohon pertolongan kepada tuhan kamu, lalu Ia perkenankan permohonan kamu (dengan firman-Nya): ‘Sesungguhnya Aku akan membantu kamu dengan 1000 (bala tentera) dari malaikat yang datang berturut-turut (QS. al-Anfal [8]: ayat 9)’.” Maka Allah membantu baginda dengan para malaikat...”
(HR. Muslim,no.1763)
Monday, December 23, 2024
Tidak Mengapa Kekayaan Bagi Orang Bertaqwa

dari Mu‘adz bin ‘Abdullah bin Khubaib,dari ayahnya,dari pakciknya,bahawa Nabi ﷺ bersabda,
“..Tidak mengapa dengan kekayaan bagi orang yang bertaqwa, dan kesihatan bagi orang yang bertaqwa adalah lebih baik daripada kekayaan, dan hati yang tenang adalah sebahagian daripada kenikmatan.”
(HR. Ibnu Majah,no.2141. Ahmad,no.23158)
NOTA:
Hadis ini diperselisihi kesahihannya oleh Ulama’ Hadis. Hadis ini dinilai Sahih oleh Syaikh al-Albani (rujuk: Sahih Ibnu Majah,1741. Silsilah as-Sahihah,174). Dinilai Hasan oleh Syaikh Syu‘aib al-Arnauth (rujuk: Takhrij Sunan Ibnu Majah,3/237). Manakala hadis ini dinilai Dhaif oleh Syaikh Musthofa al-‘Adawi dalam video beliau, dengan katanya: “Sanaduhu fihi maqal (sanadnya terdapat perbincangan), tetapi maknanya baik” (rujuk: video), kemudian beliau menukilkan hadis sahih tentang doa Nabi ﷺ memohon kekayaan:
:: Hadis 2 ::
dari Ibnu Mas‘ud,dia berkata,
اللَّهُمَّ إِنِّي أَسْأَلُكَ الْهُدَى ، وَالتُّقَى ، وَالْعَفَافَ ، وَالْغِنَى
Allahumma inni As-alukal Huda, Wattuqo, Wal-‘Afafa, Wal Ghina
(Ya Allah, sesungguhnya aku memohon kepada-Mu petunjuk, ketaqwaan, sifat ‘iffah [menjauhkan dan menahan diri dari perkara yang diharamkan] dan kekayaan).”
(HR. Muslim,no.2721. at-Tirmidzi,no.3489. Ibn Majah,no.3105. Ahmad,no.3950. dan Ibn Hibban,no.900)
Thursday, December 19, 2024
Dosa Yang Allah Segerakan Balasannya Di Dunia

dari Abu Bakrah,Rasulullah ﷺ bersabda,
“Tiada dosa yang lebih layak untuk Allah percepatkan hukuman ke atas pelakunya di dunia, di samping hukuman yang disediakan untuknya di akhirat, selain daripada kezaliman dan memutuskan hubungan silaturrahim.”
(HR. at-Tirmidzi,no.2511. Dinilai hasan sahih oleh imam at-Tirmidzi)
Wednesday, December 18, 2024
Kelebihan Solat Witir

:: Hadis 1 ::
dari Abu Hurairah,Rasulullah ﷺ bersabda,
“Sesungguhnya Allah itu witir (tunggal), dan Dia menyukai yang ganjil.”
(HR. Ahmad,no.7731,7732,7896 & 10371. Bukhari,no.6410. Muslim,no.2677. Hadis ini lafaz Ahmad dan dinilai “sahih dengan syarat Syaikhan” oleh Syaikh Syu‘aib al-Arnauth dalam Takhrij Musnad Ahmad beliau)
:: Hadis 2 ::
dari ‘Aisyah,dia berkata,
“Setiap malam Rasulullah ﷺ akan menunaikan solat witir, dan berakhir masa witirnya sehingga sahur.”
(HR. Bukhari,no.996)
:: Hadis 3 ::
dari Ibnu ‘Umar,dia berkata,
“Kebiasaannya Nabi ﷺ solat malam ketika musafir di atas tunggangannya ke arah mana haiwan tunggangannya itu menghadap. Baginda melakukannya dengan isyarat, kecuali solat fardhu. Dan baginda mengerjakan solat witir di atas tunggangannya.”
(HR. Bukhari,no.1000)
NOTA:
Dari hadis ini dapat difahami, bahawa Rasulullah sangat mengambil berat tentang solat Witir. Kerana, walaupun ketika musafir, Rasulullah tidak meninggalkannya.
:: Hadis 4 ::
dari Abu Hurairah,dia berkata,
“Kekasihku (Rasulullah) ﷺ berwasiat kepadaku supaya melakukan tiga perkara iaitu: Berpuasa tiga hari pada setiap bulan, dua rakaat Dhuha dan melakukan solat witir sebelum tidur.”
(HR. Bukhari,no.1981. Muslim,no.721)
:: Hadis 5 ::
dari Kharijah bin Hudzafah,Rasulullah ﷺ bersabda,
“Sesungguhnya Allah ‘Azza wa Jalla mengurniakan kamu satu solat yang lebih baik daripada unta merah yang mahal harganya iaitu solat Witir. Maka jadikanlah ia di antara solat Isyak sehingga terbit fajar’.”
(HR. Abu Daud,no.1418. at-Tirmidzi,no.452. Ibnu Majah,no.1168)
NOTA:
Hadis ini Dha’if, dinilai Dha’if oleh imam at-Tirmidzi sendiri setelah beliau meriwayatkan hadis ini dengan katanya: “Hadis Kharijah bin Hudzafah adalah hadis Gharib, kami tidak mengetahuinya kecuali dari hadis Yazid bin Abi Habib..” (rujuk: Jami’ at-Tirmidzi,no.452). Hadis ini juga dinilai Dha’if oleh imam al-Bukhari dan imam an-Nawawi, sebagaimana yang dinukilkan oleh imam an-Nawawi, kata beliau: “Hadis ini diriwayatkan oleh Abu Daud dan at-Tirmidzi dengan lafaz (أمدكم) daripada riwayat Kharijah bin Hudzafah radhiyallahu ‘anhu, beliau berkata: Rasulullah ﷺ keluar menemui kami lalu bersabda: ‘Sesungguhnya Allah mengurniakan kamu satu solat yang lebih baik daripada unta merah yang mahal harganya iaitu solat Witir, maka jadikanlah ia di antara solat Isyak sehingga terbit fajar’. Inilah lafaz riwayat Abu Daud. Dalam riwayat at-Tirmidzi pula, disebutkan ‘di antara solat Isyak hingga terbit fajar’. Sanad hadis ini mempunyai kelemahan, dan imam al-Bukhari serta ulama lain menunjukkan kelemahannya” (rujuk: al-Majmu’ Syarh al-Muhadzdzab,4/18).
Malaikat Berkepala Kambing

dari al-‘Abbas bin ‘Abdul Mutthalib,dia berkata,
“Aku berada di al-Bathẖa' bersama satu kumpulan yang di dalamnya ada Rasulullah ﷺ. Lalu melintasi mereka segumpal awan, maka baginda memandang kepadanya dan bersabda: ‘Apakah yang kamu namakan ini?’ Mereka menjawab: ‘as-Saẖab (awan)’. Baginda bersabda: ‘Dan al-Muzn (awan yang membawa hujan)?’ Mereka menjawab: ‘Ya, al-Muzn’. Baginda bersabda lagi: ‘Dan al-‘Anan (awan tinggi)?’ Mereka menjawab: ‘Ya, al-‘Anan’. Kemudian baginda bersabda: ‘Adakah kamu tahu jarak antara langit dan bumi?’ Mereka menjawab: ‘Kami tidak tahu’. Baginda bersabda: ‘Sesungguhnya jarak antara keduanya adalah 71, 72, atau 73 tahun. Kemudian langit yang berada di atasnya juga demikian keadaannya sehingga disebutkan 7 lapisan langit. Di atas langit yang ketujuh terdapat lautan, di antara bahagian bawahnya dan atasnya adalah seperti jarak antara satu langit ke langit yang lain. Kemudian di atasnya terdapat 8 Au‘al di antara kuku-kuku kaki mereka dan lutut mereka seperti jarak antara satu langit ke langit yang lain. Kemudian di atas belakang mereka terdapat ‘Arasy, jarak antara bahagian bawah ‘Arasy dan bahagian atasnya adalah seperti jarak antara satu langit ke langit yang lain. Kemudian Allah Tabaraka wa Ta‘ala berada di atas itu’.”
(HR. Abu Daud,no.4723. at-Tirmidzi,no.3320. Ibnu Majah,no.193. Ini lafaz Abu Daud)
NOTA (1):
Tentang maksud “Au‘al”, imam ibnu al-Atsir berkata: “(Au‘al) iaitu malaikat-malaikat yang berbentuk seperti Au‘al (kambing gunung), dan seekornya disebut wa‘il dengan baris bawah pada huruf ‘ain...” (rujuk: al-Nihayah,3/355)
NOTA (2):
Adapun tentang kesahihan hadis ini, hadis ini dinilai Dha’if (lemah: tidak sahih) dan Mursal (sanadnya terputus) oleh para Ulama’ Hadis kerana hadis ini diriwayatkan oleh (perawi) Simak bin Harb dari ‘Abdullah bin ‘Amirah dari al-Aẖnaf bin Qais dari ‘Abbas bin Abi Mutthalib. Disisi imam al-Bukhari, hadis ini sanadnya terputus antara (perawi) ‘Abdullah bin ‘Amirah dan al-Aẖnaf bin Qais. Beliau (imam al-Bukhari) berkata: “Dan kami tidak mengetahui bahawa dia (‘Abdullah) mendengar daripada al-Aẖnaf” (rujuk: Tarikh al-Kabir,5/159). Ulama’ Hadis yang lain juga menilai bahawa hadis ini tidak sahih. Imam al-Bazzar berkata: “Kami tidak mengetahui hadis ini diriwayatkan dengan lafaz dan kandungan ini melainkan melalui sanad ini daripada al-‘Abbas daripada Nabi ﷺ. Dan ‘Abdullah bin ‘Amirah, kami tidak mengetahui sesiapa yang meriwayatkan daripadanya selain Simak bin Harb” (rujuk: Musnad al-Bazzar,4/115). Imam Ibnu ‘Adiy berkata: “Hadis ini ghoir mahfuzh (tidak terpelihara)” (rujuk: al-Kamil,9/27). Imam adz-Dzahabi berkata: “Simak bersendirian meriwayatkannya daripada ‘Abdullah, sedangkan ‘Abdullah tidak diketahui (majhul)” (rujuk: al-‘Uluw,1/60). Hadis ini dinilai Dha‘if oleh Syaikh al-Albani (rujuk: Silsilah adh-Dha‘ifah,1247) dan hadis ini juga dinilai Dha‘if oleh Syaikh Musthofa al-‘Adawi, kata beliau: “Hadis al-Au‘al Dha’if. Setiap hadis al-Au‘al dan al-Abdal tu Dha’if” (rujuk: video).
Wallahua‘lam.
Sunday, December 15, 2024
Manusia Ada 360 Sendi

dari ‘Aisyah,Rasulullah ﷺ bersabda,
“Sesungguhnya setiap manusia daripada anak Adam diciptakan dengan 360 sendi. Maka, sesiapa yang bertakbir kepada Allah (mengucapkan: Allahuakbar), memuji Allah (mengucapkan: Alhamdulillah), mengucapkan ‘La ilaha illallah’ (tiada tuhan yang berhak disembah selain Allah), bertasbih kepada Allah (mengucapkan: SubhanAllah), memohon keampunan (beristighfar) kepada Allah, menyingkirkan batu dari jalan, duri, atau tulang dari laluan orang ramai, menyeru kepada kebaikan, atau mencegah kemungkaran sehingga memenuhi bilangan 360 sendi itu, maka dia akan berjalan pada hari tersebut dengan dirinya dijauhkan dari api neraka.”
(HR. Muslim,no.1007)
Saturday, December 14, 2024
Gangguan Syaitan Ketika Solat

dari Abu Hurairah,Rasulullah ﷺ bersabda,
“..Sehinggalah iqamah itu telah selesai, maka syaitan akan kembali (mengganggu) hingga mengingatkan seseorang dalam dirinya. Syaitan berbisik: ‘Ingat demikian, ingat demikian’ untuk sesuatu yang tidak dia ingat sebelumnya hingga seorang lelaki itu tidak mengetahui berapa rakaat dia telah solat.”
(HR. Bukhari,no.608. Muslim,no.389)
Friday, December 13, 2024
Kalung Di Leher Cucu Nabi

dari Abu Hurairah,dia berkata,
“Aku bersama Rasulullah ﷺ di salah satu pasar di Madinah. Kemudian baginda berlalu pergi, maka aku pun turut berlalu bersama baginda. Baginda bersabda: ‘Di manakah budak kecil itu? (sebanyak tiga kali)’, ‘Panggillah Hasan bin ‘Ali’. Lalu Hasan bin ‘Ali bangun berjalan, dan di lehernya ada Sikhab (benang yang dibentuk seperti kalung). Rasulullah ﷺ menghulurkan tangan baginda ke arahnya seperti ini (menghulurkan pelukkan), dan Hasan juga menghulurkan tangannya seperti itu. Kemudian baginda memeluknya dan bersabda: ‘Ya Allah, sesungguhnya aku mencintainya. Maka cintailah dia, dan cintailah sesiapa yang mencintainya’.” Abu Hurairah berkata: “Selepas Rasulullah ﷺ mengucapkan apa yang baginda ucapkan, tiada seorang pun yang lebih aku cintai daripada Hasan bin ‘Ali.”
(HR. Bukhari,no.5884)
NOTA:
Imam al-Bukhari meletakkan hadis ini dalam kitab Sahihnya dengan tajuk bab: باب السِّخَابِ لِلصِّبْيَانِ (Bab Kalung Untuk Kanak-Kanak).
Masuk Syurga Kerana ‘Takut’

:: al-Quran ::
Allah ﷻ berfirman:
“Dan orang yang takut akan keadaan dirinya di mahkamah Tuhannya (untuk dihitung amalnya), disediakan baginya dua Syurga.”
(ar-Rahman [55]: ayat 46)
:: Hadis 1 ::
dari Abu Hurairah,Rasulullah ﷺ bersabda,
“Tidak akan masuk neraka seseorang yang menangis kerana takut kepada Allah sehinggalah susu masuk semula ke dalam kantungnya. Tidaklah akan berkumpul debu di jalan Allah dengan asap api neraka.”
(HR. at-Tirmidzi,no.1633. Dinilai ‘Hasan Sahih’ oleh imam at-Tirmidzi)
:: Hadis 2 ::
dari Abu Hurairah,Nabi ﷺ bersabda,
“Dahulu ada seorang lelaki yang kecewa terhadap dirinya. Ketika dia hampir mati, dia berkata kepada anak-anaknya: ‘Jika aku mati, kamu semua bakarlah aku, hancur debukan aku kemudian jadikan aku ditiup angin. Demi Allah! Jika tuhanku dapat menangkapku nescaya Dia akan mengazabku dengan azab yang Dia tidak pernah azab sesiapa pun’. Apabila dia mati, hasratnya dilakukan kepadanya. Maka Allah memerintahkan bumi: ‘Himpunkan dia’. Maka bumi lakukannya lalu dia pun berdiri (dibangkitkan). Allah berkata: ‘Apakah yang menyebabkan engkau lakukan tindakanmu itu?’ Dia menjawab: ‘Wahai Tuhanku, kerana takutkan Engkau’. Maka Allah pun mengampunkannya.”
(HR. Bukhari,no.3481. Muslim,no.2756. Ini lafaz Bukhari)
Galakkan Dan Kelebihan Berzikir

:: al-Quran 1 ::
Allah ﷻ berfirman:
“Dan ingatlah kepada Tuhanmu (dengan berzikir) banyak-banyak, dan bertasbihlah memuji Allah (dengan mengerjakan solat), pada waktu malam dan pada waktu pagi.”
(Ali 'Imraan [3]: ayat 41)
:: al-Quran 2 ::
Allah ﷻ berfirman:
“Dan orang-orang lelaki yang menyebut nama Allah banyak-banyak serta orang-orang perempuan yang menyebut nama Allah banyak-banyak, Allah telah menyediakan bagi mereka semuanya keampunan dan pahala yang besar.
(al-Ahzaab [33]: ayat 35)
:: al-Quran 3 ::
Allah ﷻ berfirman:
“Sesungguhnya Kami telah mudahkan gunung-ganang turut bertasbih memuji Kami bersama-sama dengannya; pada waktu petang dan ketika terbit matahari.”
(S̄aad [38]: ayat 18)
:: al-Quran 4 ::
Allah ﷻ berfirman:
“Malaikat yang memikul ‘Arasy dan malaikat yang berada di sekelilingnya, bertasbih memuji Tuhan-Nya; dan beriman kepada-Nya; serta mereka memohon ampun bagi orang-orang yang beriman (dengan berdoa merayu): ‘Wahai Tuhan kami! Rahmat-Mu dan Ilmu-Mu meliputi segala-galanya; maka berilah ampun kepada orang-orang yang bertaubat serta menurut jalan-Mu, dan peliharalah mereka dari azab neraka.”
(Ghaafir [40]: ayat 7)
:: al-Quran 5 ::
Allah ﷻ berfirman:
“Segala yang ada di langit dan yang ada di bumi, tetap mengucap tasbih kepada Allah; dan Dia lah Yang Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.”
(as̄-S̄aff [61]: ayat 1)
:: al-Quran 6 ::
Allah ﷻ berfirman:
“Langit yang tujuh dan bumi serta sekalian makhluk yang ada padanya, sentiasa mengucap tasbih bagi Allah; dan tiada sesuatupun melainkan bertasbih dengan memuji-Nya; akan tetapi kamu tidak faham akan tasbih mereka. Sesungguhnya Ia adalah Maha Penyabar, lagi Maha Pengampun.”
(al-Israa' [17]: ayat 44)
:: Hadis 1 ::
dari Abu Musa,Nabi ﷺ bersabda,
“Perumpamaan orang yang berzikir kepada Allah dan orang yang tidak berzikir kepada Allah seperti orang yang hidup dan mati.”
(HR. Bukhari,no.6407)
:: Hadis 2 ::
dari Abu Hurairah,Rasulullah ﷺ bersabda,
“Sesungguhnya Allah mempunyai malaikat-malaikat yang berkeliling di jalan-jalan, mencari orang-orang yang berzikir (mengingati Allah). Apabila mereka menemui satu kaum yang sedang berzikir kepada Allah, mereka akan memanggil sesama mereka: ‘Mari kepada tujuan kalian’. Lalu mereka mengelilingi kaum tersebut dengan sayap-sayap mereka hingga memenuhi ruang antara mereka dan langit dunia. Kemudian Allah bertanya kepada para malaikat itu (sedangkan Dia lebih mengetahui): ‘Apa yang diucapkan oleh hamba-hamba-Ku?’ Malaikat menjawab: ‘Mereka bertasbih, bertakbir, memuji, dan mengagungkan-Mu’. Allah bertanya: ‘Apakah mereka pernah melihat-Ku?’ Malaikat menjawab: ‘Demi Allah, mereka belum pernah melihat-Mu’. Allah bertanya: ‘Bagaimana pula jika mereka melihat-Ku?’ Malaikat menjawab: ‘Jika mereka melihat-Mu, pastilah mereka akan lebih bersungguh-sungguh dalam beribadah, lebih mengagungkan, dan lebih banyak bertasbih kepada-Mu’. Allah bertanya: ‘Apa yang mereka pohonkan kepada-Ku?’ Malaikat menjawab: ‘Mereka memohon syurga kepada-Mu’. Allah bertanya: ‘Apakah mereka pernah melihat syurga?’ Malaikat menjawab: ‘Demi Allah, wahai Tuhan kami, mereka belum pernah melihatnya’. Allah bertanya: ‘Bagaimana pula jika mereka melihatnya?’ Malaikat menjawab: ‘Jika mereka melihatnya, mereka pasti akan lebih bersemangat untuk mendapatkannya, lebih bersungguh-sungguh mencarinya, dan lebih besar keinginannya terhadapnya’. Allah bertanya: ‘Daripada apa mereka memohon perlindungan?’ Malaikat menjawab: ‘Mereka memohon perlindungan daripada neraka’. Allah bertanya: ‘Apakah mereka pernah melihat neraka?’ Malaikat menjawab: ‘Demi Allah, mereka belum pernah melihatnya’. Allah bertanya: ‘Bagaimana pula jika mereka melihatnya?’ Malaikat menjawab: ‘Jika mereka melihatnya, mereka pasti akan lebih menjauhinya dan lebih takut terhadapnya’. Allah berfirman: ‘Aku bersaksi kepada kalian bahawa Aku telah mengampuni mereka’. Lalu salah seorang malaikat berkata: ‘Di kalangan mereka ada seorang yang bukan daripada golongan tersebut, dia hanya datang kerana ada hajat tertentu’. Allah berfirman: ‘Mereka adalah satu kaum yang mana sesiapa yang duduk bersama mereka tidak akan celaka’.”
(HR. Bukhari,no.6408)
:: Hadis 3 ::
dari Abu Darda’,Nabi ﷺ bersabda,
“Mahukah kamu semua aku tunjukkan amalan yang lebih baik dan lebih suci di sisi Tuhanmu dan yang lebih tinggi kedudukannya? Lebih baik bagi kamu berbanding menginfakkan emas dan perak? Lebih baik dari kamu bertempur dengan musuh, kamu memancung mereka dan mereka memancung kamu?” Para sahabat menjawab: “Bahkan, wahai Rasulullah”. Baginda bersabda: “Zikrullah Ta‘ala”.
(at-Tirmidzi,no.3377. Ibn Majah,no.3790. Malik,no.501)
NOTA:
Hadis ini ‘Dhaif’ dari jalur Marfu’ (disandarkan kepada Rasulullah), namun kata Syaikh Musthofa al-‘Adawi, hadis ini ‘Sahih Mauquf’, ianya sahih sebagai kata-kata Abu Darda’, bukan kata-kata Rasulullah (rujuk: video). Imam ibnu Rajab al-Hanbali juga berkata: “Mauquf ke atas Abu Darda'” (rujuk: Jami’ al-‘Ulum wa al-Hikam,2/67).
Dunia Tempat Ujian

:: al-Quran 1 ::
Allah ﷻ berfirman:
“Demi sesungguhnya! Kami akan menguji kamu dengan sedikit perasaan takut (kepada musuh) dan (dengan merasai) kelaparan, dan (dengan berlakunya) kekurangan dari harta benda dan jiwa serta hasil tanaman. Dan berilah khabar gembira kepada orang-orang yang sabar, (Iaitu) orang-orang yang apabila mereka ditimpa oleh sesuatu kesusahan, mereka berkata: ‘Sesungguhnya kami adalah kepunyaan Allah dan kepada Allah jualah kami kembali’.”
(al-Baqarah [2]: ayat 155-156)
:: al-Quran 2 ::
Allah ﷻ berfirman:
“Sesungguhnya Kami telah jadikan apa yang ada di muka bumi sebagai perhiasan baginya, kerana kami hendak menguji mereka, siapakah di antaranya yang lebih baik amalnya.”
(al-Kahfi [18]: ayat 7)
:: al-Quran 3 ::
Allah ﷻ berfirman:
“Tiap-tiap diri akan merasai mati, dan Kami menguji kamu dengan kesusahan dan kesenangan sebagai cubaan; dan kepada Kamilah kamu semua akan dikembalikan.”
(al-Anbiya' [21]: ayat 35)
:: al-Quran 4 ::
Allah ﷻ berfirman:
“Patutkah manusia menyangka bahawa mereka akan dibiarkan dengan hanya berkata: ‘Kami beriman’, sedang mereka tidak diuji (dengan sesuatu cubaan)? Dan demi sesungguhnya! Kami telah menguji orang-orang yang terdahulu daripada mereka, maka (dengan ujian yang demikian), nyata apa yang diketahui Allah tentang orang-orang yang sebenar-benarnya beriman, dan nyata pula apa yang diketahui-Nya tentang orang-orang yang berdusta.”
(al-‘Ankabut [29]: ayat 2-3)
:: al-Quran 5 ::
Allah ﷻ berfirman:
“Dia lah yang telah mentakdirkan adanya mati dan hidup (kamu) - untuk menguji dan menzahirkan keadaan kamu: siapakah di antara kamu yang lebih baik amalnya; dan Ia Maha Kuasa (membalas amal kamu), lagi Maha Pengampun, (bagi orang-orang yang bertaubat).”
(al-Mulk [67]: ayat 2)
:: al-Quran 6 ::
Allah ﷻ berfirman:
“Sesungguhnya Kami telah aturkan cara mencipta manusia bermulanya dari air mani yang bercampur (dari pati benih lelaki dan perempuan), serta Kami tetap mengujinya (dengan kewajipan-kewajipan); oleh itu maka Kami jadikan dia berkeadaan mendengar dan melihat.”
(al-Insaan [76]: ayat 2)
Tahap Kepanasan Neraka

Thursday, December 12, 2024
Jika Rasulullah Tertinggal Solat Sunat Malam

dari ‘Aisyah,dia berkata,
“Bahawa Rasulullah ﷺ apabila tertinggal solat malam disebabkan sakit atau halangan lain, baginda akan menunaikan 12 rakaat pada waktu siang.”
(HR. Muslim,no.746)
Saturday, November 30, 2024
Doa Naik Kenderaan

dari ‘Ali bin Rabi‘ah,dia berkata,
“Aku menyaksikan ‘Ali r.a. ketika didatangkan kepadanya seekor binatang tunggangan untuk ditungganginya. Ketika beliau meletakkan kakinya pada pelana, beliau mengucapkan: “Bismillah (Dengan nama Allah)”. Setelah beliau berada di atas belakangnya (binatang itu), beliau mengucapkan: “Alẖamdulillah (Segala puji bagi Allah)”. Kemudian beliau membaca ayat (az-Zukhruf [43]: ayat 12 - 13):
سُبْحَانَ الَّذِي سَخَّرَ لَنَا هَذَا وَمَا كُنَّا لَهُ مُقْرِنِينَ وَإِنَّا إِلَى رَبِّنَا لَمُنْقَلِبُونَ
Subẖanalladzi Sakh-khoro Lana Hadza Wama Kunna Lahu Muqrinin, Wa inna ila Robbina Lamun-Qolibun
(Maha Suci Allah yang telah menundukkan ini untuk kami, padahal sebelumnya kami tidak mampu menguasainya, dan sesungguhnya kami akan kembali kepada Tuhan kami).
Kemudian beliau mengucapkan: “Alẖamdulillah” sebanyak 3 kali, dan “Allahu Akbar” sebanyak 3 kali. Setelah itu beliau berkata:
سُبْحَانَكَ إِنِّي ظَلَمْتُ نَفْسِي فَاغْفِرْ لِي فَإِنَّهُ لَا يَغْفِرُ الذُّنُوبَ إِلَّا أَنْتَ
Subẖanaka inni Zholamtu Nafsi Faghfirli, Fa innahu La Yaghfiru Dzunuba illa Anta
(Maha Suci Engkau, sesungguhnya aku telah menzalimi diriku sendiri, maka ampunilah aku, kerana sesungguhnya tiada yang dapat mengampuni dosa-dosa kecuali Engkau).
Kemudian beliau tersenyum. Lalu ditanyakan kepadanya: ‘Wahai Amirul Mukminin, mengapa engkau tersenyum?’ Beliau menjawab: “Aku melihat Nabi ﷺ melakukan sebagaimana yang aku lakukan, kemudian baginda tersenyum. Lalu aku bertanya: ‘Wahai Rasulullah, mengapa engkau tersenyum?’ Baginda menjawab: ‘Sesungguhnya Tuhanmu merasa takjub terhadap hamba-Nya apabila dia berkata: ‘Ampunilah dosa-dosaku’, sedangkan dia mengetahui bahawa tiada yang dapat mengampuni dosa-dosa selain Aku’.”
(HR. Abu Daud,no.2602. at-Tirmidzi,no.3446. Dan ini lafaz Abu Daud. Dinilai sahih oleh Syaikh al-Albani [rujuk: Sahih Abi Daud,no.2606])
NOTA:
Monday, November 18, 2024
Sunnah Ketika Hujan Dan Dalil Berkaitan Dengannya

● DOA KETIKA HUJAN BARU TURUN ●
dari ‘Aisyah,dia berkata,
“Rasulullah ﷺ apabila melihat hujan, baginda berdoa:
اللَّهُمَّ صَيِّبًا نَافِعًا
Allahumma Soyyiban Nafi‘aa
(Ya Allah, cucurilah kami dengan hujan yang bermanfaat).”
(HR. Bukhari,no.1032)
● SUNNAH MENGENAKAN AIR HUJAN PADA TUBUH ●
dari Anas bin Malik,dia berkata,
‘’Hujan turun dan kami pada ketika itu bersama dengan Rasulullah ﷺ. Lalu Rasulullah ﷺ menyelak baju baginda sehinggalah hujan menimpa badan baginda. Kemudian kami bertanya: ‘Wahai Rasulullah, mengapakah engkau melakukan ini?’ Maka jawab baginda: ‘Kerana ia baru sahaja datang (turun) dari Tuhannya yang Maha Tinggi’.”
(HR. Muslim,no.898)
NOTA:
Imam an-Nawawi berkata: “Hadis ini bermaksud, hujan adalah rahmat, ia merupakan ciptaan Allah Ta‘ala yang baru sahaja diciptakan, maka baginda bertabarruk (ambil berkat) dengannya. Hadis ini merupakan dalil kepada pendapat ulama kami (mazhab Syafi‘i) bahawa digalakkan untuk menyingkap (tubuh) yang bukan aurat pada awal turunnya hujan, agar air hujan dapat kena padanya. Hadis ini jua menunjukkan apabila seseorang melihat orang yang lebih mulia/alim melakukan sesuatu, sedangkan dia tidak mengetahuinya, maka hendaklah orang itu bertanya kepada orang yang lebih mulia tadi agar dapat mengamalkannya, dan mengajarkan orang lain” (rujuk: Syarah Sahih Muslim,6/195)
● AIR HUJAN ADALAH AIR YANG BERKAT ●
:: al-Quran 1 ::
Allah ﷻ berfirman:
“Dan juga Kami telah menurunkan dari langit air (hujan) yang berkat (banyak faedahnya), lalu Kami tumbuhkan dengan air itu pokok-pokok tanaman (buah-buahan) dan biji-bijian yang dituai.”
(Qaaf [50]: ayat 9)
:: al-Quran 2 ::
Allah ﷻ berfirman:
“(Ingatlah) ketika kamu diliputi perasaan mengantuk sebagai satu (pemberian) aman dari Allah (untuk menghapuskan kecemasan kamu). Dan (ingatlah ketika) Ia menurunkan kepada kamu hujan dari langit untuk mensucikan kamu dengannya dan menghapuskan dari kamu gangguan Syaitan, dan juga untuk menguatkan hati kamu dan menetapkan dengannya tapak pendirian (kamu di medan perjuangan).”
(al-Anfaal [8]: ayat 11)
● DOA JIKA HUJAN TERLALU LEBAT DAN DIBIMBANGI BANJIR TERUK ●
dari Anas,dia berkata,
“...Tiba-tiba muncul dari arah belakangnya awan mendung seperti perisai. Ketika awan tersebut berada di tengah langit, maka ia melebar. Kemudian turunlah hujan. Dan tidak, demi Allah, kami tidak melihat matahari selama seminggu. Kemudian ada seorang lelaki masuk (ke dalam masjid) melalui pintu yang sama pada Jumaat berikutnya, sedangkan Rasulullah ﷺ sedang berdiri menyampaikan khutbah. Lalu dia menghadap ke arah baginda sambil berdiri dan berkata: ‘Wahai Rasulullah, telah binasa harta benda dan perjalanan juga terputus (tidak dapat diteruskan). Oleh itu, berdoalah kepada Allah agar Dia menahannya (hujan yang turun berlebihan itu) daripada kami.’
Lalu Rasulullah mengangkat kedua tangan baginda, kemudian berdoa:
اللَّهُمَّ حَوَالَيْنَا وَلاَ عَلَيْنَا، اللَّهُمَّ عَلَى الآكَامِ وَالظِّرَابِ، وَبُطُونِ الأَوْدِيَةِ، وَمَنَابِتِ الشَّجَرِ
Allahumma H̱awaalainaa Walaa ‘Alaina. Allahumma ‘Alal Aakaami Wazh-Zhirob, Wa Buthunil Awdiyyah, Wa Manaa-bitisy Syajar
(Ya Allah, turunkanlah hujan di sekitar kami dan tidak di atas kami. Ya Allah turunkan hujan di atas bukit-bukit yang tinggi, bukit-bukit yang mendatar, dasar-dasar lembah, dan tempat tumbuhnya pepohon).
Setelah itu, hujan pun berhenti dan kami keluar (dari masjid) berjalan di bawah sinar matahari.”
(HR. Bukhari,no.1014. Muslim,no.897)
Wednesday, November 13, 2024
Doa Perlindungan Dari Fitnah Dajjal

:: Hadis 1 ::
dari Abu Hurairah,Rasulullah ﷺ bersabda,
“Apabila kamu selesai daripada membaca tasyahhud akhir, maka berlindunglah dengan Allah daripada empat perkara, dengan berdoa:
اللَّهُمَّ إِنِّي أَعُوذُ بِكَ مِنْ عَذَابِ جَهَنَّمَ وَمِنْ عَذَابِ الْقَبْرِ وَمِنْ فِتْنَةِ الْمَحْيَا وَالْمَمَاتِ وَمِنْ شَرِّ فِتْنَةِ الْمَسِيحِ الدَّجَّالِ
Allahumma inni A‘udzubika Min ‘Adzabi Jahannam, Wa Min ‘Adzabil Qabr, Wa Min Fitnatil Maẖyaa Wal Mamaat, Wa Min Syarri Fitnatil Masiẖid Dajjal
(Ya Allah, sesungguhnya aku berlindung dengan-Mu daripada azab Neraka Jahannam, daripada azab kubur, fitnah kehidupan dan kematian dan daripada kejahatan fitnah al-Masih al-Dajjal).”
(HR. Muslim,no.588a)
:: Hadis 2 ::
dari Abu Hurairah,dia berkata,
“Rasulullah ﷺ pernah berdoa:
اللَّهُمَّ إِنِّي أَعُوذُ بِكَ مِنْ عَذَابِ الْقَبْرِ، وَمِنْ عَذَابِ النَّارِ، وَمِنْ فِتْنَةِ الْمَحْيَا وَالْمَمَاتِ، وَمِنْ فِتْنَةِ الْمَسِيحِ الدَّجَّالِ
Allahumma inni A‘udzubika Min ‘Adzabil Qobr, Wa Min ‘Adzabin-Nar, Wa Min Fitnatil Maẖya Wal Mamat, Wa Min Fitnatil Masiẖid Dajjal
(Ya Allah, sesungguhnya aku berlindung dengan-Mu daripada azab kubur, daripada azab api neraka, daripada fitnah hidup dan mati dan daripada fitnah Masih al-Dajjal).”
(HR. Bukhari,no.1377)
Tuesday, November 5, 2024
Bukan Islam Masuk Masjid

:: Hadis 1 ::
dari Abu Hurairah,dia berkata,
“Rasulullah ﷺ menghantar seorang berkuda di arah Najd, maka terlihat seorang lelaki dari Bani Hanfiah (sedang mengintip) yang bernama Tsumamah bin Utsal, lalu diikatnya di satu tiang dari tiang-tiang masjid.”
(HR. Bukhari,no.469. an-Nasaie,no.712)
:: Hadis 2 ::
dari Abu Hurairah,dia berkata,
“Nabi ﷺ menghantar pasukan berkuda ke Najd. Lalu mereka datang membawa seorang lelaki daripada bani Hanifah, iaitu Tsumamah bin Utsal. Mereka mengikatnya pada salah satu tiang masjid. Nabi ﷺ keluar dan pergi kepadanya dan bersabda: ‘Apa yang ada padamu wahai Tsumamah?’ Dia berkata: ‘Padaku kebaikan wahai Muhammad. Jika engkau membunuhku maka engkau membunuh orang yang terpelihara darahnya dan jika engkau memberi nikmat maka engkau memberi nikmat pada orang yang bersyukur dan jika engkau menginginkan harta maka mintalah daripadanya apa yang engkau sukai’. Nabi ﷺ meninggalkannya sehingga keesokan harinya, kemudian baginda bertanya kepadanya: ‘Apa yang ada padamu wahai Tsumamah?’ Dia menjawab: ‘Apa yang telah aku katakan kepadamu. Jika engkau memberi nikmat, maka engkau memberi nikmat kepada orang yang bersyukur’. Nabi ﷺ meninggalkannya sehingga keesokan harinya, kemudian baginda bertanya kepadanya: ‘Apa yang ada padamu wahai Tsumamah?’ Dia menjawab: ‘Padaku apa yang telah aku katakan kepadamu’. Baginda bersabda: ‘Bebaskanlah Tsumamah’. Dia pergi ke kebun yang dekat dengan masjid dan mandi, kemudian dia masuk masjid. Lalu berkata: ‘Aku bersaksi bahawa tidak ada yang layak disembah melainkan Allah dan Muhammad ialah Rasulullah. Wahai Muhammad, demi Allah tidak ada di atas bumi ini satu wajah yang lebih aku benci daripada wajahmu dan sekarang wajahmu menjadi yang paling aku cintai. Demi Allah, tidak ada agama yang lebih aku benci daripada agamamu dan sekarang agamamu menjadi yang paling aku cintai. Demi Allah, tidak ada negeri yang paling aku benci daripada negerimu dan sekarang negerimu menjadi yang paling aku cintai. Sesungguhnya pasukan berkuda yang engkau utuskan telah mengambilku dalam keadaan aku hendak mengerjakan umrah, maka apakah pendapatmu?’ Rasulullah ﷺ memberi khabar gembira kepadanya dan memerintahkannya untuk melaksanakan umrah. Ketika dia datang ke Makkah, maka seseorang berkata kepadanya: ‘Engkau telah menukar agama’. Dia berkata: ‘Tidak, tetapi aku masuk Islam bersama Muhammad ﷺ. Demi Allah, tidak akan datang sebiji kurma atau sya’ir dari Yamamah kepada kalian sehingga Nabi ﷺ mengizinkan’.”
(HR. Bukhari,no.4372. Muslim,no.1764)
NOTA:
Dari hadis ini dapat difahami bahawa orang bukan Islam boleh memasuki masjid, kerana Rasulullah ﷺ mengikat Tsumamah bin Utsal di tiang masjid, walhal Tsumamah ketika itu belum memeluk Islam.
wallahua’lam.
Saturday, November 2, 2024
Allah Menulis Taurat Dengan Tangan-Nya

:: Hadis 1 ::
dari Ibnu ‘Abbas,dia berkata,
“Allah ‘Azza wa Jalla menciptakan empat perkara dengan tangan-Nya, sedangkan selainnya, Dia berfirman kepadanya: ‘Jadilah!’, maka terjadilah. Allah menciptakan Qalam (pena) dengan tangan-Nya, Adam dengan tangan-Nya, Taurat yang ditulis-Nya dengan tangan-Nya, dan Syurga ‘Adn dengan tangan-Nya.”
(HR. ‘Abdullah bin Ahmad [rujuk: as-Sunnah,2/484-485])
NOTA:
Hadis ini ‘Dhaif’, kerana di dalam sanadnya terdapat perawi yang bernama Hasan bin Abi Ja’far, yang mana dia dinilai Dhaif oleh para Ulama’ Hadis. Imam Ibn al-Madini berkata (tentangnya): “Dhaif”. Kata imam al-Bukhari: “Munkarul Hadis (Hadisnya Munkar)”. Kata imam Ibn Ma‘in: “Laisa bi syai (tiada apa-apanya/tiada nilai)”. Imam Ahmad dan imam an-Nasaie juga menilainya sebagai perawi yang Dhaif (rujuk: imam adz-Dzahabi,Mizan al-I’tidal,1/482). Walaupun hadis ini Dhaif, namun maknanya sahih berdasarkan hadis sahih yang lain:
:: Hadis 2 ::
dari Maisarah Abi Soleh maula Kindah,salah seorang Tabi‘in berkata,
“Sesungguhnya Allah tidak menyentuh apa-apa dari ciptaan-Nya kecuali tiga perkara: Dia mencipta Adam dengan tangan-Nya, menulis Taurat dengan tangan-Nya, dan menanam (pepohon) Syurga ‘Adn dengan tangan-Nya.”
(HR. ‘Ustman ad-Darimi [rujuk: Naqd ad-Darimi,99]. Dinilai ‘Sahih’ oleh Syaikh Abu Mans̄ur as-Samari/Simari dalam Tahqiq beliau ke atas Naqd ad-Darimi)
:: Hadis 3 ::
dari Abu Hurairah,Nabi ﷺ bersabda,
“Berlaku perdebatan antara Adam dan Musa. Musa berkata: ‘Wahai Adam, kamu adalah bapa yang telah mengecewakan dan mengeluarkan kami dari syurga’. Adam berkata: ‘Wahai Musa, kamu dipilih oleh Allah dengan dianugerahkan Kalam-Nya dan menuliskan untukmu (Kitab Taurat) dengan Tangan-Nya, lalu kamu mencelaku atas perkara yang telah ditakdirkan Allah ke atasku 40 tahun sebelum Dia menciptaku’. Maka seperti itu hujah Adam mengatasi hujah Musa, hujah Adam mengatasi hujah Musa. Disebut sebanyak tiga kali.”
(HR. Bukhari,no.6614)
Thursday, October 31, 2024
4 Waktu Mengangkat Tangan Ketika Takbir Di Dalam Solat

● MENGANGKAT TANGAN KETIKA TAKBIRATUL IHRAM, SEBELUM DAN SELEPAS RUKU’ ●
:: Hadis 1 ::
dari Ibn Umar,dia berkata,
“Aku telah melihat Nabi ﷺ membuka takbir di dalam solat (iaitu memulakan solat dengan bertakbir), dengan mengangkat kedua tangannya ketika bertakbir sehingga sama pada bahagian bahunya. Ketika bertakbir untuk ruku’ juga baginda melakukan sedemikian dan ketika baginda mengucapkan: ‘Sami’Allahu liman ẖamidah’, baginda melakukan sedemikian juga.”
(HR. Bukhari,no.738. an-Nasaie,no.876)
:: Hadis 2 ::
dari Ibn ‘Umar,dia berkata,
“Rasulullah ﷺ mengangkat kedua tangannya hingga ke paras bahu apabila memulakan solat (iaitu ketika takbiratulihram). Dan apabila mengangkat takbir untuk ruku’ dan ketika bangun daripada ruku’, baginda mengangkat kedua-dua tangannya juga, dan mengucapkan: ‘Sami'Allahu liman ẖamidah, robbana wa lakal ẖamd’. Namun baginda tidak melakukannya ketika sujud.”
(HR. Bukhari,no.735. Muslim,no.390)
● MENGANGKAT TANGAN SETELAH BANGUN DARI TASYAHUD (TAHIYAT) AWAL ●
dari Ibn ‘Umar,dia berkata,
“..Apabila (Nabi ﷺ) bangun setelah rakaat kedua, baginda akan mengangkat kedua tangannya.”
(HR. Bukhari,no.739)
NOTA:
Hanya empat (4) waktu ini sahaja disunnahkan untuk mengangkat tangan. Ini pendapat yang dipegang oleh sebahagian ulama’ mazhab asy-Syafi‘i seperti imam Ibnu al-Mundzir, Abu ‘Ali at-Thobari, Abu Bakr al-Baihaqi dan lain-lain (rujuk: imam an-Nawawi,al-Majmu’,3/425-426). Imam al-Bukhari juga meletakkan “Tajuk Bab” khas dalam Kitab Sahih-nya: باب رفع اليدين إذا قام من الركعتين (Bab mengangkat kedua tangan ketika bangkit dari rakaat kedua), ini menunjukkan bahawa imam al-Bukhari juga berpendapat bahawa disunnahkan mengangkat kedua-dua tangan setelah bangun dari Tasyahud Awal. Syaikh Soleh ibn al-‘Utsaimin juga berkata: “Tempat-tempat mengangkat kedua tangan ada empat: ketika takbiratul ihram, ketika ruku’, ketika bangkit dari ruku’, dan apabila berdiri dari tasyahud awal” (rujuk: asy-Syarhu al-Mumti’,3/214).
Bersikap Kasar, Sombong Dan Angkuh Adalah Sifat Ahli Neraka

:: Hadis 1 ::
dari Haritsah bin Wahb,Nabi ﷺ bersabda,
“Mahukah aku beritahu kamu tentang ahli syurga?’ Mereka menjawab: ‘Ya’. Baginda ﷺ bersabda: ‘Setiap orang yang lemah, yang dipandang rendah. Sekiranya dia bersumpah atas nama Allah, nescaya Allah akan memakbulkannya’. Kemudian Baginda bersabda: ‘Mahukah aku beritahu kamu tentang ahli neraka?’ Mereka menjawab: ‘Ya’. Baginda bersabda: ‘Setiap orang yang kasar, sombong dan angkuh’.”
(HR. Bukhari,no.4918. Muslim,no.2853)
:: Hadis 2 ::
dari Abu Hurairah,Nabi ﷺ bersabda,
“Syurga dan neraka saling berdebat. Neraka berkata: ‘Orang-orang sombong dan bengis memasukiku’. Syurga berkata: ‘Sedangkan aku, tiada yang memasukiku selain orang-orang lemah dan hina (pada pandangan manusia)’. Lalu Allah berfirman kepada syurga: ‘Kau adalah rahmat-Ku, denganmu Aku rahmati siapa sahaja yang Aku kehendaki dari hamba-hamba-Ku’. Kemudian Allah berfirman kepada neraka: ‘Kau adalah azab-Ku, denganmu Aku menyiksa sesiapa pun yang Aku kehendaki. Dan masing-masing dari keduanya mempunyai isinya sendiri’. Adapun neraka tidak terisi penuh sehingga Allah meletakkan kaki-Nya, kemudian neraka berkata: ‘Cukup! cukup!’ Saat itulah neraka penuh dan sebahagiannya menindih sebahagian yang lain. Allah tidak menzalimi seorang pun dari makhluk-Nya. Sedangkan syurga, Allah menciptakan penghuninya.”
(HR. Bukhari,no.4850)
:: Hadis 3 ::
dari Abu Hurairah,Rasulullah ﷺ bersabda,
“Sesungguhnya Allah membenci setiap orang yang sombong lagi kasar, suka berteriak-teriak di pasar, yang seperti bangkai di waktu malam, seperti keldai di waktu siang, tahu tentang urusan dunia tetapi jahil tentang urusan akhirat”
(HR. Ibnu Hibban,no.72. Dinilai dha‘if oleh Syaikh al-Albani [rujuk: Silsilah adh-Dha’ifah,no. 2304])
Wednesday, October 30, 2024
Doa Mendengar Guruh Atau Petir

Mengucapkan JazakAllahu Khairan Ketika Berterima Kasih

:: Hadis 1 ::
dari Usamah bin Zaid,Rasulullah ﷺ bersabda,
“Barangsiapa dilakukan padanya kebaikan lalu dia berkata kepada orang tersebut:
جَزَاكَ اللَّهُ خَيْرًا
JazakAllahu khoiron
(Semoga Allah membalasmu dengan kebaikan),
maka sesungguhnya dia telah memberikan sebaik-baik pujian.”
(HR. at-Tirmidzi,no.2035. an-Nasaie [rujuk: ‘Amal al-Yaum wa al-Lailah,no.180]. Dinilai ‘Hasan Jayyid Gharib’ oleh imam at-Tirmidzi)
:: Hadis 2 ::
dari ‘Urwah bin az-Zubair,dia berkata,
“Dari ‘Aisyah, beliau meminjam kalung daripada Asma’, lalu kalung tersebut hilang. Oleh itu, Rasulullah ﷺ mengutus seseorang untuk mencarinya dan dia menemukannya. Kebetulan waktu solat telah pun masuk, tetapi tidak ada bekalan air bersama mereka untuk berwudhu’. Namun, mereka tetap menunaikan solat tanpa berwuduk. Setelah itu, mereka mengadukan peristiwa tersebut kepada Rasulullah ﷺ. Lalu Allah menurunkan ayat tayammum. Usaid bin Hudhoir berkata kepada ‘Aisyah:
جَزَاكِ اللَّهُ خَيْرًا
Jazakillahu khoiron
(Semoga Allah membalasmu dengan kebaikan)..”
(HR. Bukhari,no.336. Muslim,no.367)
NOTA:
Sebutan “JazakAllahu” atau “Jazakillahu” adalah bergantung kepada siapa orang yang ingin kita tujukan ucapan terima kasih tersebut. Ini disebut sebagai ‘Dhomir’ (kata ganti), maka jika:
Kamu (Seorang Lelaki) = JazakAllahu khoiron
Kamu (Seorang Perempuan) = Jazakillahu khoiron
Dia (Seorang Lelaki) = Jazahullahu khoiron
Dia (Seorang Perempuan) = Jazahallahu khoiron
Kamu (Ramai Lelaki/Perempuan atau Bercampur Lelaki & Perempuan) = Jazakumullohu khoiron
Mereka (Ramai Lelaki/Perempuan atau Bercampur Lelaki & Perempuan) = Jazahumullohu khoiron
Friday, October 25, 2024
Allah Memberi Harta Kepada Orang Yang Dia Cintai Dan Orang Yang Dia Tidak Cintai

dari ‘Abdullah (bin Mas’ud),dia berkata,
“Sesungguhnya Allah Ta‘ala membahagikan di antara kamu akan akhlak kamu, sebagaimana Allah membahagikan sesama kamu akan rezeki kamu. Sesungguhnya Allah Ta‘ala memberikan harta kepada orang yang Dia cintai dan orang yang Dia tidak cintai. Dan Allah tidak memberikan keimanan melainkan kepada orang yang Dia cintai. Sesiapa yang merasa ada kebakhilan pada hartanya daripada dia menafkahkannya, dan ada merasa takut kepada musuh untuk dia berjihad padanya, dan takut dengan malam sehingga dia tidak dapat tidur padanya, maka hendaklah dia memperbanyakkan ucapan: La ilaha illAllah, wa SubhanAllah, walhamdulillah, wallahuakbar.”
(HR. Bukhari [rujuk: al-Adab al-Mufrad,no.275]. Abu Daud [rujuk: al-Zuhud,no.157]. at-Thabrani [rujuk: al-Mu’jam al-Kabir,9/229])
NOTA:
Hadis ini dinilai sahih oleh imam ad-Daraquthni (rujuk: al-‘Ilal,5/269-271). Juga dinilai Sahih Mauquf oleh Syaikh al-Albani (rujuk: Silsilah al-Ahadis as-Sahihah,6/484)
Thursday, October 17, 2024
Cara Menjawab Azan Dan Kelebihannya

Tuesday, October 15, 2024
Doa Ruqyah Untuk Orang Lain

dari Abu Sa’id,dia berkata,
“Jibril datang kepada Nabi ﷺ lalu berkata: ‘Ya Muhammad, apakah engkau sakit?’ Jawab Baginda: ‘Ya’. Lalu Jibril membacakan:
بِاسْمِ اللَّهِ أَرْقِيكَ مِنْ كُلِّ شَىْءٍ يُؤْذِيكَ مِنْ شَرِّ كُلِّ نَفْسٍ أَوْ عَيْنِ حَاسِدٍ اللَّهُ يَشْفِيكَ بِاسْمِ اللَّهِ أَرْقِيكَ
Bismillahi arqika, min kulli syai-in yuk-dzika, min syarri kulli nafsin aw ‘aini ẖasidin, Allahu yasyfika, bismillahi arqika
(Dengan nama Allah, aku meruqyahmu dari segala sesuatu yang mengganggumu dari kejahatan setiap jiwa dan pengaruh ‘ain. Dengan nama Allah aku meruqyahmu).”
(HR. Muslim,no.2186)
:: Hadis 2 ::
dari ‘Aisyah,dia berkata,
“Bahawa Rasulullah ﷺ jika sakit, baginda membacakan pada dirinya sendiri al-Mu’awwidzat (al-Ikhlas, al-Falaq & an-Nas) dan meniupkannya. Jika rasa sakitnya bertambah, maka aku yang membacakan kepada baginda dan mengusapkannya dengan tangan baginda dengan mengharap barakahnya.”
(HR. Bukhari,no.5751. Muslim,no.2192)
Thursday, October 3, 2024
Bacaan Ketika I’tidal (Bangkit Dari Ruku’)

Wednesday, October 2, 2024
Pakai Kasut Ketika Solat

Sunday, September 29, 2024
Kelebihan Menghalalkan Hutang Atau Memberi Tempoh Kepada Orang Yang Berhutang

Tidak Membayar Hutang, Padahal Mampu. Ini Ancamannya!
