Friday, December 13, 2024

Tahap Kepanasan Neraka

:: Hadis 1 ::
dari Abu Hurairah,Rasulullah ﷺ bersabda,
“Api kamu (di dunia) adalah 1/70 bahagian api neraka Jahannam’. Para sahabat bertanya: ‘Wahai Rasulullah, sesungguhnya api ini (di dunia) sudah memadai (cukup panas)’. Baginda menjawab: ‘Api neraka itu lebih panas dengan tambahan 69 bahagian, dan setiap bahagian adalah seperti panasnya api dunia’.”
(HR. Bukhari,no.3265. Muslim,no.2843)

:: Hadis 2 ::
dari Abu Hurairah,Nabi ﷺ bersabda,
“Neraka pernah mengadu kepada Allah dengan berkata: ‘Wahai Tuhan, sebahagianku memakan sebahagian yang lain’. Lalu Allah mengizinkan untuk neraka itu dua hembusan, hembusan sejuk dan hembusan panas, iaitulah hembusan panas yang paling dahsyat dan hembusan sejuk yang paling dahsyat.”
(HR. Bukhari,no.537 & 3260. Muslim,no.617. Ini Lafaz Bukhari,no.537)

:: Hadis 3 ::
dari Abu Hurairah,Nabi ﷺ bersabda,
“Api neraka dinyalakan 1000 tahun sehingga menjadi merah membara, kemudian dinyalakan 1000 tahun lagi sehingga menjadi putih, kemudian dinyalakan 1000 tahun lagi sehingga menjadi hitam legam, dan ia adalah hitam yang sangat gelap.”
(HR. at-Tirmidzi,no.2591. Ibn Majah,no.4320)

NOTA:
Hadis ini dinilai Dhaif oleh Syaikh al-Albani, kerana hadis ini diriwayatkan dari Yahya bin Abu Bukair, dari Syarik, dari ‘As̄im, dari Abu Soleh, dari Abu Hurairah, yang mana Syaikh al-Albani berkata: “Yahya ini adalah seorang yang tsiqah (dipercayai) dan dijadikan hujah dalam kedua-dua kitab sahih (Sahih al-Bukhari dan Sahih Muslim), maka tidak ada ruang untuk mencelanya. Terutamanya, di atasnya ada Syarik, iaitu Ibn ‘Abdullah al-Nakha’i al-Qadhi, yang terkenal dengan sifat buruk hafalannya. Dialah penyebab kecacatan hadis ini. Hal ini dikuatkan lagi dengan kekeliruannya dalam meriwayatkan hadis ini; kadangkala dia meriwayatkannya secara marfu’ (disandarkan kepada Nabi ﷺ) dan kadangkala secara mauquf (terhenti pada sahabat). Kadangkala dia menetapkan sanadnya dengan mengatakan, ‘daripada Abu Soleh’ dan kadangkala dia ragu-ragu dengan mengatakan, ‘daripada Abu Soleh atau daripada seorang lelaki lain’. Ini adalah tanda kurangnya ketelitian dan buruknya hafalan beliau. Oleh itu, tidak hairanlah jika ahli ilmu dan pakar ilmu rijal melemahkannya. Maka hadis ini dianggap dhaif sama ada secara marfu’ atau mauquf” (rujuk: Silsilah ad-Dha‘ifah,3/470). Syaikh Musthofa al-‘Adawi juga menilai hadis ini sebagai Dhaif (rujuk: video).

No comments:

Post a Comment