:: Hadis 1 ::
dari Abu Hurairah,dia berkata,
“Rasulullah ﷺ menghantar seorang berkuda di arah Najd, maka terlihat seorang lelaki dari Bani Hanfiah (sedang mengintip) yang bernama Tsumamah bin Utsal, lalu diikatnya di satu tiang dari tiang-tiang masjid.”
(HR. Bukhari,no.469. an-Nasaie,no.712)
:: Hadis 2 ::
dari Abu Hurairah,dia berkata,
“Nabi ﷺ menghantar pasukan berkuda ke Najd. Lalu mereka datang membawa seorang lelaki daripada bani Hanifah, iaitu Tsumamah bin Utsal. Mereka mengikatnya pada salah satu tiang masjid. Nabi ﷺ keluar dan pergi kepadanya dan bersabda: ‘Apa yang ada padamu wahai Tsumamah?’ Dia berkata: ‘Padaku kebaikan wahai Muhammad. Jika engkau membunuhku maka engkau membunuh orang yang terpelihara darahnya dan jika engkau memberi nikmat maka engkau memberi nikmat pada orang yang bersyukur dan jika engkau menginginkan harta maka mintalah daripadanya apa yang engkau sukai’. Nabi ﷺ meninggalkannya sehingga keesokan harinya, kemudian baginda bertanya kepadanya: ‘Apa yang ada padamu wahai Tsumamah?’ Dia menjawab: ‘Apa yang telah aku katakan kepadamu. Jika engkau memberi nikmat, maka engkau memberi nikmat kepada orang yang bersyukur’. Nabi ﷺ meninggalkannya sehingga keesokan harinya, kemudian baginda bertanya kepadanya: ‘Apa yang ada padamu wahai Tsumamah?’ Dia menjawab: ‘Padaku apa yang telah aku katakan kepadamu’. Baginda bersabda: ‘Bebaskanlah Tsumamah’. Dia pergi ke kebun yang dekat dengan masjid dan mandi, kemudian dia masuk masjid. Lalu berkata: ‘Aku bersaksi bahawa tidak ada yang layak disembah melainkan Allah dan Muhammad ialah Rasulullah. Wahai Muhammad, demi Allah tidak ada di atas bumi ini satu wajah yang lebih aku benci daripada wajahmu dan sekarang wajahmu menjadi yang paling aku cintai. Demi Allah, tidak ada agama yang lebih aku benci daripada agamamu dan sekarang agamamu menjadi yang paling aku cintai. Demi Allah, tidak ada negeri yang paling aku benci daripada negerimu dan sekarang negerimu menjadi yang paling aku cintai. Sesungguhnya pasukan berkuda yang engkau utuskan telah mengambilku dalam keadaan aku hendak mengerjakan umrah, maka apakah pendapatmu?’ Rasulullah ﷺ memberi khabar gembira kepadanya dan memerintahkannya untuk melaksanakan umrah. Ketika dia datang ke Makkah, maka seseorang berkata kepadanya: ‘Engkau telah menukar agama’. Dia berkata: ‘Tidak, tetapi aku masuk Islam bersama Muhammad ﷺ. Demi Allah, tidak akan datang sebiji kurma atau sya’ir dari Yamamah kepada kalian sehingga Nabi ﷺ mengizinkan’.”
(HR. Bukhari,no.4372. Muslim,no.1764)
NOTA:
Dari hadis ini dapat difahami bahawa orang bukan Islam boleh memasuki masjid, kerana Rasulullah ﷺ mengikat Tsumamah bin Utsal di tiang masjid, walhal Tsumamah ketika itu belum memeluk Islam.
wallahua’lam.
Tuesday, November 5, 2024
Bukan Islam Masuk Masjid
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment