Wednesday, October 30, 2024

Doa Mendengar Guruh Atau Petir

:: Hadis 1 ::
dari ‘Abdullah bin ‘Umar,dia berkata,
“Apabila Rasulullah ﷺ mendengar guruh atau kilat, baginda akan berkata:
اللَّهُمَّ لَا تَقْتُلْنَا بِغَضَبِكَ وَلَا تُهْلِكْنَا بِعَذَابِكَ وَعَافِنَا قَبْلَ ذَلِكَ
Allahumma Laa Taqtulnaa Bighodhobika Walaa Tuhlikna Bi‘adzaabika Wa ‘Aafina Qobla Dzalik
(Ya Allah, janganlah Engkau membunuh kami dengan kemarahanmu dan janganlah Engkau binasakan kami dengan azab-Mu serta ampunilah kami sebelum daripada itu).”
(HR. at-Tirmidzi,no.3450)

NOTA:
Hadis ini dinilai ‘Gharib’ (Dhaif) oleh imam at-Tirmidzi setelah beliau meriwayatkan hadis ini, lalu beliau berkata: “Kami tidak mengetahuinya melainkan dari jalur ini”. Hadis ini juga dinilai Dhaif oleh imam an-Nawawi (rujuk: al-Adzkar,181), juga dinilai Dhaif oleh Syaikh al-Albani (rujuk: Dha‘if at-Tirmidzi,3694). Walaupun hadis ini Dhaif, namun doanya boleh dibaca menurut para Ulama’ Hadis, kerana ianya hanya doa dan maknanya juga tidak menyanggahi syariat dengan syarat tidak meyakini bahawa doa ini pasti dari Rasulullah atau menyandarkan secara pasti bahawa hadis ini dari Rasulullah ﷺ.

:: Hadis 2 ::
dari ‘Amir bin ‘Abdillah,dari ‘Abdullah bin az-Zubair,
“Apabila dia mendengar guruh, dia akan meninggalkan percakapan lalu mengucapkan:
سُبْحَانَ الَّذِي يُسَـبِّحُ الرَّعْدُ بِحَمْدِهِ وَالمَلاَئِكَةُ مِنْ خِيفَتِهِ
Subẖanalladzi Yusabbiẖur Ro’du Biẖamdihi wal Mala-ikatu Min Khiifatih
(Maha Suci Dia yang guruh bertasbih memuji kebesaran-Nya dan malaikat turut bertasbih kerana takut kepada-Nya).
Kemudian dia berkata: ‘Sesungguhnya ini adalah peringatan yang keras untuk penduduk bumi’.”
(HR. Malik,no.3641. Bukhari [rujuk: al-Adab Al-Mufrad,no.723])

NOTA:
Sanadnya dinilai ‘Sahih’ oleh imam an-Nawawi (rujuk: al-Adzkar,235). Juga dinilai sahih oleh Syaikh al-Albani (rujuk: Sahih al-Adab al-Mufrad,556). Makna dari doa ini juga benar, kerana terdapat di dalam al-Quran tentang guruh dan malaikat bertasbih kepada Allah:

:: al-Quran ::
Allah ﷻ berfirman:
“Guruh bertasbih memuji kebesaran-Nya dan malaikat turut bertasbih kerana takut kepada-Nya. Dia menghantar panahan-panahan petir lalu kena kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya. Namun, orang kafir masih mempertikaikan keesaan Allah sedangkan Dia amat hebat kekuatan-Nya.”
(ar-Ra’d [13]: ayat 13)

No comments:

Post a Comment