Monday, December 30, 2024

Peristiwa ‘Aisyah (Isteri Nabi ﷺ) Dituduh Berzina

dari ‘Aisyah,dia berkata,
“Biasanya Rasulullah ﷺ apabila hendak keluar melakukan perjalanan, baginda membuat undian di antara isteri-isterinya. Siapa sahaja antara mereka yang undiannya keluar, maka baginda akan keluar bersamanya. Baginda pun mengadakan undian antara kami dalam suatu perjalanan untuk perang yang akan Baginda lakukan. Akhirnya undianku keluar dan aku pun berangkat bersama baginda, dan pada saat itu telah diturunkan ketetapan hijab. Aku dibawa di atas sekedup dan diturunkan bersamanya (semasa di persinggahan). Kami pun berjalan hingga setelah Rasulullah ﷺ selesai daripada peperangannya itu, baginda berangkat pulang dan kami telah menghampiri Madinah. Maka baginda mengumumkan pada waktu malam untuk berangkat (meneruskan perjalanan). Saat mereka mengumumkan untuk berangkat, lalu aku berjalan sehingga melepasi (penempatan) pasukan tentera. Ketika aku telah menyelesaikan hajatku, aku kembali ke tempatku, kemudian menyentuh dadaku, tiba-tiba aku mendapati kalungku, yang diperbuat daripada Jaz‘i azfar  telah terputus (hilang). Aku pergi semula dan mencari kalungku, dan aku pun tertahan (daripada menyertai mereka yang sedang bersiap untuk balik) disebabkan mencarinya. Kemudian datang  orang-orang yang ditugaskan untuk mengangkatku lalu mengangkat sekedupku dan meletakkannya di atas unta yang aku tungganginya sebelum ini. Mereka menyangka aku berada di dalamnya. Perempuan-perempuan pada masa itu ringan (badannya), tidak berat dan tidak pula gemuk. Mereka hanya memakan beberapa suap makanan. Oleh itu, orang-orang yang mengangkat sekedup tidak berasa pelik dengan keberatan sekedup itu ketika mengangkatnya, lalu mereka mengangkatnya. Tambahan pula ketika itu aku seorang wanita yang masih muda. Mereka pun melepaskan unta, lalu bergerak pergi. Aku menemukan kalungku setelah pasukan tentera berlalu pergi. Aku datang ke perkhemahan mereka, namun tidak ada seorang pun di sana, lalu aku pergi ke tempat persinggahan tadi, dan aku merasakan bahawa mereka akan menyedari ketiadaanku, dan mereka akan kembali semula kepadaku. Ketika sedang duduk, aku dikuasai oleh rasa mengantuk sehingga aku tertidur. Sementara itu, Sofwan bin al-Mu‘aththal as-Sulami, kemudian dinisbahkan kepada al-Zakwani berada di belakang pasukan. Maka, beliau telah sampai ke tempatku dan melihat kelibat seseorang yang sedang tidur, lalu beliau datang kepadaku dan beliau pernah melihatku sebelum turun perintah hijab. Aku terbangun mendengar suaranya mengucapkan istirja’.  Ketika beliau menurunkan tunggangannya, kemudian beliau memijak kaki depan unta, lalu aku menaikinya. Beliau berjalan menuntun kenderaanku hingga kami sampai kepada pasukan tentera tersebut ketika mereka berhenti singgah pada waktu tengahari. Binasalah mereka yang binasa! Orang yang mengepalai mereka yang menyebarkan berita dusta adalah ‘Abdullah bin Ubai bin Salul. Kami telah sampai ke Madinah, dan aku (‘Aisyah) telah jatuh sakit di sana selama sebulan. Dalam pada itu, orang ramai sedang menyebarkan perkataan para penyebar berita dusta. Satu hal yang mencurigakanku saat sakit, iaitu bahawa aku tidak nampak daripada Nabi ﷺ kelembutan yang biasa aku melihat daripadanya ketika aku sakit sebelum ini. Baginda hanya masuk, memberi salam lalu bertanya: ‘Bagaimanakah keadaanmu?’ Aku tidak merasakan apapun daripada kejadian itu hingga aku telah sembuh. Aku keluar bersama Ummu Misthaẖ ke arah al-Manas̄i’ iaitu tempat kami qada’ hajat. Kami tidak keluar kecuali dari satu malam ke malam berikutnya, hanya pada malam hari. Hal itu berlaku sebelum dibina tandas yang dekat dengan rumah-rumah kami. Keadaan kami sama seperti keadaan orang-orang Arab terdahulu yang mencari kawasan pedalaman atau tempat yang sangat jauh daripada penduduk (untuk qada’ hajat). Kemudian aku kembali bersama Ummu Misthaẖ binti Abu Ruhm sambil berjalan kaki. Beliau telah tergelincir kerana terpijak kainnya, lalu mengatakan: ‘Celakalah Misthaẖ!’ Aku berkata kepadanya: ‘Alangkah buruk apa yang engkau katakan, adakah engkau mencaci maki seorang lelaki yang turut serta dalam perang Badar?’ Beliau berkata: ‘Wahai sayangku! Adakah engkau belum mendengar apa yang mereka katakan?’ Lalu beliau (Ummu Misthaẖ) menceritakan kepadaku tentang perkataan para penyebar berita dusta. Maka, semakin bertambah rasa sakitku yang telah ada. Ketika kembali ke rumahku, Rasulullah ﷺ masuk menemuiku dan memberi salam, kemudian bertanya: ‘Bagaimanakah keadaanmu?’ Aku berkata: ‘Izinkanlah aku pergi kepada kedua ibu bapaku’. Ketika itu, aku ingin mencari kepastian tentang cerita tersebut daripada mereka berdua. Rasulullah ﷺ pun mengizinkanku. Aku datang kepada kedua ibu bapaku dan berkata kepada ibuku: ‘Apakah yang dibicarakan oleh orang-orang tentang diriku?’ Beliau menjawab: ‘Wahai puteriku kesayanganku! Tenanglah menghadapi masalah ini. Demi Allah, sangat sedikit wanita cantik yang bersama suami yang mencintainya dan dia mempunyai madu melainkan mereka akan banyak membicarakan tentang (keburukan) wanita itu’. Aku berkata: ‘Maha Suci Allah! Benarkah orang ramai telah membicarakan hal ini?’ Malam itu aku bermalam sehingga pagi dengan air mata yang terus mengalir dan aku tidak dapat tidur. Kemudian Rasulullah ﷺ memanggil ‘Ali bin Abu Thalib dan Usamah bin Zaid (ketika wahyu lambat turun) untuk meminta pendapat daripada keduanya untuk menceraikan isterinya.  Adapun Usamah, beliau menyarankan kepada baginda dengan saranan yang beliau tahu ada pada diri Nabi ﷺ iaitu kecintaan baginda terhadap mereka. Usamah berkata: ‘Isterimu, wahai Rasulullah, dan kami tidak mengetahui, demi Allah, melainkan kebaikan’. Adapun ‘Ali bin Abu Thalib berkata: ‘Wahai Rasulullah! Allah tidak sekali-kali akan menyempitkanmu dan wanita-wanita selainnya masih ramai, tanyalah kepada hamba perempuan, nescaya dia akan membenarkan hal itu kepadamu’. Rasulullah ﷺ memanggil Barirah dan bertanya: ‘Adakah engkau pernah melihat padanya sesuatu yang mencurigakanmu?’ Barirah berkata: ‘Tidak, demi Allah yang telah mengutusmu dengan kebenaran, aku tidak pernah melihat apa-apa perkara padanya yang boleh untuk aku pandang rendah lebih daripada bahawa beliau hanyalah seorang wanita yang masih muda. Beliau tertidur meninggalkan adunan keluarganya, lalu datang kambing memakannya’. Pada hari itu, Rasulullah ﷺ berdiri dan mencari keuzuran (pembelaan) daripada (tuduhan) ‘Abdullah bin Ubai bin Salul. Rasulullah ﷺ bersabda: ‘Siapakah yang dapat membelaku daripada orang yang gangguannya berkenaan isteriku sampai kepadaku? Maka, demi Allah, aku tidak mengetahui isteriku kecuali seorang yang baik. Mereka telah menyebutkan pula seseorang yang aku tidak mengetahuinya kecuali orang yang baik. Beliau tidak masuk menemui isteriku melainkan bersama denganku’. Maka, Sa‘d bin Mu‘adz telah berdiri seraya berkata: ‘Wahai Rasulullah, demi Allah, aku akan membelamu daripadanya. Sekiranya dia berasal daripada suku Aus, nescaya kami akan memenggal lehernya. Sekiranya dia saudara kami dalam kalangan suku Khazraj dan engkau memerintahkan kami, nescaya kami akan melakukan perintahmu’. Kemudian Sa‘d bin ‘Ubadah telah berdiri, dan beliau ialah ketua suku Khazraj. Sebelum itu, beliau seorang yang soleh, namun semangat perkauman telah menimbulkan kemarahannya. Beliau berkata: ‘Demi Allah, engkau berdusta! Demi Allah, engkau tidak akan membunuhnya dan tidak akan mampu melakukannya’. Lalu Usaid bin H̱udhair bangun seraya berkata: ‘Engkau berdusta, demi Allah, pasti kami akan membunuhnya! Sungguh engkau adalah orang munafiq dan membela orang-orang munafiq’. Terjadi pergolakan antara dua suku kaum; Aus dan Khazraj hingga hampir-hampir mereka berperang, dan Rasulullah ﷺ masih berada di atas mimbar. Baginda turun dan menenangkan mereka sehingga mereka tenang. Baginda pun diam. Aku terus menangis pada hari itu, dan air mataku tidak pernah kering daripadaku serta aku tidak dapat tidur. Pada pagi hari, kedua ibu bapaku telah berada di sisiku, sementara aku terus-menerus menangis satu hari dua malam hingga aku merasakan tangisan akan membelah hatiku. Ketika keduanya sedang duduk di sisiku dan aku masih terus menangis, tiba-tiba seorang wanita daripada kalangan Ans̄ar meminta izin dan aku memberi izin kepadanya, lalu dia duduk dan menangis bersamaku. Ketika kami dalam keadaan demikian, Rasulullah ﷺ masuk dan duduk, dan baginda tidak pernah duduk di sebelahku sejak hari yang dikatakan mengenaiku apa yang dikatakan sebelumnya. Telah berlalu satu bulan dan belum diwahyukan kepada baginda sesuatupun tentang urusanku. Baginda bersyahadah kemudian bersabda: ‘Wahai ‘Aisyah! Sesungguhnya telah sampai kepadaku berita tentang dirimu begini dan begitu. Jika engkau bersih daripada semua itu, nescaya Allah akan membersihkanmu. Tetapi sekiranya engkau melakukan dosa, maka mohonlah keampunan kepada Allah dan bertaubatlah kepada-Nya; kerana sesungguhnya hamba apabila mengakui dosanya kemudian bertaubat, nescaya Allah akan menerima taubatnya’. Ketika Rasulullah ﷺ selesai perkataannya, air mataku berhenti keluar hingga aku tidak merasakan satu titis pun. Aku berkata kepada bapaku: ‘Berilah jawapan kepada Rasulullah ﷺ bagi pihakku’. Maka, beliau berkata: ‘Demi Allah, aku tidak tahu apa yang perlu dikatakan kepada Rasulullah ﷺ’. Lalu aku berkata pula kepada ibuku: ‘Berilah jawapan kepada Rasulullah ﷺ bagi pihakku pada apa yang telah baginda katakan’. Beliau berkata: ‘Demi Allah! Aku tidak tahu apa yang perlu aku katakan kepada Rasulullah ﷺ’. Ketika itu aku seorang budak perempuan yang masih kecil dan belum banyak membaca al-Quran. Aku berkata: ‘Demi Allah! Sungguh aku telah mengetahui bahawa kamu semua telah mendengar apa yang diperbualkan orang, hal itu telah meninggalkan kesan dalam hati kamu dan kamu telah membenarkannya, sekiranya aku mengatakan kepada kamu bahawa aku bersih (daripada dosa), dan Allah Maha Mengetahui bahawa aku benar-benar bersih (daripadanya), pasti kamu tidak akan mempercayai aku dalam hal itu. Kalau aku mengaku kepadamu tentang suatu perkara, dan Allah Maha Mengetahui bahawa sesungguhnya aku bersih (daripadanya), nescaya engkau akan mempercayaiku. Demi Allah! Aku tidak mendapatkan pemisalan bagi diriku dan dirimu kecuali bapa Nabi Yusuf ketika mengatakan: ‘Maka kesabaran yang baik itulah (kesabaranku). Dan Allah sahajalah yang dimohonkan pertolongan-Nya terhadap apa yang engkau ceritakan (Yusuf [12]: ayat 18)’. Kemudian aku berpindah ke tempat tidurku sambil berharap Allah akan membersihkanku. Akan tetapi, demi Allah, aku tidak pernah sangka akan diturunkan wahyu mengenai keadaanku. Sungguh aku lebih rendah pada pandangan diriku untuk disebut dalam al-Quran mengenai keadaanku. Akan tetapi, aku berharap Rasulullah ﷺ akan melihat di dalam tidurnya mimpi yang akan membebaskanku (daripada tuduhan itu). Demi Allah, sebelum sempat baginda beredar daripada tempat duduknya, dan sebelum seorang pun yang ada di dalam rumahnya sempat keluar, tiba-tiba turun wahyu kepada baginda. Maka terjadi kepada baginda kesusahan yang biasa terjadi kepada baginda (ketika menerima wahyu), sehingga menitis daripada baginda peluh seperti permata pada hari yang sejuk. Setelah keadaan itu dihilangkan daripada Rasulullah ﷺ, baginda tersenyum, dan kalimah pertama yang baginda ucapkannya ialah baginda bersabda kepadaku: ‘Wahai ‘Aisyah, pujilah Allah! Sungguh Allah telah membersihkanmu (daripada tuduhan)’. Ibuku berkata kepadaku: ‘Berdirilah kepada Rasulullah ﷺ!’ Aku berkata: ‘Tidak, demi Allah, aku tidak akan berdiri kepadanya dan aku tidak akan memuji melainkan Allah’. Allah Ta‘ala menurunkan firman-Nya: ‘Sesungguhnya orang-orang yang membawa berita yang amat dusta itu ialah segolongan dari kalangan kamu; janganlah kamu menyangka (berita yang dusta) itu buruk bagi kamu, bahkan ia baik bagi kamu. Tiap-tiap seorang di antara mereka akan beroleh hukuman sepadan dengan kesalahan yang dilakukannya itu, dan orang yang mengambil bahagian besar dalam menyiarkannya di antara mereka, akan beroleh seksa yang besar (di dunia dan di akhirat) (an-Nur [24]: ayat 11)’. Ketika Allah menurunkan ayat ini, berkaitan kesucianku, maka Abu Bakar as̄-S̄iddiq berkata sedangkan sebelum ini beliau sering memberi nafkah kepada Misthaẖ bin Utsatsah kerana hubungan kerabat antara mereka: ‘Demi Allah, aku tidak akan memberi nafkah sedikitpun kepada Misthaẖ untuk selama-lamanya setelah apa yang beliau telah katakan tentang ‘Aisyah’. Lalu Allah Ta‘ala menurunkan firman-Nya: ‘Dan janganlah orang-orang yang berharta serta lapang hidupnya dari kalangan kamu, bersumpah tidak mahu lagi memberi bantuan kepada kaum kerabat dan orang-orang miskin serta orang-orang yang berhijrah pada jalan Allah; dan (sebaliknya) hendaklah mereka memaafkan serta melupakan kesalahan orang-orang itu; tidakkah kamu suka supaya Allah mengampunkan dosa kamu? Dan (ingatlah) Allah Maha Pengampun lagi Maha Mengasihani (an-Nur [24]: ayat 22)’. Abu Bakar berkata: ‘Bahkan demi Allah, sungguh aku benar-benar ingin Allah memberi keampunan kepadaku’. Beliau kembali memberikan kepada Misthaẖ apa yang biasa diberikan sebelumnya. Rasulullah ﷺ pernah bertanya kepada Zainab binti Jahsyi tentang urusanku. Baginda bersabda: ‘Wahai Zainab! Apakah yang engkau ketahui? Apakah yang engkau lihat?’ Beliau menjawab: ‘Wahai Rasulullah! Aku menjaga pendengaranku dan penglihatanku. Demi Allah, aku tidak mengetahui dirinya kecuali yang baik’. Beliau adalah orang yang menyaingiku, namun Allah telah melindunginya dengan sifat wara’.”
(HR. Bukhari,no.2661)

No comments:

Post a Comment