:: Hadis 1 ::
dari ‘Aisyah,dia berkata bahawa dia bertanya kepada Rasulullah ﷺ,
“Wahai Rasulullah, adakah hari yang lebih berat bagimu daripada hari Uhud?” Baginda menjawab: “Sesungguhnya aku telah menghadapi banyak perkara daripada kaummu, dan hari yang paling berat bagiku adalah hari di Aqabah, ketika aku menemui Ibn ‘Abd Yalil bin ‘Abd Kulal untuk menyeru kepadanya, tetapi dia tidak menjawab seperti yang aku harapkan. Aku pun pergi dalam keadaan sangat sedih dan terus berjalan tanpa arah, sehingga aku sampai di Qarn ast-Tsa’alib. Lalu aku mengangkat kepalaku dan melihat ada awan yang menaungiku. Aku memandang ke dalamnya, dan ternyata ada Jibril di sana. Dia memanggilku dan berkata: ‘Sesungguhnya Allah telah mendengar apa yang dikatakan oleh kaummu kepadamu dan bagaimana mereka menolakmu. Allah telah mengutus malaikat penjaga gunung kepadamu untuk kamu arahkan apa yang kamu kehendaki terhadap mereka. (Baginda meneruskan:) Kemudian malaikat penjaga gunung memanggilku dan memberi salam kepadaku. Dia berkata: ‘Wahai Muhammad, sesungguhnya Allah telah mendengar apa yang dikatakan oleh kaummu kepadamu. Aku adalah malaikat penjaga gunung, dan Tuhanmu telah mengutusku kepadamu untuk menuruti perintahmu. Apa yang engkau kehendaki? Jika engkau mahu, aku akan menghancurkan mereka dengan menimpakan dua gunung ini kepada mereka’.” Namun, Rasulullah ﷺ menjawab: “Tidak, bahkan aku berharap semoga Allah mengeluarkan dari keturunan mereka orang-orang yang menyembah Allah semata-mata dan tidak menyekutukan-Nya dengan sesuatu pun.”
(HR. Bukhari,no.3231. Muslim,no.1795)
:: Hadis 2 ::
dari Anas bin Malik,dia berkata,
“Kami pergi bersama Rasulullah ﷺ menemui tukang besi bernama Abu Saif, dan dia ialah suami kepada ibu susu Ibrahim (anak Nabi). Rasulullah ﷺ mengambil Ibrahim dan menciumnya serta mencium baunya dan kemudian kami memasuki rumah Abu Saif selepas itu. Pada masa itu Ibrahim menghembuskan nafasnya yang terakhir, lalu mata Rasulullah ﷺ mulai bergenangan. ‘Abd al-Rahman bin ‘Auf berkata kepada baginda: ‘engkau menangis wahai Rasulullah?’ Baginda bersabda: ‘Wahai Ibn ‘Auf, ini ialah rahmat’. Kemudian air mata baginda mengalir lagi. Sabda baginda: ‘Sesungguhnya mata menangis dan hati bersedih, kami tidak akan mengucapkan sesuatu melainkan apa yang Tuhan kami redha. Wahai Ibrahim! Sesungguhnya kami bersedih dengan perpisahanmu’.”
(HR. Bukhari,no.1303)
:: Hadis 3 ::
dari ‘Aisyah,dia berkata,
“Aku tidak pernah melihat seseorang yang lebih berat menanggung kesakitan daripada Rasulullah ﷺ.”
(HR. Bukhari,no.5646. Muslim,no.2570)
:: Hadis 4 ::
dari ‘Abdullah bin Mas‘ud,ia berkata,
“Aku pernah menemui Rasulullah ﷺ ketika beliau sedang sakit, lalu aku berkata: ‘Wahai Rasulullah, engkau sedang mengalami sakit yang amat berat’. Baginda bersabda: ‘Benar, rasa sakit yang menimpaku ini sama sepertimana rasa sakit yang menimpa dua orang daripada kamu’. Aku kemudian berkata: ‘Sebab itu engkau mendapat dua pahala?’ Baginda menjawab: ‘Benar, seperti itulah. Tidaklah seorang muslim yang tertimpa suatu musibah (penyakit) atau yang lain, melainkan Allah akan menghapuskan kesalahan-kesalahannya sepertimana pohon menggugurkan dedaunannya’.”
(HR. Bukhari,no.5648)
:: Hadis 5 ::
dari Ja’far bin ‘Amru bin Umayyah al-Dhamri,dia berkata,
“Aku keluar bersama ‘Ubaidillah bin ‘Adi bin al-Khiyar, dan apabila kami tiba di H̱ims̄, ‘Ubaidillah berkata kepadaku: ‘Adakah kamu ingin bertemu dengan Waẖsyi, kita bertanya kepadanya tentang pembunuhan H̱amzah?’ Aku menjawab: ‘Ya’. Waẖsyi tinggal di H̱ims̄, jadi kami bertanya mengenai beliau, dan dikatakan kepada kami bahawa dia berada di bawah bayang-bayang istananya, seperti orang yang sedang berehat. Kemudian kami pergi hingga berhenti tidak jauh darinya, kami memberi salam, dan dia membalas salam kami. ‘Ubaidillah menutup kepalanya dengan serbannya, sehingga Waẖsyi hanya dapat melihat matanya dan kakinya. ‘Ubaidillah berkata: ‘Waẖsyi, adakah kamu mengenaliku?’ Dia memandangnya kemudian berkata: ‘Tidak, demi Allah, kecuali aku tahu bahawa ‘Adi bin al-Khiyar telah mengahwini seorang wanita bernama Ummu Qital binti Abi al-‘Is̄, dan dia melahirkan seorang anak lelaki untuknya di Mekah, dan aku yang menyusukan anak lelaki itu. Aku membawanya bersama ibunya, lalu aku serahkan anak itu kepadanya. Seolah-olah saya melihat kaki kamu’. Lalu ‘Ubaidillah membuka pelitup wajahnya. Kemudian berkata: ‘Tidakkah engkau mahu mengkhabarkan kepada kami tentang pembunuhan H̱amzah?’ Beliau menjawab: ‘Baiklah. H̱amzah membunuh Thu‘aimah bin ‘Adi bin al-Khiyar dalam perang Badar. Maka tuan aku Jubair bin Muth‘im berkata kepadaku: ‘Jika engkau dapat membunuh H̱amzah sebagai membalas dendam ke atas ayah saudaraku maka engkau akan dimerdekakan’.’ Beliau berkata: ‘Apabila orang Mekah hendak keluar (untuk menyertai perang Uhud) pada tahun ‘Ainain iaitu nama bukit yang setentang dengan bukit Uhud yang antara ia dan Uhud terdapat lembah, aku keluar bersama mereka. Ketika mereka telah berbaris untuk berperang, Siba’ keluar dan berkata: ‘Ada sesiapa (daripada orang Islam) yang ingin bertarung denganku?’ Beliau berkata: ‘Lalu H̱amzah bin ‘Abd al-Mutthalib maju kepadanya dan berkata: ‘Wahai Siba’, wahai putera Ummu Anmar tukang khatan wanita, adakah engkau menentang Allah dan Rasul-Nya ﷺ?’ Beliau berkata: ‘Kemudian H̱amzah menyerangnya dan membunuhnya dia seperti semalam yang telah berlalu pergi tanpa meninggalkan kesan’. Beliau berkata: ‘Aku bersembunyi di bawah batu besar untuk menyerangnya. Ketika beliau mendekatiku, aku melempar tombak kecil ke arahnya, yang aku halakan ke bahagian bawah pusatnya sehingga tombak itu tembus keluar dari punggungnya’. Beliau berkata: ‘Maka demikian itulah menjadi sebab kesyahidannya. Ketika orang ramai pulang semula ke Mekah, aku juga pulang bersama mereka. Lalu aku tinggal di Mekah sehinggalah Islam tersebar (di kota Mekah). Kemudian aku keluar menuju ke Thaif. Setelah itu mereka (penduduk Thaif) mengirim utusan kepada Rasulullah ﷺ dan dikatakan kepadaku bahawasanya baginda tidak menyakiti utusan. Aku pun keluar bersama mereka sehingga sampai kepada Rasulullah ﷺ. Ketika melihatku, baginda bertanya: ‘Adakah engkau Waẖsyi?’ Aku menjawab: ‘Benar’. Baginda bertanya lagi: ‘Adakah engkau yang membunuh H̱amzah?’ Aku berkata: ‘Halnya adalah seperti apa yang telah sampai kepadamu’. Baginda bersabda: ‘Bolehkah engkau sembunyikan wajahmu daripadaku?’ Beliau berkata: ‘Kemudian aku keluar, dan apabila Rasulullah ﷺ wafat, Musailimah al-Kadzdzab muncul. Aku berkata: ‘Aku akan keluar untuk menemui Musailimah, semoga aku dapat membunuhnya sebagai pembalasan untuk H̱amzah’. Maka aku keluar bersama orang ramai, dan terjadi perkara-perkara tertentu. Tiba-tiba, aku melihat seorang lelaki berdiri di celah tembok, seolah-olah dia seperti unta yang bertanduk, dengan rambut kepala yang terjuntai. Aku melemparkan tombakku kepadanya, dan aku menancapkannya di antara kedua-dua dadanya hingga keluar dari belakang bahunya. Kemudian, seorang lelaki dari kalangan Ans̄ar melompat kepadanya dan memukulnya dengan pedang di kepala’.”
(HR. Bukhari,no.4072)
:: Hadis 6 ::
dari ‘Umar bin al-Khattab,dia berkata,
“Ketika hari Perang Badar, Rasulullah ﷺ memandang kepada orang-orang musyrik yang jumlah mereka 1000 orang, sedangkan sahabat-sahabat baginda hanya 319 orang. Maka Nabi Allah ﷺ menghadap ke arah kiblat, lalu baginda mengangkat kedua-dua tangannya dan berdoa kepada Tuhannya:
اللَّهُمَّ أَنْجِزْ لِي مَا وَعَدْتَنِي اللَّهُمَّ آتِ مَا وَعَدْتَنِي اللَّهُمَّ إِنْ تَهْلِكْ هَذِهِ الْعِصَابَةُ مِنْ أَهْلِ الإِسْلاَمِ لاَ تُعْبَدْ فِي الأَرْضِ
Allahumma Anjizli Maa Wa‘adtani, Allahumma Ati Maa Wa‘adtani. Allahumma Intahlik Ha-dzihil ‘is̄obah Min Ahlil Islam, Laa Tu’bad Fil Ardh
(Ya Allah, sempurnakanlah untukku apa yang Engkau telah janjikan. Ya Allah, tunaikanlah apa yang Engkau telah janjikan kepadaku. Ya Allah, sekiranya binasa pasukan ini daripada kalangan orang Islam, pasti Engkau tidak akan disembah lagi di muka bumi ini).
Baginda terus-menerus berdoa kepada Tuhannya sambil mengangkat kedua-dua tangannya dan menghadap ke arah kiblat, sehingga selendangnya jatuh dari kedua bahunya. Maka datanglah Abu Bakar, lalu mengambil selendang baginda, meletakkannya kembali ke atas bahunya, dan memeluk baginda dari belakang. Abu Bakar berkata: ‘Wahai Nabi Allah, cukup sudah permintaanmu kepada Tuhanmu, sesungguhnya Dia pasti akan menyempurnakan apa yang telah dijanjikan kepadamu’. Lalu Allah ‘azza wa jalla menurunkan firman-Nya: “Ketika kamu memohon pertolongan kepada tuhan kamu, lalu Ia perkenankan permohonan kamu (dengan firman-Nya): ‘Sesungguhnya Aku akan membantu kamu dengan 1000 (bala tentera) dari malaikat yang datang berturut-turut (QS. al-Anfal [8]: ayat 9)’.” Maka Allah membantu baginda dengan para malaikat...”
(HR. Muslim,no.1763)
Tuesday, December 24, 2024
Ketika Rasulullah Melalui Ujian Yang Berat
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment