Wednesday, December 18, 2024

Malaikat Berkepala Kambing

dari al-‘Abbas bin ‘Abdul Mutthalib,dia berkata,
“Aku berada di al-Bathẖa' bersama satu kumpulan yang di dalamnya ada Rasulullah ﷺ. Lalu melintasi mereka segumpal awan, maka baginda memandang kepadanya dan bersabda: ‘Apakah yang kamu namakan ini?’ Mereka menjawab: ‘as-Saẖab (awan)’. Baginda bersabda: ‘Dan al-Muzn (awan yang membawa hujan)?’ Mereka menjawab: ‘Ya, al-Muzn’. Baginda bersabda lagi: ‘Dan al-‘Anan (awan tinggi)?’ Mereka menjawab: ‘Ya, al-‘Anan’. Kemudian baginda bersabda: ‘Adakah kamu tahu jarak antara langit dan bumi?’ Mereka menjawab: ‘Kami tidak tahu’. Baginda bersabda: ‘Sesungguhnya jarak antara keduanya adalah 71, 72, atau 73 tahun. Kemudian langit yang berada di atasnya juga demikian keadaannya sehingga disebutkan 7 lapisan langit. Di atas langit yang ketujuh terdapat lautan, di antara bahagian bawahnya dan atasnya adalah seperti jarak antara satu langit ke langit yang lain. Kemudian di atasnya terdapat 8 Au‘al di antara kuku-kuku kaki mereka dan lutut mereka seperti jarak antara satu langit ke langit yang lain. Kemudian di atas belakang mereka terdapat ‘Arasy, jarak antara bahagian bawah ‘Arasy dan bahagian atasnya adalah seperti jarak antara satu langit ke langit yang lain. Kemudian Allah Tabaraka wa Ta‘ala berada di atas itu’.”
(HR. Abu Daud,no.4723. at-Tirmidzi,no.3320. Ibnu Majah,no.193. Ini lafaz Abu Daud)

NOTA (1):
Tentang maksud “Au‘al”, imam ibnu al-Atsir berkata: “(Au‘al) iaitu malaikat-malaikat yang berbentuk seperti Au‘al (kambing gunung), dan seekornya disebut wa‘il dengan baris bawah pada huruf ‘ain...” (rujuk: al-Nihayah,3/355)

NOTA (2):
Adapun tentang kesahihan hadis ini, hadis ini dinilai Dha’if (lemah: tidak sahih) dan Mursal (sanadnya terputus) oleh para Ulama’ Hadis kerana hadis ini diriwayatkan oleh (perawi) Simak bin Harb dari ‘Abdullah bin ‘Amirah dari al-Aẖnaf bin Qais dari ‘Abbas bin Abi Mutthalib. Disisi imam al-Bukhari, hadis ini sanadnya terputus antara (perawi) ‘Abdullah bin ‘Amirah dan al-Aẖnaf bin Qais. Beliau (imam al-Bukhari) berkata: “Dan kami tidak mengetahui bahawa dia (‘Abdullah) mendengar daripada al-Aẖnaf” (rujuk: Tarikh al-Kabir,5/159). Ulama’ Hadis yang lain juga menilai bahawa hadis ini tidak sahih. Imam al-Bazzar berkata: “Kami tidak mengetahui hadis ini diriwayatkan dengan lafaz dan kandungan ini melainkan melalui sanad ini daripada al-‘Abbas daripada Nabi ﷺ. Dan ‘Abdullah bin ‘Amirah, kami tidak mengetahui sesiapa yang meriwayatkan daripadanya selain Simak bin Harb” (rujuk: Musnad al-Bazzar,4/115). Imam Ibnu ‘Adiy berkata: “Hadis ini ghoir mahfuzh (tidak terpelihara)” (rujuk: al-Kamil,9/27). Imam adz-Dzahabi berkata: “Simak bersendirian meriwayatkannya daripada ‘Abdullah, sedangkan ‘Abdullah tidak diketahui (majhul)” (rujuk: al-‘Uluw,1/60). Hadis ini dinilai Dha‘if oleh Syaikh al-Albani (rujuk: Silsilah adh-Dha‘ifah,1247) dan hadis ini juga dinilai Dha‘if oleh Syaikh Musthofa al-‘Adawi, kata beliau: “Hadis al-Au‘al Dha’if. Setiap hadis al-Au‘al dan al-Abdal tu Dha’if” (rujuk: video).
Wallahua‘lam.

No comments:

Post a Comment