Thursday, October 31, 2024

4 Waktu Mengangkat Tangan Ketika Takbir Di Dalam Solat

● MENGANGKAT TANGAN KETIKA TAKBIRATUL IHRAM, SEBELUM DAN SELEPAS RUKU’ ●

:: Hadis 1 ::
dari Ibn Umar,dia berkata,
“Aku telah melihat Nabi ﷺ membuka takbir di dalam solat (iaitu memulakan solat dengan bertakbir), dengan mengangkat kedua tangannya ketika bertakbir sehingga sama pada bahagian bahunya. Ketika bertakbir untuk ruku’ juga baginda melakukan sedemikian dan ketika baginda mengucapkan: ‘Sami’Allahu liman ẖamidah’, baginda melakukan sedemikian juga.”
(HR. Bukhari,no.738. an-Nasaie,no.876)

:: Hadis 2 ::
dari Ibn ‘Umar,dia berkata,
“Rasulullah ﷺ mengangkat kedua tangannya hingga ke paras bahu apabila memulakan solat (iaitu ketika takbiratulihram). Dan apabila mengangkat takbir untuk ruku’ dan ketika bangun daripada ruku’, baginda mengangkat kedua-dua tangannya juga, dan mengucapkan: ‘Sami'Allahu liman ẖamidah, robbana wa lakal ẖamd’. Namun baginda tidak melakukannya ketika sujud.”
(HR. Bukhari,no.735. Muslim,no.390)


● MENGANGKAT TANGAN SETELAH BANGUN DARI TASYAHUD (TAHIYAT) AWAL ●

dari Ibn ‘Umar,dia berkata,
“..Apabila (Nabi ﷺ) bangun setelah rakaat kedua, baginda akan mengangkat kedua tangannya.”
(HR. Bukhari,no.739)

NOTA:
Hanya empat (4) waktu ini sahaja disunnahkan untuk mengangkat tangan. Ini pendapat yang dipegang oleh sebahagian ulama’ mazhab asy-Syafi‘i seperti imam Ibnu al-Mundzir, Abu ‘Ali at-Thobari, Abu Bakr al-Baihaqi dan lain-lain (rujuk: imam an-Nawawi,al-Majmu’,3/425-426). Imam al-Bukhari juga meletakkan “Tajuk Bab” khas dalam Kitab Sahih-nya: باب رفع اليدين إذا قام من الركعتين (Bab mengangkat kedua tangan ketika bangkit dari rakaat kedua), ini menunjukkan bahawa imam al-Bukhari juga berpendapat bahawa disunnahkan mengangkat kedua-dua tangan setelah bangun dari Tasyahud Awal. Syaikh Soleh ibn al-‘Utsaimin juga berkata: “Tempat-tempat mengangkat kedua tangan ada empat: ketika takbiratul ihram, ketika ruku’, ketika bangkit dari ruku’, dan apabila berdiri dari tasyahud awal” (rujuk: asy-Syarhu al-Mumti’,3/214).

No comments:

Post a Comment