:: al-Quran 1 ::
Allah ﷻ berfirman:
“..Dan Allah telah berkata-kata kepada Nabi Musa dengan kata-kata (secara langsung, tidak ada perantaraan).”
(an-Nisa' [4]: ayat 164)
:: al-Quran 2 ::
Allah ﷻ berfirman:
“Dan kami telah janjikan masa kepada Nabi Musa (untuk memberikan Taurat) selama 30 malam, serta Kami genapkan jumlahnya dengan 10 malam lagi, lalu sempurnalah waktu yang telah ditentukan oleh Tuhannya 40 malam. Dan berkatalah Nabi Musa kepada saudaranya Nabi Harun (semasa keluar menerima Taurat): ‘Gantikanlah aku dalam (urusan memimpin) kaumku dan perbaikilah (keadaan mereka sepeninggalanku), dan janganlah engkau menurut jalan orang-orang yang melakukan kerosakan’. Dan ketika Nabi Musa datang pada waktu yang Kami telah tentukan itu, dan Tuhannya berkata-kata dengannya, maka Nabi Musa (merayu dengan) berkata: ‘Wahai Tuhanku! Perlihatkanlah kepadaku (Dzat-Mu Yang Maha Suci) supaya aku dapat melihat-Mu’. Allah berfirman: ‘Engkau tidak sekali-kali akan sanggup melihat-Ku, tetapi pandanglah ke gunung itu, maka kalau ia tetap berada di tempatnya, nescaya engkau akan dapat melihat-Ku’, Setelah Tuhannya ‘Tajalla’ (menzahirkan kebesaran-Nya) kepada gunung itu, (maka) ‘Tajalli-Nya’ menjadikan gunung itu hancur lebur dan Nabi Musa pun jatuh pengsan. Setelah ia sedar semula, berkatalah ia: ‘Maha Suci Engkau (wahai Tuhanku), aku bertaubat kepada-Mu, dan akulah orang yang awal pertama beriman (pada zamanku)’. Allah berfirman: ‘Wahai Musa! Sesungguhnya Aku memilihmu melebihi umat manusia (yang ada pada zamanmu), dengan membawa perutusan-Ku (Kitab Taurat) dan dengan Kalam-Ku; oleh itu, terimalah apa yang Aku kurniakan kepadamu, dan jadikanlah dirimu dari orang-orang yang bersyukur’. Dan Kami telah menuliskan bagi Nabi Musa pada Lauh-lauh (Taurat) itu, dari pelbagai jenis nasihat pengajaran dan penjelasan bagi tiap-tiap sesuatu (dasar Syariat dan hukum-hukumnya). Oleh itu, terimalah dia (dan amalkanlah wahai Musa) dengan bersungguh-sungguh, dan suruhlah kaummu berpegang (serta mengamalkan) yang sebaik-baiknya (iaitu suruhan-suruhannya). Aku akan perlihatkan kepada kamu akan negeri orang-orang yang fasik (derhaka)’.”
(al-A’raf [7]: ayat 142 - 145)
:: Hadis 1 ::
dari Abu Hurairah,Nabi ﷺ bersabda,
“Berlaku perdebatan antara Adam dan Musa. Musa berkata: ‘Wahai Adam, kamu adalah bapa yang telah mengecewakan dan mengeluarkan kami dari syurga’. Adam berkata: ‘Wahai Musa, kamu dipilih oleh Allah dengan dianugerahkan Kalam-Nya dan menuliskan untukmu (Kitab Taurat) dengan Tangan-Nya, lalu kamu mencelaku atas perkara yang telah ditakdirkan Allah ke atasku 40 tahun sebelum Dia menciptaku’. Maka seperti itu hujah Adam mengatasi hujah Musa, hujah Adam mengatasi hujah Musa. Disebut sebanyak 3 kali.”
(HR. Bukhari,no.6614)
:: Hadis 2 ::
dari Abu Hurairah,dia berkata,
“Malaikat maut dihantar kepada Nabi Musa. Apabila ia datang, Nabi Musa menampar malaikat. Lantas ia kembali kepada Allah seraya berkata: ‘Engkau utuskan aku kepada seorang hamba yang tidak mahu mati’. Maka Allah mengembalikan mata malaikat dan berfirman: ‘Kembalilah dan katakan kepadanya supaya dia letakkan tangannya di belakang lembu jantan. Setiap bulu yang dilitupi oleh tanggannya itu adalah tahun (yang akan dia hidup)’. Nabi Musa (setelah menyampaikan pesanan dari Allah) berkata: ‘Wahai Tuhan, kemudian apa?’ Allah menjawab: ‘Kematian’. Nabi Musa berkata: ‘Sekaranglah’. Kemudian Baginda memohon kepada Allah agar diletakkan berhampiran dengan tanah Palestin sejauh lontaran batu. Rasulullah ﷺ bersabda: ‘Jika aku ada di sana akan aku tunjukkan kuburnya yang berhampiran dengan jalan yang berada dengan pasir merah’.”
(HR. Bukhari,no.1339 & 3407. Muslim,no.6298)
:: Hadis 3 ::
dari Abu Sa‘id al-Khudri,dia berkata,
“Seorang lelaki dari kalangan Yahudi datang kepada Nabi ﷺ dengan wajahnya yang telah ditampar. Dia berkata: ‘Wahai Muhammad, seorang lelaki dari sahabatmu dari golongan Ans̄ar telah menampar wajahku’. Nabi ﷺ bersabda: ‘Panggil dia’. Maka mereka pun memanggilnya. Baginda bertanya: ‘Mengapa kamu menampar wajahnya?’ Lelaki Ans̄ar itu menjawab: ‘Wahai Rasulullah, aku melalui sekumpulan Yahudi, lalu aku mendengar dia berkata: ‘Demi Tuhan yang telah memilih Musa atas seluruh manusia’. Maka aku berkata: ‘Dan juga atas Muhammad ﷺ!’ Tetapi dia tetap berkeras, maka aku menjadi marah lalu menamparnya’. Nabi ﷺ bersabda: ‘Jangan kamu melebihkan aku berbanding para nabi, kerana sesungguhnya manusia akan pengsan pada hari kiamat. Aku ialah orang pertama yang akan sedar. Tetapi ternyata Musa sedang berpegang pada salah satu tiang ‘Arasy. Aku tidak tahu adakah dia sedar sebelumku, atau dia dicukupkan oleh Allah daripada pengsan pada hari kiamat dengan pengsannya dia ketika peristiwa di bukit Thursina’.”
(HR. Bukhari,no.4638 & 6917)
:: Hadis 4 ::
dari Abu Hurairah,dia berkata,
“Seorang lelaki Muslim dan seorang lelaki Yahudi bertengkar. Lelaki Muslim itu bersumpah dengan berkata: ‘Demi Tuhan yang telah memilih Muhammad melebihi seluruh alam’. Lalu lelaki Yahudi itu menjawab: ‘Demi Tuhan yang telah memilih Musa melebihi seluruh alam’. Mendengar kata-kata itu, lelaki Muslim tersebut mengangkat tangannya lalu menampar lelaki Yahudi itu. Lelaki Yahudi itu kemudian pergi kepada Rasulullah ﷺ dan memberitahu baginda tentang apa yang telah berlaku antara dirinya dan lelaki Muslim tersebut. Maka Nabi ﷺ bersabda: ‘Janganlah kamu melebihkan aku atas Musa. Sesungguhnya pada Hari Kiamat, manusia akan pengsan, dan akulah orang pertama yang akan sedar kembali. Namun, aku melihat Musa sudah memegang sisi ‘Arasy. Aku tidak tahu sama ada dia termasuk dalam golongan yang pengsan lalu sedar sebelumku, atau dia termasuk dalam golongan yang dikecualikan oleh Allah daripada pengsan tersebut’.”
(HR. Bukhari,no.2411,3408,6517 & 7472)
Sunday, February 16, 2025
Kelebihan Nabi Musa
Friday, February 14, 2025
Peringatan Bagi Orang Yang Suka Menasihati Orang Lain
:: Hadis 1 ::
dari Usamah bin Zaid,Rasulullah ﷺ bersabda,
“Seseorang akan didatangkan pada hari kiamat, lalu dia dilemparkan ke dalam neraka sehingga ususnya terburai di dalam neraka. Dia berpusing-pusing seperti seekor keldai berpusing mengelilingi batu penggiling. Para penghuni neraka berkumpul kepadanya dan bertanya: ‘Wahai si fulan, apa yang terjadi kepadamu? Bukankah dahulu kamu menyuruh kami kepada kebaikan dan melarang kami daripada kemungkaran?’ Dia menjawab: ‘Aku dahulu menyuruh kamu melakukan kebaikan, tetapi aku sendiri tidak melakukannya, dan aku melarang kamu daripada kemungkaran, tetapi aku melakukannya’.”
(HR. Bukhari,no.3267. Muslim,no.2989a)
:: Hadis 2 ::
dari Anas bin Malik,Rasulullah ﷺ bersabda,
“Ketika aku diisra’kan, aku melalui kelompok manusia yang lidah mereka dipotong dengan gunting daripada api. Aku bertanya: ‘Siapakah mereka wahai Jibril?’ Jibril menjawab: ‘Mereka adalah pendakwah daripada umatmu. Mereka menyuruh manusia melakukan kebaikan dan mereka lupa kepada diri sendiri sedangkan mereka membaca Kitab. Tidakkah mereka berfikir?’”
(HR. Ahmad,no.12211. Dinilai sahih oleh Syaikh Syu‘aib al-Arnauth [rujuk: Takhrij Musnad Ahmad,no.13421])
Wednesday, February 12, 2025
Jin Boleh Dilihat?
Saturday, February 8, 2025
Cara Roh Dicabut
Friday, February 7, 2025
Sebelum Allah Menciptakan Sesuatu
dari ‘Imran bin Husain,dia berkata,
“Aku berada bersama Nabi ﷺ ketika sekumpulan kaum dari Bani Tamim datang. Baginda bersabda: ‘Terimalah berita gembira ini, wahai Bani Tamim’. Mereka menjawab: ‘Engkau telah memberi kami berita gembira, maka berilah kami sesuatu (yang lain)’. Kemudian datang pula beberapa orang dari penduduk Yaman, lalu baginda bersabda: ‘Terimalah berita gembira ini, wahai penduduk Yaman, kerana Bani Tamim tidak menerimanya’. Mereka berkata: ‘Kami menerimanya. Kami datang kepadamu untuk mendalami agama dan bertanya tentang permulaan perkara ini (kejadian alam)’. Baginda bersabda: ‘Allah telah wujud, dan tiada sesuatu pun sebelum-Nya. ‘Arasy-Nya berada di atas air, kemudian Dia menciptakan langit dan bumi, serta menulis segala sesuatu di dalam Kitab (Lauh Mahfuz)’. Kemudian seorang lelaki datang kepadaku dan berkata: ‘Wahai ‘Imran, kejar untamu kerana ia telah hilang!’ Maka aku pun pergi mencarinya. Aku melihat fatamorgana menghalangku daripada mencapainya. Demi Allah, aku berharap kalaulah unta itu benar-benar hilang dan aku tidak perlu bangun meninggalkan majlis itu.”
(HR. Bukhari,no.3191 & 7418. Dan ini lafaz no.7418)
Monday, February 3, 2025
4 Golongan Yang Akan Diuji Di Akhirat Kelak
dari al-Aswad bin Sari’,Nabi ﷺ bersabda,
“Empat golongan yang akan diuji pada hari kiamat. Seorang pekak yang tidak dapat mendengar sama-sekali, seorang bodoh, seorang tua yang telah nyanyuk (ketika sampai dakwah) dan seorang yang mati dalam tempoh fatrah (ketiadaan nabi). Adapun seorang yang pekak itu akan berkata: ‘Wahai tuhan, ketika Islam sampai, aku tidak dapat mendengar sama-sekali’. Adapun seorang yang bodoh pula akan berkata: ‘Wahai tuhan, ketika Islam sampai, kanak-kanak membaling najis haiwan kepadaku’. Orang tua yang telah nyanyuk pula berkata: ‘Wahai tuhan, ketika Islam sampai kepadaku, aku tidak dapat memahami apa-apa lagi’. Adapun orang yang mati dalam tempoh fatrah pula berkata: ‘Wahai tuhan, tidak datang seorang rasulpun kepadaku’. Maka Allah mengambil perjanjian mereka bahawa mereka akan mentaatinya. Kemudian Allah mengutus utusan kepada mereka yang mengatakan: ‘Masuklah kamu ke dalam neraka’. Demi Allah yang jiwa Muhammad berada di tangan-Nya, sekiranya mereka memasukinya, neraka itu akan menjadi dingin dan keselamatan bagi mereka.”
(HR. Ahmad,no.16301. at-Thabrani,no.841. Ibnu Hibban,no.7357)
NOTA:
Dinilai sahih oleh Syaikh al-Albani (rujuk: Silsilah as-Sahihah,no.1434). Dinilai hasan oleh Syaikh Syu‘aib al-Arnauth (rujuk: Takhrij Musnad Ahmad,no.16301).
Allah Melaknat Peminum Arak Dan Sesiapa Yang Terlibat Dengannya
:: Hadis ::
dari Ibnu ‘Umar,Rasulullah ﷺ bersabda,
“Allah melaknat arak, peminumnya, penuangnya, penjualnya, pembelinya, pemerahnya, orang yang meminta diperahkannya, pembawanya, dan orang yang minta dihantarkan kepadanya.”
(HR. Abu Daud,no.3674. Ibnu Majah,no.3380. Dinilai sahih oleh Syaikh al-Albani [rujuk: Sahih Ibnu Majah,no.2741])
:: al-Quran ::
Allah ﷻ berfirman:
“...Dan hendaklah kamu bertolong-tolongan untuk membuat kebajikan dan bertaqwa, dan janganlah kamu bertolong-tolongan pada melakukan dosa (maksiat) dan pencerobohan. Dan bertaqwalah kepada Allah, kerana sesungguhnya Allah Maha Berat azab seksa-Nya (bagi sesiapa yang melanggar perintah-Nya).”
(al-Maaidah [5]: ayat 2)
Sunday, February 2, 2025
Tidak Sunnah Memberi Tazkirah (Nasihat) Setiap Hari
:: Hadis 1 ::
dari Syaqiq Abi Wail,dia berkata,
“Adalah ‘Abdullah (Ibnu Mas’ud) memberi tazkirah (nasihat) kepada kami semua pada setiap hari khamis, lalu suatu hari ada seorang berkata kepadanya: ‘Wahai Aba ‘Abdirrahman, aku menyukai tazkirahmu, ingin sekali aku kalau tuan dapat memberikan tazkirah kepada kami setiap hari’. Maka Ibnu Mas‘ud menjawab: ‘Sesungguhnya, tiada apa yang menghalang aku dari memberi kamu tazkirah setiap hari kecuali tidak suka kamu semua menjadi jemu dan bosan (akibat mendengar tazkirah setiap hari), sesungguhnya Rasulullah ﷺ mengintai-ngintai waktu dalam hari-hari (1 hari dalam seminggu) untuk memberikan nasihat kepada kami, kerana bimbang kami menjadi jemu dan bosan’.”
(HR. Bukhari,no.70 & 6411. Muslim,no.2821c. Ini lafaz Muslim)
:: Hadis 2 ::
dari Ibnu Mas‘ud,dia berkata,
“Nabi ﷺ memberikan nasihat kepada kami pada hari-hari tertentu, kerana baginda tidak ingin membuat kami jemu.”
(HR. Bukhari,no.68)
Monday, January 27, 2025
Doa Solat Istikharah
Sunday, January 26, 2025
Paha Lelaki Bukan Aurat Disisi Minoriti Ulama’
Thursday, January 23, 2025
Kematian Dajjal
Mengadu Kesusahan Kepada Allah
Wednesday, January 22, 2025
Hukum Mandi Telanjang
Tuesday, January 21, 2025
Mukjizat Nabi Muhammad
Doa Agar Diberi Petunjuk Dan Ketaqwaan