Sunday, January 26, 2025

Paha Lelaki Bukan Aurat Disisi Minoriti Ulama’

:: Hadis 1 ::
dari Anas bin Malik,dia berkata,
“Rasulullah ﷺ berangkat ke Khaibar untuk berperang. Kami kemudian menunaikan solat Subuh di Khaibar pada awal subuh. Selepas itu, Nabi ﷺ dan Abu Thalhah menaiki kenderaan masing-masing. Aku pula membonceng kenderaan Abu Thalhah. Nabi ﷺ lalu melewati jalan sempit di Khaibar. Ketika itu lututku betul-betul menyentuh paha Nabi ﷺ. Kemudian baginda menyingkap kain izarnya (kain yang menutupi bahagian bawah pinggang) dari pahanya hingga aku melihat putihnya paha Nabi ﷺ. Setelah masuk ke Khaibar, baginda pun mengucapkan: ‘Allahu Akbar, musnahlah Khaibar. Sesungguhnya kami apabila turun dalam kawasan sesuatu kaum, sudah tentu buruklah (nahaslah) hari orang-orang yang tidak mengendahkan amaran yang telah diberikan.’ Baginda mengucapkannya sebanyak 3 kali.” (Perawi berkata): “Orang ramai (penduduk Khaibar) keluar untuk melakukan kerja mereka masing-masing. Apabila menyedari mereka telah dikepung, mereka terus berkata: ‘Muhammad’.” ‘Abd al-Aziz menyebut: Sebahagian rakan-rakan kami (yang turut meriwayatkan hadis daripada Anas) berkata: “Muhammad bersama tenteranya”. Anas berkata: “Kami dapat menakluk Khaibar dengan kekerasan (peperangan). (Setelah kemenangan dicapai), maka dikumpulkanlah orang-orang tawanan. Pada ketika itu datanglah Dihyah al-Kalbi. Dia berkata kepada Nabi ﷺ: ‘Wahai Nabi Allah, berikanlah kepadaku seorang hamba perempuan daripada tawanan ini’. Baginda bersabda: ‘Pergilah dan ambil seorang hamba perempuan’. Dihyah pun mengambil Sofiyyah binti Huyai.  Lalu terus datang seorang lelaki kepada Nabi ﷺ sambil berkata: ‘Wahai Nabi Allah! Engkau telah berikan kepada Dihyah, Sofiyyah binti Huyai. (Dia itu) bangsawan suku Quraizhah dan suku Nadhir. Dia tidak sesuai kecuali untukmu sahaja.’ Maka baginda bersabda: ‘Panggillah Dihyah’. Maka Dihyah pun datang membawanya. Setelah Nabi ﷺ melihatnya, baginda bersabda kepada Dihyah: ‘Ambillah seorang hamba perempuan yang lain daripada kalangan tawanan ini’.” Anas berkata: “Selepas itu, Nabi ﷺ pun memerdekakan Sofiyyah dan mengahwininya. Lalu Tsabit bertanya kepada Anas: ‘Wahai Abu Hamzah (Anas), apakah mas kahwin yang diberikan oleh baginda kepadanya?’ Anas menjawab: ‘Dirinya sendiri sebagai mas kahwin. Baginda telah memerdekakannya dan mengahwininya’. Dalam perjalanan pulang dari Khaibar, Ummu Sulaim telah menghias Sofiyyah untuk Nabi ﷺ. Pada malam harinya, dia menghantarkan Sofiyyah kepada Nabi ﷺ. Maka selesailah malam pengantin Nabi ﷺ. Kemudian, Baginda bersabda sambil menghamparkan alas makan daripada kulit: ‘Sesiapa yang ada apa-apa (makanan), bawalah ke mari’. Maka ada yang membawa buah tamar, ada pula yang membawa minyak sapi”. ‘Abd al-‘Aziz berkata: “Aku rasa Anas telah menyebut sawiq (tepung goreng)”. Anas berkata : “Mereka pun menyediakan hais (iaitu campuran tamar, minyak sapi, keju yang diuli dan dicampur tepung goreng) hingga jadilah jamuan makanan untuk walimah Rasulullah ﷺ.”
(HR. Bukhari,no.371)

NOTA:
Ketika imam al-Bukhari meriwayatkan hadis ini, imam al-Bukhari berkata: “Dan hadis Anas (yang bermaksud terbukanya paha Nabi ﷺ) lebih bersandar (kuat hujahnya), manakala hadis Jarhad (yang menyebut paha itu aurat) lebih bersifat berhati-hati sehingga dapat keluar daripada perselisihan mereka”. Dari kenyataan imam al-Bukhari ini, menunjukkan seolah-olah beliau berpendapat bahawa paha lelaki bukan aurat kerana hadis Anas itu lebih kuat berbanding hadis Jarhad disisi beliau. Namun disisi beliau, menutupnya jauh lebih baik kerana ianya keluar daripada perselisihan pendapat.

:: Hadis 2 ::
dari ‘Aisyah,dia berkata,
“Rasulullah ﷺ sedang berbaring di rumahku, dengan paha atau betisnya terdedah. Kemudian Abu Bakar meminta izin untuk masuk, maka baginda mengizinkannya dalam keadaan begitu, lalu mereka berbicara. Kemudian ‘Umar meminta izin untuk masuk, maka baginda juga mengizinkannya dalam keadaan begitu, lalu mereka berbicara. Selepas itu, ‘Ustman meminta izin untuk masuk, maka Rasulullah ﷺ pun duduk dan membetulkan pakaiannya. (Muhammad [perawi] berkata: “Aku tidak menyebut ini berlaku pada hari yang sama”). ‘Ustman masuk dan mereka berbicara. Apabila ‘Ustman keluar, aku (‘Aisyah) bertanya: ‘Abu Bakar masuk, namun engkau tidak segera membetulkan diri dan tidak ambil peduli. Kemudian ‘Umar masuk, dan engkau juga tidak segera membetulkan diri dan tidak ambil peduli. Tetapi apabila ‘Ustman masuk, engkau duduk dan membetulkan pakaianmu’. Baginda menjawab: ‘Tidakkah aku patut merasa malu kepada seorang lelaki yang para malaikat sendiri berasa malu kepadanya?’”
(HR. Muslim,no.2401)

NOTA:
Berdasarkan kedua-dua hadis ini, minoriti para Ulama’ menjadikannya sebagai dalil bahawa paha lelaki bukan aurat. Salah satunya ‘Atho', imam Ahmad bin Hanbal (menurut 1 riwayat), (Muhammad) Ibnu Jarir ath-Thobari, Abu Sa‘id al-Is̄thakhri, Ibnu Hazm, Ibnu Taimiyyah, Syaikh Soleh al-‘Utsaimin dan beberapa ulama’ yang lain. Kata imam Ibnu Hazm: “Isu: Aurat yang wajib ditutup bagi pandangan orang lain dan dalam solat adalah seperti berikut: Bagi lelaki: Auratnya hanyalah kemaluan (zakar) dan lubang dubur sahaja, paha bukanlah aurat. Bagi wanita: Seluruh tubuh badannya adalah aurat, kecuali muka dan kedua-dua tapak tangan. Ini adalah sama sahaja bagi lelaki merdeka, hamba lelaki, wanita merdeka, dan hamba wanita, tiada perbezaan dalam hal ini” (rujuk: al-Muhalla,2/242). Imam Ibnu Qudamah berkata: “Pandangan yang sahih dalam mazhab adalah bahawa aurat lelaki ialah kawasan antara pusat dan lutut. Imam Ahmad menegaskan hal ini dalam riwayat sekumpulan perawi, dan ia juga merupakan pendapat Malik, asy-Syafie, Ashab al-Ra’yi, serta kebanyakan fuqaha. Namun, terdapat riwayat lain daripada Ahmad yang menyatakan bahawa aurat hanyalah kemaluan dan dubur. Mahna berkata: Aku bertanya kepada Ahmad: ‘Apakah aurat itu?’ Beliau menjawab: ‘Kemaluan dan dubur’. Ini juga merupakan pendapat Ibn Abi Dzi'b dan Daud” (rujuk: al-Mughni,2/284). Kata imam Ibnu Taimiyyah: “Jika kita mengatakan menurut salah satu pendapat, yang juga merupakan salah satu riwayat daripada Imam Ahmad, bahawa aurat itu adalah kemaluan (zakar) dan dubur, manakala paha bukan aurat, maka hal ini berkaitan dengan keharusan seseorang lelaki melihat paha, ia tidak berkaitan dengan solat atau thawaf. Maka, tidak dibenarkan seseorang lelaki solat dengan kedua-dua pahanya terdedah, sama ada paha dianggap aurat atau tidak. Begitu juga, tidak dibenarkan melakukan thawaf dalam keadaan telanjang” (rujuk: Majmu’ al-Fatawa,22/116). Kata Syaikh Ibnu al-‘Utsaimin: “Apa yang jelas bagiku ialah paha bukanlah aurat, kecuali jika dikhuatiri bahawa pendedahannya boleh menimbulkan fitnah. Dalam keadaan itu, paha wajib ditutup, seperti paha para pemuda” (rujuk: Majmu’ Fatawa Ibnu ‘Utsaimin,12/265). Terdapat dalam Al-Mausu‘ah al-Fiqhiyyah (32/57): “Para fuqaha berbeza pendapat mengenai status paha lelaki sebagai aurat. Jumhur fuqaha berpendapat bahawa paha lelaki adalah aurat dan wajib ditutup. Namun, terdapat sebahagian ulama, antaranya ‘Atho', Daud, Muhammad bin Jarir, dan Abu Sa‘id al-Is̄thakhri daripada kalangan mazhab Syafi‘i, serta satu riwayat daripada Ahmad, yang berpendapat bahawa paha bukanlah sebahagian daripada aurat”.
Wallahua’lam.

No comments:

Post a Comment