Wednesday, January 22, 2025

Hukum Mandi Telanjang

:: Hadis 1 ::
dari Abu Hurairah,Nabi ﷺ bersabda,
“Orang-orang Bani Isra’il dahulu mandi bertelanjang, mereka melihat kepada satu sama lain dan Nabi Musa ‘alaihissalam mandi seorang diri’. Maka mereka berkata: ‘Demi Allah, tiada yang menegah Musa mandi bersama melainkan kerana buruk zakarnya’. Pernah sekali Musa pergi untuk mandi lalu meletakkan pakaiannya di atas batu. Maka batu itu lari membawa pakaiannya. Musa terus keluar (dari tempat mandinya) mengejar batu itu sambil berkata: ‘Pakaianku wahai batu!’ Sehingga orang-orang Bani Isra‘il melihat kepada Musa. Pada ketika itu barulah mereka berkata: ‘Tidak ada apa-apa kekurangan pun pada Musa’. Musa mengambil pakaiannya dan memukul batu itu’.” Abu Hurairah berkata: “Demi Allah sesungguhnya ada enam atau tujuh kesan pukulan di atas batu itu.”
(HR. Bukhari,no.278. Muslim,no.339)

:: Hadis 2 ::
dari Abu Hurairah,Nabi ﷺ bersabda,
“Ketika (Nabi) Ayyub sedang mandi dalam keadaan telanjang, tiba-tiba jatuh ke atasnya sekumpulan belalang emas. (Nabi) Ayyub mengambilnya lalu meletakkan pada kainnya. Lalu Tuhannya memanggilnya: ‘Wahai Ayyub, bukankah Aku telah mencukupkanmu sehingga kamu tidak lagi perlukan kepada apa yang engkau lihat?’ (Nabi) Ayyub berkata: ‘Benar wahai Tuhan, tetapi tidak ada kecukupan bagiku terhadap keberkatan-Mu’.”
(HR. Bukhari,no.279 & 3391)

NOTA:
Imam al-Bukhari meletakkan hadis-hadis ini dibawah tajuk bab: باب من اغتسل عريانا وحده في الخلوة ومن تستر فالستر أفضل (Orang yang Mandi Berseorangan dalam Keadaan Bersendirian, dan Orang yang Menutup Aurat, Maka Menutup Aurat adalah Lebih Baik), menunjukkan bahawa dibolehkan seseorang mandi telanjang ketika sendirian dan selamat dari pandangan orang lain. Imam al-Nawawi juga berpendapat bahawa boleh mandi telanjang jika memerlukan dan dalam keadaan selamat dari pandangan orang lain, kata beliau: “Kami telah sebutkan dalam bab sebelumnya bahawa dibolehkan untuk membuka aurat ketika ada keperluan di tempat yang terpencil, seperti ketika mandi, buang air, bersama pasangan, dan perkara-perkara lain yang serupa. Semua ini dibolehkan untuk membuka aurat dalam keadaan bersendirian. Namun, jika di hadapan orang lain, adalah haram untuk membuka aurat dalam semua keadaan tersebut. Para ulama berkata: ‘Menutup aurat dengan kain atau seumpamanya ketika mandi secara bersendirian adalah lebih baik daripada membuka aurat. Tetapi, membuka aurat dibolehkan selama mana diperlukan untuk mandi atau seumpamanya. Adapun membuka aurat melebihi keperluan adalah haram menurut pendapat yang lebih sahih...” (rujuk: Syarh Sahih Muslim,4/32).

No comments:

Post a Comment