:: al-Quran ::
Allah ﷻ berfirman:
“Telah hampir saat (kedatangan hari kiamat) dan terbelahlah bulan. Dan kalau mereka (kaum musyrik Mekah) melihat sesuatu mukjizat, mereka berpaling ingkar sambil berkata: (Ini ialah) sihir yang terus menerus berlaku.”
(al-Qamar [54]: ayat 1 - 2)
:: Hadis 1 ::
dari Ibnu Mas‘ud,dia berkata,
“Bulan terbelah pada zaman Rasulullah ﷺ menjadi dua belahan. Satu belahan di atas gunung dan satu belahan lagi dibawah gunung. Lalu Rasulullah ﷺ bersabda: ‘Saksikanlah’.”
(HR. Bukhari,no.4864. Muslim,no.2800b)
:: Hadis 2 ::
dari Abu Hurairah,dia berkata,
“Demi Allah yang tiada tuhan (yang berhak disembah) melainkan Dia, sesungguhnya aku benar-banar meletakkan perutku ke tanah kerana kelaparan, dan aku pernah mengikat batu di perutku kerana kelaparan. Suatu hari, aku duduk di jalan yang biasa orang ramai melaluinya. Tidak lama selepas itu Abu Bakar pun melintasi aku, dan aku bertanya kepadanya tentang satu ayat dari Kitab Allah, padahal aku bertanya kepadanya hanya agar dia memberiku makanan, tetapi dia berlalu tanpa melakukannya. Kemudian, ‘Umar pula lalu, dan aku bertanya kepadanya tentang satu ayat dari Kitab Allah, tetapi dia juga berlalu tanpa melakukan apa yang aku harapkan. Kemudian Rasulullah ﷺ melintas, dan baginda tersenyum melihatku. Baginda mengetahui apa yang ada dalam hatiku dan apa yang baginda lihat dari wajahku, lalu baginda berkata: ‘Wahai Abu Hurairah’, Aku menjawab: ‘Aku sahut panggilanmu, wahai Rasulullah’. Baginda berkata: ‘Ikutlah aku’. Baginda terus berlalu dan aku mengikutinya hingga baginda masuk ke rumah. Setelah masuk, baginda mendapati ada semangkuk susu. Baginda bertanya: ‘Dari mana datangnya susu ini?’ Isteri baginda menjawab: ‘Hadiah seseorang kepadamu’. Lalu baginda berkata: ‘Wahai Abu Hurairah!’ Aku menjawab: ‘Aku sahut seruanmu, wahai Rasulullah!’ Baginda berkata: ‘Pergi dan panggilkan ahli Suffah ke sini’. Ahli Suffah adalah para tamu umat Islam di Madinah, mereka tidak mempunyai tempat tinggal tetap dan tidak memiliki harta. Jika ada sedekah, Rasulullah ﷺ memberikannya kepada mereka, dan baginda tidak mengambilnya. Tetapi jika ada hadiah, baginda mengirimkan kepada mereka dan turut berkongsi dengan mereka. (Abu Hurairah menyambung) Perintah baginda ﷺ itu menjadikan aku sedih, aku berkata di dalam hatiku: ‘Apakah kaitan sedikit susu yang ada ini dengan Ahli Suffah? aku lebih memerlukannya barang seteguk untuk menambahkan kekuatan. Apabila ahli Suffah datang pasti aku yang akan menyerahkan susu ini kepada mereka, barangkali sahaja tiada bahagian lagi untukku’. Namun, aku tidak boleh mengelak daripada mematuhi perintah Allah dan Rasul-Nya. Lalu aku pergi dan memanggil Ahli Suffah. Mereka semua datang dan mengambil tempat di dalam rumah. Rasulullah ﷺ berkata: ‘Wahai Abu Hurairah!’ Aku menjawab: ‘Aku sahut seruan mu, wahai Rasulullah’. Baginda bersabda: ‘Berikan susu ini kepada mereka’. Aku pun mula memberikan susu kepada setiap orang, dan setiap mereka minum hingga kenyang. Setiap orang daripada mereka akan mengembalikan semula mangkuk itu kepadaku. Sehinggalah orang terakhir daripada mereka menyerahkan semua mangkuk itu kepadaku. Aku memberikan kembali mangkuk itu kepada Rasulullah ﷺ. Baginda memegang mangkuk, memandangku dan tersenyum. Lalu baginda bersabda: ‘Wahai Abu Hurairah’. Aku menjawab: ‘Aku sahut seruanmu, wahai Rasulullah’. Baginda berkata: ‘Tinggal aku dan kamu sahaja’. Aku berkata: ‘Benar, wahai Rasulullah’. Baginda berkata: ‘Duduklah dan minumlah’. Aku pun duduk dan minum. Baginda terus berkata: ‘Minumlah lagi wahai Abu Hurairah’. Aku terus minum hingga aku berkata: ‘Demi Allah yang mengutusmu dengan kebenaran, aku sudah tidak mampu minum lagi’. Baginda pun mengambil mangkuk tersebut, memuji Allah dan menyebut nama-Nya, lalu baginda meminum baki susu yang ada.”
(HR. Bukhari,no.6452)
:: Hadis 3 ::
dari Salim bin Abu al-Ja’d,Jabir bin ‘Abdullah berkata,
“Pada hari Hudaibiyah, orang ramai berasa begitu dahaga. Manakala di hadapan Nabi ﷺ terdapat sebuah bekas yang diperbuat daripada kulit. Baginda berwudhu’ dan orang ramai bergegas menghampirinya. Baginda bertanya: ‘Ada apa dengan kamu?’ Mereka berkata: ‘Kami tidak memiliki air untuk berwudhu’ mahupun minum, kecuali apa yang berada di hadapanmu’. Baginda meletakkan tangannya di dalam bekas itu. Maka air pun keluar membuak-buak antara jari-jari tangannya, seperti mata air. Kami pun minum dan berwudhu’. Aku (Salim bin Abu al-Ja‘d) bertanya: ‘Berapa jumlah kamu?’ Jabir menjawab: ‘Sekiranya kami berjumlah 100 ribu orang, nescaya akan cukup bagi kami. Ketika itu kami seramai 1,500 orang’.”
(HR. Bukhari,no.3576. Muslim,no.1856)
:: Hadis 4 ::
dari Anas bin Malik,dia berkata,
“Aku melihat Rasulullah ﷺ, ketika waktu solat Asar telah masuk. Lalu air untuk berwudhu’ dicari, tetapi mereka tidak menjumpainya. Lalu didatangkan kepada Rasulullah ﷺ air untuk wudhu’. Maka Rasulullah ﷺ meletakkan tangannya ke dalam bekas tersebut. Lalu baginda memerintahkan orang ramai untuk berwudhu’ daripadanya. Aku melihat air keluar dari bawah jari-jari baginda. Orang-ramai pun berwudhu’ sehingga kepada orang yang terakhir dari kalangan mereka.”
(HR. Bukhari,no.3573. Muslim,no.2279)
No comments:
Post a Comment