:: al-Quran 1 ::
Allah ﷻ berfirman:
“..Dan Allah telah berkata-kata kepada Nabi Musa dengan kata-kata (secara langsung, tidak ada perantaraan).”
(an-Nisa' [4]: ayat 164)
:: al-Quran 2 ::
Allah ﷻ berfirman:
“Dan kami telah janjikan masa kepada Nabi Musa (untuk memberikan Taurat) selama 30 malam, serta Kami genapkan jumlahnya dengan 10 malam lagi, lalu sempurnalah waktu yang telah ditentukan oleh Tuhannya 40 malam. Dan berkatalah Nabi Musa kepada saudaranya Nabi Harun (semasa keluar menerima Taurat): ‘Gantikanlah aku dalam (urusan memimpin) kaumku dan perbaikilah (keadaan mereka sepeninggalanku), dan janganlah engkau menurut jalan orang-orang yang melakukan kerosakan’. Dan ketika Nabi Musa datang pada waktu yang Kami telah tentukan itu, dan Tuhannya berkata-kata dengannya, maka Nabi Musa (merayu dengan) berkata: ‘Wahai Tuhanku! Perlihatkanlah kepadaku (Dzat-Mu Yang Maha Suci) supaya aku dapat melihat-Mu’. Allah berfirman: ‘Engkau tidak sekali-kali akan sanggup melihat-Ku, tetapi pandanglah ke gunung itu, maka kalau ia tetap berada di tempatnya, nescaya engkau akan dapat melihat-Ku’, Setelah Tuhannya ‘Tajalla’ (menzahirkan kebesaran-Nya) kepada gunung itu, (maka) ‘Tajalli-Nya’ menjadikan gunung itu hancur lebur dan Nabi Musa pun jatuh pengsan. Setelah ia sedar semula, berkatalah ia: ‘Maha Suci Engkau (wahai Tuhanku), aku bertaubat kepada-Mu, dan akulah orang yang awal pertama beriman (pada zamanku)’. Allah berfirman: ‘Wahai Musa! Sesungguhnya Aku memilihmu melebihi umat manusia (yang ada pada zamanmu), dengan membawa perutusan-Ku (Kitab Taurat) dan dengan Kalam-Ku; oleh itu, terimalah apa yang Aku kurniakan kepadamu, dan jadikanlah dirimu dari orang-orang yang bersyukur’. Dan Kami telah menuliskan bagi Nabi Musa pada Lauh-lauh (Taurat) itu, dari pelbagai jenis nasihat pengajaran dan penjelasan bagi tiap-tiap sesuatu (dasar Syariat dan hukum-hukumnya). Oleh itu, terimalah dia (dan amalkanlah wahai Musa) dengan bersungguh-sungguh, dan suruhlah kaummu berpegang (serta mengamalkan) yang sebaik-baiknya (iaitu suruhan-suruhannya). Aku akan perlihatkan kepada kamu akan negeri orang-orang yang fasik (derhaka)’.”
(al-A’raf [7]: ayat 142 - 145)
:: Hadis 1 ::
dari Abu Hurairah,Nabi ﷺ bersabda,
“Berlaku perdebatan antara Adam dan Musa. Musa berkata: ‘Wahai Adam, kamu adalah bapa yang telah mengecewakan dan mengeluarkan kami dari syurga’. Adam berkata: ‘Wahai Musa, kamu dipilih oleh Allah dengan dianugerahkan Kalam-Nya dan menuliskan untukmu (Kitab Taurat) dengan Tangan-Nya, lalu kamu mencelaku atas perkara yang telah ditakdirkan Allah ke atasku 40 tahun sebelum Dia menciptaku’. Maka seperti itu hujah Adam mengatasi hujah Musa, hujah Adam mengatasi hujah Musa. Disebut sebanyak 3 kali.”
(HR. Bukhari,no.6614)
:: Hadis 2 ::
dari Abu Hurairah,dia berkata,
“Malaikat maut dihantar kepada Nabi Musa. Apabila ia datang, Nabi Musa menampar malaikat. Lantas ia kembali kepada Allah seraya berkata: ‘Engkau utuskan aku kepada seorang hamba yang tidak mahu mati’. Maka Allah mengembalikan mata malaikat dan berfirman: ‘Kembalilah dan katakan kepadanya supaya dia letakkan tangannya di belakang lembu jantan. Setiap bulu yang dilitupi oleh tanggannya itu adalah tahun (yang akan dia hidup)’. Nabi Musa (setelah menyampaikan pesanan dari Allah) berkata: ‘Wahai Tuhan, kemudian apa?’ Allah menjawab: ‘Kematian’. Nabi Musa berkata: ‘Sekaranglah’. Kemudian Baginda memohon kepada Allah agar diletakkan berhampiran dengan tanah Palestin sejauh lontaran batu. Rasulullah ﷺ bersabda: ‘Jika aku ada di sana akan aku tunjukkan kuburnya yang berhampiran dengan jalan yang berada dengan pasir merah’.”
(HR. Bukhari,no.1339 & 3407. Muslim,no.6298)
:: Hadis 3 ::
dari Abu Sa‘id al-Khudri,dia berkata,
“Seorang lelaki dari kalangan Yahudi datang kepada Nabi ﷺ dengan wajahnya yang telah ditampar. Dia berkata: ‘Wahai Muhammad, seorang lelaki dari sahabatmu dari golongan Ans̄ar telah menampar wajahku’. Nabi ﷺ bersabda: ‘Panggil dia’. Maka mereka pun memanggilnya. Baginda bertanya: ‘Mengapa kamu menampar wajahnya?’ Lelaki Ans̄ar itu menjawab: ‘Wahai Rasulullah, aku melalui sekumpulan Yahudi, lalu aku mendengar dia berkata: ‘Demi Tuhan yang telah memilih Musa atas seluruh manusia’. Maka aku berkata: ‘Dan juga atas Muhammad ﷺ!’ Tetapi dia tetap berkeras, maka aku menjadi marah lalu menamparnya’. Nabi ﷺ bersabda: ‘Jangan kamu melebihkan aku berbanding para nabi, kerana sesungguhnya manusia akan pengsan pada hari kiamat. Aku ialah orang pertama yang akan sedar. Tetapi ternyata Musa sedang berpegang pada salah satu tiang ‘Arasy. Aku tidak tahu adakah dia sedar sebelumku, atau dia dicukupkan oleh Allah daripada pengsan pada hari kiamat dengan pengsannya dia ketika peristiwa di bukit Thursina’.”
(HR. Bukhari,no.4638 & 6917)
:: Hadis 4 ::
dari Abu Hurairah,dia berkata,
“Seorang lelaki Muslim dan seorang lelaki Yahudi bertengkar. Lelaki Muslim itu bersumpah dengan berkata: ‘Demi Tuhan yang telah memilih Muhammad melebihi seluruh alam’. Lalu lelaki Yahudi itu menjawab: ‘Demi Tuhan yang telah memilih Musa melebihi seluruh alam’. Mendengar kata-kata itu, lelaki Muslim tersebut mengangkat tangannya lalu menampar lelaki Yahudi itu. Lelaki Yahudi itu kemudian pergi kepada Rasulullah ﷺ dan memberitahu baginda tentang apa yang telah berlaku antara dirinya dan lelaki Muslim tersebut. Maka Nabi ﷺ bersabda: ‘Janganlah kamu melebihkan aku atas Musa. Sesungguhnya pada Hari Kiamat, manusia akan pengsan, dan akulah orang pertama yang akan sedar kembali. Namun, aku melihat Musa sudah memegang sisi ‘Arasy. Aku tidak tahu sama ada dia termasuk dalam golongan yang pengsan lalu sedar sebelumku, atau dia termasuk dalam golongan yang dikecualikan oleh Allah daripada pengsan tersebut’.”
(HR. Bukhari,no.2411,3408,6517 & 7472)
Sunday, February 16, 2025
Kelebihan Nabi Musa
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment