Wednesday, February 12, 2025

Jin Boleh Dilihat?

:: al-Quran 1 ::
Allah ﷻ berfirman:
“Wahai anak-anak Adam! Janganlah kamu diperdayakan oleh Syaitan sebagaimana ia telah mengeluarkan kedua ibu bapa kamu (Adam dan Hawa) dari Syurga, sambil ia menyebabkan terlucutnya pakaian mereka berdua untuk memperlihatkan kepada mereka: aurat mereka (yang sebelum itu tertutup). Sesungguhnya dia (syaitan) dan kabilahnya dapat melihat kamu (manusia) sedangkan kamu (manusia) tidak dapat melihat mereka (syaitan). Sesungguhnya Kami telah menjadikan Syaitan-syaitan itu teman rapat bagi orang-orang yang tidak beriman.”
(al-A'raf [7]: ayat 27)

:: Hadis 1 ::
dari Ibnu ‘Umar,Nabi ﷺ bersabda,
“Janganlah kalian membunuh jin-jin, kecuali semua ular yang ekornya pendek (jenis ular berbisa di kawasan gurun) dan ular yang yang di belakangnya ada dua garis putih (ular senduk).  Sesungguhnya ia mampu menggugurkan kandungan dan membutakan mata, maka bunuhlah ia.”
(HR. Bukhari,no.3310)

:: Hadis 2 ::
dari Abu Sa‘id al-Khudri,Rasulullah ﷺ bersabda,
“Sesungguhnya di Madinah ini ada sekumpulan jin yang memeluk Islam. Jika kamu melihat sebahagiannya, maka berilah mereka amaran sebanyak 3 kali, jika ia menampakkan dirinya selepas itu maka bunuhlah ia, sesungguhnya itu adalah syaitan.”
(HR. Muslim,no.2236)

:: Hadis 3 ::
dari Yahya bin Abi Katsir,Ibn Ubay menceritakan kepadanya bahawa bapanya berkata,
“Bahawa mereka mempunyai sebuah bekas yang berisi kurma, dan Ubay sentiasa memantau kurma itu. Suatu ketika dia mendapati kurma itu berkurang, lalu dia menjaga dan memerhatikannya. Tiba-tiba dia melihat satu makhluk melata yang menyerupai seorang budak yang telahpun baligh. Ubay memberi salam kepadanya dan makhluk itu menjawab salam. Ubay bertanya: ‘Siapa kamu, jin atau manusia?’ Makhluk itu menjawab: ‘Aku jin’. Ubay berkata: ‘hulurkan tanganmu’. Maka makhluk itu menghulurkan tangan dan Ubay mendapati tangan tersebut seperti tangan anjing dengan bulu anjing. Dia berkata: ‘Begitulah bentuk jin’. Dia berkata: ‘Sesungguhnya kamu telah mengetahui tentang jin, ada yang lebih kuat dari aku’. Kata Ubay: ‘Apa yang menyebabkan kamu mencuri tamarku?’ Makhluk itu menjawab: ‘Kami mendapat tahu bahawa kamu seorang lelaki yang suka bersedekah, maka aku ingin sedikit dari makanan kamu ini’. Kata Ubay: ‘Apa yang dapat melindungi kami dari kamu semua?’ Makhluk itu menjawab: ‘Ayat Kursi’. Keesokan harinya, Ubay pergi kepada Nabi ﷺ dan memberitahu baginda. Nabi ﷺ bersabda: ‘makhluk yang keji itu berkata benar’.”
(HR. Ibnu Hibban,no.784. an-Nasaie [rujuk: Sunan al-Kubra,no.10907]. Dan ini lafaz an-Nasaie. Hadis ini dinilai sahih oleh Syaikh al-Albani [rujuk: al-Silsilah as-Sahihah,7/738. Sahih at-Targhib,no.662])

:: Hadis 4 ::
dari Abu Hurairah,dia berkata,
“Rasulullah ﷺ mewakilkan kepadaku untuk menjaga zakat Ramadhan. Lalu datang kepadaku seseorang dan menyelongkar makanan dan mengambilnya. Aku memegangnya (menangkapnya) dan berkata: ‘Demi Allah! Aku akan membawamu kepada Rasulullah ﷺ’. Dia berkata: ‘Lepaskan aku, sesungguhnya aku orang yang memerlukan dan aku memiliki tanggungan keluarga dan sangat memerlukannya’. Aku melepaskannya. Ketika pagi hari, Nabi ﷺ bertanya: ‘Wahai Abu Hurairah, apakah yang dilakukan oleh orang yang engkau tangkap malam tadi?’ Aku berkata: ‘Wahai Rasulullah, dia mengadu keadaannya yang sangat memerlukan disebabkan oleh tanggungan keluarganya, aku merasa kasihan kepadanya dan melepaskannya’. Baginda bersabda: ‘Ketahuilah bahawa sesungguhnya dia telah berdusta kepadamu, dan dia akan kembali’. Aku pun mengetahui dia akan kembali berdasarkan sabda Nabi ﷺ bahawa dia akan kembali. Aku mengawasinya dengan bersungguh-sungguh. Maka, dia datang dan menyelongkar makanan. Aku memegangnya (menangkapnya) dan berkata: ‘Sesungguhnya aku akan membawamu kepada Rasulullah ﷺ’. Dia berkata: ‘Lepaskanlah aku! Sesungguhnya aku orang yang memerlukan, aku memiliki tanggungan dan aku tidak akan kembali lagi’. Aku merasa kasihan kepadanya dan melepaskannya. Ketika pagi hari, Rasulullah ﷺ bertanya kepadaku: ‘Wahai Abu Hurairah, apakah yang dilakukan oleh orang yang engkau tangkap malam tadi?’ Aku berkata: ‘Wahai Rasulullah, dia mengadu tentang keadaannya yang sangat memerlukan disebabkan oleh tanggungannya. Aku merasa kasihan terhadapnya dan melepaskannya’. Baginda bersabda: ‘Ketahuilah bahawa sesungguhnya dia telah berdusta kepadamu, dan dia akan kembali’. Aku pun mengawasinya dengan bersungguh-sungguh untuk kali ketiga. Maka, dia datang dan menyelongkar makanan. Aku memegangnya (menangkapnya) dan berkata: ‘Sesungguhnya aku akan membawamu kepada Rasulullah ﷺ, dan ini ketiga kalinya engkau mengatakan engkau tidak akan kembali, namun engkau tetap kembali’. Dia berkata: ‘Lepaskanlah aku, nescaya aku akan mengajar kepadamu beberapa kalimat yang akan memberi manfaat kepadamu di sisi Allah’. Aku menjawab: ‘Apakah kalimah itu?’ Dia berkata: ‘Jika kamu sudah berada di tempat tidur kamu, maka bacalah ayat al-Kursi: (Firman Allah SWT) “اللَّهُ لاَ إِلَهَ إِلَّا هُوَ الحَيُّ القَيُّومُ” (Maksudnya: Allah, tiada Tuhan (yang berhak disembah) melainkan Dia, Yang Tetap hidup, Yang Kekal selama-lamanya mentadbirkan (sekalian makhluk-Nya))[Surah al-Baqarah: ayat 225], sehingga engkau selesaikan ke akhir ayat. Sesungguhnya engkau akan didampingi oleh seorang penjaga yang ditugaskan oleh Allah dan engkau juga tidak akan didekati oleh syaitan sehinggalah waktu pagi’. Maka aku melepaskannya. Ketika pagi hari, Rasulullah ﷺ bertanya kepadaku: ‘Apakah yang dilakukan oleh orang yang engkau tangkap malam tadi?’ Aku berkata: ‘Wahai Rasulullah! Dia mengaku telah mengajarku beberapa kalimat yang Allah menjadikannya bermanfaat bagiku, maka aku melepaskannya’. Baginda bertanya: ‘Apakah itu?’ Aku berkata: ‘Dia berkata kepadaku bahawa Jika kamu sudah berada di tempat tidur kamu, maka bacalah ayat al-Kursi daripada awal sehingga akhir ayat: (Firman Allah SWT) “اللَّهُ لاَ إِلَهَ إِلَّا هُوَ الحَيُّ القَيُّومُ” (Maksudnya: “Allah, tiada Tuhan (yang berhak disembah) melainkan Dia, Yang Tetap hidup, Yang Kekal selama-lamanya mentadbirkan (sekalian makhluk-Nya).”)[Surah al-Baqarah: 225]. Dia berkata kepadaku: ‘Engkau akan sentiasa didampingi oleh seorang penjaga yang ditugaskan oleh Allah dan engkau juga tidak akan didekati oleh syaitan sehinggalah waktu pagi’.’ Nabi ﷺ bersabda: ‘Adapun apa yang dikatakan kepadamu itu adalah benar, namun demikian dia adalah pendusta. Wahai Abu Hurairah! Adakah kamu mengetahui siapakah yang berbicara dengan kamu selama tiga malam tersebut?’ Aku menjawab: ‘Tidak’. Baginda bersabda: ‘Itulah syaitan’.”
(HR. Bukhari,no.2311)

NOTA:
Kata imam Ibnu Hajar al-Asqalani: “Dalam hadis ini ada beberapa faedah: ... (antaranya) syaitan itu pembohong. Demikian juga kadang-kala syaitan boleh merupai beberapa rupa dan ia boleh dilihat (ketika itu). Adapun firman Allah: “Sesungguhnya dia (syaitan) dan kabilahnya dapat melihat kamu (manusia) sedangkan kamu (manusia) tidak dapat melihat mereka (syaitan) (QS. al-A‘raf [7]: ayat 27)” adalah dikhususkan jika ia (syaitan) dalam rupa asal yang diciptakan” (rujuk: Fath al-Bari,4/489). Imam Ibnu Taimiyyah juga berkata: “Jin boleh berubah dalam pelbagai bentuk termasuk manusia dan haiwan, seperti ular, kalajengking, unta, lembu, kambing, kuda, keldai, burung, bahkan dalam bentuk manusia seperti Suraqah bin Malik, yang datang kepada orang Quraisy sebelum peperangan Badar. Firman Allah: ‘Dan ketika syaitan memperindah bagi mereka amalan mereka, dan berkata: ‘Tiada yang dapat mengalahkan kamu hari ini dari kalangan manusia, dan sesungguhnya aku adalah pelindungmu’. Maka apabila kedua pasukan itu saling berhadapan, syaitan pun mundur ke belakang dan berkata: ‘Sesungguhnya aku berlepas diri dari kamu, kerana sesungguhnya aku melihat apa yang kamu tidak lihat, dan aku takut kepada Allah. Dan Allah Maha Kuat azab-Nya’ (QS. al-Anfal [8]: ayat 48)” (rujuk: Majmu’ al-Fatawa,19/44-45). Kedua, jin juga termasuk dalam kalangan syaitan, berdasarkan dalil lain:

:: al-Quran 2 ::
Allah ﷻ berfirman:
“Dan (ingatkanlah peristiwa) ketika Kami berfirman kepada malaikat: ‘Sujudlah kamu kepada Adam’; lalu mereka sujud melainkan iblis; ia adalah berasal dari golongan jin, lalu ia menderhaka terhadap perintah Tuhannya. Oleh itu, patutkah kamu hendak menjadikan iblis dan keturunannya sebagai sahabat-sahabat karib yang menjadi pemimpin selain daripadaku? Sedang mereka itu ialah musuh bagi kamu. Amatlah buruknya bagi orang-orang yang zalim: pengganti yang mereka pilih itu.”
(al-Kahfi [18]: ayat 50)

:: al-Quran 3 ::
Allah ﷻ berfirman:
“Wahai anak-anak Adam! Janganlah kamu diperdayakan oleh Syaitan sebagaimana ia telah mengeluarkan kedua ibu bapa kamu (Adam dan Hawa) dari Syurga, sambil ia menyebabkan terlucutnya pakaian mereka berdua untuk memperlihatkan kepada mereka: aurat mereka (yang sebelum itu tertutup). Sesungguhnya dia (syaitan) dan kabilahnya dapat melihat kamu (manusia) sedangkan kamu (manusia) tidak dapat melihat mereka (syaitan). Sesungguhnya Kami telah menjadikan Syaitan-syaitan itu teman rapat bagi orang-orang yang tidak beriman.”
(al-A’raf [7]: ayat 27)

NOTA:
Berdasarkan Surah al-Kahfi (ayat 50), Allah menyebut Iblis berasal dari jin, dan pada Surah al-A‘raf (ayat 27), Allah menyebut bahawa Syaitan (Iblis) yang menyebabkan Nabi Adam dan Hawa terkeluar dari Syurga. Ini menunjukkan bahawa Jin juga termasuk dalam kalangan syaitan, kerana Iblis berasal dari jin, dan Iblis yang digelar syaitan itulah yang membuatkan Nabi Adam dan Hawa terkeluar dari syurga. Maka berdasarkan dalil-dalil diatas dan kalam para Ulama’, maka jelaslah bahawa jin tidak boleh dilihat dalam bentuk asal, namun boleh dilihat ketika ia menyerupai sesuatu. Wallahua’lam.

No comments:

Post a Comment