Saturday, August 20, 2022

Namakan Anak Dengan Nama Harith Dan Hammam?

dari Abu Wahab al-Jusyami,Rasulullah ﷺ bersabda,
“Namakan anak-anakmu dengan nama para Nabi dan nama yang paling disukai Allah ialah Abdullah dan Abdul Rahman. Dan nama yang paling benar ialah Haris dan Hammam. Dan nama yang paling buruk Harb dan Murrah.”
(HR. Abu Daud,no.4950. Ahmad,no.18258. Ini dari lafaz Abu Daud)

NOTA:
Hadis ini 'Dhaif' & Ma'lul (mempunyai kecacatan),kerana hadis ini dinilai Mu'dhal (di dalam sanadnya terdapat 2 orang perawi atau lebih,yg gugur secara berturut²) oleh imam Abu Hatim ar-Razi kerana Abu Wahab dalam sanad ini bukanlah Abu Wahab al-Jusyami (sahabat Nabi ﷺ),akan tetapi Abu Wahab disini adalah Abu Wahab al-Kala'i,iaitu perawi yg hidup di zaman Tabi'ut Tabi'in (rujuk: al-Marasil,118 dan al-'ilal,2451). Syaikh Khalid al-Hayek menukilkan perkara ini ketika beliau menyebut tentang hadis ini (dalam Telegram rasmi beliau). Namun katanya,hadis ini 'Dhaif' pada ziyadah (tambahan) "Dan sebenar-benar nama adalah Harith... (hingga akhir hadis)",adapun lafaz "Nama yg paling disukai Allah adalah 'Abdullah dan 'Abdurrahman" adalah 'Sahih',kerana terdapat riwayat lain yg mengatakan demikian:

dari Ibnu ‘Umar,Rasulullah ﷺ bersabda,
“Sesungguhnya nama yang paling disukai oleh Allah ialah ‘Abdullah dan ‘Abdur-Rahman.”
(HR. Muslim,no.2132. Abu Daud,no.4949)

Saturday, August 6, 2022

Duduk Berzikir Selepas Solat Subuh Dapat Pahala Haji Dan Umrah?

dari Anas bin Malik dia,Rasulullah ﷺ bersabda,
“Sesiapa yang solat Subuh berjemaah,kemudian duduk berzikir kepada Allah sehingga terbit matahari,kemudian solat sunat dua rakaat,maka baginya pahala haji dan umrah yang sempurna,(pahala haji dan umrah) yang sempurna,(pahala haji dan umrah) yang sempurna.”
(HR. at-Tirmidzi,no.586. dinilai 'Hasan Gharib' oleh at-Tirmidzi)

NOTA:
Hadis ini dinilai 'Dhaif' oleh sebahagian ulama',kerana di dalam sanadnya terdapat perawi bernama Abu Zhilal,atau nama sebenarnya Hilal bin Abi Hilal,dimana dia dinilai Dhaif oleh Ibn Ma'in dan an-Nasaie (rujuk: Ibn 'Adiy,al-Kamil,7/119). Ibnu Hibban juga menegaskan bahawa tidak boleh berhujjah dengan hadisnya (rujuk: al-Majruhin,3/85). Dia juga dinilai 'Munkar' oleh imam al-Bukhari,malah Yahya Ibn Ma'in men-Dhaif-kannya dengan berkata: "Laisa bi Syai (tidak ada apa-apanya/tiada nilai)" (rujuk: al-'Uqaili,ad-Dhu'afa',4/345). Syaikh Khalid al-Hayek juga menilainya 'Dhaif' dengan katanya: "Laisa bi Syai,Munkar al-Hadis!" (dalam website rasmi beliau pada 'Soalan' - no.134) & hadis ini juga dinilai 'Dhaif' oleh Syaikh Musthofa al-'Adawi (di dalam video beliau). Akan tetapi,duduk berzikir selepas solat subuh sehingga terbit fajar adalah Sunnah,kerana terdapat di dalam hadis sahih yg lain bahawa Nabi ﷺ melakukan hal tersebut:

dari Jabir bin Samurah,ia berkata,
“Baginda (Nabi ﷺ) biasanya tidak beranjak daripada tempat duduknya setelah solat Subuh sehinggalah terbit matahari. Apabila matahari terbit,baginda berdiri (meninggalkan tempat solat).”
(HR. Muslim,no.670)

Tuesday, August 2, 2022

Bacaan Istighfar Yang Sahih

:: al-Quran 1 ::
أَسْتَغْفِرُ الله
Astaghfirullah
[Aku memohon ampun kepada Allah]

(al-Baqarah [2]: ayat 106 & 199. an-Nisa' [4]: ayat 64)

:: al-Quran 2 ::
أَسْتَغْفِرُ رَبِّي
Astaghfiru Robbi
[Aku memohon ampun kepada Tuhanku]

(Hud [11]: ayat 3 & 52. al-Kahfi [18]: ayat 55. Nuh [71]: ayat 10)

:: al-Quran 3 ::
غُفْرَانَك
Ghufronak
[Pengampunan-Mu (wahai Allah)]

(al-Baqarah [2]: ayat 285)

:: al-Quran 4 ::
اِغْفِرْ
Ighfir
[Ampunkanlah (aku)]

(al-Mu'minun [23]: ayat 118)

:: Hadis 1 ::
أَسْتَغْفِرُ الله (70 kali sehari)

"Astaghfirullah" (70 kali sehari)
[Aku memohon ampun kepada Allah]

(HR. at-Tirmidzi,no.3259. dari Abu Hurairah. dinilai 'Hasan Sahih' oleh at-Tirmidzi)

:: Hadis 2 ::
أَسْتَغْفِرُ الله (100 kali sehari)

Astaghfirullah (100 kali sehari)
[Aku memohon ampun kepada Allah]

(HR. Muslim,no.2702. at-Tirmidzi,no.3259. dari Abu Hurairah. dinilai 'Hasan Sahih' oleh at-Tirmidzi)

:: Hadis 3 ::
أَسْتَغْفِرُ اللَّهَ وَأَتُوبُ إِلَيْهِ (70+ kali sehari)

Astaghfirullah wa Atubu ilaih (70+ kali sehari)
[Aku memohon ampun kepada Allah dan bertaubat kepada-Nya]

(HR. Bukhari,no.6307. dari Abu Hurairah)

:: Hadis 4 ::
اَللَّهُمَّ أَنْتَ رَبِّيْ ، لَا إِلٰـهَ إِلاَّ أَنْتَ خَلَقْتَنِيْ وَأَنَا عَبْدُكَ ، وَأَنَا عَلَى عَهْدِكَ وَوَعْدِكَ مَا اسْتَطَعْتُ ، أَعُوْذُ بِكَ مِنْ شَرِّ مَا صَنَعْتُ ، أَبُوْءُ لَكَ بِنِعْمتِكَ عَلَيَّ ، وَأَبُوْءُ لَكَ بِذَنْبِيْ فَاغْفِرْ لِيْ ، فَإِنَّهُ لَا يَغْفِرُ الذُّنُوبَ إِلاَّ أَنْتَ

Allahumma Anta Robbi,La ila Ha illa Anta Kholaqtani Wa Ana 'Abduk,Wa Ana 'Ala 'Ahdika Wa Wa'dika Masta-Tho'tu,'Audzubika Min Syarri Ma Sona'tu,Abu-Ulaka Bini'matika 'Alayya,Wa Abu-Ulaka Bi Dzanbi Faghfirli,Wa innahu La Yaghfirudz Dzunuba illa Ants
[Ya Allah,Engkau adalah Rabbku,tiada tuhan yang layak disembah melainkan Engkau yg menciptakan aku dan aku adalah hamba-Mu,aku menetapi perjanjian-Mu dan janji-Mu sesuai dengan kemampuanku,aku berlindung kepada-Mu dari keburukkan perbuatanku,aku mengakui nikmat-Mu kepadaku dan aku mengakui dosaku kepada-Mu,maka ampunilah aku,kerana tiada yg dapat mengampuni dosa selain Engkau]

(HR. Bukhari,no.6306. at-Tirmidzi,no.3393. an-Nasaie,no.5522. dari Syaddad bin Aus)

NOTA:
Semua bacaan istighfar di atas adalah baik,tetapi bacaan yg paling afdhal ialah Hadis 4 atau lebih dikenali sebagai 'Sayyidul Istighfar' (Penghulu Istighfar),kerana daripada Syaddad bin Aus,bahawa Nabi ﷺ bersabda:

“Barangsiapa yang mengucapkannya di waktu siang dengan penuh keyakinan,lalu meninggal pada hari itu sebelum waktu petang,maka ia termasuk penghuni syurga. Dan barangsiapa yang membacanya di waktu malam dengan penuh keyakinan,lalu meninggal sebelum masuk waktu pagi,maka ia termasuk penghuni syurga.”
(HR. Bukhari,no.6306. at-Tirmidzi,no.3393. an-Nasaie,no.5522)

Sunday, July 31, 2022

Allah Wujud Tidak Bertempat (Kata Saidina 'Ali)

:: Hadis 1 ::
dari ‘Ali bin Abi Thalib,dia berkata,
“Adalah Allah,tiada tempat bagi-Nya,dan Dia sekarang sebagaimana sebelumnya. Sesungguhnya Allah Ta’ala menciptakan ‘Arasy untuk menampakkan kekuasaan-Nya,bukan untuk tempat Dzat-Nya.”
(HR. Abu Mansur al-Baghdadi [rujuk: al-Farq baina al-Firaq,no.333])

NOTA:
tambahan “dan Dia sekarang sebagaimana sebelumnya” dinilai Maudhu' (Palsu) oleh ibnu Hajar al-Asqalani,kerana tambahan itu tidak terdapat di dalam kitab-kitab hadis (rujuk: Fath al-Bari,6/289). Tambahan itu juga dinilai Palsu oleh ibnu Taimiyyah (rujuk: Majmu' Fatawa,2/272),ibnu Qayyim al-Jauziyyah (rujuk: Madarij as-Salikin,3/391),al-Ayni (rujuk: Umdat al-Qari,15/109),al-Ajluni (rujuk: Kashf al-Khofa',2/171).

:: Hadis 2 ::
dari ‘Ali bin Abi Thalib,dia berkata,
“Tidak boleh dikatakan (disoalkan tentang) di mana (tempat) bagi Allah yang telah menempatkan di mana (tempat).”
(HR. Abu Qasim al-Qusyairi [rujuk: ar-Risalah al-Qusyairiyyah])

NOTA:
Hadis ini dinilai Maudhu' (Palsu) secara ijma' (kesepakatan para Ulama') oleh Ibnu Taimiyyah,kerana hadis ini tidak mempunyai sanad (rujuk: al-Fatawa al-Kubro,6/630).

Sunday, July 24, 2022

Melihat Langit Ketika Berdoa Adalah Sunnah

dari al-Miqdad,dia berkata,
“Aku dan kedua sahabatku datang,pada waktu itu pendengaran dan penglihatan kami telah kabur kerana lapar dan sangat keletihan. Lalu kami mendatangi para sahabat ﷺ,namun tidak ada seorang pun dari mereka yang menerima kami. Lalu kami datang kepada Nabi ﷺ,baginda membawa kami kepada keluarganya. Ketika itu di rumahnya terdapat tiga ekor kambing betina,lalu Nabi ﷺ bersabda: ‘Perahlah susu kambing-kambing ini untuk kita’. Maka kami segera memerah,lalu setiap orang dari kami minum bahagian kami masing-masing dan kami menyisihkan sebahagian daripadanya untuk Nabi ﷺ. Pada waktu itu baginda datang pada waktu malam hari,lalu mengucapkan salam dengan salam yang tidak membangunkan orang yang tengah tidur,namun dapat didengar oleh mereka yang masih terbangun. Kemudian baginda pergi ke masjid untuk melaksanakan solat,setelah itu baru baginda kembali mencari sesuatu untuk diminum. Pada malam itu,ketika aku menghabiskan bahagianku,tiba-tiba aku tergoda dengan bisikkan syaitan yang selalu terngiang di telingaku: ‘Muhammad mendatangi orang-orang Ansar dan mereka pun menjamunya. Setelah itu,dia (Muhammad) mendapat jamuan di tengah mereka sehingga dia (Muhammad) tidak memerlukan minumannya yang seteguk ini’. Aku pun terpengaruh,lalu aku minum minuman Nabi ﷺ tersebut. Setelah minuman itu masuk ke perutku,aku tahu tidak ada lagi jalan untuk mengembalikannya,maka syaitan membisikkan rasa penyesalan ke dalam hatiku: ‘Celaka kamu! Apa yang telah kamu lakukan? Mengapa kamu minum sehingga habis minuman Muhammad itu? Jika dia datang dan tidak mendapati minumannya,dia (pasti) akan mendoakan kamu hingga kamu celaka,maka kamu akan rugi dunia dan akhirat’. Kebetulan pada saat itu aku tengah mengenakan jubah yang apabila aku menutupi kedua kakiku,maka kepalaku akan terlihat. Sebaliknya,apabila aku tutup kepalaku,maka kakiku keluar (terlihat). Disebabkan itu,aku tidak dapat tidur dengan tenang. Sementara kedua sahabatku,mereka berdua dapat tidur dengan nyenyak kerana mereka tidak melakukan seperti apa yang telah aku lakukan. Tidak lama kemudian,Rasulullah ﷺ datang dan memberi salam seperti biasa. Setelah itu,baginda pergi ke masjid untuk melaksanakan solat. Setelah melaksanakan solat,baginda kembali untuk mengambil minumannya untuk diminum. Tetapi,baginda mendapati minuman di dalam gelas itu sudah habis. Akhirnya,baginda mengangkat kepalanya ke langit. Hatiku berkata: ‘Sekaranglah mungkin waktunya Rasulullah akan mendoakan kebinasaan untukku (kerana telah menghabiskan minumannya)’. Tetapi,ternyata baginda berdoa:
اللَّهُمَّ أَطْعِمْ مَنْ أَطْعَمَنِي وَأَسْقِ مَنْ أَسْقَانِي
Allahumma ath-‘im, man ath-‘amanii wa asqi man asqooni
(Ya Allah,berilah makan orang yang telah memberiku makan dan berilah minum orang yang telah memberiku minum).
Mendengar hal itu,aku segera mengetatkan jubahku,bergegas mengambil parang,lalu aku pergi ke kandang dimana kambing-kambing betina berada. Aku memilih di antara kambing-kambingku yang paling gemuk untuk aku sembelih. Dan ternyata,kambing-kambing tersebut penuh dengan air susu. Aku pun segera mencari wadah milik keluarga Muhammad ﷺ yang biasa mereka gunakan untuk memerah susu ke dalam wadah tersebut,hingga buih susunya melimpah. Setelah itu,aku datang kepada Rasulullah ﷺ. Baginda bertanya: ‘Apakah kamu telah minum minuman kamu malam tadi?’ Aku menjawab: ‘Wahai Rasulullah,silakan minum’. Baginda segera minum,lalu menyerahkan kepadaku. Aku berkata lagi: ‘Wahai Rasulullah,silakan minum’. Baginda minum,kemudian menyerahkan kepadaku. Setelah aku yakin bahawa Nabi ﷺ benar-benar telah puas dan mendapatkan doa baginda (seperti tersebut di atas),maka aku terlepas ketawa hingga aku terjatuh ke tanah. Baginda bersabda: ‘Pasti kamu telah melakukan sesuatu yang kurang baik kan,wahai Miqdad?’ Aku pun menjawab: ‘Wahai Rasulullah,malam tadi keadaanku begini dan begini,dan aku telah melakukan begini dan begini’. Nabi ﷺ bersabda: ‘Tidaklah semua ini terjadi kecuali dengan rahmat Allah. Mengapa kamu tidak memberitahuku,sehingga kita membangunkan kedua saudara kita untuk sama-sama mendapatkannya’. Aku menjawab: ‘Demi Dzat yang telah mengutusmu dengan membawa kebenaran. Aku tidak akan peduli siapa lagi orang yang mendapatkannya,jika engkau telah mendapatkannya bersamaku’.”
(HR. Muslim,no.2055)

NOTA:
Kata Syaikh 'Abdul 'Aziz ath-Tharifi (dalam facebook rasmi beliau),bahawa memandang ke langit ketika berdoa adalah sunnah mahjurah (yg ditinggalkan,yg hampir pupus kerana ditinggalkan oleh ramai manusia).

Wednesday, July 20, 2022

Makruh Mengikat Rambut Ketika Solat

dari Kuraib maula (hamba) Ibn ‘Abbas,bahawa Ibn ‘Abbas,
“Beliau (Ibn ‘Abbas) melihat ‘Abdullah bin al-Harits solat dalam keadaan rambutnya diikat di belakang. Beliau (Ibn ‘Abbas) lantas bangkit dan melepaskan ikatan tersebut. Apabila dia selesai (solat),lantas dia menghadap Ibn ‘Abbas dan bertanya: ‘Mengapa kamu lakukan pada rambutku demikian?’ Lalu Ibn ‘Abbas menjawab: ‘Aku mendengar Rasulullah ﷺ bersabda: Perumpamaan orang ini (yang solat dengan mengikat rambutnya) seperti orang yang solat sedangkan kedua tangannya diikat ke belakang’.”
(HR. Muslim,no.492)

NOTA:
Kata imam asy-Syaukani,larangan ini hanya khusus untuk lelaki,bukan wanita. Kerana rambut wanita adalah aurat,wajib ditutup didalam solat. Sekiranya ikatan rambutnya dilepas,boleh jadi rambutnya akan terurai dan akan berlaku kesukaran untuk menutupnya. Nabi ﷺ memberi keringanan kepada kaum wanita untuk tidak melepaskan ikatan rambutnya ketika mandi wajib,sedangkan (hal ini) sangat perlu untuk membasahkan seluruh rambut mereka ketika mandi wajib.
(rujuk: Nailul Authar,2/440)

Sunday, July 17, 2022

Bacaan Duduk Antara Dua Sujud (Rumi & Arab)

:: Hadis 1 ::
اللَّهُمَّ اغْفِرْ لِي ، وَارْحَمْنِي ، وَعَافِنِي، وَاهْدِنِي ، وَارْزُقْنِي
Allahummaghfirli, Warẖamni, Wa‘afini, Wahdini, Warzuqni
[Ya Allah ampunilah aku, rahmati aku, lindungi aku, berilah aku petunjuk, berilah aku rezeki]

(HR. Abu Daud,no.850. dari Ibnu ‘Abbas)

:: Hadis 2 ::
اللَّهُمَّ اغْفِرْ لِي ، وَارْحَمْنِي ، وَاجْبُرْنِي ، وَاهْدِنِي ، وَارْزُقْنِي
Allahummaghfirli, Warẖamni, Wajburni, Wahdini, Warzuqni
[Ya Allah ampunilah aku, rahmati aku, bantulah aku, berilah aku petunjuk, berilah aku rezeki]

(HR. at-Tirmidzi,no.284. dari Ibnu ‘Abbas. at-Tirmidzi menilai hadis ini sebagai 'Gharib',yang bermaksud 'Dhaif')

:: Hadis 3 ::
اللَّهُمَّ اغْفِرْ لِي ، وَارْحَمْنِي ، وَاهْدِنِي ، وَعَافِنِي ، وَارْزُقْنِي
Allahummaghfirli, Warẖamni, Wahdini, Wa‘afini, Warzuqni
[Ya Allah ampunilah aku, rahmati aku, berilah aku petunjuk, lindungi aku, berilah aku rezeki]

(HR. al-Hakim,1/393,no.967. dari Ibnu ‘Abbas)

:: Hadis 4 ::
رَبِّ اغْفِرْ لِي ، وَارْحَمْنِي ، وَاجْبُرْنِي ، وَارْزُقْنِي ، وَارْفَعْنِي
Robbighfirli, Warẖamni, Wajburni, Warzuqni, Warfa’ni
[Tuhanku ampunilah aku, rahmati aku, bantulah aku, berilah aku rezeki, tinggikan darjatku]

(HR. Ibnu Majah,no.898. dari Ibnu ‘Abbas)

:: Hadis 5 ::
رَبِّ اغْفِرْ لِي ، وَارْحَمْنِي ، وَاجْبُرْنِي ، وَارْفَعْنِي ، وَارْزُقْنِي ، وَاهْدِنِي
Robbighfirli, Warẖamni, Wajburni, Warfa’ni, Warzuqni, Wahdini
[Tuhanku ampunilah aku, rahmati aku, lindungi aku, tinggikan darjatku, berilah aku rezeki, berilah aku petunjuk]

(HR. Ahmad,no.3334. dari Ibnu ‘Abbas)

NOTA:
Hadis-hadis ini diperselisihi kesahihannya. Ada Ulama' yg menilai hadith ini sebagai 'Dhaif',kerana didalamnya terdapat perawi yang bernama Kamil bin al-A'la yang mana Ibnu Hibban menilai dia orang yang suka membolak-balikkan sanad,dan memarfu'kan hadis yang mursal (rujuk: al-Majruhin min al-Muhaddithin,2/231). Syaikh 'Abdul 'Aziz at-Tharifi juga menilai hadis ini sebagai 'Dhaif' kerana perawi Kamil al-'Ala bertafarrud (sendiri) ketika meriwayatkan hadith ini (rujuk: Sifat Solat Nabi). Syaikh Musthofa al-'Adawi juga menilai hadith ini 'Dhaif' di dalam video beliau.

:: Hadis 6 ::
رَبِّ اغْفِرْ لِي ، رَبِّ اغْفِرْ لِي
Robbighfirli, Robbighfirli
[Tuhanku ampunilah aku, Tuhanku ampunilah aku]

(HR. Abu Daud,no.874. an-Nasaie,no.1145. Ibnu Majah,no.897. dari Hudzaifah. dinilai 'Sahih' oleh Syaikh 'Abdul 'Aziz at-Tharifi & Syaikh al-Albani dalam Sifat Solat Nabi mereka)

NOTA:
Syaikh ‘Abdul ‘Aziz at-Tharifi berkata di dalam Kitabnya Sifat Solat Nabi,boleh membaca “Robbighfirli” berulang-ulang lebih dari 2 kali,kerana terdapat qarinah (petunjuk) dari hadis Sahih yang lain bahawa Nabi ﷺ duduk antara dua sujud terlalu lama,menunjukkan bahawa Nabi ﷺ membaca bacaan duduk antara dua sujud juga lama sesuai tempoh baginda duduk:

:: Hadis 7 ::
dari al-Bara’,dia berkata,
“Bahawa ruku’ Nabi ﷺ,sujud baginda,mengangkat kepala dari ruku’ (iaitu I’tidal),dan duduk antara dua sujud,semuanya hampir sama (tempoh lamanya).”
(HR. Bukhari,no.801. Muslim,no.471. Ini lafaz riwayat Bukhari)

sekalipun Hadis 1 - 5 adalah 'Dhaif',akan tetapi tidak menjadi masalah untuk membacanya sekali sekala,kerana duduk antara dua sujud juga adalah tempat untuk berdoa. Wallahua'lam.

Thursday, July 14, 2022

Hadis Berkumpul Dan Memberi Makan Selepas Kematian

:: Hadis 1 ::
dari Jarir bin ‘Abdillah,dia berkata,
“Kami menganggap orang ramai berhimpun untuk keluarga si mati dan menyediakan makanan selepas pengebumiannya adalah satu bentuk dari meratapi kematian.”
(HR. Ahmad,no.6905)

NOTA:
Hadis ini 'Dhaif Jiddan' (terlalu lemah). Kerana di dalam sanadnya terdapat perawi yg bernama Nasr bin Bab,dia dinilai 'Pendusta' oleh al-Bukhari (rujuk: Tarikh al-Kabir,8/105). Kata Ibn Ma'in: 'tidak ada nilai'. Kata 'Ali ibn al-Madini: 'aku lempar hadisnya'. Kata Abu Hatim ar-Razi: 'Matruk al-hadis (hadisnya ditinggalkan)'. Kata Abu Khaitsamah Zuhair bin Harb: 'Pendusta' (rujuk: Ta'jil al-Manfa'ah,420). Syaikh Musthofa al-'Adawi juga menilai Nasr bin Bab sebagai 'Pendusta' (di dalam video beliau).

:: Hadis 2 ::
dari Jarir bin ‘Abdillah al-Bajali,dia berkata,
“Kami berpandangan orang ramai berhimpun untuk keluarga si mati dan memyediakan makanan adalah satu bentuk meratapi kematian.”
(HR. Ibnu Majah,no.1612)

NOTA:
Hadis ini 'Dhaif',Ma'lul (mempunyai kcacatan). Kata Abu Daud,imam Ahmad mengatakan hadis ini tiada asalnya (rujuk: Masail Imam Ahmad,1867). imam ad-Daraquthni juga menilai hadis ini tidak Sahih (rujuk: al-Ilal,13/462). Riwayat ini jg dinilai Ma'lul oleh Syaikh Musthofa al-'Adawi (dalam video beliau pada Nota Hadis 1) kerana pada sanadnya terdapat Husyaim bin Basyir,yang mana dia adalah Mudallis (orang yg suka melakukan 'Tadlis',mengaburi nama perawi agar hadis itu terlihat Sahih sanadnya). ia juga dinilai 'Mudallis' oleh al-'Ala'i (rujuk: Jami' at-Tahsil,1/111),imam an-Nasaie (rujuk: Sunan,hadis no.5591),imam adz-Dzahabi juga menyebut perkara yg sama tentang Husyaim (rujuk: Tadhkhirat al-Huffaz,1/249) dan Ibnu Hajar al-Asqalani juga mengatakan perkara yg sama (rujuk: Tabaqat al-Mudallisin,1/47). Syaikh 'Abdul Aziz at-Tharifi juga men-Dhaif-kan hadis ini dan membawakan kalam imam Ahmad tentang kecacatan hadis ini (rujuk: Syarah Bulugh al-Maram,1/42).

:: Hadis 3 ::
dari ‘Umar al-Khattab,dia berkata,
“Kami (para sahabat Nabi ﷺ) menganggap berkumpul di rumah keluarga mayat setelah menguburnya,sebagai perbuatan meratapi mayat (yang tercela).”
(HR. Aslam [rujuk: Tarikh Wasith,126])

NOTA:
Hadis ini dinilai 'Dhaif' oleh Ibnu Hajar al-Asqalani kerana hadis ini diriwayatkan dari Sayyar bin al-Hakam dari Umar al-Khattab,dimana dia (Sayyar) tidak pernah bertemu dengan ‘Umar al-Khattab (rujuk: Taqrib at-Tahdzib,1/262). Syaikh Musthofa al-'Adawi juga mengatakan hadis ini 'Dhaif' (dalam video pada Nota hadis 1),katanya: "khabar ini munqothi' (terputus)". disisi Syaikh Musthofa al-'Adawi,hadis-hadis ini bukan saja Ma'lul dari segi sanad,malah matan (teks)nya juga terdapat kecacatan,kerana hadis-hadis ini seolah² melarang apa-apa saja perbuatan berkumpul & membuat hidangan makanan,sedangkan terdapat hadis yang lebih sahih bahawa perbuatan berkumpul itu pernah berlaku dizaman Rasulullah,malah perbuatan itu tidak dilarang:

:: Hadis 4 ::
daripada ‘Urwah,dari ‘Aisyah isteri Nabi ﷺ,yang mana beliau (‘Aisyah) jika ada kematian dari kalangan ahli keluarga beliau,para wanita akan berkumpul,kemudian mereka akan pergi melainkan ahli keluarga dan teman terdekat. Kemudian beliau mengarahkan dibawa periuk berisi Talbinah,kemudian dimasak sup (sup daging),kemudian dituang ke atasnya Talbinah,lalu beliau berkata: “Makanlah sup beserta dengan Talbinah ini,kerana sesungguhnya saya pernah mendengar Rasulullah ﷺ bersabda: ‘Talbinah melegakan hati dan menghilangkan sebahagian kesedihan’.”
(HR. Bukhari,no.5417. Muslim,no.2216)

NOTA:
walaupun hadis-hadis ini Tidak Sahih (kecuali Hadis 4),akan tetapi tidak bermakna Kenduri Arwah (Tahlilan) yg kebiasaan masyarakat kita lakukan menjadi ‘Sunnah’ dan dibenarkan,kerana Talbinah (dalam Hadis 4) itu di berikan kepada ‘keluarga si mati’ yang sedang bersedih,bukan orang lain. Keluarga si mati tidak melakukan kenduri arwah dan jiran-jiran memberi makanan kepada keluarga si mati adalah Sunnah,sebagaimana kata imam asy-Syafi’i: “Aku suka sekiranya jiran si mati atau orang yang mempunyai pertalian keluarga dengannya memberi makan kepada ahli keluarga si mati,(iaitu makanan) yang mengenyangkan mereka pada hari dan malamnya,kerana itu ialah sunnah dan ingatan yang mulia,dan ia adalah perbuatan golongan yang baik-baik sebelum dan selepas kita. Hal ini kerana apabila tiba berita kematian Ja‘far, Rasulullah ﷺ bersabda: ‘Buatlah kamu makanan kepada keluarga Ja‘far kerana telah datang perkara yang menyedihkan mereka’.” (rujuk: al-Umm,1/278-279)
wallahua'lam bissowab.

Saturday, July 9, 2022

Haram Memukul Muka (Wajah)

:: Hadis 1 ::
dari Abu Hurairah,Nabi ﷺ bersabda,
“Apabila seseorang kamu berperang,jauhilah dari (mencederakan) muka.”
(HR. Bukhari,no.2559. Muslim,no.6817)

:: Hadis 2 ::
dari Abu Hurairah,Rasulullah ﷺ  bersabda,
“Apabila salah seorang dalam kalangan kamu bergaduh,maka hindarilah (daripada memukul) bahagian muka.”
(Bukhari,no.2559. Muslim,no.2612)

NOTA:
Dalam riwayat yang sama daripada Imam Muslim,hadis ini turut datang dengan lafaz lain yang sedikit berbeza:

“Apabila salah seorang dalam kalangan kamu memukul…”
(HR. Muslim,no.2612)

:: Hadis 3 ::
dari Ibn Hatim,Nabi ﷺ bersabda,
“Apabila salah seorang dalam kalangan kamu bergaduh dengan saudaranya,maka hindarilah (daripada memukul) bahagian muka. Kerana sesungguhnya Allah menciptakan Adam sebagaimana bentuknya.”
(HR. Muslim,no.2616. Melalui jalur sanad yang lain)

La Dharar Wa La Dhirar (Tidak Boleh Ada Mudharat Dan Memudharatkan)

:: Hadis 1 ::
dari Ibnu ‘Abbas,Rasulullah ﷺ bersabda,
“Tidak ada mudharat dan tidak juga perbuatan membalas kemudharatan.”
(HR. Ibnu Majah,no.2341)

:: Hadis 2 ::
dari Abu Sa’id al-Khudri,Rasulullah ﷺ bersabda,
“Tidak ada mudharat dan tidak juga perbuatan membalas kemudharatan.”
(HR. al-Hakim,no.2345. al-Baihaqi,no.11717)

:: Hadis 3 ::
dari ‘Ubadah bin as̄-S̄omith,Rasulullah ﷺ bersabda,
“Tidak ada mudharat dan tidak juga perbuatan membalas kemudharatan.”
(HR. Ibnu Majah,no.2340)

:: Hadis 4 ::
dari ‘Amru bin Yahya,dari ayahnya,bahawa Rasulullah ﷺ bersabda,
“Tidak ada mudharat dan tidak juga perbuatan membalas kemudharatan.”
(HR. Malik,no.31)

NOTA:
Hadis ini dinilai 'Sahih' oleh Syaikh Musthofa al-'Adawi dalam video beliau.

Hamba Allah Yang 'Dicelup' Sekali Ke Dalam Neraka & Hamba Yang 'Dicelup' Ke Dalam Syurga

:: Hadis 1 ::
dari Anas bin Malik,bahawa Rasulullah ﷺ bersabda,
“Orang paling nikmat di dunia dalam kalangan penghuni neraka didatangkan pada hari kiamat,lalu dicelupkan sekali ke dalam neraka. Setelah itu,dikatakan kepadanya: ‘Wahai anak cucu Adam,adakah engkau pernah melihat kebaikan sedikit pun? Adakah engkau pernah merasakan kenikmatan sedikit pun?’ Dia menjawab: ‘Tidak,demi Allah,wahai Tuhan.’ Kemudian didatangkan pula orang yang paling sengsara di dunia dalam kalangan penghuni syurga. Kemudian dicelupkan sekali ke dalam syurga,setelah itu dikatakan kepadanya: ‘Wahai anak cucu Adam,adakah engkau pernah melihat kesengsaraan sedikit pun? Adakah engkau pernah merasa sengsara sedikit pun?’ Dia menjawab: ‘Tidak,demi Allah,wahai Tuhan,aku tidak pernah merasa sengsara sedikit pun dan aku juga tidak pernah melihat kesengsaraan pun’.”
(HR. Muslim,no.2807)

:: Hadis 2 ::
dari Anas bin Malik,bahawa Rasulullah ﷺ bersabda,
“Pada hari kiamat dikatakan kepada penghuni dunia yang kafir yang paling senang: ‘Celupkan sekali dia ke dalam nereka’. Setelah dicelupkan dia dikeluarkan. Lalu ditanya kepadanya: ‘Wahai fulan,adakah kamu pernah mendapat kenikmatan dalam hidupmu?’ Dia menjawab: ‘Tidak ada kebaikan yang pernah kuperolehi’. Kemudian dibawa orang yang beriman yang paling susah dan amat banyak sekali mendapat bencana,lalu dikatakan padanya: ‘Celupkan dia sekali ke dalam syurga’. Kemudian ditanya kepadanya: ‘Adakah kamu pernah merasakan kesusahan dan bencana?’ Doa menjawab: ‘Tidak ada kesusahan dan bencana yang pernah kurasakan’.”
(HR. Ibnu Majah,no.4312. dinilai 'Sahih' oleh Syaikh al-Albani [rujuk: Sahih Ibnu Majah,no.3506])

NOTA:
Maksudnya,azab neraka membuatkan penghuni neraka 'lupa' dengan nikmat-nikmat yang Allah bagi ketika di dunia (walaupun ketika di dunia,orang itu adalah orang paling kaya,mewah dan hidup bahagia),tetapi disebabkan azab dalam neraka yg begitu dahsyat,buatkan penghuni neraka itu 'hilang ingatan'. Begitu juga dengan nikmat di dalam syurga,ia membuatkan seseorang yang hidup menderita ketika di dunia menjadi 'lupa' dengan penderitaannya ketika di dunia,disebabkan nikmat syurga yg begitu 'dahsyat'.
Wallahua'lam.

Luas Dan Dalamnya Neraka

:: Hadis 1 ::
dari Anas bin Malik,Nabi ﷺ bersabda,
“Neraka Jahannam tidak berhenti bertanya: ‘Masihkah ada tambahan? (Qaf [50]: ayat 30)’,sampai Allah Rabbul 'Izzati meletakkan telapak kaki-Nya di sana hingga neraka berkata: ‘Cukup! cukup! demi kemuliaan-Mu!’,hingga sebahagian penghuni neraka menghimpit sebahagian yang lainnya.”
(HR. Bukhari,no.6661. Muslim,no.2848. at-Tirmidzi,no.3195)

:: Hadis 2 ::
dari Anas bin Malik,Nabi ﷺ bersabda,
“Neraka Jahannam sentiasa dilempar (penghuni Neraka) dan ia (Neraka) selalu bertanya: ‘Masih ada tambahan?’ hingga Rabbul 'Izzah meletakkan kaki-Nya kemudian sebahagiannya terhimpun dengan sebahagian yang lain. Ia (Neraka) berkata: ‘Cukup,cukup! Demi keagungan dan kemuliaan-Mu!’. Di syurga sentiasa ada lebihan (ruang) hingga Allah menciptakan makhluk untuknya,lalu Ia menempatkan mereka di (tempat) lebihan syurga.”
(HR. Bukhari,no.7384. Muslim,no.2848)

:: Hadis 3 ::
dari Abu Hurairah r.a,bahawa Nabi ﷺ bersabda,
“Syurga dan neraka saling berdebat. Neraka berkata: ‘Orang-orang sombong dan bengis memasukiku’. Syurga berkata: ‘Sedangkan aku,tiada yang memasukiku selain orang-orang lemah dan hina (pada pandangan manusia)’. Lalu Allah berfirman kepada syurga: ‘Kau adalah rahmat-Ku,denganmu Aku rahmati siapa sahaja yang Aku kehendaki dari hamba-hamba-Ku’. Kemudian Allah berfirman kepada neraka: ‘Kau adalah azab-Ku,denganmu Aku menyiksa sesiapa pun yang Aku kehendaki. Dan masing-masing dari keduanya mempunyai isinya sendiri’. Adapun neraka tidak terisi penuh sehingga Allah meletakkan kaki-Nya,kemudian neraka berkata: ‘Cukup! cukup!’. Saat itulah neraka penuh dan sebahagiannya menindih sebahagian yang lain. Allah tidak menzalimi seorang pun dari makhluk-Nya. Sedangkan syurga,Allah menciptakan penghuninya.”
(HR. Bukhari,no.4850)

:: Hadis 4 ::
dari Abdullah bin Mas'ud,Rasulullah ﷺ bersabda,
“Pada hari itu Neraka Jahannam didatangkan,ia mempunyai 70,000 tali. Setiap tali terdapat 70,000 malaikat yang akan menariknya.”
(HR. Muslim,no.2842)

:: Hadis 5 ::
dari Abu Hurairah,dia berkata,
“Kami pernah bersama Nabi ﷺ,tiba-tiba tendengar suara sesuatu yang jatuh berdebuk. Nabi ﷺ bertanya: ‘Tahukah kamu itu apa?’. Kami menjawab: ‘Allah dan rasul-Nya lebih tahu’. Baginda bersabda: ‘Itu adalah batu yang dilemparkan ke dalam neraka sejak 70 tahun yang lalu dan ia baru sampai di dasar neraka saat ini’.”
(HR. Muslim,no.2844)

Thursday, July 7, 2022

Berlaku Adil Kepada Orang Yang Kamu Benci

:: al-Quran 1 ::
Allah ﷻ berfirman:
“Wahai orang-orang yang beriman,hendaklah kamu semua sentiasa menjadi orang-orang yang menegakkan keadilan kerana Allah,lagi menerangkan kebenaran. Dan jangan sekali-kali kebencian kamu terhadap sesuatu kaum itu,mendorong kamu kepada tidak melakukan keadilan. Hendaklah kamu berlaku adil (kepada sesiapa saja) kerana sikap adil itu lebih hampir kepada taqwa. Dan bertaqwalah kepada Allah,sesungguhnya Allah Maha Mengetahui dengan mendalam akan apa yang kamu lakukan.”
(al-Maidah [5]: ayat 8)

:: al-Quran 2 ::
Allah ﷻberfirman:
“Hendaklah kamu semua berlaku adil,kerana Allah suka kepada orang yang adil.”
(al-Hujurat [49]: ayat 9)

:: Hadis ::
dari ‘Urwah bin al-Zubair,dia berkata,
“Bahawa ada seorang wanita mencuri ketika Rasulullah ﷺ dalam peperangan al-Fath (pembukaan Kota Makkah). Kaumnya segera datang kepada Usamah bin Zaid untuk meminta pertolongan daripadanya. ‘Urwah berkata: ‘Ketika Usamah berbicara dengan Nabi ﷺ tentang wanita itu,berubah riak wajah Rasulullah ﷺ dan Baginda bersabda: ‘Adakah engkau bercakap dengan aku mengenai tentang salah satu daripada hukuman Allah?’ Usamah berkata: ‘Mintalah keampunan untukku wahai Rasulullah’. Pada siang hari,Rasulullah ﷺ berdiri untuk berkhutbah. Baginda memuji Allah selayaknya, kemudian bersabda: ‘Adapun selepas itu,sesungguhnya yang membinasakan bangsa sebelum kamu ialah sekiranya yang mencuri daripada kalangan kamu ialah golongan bangsawan maka mereka akan dibiarkan (dibebaskan dari hukuman). Namun,sekiranya yang mencuri daripada kamu ialah golongan yang lemah (miskin),maka mereka akan dijatuhkan hukuman hudud. Demi jiwa Muhammad ditangan-Nya,sekiranya Fathimah binti Muhammad mencuri,maka aku akan memotong tangannya’. Kemudian Baginda mengarahkan agar wanita itu dipotong tangannya. Setelah itu,dia bertaubat bersungguh-sungguh,kemudian dia berkahwin. Aisyah berkata: ‘Setelah itu,dia selalu datang kepadaku dan aku menyampaikan permintaannya kepada Rasulullah ﷺ’.”
(HR. Bukhari,no.4304)

Ahli Syurga Akan Melihat Allah & Melihat-Nya Adalah Nikmat Yang Paling Besar

:: al-Quran 1 ::
Allah ﷻ berfirman:
“Pada hari akhirat itu,wajah (orang-orang yang beriman) berseri-seri,melihat kepada Tuhannya”.
(al-Qiamah [75]: ayat 22-23)

:: al-Quran 2 ::
Allah ﷻ berfirman:
“Untuk orang-orang yang berusaha menjadi amalnya baik akan dikurniakan segala kebaikan,serta satu tambahan yang mulia..”
(Yunus [10]: ayat 26)

:: al-Quran 3 ::
Allah ﷻ berfirman:
“Mereka beroleh apa yang mereka kehendaki di situ,dan di sisi Kami ada lagi tambahan (limpah kurnia yang tidak terlintas di hati mereka)”.
(Qaf [50]: ayat 35)

:: Hadis 1 ::
dari Suhaib,Nabi ﷺ bersabda,
“Apabila penduduk syurga memasuki syurga,berfirman Allah Tabaraka wa Ta'ala: ‘Apakah kamu ingin Aku tambahkan lagi nikmat kepadamu?’ Mereka menjawab: ‘Bukankah Engkau telah memutihkan wajah-wajah kami? Bukankah Engkau telah memasukkan kami ke dalam syurga dan menyelamatkan kami dari api neraka?’ Lalu Allah membuka hijab (pembatas),dan tidaklah mereka itu diberikan sesuatu yang lebih mereka cintai berbanding nikmat melihat Tuhan mereka”.
(HR. Muslim,no.181. Ibnu Majah,no.187)

:: Hadis 2 ::
dari Abu Hurairah,para sahabat bertanya, “Wahai Rasulullah,adakah kami akan melihat Tuhan kami pada hari kiamat nanti?” Maka Rasulullah ﷺ bersabda: “Apakah kamu kesulitan melihat bulan ketika malam purnama?” “Tidak”,Jawab para sahabat. Rasulullah bertanya lagi: “Apakah kamu kesulitan melihat matahari yang tidak berawan?” Para sahabat menjawab: “Tidak,ya Rasulullah”. Nabi bersabda: “Sesungguhnya kamu akan melihat-Nya...”
(HR. Bukhari,no.7437. Muslim,no.267)

:: Hadis 3 ::
dari Jarir,dia berkata,
“Suatu hari kami duduk-duduk bersama Nabi ﷺ. Tiba-tiba baginda melihat bulan yang ketika itu bulan purnama lalu baginda bersabda:
‘Kamu akan melihat Tuhan sebagaimana kamu melihat bulan ini,kamu tidak akan mempunyai masalah untuk melihat-Nya..”
(HR. Bukhari,no.7434. Muslim,no.633)

NOTA:
maksud 'kamu tidak akan mempunyai masalah untuk melihat-Nya' ialah ahli syurga tidak perlu bersesak-sesak semata-mata untuk melihat Allah,kerana semua pasti dapat melihat-Nya dengan jelas.

:: Hadis 4 ::
dari 'Abdullah bin Qais,Nabi ﷺ bersabda,
“Ada dua taman syurga dari perak,bekas makanan dan minuman serta segala yang ada di dalamnya dari perak. Ada dua taman syurga diperbuat dari emas,bekas makanan dan minuman serta segala yang ada di dalamnya dari emas. Tiada yang menghalang kaum itu (orang-orang beriman) melihat kepada Tuhan mereka melainkan selendang keangkuhan di wajah-Nya dalam syurga 'Adn (yang kekal abadi).”
(HR. Bukhari,no.4878. Muslim,no.180)

Wednesday, July 6, 2022

Ganjaran Di Akhirat Untuk Orang Yang Kematian Anak Kecil

:: Hadis 1 ::
dari Abu Hurairah,Rasulullah ﷺ bersabda kepada para wanita Ansar,
“ Tidaklah mati tiga orang anak kepada salah seorang dari kamu,lalu si ibu itu menyerahkan hal itu kepada Allah melainkan wanita itu akan masuk syurga. Seorang wanita daripada mereka bertanya: ‘Bagaimana jika dua orang ya Rasulullah?’ Baginda menjawab: ‘Atau jika dua orang (si ibu tetap mendapat kelebihan itu)’.”
(HR. Muslim,no.2632)

:: Hadis 2 ::
dari Anas bin Malik,Nabi ﷺ bersabda,
“Tidak seorang muslim pun yang mati tiga orang anaknya yang belum baligh kecuali Allah memasukkannya ke dalam syurga kerana limpah rahmat-Nya kepada mereka”.
(HR. Bukhari,no.1381. an-Nasaie,no.1850)

:: Hadis 3 ::
dari Abu Hassan,dia berkata,
“Aku bertanya kepada Abu Hurairah tentang keadaan dua anakku kecilku yang telah meniggal dunia: ‘Boleh tidak engkau menyampaikan kepadaku satu hadis daripada Rasulullah ﷺ yang boleh memujuk jiwa-jiwa kami kerana kematian ini?’ Jawab Abu Hurairah: ‘Boleh,anak-anak mereka ialah Da’amis̄ Syurga. Salah seorang daripada mereka menemui ayah mereka,atau ibu bapa,lalu menarik bajunya,atau menarik tangannya,seperti aku menarik hujung jahitan bajumu ini. Anak itu tidak akan melepaskannya sehingga Allah memasukkannya dan ibu bapanya ke syurga’.”
(HR. Muslim,no.2635)

NOTA:
Tentang makna “Da’amis̄”,imam an-Nawawi berkata: “Da’amis̄ itu bererti ahli syurga yang kecil,asalnya ialah du’mūs yang bermaksud haiwan-haiwan kecil yang berada di dalam air,mereka tidak berpisah dengannya. Ertinya,anak-anak kecil di dalam syurga tidak berpisah darinya” (rujuk: Syarh Sahih Muslim,16/182). Berkata imam Ibn al-Atsir: “Mereka itu bebas bergerak di dalam syurga,masuk ke dalam rumah-rumahnya,tiada apa yang menghalang mereka daripada suatu tempat,seperti perangai kanak-kanak ketika di dunia,tiada siapa yang boleh menghalang mereka memasuki haram (yakni kawasan peribadi satu-satu keluarga),tiada siapa yang perlu berhijab bila dengan mereka” (rujuk: al-Nihayah fi Gharib al-Hadith wa al-Atsar,2/289)

:: Hadis 4 ::
dari Abu Hurairah,dia berkata,
“Seorang wanita datang menemui Nabi ﷺ sambil membawa bayi lelakinya. Dia berkata: ‘Wahai Nabi Allah,doakan bayi lelaki ku ini. Sesungguhnya aku telah mengebumikan tiga orang anak aku’. Baginda bertanya: ‘Engkau telah mengebumikan tiga orang anak?’ Beliau menjawab: ‘Ya’. Baginda bersabda: ‘Sesungguhnya engkau telah menghadang dengan penghadang yang kuat daripada api neraka’.”
(HR. Muslim,no.2636)

:: Hadis 5 ::
dari Mu'awiyyah bin Qurrah,dari ayahnya,
“Bahawa seorang lelaki datang kepada Nabi ﷺ bersama dengan seorang anak lelakinya. Nabi ﷺ bertanya kepada lelaki itu: ‘Adakah engkau menyayanginya?’ Lelaki itu menjawab: ‘Ya Rasulullah,aku mencintai Allah sebagaimana aku menyayanginya’. Kemudian,selepas hari tersebut,baginda tidak melihat lagi anak lelaki itu. Baginda bertanya: ‘Apa yang sedang dilakukan oleh anak si fulan?’ Para sahabat menjawab: ‘Ya Rasulullah,dia telah meninggal dunia’. Nabi ﷺ berkata kepada ayahnya: ‘Adakah engkau suka jika engkau mendatangi pintu syurga,lalu engkau mendapati anakmu sedang menunggumu di sana?’ Seorang sahabat bertanya: ‘Adakah itu kes yang khusus atau ia umum untuk anak kami semua?’ Baginda menjawab: ‘Ia untuk kamu semua’.”
(HR. Ahmad,no.15595. hadith ini sanadnya dinilai 'Sahih' oleh al-Hakim [rujuk: al-Mustadrak] dan Syaikh Syu'aib al-Arnauth [rujuk: semakan beliau kepada Musnad Ahmad])

:: Hadis 6 ::
dari Abu Musa al-Asy'ari,Rasulullah ﷺ bersabda,
“Apabila anak seorang hamba meninggal dunia,Allah berfirman kepada malaikat-Nya: ‘Kamu telah mencabut nyawa anak hamba-Ku?’ Mereka berkata: ‘Ya’. Allah berfirman: ‘Kamu telah mencabut nyawa buah hatinya?’ Mereka menjawab: ‘Ya’. Allah berfirman: ‘Apa yang diucapkan oleh hamba-Ku ketika itu?’ Mereka berkata: ‘Ia memujimu dan mengucapkan istirja’ (innaa lilaahi wa innaa ilaihi rooji’uun)’. Allah berfirman: ‘Binakan untuk hamba-Ku ini satu rumah di syurga dan namakan ia Baitul Hamdi (rumah pujian).”
(HR. at-Tirmidzi,no.1021. Dinilai 'Hasan Gharib' oleh imam at-Tirmidzi)

NOTA:
Hadis ini dinilai 'Dhaif' oleh Syaikh Musthofa al-'Adawi dalam video beliau.

NOTA (2):
Hadis-hadis ini hanya menyebutkan tentang kematian anak kecil yang belum baligh. Sebahagian ulama' mengatakan,hadis² ini juga termasuk bayi yang keguguran. Kata Imam an-Nawawi: “Seorang anak yang meninggal dunia akan menjadi penghalang daripada api neraka,begitu juga anak yang keguguran” (rujuk: al-Majmu' Syarah al-Muhazzab,5/295)