Thursday, July 14, 2022

Hadis Berkumpul Dan Memberi Makan Selepas Kematian

:: Hadis 1 ::
dari Jarir bin ‘Abdillah,dia berkata,
“Kami menganggap orang ramai berhimpun untuk keluarga si mati dan menyediakan makanan selepas pengebumiannya adalah satu bentuk dari meratapi kematian.”
(HR. Ahmad,no.6905)

NOTA:
Hadis ini 'Dhaif Jiddan' (terlalu lemah). Kerana di dalam sanadnya terdapat perawi yg bernama Nasr bin Bab,dia dinilai 'Pendusta' oleh al-Bukhari (rujuk: Tarikh al-Kabir,8/105). Kata Ibn Ma'in: 'tidak ada nilai'. Kata 'Ali ibn al-Madini: 'aku lempar hadisnya'. Kata Abu Hatim ar-Razi: 'Matruk al-hadis (hadisnya ditinggalkan)'. Kata Abu Khaitsamah Zuhair bin Harb: 'Pendusta' (rujuk: Ta'jil al-Manfa'ah,420). Syaikh Musthofa al-'Adawi juga menilai Nasr bin Bab sebagai 'Pendusta' (di dalam video beliau).

:: Hadis 2 ::
dari Jarir bin ‘Abdillah al-Bajali,dia berkata,
“Kami berpandangan orang ramai berhimpun untuk keluarga si mati dan memyediakan makanan adalah satu bentuk meratapi kematian.”
(HR. Ibnu Majah,no.1612)

NOTA:
Hadis ini 'Dhaif',Ma'lul (mempunyai kcacatan). Kata Abu Daud,imam Ahmad mengatakan hadis ini tiada asalnya (rujuk: Masail Imam Ahmad,1867). imam ad-Daraquthni juga menilai hadis ini tidak Sahih (rujuk: al-Ilal,13/462). Riwayat ini jg dinilai Ma'lul oleh Syaikh Musthofa al-'Adawi (dalam video beliau pada Nota Hadis 1) kerana pada sanadnya terdapat Husyaim bin Basyir,yang mana dia adalah Mudallis (orang yg suka melakukan 'Tadlis',mengaburi nama perawi agar hadis itu terlihat Sahih sanadnya). ia juga dinilai 'Mudallis' oleh al-'Ala'i (rujuk: Jami' at-Tahsil,1/111),imam an-Nasaie (rujuk: Sunan,hadis no.5591),imam adz-Dzahabi juga menyebut perkara yg sama tentang Husyaim (rujuk: Tadhkhirat al-Huffaz,1/249) dan Ibnu Hajar al-Asqalani juga mengatakan perkara yg sama (rujuk: Tabaqat al-Mudallisin,1/47). Syaikh 'Abdul Aziz at-Tharifi juga men-Dhaif-kan hadis ini dan membawakan kalam imam Ahmad tentang kecacatan hadis ini (rujuk: Syarah Bulugh al-Maram,1/42).

:: Hadis 3 ::
dari ‘Umar al-Khattab,dia berkata,
“Kami (para sahabat Nabi ﷺ) menganggap berkumpul di rumah keluarga mayat setelah menguburnya,sebagai perbuatan meratapi mayat (yang tercela).”
(HR. Aslam [rujuk: Tarikh Wasith,126])

NOTA:
Hadis ini dinilai 'Dhaif' oleh Ibnu Hajar al-Asqalani kerana hadis ini diriwayatkan dari Sayyar bin al-Hakam dari Umar al-Khattab,dimana dia (Sayyar) tidak pernah bertemu dengan ‘Umar al-Khattab (rujuk: Taqrib at-Tahdzib,1/262). Syaikh Musthofa al-'Adawi juga mengatakan hadis ini 'Dhaif' (dalam video pada Nota hadis 1),katanya: "khabar ini munqothi' (terputus)". disisi Syaikh Musthofa al-'Adawi,hadis-hadis ini bukan saja Ma'lul dari segi sanad,malah matan (teks)nya juga terdapat kecacatan,kerana hadis-hadis ini seolah² melarang apa-apa saja perbuatan berkumpul & membuat hidangan makanan,sedangkan terdapat hadis yang lebih sahih bahawa perbuatan berkumpul itu pernah berlaku dizaman Rasulullah,malah perbuatan itu tidak dilarang:

:: Hadis 4 ::
daripada ‘Urwah,dari ‘Aisyah isteri Nabi ﷺ,yang mana beliau (‘Aisyah) jika ada kematian dari kalangan ahli keluarga beliau,para wanita akan berkumpul,kemudian mereka akan pergi melainkan ahli keluarga dan teman terdekat. Kemudian beliau mengarahkan dibawa periuk berisi Talbinah,kemudian dimasak sup (sup daging),kemudian dituang ke atasnya Talbinah,lalu beliau berkata: “Makanlah sup beserta dengan Talbinah ini,kerana sesungguhnya saya pernah mendengar Rasulullah ﷺ bersabda: ‘Talbinah melegakan hati dan menghilangkan sebahagian kesedihan’.”
(HR. Bukhari,no.5417. Muslim,no.2216)

NOTA:
walaupun hadis-hadis ini Tidak Sahih (kecuali Hadis 4),akan tetapi tidak bermakna Kenduri Arwah (Tahlilan) yg kebiasaan masyarakat kita lakukan menjadi ‘Sunnah’ dan dibenarkan,kerana Talbinah (dalam Hadis 4) itu di berikan kepada ‘keluarga si mati’ yang sedang bersedih,bukan orang lain. Keluarga si mati tidak melakukan kenduri arwah dan jiran-jiran memberi makanan kepada keluarga si mati adalah Sunnah,sebagaimana kata imam asy-Syafi’i: “Aku suka sekiranya jiran si mati atau orang yang mempunyai pertalian keluarga dengannya memberi makan kepada ahli keluarga si mati,(iaitu makanan) yang mengenyangkan mereka pada hari dan malamnya,kerana itu ialah sunnah dan ingatan yang mulia,dan ia adalah perbuatan golongan yang baik-baik sebelum dan selepas kita. Hal ini kerana apabila tiba berita kematian Ja‘far, Rasulullah ﷺ bersabda: ‘Buatlah kamu makanan kepada keluarga Ja‘far kerana telah datang perkara yang menyedihkan mereka’.” (rujuk: al-Umm,1/278-279)
wallahua'lam bissowab.

Saturday, July 9, 2022

Haram Memukul Muka (Wajah)

:: Hadis 1 ::
dari Abu Hurairah,Nabi ﷺ bersabda,
“Apabila seseorang kamu berperang,jauhilah dari (mencederakan) muka.”
(HR. Bukhari,no.2559. Muslim,no.6817)

:: Hadis 2 ::
dari Abu Hurairah,Rasulullah ﷺ  bersabda,
“Apabila salah seorang dalam kalangan kamu bergaduh,maka hindarilah (daripada memukul) bahagian muka.”
(Bukhari,no.2559. Muslim,no.2612)

NOTA:
Dalam riwayat yang sama daripada Imam Muslim,hadis ini turut datang dengan lafaz lain yang sedikit berbeza:

“Apabila salah seorang dalam kalangan kamu memukul…”
(HR. Muslim,no.2612)

:: Hadis 3 ::
dari Ibn Hatim,Nabi ﷺ bersabda,
“Apabila salah seorang dalam kalangan kamu bergaduh dengan saudaranya,maka hindarilah (daripada memukul) bahagian muka. Kerana sesungguhnya Allah menciptakan Adam sebagaimana bentuknya.”
(HR. Muslim,no.2616. Melalui jalur sanad yang lain)

La Dharar Wa La Dhirar (Tidak Boleh Ada Mudharat Dan Memudharatkan)

:: Hadis 1 ::
dari Ibnu ‘Abbas,Rasulullah ﷺ bersabda,
“Tidak ada mudharat dan tidak juga perbuatan membalas kemudharatan.”
(HR. Ibnu Majah,no.2341)

:: Hadis 2 ::
dari Abu Sa’id al-Khudri,Rasulullah ﷺ bersabda,
“Tidak ada mudharat dan tidak juga perbuatan membalas kemudharatan.”
(HR. al-Hakim,no.2345. al-Baihaqi,no.11717)

:: Hadis 3 ::
dari ‘Ubadah bin as̄-S̄omith,Rasulullah ﷺ bersabda,
“Tidak ada mudharat dan tidak juga perbuatan membalas kemudharatan.”
(HR. Ibnu Majah,no.2340)

:: Hadis 4 ::
dari ‘Amru bin Yahya,dari ayahnya,bahawa Rasulullah ﷺ bersabda,
“Tidak ada mudharat dan tidak juga perbuatan membalas kemudharatan.”
(HR. Malik,no.31)

NOTA:
Hadis ini dinilai 'Sahih' oleh Syaikh Musthofa al-'Adawi dalam video beliau.

Hamba Allah Yang 'Dicelup' Sekali Ke Dalam Neraka & Hamba Yang 'Dicelup' Ke Dalam Syurga

:: Hadis 1 ::
dari Anas bin Malik,bahawa Rasulullah ﷺ bersabda,
“Orang paling nikmat di dunia dalam kalangan penghuni neraka didatangkan pada hari kiamat,lalu dicelupkan sekali ke dalam neraka. Setelah itu,dikatakan kepadanya: ‘Wahai anak cucu Adam,adakah engkau pernah melihat kebaikan sedikit pun? Adakah engkau pernah merasakan kenikmatan sedikit pun?’ Dia menjawab: ‘Tidak,demi Allah,wahai Tuhan.’ Kemudian didatangkan pula orang yang paling sengsara di dunia dalam kalangan penghuni syurga. Kemudian dicelupkan sekali ke dalam syurga,setelah itu dikatakan kepadanya: ‘Wahai anak cucu Adam,adakah engkau pernah melihat kesengsaraan sedikit pun? Adakah engkau pernah merasa sengsara sedikit pun?’ Dia menjawab: ‘Tidak,demi Allah,wahai Tuhan,aku tidak pernah merasa sengsara sedikit pun dan aku juga tidak pernah melihat kesengsaraan pun’.”
(HR. Muslim,no.2807)

:: Hadis 2 ::
dari Anas bin Malik,bahawa Rasulullah ﷺ bersabda,
“Pada hari kiamat dikatakan kepada penghuni dunia yang kafir yang paling senang: ‘Celupkan sekali dia ke dalam nereka’. Setelah dicelupkan dia dikeluarkan. Lalu ditanya kepadanya: ‘Wahai fulan,adakah kamu pernah mendapat kenikmatan dalam hidupmu?’ Dia menjawab: ‘Tidak ada kebaikan yang pernah kuperolehi’. Kemudian dibawa orang yang beriman yang paling susah dan amat banyak sekali mendapat bencana,lalu dikatakan padanya: ‘Celupkan dia sekali ke dalam syurga’. Kemudian ditanya kepadanya: ‘Adakah kamu pernah merasakan kesusahan dan bencana?’ Doa menjawab: ‘Tidak ada kesusahan dan bencana yang pernah kurasakan’.”
(HR. Ibnu Majah,no.4312. dinilai 'Sahih' oleh Syaikh al-Albani [rujuk: Sahih Ibnu Majah,no.3506])

NOTA:
Maksudnya,azab neraka membuatkan penghuni neraka 'lupa' dengan nikmat-nikmat yang Allah bagi ketika di dunia (walaupun ketika di dunia,orang itu adalah orang paling kaya,mewah dan hidup bahagia),tetapi disebabkan azab dalam neraka yg begitu dahsyat,buatkan penghuni neraka itu 'hilang ingatan'. Begitu juga dengan nikmat di dalam syurga,ia membuatkan seseorang yang hidup menderita ketika di dunia menjadi 'lupa' dengan penderitaannya ketika di dunia,disebabkan nikmat syurga yg begitu 'dahsyat'.
Wallahua'lam.

Luas Dan Dalamnya Neraka

:: Hadis 1 ::
dari Anas bin Malik,Nabi ﷺ bersabda,
“Neraka Jahannam tidak berhenti bertanya: ‘Masihkah ada tambahan? (Qaf [50]: ayat 30)’,sampai Allah Rabbul 'Izzati meletakkan telapak kaki-Nya di sana hingga neraka berkata: ‘Cukup! cukup! demi kemuliaan-Mu!’,hingga sebahagian penghuni neraka menghimpit sebahagian yang lainnya.”
(HR. Bukhari,no.6661. Muslim,no.2848. at-Tirmidzi,no.3195)

:: Hadis 2 ::
dari Anas bin Malik,Nabi ﷺ bersabda,
“Neraka Jahannam sentiasa dilempar (penghuni Neraka) dan ia (Neraka) selalu bertanya: ‘Masih ada tambahan?’ hingga Rabbul 'Izzah meletakkan kaki-Nya kemudian sebahagiannya terhimpun dengan sebahagian yang lain. Ia (Neraka) berkata: ‘Cukup,cukup! Demi keagungan dan kemuliaan-Mu!’. Di syurga sentiasa ada lebihan (ruang) hingga Allah menciptakan makhluk untuknya,lalu Ia menempatkan mereka di (tempat) lebihan syurga.”
(HR. Bukhari,no.7384. Muslim,no.2848)

:: Hadis 3 ::
dari Abu Hurairah r.a,bahawa Nabi ﷺ bersabda,
“Syurga dan neraka saling berdebat. Neraka berkata: ‘Orang-orang sombong dan bengis memasukiku’. Syurga berkata: ‘Sedangkan aku,tiada yang memasukiku selain orang-orang lemah dan hina (pada pandangan manusia)’. Lalu Allah berfirman kepada syurga: ‘Kau adalah rahmat-Ku,denganmu Aku rahmati siapa sahaja yang Aku kehendaki dari hamba-hamba-Ku’. Kemudian Allah berfirman kepada neraka: ‘Kau adalah azab-Ku,denganmu Aku menyiksa sesiapa pun yang Aku kehendaki. Dan masing-masing dari keduanya mempunyai isinya sendiri’. Adapun neraka tidak terisi penuh sehingga Allah meletakkan kaki-Nya,kemudian neraka berkata: ‘Cukup! cukup!’. Saat itulah neraka penuh dan sebahagiannya menindih sebahagian yang lain. Allah tidak menzalimi seorang pun dari makhluk-Nya. Sedangkan syurga,Allah menciptakan penghuninya.”
(HR. Bukhari,no.4850)

:: Hadis 4 ::
dari Abdullah bin Mas'ud,Rasulullah ﷺ bersabda,
“Pada hari itu Neraka Jahannam didatangkan,ia mempunyai 70,000 tali. Setiap tali terdapat 70,000 malaikat yang akan menariknya.”
(HR. Muslim,no.2842)

:: Hadis 5 ::
dari Abu Hurairah,dia berkata,
“Kami pernah bersama Nabi ﷺ,tiba-tiba tendengar suara sesuatu yang jatuh berdebuk. Nabi ﷺ bertanya: ‘Tahukah kamu itu apa?’. Kami menjawab: ‘Allah dan rasul-Nya lebih tahu’. Baginda bersabda: ‘Itu adalah batu yang dilemparkan ke dalam neraka sejak 70 tahun yang lalu dan ia baru sampai di dasar neraka saat ini’.”
(HR. Muslim,no.2844)

Thursday, July 7, 2022

Berlaku Adil Kepada Orang Yang Kamu Benci

:: al-Quran 1 ::
Allah ﷻ berfirman:
“Wahai orang-orang yang beriman,hendaklah kamu semua sentiasa menjadi orang-orang yang menegakkan keadilan kerana Allah,lagi menerangkan kebenaran. Dan jangan sekali-kali kebencian kamu terhadap sesuatu kaum itu,mendorong kamu kepada tidak melakukan keadilan. Hendaklah kamu berlaku adil (kepada sesiapa saja) kerana sikap adil itu lebih hampir kepada taqwa. Dan bertaqwalah kepada Allah,sesungguhnya Allah Maha Mengetahui dengan mendalam akan apa yang kamu lakukan.”
(al-Maidah [5]: ayat 8)

:: al-Quran 2 ::
Allah ﷻberfirman:
“Hendaklah kamu semua berlaku adil,kerana Allah suka kepada orang yang adil.”
(al-Hujurat [49]: ayat 9)

:: Hadis ::
dari ‘Urwah bin al-Zubair,dia berkata,
“Bahawa ada seorang wanita mencuri ketika Rasulullah ﷺ dalam peperangan al-Fath (pembukaan Kota Makkah). Kaumnya segera datang kepada Usamah bin Zaid untuk meminta pertolongan daripadanya. ‘Urwah berkata: ‘Ketika Usamah berbicara dengan Nabi ﷺ tentang wanita itu,berubah riak wajah Rasulullah ﷺ dan Baginda bersabda: ‘Adakah engkau bercakap dengan aku mengenai tentang salah satu daripada hukuman Allah?’ Usamah berkata: ‘Mintalah keampunan untukku wahai Rasulullah’. Pada siang hari,Rasulullah ﷺ berdiri untuk berkhutbah. Baginda memuji Allah selayaknya, kemudian bersabda: ‘Adapun selepas itu,sesungguhnya yang membinasakan bangsa sebelum kamu ialah sekiranya yang mencuri daripada kalangan kamu ialah golongan bangsawan maka mereka akan dibiarkan (dibebaskan dari hukuman). Namun,sekiranya yang mencuri daripada kamu ialah golongan yang lemah (miskin),maka mereka akan dijatuhkan hukuman hudud. Demi jiwa Muhammad ditangan-Nya,sekiranya Fathimah binti Muhammad mencuri,maka aku akan memotong tangannya’. Kemudian Baginda mengarahkan agar wanita itu dipotong tangannya. Setelah itu,dia bertaubat bersungguh-sungguh,kemudian dia berkahwin. Aisyah berkata: ‘Setelah itu,dia selalu datang kepadaku dan aku menyampaikan permintaannya kepada Rasulullah ﷺ’.”
(HR. Bukhari,no.4304)

Ahli Syurga Akan Melihat Allah & Melihat-Nya Adalah Nikmat Yang Paling Besar

:: al-Quran 1 ::
Allah ﷻ berfirman:
“Pada hari akhirat itu,wajah (orang-orang yang beriman) berseri-seri,melihat kepada Tuhannya”.
(al-Qiamah [75]: ayat 22-23)

:: al-Quran 2 ::
Allah ﷻ berfirman:
“Untuk orang-orang yang berusaha menjadi amalnya baik akan dikurniakan segala kebaikan,serta satu tambahan yang mulia..”
(Yunus [10]: ayat 26)

:: al-Quran 3 ::
Allah ﷻ berfirman:
“Mereka beroleh apa yang mereka kehendaki di situ,dan di sisi Kami ada lagi tambahan (limpah kurnia yang tidak terlintas di hati mereka)”.
(Qaf [50]: ayat 35)

:: Hadis 1 ::
dari Suhaib,Nabi ﷺ bersabda,
“Apabila penduduk syurga memasuki syurga,berfirman Allah Tabaraka wa Ta'ala: ‘Apakah kamu ingin Aku tambahkan lagi nikmat kepadamu?’ Mereka menjawab: ‘Bukankah Engkau telah memutihkan wajah-wajah kami? Bukankah Engkau telah memasukkan kami ke dalam syurga dan menyelamatkan kami dari api neraka?’ Lalu Allah membuka hijab (pembatas),dan tidaklah mereka itu diberikan sesuatu yang lebih mereka cintai berbanding nikmat melihat Tuhan mereka”.
(HR. Muslim,no.181. Ibnu Majah,no.187)

:: Hadis 2 ::
dari Abu Hurairah,para sahabat bertanya, “Wahai Rasulullah,adakah kami akan melihat Tuhan kami pada hari kiamat nanti?” Maka Rasulullah ﷺ bersabda: “Apakah kamu kesulitan melihat bulan ketika malam purnama?” “Tidak”,Jawab para sahabat. Rasulullah bertanya lagi: “Apakah kamu kesulitan melihat matahari yang tidak berawan?” Para sahabat menjawab: “Tidak,ya Rasulullah”. Nabi bersabda: “Sesungguhnya kamu akan melihat-Nya...”
(HR. Bukhari,no.7437. Muslim,no.267)

:: Hadis 3 ::
dari Jarir,dia berkata,
“Suatu hari kami duduk-duduk bersama Nabi ﷺ. Tiba-tiba baginda melihat bulan yang ketika itu bulan purnama lalu baginda bersabda:
‘Kamu akan melihat Tuhan sebagaimana kamu melihat bulan ini,kamu tidak akan mempunyai masalah untuk melihat-Nya..”
(HR. Bukhari,no.7434. Muslim,no.633)

NOTA:
maksud 'kamu tidak akan mempunyai masalah untuk melihat-Nya' ialah ahli syurga tidak perlu bersesak-sesak semata-mata untuk melihat Allah,kerana semua pasti dapat melihat-Nya dengan jelas.

:: Hadis 4 ::
dari 'Abdullah bin Qais,Nabi ﷺ bersabda,
“Ada dua taman syurga dari perak,bekas makanan dan minuman serta segala yang ada di dalamnya dari perak. Ada dua taman syurga diperbuat dari emas,bekas makanan dan minuman serta segala yang ada di dalamnya dari emas. Tiada yang menghalang kaum itu (orang-orang beriman) melihat kepada Tuhan mereka melainkan selendang keangkuhan di wajah-Nya dalam syurga 'Adn (yang kekal abadi).”
(HR. Bukhari,no.4878. Muslim,no.180)

Wednesday, July 6, 2022

Ganjaran Di Akhirat Untuk Orang Yang Kematian Anak Kecil

:: Hadis 1 ::
dari Abu Hurairah,Rasulullah ﷺ bersabda kepada para wanita Ansar,
“ Tidaklah mati tiga orang anak kepada salah seorang dari kamu,lalu si ibu itu menyerahkan hal itu kepada Allah melainkan wanita itu akan masuk syurga. Seorang wanita daripada mereka bertanya: ‘Bagaimana jika dua orang ya Rasulullah?’ Baginda menjawab: ‘Atau jika dua orang (si ibu tetap mendapat kelebihan itu)’.”
(HR. Muslim,no.2632)

:: Hadis 2 ::
dari Anas bin Malik,Nabi ﷺ bersabda,
“Tidak seorang muslim pun yang mati tiga orang anaknya yang belum baligh kecuali Allah memasukkannya ke dalam syurga kerana limpah rahmat-Nya kepada mereka”.
(HR. Bukhari,no.1381. an-Nasaie,no.1850)

:: Hadis 3 ::
dari Abu Hassan,dia berkata,
“Aku bertanya kepada Abu Hurairah tentang keadaan dua anakku kecilku yang telah meniggal dunia: ‘Boleh tidak engkau menyampaikan kepadaku satu hadis daripada Rasulullah ﷺ yang boleh memujuk jiwa-jiwa kami kerana kematian ini?’ Jawab Abu Hurairah: ‘Boleh,anak-anak mereka ialah Da’amis̄ Syurga. Salah seorang daripada mereka menemui ayah mereka,atau ibu bapa,lalu menarik bajunya,atau menarik tangannya,seperti aku menarik hujung jahitan bajumu ini. Anak itu tidak akan melepaskannya sehingga Allah memasukkannya dan ibu bapanya ke syurga’.”
(HR. Muslim,no.2635)

NOTA:
Tentang makna “Da’amis̄”,imam an-Nawawi berkata: “Da’amis̄ itu bererti ahli syurga yang kecil,asalnya ialah du’mūs yang bermaksud haiwan-haiwan kecil yang berada di dalam air,mereka tidak berpisah dengannya. Ertinya,anak-anak kecil di dalam syurga tidak berpisah darinya” (rujuk: Syarh Sahih Muslim,16/182). Berkata imam Ibn al-Atsir: “Mereka itu bebas bergerak di dalam syurga,masuk ke dalam rumah-rumahnya,tiada apa yang menghalang mereka daripada suatu tempat,seperti perangai kanak-kanak ketika di dunia,tiada siapa yang boleh menghalang mereka memasuki haram (yakni kawasan peribadi satu-satu keluarga),tiada siapa yang perlu berhijab bila dengan mereka” (rujuk: al-Nihayah fi Gharib al-Hadith wa al-Atsar,2/289)

:: Hadis 4 ::
dari Abu Hurairah,dia berkata,
“Seorang wanita datang menemui Nabi ﷺ sambil membawa bayi lelakinya. Dia berkata: ‘Wahai Nabi Allah,doakan bayi lelaki ku ini. Sesungguhnya aku telah mengebumikan tiga orang anak aku’. Baginda bertanya: ‘Engkau telah mengebumikan tiga orang anak?’ Beliau menjawab: ‘Ya’. Baginda bersabda: ‘Sesungguhnya engkau telah menghadang dengan penghadang yang kuat daripada api neraka’.”
(HR. Muslim,no.2636)

:: Hadis 5 ::
dari Mu'awiyyah bin Qurrah,dari ayahnya,
“Bahawa seorang lelaki datang kepada Nabi ﷺ bersama dengan seorang anak lelakinya. Nabi ﷺ bertanya kepada lelaki itu: ‘Adakah engkau menyayanginya?’ Lelaki itu menjawab: ‘Ya Rasulullah,aku mencintai Allah sebagaimana aku menyayanginya’. Kemudian,selepas hari tersebut,baginda tidak melihat lagi anak lelaki itu. Baginda bertanya: ‘Apa yang sedang dilakukan oleh anak si fulan?’ Para sahabat menjawab: ‘Ya Rasulullah,dia telah meninggal dunia’. Nabi ﷺ berkata kepada ayahnya: ‘Adakah engkau suka jika engkau mendatangi pintu syurga,lalu engkau mendapati anakmu sedang menunggumu di sana?’ Seorang sahabat bertanya: ‘Adakah itu kes yang khusus atau ia umum untuk anak kami semua?’ Baginda menjawab: ‘Ia untuk kamu semua’.”
(HR. Ahmad,no.15595. hadith ini sanadnya dinilai 'Sahih' oleh al-Hakim [rujuk: al-Mustadrak] dan Syaikh Syu'aib al-Arnauth [rujuk: semakan beliau kepada Musnad Ahmad])

:: Hadis 6 ::
dari Abu Musa al-Asy'ari,Rasulullah ﷺ bersabda,
“Apabila anak seorang hamba meninggal dunia,Allah berfirman kepada malaikat-Nya: ‘Kamu telah mencabut nyawa anak hamba-Ku?’ Mereka berkata: ‘Ya’. Allah berfirman: ‘Kamu telah mencabut nyawa buah hatinya?’ Mereka menjawab: ‘Ya’. Allah berfirman: ‘Apa yang diucapkan oleh hamba-Ku ketika itu?’ Mereka berkata: ‘Ia memujimu dan mengucapkan istirja’ (innaa lilaahi wa innaa ilaihi rooji’uun)’. Allah berfirman: ‘Binakan untuk hamba-Ku ini satu rumah di syurga dan namakan ia Baitul Hamdi (rumah pujian).”
(HR. at-Tirmidzi,no.1021. Dinilai 'Hasan Gharib' oleh imam at-Tirmidzi)

NOTA:
Hadis ini dinilai 'Dhaif' oleh Syaikh Musthofa al-'Adawi dalam video beliau.

NOTA (2):
Hadis-hadis ini hanya menyebutkan tentang kematian anak kecil yang belum baligh. Sebahagian ulama' mengatakan,hadis² ini juga termasuk bayi yang keguguran. Kata Imam an-Nawawi: “Seorang anak yang meninggal dunia akan menjadi penghalang daripada api neraka,begitu juga anak yang keguguran” (rujuk: al-Majmu' Syarah al-Muhazzab,5/295)

Tuesday, July 5, 2022

Amalan Sedikit Tetapi Istiqamah Lebih Allah Cintai

:: Hadis 1 ::
dari ‘Aisyah,Rasulullah ﷺ bersabda,
“Amalan-amalan yang paling dicintai oleh Allah (yang dilakukan oleh hamba-Nya) ialah yang paling berkekalan sekalipun sedikit.”
(HR. Bukhari,no.6464. Muslim,no.783)

:: Hadis 2 ::
dari ‘Aisyah,dia berkata,
“Bahwa Nabi ﷺ pernah ditanya: ‘Apakah amalan yang paling dicintai Allah?’ Dia menjawab: ‘Yang dikerjakan terus menerus walaupun sedikit’. Kemudian baginda bersabda: ‘Beramallah sesuai dengan kemampuan kamu’.”
(HR. Bukhari,no.6465)

:: Hadis 3 ::
dari ‘Aisyah,Rasulullah ﷺ bersabda,
“..Wahai sekalian manusia,hendaklah kamu beramal mengikut kemampuanmu,kerana Allah tidak akan pernah jemu hingga kamu sendiri yang jemu. Sesungguhnya,amalan yang paling disukai Allah adalah amalan yang dikerjakan secara terus menerus,meskipun sedikit..”
(HR. Muslim,no.782)

Larangan Membunuh Orang Bukan Islam Tanpa Sebab Yang Dibenarkan

:: Hadis 1 ::
dari Abdullah bin ‘Amr,Nabi ﷺ bersabda,
“Sesiapa yang membunuh kafir mu‘ahad (orang kafir yang memeterai perjanjian damai dengan orang Islam),dia tidak akan dapat mencium bau syurga. Padahal bau syurga dapat dicium dari jarak sejauh 40 tahun perjalanan.”
(HR. Bukhari,no.3166)

:: Hadis 2 ::
dari Abdullah bin 'Amru,Rasulullah ﷺ bersabda,
“Sesiapa membunuh ahli dzimmah (orang kafir yang berada dalam perlindungan pemerintahan Islam),maka dia tidak akan mencium bau syurga,padahal bau syurga tersebut dapat dihidu dari jarak 40 tahun perjalanan.”
(HR. Ahmad,no.6457. an-Nasaie,no.4669. dinilai 'Sahih' oleh Syaikh al-Albani [rujuk: Sahih Targhib wa at-Tarhib,no.2452])

Sayangi Penduduk Bumi Nescaya Allah Akan Sayang Kepadamu

:: Hadis 1 ::
dari ‘Abdullah bin ‘Amr,Rasulullah ﷺ bersabda,
“Orang-orang yang penyayang itu akan dikasihi oleh ar-Rahman (Allah yang Maha Penyayang). Kasihilah yang ada di bumi,nescaya kamu akan dikasihi oleh yang di atas langit. Lafaz ar-Rahim (rahim atau kasih sayang) itu diambil dari lafaz ar-Rahman,maka sesiapa yang menyambung tali silaturrahim,nescaya Allah akan menyambungnya (dengan rahmat-Nya) dan sesiapa yang memutus tali silaturrahim,maka Allah akan memutuskannya (dari rahmat-Nya).”
(HR. at-Tirmidzi,no.1924. dinilai 'Hasan Sahih' oleh at-Tirmidzi)

:: Hadis 2 ::
dari ‘Abdullah bin ‘Amr,Nabi ﷺ bersabda,
“Orang penyayang,akan disayangi oleh Ar-Rahman. Sayangilah penduduk bumi,nescaya kamu akan disayangi oleh penduduk di langit.”
(HR. Abu Daud,no.4941. Ahmad,no.6206)

NOTA:
Hadis 1 & 2 ini dinilai 'Dhaif' oleh Syaikh Musthofa al-'Adawi (dalam video beliau),katanya: "sanadnya Dhaif". Akan tetapi,'makna' hadis ini benar. Kerana terdapat hadis sahih yang lain yang 'menguatkan makna' kedua² hadis ini:

:: Hadis 3 ::
dari ‘Abdullah bin ‘Amr,Rasulullah ﷺ bersabda,
“Hendaklah kamu menyayangi,nescaya kamu akan disayangi. Maafkanlah,nescaya kamu dimaafkan. Celakalah kepada Aqma'ul Qoul (orang yang mendengarkan perkataan,namun tidak beramal dengannya),dan celaka bagi orang yang terus-menerus melakukan dosa,padahal dia mengetahuinya”.
(HR. Bukhari [rujuk: al-Adab al-Mufrod,no.380]. Ahmad,no.6541)

:: Hadis 4 ::
dari Jarir bin ‘Abdullah,Rasulullah ﷺ bersabda,
“Siapa yang tidak menyayangi,dia tidak akan disayangi”.
(HR. Bukhari,no.6013)

:: Hadis 5 ::
dari Jarir bin ‘Abdillah,Rasulullah ﷺ bersabda,
“Siapa yang tidak merahmati (mengasihi) manusia yang lain,dia tidak akan dirahmati oleh Allah 'azza wa jalla.”
(HR. Bukhari,no.7376. Muslim,no.2319. Ini lafaz riwayat Muslim)

:: Hadis 6 ::
dari Abu Hurairah,dia berkata,
“Rasulullah ﷺ pernah mencium al-Hasan bin Ali (cucu Nabi ﷺ) sedangkan disisi baginda ada al-Aqra' bin Habis at-Tamimi sedang duduk. Lalu Aqra' berkata: ‘Sesungguhnya aku ada sepuluh orang anak,namun aku tidak pernah mencium mereka walaupun sekali’. Maka Rasulullah ﷺ memandangnya dan bersabda: ‘Barangsiapa tidak menyayangi,maka dia tidak akan disayangi’.”
(HR. Bukhari,no.5997. Muslim,no.2318)

:: Hadis 7 ::
dari Ummu Khalid binti Khalid bin Sa'id,dia berkata,
“Aku mengunjungi Rasulullah ﷺ bersama ayahku,sedangkan aku tengah mengenakan baju berwarna kuning,Rasulullah ﷺ bersabda: ‘Bagus, bagus’. Lalu aku beranjak untuk mempermainkan cincin kenabian baginda,maka ayahku mengherdikku,namun Rasulullah ﷺ bersabda: ‘Biarkanlah ia’. Kemudian baginda bersabda: ‘Pakailah (kain tersebut),semoga panjang umur (tidak cepat rosak) dan pakailah semoga panjang umur dan pakailah semoga panjang umur’.”
(HR. Bukhari,no.5993)

:: Hadis 8 ::
dari Abu Hurairah,Rasulullah ﷺ bersabda,
“Pada suatu masa,ada seorang lelaki sedang berjalan melalui suatu jalan. Lalu dia merasa terlalu dahaga. Kebetulan dia menemukan sebuah sumur,maka dia turun ke sumur itu untuk minum. Setelah keluar dari sumur,dia melihat seekor anjing menjulurkan lidahnya menjilat-jilat tanah kerana dahaga. Orang itu berkata dalam hatinya: ‘Alangkah dahaganya anjing itu,seperti yang baru ku alami tadi’. Lalu dia turun kembali ke sumur,kemudian dia mencedok air dengan kasutnya,dibawanya ke atas dan diminumkannya kepada anjing itu. Maka Allah berterima kasih kepada orang itu (amalnya diterima) dan mengampuni dosanya. Para sahabat bertanya: 'Ya,Rasulullah,adakah bagi kami atas perbuatan terhadap binatang juga ada pahala?’ Jawab baginda: ‘Ya,setiap hati yang basah (bersikap rahmat) ada pahala’.”
(HR. Bukhari,no.2363,6009. Muslim,no.2244)

:: Hadis 9 ::
dari ‘Abdullah bin ‘Amr,Rasulullah ﷺ bersabda,
“Bukanlah dari golongan kami,sesiapa yang tidak mengasihi kanak-kanak dan tidak pula menghormati orang tua di kalangan kami.”
(HR. at-Tirmidzi,no.1920. Dinilai sahih oleh imam at-Tirmidzi pada hadis no.1921)

Monday, January 30, 2017

Rasulullah Mimpi Melihat Nabi Isa & Dajjal

dari ‘Abdullah bin ‘Umar,Rasulullah ﷺ bersabda,
“Ketika aku sedang tidur,aku melihat (di dalam mimpi) bahawa diriku sedang melakukan thawaf di sekitar Ka’bah. Tiba-tiba (aku melihat) seorang lelaki yang berkulit sawo matang,berambut lurus,berada di tengah-tengah antara dua orang lelaki,dalam keadaan rambutnya menitiskan air,lalu aku bertanya: ‘Siapakah dia?’ Mereka menjawab: ‘Anak lelaki kepada Maryam (Nabi ‘Isa).’ Kemudian aku pergi dan aku menoleh,tiba-tiba ada seorang lelaki berkulit kemerah-merahan,bertubuh gemuk,berambut keriting,dan mata kanannya buta seakan-akan matanya itu seperti anggur yang tersembul,(lalu) aku bertanya: ‘Siapakah dia?’ Mereka menjawab: ‘Itu ialah Dajjal’. Manusia yang paling mirip dengannya ialah Ibn Qatan. Dan Ibn Qatan ialah seorang lelaki dari Bani Mus̄thaliq dari puak Khuza‘ah.”
(HR. Bukhari,no.7026. Muslim,no.171)

Orang Beriman Boleh Jadi Penakut, Kedekut (Bakhil), Kecuali Pendusta?

dari S̄ofwan bin Sulaim,dia berkata,
“Rasulullah ﷺ ditanya: ‘Mungkinkah orang mukmin boleh jadi penakut?’ Baginda jawab: ‘Ya’. Kemudian ditanya lagi: ‘Mungkinkah seorang mukmin itu kedekut?’ Baginda jawab: ‘Ya’. Ditanya lagi: ‘Mungkinkah seorang mukmin itu menjadi pendusta?’ Baginda jawab: ‘Tidak mungkin’.”
(HR. Malik,no.1832. al-Baihaqi [rujuk: Syu’ab al-Iman,4812])

NOTA:
hadis ini dinilai 'Dhaif' (lemah: tidak sahih) oleh Ibnu Hajar al-Asqalani (rujuk: Takhrij al-Mishkat al-Masabih,4/389) dan Syaikh al-Albani (rujuk: Dhaif at-Targhib wa al-Tarhib,1752),kerana hadis ini 'mursal' (sanad terputus,dari tabi'in terus diriwayatkan ke atas Nabi tanpa melalui dari mana² Sahabat). Syaikh Musthofa al-'Adawi juga ketika menyebut tentang hadis ini dalam video beliau,beliau mengatakan: "La Yasih (tidak sahih)".

Friday, December 30, 2016

Allah Di Atas Langit (Hadis Jariyah)

:: Hadis 1 ::
dari Mu'awiyah bin al-Hakam as-Sulami,ia berkata,
“...Aku mempunyai seorang Jariyah (hamba wanita) yg tugasnya mengembala kambing biri-biri di sekitar Gunung Uhud dan wilayah Jawaniyah. Suatu hari aku tahu bahawa seekor serigala telah berjaya memangsa seekor kambing biri-biri (yg digembalakannya). Aku adalah manusia biasa. Aku marah dan sedih sebagaimana orang lain yg juga boleh marah dan sedih. Akan tetapi,aku memukul jariyah itu dengan telapak tanganku,hanya sekali pukul. Lalu aku menemui Rasulullah ﷺ,aku merasa hal itu terasa berat,lalu aku bertanya: ‘Ya Rasulullah,apakah aku harus memerdekakannya?’ Rasulullah ﷺ bersabda: ‘Bawa dia ke mari’. Maka aku bawa dia ke hadapan baginda,lalu baginda bertanya kepada jariyahku: ‘Di mana Allah?’ Jariyah itu menjawab: ‘Fiis-samaa' (Di langit)’. Baginda bertanya lagi: ‘Siapa aku?’ Jariyah itu menjawab: ‘Engkau utusan Allah’. Maka Rasulullah ﷺ bersabda: ‘Merdekakan dia! Sesungguhnya dia wanita beriman’. 
(HR. Muslim,no.537. an-Nasaie,no.1218. Abu Daud,no.3282. Ahmad,no.22645)

:: Hadis 2 ::
dari Umar bin al-Hakam,ia berkata,
“Suatu ketika aku mendatangi Rasulullah ﷺ dan berkata: ‘Ya Rasulullah,sesungguhnya hamba wanitaku pernah mengembalakan kambing milikku. Kemudian ketika aku menemuinya,ia telah kehilangan seekor kambing,lalu aku menanyakannya,maka ia menjawab: ‘Kambing itu telah dimakan serigala’. Aku pun menyesali itu terjadi. Dan (kerana) aku adalah anak Adam (manusia),maka ku pukul wajahnya,sedangkan (sementara itu) aku memiliki kewajiban untuk memerdekakan hamba,lalu apakah harus memerdekakannya?’ Setelah itu Rasulullah bertanya kepada hamba wanita itu: ‘Di mana Allah?’ Ia menjawab: ‘Fiis-samaa' (Di langit)’. Baginda kembali bertanya: ‘Siapa aku?’ Ia menjawab: ‘Engkau Rasulullah’. Mendengar itu,Rasulullah ﷺ lantas bersabda: ‘Merdekakanlah dia!’.”
(HR. Malik [rujuk: al-Muwattho',no.1534])

NOTA:
(tentang Umar bin al-Hakam),Menurut Ibnu Abdil Barr,seperti itulah yg diungkapkan oleh Imam Malik,sedangkan menurut semua ulama' hadith,itu hanya sangkaan. Dan nama Umar bin al-Hakam tidak termaktub dalam deretan nama² sahabat. Tapi,yg benar adalah Mu'awiyyah bin al-Hakam. Seperti yg diungkapkan oleh setiap perawi hadith ini,dari Hilal atau perawi lainnya. Mu'awiyah bin al-Hakam adalah sahabat terkenal dan hadith yg diriwayatkannya juga dikenal.

:: Hadis 3 ::
dari Abu Hurairah,ia berkata,
“Seorang lelaki datang kepada Nabi ﷺ dengan membawa seorang hamba wanita hitam,kemudian ia berkata: ‘Wahai Rasulullah,sesungguhnya aku berkewajiban membebaskan hamba mukmin’. Kemudian baginda bersabda: ‘Di mana Allah?’ kemudian ia (hamba itu) mengisyaratkan ke langit dengan jarinya. Kemudian baginda berkata kepadanya: ‘Siapa aku?’ Kemudian dia menunjuk kepada Nabi ﷺ dan ke langit,yang bermaksud engkau adalah utusan Allah. Maka baginda berkata: ‘Bebaskan dia,sesungguhnya dia wanita mukminah (beriman)’.”
(HR. Abu Daud,no.3284. Ahmad,no.7565)

NOTA:
Hadis ini dinilai 'Dhaif' oleh Syaikh al-Albani,kerana di dalam sanadnya terdapat perawi yg bernama al-Mas'udi (Abdurrahman bin Abdullah bin 'Utbah) yg mana dia Dhaif kerana ikhtilath-nya (bercampur hafalannya) (rujuk: ad-Dha'ifah,1/70).

NOTA (2):
Perkataan Fiis-samaa' (di langit) di dalam hadis² ini,'Fii' di situ bukan merujuk kepada 'di dalam' langit,akan tetapi 'Fii' di situ merujuk kepada 'Ala,iaitu 'di atas' langit. Kerana di dalam al-Quran & hadis² Sahih yg lain menerangkan bahawa Allah ﷻ istiwa' (tinggi) di atas 'Arasy-Nya. Sedangkan 'Arasy itu berada di atas langit ke-7,sebagaimana tsabit dari dalil² yg sahih (rujuk & klik: Di Mana 'Arasy Allah?). Kedua,perkataan 'Fii' juga tidak semestinya merujuk kepada 'di dalam',kerana terdapat ayat di dalam al-Quran,Allah menggunakan perkataan 'Fii',akan tetapi 'Fii' di situ merujuk kepada 'di atas',seperti:

:: al-Quran 1 ::
Allah ﷻ berfirman:
وَإِذَا ضَرَبْتُمْ فِى ٱلْأَرْضِ فَلَيْسَ عَلَيْكُمْ جُنَاحٌ أَن تَقْصُرُوا۟ مِنَ ٱلصَّلَوٰةِ إِنْ خِفْتُمْ أَن يَفْتِنَكُمُ ٱلَّذِينَ كَفَرُوٓا۟ ۚ إِنَّ ٱلْكَـٰفِرِينَ كَانُوا۟ لَكُمْ عَدُوًّۭا مُّبِينًۭا
“Dan apabila kamu berjalan (musafir) di bumi,maka kamu tidaklah berdosa mengqasarkan (memendekkan) solat.”
(an-Nisa' [4]: ayat 101)

NOTA:
Di dalam ayat ini,Allah ﷻ menyebut “Wa idzaa Dhorobtum Fiil-Ardhi..” (Dan apabila kamu berjalan di bumi). Allah menggunakan perkataan 'Fii' di dalam ayat ini,akan tetapi ia merujuk kepada 'Ala (di atas),bukan 'di dalam'. Sebab tidak mungkin kita fahami ayat ini dengan maksud 'berjalan di dalam bumi',sudah semestinya kita fahami ayat ini dengan maksud 'berjalan di atas bumi'. Begitu juga ayat al-Quran yg lain seperti:

:: al-Quran 2 ::
Allah ﷻ berfirman:
فَسِيحُوا۟ فِى ٱلْأَرْضِ أَرْبَعَةَ أَشْهُرٍۢ وَٱعْلَمُوٓا۟ أَنَّكُمْ غَيْرُ مُعْجِزِى ٱللَّهِ ۙ وَأَنَّ ٱللَّهَ مُخْزِى ٱلْكَـٰفِرِينَ
“Oleh itu hendaklah kamu (hai kaum musyrik) bergerak di muka bumi (dengan bebasnya) selama empat bulan,dan ketahuilah bahawa kamu tidak terlepas dari (azab seksa) Allah. Dan (ingatlah) sesungguhnya Allah akan menghina orang-orang yang kafir (dengan bala bencana di dunia dan azab seksa di akhirat).”
(Taha [20]: ayat 71)

NOTA:
Dalam ayat ini Allah menyebut “Fasiihu Fiil Ardhi..” (Oleh itu hendaklah kamu bergerak di muka bumi). Begitu juga dengan ayat al-Quran yg lain:

:: al-Quran 3 ::
Allah ﷻ berfirman:
قَالَ ءَامَنتُمْ لَهُۥ قَبْلَ أَنْ ءَاذَنَ لَكُمْ ۖ إِنَّهُۥ لَكَبِيرُكُمُ ٱلَّذِى عَلَّمَكُمُ ٱلسِّحْرَ ۖ فَلَأُقَطِّعَنَّ أَيْدِيَكُمْ وَأَرْجُلَكُم مِّنْ خِلَـٰفٍۢ وَلَأُصَلِّبَنَّكُمْ فِى جُذُوعِ ٱلنَّخْلِ وَلَتَعْلَمُنَّ أَيُّنَآ أَشَدُّ عَذَابًۭا وَأَبْقَىٰ
“Firaun berkata: ‘Patutkah kamu beriman kepada Musa sebelum aku memberi izin kepada kamu? Sesungguhnya dia lah ketua kamu yang mengajar sihir kepada kamu. Oleh itu,demi sesungguhnya,aku akan memotong tangan dan kaki kamu dengan bersilang,dan aku akan memalang kamu pada batang-batang pohon tamar; dan demi sesungguhnya kamu akan mengetahui kelak siapakah di antara kita yang lebih keras azab seksanya dan lebih kekal’.”
(Taha [20]: ayat 71)

NOTA:
Dalam ayat ini,Firaun menyebut “Wa La-Usollibannakum Fii Judzuu'i In-nakhli..” (Dan aku akan memalang kamu pada batang-batang pohon tamar). Dari ayat ini kita dapat fahami bahawa Firaun tidak memalang “di dalam” pokok tamar,akan tetapi “di atas” permukaan pokok tamar.
Wallahua'lam.

Monday, February 22, 2016

Rasulullah Suka Makan Labu

:: Hadis 1 ::
dari Anas bin Malik,dia berkata,
“Seorang tukang jahit menjemput Nabi ﷺ pada jamuan makan yang disediakannya dan aku pergi bersama Nabi ﷺ. Maka dihidang roti gandum dan kuah yang didalamnya mengandungi labu dan daging. Aku melihat Nabi ﷺ mengambil (memilih) labu disekeliling mangkuk. Dan setelah hari itu,aku menyukai labu.”
(HR. Bukhari,no.5436)

:: Hadis 2 ::
dari Anas,dia berkata,
“Aku melihat Nabi ﷺ dihidangkan kuah yang didalamnya terdapat labu dan daging,dan aku melihatnya mengambil (memilih) labu dan memakannya.”
(HR. Bukhari,no.5437)

:: Hadis 3 ::
dari Anas bin Malik,dia berkata,
“Seorang tukang jahit menjemput Rasulullah ﷺ pada jamuan makan yang disediakannya. Maka aku pergi bersama Rasulullah ﷺ ke jamuan makannya. Dihidangkan kepada Rasulullah ﷺ roti gandum,kuah berisi labu dan daging. Aku melihat Rasulullah ﷺ mengambil (memilih) labu disekitar Sahfah (piring besar). Maka aku pun menyukai labu sejak dari hari itu.”
(HR. Bukhari,no.5439)

:: Hadis 4 ::
dari Anas bin Malik,dia berkata,
“Aku melihat Rasulullah ﷺ memilih-milih labu di dalam Sahfah (piring besar). Maka sejak itu aku sentiasa menyukainya (labu).”
(HR. Tirmidzi,no.1850. Dinilai ‘Hasan Sahih’ oleh imam at-Tirmidzi)