Saturday, February 8, 2025

Cara Roh Dicabut

dari al-Barra' bin ‘Adzib,Rasulullah ﷺ bersabda,
“Apabila seorang hamba yang beriman sedang berada di penghujung kehidupannya di dunia dan menghampiri kehidupan akhirat, turunlah kepadanya malaikat-malaikat dari langit dengan wajah yang berseri-seri, seolah-olah wajah mereka seperti matahari. Mereka membawa kain kafan dari kain kafan syurga dan minyak wangi dari minyak wangi syurga. Mereka duduk sejauh mata memandang daripadanya. Kemudian datanglah Malaikat Maut dan duduk di sisi kepalanya lalu berkata: ‘Wahai jiwa yang baik, keluarlah menuju keampunan Allah dan keredaan-Nya’. Maka rohnya keluar dengan mudah seperti titisan air yang mengalir dari mulut bekas air. Apabila Malaikat Maut mengambil rohnya, para malaikat lain tidak membiarkannya di tangannya walau sekelip mata pun. Mereka mengambilnya dan meletakkannya di dalam kain kafan dan minyak wangi tersebut. Roh itu mengeluarkan haruman seharum bau kasturi terbaik yang pernah tercium di muka bumi. Mereka pun membawa roh itu naik ke langit. Setiap kali mereka melintasi para malaikat di setiap langit, para malaikat akan bertanya: ‘Roh yang baik ini milik siapa?’ Mereka menjawab: ‘Ini adalah roh si fulan bin fulan’, dengan menyebut nama terbaik yang pernah digunakan untuknya di dunia. Mereka terus membawanya hingga sampai ke langit dunia, lalu meminta agar pintu langit dibuka, dan pintu itu pun dibuka untuknya. Setiap penghuni langit mengiringinya hingga ke langit seterusnya, sehinggalah sampai ke langit ketujuh. Kemudian Allah Yang Maha Mulia berfirman: ‘Tulislah catatan hamba-Ku ini di dalam kitab ‘Illiyyin (kitab catatan tertinggi), dan kembalikan dia ke bumi. Sesungguhnya daripada tanah Aku menciptakan mereka, ke dalamnya Aku akan mengembalikan mereka, dan daripadanya Aku akan membangkitkan mereka sekali lagi’. Rohnya pun dikembalikan ke jasadnya, lalu datanglah dua malaikat yang mendudukkannya dan bertanya: ‘Siapa Tuhanmu?’ Dia menjawab: ‘Tuhanku ialah Allah’. Mereka bertanya lagi: ‘Apa agamamu?’ Dia menjawab: ‘Agamaku ialah Islam’. Mereka bertanya lagi: ‘Siapakah lelaki yang diutus kepada kamu?’ Dia menjawab: ‘Dia ialah Rasulullah’. Mereka bertanya lagi: ‘Apa pengetahuanmu?’ Dia menjawab: ‘Aku membaca Kitab Allah, lalu aku beriman dan membenarkannya’. Maka terdengarlah suara dari langit yang berkata: ‘Benarlah hamba-Ku. Hamparkan untuknya hamparan dari syurga, pakaikan untuknya pakaian dari syurga, dan bukakan untuknya pintu menuju syurga’. Maka datanglah kepadanya wangian syurga dan kesejukannya, dan dilapangkan kuburnya sejauh mata memandang. Kemudian datanglah seorang lelaki dengan wajah yang indah, pakaian yang cantik, dan haruman yang menyenangkan, lalu berkata: ‘Bergembiralah dengan apa yang menggembirakanmu. Inilah harimu yang telah dijanjikan kepadamu’. Dia bertanya: ‘Siapa kamu? Wajahmu membawa kebaikan’. Lelaki itu menjawab: ‘Aku ialah amal solehmu’. Maka dia pun berkata: ‘Ya Tuhanku, percepatkanlah hari kiamat! Ya Tuhanku, percepatkanlah hari kiamat!’ Dan sesungguhnya apabila seorang hamba yang kafir berada dalam saat perpisahan dari dunia dan menuju akhirat, turunlah kepadanya malaikat-malaikat dari langit yang berwajah hitam, membawa kain kasar (dari neraka). Mereka duduk daripadanya sejauh mata memandang. Kemudian datanglah Malaikat Maut hingga duduk di sisi kepalanya, lalu berkata: ‘Wahai jiwa yang buruk, keluarlah menuju kemurkaan dan kemarahan Allah!’ Maka rohnya bertebaran dalam tubuhnya, lalu dicabut dengan cara yang menyakitkan, seperti mencabut besi berduri dari bulu yang basah. Ketika roh itu diambil, mereka tidak membiarkannya sekejap pun di tangannya sehingga mereka meletakkannya di kain kasar tersebut. Keluar daripadanya bau yang paling busuk seperti bangkai yang paling menjijikkan yang pernah ditemui di muka bumi. Mereka pun naik membawa roh itu. Setiap kali mereka melewati kumpulan malaikat, mereka bertanya: ‘Roh jahat siapakah ini?’ Lalu mereka menjawab: ‘Ini adalah si fulan bin fulan’, dengan nama yang paling buruk yang pernah dipanggil ketika di dunia...”
(HR. Ahmad,no.18534. Abu Daud,no.4754. an-Nasaie,no.2001. Ini lafaz Ahmad)

NOTA:
Hadis ini dinilai sahih oleh Syaikh al-Albani (rujuk: Sahih al-Jami’,1676). Kata Syaikh Syu‘aib al-Arnauth: “Isnadnya sahih” (rujuk: Takhrij Musnad Ahmad,no.18534).

Friday, February 7, 2025

Sebelum Allah Menciptakan Sesuatu

dari ‘Imran bin Husain,dia berkata,
“Aku berada bersama Nabi ﷺ ketika sekumpulan kaum dari Bani Tamim datang. Baginda bersabda: ‘Terimalah berita gembira ini, wahai Bani Tamim’. Mereka menjawab: ‘Engkau telah memberi kami berita gembira, maka berilah kami sesuatu (yang lain)’. Kemudian datang pula beberapa orang dari penduduk Yaman, lalu baginda bersabda: ‘Terimalah berita gembira ini, wahai penduduk Yaman, kerana Bani Tamim tidak menerimanya’. Mereka berkata: ‘Kami menerimanya. Kami datang kepadamu untuk mendalami agama dan bertanya tentang permulaan perkara ini (kejadian alam)’. Baginda bersabda: ‘Allah telah wujud, dan tiada sesuatu pun sebelum-Nya. ‘Arasy-Nya berada di atas air, kemudian Dia menciptakan langit dan bumi, serta menulis segala sesuatu di dalam Kitab (Lauh Mahfuz)’. Kemudian seorang lelaki datang kepadaku dan berkata: ‘Wahai ‘Imran, kejar untamu kerana ia telah hilang!’ Maka aku pun pergi mencarinya. Aku melihat fatamorgana menghalangku daripada mencapainya. Demi Allah, aku berharap kalaulah unta itu benar-benar hilang dan aku tidak perlu bangun meninggalkan majlis itu.” 
(HR. Bukhari,no.3191 & 7418. Dan ini lafaz no.7418)

Monday, February 3, 2025

4 Golongan Yang Akan Diuji Di Akhirat Kelak

dari al-Aswad bin Sari’,Nabi ﷺ bersabda,
“Empat golongan yang akan diuji pada hari kiamat. Seorang pekak yang tidak dapat mendengar sama-sekali, seorang bodoh, seorang tua yang telah nyanyuk (ketika sampai dakwah) dan seorang yang mati dalam tempoh fatrah (ketiadaan nabi). Adapun seorang yang pekak itu akan berkata: ‘Wahai tuhan, ketika Islam sampai, aku tidak dapat mendengar sama-sekali’. Adapun seorang yang bodoh pula akan berkata: ‘Wahai tuhan, ketika Islam sampai, kanak-kanak membaling najis haiwan kepadaku’. Orang tua yang telah nyanyuk pula berkata: ‘Wahai tuhan, ketika Islam sampai kepadaku, aku tidak dapat memahami apa-apa lagi’. Adapun orang yang mati dalam tempoh fatrah pula berkata: ‘Wahai tuhan, tidak datang seorang rasulpun kepadaku’. Maka Allah mengambil perjanjian mereka bahawa mereka akan mentaatinya. Kemudian Allah mengutus utusan kepada mereka yang mengatakan: ‘Masuklah kamu ke dalam neraka’. Demi Allah yang jiwa Muhammad berada di tangan-Nya, sekiranya mereka memasukinya, neraka itu akan menjadi dingin dan keselamatan bagi mereka.”
(HR. Ahmad,no.16301. at-Thabrani,no.841. Ibnu Hibban,no.7357)

NOTA:
Dinilai sahih oleh Syaikh al-Albani (rujuk: Silsilah as-Sahihah,no.1434). Dinilai hasan oleh Syaikh Syu‘aib al-Arnauth (rujuk: Takhrij Musnad Ahmad,no.16301).

Allah Melaknat Peminum Arak Dan Sesiapa Yang Terlibat Dengannya

:: Hadis ::
dari Ibnu ‘Umar,Rasulullah ﷺ bersabda,
“Allah melaknat arak, peminumnya, penuangnya, penjualnya, pembelinya, pemerahnya, orang yang meminta diperahkannya, pembawanya, dan orang yang minta dihantarkan kepadanya.”
(HR. Abu Daud,no.3674. Ibnu Majah,no.3380. Dinilai sahih oleh Syaikh al-Albani [rujuk: Sahih Ibnu Majah,no.2741])

:: al-Quran ::
Allah ﷻ berfirman:
“...Dan hendaklah kamu bertolong-tolongan untuk membuat kebajikan dan bertaqwa, dan janganlah kamu bertolong-tolongan pada melakukan dosa (maksiat) dan pencerobohan. Dan bertaqwalah kepada Allah, kerana sesungguhnya Allah Maha Berat azab seksa-Nya (bagi sesiapa yang melanggar perintah-Nya).”
(al-Maaidah [5]: ayat 2)

Sunday, February 2, 2025

Tidak Sunnah Memberi Tazkirah (Nasihat) Setiap Hari

:: Hadis 1 ::
dari Syaqiq Abi Wail,dia berkata,
“Adalah ‘Abdullah (Ibnu Mas’ud) memberi tazkirah (nasihat) kepada kami semua pada setiap hari khamis, lalu suatu hari ada seorang berkata kepadanya: ‘Wahai Aba ‘Abdirrahman, aku menyukai tazkirahmu, ingin sekali aku kalau tuan dapat memberikan tazkirah kepada kami setiap hari’. Maka Ibnu Mas‘ud menjawab: ‘Sesungguhnya, tiada apa yang menghalang aku dari memberi kamu tazkirah setiap hari kecuali tidak suka kamu semua menjadi jemu dan bosan (akibat mendengar tazkirah setiap hari), sesungguhnya Rasulullah ﷺ mengintai-ngintai waktu dalam hari-hari (1 hari dalam seminggu) untuk memberikan nasihat kepada kami, kerana bimbang kami menjadi jemu dan bosan’.”
(HR. Bukhari,no.70 & 6411. Muslim,no.2821c. Ini lafaz Muslim)

:: Hadis 2 ::
dari Ibnu Mas‘ud,dia berkata,
“Nabi ﷺ memberikan nasihat kepada kami pada hari-hari tertentu, kerana baginda tidak ingin membuat kami jemu.”
(HR. Bukhari,no.68)

Monday, January 27, 2025

Doa Solat Istikharah

dari Jabir,dia berkata,
“Rasulullah ﷺ pernah mengajar kami bagaimana membuat pilihan (beristikharah) dalam setiap urusan sebagaimana baginda mengajarkan kami surah dari al-Quran: ‘Jika seseorang berhasrat untuk melakukan sesuatu, maka hendaklah dia solat 2 rakaat, kemudian berdoa:

اللَّهُمَّ إِنِّي أَسْتَخِيرُكَ بِعِلْمِكَ وَأَسْتَقْدِرُكَ بِقُدْرَتِكَ، وَأَسْأَلُكَ مِنْ فَضْلِكَ الْعَظِيمِ، فَإِنَّكَ تَقْدِرُ وَلاَ أَقْدِرُ، وَتَعْلَمُ وَلاَ أَعْلَمُ، وَأَنْتَ عَلاَّمُ الْغُيُوبِ. اللَّهُمَّ إِنْ كُنْتَ تَعْلَمُ أَنَّ هَذَا الأَمْرَ خَيْرٌ لِي فِي دِينِي وَمَعَاشِي وَعَاقِبَةِ أَمْرِي ـ أَوْ قَالَ عَاجِلِ أَمْرِي وَآجِلِهِ ـ فَاقْدُرْهُ لِي وَيَسِّرْهُ لِي ثُمَّ بَارِكْ لِي فِيهِ، وَإِنْ كُنْتَ تَعْلَمُ أَنَّ هَذَا الأَمْرَ شَرٌّ لِي فِي دِينِي وَمَعَاشِي وَعَاقِبَةِ أَمْرِي ـ أَوْ قَالَ فِي عَاجِلِ أَمْرِي وَآجِلِهِ ـ فَاصْرِفْهُ عَنِّي وَاصْرِفْنِي عَنْهُ، وَاقْدُرْ لِي الْخَيْرَ حَيْثُ كَانَ ثُمَّ أَرْضِنِي بِهِ

Allahumma innii asta-khiiruka bi ‘ilmika, wa astaqdiruka bi qudrotika, wa as-aluka min fadhlikal ‘azhiim. Fa innaka taqdiru walaa aqdir, wa ta’lamu walaa a’lam, wa anta ‘allamul ghuyuub. Allahumma in kunta ta’lamu anna hadzal amro khoirun-lii fii diinii wa ma‘aasyii wa ‘aaqibati amrii (atau: ‘aajili amrii wa aajilih), faqdurhu lii, wa yassirhu lii, tsumma baarikli fiih. Wa in kunta ta’lamu anna hadzal amro syarrun-lii fii diinii wa ma‘aasyii, wa ‘aaqibati amrii (atau: fii ‘aajili amrii aajilih), fas̄rif-hu ‘annii was̄rif-nii ‘anhu, waqdur liil khoiro ẖai-tsu kaana, tsumma rodh-dhinii bih.

(Ya Allah, aku memohon petunjuk daripada-Mu dengan ilmu-Mu, dan aku memohon ketentuan daripada-Mu dengan kekuasaan-Mu, dan aku memohon daripada-Mu akan limpah kurniaan-Mu yang agung. Sesungguhnya Engkau Maha Berkuasa sedangkan aku tidak berkuasa, dan Engkau Maha Mengetahui sedangkan aku tidak mengetahui, dan Engkaulah Yang Maha Mengetahui segala perkara ghaib. Ya Allah, seandainya Engkau mengetahui bahawasanya urusan ini adalah baik bagiku pada agamaku, kehidupanku dan kesudahan urusanku (atau: untuk urusanku di dunia dan akhirat), takdirkanlah ia bagiku dan permudahkanlah serta berkatkanlah bagiku padanya. Dan seandainya Engkau mengetahui bahawa urusan ini mendatangkan keburukan bagiku pada agamaku, kehidupanku dan kesudahan urusanku (atau: untuk urusanku di dunia dan akhirat), maka jauhkanlah ia daripadaku dan jauhkanlah aku daripadanya, dan takdirkanlah kebaikan untukku dalam sebarang keadaan sekalipun, kemudian redhailah aku dengannya),
Seterusnya nyatakanlah hajatnya.”
(HR. Bukhari,no.1166 & 6382)

Sunday, January 26, 2025

Paha Lelaki Bukan Aurat Disisi Minoriti Ulama’

:: Hadis 1 ::
dari Anas bin Malik,dia berkata,
“Rasulullah ﷺ berangkat ke Khaibar untuk berperang. Kami kemudian menunaikan solat Subuh di Khaibar pada awal subuh. Selepas itu, Nabi ﷺ dan Abu Thalhah menaiki kenderaan masing-masing. Aku pula membonceng kenderaan Abu Thalhah. Nabi ﷺ lalu melewati jalan sempit di Khaibar. Ketika itu lututku betul-betul menyentuh paha Nabi ﷺ. Kemudian baginda menyingkap kain izarnya (kain yang menutupi bahagian bawah pinggang) dari pahanya hingga aku melihat putihnya paha Nabi ﷺ. Setelah masuk ke Khaibar, baginda pun mengucapkan: ‘Allahu Akbar, musnahlah Khaibar. Sesungguhnya kami apabila turun dalam kawasan sesuatu kaum, sudah tentu buruklah (nahaslah) hari orang-orang yang tidak mengendahkan amaran yang telah diberikan.’ Baginda mengucapkannya sebanyak 3 kali.” (Perawi berkata): “Orang ramai (penduduk Khaibar) keluar untuk melakukan kerja mereka masing-masing. Apabila menyedari mereka telah dikepung, mereka terus berkata: ‘Muhammad’.” ‘Abd al-Aziz menyebut: Sebahagian rakan-rakan kami (yang turut meriwayatkan hadis daripada Anas) berkata: “Muhammad bersama tenteranya”. Anas berkata: “Kami dapat menakluk Khaibar dengan kekerasan (peperangan). (Setelah kemenangan dicapai), maka dikumpulkanlah orang-orang tawanan. Pada ketika itu datanglah Dihyah al-Kalbi. Dia berkata kepada Nabi ﷺ: ‘Wahai Nabi Allah, berikanlah kepadaku seorang hamba perempuan daripada tawanan ini’. Baginda bersabda: ‘Pergilah dan ambil seorang hamba perempuan’. Dihyah pun mengambil Sofiyyah binti Huyai.  Lalu terus datang seorang lelaki kepada Nabi ﷺ sambil berkata: ‘Wahai Nabi Allah! Engkau telah berikan kepada Dihyah, Sofiyyah binti Huyai. (Dia itu) bangsawan suku Quraizhah dan suku Nadhir. Dia tidak sesuai kecuali untukmu sahaja.’ Maka baginda bersabda: ‘Panggillah Dihyah’. Maka Dihyah pun datang membawanya. Setelah Nabi ﷺ melihatnya, baginda bersabda kepada Dihyah: ‘Ambillah seorang hamba perempuan yang lain daripada kalangan tawanan ini’.” Anas berkata: “Selepas itu, Nabi ﷺ pun memerdekakan Sofiyyah dan mengahwininya. Lalu Tsabit bertanya kepada Anas: ‘Wahai Abu Hamzah (Anas), apakah mas kahwin yang diberikan oleh baginda kepadanya?’ Anas menjawab: ‘Dirinya sendiri sebagai mas kahwin. Baginda telah memerdekakannya dan mengahwininya’. Dalam perjalanan pulang dari Khaibar, Ummu Sulaim telah menghias Sofiyyah untuk Nabi ﷺ. Pada malam harinya, dia menghantarkan Sofiyyah kepada Nabi ﷺ. Maka selesailah malam pengantin Nabi ﷺ. Kemudian, baginda bersabda sambil menghamparkan alas makan daripada kulit: ‘Sesiapa yang ada apa-apa (makanan), bawalah ke mari’. Maka ada yang membawa buah tamar, ada pula yang membawa minyak sapi”. ‘Abd al-‘Aziz berkata: “Aku rasa Anas telah menyebut sawiq (tepung goreng)”. Anas berkata : “Mereka pun menyediakan hais (iaitu campuran tamar, minyak sapi, keju yang diuli dan dicampur tepung goreng) hingga jadilah jamuan makanan untuk walimah Rasulullah ﷺ.”
(HR. Bukhari,no.371)

NOTA:
Ketika imam al-Bukhari meriwayatkan hadis ini, imam al-Bukhari berkata: “Dan hadis Anas (yang bermaksud terbukanya paha Nabi ﷺ) lebih bersandar (kuat hujahnya), manakala hadis Jarhad (yang menyebut paha itu aurat) lebih bersifat berhati-hati sehingga dapat keluar daripada perselisihan mereka”. Dari kenyataan imam al-Bukhari ini, menunjukkan seolah-olah beliau berpendapat bahawa paha lelaki bukan aurat kerana hadis Anas itu lebih kuat berbanding hadis Jarhad disisi beliau. Namun disisi beliau, menutupnya jauh lebih baik kerana ianya keluar daripada perselisihan pendapat.

:: Hadis 2 ::
dari ‘Aisyah,dia berkata,
“Rasulullah ﷺ sedang berbaring di rumahku, dengan paha atau betisnya terdedah. Kemudian Abu Bakar meminta izin untuk masuk, maka baginda mengizinkannya dalam keadaan begitu, lalu mereka berbicara. Kemudian ‘Umar meminta izin untuk masuk, maka baginda juga mengizinkannya dalam keadaan begitu, lalu mereka berbicara. Selepas itu, ‘Ustman meminta izin untuk masuk, maka Rasulullah ﷺ pun duduk dan membetulkan pakaiannya. (Muhammad [perawi] berkata: “Aku tidak menyebut ini berlaku pada hari yang sama”). ‘Ustman masuk dan mereka berbicara. Apabila ‘Ustman keluar, aku (‘Aisyah) bertanya: ‘Abu Bakar masuk, namun engkau tidak segera membetulkan diri dan tidak ambil peduli. Kemudian ‘Umar masuk, dan engkau juga tidak segera membetulkan diri dan tidak ambil peduli. Tetapi apabila ‘Ustman masuk, engkau duduk dan membetulkan pakaianmu’. Baginda menjawab: ‘Tidakkah aku patut merasa malu kepada seorang lelaki yang para malaikat sendiri berasa malu kepadanya?’”
(HR. Muslim,no.2401)

NOTA:
Berdasarkan kedua-dua hadis ini, minoriti para Ulama’ menjadikannya sebagai dalil bahawa paha lelaki bukan aurat. Salah satunya ‘Atho', imam Ahmad bin Hanbal (menurut 1 riwayat), (Muhammad) Ibnu Jarir ath-Thobari, Abu Sa‘id al-Is̄thakhri, Ibnu Hazm, Ibnu Taimiyyah, Syaikh Soleh al-‘Utsaimin dan beberapa ulama’ yang lain. Kata imam Ibnu Hazm: “Isu: Aurat yang wajib ditutup bagi pandangan orang lain dan dalam solat adalah seperti berikut: Bagi lelaki: Auratnya hanyalah kemaluan (zakar) dan lubang dubur sahaja, paha bukanlah aurat. Bagi wanita: Seluruh tubuh badannya adalah aurat, kecuali muka dan kedua-dua tapak tangan. Ini adalah sama sahaja bagi lelaki merdeka, hamba lelaki, wanita merdeka, dan hamba wanita, tiada perbezaan dalam hal ini” (rujuk: al-Muhalla,2/242). Imam Ibnu Qudamah berkata: “Pandangan yang sahih dalam mazhab adalah bahawa aurat lelaki ialah kawasan antara pusat dan lutut. Imam Ahmad menegaskan hal ini dalam riwayat sekumpulan perawi, dan ia juga merupakan pendapat Malik, asy-Syafie, Ashab al-Ra’yi, serta kebanyakan fuqaha. Namun, terdapat riwayat lain daripada Ahmad yang menyatakan bahawa aurat hanyalah kemaluan dan dubur. Mahna berkata: Aku bertanya kepada Ahmad: ‘Apakah aurat itu?’ Beliau menjawab: ‘Kemaluan dan dubur’. Ini juga merupakan pendapat Ibn Abi Dzi'b dan Daud” (rujuk: al-Mughni,2/284). Kata imam Ibnu Taimiyyah: “Jika kita mengatakan menurut salah satu pendapat, yang juga merupakan salah satu riwayat daripada Imam Ahmad, bahawa aurat itu adalah kemaluan (zakar) dan dubur, manakala paha bukan aurat, maka hal ini berkaitan dengan keharusan seseorang lelaki melihat paha, ia tidak berkaitan dengan solat atau thawaf. Maka, tidak dibenarkan seseorang lelaki solat dengan kedua-dua pahanya terdedah, sama ada paha dianggap aurat atau tidak. Begitu juga, tidak dibenarkan melakukan thawaf dalam keadaan telanjang” (rujuk: Majmu’ al-Fatawa,22/116). Kata Syaikh Ibnu al-‘Utsaimin: “Apa yang jelas bagiku ialah paha bukanlah aurat, kecuali jika dikhuatiri bahawa pendedahannya boleh menimbulkan fitnah. Dalam keadaan itu, paha wajib ditutup, seperti paha para pemuda” (rujuk: Majmu’ Fatawa Ibnu ‘Utsaimin,12/265). Terdapat dalam Al-Mausu‘ah al-Fiqhiyyah (32/57): “Para fuqaha berbeza pendapat mengenai status paha lelaki sebagai aurat. Jumhur fuqaha berpendapat bahawa paha lelaki adalah aurat dan wajib ditutup. Namun, terdapat sebahagian ulama, antaranya ‘Atho', Daud, Muhammad bin Jarir, dan Abu Sa‘id al-Is̄thakhri daripada kalangan mazhab Syafi‘i, serta satu riwayat daripada Ahmad, yang berpendapat bahawa paha bukanlah sebahagian daripada aurat”.
Wallahua’lam.

Thursday, January 23, 2025

Kematian Dajjal

dari an-Nawwas bin Sam‘an,Rasulullah ﷺ bersabda,
“...Allah mengutuskan al-Masih Ibn Maryam (Nabi ‘Isa). Baginda akan turun berhampiran menara putih, sebelah timur Dimasq (Syiria) antara mahrudatain, dalam keadaan meletakkan dua telapak tangan baginda di atas sayap dua malaikat. Apabila baginda menundukkan kepala dan mengangkatnya gugur dari baginda Mutiara seperti permata. Tidak akan sampai kepada seorang kafir bau nafas baginda melainkan orang kafir itu akan mati dan bau nafas baginda akan sampai sejauh jarak boleh sampai pandangan baginda. Baginda akan mencari dajjal dan akan mendapatinya di pintu Ludd dan baginda akan membunuh Dajjal di situ...”
(HR. Muslim,no.2937a)

Mengadu Kesusahan Kepada Allah

:: al-Quran ::
Allah ﷻ berfirman:
“(Nabi Yaakub) menjawab: ‘Sesungguhnya aku hanyalah mengadukan kesusahan dan dukacitaku kepada Allah...’.”
(Yusuf [12]: ayat 86)

:: Hadis ::
dari Hudzaifah,dia berkata,
“Nabi ﷺ apabila sesuatu perkara meresahkan baginda, baginda akan mendirikan solat.”
(HR. Abu Daud,no.1319. Ahmad,no.23299. al-Baihaqi [rujuk: Syu‘ab al-Iman,no.2913])

NOTA:
Hadis ini perselisihi kesahihannya di kalangan Ulama’ Hadis. Hadis ini didiamkan oleh imam Abu Daud setelah beliau meriwayatkan hadis ini, menunjukkan bahawa hadis ini Soleh (sahih) disisi beliau. Hadis ini dinilai Hasan oleh imam Ibnu Hajar al-Asqalani (rujuk: Fath al-Bari,3/172), Syaikh al-Albani (rujuk: Sahih Abi Daud,no.1319. Hidayah al-Ruwah,no.1276). Namun hadis ini dinilai Dhaif oleh Syaikh al-Arnauth, kata beliau: “Isnadnya dhaif” (rujuk: Takhrij Musnad Ahmad,no.23299).

Wednesday, January 22, 2025

Hukum Mandi Telanjang

:: Hadis 1 ::
dari Abu Hurairah,Nabi ﷺ bersabda,
“Orang-orang Bani Isra’il dahulu mandi bertelanjang, mereka melihat kepada satu sama lain dan Nabi Musa ‘alaihissalam mandi seorang diri’. Maka mereka berkata: ‘Demi Allah, tiada yang menegah Musa mandi bersama melainkan kerana buruk zakarnya’. Pernah sekali Musa pergi untuk mandi lalu meletakkan pakaiannya di atas batu. Maka batu itu lari membawa pakaiannya. Musa terus keluar (dari tempat mandinya) mengejar batu itu sambil berkata: ‘Pakaianku wahai batu!’ Sehingga orang-orang Bani Isra‘il melihat kepada Musa. Pada ketika itu barulah mereka berkata: ‘Tidak ada apa-apa kekurangan pun pada Musa’. Musa mengambil pakaiannya dan memukul batu itu’.” Abu Hurairah berkata: “Demi Allah sesungguhnya ada enam atau tujuh kesan pukulan di atas batu itu.”
(HR. Bukhari,no.278. Muslim,no.339)

:: Hadis 2 ::
dari Abu Hurairah,Nabi ﷺ bersabda,
“Ketika (Nabi) Ayyub sedang mandi dalam keadaan telanjang, tiba-tiba jatuh ke atasnya sekumpulan belalang emas. (Nabi) Ayyub mengambilnya lalu meletakkan pada kainnya. Lalu Tuhannya memanggilnya: ‘Wahai Ayyub, bukankah Aku telah mencukupkanmu sehingga kamu tidak lagi perlukan kepada apa yang engkau lihat?’ (Nabi) Ayyub berkata: ‘Benar wahai Tuhan, tetapi tidak ada kecukupan bagiku terhadap keberkatan-Mu’.”
(HR. Bukhari,no.279 & 3391)

NOTA:
Imam al-Bukhari meletakkan hadis-hadis ini dibawah tajuk bab: باب من اغتسل عريانا وحده في الخلوة ومن تستر فالستر أفضل (Orang yang Mandi Berseorangan dalam Keadaan Bersendirian, dan Orang yang Menutup Aurat, Maka Menutup Aurat adalah Lebih Baik), menunjukkan bahawa dibolehkan seseorang mandi telanjang ketika sendirian dan selamat dari pandangan orang lain. Imam al-Nawawi juga berpendapat bahawa boleh mandi telanjang jika memerlukan dan dalam keadaan selamat dari pandangan orang lain, kata beliau: “Kami telah sebutkan dalam bab sebelumnya bahawa dibolehkan untuk membuka aurat ketika ada keperluan di tempat yang terpencil, seperti ketika mandi, buang air, bersama pasangan, dan perkara-perkara lain yang serupa. Semua ini dibolehkan untuk membuka aurat dalam keadaan bersendirian. Namun, jika di hadapan orang lain, adalah haram untuk membuka aurat dalam semua keadaan tersebut. Para ulama berkata: ‘Menutup aurat dengan kain atau seumpamanya ketika mandi secara bersendirian adalah lebih baik daripada membuka aurat. Tetapi, membuka aurat dibolehkan selama mana diperlukan untuk mandi atau seumpamanya. Adapun membuka aurat melebihi keperluan adalah haram menurut pendapat yang lebih sahih...” (rujuk: Syarh Sahih Muslim,4/32).

Tuesday, January 21, 2025

Mukjizat Nabi Muhammad

:: al-Quran ::
Allah ﷻ berfirman:
“Telah hampir saat (kedatangan hari kiamat) dan terbelahlah bulan. Dan kalau mereka (kaum musyrik Mekah) melihat sesuatu mukjizat, mereka berpaling ingkar sambil berkata: (Ini ialah) sihir yang terus menerus berlaku.”
(al-Qamar [54]: ayat 1 - 2)

:: Hadis 1 ::
dari Ibnu Mas‘ud,dia berkata,
“Bulan terbelah pada zaman Rasulullah ﷺ menjadi dua belahan. Satu belahan di atas gunung dan satu belahan lagi dibawah gunung. Lalu Rasulullah ﷺ bersabda: ‘Saksikanlah’.”
(HR. Bukhari,no.4864. Muslim,no.2800b)

:: Hadis 2 ::
dari Abu Hurairah,dia berkata,
“Demi Allah yang tiada tuhan (yang berhak disembah) melainkan Dia, sesungguhnya aku benar-banar meletakkan perutku ke tanah kerana kelaparan, dan aku pernah mengikat batu di perutku kerana kelaparan. Suatu hari, aku duduk di jalan yang biasa orang ramai melaluinya. Tidak lama selepas itu Abu Bakar pun melintasi aku, dan aku bertanya kepadanya tentang satu ayat dari Kitab Allah, padahal aku bertanya kepadanya hanya agar dia memberiku makanan, tetapi dia berlalu tanpa melakukannya. Kemudian, ‘Umar pula lalu, dan aku bertanya kepadanya tentang satu ayat dari Kitab Allah, tetapi dia juga berlalu tanpa melakukan apa yang aku harapkan. Kemudian Rasulullah ﷺ melintas, dan baginda tersenyum melihatku. Baginda mengetahui apa yang ada dalam hatiku dan apa yang baginda lihat dari wajahku, lalu baginda berkata: ‘Wahai Abu Hurairah’, Aku menjawab: ‘Aku sahut panggilanmu, wahai Rasulullah’. Baginda berkata: ‘Ikutlah aku’. Baginda terus berlalu dan aku mengikutinya hingga baginda masuk ke rumah. Setelah masuk, baginda mendapati ada semangkuk susu. Baginda bertanya: ‘Dari mana datangnya susu ini?’ Isteri baginda menjawab: ‘Hadiah seseorang kepadamu’. Lalu baginda berkata: ‘Wahai Abu Hurairah!’ Aku menjawab: ‘Aku sahut seruanmu, wahai Rasulullah!’ Baginda berkata: ‘Pergi dan panggilkan ahli Suffah ke sini’. Ahli Suffah adalah para tamu umat Islam di Madinah, mereka tidak mempunyai tempat tinggal tetap dan tidak memiliki harta. Jika ada sedekah, Rasulullah ﷺ memberikannya kepada mereka, dan baginda tidak mengambilnya. Tetapi jika ada hadiah, baginda mengirimkan kepada mereka dan turut berkongsi dengan mereka. (Abu Hurairah menyambung) Perintah baginda ﷺ itu menjadikan aku sedih, aku berkata di dalam hatiku: ‘Apakah kaitan sedikit susu yang ada ini dengan Ahli Suffah? aku lebih memerlukannya barang seteguk untuk menambahkan kekuatan. Apabila ahli Suffah datang pasti aku yang akan menyerahkan susu ini kepada mereka, barangkali sahaja tiada bahagian lagi untukku’. Namun, aku tidak boleh mengelak daripada mematuhi perintah Allah dan Rasul-Nya. Lalu aku pergi dan memanggil Ahli Suffah. Mereka semua datang dan mengambil tempat di dalam rumah. Rasulullah ﷺ berkata: ‘Wahai Abu Hurairah!’ Aku menjawab: ‘Aku sahut seruan mu, wahai Rasulullah’. Baginda bersabda: ‘Berikan susu ini kepada mereka’. Aku pun mula memberikan susu kepada setiap orang, dan setiap mereka minum hingga kenyang. Setiap orang daripada mereka akan mengembalikan semula mangkuk itu kepadaku. Sehinggalah orang terakhir daripada mereka menyerahkan semua mangkuk itu kepadaku. Aku memberikan kembali mangkuk itu kepada Rasulullah ﷺ. Baginda memegang mangkuk, memandangku dan tersenyum. Lalu baginda bersabda: ‘Wahai Abu Hurairah’. Aku menjawab: ‘Aku sahut seruanmu, wahai Rasulullah’. Baginda berkata: ‘Tinggal aku dan kamu sahaja’. Aku berkata: ‘Benar, wahai Rasulullah’. Baginda berkata: ‘Duduklah dan minumlah’. Aku pun duduk dan minum. Baginda terus berkata: ‘Minumlah lagi wahai Abu Hurairah’. Aku terus minum hingga aku berkata: ‘Demi Allah yang mengutusmu dengan kebenaran, aku sudah tidak mampu minum lagi’. Baginda pun mengambil mangkuk tersebut, memuji Allah dan menyebut nama-Nya, lalu baginda meminum baki susu yang ada.”
(HR. Bukhari,no.6452)

:: Hadis 3 ::
dari Salim bin Abu al-Ja’d,Jabir bin ‘Abdullah berkata,
“Pada hari Hudaibiyah, orang ramai berasa begitu dahaga. Manakala di hadapan Nabi ﷺ terdapat sebuah bekas yang diperbuat daripada kulit. Baginda berwudhu’ dan orang ramai bergegas menghampirinya. Baginda bertanya: ‘Ada apa dengan kamu?’ Mereka berkata: ‘Kami tidak memiliki air untuk berwudhu’ mahupun minum, kecuali apa yang berada di hadapanmu’. Baginda meletakkan tangannya di dalam bekas itu. Maka air pun keluar membuak-buak antara jari-jari tangannya, seperti mata air. Kami pun minum dan berwudhu’. Aku (Salim bin Abu al-Ja‘d) bertanya: ‘Berapa jumlah kamu?’ Jabir menjawab: ‘Sekiranya kami berjumlah 100 ribu orang, nescaya akan cukup bagi kami. Ketika itu kami seramai 1,500 orang’.”
(HR. Bukhari,no.3576. Muslim,no.1856)

:: Hadis 4 ::
dari Anas bin Malik,dia berkata,
“Aku melihat Rasulullah ﷺ, ketika waktu solat Asar telah masuk. Lalu air untuk berwudhu’ dicari, tetapi mereka tidak menjumpainya. Lalu didatangkan kepada Rasulullah ﷺ air untuk wudhu’. Maka Rasulullah ﷺ meletakkan tangannya ke dalam bekas tersebut. Lalu baginda memerintahkan orang ramai untuk berwudhu’ daripadanya. Aku melihat air keluar dari bawah jari-jari baginda. Orang-ramai pun berwudhu’ sehingga kepada orang yang terakhir dari kalangan mereka.”
(HR. Bukhari,no.3573. Muslim,no.2279)

Doa Agar Diberi Petunjuk Dan Ketaqwaan

dari Ibnu Mas‘ud,dia berkata,
“Bahawa Nabi ﷺ biasa membaca doa,
اللَّهُمَّ إِنِّي أَسْأَلُكَ الْهُدَى ، وَالتُّقَى ، وَالْعَفَافَ ، وَالْغِنَى
Allahumma innii As-alukal Hudaa, Wattuqoo, Wal-‘Afaafa, Wal Ghinaa
(Ya Allah, sesungguhnya aku memohon kepada-Mu petunjuk, ketaqwaan, sifat ‘iffah [menjauhkan dan menahan diri dari perkara yang diharamkan] dan kekayaan).”
(HR. Muslim,no.2721. at-Tirmidzi,no.3489. Ibn Majah,no.3105. Ahmad,no.3950. dan Ibn Hibban,no.900)

Orang Yang Dekat Dengan Rasulullah Di Akhirat Kelak

:: al-Quran ::
Allah ﷻ berfirman:
“Dan sesiapa yang taat kepada Allah dan Rasul-Nya, maka mereka akan (ditempatkan di syurga) bersama-sama orang-orang yang telah dikurniakan nikmat oleh Allah kepada mereka, iaitu Nabi-nabi, dan orang-orang Siddiqiin, dan orang-orang yang Syahid, serta orang-orang yang soleh. Dan amatlah eloknya mereka itu menjadi teman rakan (kepada orang-orang yang taat).”
(al-Nisa’ [4]: ayat 69)

:: Hadis 1 ::
dari Jabir,Rasulullah ﷺ bersabda,
“Sesungguhnya, orang yang paling aku cintai di kalangan kamu dan paling dekat denganku pada hari kiamat adalah mereka yang paling baik akhlaknya. Dan sesungguhnya orang yang paling aku benci dan paling jauh kedudukannya daripadaku pada hari Kiamat ialah Tsartsarun, Mutasyaddiqun dan Mutafaihiqun”. Para sahabat bertanya: “Wahai Rasulullah, kami sudah tahu siapa itu Tsartsarun dan Mutasyaddiqun. Tetapi siapakah Mutafaihiqun?” Baginda menjawab: “orang yang sombong bicaranya.”
(HR. at-Tirmidzi,no.2018. Dinilai hasan gharib oleh imam at-Tirmidzi)

NOTA:
Ustaz Dr.Kamilin Jamilin menjelaskan, bahawa maksud “Tsatsarun”: iaitu golongan yang sembang kencang atau cakap berjela-jela yang tidak berfaedah. Mereka ini biasanya suka mencelah percakapan orang lain dan gemar menguasai perbualan tanpa memberi ruang kepada orang lain bercakap. “Mutasyaddiqun”: iaitu golongan yang suka bercakap dengan gaya yang merendahkan atau meremehkan orang lain. “Mutafaihiqun”: iaitu golongan yang bila bercakap, suka cerita tentang dirinya sahaja untuk tonjolkan dirinya lebih dari orang lain (rujuk: Facebook).

:: Hadis 2 ::
dari Rabi‘ah bin Ka‘ab,dia berkata,
“Aku pernah bermalam bersama Rasulullah ﷺ, lalu aku datang kepadanya dalam keadaan berwudhu’ dan membawa hajatnya, lalu baginda berkata kepadaku: ‘Mintalah’. Lalu aku berkata: ‘Aku meminta agar dapat mendampingi kamu di syurga’. Baginda berkata: ‘Adakah selain dari itu?’ Aku katakan: ‘Itu sahaja’. Baginda bersabda: ‘Bantulah aku untuk mewujudkan keinginanmu dengan banyak melakukan sujud (solat sunat)’.”
(HR. Muslim,no.489)

:: Hadis 3 ::
dari ‘Abdullah bin Mas‘ud,dia berkata,
“Seorang lelaki datang kepada Rasulullah ﷺ dan berkata: ‘Wahai Rasulullah, apa pendapat kamu tentang seorang lelaki yang mencintai suatu kaum, sedangkan dia tidak mampu menyusul amalan dan kelebihan mereka?’ Maka Rasulullah ﷺ bersabda: ‘Seseorang itu akan bersama orang yang dia cintai’.”
(HR. Bukhari,no.6169)

:: Hadis 4 ::
dari Abu Musa,dia berkata,
“Dikatakan kepada Nabi ﷺ: ‘Seorang lelaki mencintai suatu kaum, sedangkan dia tidak mampu menyusul amalan dan kelebihan mereka’. Baginda bersabda: ‘Seseorang itu akan bersama orang yang dia cintai’.”
(HR. Bukhari,no.6170)

:: Hadis 5 ::
dari Anas bin Malik,dia berkata,
“Bahawa seorang lelaki bertanya kepada Nabi ﷺ: ‘Bilakah hari kiamat wahai Rasulullah?’ Baginda bersabda: ‘Apa yang kamu persiapkan untuknya?’ Dia berkata: ‘Aku tidak mempersiapkan untuknya dengan banyak bersolat, puasa, dan sedekah, tetapi aku mencintai Allah dan Rasul-Nya’. Baginda bersabda: ‘Kamu akan bersama orang yang kamu cintai’.”
(HR. Bukhari,no.6171)

Monday, January 20, 2025

Melambatkan Berbuka Puasa Itu Menyelisihi Sunnah

dari Sahl bin Sa‘ad,Rasulullah ﷺ bersabda,
“Manusia akan sentiasa berada dalam kebaikan selama mana mereka menyegerakan berbuka puasa.”
(HR. Bukhari,no.1957. Muslim,no.1098)

NOTA:
Imam asy-Syafi‘i berkata: “Aku suka menyegerakan berbuka puasa dan melewatkan sahur, mengikut sunnah Rasulullah ﷺ” (rujuk: Mukhtas̄ar al-Muzani,8/153). Imam an-Nawawi berkata: “ Terdapat galakan untuk menyegerakan berbuka puasa setelah yakin matahari telah terbenam. Maksudnya, urusan umat akan tetap teratur dan mereka berada dalam kebaikan selagi mereka menjaga sunnah ini. Namun, jika mereka melewatkannya, itu menjadi tanda kerosakan yang akan menimpa mereka” (rujuk: Syarh Sahih Muslim,7/208).

Jika Berlaku Bencana Di Suatu Tempat, Adakah Azab Atau Ujian?

dari ‘Aisyah,Rasulullah ﷺ bersabda,
“...(Tho‘un) merupakan azab yang Allah utuskan kepada sesiapa yang Dia kehendaki, lalu Allah jadikannya sebagai rahmat untuk orang-orang beriman.”
(HR. Bukhari,no.5734 & 6619)

NOTA:
Berdasarkan hadis ini, apa-apa bentuk bencana di suatu tempat, boleh menjadi azab atau ujian dan rahmat bagi sesiapa yang Allah kehendaki. Sebagai contoh, jika di suatu tempat yang penduduknya kafir yang memerangi orang Islam, namun di tempat tersebut ada orang-orang beriman, maka jika di tempat tersebut di timpa bencana, maka ia azab bagi orang kafir tersebut, namun menjadi rahmat (kerana diberi pahala dan diampunkan sebahagian dosa jika mereka bersabar) bagi orang-orang beriman, sebagaimana dalam al-Quran:

:: al-Quran ::
Allah ﷻ berfirman:
“...Mereka merasa sakit sebagaimana kamu merasa sakit, tetapi kamu mengharapkan sesuatu daripada Allah yang mereka tidak harapkan.”
(an-Nisa’ [4]: ayat 104)