:: al-Quran ::
Allah ﷻ berfirman:
“Dan sesiapa yang taat kepada Allah dan Rasul-Nya, maka mereka akan (ditempatkan di syurga) bersama-sama orang-orang yang telah dikurniakan nikmat oleh Allah kepada mereka, iaitu Nabi-nabi, dan orang-orang Siddiqiin, dan orang-orang yang Syahid, serta orang-orang yang soleh. Dan amatlah eloknya mereka itu menjadi teman rakan (kepada orang-orang yang taat).”
(al-Nisa’ [4]: ayat 69)
:: Hadis 1 ::
dari Jabir,Rasulullah ﷺ bersabda,
“Sesungguhnya, orang yang paling aku cintai di kalangan kamu dan paling dekat denganku pada hari kiamat adalah mereka yang paling baik akhlaknya. Dan sesungguhnya orang yang paling aku benci dan paling jauh kedudukannya daripadaku pada hari Kiamat ialah Tsartsarun, Mutasyaddiqun dan Mutafaihiqun”. Para sahabat bertanya: “Wahai Rasulullah, kami sudah tahu siapa itu Tsartsarun dan Mutasyaddiqun. Tetapi siapakah Mutafaihiqun?” Baginda menjawab: “orang yang sombong bicaranya.”
(HR. at-Tirmidzi,no.2018. Dinilai hasan gharib oleh imam at-Tirmidzi)
NOTA:
Ustaz Dr.Kamilin Jamilin menjelaskan, bahawa maksud “Tsatsarun”: iaitu golongan yang sembang kencang atau cakap berjela-jela yang tidak berfaedah. Mereka ini biasanya suka mencelah percakapan orang lain dan gemar menguasai perbualan tanpa memberi ruang kepada orang lain bercakap. “Mutasyaddiqun”: iaitu golongan yang suka bercakap dengan gaya yang merendahkan atau meremehkan orang lain. “Mutafaihiqun”: iaitu golongan yang bila bercakap, suka cerita tentang dirinya sahaja untuk tonjolkan dirinya lebih dari orang lain (rujuk: Facebook).
:: Hadis 2 ::
dari Rabi‘ah bin Ka‘ab,dia berkata,
“Aku pernah bermalam bersama Rasulullah ﷺ, lalu aku datang kepadanya dalam keadaan berwudhu’ dan membawa hajatnya, lalu baginda berkata kepadaku: ‘Mintalah’. Lalu aku berkata: ‘Aku meminta agar dapat mendampingi kamu di syurga’. Baginda berkata: ‘Adakah selain dari itu?’ Aku katakan: ‘Itu sahaja’. Baginda bersabda: ‘Bantulah aku untuk mewujudkan keinginanmu dengan banyak melakukan sujud (solat sunat)’.”
(HR. Muslim,no.489)
:: Hadis 3 ::
dari ‘Abdullah bin Mas‘ud,dia berkata,
“Seorang lelaki datang kepada Rasulullah ﷺ dan berkata: ‘Wahai Rasulullah, apa pendapat kamu tentang seorang lelaki yang mencintai suatu kaum, sedangkan dia tidak mampu menyusul amalan dan kelebihan mereka?’ Maka Rasulullah ﷺ bersabda: ‘Seseorang itu akan bersama orang yang dia cintai’.”
(HR. Bukhari,no.6169)
:: Hadis 4 ::
dari Abu Musa,dia berkata,
“Dikatakan kepada Nabi ﷺ: ‘Seorang lelaki mencintai suatu kaum, sedangkan dia tidak mampu menyusul amalan dan kelebihan mereka’. Baginda bersabda: ’Seseorang itu akan bersama orang yang dia cintai’.”
(HR. Bukhari,no.6170)
:: Hadis 5 ::
dari Anas bin Malik,dia berkata,
“Bahawa seorang lelaki bertanya kepada Nabi ﷺ: ‘Bilakah hari kiamat wahai Rasulullah?’ Baginda bersabda: ‘Apa yang kamu persiapkan untuknya?’ Dia berkata: ‘Aku tidak mempersiapkan untuknya dengan banyak bersolat, puasa, dan sedekah, tetapi aku mencintai Allah dan Rasul-Nya’. Baginda bersabda: ‘Kamu akan bersama orang yang kamu cintai’.”
(HR. Bukhari,no.6171)
No comments:
Post a Comment