Monday, November 18, 2024

Sunnah Ketika Hujan Dan Dalil Berkaitan Dengannya

● DOA KETIKA HUJAN BARU TURUN ●

dari ‘Aisyah,dia berkata,
“Rasulullah ﷺ apabila melihat hujan, baginda berdoa: 
اللَّهُمَّ صَيِّبًا نَافِعًا
Allahumma Soyyiban Nafi‘aa
(Ya Allah, cucurilah kami dengan hujan yang bermanfaat).”
(HR. Bukhari,no.1032)


● SUNNAH MENGENAKAN AIR HUJAN PADA TUBUH ●

dari Anas bin Malik,dia berkata,
‘’Hujan turun dan kami pada ketika itu bersama dengan Rasulullah ﷺ. Lalu Rasulullah ﷺ menyelak baju baginda sehinggalah hujan menimpa badan baginda. Kemudian kami bertanya: ‘Wahai Rasulullah, mengapakah engkau melakukan ini?’ Maka jawab baginda: ‘Kerana ia baru sahaja datang (turun) dari Tuhannya yang Maha Tinggi’.”
(HR. Muslim,no.898)

NOTA:
Imam an-Nawawi berkata: “Hadis ini bermaksud, hujan adalah rahmat, ia merupakan ciptaan Allah Ta‘ala yang baru sahaja diciptakan, maka baginda bertabarruk (ambil berkat) dengannya. Hadis ini merupakan dalil kepada pendapat ulama kami (mazhab Syafi‘i) bahawa digalakkan untuk menyingkap (tubuh) yang bukan aurat pada awal turunnya hujan, agar air hujan dapat kena padanya. Hadis ini jua menunjukkan apabila seseorang melihat orang yang lebih mulia/alim melakukan sesuatu, sedangkan dia tidak mengetahuinya, maka hendaklah orang itu bertanya kepada orang yang lebih mulia tadi agar dapat mengamalkannya, dan mengajarkan orang lain” (rujuk: Syarah Sahih Muslim,6/195)


● AIR HUJAN ADALAH AIR YANG BERKAT ●

:: al-Quran 1 ::
Allah ﷻ berfirman:
“Dan juga Kami telah menurunkan dari langit air (hujan) yang berkat (banyak faedahnya), lalu Kami tumbuhkan dengan air itu pokok-pokok tanaman (buah-buahan) dan biji-bijian yang dituai.”
(Qaaf [50]: ayat 9)

:: al-Quran 2 ::
Allah ﷻ berfirman:
“(Ingatlah) ketika kamu diliputi perasaan mengantuk sebagai satu (pemberian) aman dari Allah (untuk menghapuskan kecemasan kamu). Dan (ingatlah ketika) Ia menurunkan kepada kamu hujan dari langit untuk mensucikan kamu dengannya dan menghapuskan dari kamu gangguan Syaitan, dan juga untuk menguatkan hati kamu dan menetapkan dengannya tapak pendirian (kamu di medan perjuangan).”
(al-Anfaal [8]: ayat 11)


● DOA JIKA HUJAN TERLALU LEBAT DAN DIBIMBANGI BANJIR TERUK ●

dari Anas,dia berkata,
“...Tiba-tiba muncul dari arah belakangnya awan mendung seperti perisai. Ketika awan tersebut berada di tengah langit, maka ia melebar. Kemudian turunlah hujan. Dan tidak, demi Allah, kami tidak melihat matahari selama seminggu. Kemudian ada seorang lelaki masuk (ke dalam masjid) melalui pintu yang sama pada Jumaat berikutnya, sedangkan Rasulullah ﷺ sedang berdiri menyampaikan khutbah. Lalu dia menghadap ke arah baginda sambil berdiri dan berkata: ‘Wahai Rasulullah, telah binasa harta benda dan perjalanan juga terputus (tidak dapat diteruskan). Oleh itu, berdoalah kepada Allah agar Dia menahannya (hujan yang turun berlebihan itu) daripada kami.’
Lalu Rasulullah mengangkat kedua tangan baginda, kemudian berdoa: 
اللَّهُمَّ حَوَالَيْنَا وَلاَ عَلَيْنَا، اللَّهُمَّ عَلَى الآكَامِ وَالظِّرَابِ، وَبُطُونِ الأَوْدِيَةِ، وَمَنَابِتِ الشَّجَرِ
Allahumma H̱awaalainaa Walaa ‘Alaina. Allahumma ‘Alal Aakaami Wazh-Zhirob, Wa Buthunil Awdiyyah, Wa Manaa-bitisy Syajar
(Ya Allah, turunkanlah hujan di sekitar kami dan tidak di atas kami. Ya Allah turunkan hujan di atas bukit-bukit yang tinggi, bukit-bukit yang mendatar, dasar-dasar lembah, dan tempat tumbuhnya pepohon).
Setelah itu, hujan pun berhenti dan kami keluar (dari masjid) berjalan di bawah sinar matahari.”
(HR. Bukhari,no.1014. Muslim,no.897)

Wednesday, November 13, 2024

Doa Perlindungan Dari Fitnah Dajjal

dari Abu Hurairah,Rasulullah ﷺ bersabda,
“Apabila kamu selesai daripada membaca tasyahhud akhir, maka berlindunglah dengan Allah daripada empat perkara, dengan berdoa:
اللَّهُمَّ إِنِّي أَعُوذُ بِكَ مِنْ عَذَابِ جَهَنَّمَ وَمِنْ عَذَابِ الْقَبْرِ وَمِنْ فِتْنَةِ الْمَحْيَا وَالْمَمَاتِ وَمِنْ شَرِّ فِتْنَةِ الْمَسِيحِ الدَّجَّالِ 
Allahumma inni A‘udzubika Min ‘Adzabi Jahannam, Wa Min ‘Adzabil Qabr, Wa Min Fitnatil Maẖyaa Wal Mamaat, Wa Min Syarri Fitnatil Masiẖid Dajjal
(Ya Allah, sesungguhnya aku berlindung dengan-Mu daripada azab Neraka Jahannam, daripada azab kubur, fitnah kehidupan dan kematian dan daripada kejahatan fitnah al-Masih al-Dajjal).”
(HR. Muslim,no.588)

Tuesday, November 5, 2024

Bukan Islam Masuk Masjid

:: Hadis 1 ::
dari Abu Hurairah,dia berkata,
“Rasulullah ﷺ menghantar seorang berkuda di arah Najd, maka terlihat seorang lelaki dari Bani Hanfiah (sedang mengintip) yang bernama Tsumamah bin Utsal, lalu diikatnya di satu tiang dari tiang-tiang masjid.”
(HR. Bukhari,no.469. an-Nasaie,no.712)

:: Hadis 2 ::
dari Abu Hurairah,dia berkata,
“Nabi ﷺ menghantar pasukan berkuda ke Najd. Lalu mereka datang membawa seorang lelaki daripada bani Hanifah, iaitu Tsumamah bin Utsal. Mereka mengikatnya pada salah satu tiang masjid. Nabi ﷺ keluar dan pergi kepadanya dan bersabda: ‘Apa yang ada padamu wahai Tsumamah?’ Dia berkata: ‘Padaku kebaikan wahai Muhammad. Jika engkau membunuhku maka engkau membunuh orang yang terpelihara darahnya dan jika engkau memberi nikmat maka engkau memberi nikmat pada orang yang bersyukur dan jika engkau menginginkan harta maka mintalah daripadanya apa yang engkau sukai’. Nabi ﷺ meninggalkannya sehingga keesokan harinya, kemudian baginda bertanya kepadanya: ‘Apa yang ada padamu wahai Tsumamah?’ Dia menjawab: ‘Apa yang telah aku katakan kepadamu. Jika engkau memberi nikmat, maka engkau memberi nikmat kepada orang yang bersyukur’. Nabi ﷺ meninggalkannya sehingga keesokan harinya, kemudian baginda bertanya kepadanya: ‘Apa yang ada padamu wahai Tsumamah?’ Dia menjawab: ‘Padaku apa yang telah aku katakan kepadamu’. Baginda bersabda: ‘Bebaskanlah Tsumamah’. Dia pergi ke kebun yang dekat dengan masjid dan mandi, kemudian dia masuk masjid. Lalu berkata: ‘Aku bersaksi bahawa tidak ada yang layak disembah melainkan Allah dan Muhammad ialah Rasulullah. Wahai Muhammad, demi Allah tidak ada di atas bumi ini satu wajah yang lebih aku benci daripada wajahmu dan sekarang wajahmu menjadi yang paling aku cintai. Demi Allah, tidak ada agama yang lebih aku benci daripada agamamu dan sekarang agamamu menjadi yang paling aku cintai. Demi Allah, tidak ada negeri yang paling aku benci daripada negerimu dan sekarang negerimu menjadi yang paling aku cintai. Sesungguhnya pasukan berkuda yang engkau utuskan telah mengambilku dalam keadaan aku hendak mengerjakan umrah, maka apakah pendapatmu?’ Rasulullah ﷺ memberi khabar gembira kepadanya dan memerintahkannya untuk melaksanakan umrah. Ketika dia datang ke Makkah, maka seseorang berkata kepadanya: ‘Engkau telah menukar agama’. Dia berkata: ‘Tidak, tetapi aku masuk Islam bersama Muhammad ﷺ. Demi Allah, tidak akan datang sebiji kurma atau sya’ir dari Yamamah kepada kalian sehingga Nabi ﷺ mengizinkan’.”
(HR. Bukhari,no.4372. Muslim,no.1764)

NOTA:
Dari hadis ini dapat difahami bahawa orang bukan Islam boleh memasuki masjid, kerana Rasulullah ﷺ mengikat Tsumamah bin Utsal di tiang masjid, walhal Tsumamah ketika itu belum memeluk Islam.
wallahua’lam.

Saturday, November 2, 2024

Allah Menulis Taurat Dengan Tangan-Nya

:: Hadis 1 ::
dari Ibnu ‘Abbas,dia berkata,
“Allah ‘Azza wa Jalla menciptakan empat perkara dengan tangan-Nya, sedangkan selainnya, Dia berfirman kepadanya: ‘Jadilah!’, maka terjadilah. Allah menciptakan Qalam (pena) dengan tangan-Nya, Adam dengan tangan-Nya, Taurat yang ditulis-Nya dengan tangan-Nya, dan Syurga ‘Adn dengan tangan-Nya.”
(HR. ‘Abdullah bin Ahmad [rujuk: as-Sunnah,2/484-485])

NOTA:
Hadis ini ‘Dhaif’, kerana di dalam sanadnya terdapat perawi yang bernama Hasan bin Abi Ja’far, yang mana dia dinilai Dhaif oleh para Ulama’ Hadis. Imam Ibn al-Madini berkata (tentangnya): “Dhaif”. Kata imam al-Bukhari: “Munkarul Hadis (Hadisnya Munkar)”. Kata imam Ibn Ma‘in: “Laisa bi syai (tiada apa-apanya/tiada nilai)”. Imam Ahmad dan imam an-Nasaie juga menilainya sebagai perawi yang Dhaif (rujuk: imam adz-Dzahabi,Mizan al-I’tidal,1/482). Walaupun hadis ini Dhaif, namun maknanya sahih berdasarkan hadis sahih yang lain:

:: Hadis 2 ::
dari Maisarah Abi Soleh maula Kindah,salah seorang Tabi‘in berkata,
“Sesungguhnya Allah tidak menyentuh apa-apa dari ciptaan-Nya kecuali tiga perkara: Dia mencipta Adam dengan tangan-Nya, menulis Taurat dengan tangan-Nya, dan menanam (pepohon) Syurga ‘Adn dengan tangan-Nya.”
(HR. ‘Ustman ad-Darimi [rujuk: Naqd ad-Darimi,99]. Dinilai ‘Sahih’ oleh Syaikh Abu Mans̄ur as-Samari/Simari dalam Tahqiq beliau ke atas Naqd ad-Darimi)

:: Hadis 3 ::
dari Abu Hurairah,Nabi ﷺ bersabda,
“Berlaku perdebatan antara Adam dan Musa. Musa berkata: ‘Wahai Adam, kamu adalah bapa yang telah mengecewakan dan mengeluarkan kami dari syurga’. Adam berkata: ‘Wahai Musa, kamu dipilih oleh Allah dengan dianugerahkan Kalam-Nya dan menuliskan untukmu (Kitab Taurat) dengan Tangan-Nya, lalu kamu mencelaku atas perkara yang telah ditakdirkan Allah ke atasku 40 tahun sebelum Dia menciptaku’. Maka seperti itu hujah Adam mengatasi hujah Musa, hujah Adam mengatasi hujah Musa. Disebut sebanyak tiga kali.”
(HR. Bukhari,no.6614)

Thursday, October 31, 2024

4 Waktu Mengangkat Tangan Ketika Takbir Di Dalam Solat

● MENGANGKAT TANGAN KETIKA TAKBIRATUL IHRAM, SEBELUM DAN SELEPAS RUKU’ ●

:: Hadis 1 ::
dari Ibn Umar,dia berkata,
“Aku telah melihat Nabi ﷺ membuka takbir di dalam solat (iaitu memulakan solat dengan bertakbir), dengan mengangkat kedua tangannya ketika bertakbir sehingga sama pada bahagian bahunya. Ketika bertakbir untuk ruku’ juga baginda melakukan sedemikian dan ketika baginda mengucapkan: ‘Sami’Allahu liman ẖamidah’, baginda melakukan sedemikian juga.”
(HR. Bukhari,no.738. an-Nasaie,no.876)

:: Hadis 2 ::
dari Ibn ‘Umar,dia berkata,
“Rasulullah ﷺ mengangkat kedua tangannya hingga ke paras bahu apabila memulakan solat (iaitu ketika takbiratulihram). Dan apabila mengangkat takbir untuk ruku’ dan ketika bangun daripada ruku’, baginda mengangkat kedua-dua tangannya juga, dan mengucapkan: ‘Sami'Allahu liman ẖamidah, robbana wa lakal ẖamd’. Namun baginda tidak melakukannya ketika sujud.”
(HR. Bukhari,no.735. Muslim,no.390)


● MENGANGKAT TANGAN SETELAH BANGUN DARI TASYAHUD (TAHIYAT) AWAL ●

dari Ibn ‘Umar,dia berkata,
“..Apabila (Nabi ﷺ) bangun setelah rakaat kedua, baginda akan mengangkat kedua tangannya.”
(HR. Bukhari,no.739)

NOTA:
Hanya empat (4) waktu ini sahaja disunnahkan untuk mengangkat tangan. Ini pendapat yang dipegang oleh sebahagian ulama’ mazhab asy-Syafi‘i seperti imam Ibnu al-Mundzir, Abu ‘Ali at-Thobari, Abu Bakr al-Baihaqi dan lain-lain (rujuk: imam an-Nawawi,al-Majmu’,3/425-426). Imam al-Bukhari juga meletakkan “Tajuk Bab” khas dalam Kitab Sahih-nya: باب رفع اليدين إذا قام من الركعتين (Bab mengangkat kedua tangan ketika bangkit dari rakaat kedua), ini menunjukkan bahawa imam al-Bukhari juga berpendapat bahawa disunnahkan mengangkat kedua-dua tangan setelah bangun dari Tasyahud Awal. Syaikh Soleh ibn al-‘Utsaimin juga berkata: “Tempat-tempat mengangkat kedua tangan ada empat: ketika takbiratul ihram, ketika ruku’, ketika bangkit dari ruku’, dan apabila berdiri dari tasyahud awal” (rujuk: asy-Syarhu al-Mumti’,3/214).

Bersikap Kasar, Sombong Dan Angkuh Adalah Sifat Ahli Neraka

:: Hadis 1 ::
dari Haritsah bin Wahb,Nabi ﷺ bersabda,
“Mahukah aku beritahu kamu tentang ahli syurga?’ Mereka menjawab: ‘Ya’. Baginda ﷺ bersabda: ‘Setiap orang yang lemah, yang dipandang rendah. Sekiranya dia bersumpah atas nama Allah, nescaya Allah akan memakbulkannya’. Kemudian Baginda bersabda: ‘Mahukah aku beritahu kamu tentang ahli neraka?’ Mereka menjawab: ‘Ya’. Baginda bersabda: ‘Setiap orang yang kasar, sombong dan angkuh’.”
(HR. Bukhari,no.4918. Muslim,no.2853)

:: Hadis 2 ::
dari Abu Hurairah,Nabi ﷺ bersabda,
“Syurga dan neraka saling berdebat. Neraka berkata: ‘Orang-orang sombong dan bengis memasukiku’. Syurga berkata: ‘Sedangkan aku, tiada yang memasukiku selain orang-orang lemah dan hina (pada pandangan manusia)’. Lalu Allah berfirman kepada syurga: ‘Kau adalah rahmat-Ku, denganmu Aku rahmati siapa sahaja yang Aku kehendaki dari hamba-hamba-Ku’. Kemudian Allah berfirman kepada neraka: ‘Kau adalah azab-Ku, denganmu Aku menyiksa sesiapa pun yang Aku kehendaki. Dan masing-masing dari keduanya mempunyai isinya sendiri’. Adapun neraka tidak terisi penuh sehingga Allah meletakkan kaki-Nya, kemudian neraka berkata: ‘Cukup! cukup!’ Saat itulah neraka penuh dan sebahagiannya menindih sebahagian yang lain. Allah tidak menzalimi seorang pun dari makhluk-Nya. Sedangkan syurga, Allah menciptakan penghuninya.”
(HR. Bukhari,no.4850)

Wednesday, October 30, 2024

Doa Mendengar Guruh Atau Petir

:: Hadis 1 ::
dari ‘Abdullah bin ‘Umar,dia berkata,
“Apabila Rasulullah ﷺ mendengar guruh atau kilat, baginda akan berkata:
اللَّهُمَّ لَا تَقْتُلْنَا بِغَضَبِكَ وَلَا تُهْلِكْنَا بِعَذَابِكَ وَعَافِنَا قَبْلَ ذَلِكَ
Allahumma Laa Taqtulnaa Bighodhobika Walaa Tuhlikna Bi‘adzaabika Wa ‘Aafina Qobla Dzalik
(Ya Allah, janganlah Engkau membunuh kami dengan kemarahanmu dan janganlah Engkau binasakan kami dengan azab-Mu serta ampunilah kami sebelum daripada itu).”
(HR. at-Tirmidzi,no.3450)

NOTA:
Hadis ini dinilai ‘Gharib’ (Dhaif) oleh imam at-Tirmidzi setelah beliau meriwayatkan hadis ini, lalu beliau berkata: “Kami tidak mengetahuinya melainkan dari jalur ini”. Hadis ini juga dinilai Dhaif oleh imam an-Nawawi (rujuk: al-Adzkar,181), juga dinilai Dhaif oleh Syaikh al-Albani (rujuk: Dha‘if at-Tirmidzi,3694). Walaupun hadis ini Dhaif, namun doanya boleh dibaca menurut para Ulama’ Hadis, kerana ianya hanya doa dan maknanya juga tidak menyanggahi syariat dengan syarat tidak meyakini bahawa doa ini pasti dari Rasulullah atau menyandarkan secara pasti bahawa hadis ini dari Rasulullah ﷺ.

:: Hadis 2 ::
dari ‘Amir bin ‘Abdillah,dari ‘Abdullah bin az-Zubair,
“Apabila dia mendengar guruh, dia akan meninggalkan percakapan lalu mengucapkan:
سُبْحَانَ الَّذِي يُسَـبِّحُ الرَّعْدُ بِحَمْدِهِ وَالمَلاَئِكَةُ مِنْ خِيفَتِهِ
Subẖanalladzi Yusabbiẖur Ro’du Biẖamdihi wal Mala-ikatu Min Khiifatih
(Maha Suci Dia yang guruh bertasbih memuji kebesaran-Nya dan malaikat turut bertasbih kerana takut kepada-Nya).
Kemudian dia berkata: ‘Sesungguhnya ini adalah peringatan yang keras untuk penduduk bumi’.”
(HR. Malik,no.3641. Bukhari [rujuk: al-Adab Al-Mufrad,no.723])

NOTA:
Sanadnya dinilai ‘Sahih’ oleh imam an-Nawawi (rujuk: al-Adzkar,235). Juga dinilai sahih oleh Syaikh al-Albani (rujuk: Sahih al-Adab al-Mufrad,556). Makna dari doa ini juga benar, kerana terdapat di dalam al-Quran tentang guruh dan malaikat bertasbih kepada Allah:

:: al-Quran ::
Allah ﷻ berfirman:
“Guruh bertasbih memuji kebesaran-Nya dan malaikat turut bertasbih kerana takut kepada-Nya. Dia menghantar panahan-panahan petir lalu kena kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya. Namun, orang kafir masih mempertikaikan keesaan Allah sedangkan Dia amat hebat kekuatan-Nya.”
(ar-Ra’d [13]: ayat 13)

Mengucapkan JazakAllahu Khairan Ketika Berterima Kasih

:: Hadis 1 ::
dari Usamah bin Zaid,Rasulullah ﷺ bersabda,
“Barangsiapa dilakukan padanya kebaikan lalu dia berkata kepada orang tersebut:
جَزَاكَ اللَّهُ خَيْرًا
Jazakallahu khairan
(Semoga Allah membalasmu dengan kebaikan),
maka sesungguhnya dia telah memberikan sebaik-baik pujian.”
(HR. at-Tirmidzi,no.2035. an-Nasaie [rujuk: ‘Amal al-Yaum wa al-Lailah,no.180]. Dinilai ‘Hasan Jayyid Gharib’ oleh imam at-Tirmidzi)

:: Hadis 2 ::
dari ‘Urwah bin az-Zubair,dia berkata,
“Dari ‘Aisyah, beliau meminjam kalung daripada Asma’, lalu kalung tersebut hilang. Oleh itu, Rasulullah ﷺ mengutus seseorang untuk mencarinya dan dia menemukannya. Kebetulan waktu solat telah pun masuk, tetapi tidak ada bekalan air bersama mereka untuk berwudhu’. Namun, mereka tetap menunaikan solat tanpa berwuduk. Setelah itu, mereka mengadukan peristiwa tersebut kepada Rasulullah ﷺ. Lalu Allah menurunkan ayat tayammum. Usaid bin Hudhoir berkata kepada ‘Aisyah:
جَزَاكِ اللَّهُ خَيْرًا
Jazakillahu khairan
(Semoga Allah membalasmu dengan kebaikan)..”
(HR. Bukhari,no.336. Muslim,no.367)

NOTA:
Sebutan “Jazakallahu” atau “Jazakillahu” adalah bergantung kepada siapa orang yang ingin kita tujukan ucapan terima kasih tersebut. Ini disebut sebagai ‘Dhomir’ (kata ganti), maka jika:

Kamu (Seorang Lelaki) = Jazakallahu khairan
Kamu (Seorang Perempuan) = Jazakillahu khairan
Dia (Seorang Lelaki) = Jazahullahu khairan
Dia (Seorang Perempuan) = Jazahallahu khairan
Kamu (Ramai Lelaki/Perempuan atau Bercampur Lelaki & Perempuan) = Jazakumullahu khairan
Mereka (Ramai Lelaki/Perempuan atau Bercampur Lelaki & Perempuan) = Jazahumullahu khairan

Friday, October 25, 2024

Allah Memberi Harta Kepada Orang Yang Dia Cintai Dan Orang Yang Dia Tidak Cintai

dari ‘Abdullah (bin Mas’ud),dia berkata,
“Sesungguhnya Allah Ta‘ala membahagikan di antara kamu akan akhlak kamu, sebagaimana Allah membahagikan sesama kamu akan rezeki kamu. Sesungguhnya Allah Ta‘ala memberikan harta kepada orang yang Dia cintai dan orang yang Dia tidak cintai. Dan Allah tidak memberikan keimanan melainkan kepada orang yang Dia cintai. Sesiapa yang merasa ada kebakhilan pada hartanya daripada dia menafkahkannya, dan ada merasa takut kepada musuh untuk dia berjihad padanya, dan takut dengan malam sehingga dia tidak dapat tidur padanya, maka hendaklah dia memperbanyakkan ucapan: La ilaha illAllah, wa SubhanAllah, walhamdulillah, wallahuakbar.”
(HR. Bukhari [rujuk: al-Adab al-Mufrad,no.275]. Abu Daud [rujuk: al-Zuhud,no.157]. at-Thabrani [rujuk: al-Mu’jam al-Kabir,9/229]) 

NOTA:
Hadis ini dinilai sahih oleh imam ad-Daraquthni (rujuk: al-‘Ilal,5/269-271). Juga dinilai Sahih Mauquf oleh Syaikh al-Albani (rujuk: Silsilah al-Ahadis as-Sahihah,6/484)

Thursday, October 17, 2024

Cara Menjawab Azan Dan Kelebihannya

:: Hadis 1 ::
dari ‘Umar al-Khattab,Rasulullah ﷺ bersabda,
“Jika muadzzin melaungkan: 
اللَّهُ أَكْبَرُ، اللَّهُ أَكْبَرُ
Allahuakbar, Allahuakbar,
maka hendaklah seseorang dari kamu menjawab:
اللَّهُ أَكْبَرُ، اللَّهُ أَكْبَرُ
Allahuakbar, Allahuakbar.
Kemudian (apabila muadzzin) melaungkan:
أَشْهَدُ أَنْ لَا إِلَهَ إِلَّا اللَّهُ
Asyhadu alla ilaha illallah,
jawablah:
أَشْهَدُ أَنْ لَا إِلَهَ إِلَّا اللَّهُ
Asyhadu alla ilaha illallah.
(Apabila muadzzin) melaungkan:
أَشْهَدُ أَنَّ مُحَمَّدًا رَسُولُ اللَّهِ
Asyhadu anna Muẖammadarrasulullah,
jawablah:
أَشْهَدُ أَنَّ مُحَمَّدًا رَسُولُ اللَّهِ
Asyhadu anna Muẖammadarrasulullah.
Kemudian (apabila muadzzin) melaungkan:
حَيَّ عَلَى الصَّلَاةِ
H̱ayya ‘alas̄s̄olah,
jawablah:
لَا حَوْلَ وَلَا قُوَّةَ إِلَّا بِاللَّهِ
La ẖawla wala quwwata illa billah.
Kemudian (apabila muadzzin) melaungkan:
حَيَّ عَلَى الْفَلَاحِ
H̱ayya ‘alal falaẖ,
jawablah:
لَا حَوْلَ وَلَا قُوَّةَ إِلَّا بِاللَّهِ
La ẖawla wala quwwata illa billah.
Kemudian (apabila muadzzin) melaungkan:
اللَّهُ أَكْبَرُ، اللَّهُ أَكْبَرُ
Allahuakbar, Allahuakbar,
jawablah:
اللَّهُ أَكْبَرُ، اللَّهُ أَكْبَرُ
Allahuakbar, Allahuakbar.
Kemudian (apabila muadzzin) melaungkan:
لَا إِلَهَ إِلَّا اللَّهُ
La ilaha illallah,
jawablah:
لَا إِلَهَ إِلَّا اللَّهُ
La ilaha illallah,
(ikhlas) dari dalam hatinya, maka dia akan masuk syurga.”
(HR. Muslim,no.385)

:: Hadis 2 ::
dari ‘Abdullah bin ‘Amr,Rasulullah ﷺ bersabda,
“Apabila kamu mendengar seruan muadzzin, maka jawablah sepertimana yang diucapkannya. Kemudian berselawatlah ke atasku kerana sesiapa yang berselawat ke atasku sebanyak sekali, maka Allah akan berselawat ke atasnya sebanyak sepuluh kali. Kemudian mohonlah kepada Allah wasilah untukku iaitu satu kedudukan di dalam syurga yang tidak dikurniakan kecuali kepada seorang hamba dalam kalangan hamba-hamba Allah, dan aku berharap akulah orang tersebut. Sesiapa yang memohon kepada Allah wasilah untukku pastilah dia mendapat syafaat.”
(HR. Muslim,no.384)

:: Hadis 3 ::
dari Jabir bin ‘Abdillah,Rasulullah ﷺ bersabda,
“Barangsiapa yang mendengar azan dan berdoa (doa wasilah):
 اللَّهُمَّ رَبَّ هَذِهِ الدَّعْوَةِ التَّامَّةِ وَالصَّلاَةِ الْقَائِمَةِ آتِ مُحَمَّدً الْوَسِيلَةَ وَالْفَضِيلَةَ وَابْعَثْهُ مَقَامًا مَحْمُودًا الَّذِي وَعَدْتَهُ
Allahumma Robbaha Dzihid Da’watit-Taammah, Was̄ S̄olatil Qoo-imah, Aati Muẖammadanil Wasilata Wal Fadhilah, Wab‘ast-hu Maqoomam-Maẖmuudanil Ladzi Wa ‘Adtah
(Ya Allah, Wahai Tuhan yang telah mensyariatkan seruan azan dan sembahyang yang akan didirikan. Kurniakanlah kedudukan yang tinggi dan terpuji yang engkau telah janjikan kepada junjungan kami Nabi Muhammad dan kehormatan).
Luluslah baginya syafaatku baginya pada hari kiamat.”
(HR. Bukhari,no.614)

NOTA:
Maka, sunnahnya adalah, menjawab azan sebagaimana “Hadis 1”, kemudian baca Doa Wasilah seperti “Hadis 3”. InsyaAllah kita mendapatkan dua ganjaran, pertama masuk syurga, kedua mendapat Syafaat (pertolongan) dari Rasulullah ﷺ di akhirat kelak.

Tuesday, October 15, 2024

Doa Ruqyah Untuk Orang Lain

:: Hadis 1 ::
dari Abu Sa’id,dia berkata,
“Jibril datang kepada Nabi ﷺ lalu berkata: ‘Ya Muhammad, apakah engkau sakit?’ Jawab Baginda: ‘Ya’. Lalu Jibril membacakan:
بِاسْمِ اللَّهِ أَرْقِيكَ مِنْ كُلِّ شَىْءٍ يُؤْذِيكَ مِنْ شَرِّ كُلِّ نَفْسٍ أَوْ عَيْنِ حَاسِدٍ اللَّهُ يَشْفِيكَ بِاسْمِ اللَّهِ أَرْقِيكَ
Bismillahi arqika, min kulli syai-in yuk-dzika, min syarri kulli nafsin aw ‘aini ẖasidin, Allahu yasyfika, bismillahi arqika
(Dengan nama Allah, aku meruqyahmu dari segala sesuatu yang mengganggumu dari kejahatan setiap jiwa dan pengaruh ‘ain. Dengan nama Allah aku meruqyahmu).”
(HR. Muslim,no.2186)

NOTA:
Jika untuk meruqyah pesakit wanita, maka hendaklah menukar kata ganti namanya menjadi:
بِاسْمِ اللَّهِ أَرْقِيكِ مِنْ كُلِّ شَيْءٍ يُؤْذِيكِ مِنْ شَرِّ كُلِّ نَفْسٍ أَوْ عَيْنِ حَاسِدٍ اللَّهُ يَشْفِيكِ بِاسْمِ اللَّهِ أَرْقِيكِ
Bismillahi arqiki, min kulli syai-in yuk-dziki, min syarri kulli nafsin aw ‘ain ẖasidin, Allahu yasyfiki, bismillahi arqiki.

:: Hadis 2 ::
dari ‘Aisyah,dia berkata,
“Bahawa Rasulullah ﷺ jika sakit, baginda membacakan pada dirinya sendiri al-Mu’awwidzat (al-Ikhlas, al-Falaq & an-Nas) dan meniupkannya. Jika rasa sakitnya bertambah, maka aku yang membacakan kepada baginda dan mengusapkannya dengan tangan baginda dengan mengharap barakahnya.”
(HR. Bukhari,no.5751. Muslim,no.2192)

Thursday, October 3, 2024

Bacaan Ketika I’tidal (Bangkit Dari Ruku’)

:: Hadis 1 ::
اللَّهُمَّ رَبَّنَا لَكَ الْحَمْدُ
Allahumma Robbana Lakal H̱amd
[Ya Allah, Tuhanku, bagi-Mu segala puji]

(HR. Bukhari,no.796. Muslim,no.404. dari Abu Hurairah & Abu Musa al-Asy‘ari)

:: Hadis 2 ::
اللَّهُمَّ رَبَّنَا وَلَكَ الْحَمْدُ
Allahumma Robbana Wa Lakal H̱amd
[Ya Allah, Tuhanku dan bagi-Mu segala puji]

(HR. Bukhari,no.795. dari Abu Hurairah)

:: Hadis 3 ::
رَبَّنَا لَكَ الْحَمْدُ
Robbana Lakal H̱amd
[Tuhanku, bagi-Mu segala puji]

(HR. Bukhari,no.722. Muslim,no.477. dari Abu Hurairah & Abu Sa‘id al-Khudri)

:: Hadis 4 ::
رَبَّنَا وَلَكَ الْحَمْدُ
Robbana Wa Lakal H̱amd
[Tuhanku, dan bagi-Mu segala puji]

(HR. Bukhari,no.689. Muslim,no.411. dari Anas bin Malik)

Wednesday, October 2, 2024

Pakai Kasut Ketika Solat

dari Abu Maslamah Sa‘id bin Yazid al-Azdi,dia berkata,
“Aku bertanya kepada Anas bin Malik: ‘Apakah dahulunya Nabi ﷺ pernah solat dengan memakai kasut baginda?’ beliau menjawab: ‘Ya’.”
(HR. Bukhari,no.386. Muslim,no.555)

NOTA:
Imam al-Bukhari letak hadis ini dalam kitab Sahihnya dengan tajuk bab: بَاب الصَّلَاةِ فِي النِّعَالِ (Bab solat menggunakan kasut). Ini menunjukkan bahawa imam al-Bukhari berpendapat boleh solat dengan memakai kasut (sebagai contoh, di kawasan yang ada rumput atau tanah. Adapun jika dalam masjid atau surau seperti zaman sekarang ini,maka tidak perlu memakai kasut untuk menjaga kebersihan masjid atau surau). Syaikh Soleh al-‘Utsaimin juga berkata di dalam fatwanya (12/386): “Solat dengan memakai kasut itu adalah sunnah”.
Wallahua’lam.

Sunday, September 29, 2024

Kelebihan Menghalalkan Hutang Atau Memberi Tempoh Kepada Orang Yang Berhutang

:: al-Quran ::
Allah ﷻ berfirman:
“Dan jika orang yang berhutang itu sedang mengalami kesempitan hidup, maka berilah tempoh sehingga ia lapang hidupnya dan (sebaliknya) bahawa kamu sedekahkan hutang itu (kepadanya) adalah lebih baik untuk kamu, kalau kamu mengetahui (pahalanya yang besar yang kamu akan dapati kelak).”
(al-Baqarah [2]: ayat 280)

:: Hadis 1 ::
dari Ka‘ab bin ‘Amru,Rasulullah ﷺ bersabda,
“...Sesiapa yang memberi tangguh waktu bagi orang yang berada dalam kesulitan untuk melunasi hutang atau membebaskan hutangnya, maka dia akan mendapat naungan Allah.”
(HR. Muslim,no.3006)

:: Hadis 2 ::
dari Abu Hurairah,Rasulullah ﷺ bersabda,
“Sesiapa yang menghilangkan kesulitan seorang mukmin di dunia, Allah akan menghilangkan kesulitannya pada hari kiamat. Sesiapa yang memudahkan urusan orang yang dalam kesusahan, Allah akan memudahkan urusannya di dunia dan akhirat. Sesiapa yang menutup keaiban seorang muslim, Allah akan menutup keaibannya di dunia dan akhirat. Allah akan sentiasa membantu hamba-Nya selagi mana hamba itu membantu saudaranya. Sesiapa yang menempuh perjalanan untuk menuntut ilmu, Allah akan memudahkan dengannya perjalanan ke syurga.
Tidaklah berkumpul sesuatu kaum di rumah daripada rumah-rumah Allah untuk membaca kitab Allah, dan mempelajarinya antara satu sama lain melainkan ketenangan akan turun ke atas mereka, rahmat akan menyeliputi mereka, malaikat akan mengelilingi mereka, dan Allah akan menyebut-nyebut mereka kepada makhluk-makhluk yang dekat dengan-Nya. Sesiapa yang lambat dalam melakukan amal (kebaikan), nasabnya tidak akan mempercepatkannya.”
(HR. Muslim,no.2699)

:: Hadis 3 ::
dari Abu Hurairah,Nabi ﷺ bersabda,
“Dahulu ada seorang pedagang yang biasa memberi pinjaman kepada orang. Ketika dia melihat ada yang kesulitan, dia berkata kepada hambanya: ‘Maafkanlah dia (halalkan hutangnya). Semoga Allah memberi ampunan kepada kita’. Maka, Allah pun mengampuninya.”
(HR. Bukhari,no.2078)

:: Hadis 4 ::
dari Hudzaifah,Nabi ﷺ bersabda,
“Beberapa malaikat menjumpai roh orang sebelum kamu untuk mencabut nyawanya. Kemudian mereka mengatakan: ‘Adakah kamu mempunyai sedikit dari amal kebajikan?’ Kemudian dia mengatakan: ‘Dahulu aku pernah memerintahkan pada hambaku untuk memberikan tangguhan waktu dan membebaskan hutang bagi orang yang berada dalam kemudahan untuk melunasinya’. Maka, Allah pun mengampuninya.”
(HR. Bukhari,no.2077)

Tidak Membayar Hutang, Padahal Mampu. Ini Ancamannya!

:: Hadis 1 ::
dari Ibn ‘Umar,Nabi ﷺ bersabda,
“Allah memberi keampunan buat orang yang mati syahid semua dosanya, kecuali hutang.”
(HR. Muslim,no.1886)

:: Hadis 2 ::
dari Salamah bin al-Akwa’,dia berkata,
“Kami pernah duduk di sisi Nabi ﷺ, tiba-tiba didatangkan kepadanya satu jenazah, maka mereka berkata: ‘Solatlah ke atasnya’. Baginda bertanya: ‘Adakah dia memiliki hutang?’ Mereka menjawab: ‘Tidak’. Baginda bertanya: ‘Adakah dia ada meninggalkan sesuatu?’ Mereka menjawab: ‘Tidak’. Maka Baginda mensolatkannya. Kemudian didatangkan pula jenazah yang lain dan mereka berkata: ‘Wahai Rasulullah, solatkanlah dia’. Baginda bertanya: ‘Adakah dia memiliki hutang?’ Dikatakan: ‘Ya’. Baginda bertanya lagi: ‘Adakah dia ada meninggalkan sesuatu?’ Mereka menjawab: ‘Tiga dinar’. Maka Baginda mensolatkannya. Kemudian didatangkan pula jenazah yang ketiga lalu mereka berkata: ‘Solatkanlah dia’. Baginda bertanya: ‘Adakah dia ada meninggalkan sesuatu?’ Mereka menjawab: ‘Tidak’. Baginda bertanya: ‘Adakah dia memiliki hutang?’ Mereka menjawab: ‘Tiga dinar’. Baginda bersabda: ‘Solatlah ke atas sahabat kamu’. Lantas Abu Qatadah berkata: ‘Solatkanlah dia, wahai Rasulullah, dan hutangnya menjadi tanggunganku’. Maka Baginda pun solat ke atasnya.”
(HR. Bukhari,no.2289)

:: Hadis 3 ::
dari Abu Hurairah,Rasulullah ﷺ bersabda,
“Sesiapa yang mengambil harta orang lain (berhutang) dengan tujuan untuk membayarnya (mengembalikannya), maka Allah akan tunaikan untuknya. Dan sesiapa yang mengambilnya untuk tujuan tidak melunasinya, maka Allah akan membinasakannya.”
(HR. Bukhari,no.2387)