Sunday, August 13, 2023

Firman Allah: Sombong Adalah Selendang-Ku Dan Keagungan Adalah Sarung-Ku

:: Hadis 1 ::
dari Abu Hurairah,bahawa Rasulullah ﷺ bersabda,
“Keagungan adalah sarung-Nya dan kesombongan adalah selendang-Nya. (Allah berfirman:) ‘Barangsiapa yang menandingi-Ku (pada kedua sifat ini),maka Aku akan mengazabnya’.”
(HR. Muslim,no.2620)

:: Hadis 2 ::
dari Abu Hurairah,bahawa Rasulullah ﷺ bersabda,
“Allah 'azza wa Jalla berfirman: ‘Kesombongan adalah selendang-Ku dan keagungan adalah sarung-Ku. Siapa yang berusaha merebut salah satunya daripada-Ku,Aku akan mencampakkannya ke dalam neraka’.”
(HR. Abu Daud,no.4090)

NOTA:
Kata imam al-Khattabi: "Makna sabda Nabi ini ialah kebesaran dan keagungan adalah sifat khas bagi Allah S.W.T. yang tidak dikongsi dengan orang lain. Makhluk tidak layak meniru kedua-dua sifat tersebut kerana sifat yang layak bagi makhluk adalah tawadhu' dan merendah. Perkataan 'Selendang' dan 'Sarung' disebutkan sebagai kiasan. Allah seolah-olah mengatakan: 'Sebagaimana seorang manusia tidak berkongsi sarung dan selendang dengan orang lain,makhluk tidak boleh berkongsi kebesaran dan keagungan dengan-Ku'. Wallahua'lam" (rujuk: Ma'alim al-Sunan,4/196). Kata imam Abu Ya'la ibn al-Farra': "Diketahui bahawa sabda Nabi 'Kesombongan adalah selendang-Ku dan keagungan adalah sarung-Ku' yang dimaksudkan dengannya adalah sesungguhnya demikian sifat dari sifat-Ku,kerana Aku mengkhususkan dengannya bukan untuk selain-Ku. Maka barangsiapa yang mengambil diantara keduanya,mereka angkuh dan bangga terhadap manusia,Aku akan masukkan ia ke dalam neraka. Dan ini sebagaimana yang dikatakan: Sesungguhnya dikatakan kepada fulan yang mempunyai dalam hatinya sebesar biji syair atau zarrah sifat tersebut" (rujuk: Ibthal al-Takwilat,481).

Saturday, August 12, 2023

Yahudi Berkata Tentang Makhluk Yang Berada Di Jari Allah

:: Hadis 1 ::
dari Abdullah (Ibn Mas’ud),dia berkata,
“Telah datang seorang Ulama’ Yahudi (kepada Nabi ﷺ) seraya berkata: ‘Sesungguhnya apabila berlaku hari kiamat,Allah akan meletakkan langit-langit di atas satu jari,bumi-bumi di atas satu jari,air dan tanah di atas satu jari,dan seluruh makhluk yang lain di atas satu jari. kemudian Dia akan menggoncangkan semuanya lalu Dia berkata: “Aku adalah al-Malik (Raja),Aku adalah al-Malik (Raja)”.’ Sesungguhnya aku telah melihat Nabi ﷺ ketawa sehingga tampak gusi baginda kerana kagum dan membenarkan perkataannya. Kemudian Nabi ﷺ membaca: ‘Dan mereka tidak mengagungkan Allah dengan pengagungan yang semestinya. Padahal bumi seluruhnya dalam genggaman-Nya pada hari kiamat dan langit digulung dengan tangan kanan-Nya. Maha Suci Tuhan dan Maha Tinggi Dia dari apa yang mereka persekutukan (az-Zumar [39]: ayat 67)’.”
(HR. Bukhari,no.7513. Muslim,no.2786)

:: Hadis 2 ::
dari Abdullah bin Mas'ud,dia berkata,
“Seorang Yahudi menemui Nabi ﷺ dan berkata: ‘Wahai Muhammad,Allah memegang langit di atas satu jari,dan seluruh bumi dengan satu jari,dan seluruh gunung dengan satu jari,dan semua pokok hanya dengan satu jari,dan seluruh makhluk yang ada hanya dengan satu jari,lalu berkata: “Akulah Raja”. Maka Rasulullah ﷺ pun tertawa hingga kelihatan gigi serinya,kemudian baginda membaca ayat: “Dan mereka tidak mengagungkan Allah dengan pengagungan yang semestinya... (az-Zumar [39]: ayat 67)’.”
(HR. Bukhari,no.7414)

Friday, August 11, 2023

Solat Sunat Taubat: Hadis Dhaif & Dalil Yang Sahih

dari Abu Bakar,bahawa Rasulullah ﷺ bersabda,
“Tidak ada seorang hamba yang melakukan satu dosa,lalu dia memperelokkan dalam bersuci (berwudhu') dan dia kemudiannya bangun lalu mengerjakan solat dua rakaat dan memohon keampunan kepada Allah melainkan Allah akan mengampunkan dosanya. Kemudian dia membaca ayat ini: ‘Dan juga orang-orang yang apabila melakukan perbuatan keji atau menganiaya diri sendiri,mereka segera ingat kepada Allah lalu memohon ampun akan dosa mereka dan sememangnya tidak ada yang mengampunkan dosa-dosa melainkan Allah,dan mereka juga tidak meneruskan perbuatan keji yang mereka telah lakukan itu,sedang mereka mengetahui (akan salahnya dan akibatnya) (Ali Imran [3]: ayat 135)’.”
(HR. at-Tirmidzi,no.406. Abu Daud,no.1521. Ibnu Majah,no.1395. al-Bazzar,no.9)

NOTA:
Hadis ini dinilai 'Dhaif' oleh imam al-Bukhari,Yahya ibn Ma'in dan al-Bazzar. Kerana hadis ini diriwayatkan oleh 'Ali bin Rabi'ah dari Asma' bin al-Hakam,dari 'Ali bin Abi Thalib,dari Abu Bakar as-Siddiq,yg mana kata imam al-Bukhari: "Asma' bin al-Hakam al-Fazari mendengar 'Ali (bin Abi Thalib),dan 'Ali bin Rabi'ah meriwayatkan daripadanya,yang termasuk dari al-Kufiyyin (Ahli Kufah)” (rujuk: at-Tarikh al-Kabir,2/54). imam al-Bukhari menyebut “al-Kufiyyin (Ahli Kufah)” kerana diketahui bahawa ahli Kufah secara adatnya (dalam periwayatan hadis) kerapkali mereka meriwayatkan hadis yang Mauquf dengan menjadikannya berstatus Marfu’. Kedua,perawi Asma' bin al-Hakam dinilai 'Majhul' (tidak dikenali) oleh imam Yahya Ibn Ma'in,dengan katanya: "Perawi ini tidak dikenali" (rujuk: Sualat al-Junaid,78). imam al-Bazzar juga berkata tentangnya (Asma' bin al-Hakam): “Majhul (tidak dikenali),dia tidak meriwayatkan selain yang ini,dan hanya Ali bin Rabi'ah yang meriwayatkannya” (rujuk: al-Bahr al-Zakhkhar,1/61/8). Malah imam at-Tirmidzi juga menilai hadis ini Dhaif selepas meriwayatkan hadis ini,dengan katanya: “Hadis 'Ali hadis yang Hasan”. Kata Syaikh Musthofa al-'Adawi (dalam video beliau),hadis ini sanadnya ada pertikaian (dari kalangan ulama' hadis),namun beliau menggunakan dalil umum yang lain sebagai dalil solat sunat taubat:

:: al-Quran ::
Allah ﷻ berfirman:
“Dan dirikanlah solat (wahai Muhammad,engkau dan umatmu) pada dua bahagian siang (pagi dan petang) dan pada waktu-waktu yang berhampiran dengannya dari waktu malam. Sesungguhnya amal-amal kebajikan (terutama solat) itu menghapuskan kejahatan. Perintah-perintah Allah yang demikian adalah menjadi peringatan bagi orang-orang yang mahu beringat”.
(Hud [11]: ayat 114)

Friday, August 4, 2023

Hadis Bithaqah (Kad Kecil)

dari Abdullah bin 'Amr,bahawa Rasulullah ﷺ bersabda,
“Pada hari kiamat kelak (di padang Mahsyar),akan ada salah seorang dari umatku yang dipanggil (untuk dihisab) di hadapan seluruh makhluk. Lalu dibukakan dan dibentangkan untuknya 99 buku catatan (amal buruknya semasa di dunia),yang mana setiap buku catatan tersebut luasnya sejauh mata memandang. Kemudian Allah 'Azza wa Jalla berfirman: ‘Adakah engkau mengingkari sesuatu dari catatan ini?’ Dia menjawab: ‘Tidak wahai Rabb-ku’. Allah bertanya lagi: ‘Adakah Malaikat penulis-Ku menzalimimu? Adakah engkau punya kebaikan?’ Maka dengan rasa takut,orang itu menjawab: ‘Tidak’. Allah berfirman: ‘Ada. Sesungguhnya engkau mempunyai beberapa kebaikan di sisi-Ku. Dan sesungguhnya hari ini,engkau tidak akan dizalimi’. Lalu dikeluarkan sebuah kad (kad kecil) yang tertulis padanya “Asyhadu allaa ilaaha illallaah,wa anna Muhammadan 'abduhu wa rasuuluh (Aku bersaksi tiada tuhan yang berhak disembah melainkan Allah dan bahawa Muhammad adalah hamba dan utusan-Nya)”. Lelaki itu berkata: ‘Wahai Rabb-ku,apakah (ertinya) satu kad ini (bila) dibandingkan buku yang besar ini?’ Allah menjawab: ‘Sesungguhnya engkau tidak akan dizalimi’. Lalu buku-buku catatan tersebut diletakkan dalam timbangan,sedangkan kad itu diletakkan pada ujung timbangan yang sama. Maka buku-buku catatan tersebut terangkat dan ternyata kad tersebut lebih berat’. (perawi) Muhammad bin Yahya berkata: ‘al-Bithaqah (kad) itu adalah ar-Ruq'ah (lembaran dari kertas atau kulit). Dan penduduk Mesir biasa menyebut ar-Ruq'ah dengan nama al-Bithaqah’.”
(HR. Ibnu Majah,no.4300. at-Tirmidzi,no.2639. Hadis ini dinilai 'Hasan' oleh Syaikh Musthofa al-'Adawi dalam video beliau)

Wednesday, July 26, 2023

Kisah 3 Lelaki Yang Diheret Ke Neraka Namun Dibebaskan

dari Ibnu Abbas,dia berkata,
“Seorang lelaki akan diheret ke neraka. Namun,neraka malah menjauhkan diri dan bahagian-bahagiannya mengecut antara satu sama yang lain. Allah Yang Maha Pengasih bertanya kepada neraka: ‘Apa yang terjadi padamu?’ Neraka menjawab: ‘Lelaki itu selalu memohon perlindungan (pada-Mu) agar selamat dariku’. Kemudian,Allah berfirman kepada para malaikat: ‘Bebaskanlah hamba-Ku itu’. Selanjutnya,ada lagi lelaki yang tengah diheret ke neraka. Ketika diheret,dia berkata: ‘Wahai Tuhanku,bukankah ini prasangka (baik) pada-Mu.’ Allah lalu bertanya: ‘Apa prasangka baikmu?’ Dia menjawab: ‘Rahmat-Mu akan meliputiku’. Maka Allah kembali berfirman kepada para malaikat: ‘Bebaskanlah hamba-Ku’. Terakhir,ada lagi lelaki yang diheret ke neraka,akan tetapi neraka berteriak kepadanya seakan-akan seperti tarikan baghal ketika melihat gandum,lalu berbunyi dengan kuat tatkala semua orang di sana ketakutan.”
(HR. at-Thobari [rujuk: Tafsir at-Thobari,19/244]. Ibnu Katsir [rujuk: Tafsir Ibnu Katsir,6/97]. Kata Ibnu Katsir: “Ini adalah sanad yg Sahih”)

Tuesday, July 25, 2023

Rintihan Rasulullah ﷺ Ketika Berada Di Thaif

 اللَّهمّ إلَيْكَ أَشْكُو ضَعْفَ قُوَّتِي، وَقِلَّةَ حِيلَتِي، وَهَوَانِي عَلَى النَّاسِ، يَا أَرْحَمَ الرَّاحِمِينَ، أَنْتَ رَبُّ" الْمُسْتَضْعَفِينَ، وَأَنْتَ رَبِّي، إلَى مَنْ تَكِلُنِي؟ إلَى بَعِيدٍ يَتَجَهَّمُنِي؟ أَمْ إلَى عَدُوٍّ مَلَّكْتَهُ أَمْرِي؟ إنْ لَمْ يَكُنْ بِكَ عَلَيَّ غَضَبٌ فَلَا أُبَالِي، وَلَكِنَّ عَافِيَتَكَ هِيَ أَوْسَعُ لِي، أَعُوذُ بِنُورِ وَجْهِكَ الَّذِي أَشْرَقَتْ لَهُ الظُّلُمَاتُ، وَصَلُحَ عَلَيْهِ أَمْرُ الدُّنْيَا وَالْآخِرَةِ مِنْ أَنْ تُنْزِلَ بِي غَضَبَكَ، أَوْ يَحِلَّ عَلَيَّ سُخْطُكَ، لَكَ الْعُتْبَى حَتَّى تَرْضَى، وَلَا حَوْلَ وَلَا قُوَّةَ إلَّا بِكَ

dari 'Abdullah bin Ja'far,dia berkata,
“Apabila meninggalnya Abu Talib,nabi ﷺ keluar menuju ke Thaif dengan berjalan kaki. Baginda ﷺ menyeru penduduk di sana untuk memeluk Islam,akan tetapi penduduk di sana tidak menerima dakwah nabi ﷺ. Lalu nabi ﷺ pun beredar sehinggalah tiba di sebatang pokok. Baginda ﷺ mendirikan solat dua rakaat kemudian berdoa: ‘Ya Allah,kepada-Mu aku mengadu lemahnya kekuatanku,sedikitnya dayaku dan kehinaanku di hadapan manusia. Wahai yang Maha Pengasih di kalangan yang pengasih! Engkau Tuhan orang-orang yang lemah (ditindas) dan Engkaulah Tuhanku. Kepada siapakah Engkau menyerahkan diriku? Kepada orang yang jauh yang bermasam muka terhadapku atau kepada musuh yang menguasai urusanku? Hal itu tidak aku risaukan,jika Engkau tidak murka kepadaku. Namun,rahmat-Mu bagiku amat luas. Aku berlindung dengan cahaya wajah-Mu yang menerangi kegelapan dan dibaiki urusan dunia dan akhirat. Aku berlindung dari murka-Mu atau halalkan ke atasku marah-Mu. Aku sentiasa memohon redha-Mu dan tidak ada daya upaya melainkan Engkau’.”
(HR. at-Thabrani [rujuk: ad-Du'a,315]. Ibn 'Adiy [rujuk: al-Kamil,6/111]. Khatib al-Baghdadi [rujuk: al-Jami' Li-Akhlaq al-Rawi,2/275]).

NOTA:
Hadis ini dinilai 'Dhaif' oleh Syaikh al-Albani [rujuk: Silsilah Ahadith ad-Dha'ifah,no.2933]. Imam al-Haitsami berkata: “Diriwayatkan oleh at-Thabrani. Dan di dalam riwayat ini terdapat (perawi) Ibn Ishak,dia seorang Mudallis yg tsiqah. Perawi yg lain kesemuanya tsiqah.” (rujuk: Majma' az-Zawaid,6/35)

Wednesday, July 19, 2023

Masuk Neraka Kerana Berkata ‘Allah Tidak Akan Mengampunimu’

:: Hadis 1 ::
dari Jundab,bahawa Rasulullah ﷺ bersabda,
“Sesungguhnya ada seorang lelaki berkata: ‘Demi Allah,Allah tidak akan mengampuni si Fulan!’ Maka Allah berfirman: ‘Siapakah yang bersumpah mendahului-Ku bahawa Aku tidak akan mengampuni si Fulan? Sungguh,Aku telah mengampuninya dan menghapuskan amalmu!’.”
(HR. Muslim,no.2621)

:: Hadis 2 ::
dari Abu Hurairah,bahawa Rasulullah ﷺ bersabda,
“Ada dua orang lelaki bersaudara daripada Bani Israel. Salah seorang sering melakukan dosa dan seorang lagi bersungguh-sungguh beribadah. Lelaki yang bersungguh-sungguh dalam ibadah ini setiap kali dia melihat saudaranya melakukan dosa dia akan berkata: ‘Tinggalkanlah dosa ini’. Pada suatu hari,dia mendapati saudaranya sedang melakukan dosa,lalu dia berkata: ‘Tinggalkanlah dosa ini’. Lalu saudaranya menjawab: ‘Biarkan aku dan Tuhan ku. Adakah engkau diutuskan kepada ku untuk menjadi pemerhati ke atas ku?’ Saudaranya menjawab: ‘Demi Allah,Allah tidak akan mengampuni engkau,Dia tidak akan memasukkan engkau ke dalam syurga’. Lalu Allah mencabut nyawa mereka dan mereka berkumpul di hadapan Tuhan sekalian alam. Allah berkata kepada lelaki yang kuat beribadah: ‘Adakah engkau tahu apa yang Aku tahu? Adakah engkau berkuasa atas apa yang ada pada Tangan-Ku?’ Allah berkata kepada yang sering berdosa: ‘Pergilah,masuklah ke dalam syurga dengan rahmat-Ku’. Allah berkata kepada yang lain pula: ‘Pergilah bersamanya (iaitu lelaki yang rajin beribadah itu) ke neraka’. Abu Hurairah berkata: ‘Demi tuhan yang diri ku di Tangan-Nya,lelaki itu (yang kuat beribadah itu) berkata dengan satu perkataan yang memusnahkan dunia dan akhiratnya’.”
(HR. Abu Daud,no.4901. Dinilai 'Sahih' oleh Syaikh al-Albani [rujuk: Sahih wa Dha'if Sunan Abi Daud,3/926,no.4097])

Tuesday, July 18, 2023

Anjuran Memperbanyakkan Puasa Sunat Pada Bulan Muharram Dan Puasa Asyura

:: Hadis 1 ::
dari Abu Hurairah,Rasulullah ﷺ bersabda,
“Sebaik-baik solat selepas solat fardhu adalah solat malam. Dan sebaik-baik puasa selepas Ramadhan adalah puasa pada bulan Allah,(iaitu) Muharram”
(HR. Muslim,no.1163)

NOTA:
kata imam Ibnu Rajab al-Hanbali: “Puasa yang paling afdhal di antara bulan-bulan haram (Dzulqa'dah,Dzulhijjah,Muharram,Rajab) adalah puasa di bulan Muharram” (rujuk: Lathaif al-Ma'arif,67). Kata imam Ibnu Rajab juga: “Sesungguhnya Nabi ﷺ menamakan bulan Muharram sebagai bulan Allah. Penisbahannya kepada Allah menunjukkan kemuliaan dan kelebihannya. Sesungguhnya Allah tidak menisbahkan kepada diri-Nya melainkan makhluk-makhluk-Nya yang istimewa…” (rujuk: Lathaif al-Ma'arif,36)

:: Hadis 2 ::
dari ‘Aisyah,dia berkata,
“Di zaman jahiliah dahulu,orang Quraisy biasa melakukan puasa ’Asyura. Rasulullah ﷺ juga melakukan puasa tersebut. Tatkala tiba di Madinah,baginda melakukan puasa tersebut dan memerintahkan yang lain untuk melakukannya. Namun tatkala puasa Ramadhan diwajibkan,baginda meninggalkan puasa ’Asyura. (Lalu baginda mengatakan) ‘Barangsiapa yang mahu,silakan berpuasa. Barangsiapa yang mahu,silakan meninggalkannya (tidak berpuasa)’.” 
(HR. Bukhari,no: 2002)

:: Hadis 3 ::
dari Ibnu 'Abbas,dia berkata,
“Nabi ﷺ datang ke Madinah dan kemudian baginda melihat golongan Yahudi berpuasa pada hari Asyura (10 Muharram). Lalu baginda berkata: ‘Apakah ini?’ Mereka pun menjawab: ‘Ini adalah hari yang baik. Inilah harinya Allah menyelamatkan Bani Israel daripada musuh mereka maka Musa pun berpuasa pada hari tersebut’. Lalu baginda bersabda: ‘Aku lebih berhak ke atas Musa berbanding kamu’. Maka baginda pun berpuasa pada hari tersebut dan memerintahkan supaya umatnya berpuasa pada hari itu.”
(HR. Bukhari,no.2004)

:: Hadis 4 ::
dari Ibnu ‘Abbas,dia berkata,
“Sesungguhnya Rasulullah ﷺ datang ke Madinah dan mendapati orang Yahudi sedang berpuasa pada hari Asyura’ (10 Muharram). Lalu Nabi ﷺ berkata kepada mereka: ‘Mengapakah kamu berpuasa pada hari ini?’ Mereka menjawab: ‘Hari ini adalah hari yang agung di mana Allah S.W.T. telah menyelamatkan Nabi Musa dan kaumnya serta Allah menenggelamkan Firaun dan kaumnya. Lalu Nabi Musa berpuasa pada hari tersebut sebagai tanda syukur. Disebabkan itu kami pun turut berpuasa’. Maka Nabi ﷺ bersabda: ‘Kami lebih berhak dan utama mengikut Nabi Musa berbanding kamu’. Dengan itu,Rasulullah ﷺ berpuasa dan memerintahkan untuk berpuasa pada hari tersebut.”
(HR. Bukhari,no.3397. Muslim,no.1130. Ini adalah lafaz riwayat Muslim)

:: Hadis 5 ::
dari Ibnu 'Abbas,dia berkata,
“Aku tidak pernah melihat Nabi ﷺ berpuasa pada satu hari di mana baginda ﷺ lebih istimewakannya berbanding hari-hari yang lain melainkan pada hari ini iaitu hari Asyura' (10 Muharram)...”
(HR. Bukhari,no.2006)

NOTA:
Ganjaran pahala bagi orang yang berpuasa tersangatlah besar. Boleh rujuk post sebelum ini tentang kelebihan memperbanyakkan puasa sunat. klik:

Friday, July 7, 2023

Ganjaran Bagi Orang Yang Selalu Berpuasa Sunat

:: Hadis 1 ::
dari Abu Hurairah,Rasulullah ﷺ bersabda,
“Setiap amalan anak Adam akan digandakan,1 kebaikan digandakan dengan 10 kali sehingga 700 kali ganda. Allah 'Azza wa Jalla berkata: ‘Kecuali puasa. Sesungguhnya ia milik Aku. Aku lah yang akan membahagi-bahagikan ganjaran pahalanya. Orang yang berpuasa itu telah meninggalkan nafsu syahwat dan makan minum kerana Aku’. Orang yang berpuasa memiliki dua kegembiraan: Kegembiraan ketika berbuka puasa dan kegembiraan ketika bertemu Tuhannya. Sesungguhnya bau mulut orang yang berpuasa lebih wangi daripada wangian kasturi.”
(HR. Muslim,no.1151)

NOTA:
Tentang sabdaan Nabi ﷺ “Semua amalan digandakan 10 kali ganda sehingga 700 kali ganda,kecuali puasa”,imam Ibnu Rajab al-Hanbali berpendapat bahawa ia bermaksud bilangan pahalanya tidak terhad kepada bilangan itu,malah Allah melipatgandakan pahalanya tanpa batas. Kerana puasa itu sebahagian daripada kesabaran,dan Allah ﷻ berfirman: “Sesungguhnya orang-orang yang bersabar sahaja yang akan disempurnakan pahala untuk mereka dengan tidak terkira” (Surah az-Zumar [39]: ayat 10). (rujuk: Lathaif al-Ma'arif,283-284). Imam al-Munawi berkata: “Orang yang berpuasa,Aku (Allah) memberinya balasan pahala yang banyak. Aku yang menguruskan balasan pahala itu tanpa diwakilkan kepada malaikat yang paling dekat atau makhluk-makhluk lain kerana puasa itu rahsia antara-Ku dengan hamba-Ku. Ini kerana apabila ditahan dirinya daripada nafsu syahwat maka ia diberi pahala dengan pengawasan Allah SWT.” (rujuk: Faidh al-Qadir,4/250)

:: Hadis 2 ::
dari Abu Hurairah,Rasulullah ﷺ bersabda,
Allah berfirman: “Semua amal perbuatan anak Adam (manusia) adalah untuknya melainkan puasa,kerana sesungguhnya ia adalah untuk-Ku dan Aku yang akan memberinya ganjaran (pahala). Puasa itu adalah merupakan perisai. Oleh itu,janganlah berkata keji dan jangan pula berteriak-teriak. Sekiranya ada seseorang mencelanya atau memeranginya,maka katakanlah: ‘Sesungguhnya aku berpuasa’. Demi Dia (Allah) yang jiwa Muhammad berada di tangan-Nya,bau mulut orang yang berpuasa lebih harum di sisi Allah SWT daripada aroma minyak kasturi. Orang yang berpuasa itu memiliki dua kegembiraan,dia berasa gembira dengan dua perkara,iaitu apabila berbuka dia berasa gembira  dan apabila bertemu Tuhannya,dia berasa gembira dengan puasanya.”
(HR. Bukhari,no.1904)

NOTA:
Namun harus diingat,untuk mendapatkan gandaan pahala ini juga memerlukan syarat lain yg perlu dituruti. Jika mengabaikannya,maka pahala puasanya boleh berkurang,malah tidak mendapat pahala walau sedikitpun,berdasarkan sebuah hadis:

dari Abu Hurairah,Rasulullah ﷺ bersabda,
“Barangsiapa yang tidak meninggalkan perkataan keji (dusta) serta mengamalkannya,maka Allah tidak berhajat orang itu meninggalkan makan dan minumnya”.
(HR. Bukhari,no.6057)

:: Hadis 3 ::
dari Abu Sa'id al-Khudri,Rasulullah ﷺ bersabda,
“Sesiapa yang berpuasa satu hari di jalan Allah,maka Allah akan menjauhkan wajahnya dari neraka sejauh 70 musim”
(HR. Bukhari,no.2840. Muslim,no.1153)

NOTA:
Kata imam Ibnu Hajar al-Asqalani,maksud "70 musim" dalam hadis ini ialah "70 tahun perjalanan" (rujuk: Fathul Bari,6/48)

:: Hadis 4 ::
dari Sahl,bahawa Nabi ﷺ bersabda,
“Sesungguhnya di dalam syurga terdapat pintu yang dinamakan ar-Rayyan. Orang-orang yang berpuasa akan masuk melaluinya (pintu tersebut) pada hari kiamat,serta tidak ada seorang pun selain daripada mereka yang akan masuk melaluinya (pintu itu). Ditanyakan: ‘Dimanakah orang-orang yang berpuasa?’ Lalu mereka pun berdiri. Tidak ada seorang pun selain daripada mereka yang akan masuk melaluinya (pintu itu). Apabila mereka telah masuk,pintu itu ditutup dan tidak ada seorang pun yang masuk (lagi) melaluinya.”
(HR. Bukhari,no.1896. Muslim,no.1152)

:: Hadis 5 ::
dari Abu Hurairah,Rasulullah ﷺ bersabda,
“Sesiapa menginfakkan sepasang (daripada harta benda) di jalan Allah,maka dia akan diseru dari pintu-pintu syurga: ‘Wahai hamba Allah,ini adalah satu kebaikan’. Sesiapa yang terdiri daripada kalangan orang yang solat,maka akan diseru daripada pintu solat,sesiapa yang terdiri daripada kalangan orang yang berjihad,akan diseru dari pintu jihad,sesiapa yang terdiri daripada kalangan orang yang berpuasa,akan diseru daripada pintu ar-Rayyan,dan sesiapa yang terdiri daripada kalangan orang yang bersedekah,akan diseru daripada pintu sedekah”. Setelah itu,Abu Bakar r.a. bertanya: “Demi bapa dan ibuku sebagai tebusanmu wahai Rasulullah! Tiadalah ke atas orang yang diseru dari pintu-pintu itu ditimpa daripada sebarang kemudaratan. Lalu adakah terdapat orang yang akan diseru daripada semua pintu-pintu itu?” Baginda menjawab: “Ya,dan aku berharap engkau termasuk dalam kalangan mereka.”
(HR. Bukhari,no.1897)

Saturday, June 24, 2023

Mencaci Ibu Bapa Orang Lain Adalah Dosa Besar

dari Abdullah bin 'Amr,bahawa Rasulullah ﷺ bersabda,
“Sesungguhnya dosa yang paling besar dalam dosa-dosa yang besar ialah seorang lelaki melaknat ibu bapanya”. Ditanya: “Wahai Rasulullah,bagaimana boleh seseorang itu melaknat ibu bapanya?” Baginda bersabda: “Seseorang itu mencaci ayah kepada orang lain,lalu orang itu mencaci ayahnya dan ibunya.”
(HR. Bukhari,no.5973. Muslim,no.90)

Friday, June 23, 2023

Dunia Merupakan Penjara Bagi Orang Beriman Dan Syurga Bagi Orang Kafir

dari Abu Hurairah,bahawa Rasulullah ﷺ bersabda,
“Dunia merupakan penjara bagi orang yang beriman dan syurga bagi orang yang kafir.”
(HR. Muslim,no.2956. at-Tirmidzi,no.2324. Ahmad,no.8289. Ibnu Majah,no.4113)

NOTA:
Imam an-Nawawi menjelaskan bahawa makna hadis ini bahawa orang mukmin (beriman) terpenjara di dunia kerana dia mesti menahan diri daripada pelbagai syahwat yang diharamkan dan dimakruhkan. Orang mukmin juga diperintahkan untuk melakukan ketaatan. Ketika dia mati,barulah dia rehat daripada hal itu. Kemudian dia akan memperoleh apa yang telah Allah janjikan dengan kenikmatan yang kekal,dan juga kerehatan yang sebenarnya tanpa berkurang sedikit pun. Adapun orang kafir,dunia yang dia peroleh sedikit ataupun banyak,ketika dia meninggal dunia,dia akan mendapat azab seksa selama-lamanya dan akan berada dalam kesusahan yang abadi (rujuk: Syarh 'ala Sahih Muslim,18/93). Imam Ibn al-Qayyim menyebut dua pentafsiran daripada hadis ini,iaitu: Pertama,orang yang beriman di dunia ini,maka keimanannya yang kuat dapat menghalangnya daripada menuruti nafsu syahwat yang diharamkan oleh Allah SWT. Sehingga dengan keadaan seperti ini,seolah-olah dia hidup dalam penjara. Atau dengan kata lain,dunia ini adalah tempat orang yang beriman memenjarakan (menahan) hawa nafsunya daripada perbuatan-perbuatan yang diharamkan oleh Allah SWT,berbeza dengan orang kafir yang hidup bebas menurutkan nafsu syahwatnya. Kedua,dunia ini adalah penjara (bagi) orang yang beriman dan syurga (bagi) orang kafir apabila dibandingkan dengan keadaan atau balasan orang yang beriman dan orang kafir di hari akhirat kelak. Ini kerana,bagi orang yang beriman,meskipun hidupnya di dunia paling senang dan bahagia,namun keadaan tersebut tetap sahaja seperti penjara jika dibandingkan dengan besarnya balasan kebaikan dan kenikmatan yang Allah SWT sediakan untuknya di syurga pada hari akhirat kelak. Manakala bagi orang kafir,meskipun hidupnya di dunia paling sengsara dan menderita,namun keadaan tersebut tetap sahaja seperti syurga jika dibandingkan dengan pedihnya balasan keburukan dan azab seksaan yang Allah SWT akan timpakan kepadanya di neraka pada hari akhirat nanti (rujuk: Bada’i’ al-Fawa’id,3/696). Wallahua'lam.

Thursday, June 22, 2023

Puasa 3 Hari Setiap Bulan Umpama Berpuasa Sepanjang Tahun

:: Hadis 1 ::
dari Abdullah bin 'Amru bin al-'As̄,Nabi ﷺ bersabda,
“...Puasa tiga hari (setiap bulan) adalah seperti puasa sepanjang tahun...”
(HR. Bukhari,no.1979. Muslim,no.1159)

:: Hadis 2 ::
dari Abu Hurairah,dia berkata,
“Kekasihku (Rasulullah) ﷺ berwasiat kepadaku supaya melakukan tiga perkara iaitu: Berpuasa tiga hari pada setiap bulan,dua rakaat Dhuha dan melakukan solat witir sebelum tidur.”
(HR. Bukhari,no.1981. Muslim,no.721)

:: Hadis 3 ::
dari Mu'adz al-'Adawiyah,bahawa dia bertanya kepada 'Aisyah isteri Nabi ﷺ,
“Apakah setiap bulan Rasulullah ﷺ selalu berpuasa tiga hari?” 'Aisyah menjawab: ‘Ya’. Aku bertanya lagi kepadanya: ‘Pada hari apa baginda berpuasa?’ 'Aisyah menjawab: ‘Baginda tidak terlalu mempersoalkan pada hari apa sahaja baginda berpuasa’.”
(HR. Muslim,no.1160)

Makan Daging Unta Membatalkan Wudhu'

dari Jabir bin Samurah,dia berkata,
“Sesungguhnya seorang lelaki bertanya kepada Rasulullah ﷺ: ‘Apakah aku perlu berwudhu setelah (makan) daging kambing?’ Baginda menjawab: ‘Berwudhulah jika engkau mahu. Jika tidak,maka jangan berwudhu’. Orang itu bertanya lagi: ‘Apakah aku harus berwudhu setelah (makan) daging unta?’ Baginda menjawab: ‘Ya,berwudhulah setelah (makan) daging unta’. Orang itu bertanya lagi: ‘Bolehkah aku solat di kandang kambing?’ Baginda menjawab: ‘Ya,boleh’. Dia bertanya lagi: ‘Bolehkah aku solat di kandang unta?’ Baginda menjawab: ‘Tidak boleh’.”
(HR. Muslim,no.360)

NOTA:
Ulama' berselisih pendapat tentang batalnya wudhu orang yg makan daging unta. Imam Ahmad ibn Hanbal dan Imam Ishaq bin Rahawaih berpendapat bahawa makan daging unta membatalkan wudhu,namun imam Sufyan ast-Tsauri & sebahagian ulama' berpendapat ianya tidak membatalkan wudhu seperti yg dikatakan oleh imam at-Tirmidzi: “Ini pendapat Ahmad dan Ishaq. Dan telah diriwayatkan dari sebahagian ahli ilmu dari kalangan tabi'in dan selainnya,mereka berpendapat bahawasanya tidak harus wudhu kerana makan daging unta. Ini adalah pendapat Sufyan ast-Tsauri dan penduduk Kufah” (rujuk: Jami' at-Tirmidzi,no.81)

Status Hadis: Wajib Berniat Puasa Pada Malam Hari

dari Hafsah,isteri Nabi ﷺ,bahawasanya Rasulullah ﷺ bersabda,
“Barangsiapa yang tidak berniat (pada malam hari) sebelum terbit fajar,maka tiada puasa baginya (pada hari tersebut).”
(HR. Abu Daud,no.2454. at-Tirmidzi,no.730. an-Nasaie,no.2331)

NOTA:
Hadis ini dinilai 'Dhaif' (lemah: tidak sahih) & Ma'lul (cacat) oleh para Ulama' Hadis. Yg rajih (tepat),hadis ini Mauquf (ucapan Hafsah),bukan Marfu' (ucapan Nabi ﷺ). Imam Bukhari berkata tentang hadis ini: “Tidak marfu' lebih tepat” (rujuk: al-Awsath,2/253). imam an-Nasaie berkata: “Yg benar di sisiku adalah Mauquf,tidak sahih akan marfu'nya,wallahua'lam. Sebab Yahya bin Ayyub (perawi dalam sanad ini) tidak kuat,dan hadis ibnu Juraij,dari az-Zuhri tidak terpelihara” (rujuk: al-Mizzi,at-Tuhfah,11/286). imam at-Tirmidzi menyebut bahawa dia telah tersilap (iaitu disandarkan kepada Nabi ﷺ),lalu at-Tirmidzi berkata: “Ia adalah hadis yg di dalamnya terdapat idthirab (kekeliruan),dan yg sahih dari ibnu Umar adalah Mauquf,dan (perawi) Yahya bin Ayyub adalah seorang yg Soduq (benar)” (rujuk: al-'ilal al-Kabir,118). Imam Abu Hatim ar-Razi menyebutkan riwayat dari Abdullah bin Abi Bakr,dan perbezaannya,lalu dia berkata: “Diriwayatkan dari az-Zuhri,dari Hamzah bin Abdullah bin Umar,dari Hafsah ucapannya,bukan Marfu',dan ini bagiku lebih (tepat) seperti” (rujuk: al-'ilal,1/225,no.654). Syaikh Yusuf al-Qaradhawi berkata: “Bagi mereka yang mengamalkan hadis di atas,maka waktu niat baginya adalah sebelum fajar,sedangkan bagi mereka yang tidak berpegang dengan hadis di atas,boleh saja berniat sebelum atau sesudah fajar (apabila telah siang) sebagaimana mazhab Abu Hanifah yg membolehkan niat di lakukan sehingga tengah hari” (rujuk: Fiqh as-Siyam,105). Wallahua'lam.

Wednesday, June 21, 2023

Urusan Dan Amal Yang Baik Naik Kepada Allah

:: al-Quran 1 ::
Allah ﷻ berfirman:
“Allah mentadbirkan makhluk-makhluk-Nya (bagi melaksanakan tadbir-Nya itu Ia menurunkan segala sebab dan peraturan) dari langit ke bumi,kemudian diangkat naik kepada-Nya (segala yang berlaku dari perlaksanaan tadbir-Nya itu untuk dihakimi-Nya) pada suatu masa yang (dirasai oleh orang-orang yang bersalah) banyak bilangan tahunnya menurut hitungan masa kamu yang biasa”
(as-Sajdah [32]: ayat 5)

:: al-Quran 2 ::
Allah ﷻ berfirman:
“Sesiapa yang mahukan kemuliaan (maka hendaklah ia berusaha mencarinya dengan jalan mematuhi perintah Allah) kerana bagi Allah jualah segala kemuliaan. Kepada Allah lah naiknya segala perkataan yang baik (yang menegaskan iman dan tauhid untuk dimasukkan ke dalam kira-kira balasan),dan amal yang soleh pula di angkatnya naik (sebagai amal yang makbul yang memberi kemuliaan kepada yang melakukannya). Dan sebaliknya,orang-orang yang merancangkan kejahatan (untuk mendapat kemuliaan) adalah bagi mereka azab seksa yang berat dan rancangan jahat mereka (kalau berkesan) akan rosak binasa”
(Faatir [35]: ayat 10)

:: Hadis ::
dari Abu Hurairah,bahawa Rasulullah ﷺ bersabda,
“Di antara kamu ada malaikat yang silih berganti bertugas mengiringi kamu di waktu malam dan siang,mereka berkumpul ketika solat Asar dan solat Subuh. Malaikat yang mengawasi amal kamu pada malam hari naik (ke langit) lantas Allah bertanya kepada mereka (dan Allah lebih tahu keadaan kamu): ‘Bagaimana kamu tinggalkan hamba-hamba-Ku?’ Para malaikat menjawab: ‘Kami tinggalkan mereka dalam keadaan mereka tengah mendirikan solat dan kami mendatangi mereka dalam keadaan mereka mendirikan solat’.”

Pada jalur lain,dari Abu Hurairah,bahawa Rasulullah ﷺ bersabda,
“Barangsiapa bersedekah dengan sebutir biji kurma dari penghasilan yang baik,dan tidak ada yang naik kepada Allah kecuali amal yang baik,maka Allah menerimanya dengan tangan kanan-Nya,kemudian mengembangkannya untuk pelakunya sebagaimana salah seorang diantara kamu merawat kuda peliharaannya hingga menjadi sebesar gunung”.
(HR. Bukhari,no.7429,7430. Muslim,no.632. Dan ini adalah lafaz riwayat Bukhari)