MENU

Friday, July 7, 2023

Ganjaran Bagi Orang Yang Selalu Berpuasa Sunat

:: Hadis 1 ::
dari Abu Hurairah,Rasulullah ﷺ bersabda,
“Setiap amalan anak Adam akan digandakan,1 kebaikan digandakan dengan 10 kali sehingga 700 kali ganda. Allah 'Azza wa Jalla berkata: ‘Kecuali puasa. Sesungguhnya ia milik Aku. Aku lah yang akan membahagi-bahagikan ganjaran pahalanya. Orang yang berpuasa itu telah meninggalkan nafsu syahwat dan makan minum kerana Aku’. Orang yang berpuasa memiliki dua kegembiraan: Kegembiraan ketika berbuka puasa dan kegembiraan ketika bertemu Tuhannya. Sesungguhnya bau mulut orang yang berpuasa lebih wangi daripada wangian kasturi.”
(HR. Muslim,no.1151)

NOTA:
Tentang sabdaan Nabi ﷺ “Semua amalan digandakan 10 kali ganda sehingga 700 kali ganda,kecuali puasa”,imam Ibnu Rajab al-Hanbali berpendapat bahawa ia bermaksud bilangan pahalanya tidak terhad kepada bilangan itu,malah Allah melipatgandakan pahalanya tanpa batas. Kerana puasa itu sebahagian daripada kesabaran,dan Allah ﷻ berfirman: “Sesungguhnya orang-orang yang bersabar sahaja yang akan disempurnakan pahala untuk mereka dengan tidak terkira” (Surah az-Zumar [39]: ayat 10). (rujuk: Lathaif al-Ma'arif,283-284). Imam al-Munawi berkata: “Orang yang berpuasa,Aku (Allah) memberinya balasan pahala yang banyak. Aku yang menguruskan balasan pahala itu tanpa diwakilkan kepada malaikat yang paling dekat atau makhluk-makhluk lain kerana puasa itu rahsia antara-Ku dengan hamba-Ku. Ini kerana apabila ditahan dirinya daripada nafsu syahwat maka ia diberi pahala dengan pengawasan Allah SWT.” (rujuk: Faidh al-Qadir,4/250)

:: Hadis 2 ::
dari Abu Hurairah,Rasulullah ﷺ bersabda,
Allah berfirman: “Semua amal perbuatan anak Adam (manusia) adalah untuknya melainkan puasa,kerana sesungguhnya ia adalah untuk-Ku dan Aku yang akan memberinya ganjaran (pahala). Puasa itu adalah merupakan perisai. Oleh itu,janganlah berkata keji dan jangan pula berteriak-teriak. Sekiranya ada seseorang mencelanya atau memeranginya,maka katakanlah: ‘Sesungguhnya aku berpuasa’. Demi Dia (Allah) yang jiwa Muhammad berada di tangan-Nya,bau mulut orang yang berpuasa lebih harum di sisi Allah SWT daripada aroma minyak kasturi. Orang yang berpuasa itu memiliki dua kegembiraan,dia berasa gembira dengan dua perkara,iaitu apabila berbuka dia berasa gembira  dan apabila bertemu Tuhannya,dia berasa gembira dengan puasanya.”
(HR. Bukhari,no.1904)

NOTA:
Namun harus diingat,untuk mendapatkan gandaan pahala ini juga memerlukan syarat lain yg perlu dituruti. Jika mengabaikannya,maka pahala puasanya boleh berkurang,malah tidak mendapat pahala walau sedikitpun,berdasarkan sebuah hadis:

dari Abu Hurairah,Rasulullah ﷺ bersabda,
“Barangsiapa yang tidak meninggalkan perkataan keji (dusta) serta mengamalkannya,maka Allah tidak berhajat orang itu meninggalkan makan dan minumnya”.
(HR. Bukhari,no.6057)

:: Hadis 3 ::
dari Abu Sa'id al-Khudri,Rasulullah ﷺ bersabda,
“Sesiapa yang berpuasa satu hari di jalan Allah,maka Allah akan menjauhkan wajahnya dari neraka sejauh 70 musim”
(HR. Bukhari,no.2840. Muslim,no.1153)

NOTA:
Kata imam Ibnu Hajar al-Asqalani,maksud "70 musim" dalam hadis ini ialah "70 tahun perjalanan" (rujuk: Fathul Bari,6/48)

:: Hadis 4 ::
dari Sahl,bahawa Nabi ﷺ bersabda,
“Sesungguhnya di dalam syurga terdapat pintu yang dinamakan ar-Rayyan. Orang-orang yang berpuasa akan masuk melaluinya (pintu tersebut) pada hari kiamat,serta tidak ada seorang pun selain daripada mereka yang akan masuk melaluinya (pintu itu). Ditanyakan: ‘Dimanakah orang-orang yang berpuasa?’ Lalu mereka pun berdiri. Tidak ada seorang pun selain daripada mereka yang akan masuk melaluinya (pintu itu). Apabila mereka telah masuk,pintu itu ditutup dan tidak ada seorang pun yang masuk (lagi) melaluinya.”
(HR. Bukhari,no.1896. Muslim,no.1152)

:: Hadis 5 ::
dari Abu Hurairah,Rasulullah ﷺ bersabda,
“Sesiapa menginfakkan sepasang (daripada harta benda) di jalan Allah,maka dia akan diseru dari pintu-pintu syurga: ‘Wahai hamba Allah,ini adalah satu kebaikan’. Sesiapa yang terdiri daripada kalangan orang yang solat,maka akan diseru daripada pintu solat,sesiapa yang terdiri daripada kalangan orang yang berjihad,akan diseru dari pintu jihad,sesiapa yang terdiri daripada kalangan orang yang berpuasa,akan diseru daripada pintu ar-Rayyan,dan sesiapa yang terdiri daripada kalangan orang yang bersedekah,akan diseru daripada pintu sedekah”. Setelah itu,Abu Bakar r.a. bertanya: “Demi bapa dan ibuku sebagai tebusanmu wahai Rasulullah! Tiadalah ke atas orang yang diseru dari pintu-pintu itu ditimpa daripada sebarang kemudaratan. Lalu adakah terdapat orang yang akan diseru daripada semua pintu-pintu itu?” Baginda menjawab: “Ya,dan aku berharap engkau termasuk dalam kalangan mereka.”
(HR. Bukhari,no.1897)

No comments:

Post a Comment