Friday, June 23, 2023

Dunia Merupakan Penjara Bagi Orang Beriman Dan Syurga Bagi Orang Kafir

dari Abu Hurairah,Rasulullah ﷺ bersabda,
“Dunia merupakan penjara bagi orang yang beriman dan syurga bagi orang yang kafir.”
(HR. Muslim,no.2956. at-Tirmidzi,no.2324. Ahmad,no.8289. Ibnu Majah,no.4113)

NOTA:
Imam an-Nawawi menjelaskan bahawa makna hadis ini bahawa orang mukmin (beriman) terpenjara di dunia kerana dia mesti menahan diri daripada pelbagai syahwat yang diharamkan dan dimakruhkan. Orang mukmin juga diperintahkan untuk melakukan ketaatan. Ketika dia mati, barulah dia rehat daripada hal itu. Kemudian dia akan memperoleh apa yang telah Allah janjikan dengan kenikmatan yang kekal, dan juga kerehatan yang sebenarnya tanpa berkurang sedikit pun. Adapun orang kafir, dunia yang dia peroleh sedikit ataupun banyak, ketika dia meninggal dunia, dia akan mendapat azab seksa selama-lamanya dan akan berada dalam kesusahan yang abadi (rujuk: Syarh ‘ala Sahih Muslim,18/93). Imam Ibn al-Qayyim menyebut dua pentafsiran daripada hadis ini, iaitu: Pertama, orang yang beriman di dunia ini, maka keimanannya yang kuat dapat menghalangnya daripada menuruti nafsu syahwat yang diharamkan oleh Allah. Sehingga dengan keadaan seperti ini, seolah-olah dia hidup dalam penjara. Atau dengan kata lain, dunia ini adalah tempat orang yang beriman memenjarakan (menahan) hawa nafsunya daripada perbuatan-perbuatan yang diharamkan oleh Allah, berbeza dengan orang kafir yang hidup bebas menurutkan nafsu syahwatnya. Kedua, dunia ini adalah penjara (bagi) orang yang beriman dan syurga (bagi) orang kafir apabila dibandingkan dengan keadaan atau balasan orang yang beriman dan orang kafir di hari akhirat kelak. Ini kerana, bagi orang yang beriman, meskipun hidupnya di dunia paling senang dan bahagia, namun keadaan tersebut tetap sahaja seperti penjara jika dibandingkan dengan besarnya balasan kebaikan dan kenikmatan yang Allah sediakan untuknya di syurga pada hari akhirat kelak. Manakala bagi orang kafir, meskipun hidupnya di dunia paling sengsara dan menderita, namun keadaan tersebut tetap sahaja seperti syurga jika dibandingkan dengan pedihnya balasan keburukan dan azab seksaan yang Allah akan timpakan kepadanya di neraka pada hari akhirat nanti (rujuk: Bada’i’ al-Fawa’id,3/696). Wallahua'lam.

No comments:

Post a Comment