Tuesday, November 15, 2022

Doa Agar Allah Permudahkan Hisab (Perhitungan) Amal Di Akhirat Kelak

dari Aisyah,dia berkata,
“Aku mendengar Nabi ﷺ pada sebahagian solatnya,baginda membaca:
اللَّهُمَّ حَاسِبْنِي حِسَابًا يَسِيرً
Allahumma H̱asibni H̱isaban Yasiro
(Ya Allah,hisablah aku dengan hisab yang mudah).
Ketika baginda berpaling,aku bertanya: ‘Wahai Nabi Allah,apa yang dimaksudkan dengan hisab yang mudah?’ Baginda bersabda: ‘Seseorang yang Allah melihat kitabnya,lalu memaafkannya. Kerana orang yang diperdebatkan hisabnya pada hari itu,pasti celaka wahai Aisyah. Dan setiap musibah yang menimpa orang beriman,Allah akan menghapuskan (dosanya) kerananya,bahkan walaupun duri yang menusuknya’.”
(HR. Ahmad,no.23082. Hadis ini dinilai 'Sahih' oleh Syaikh al-Albani [rujuk: Misykat al-Masobih,3/209,no.5562])

Saturday, November 12, 2022

Sujud: Tapak Kaki Direnggangkan Atau Dirapatkan?

● MERENGGANGKAN TAPAK KAKI ●



:: Hadis 1 ::
dari Abu Humaid,dia berkata,
“..Apabila baginda sujud,baginda merenggangkan kedua pahanya dan menjauhkan perut dari pahanya.”
(HR. Abu Daud,no.735)

NOTA:
Hadis ini dinilai 'Dhaif' (lemah: tidak sahih) oleh Syaikh al-Albani (rujuk: Irwa' al-Ghalil,2/80). Namun hadis ini dijadikan hujjah oleh imam asy-Syaukani bahawa tapak kaki direnggangkan ketika sujud,kata beliau: “Ungkapan ‘merenggangkan kedua pahanya’ maksudnya adalah merenggangkan antara kedua pahanya,kedua lututnya dan kedua tapak kakinya.” Para ulama dalam mazhab Syafi'i berkata,‘Merenggangkan antara kedua tapak kaki kadar sejengkal” (rujuk: Nailul Authar,2/297).


● MERAPATKAN TAPAK KAKI ●



:: Hadis 2 ::
dari 'Aisyah,dia berkata,
“Aku kehilangan Rasulullah ﷺ,padahal sebelumnya baginda tidur disisiku. Tiba-tiba aku menjumpai baginda sedang sujud dalam keadaan merapatkan kedua tumit baginda dan hujung-hujung jari kaki baginda menghadap Kiblat.”
(HR. Ibnu Khuzaimah,no.654. Ibnu Hibban,no.1933. al-Hakim,no.832)

NOTA:
Hadis ini 'Munkar' (tidak sahih),kerana di dalam sanadnya terdapat perawi yg bernama Yahya bin Ayyub al-Ghafiqi yg mana dia dinilai Dhaif oleh imam Abu Hatim dengan katanya: "La Yuhtajju Bihi (tidak boleh berhujjah dengannya)" (rujuk: Ibnu Abi Hatim,Jarh wa at-Ta'dil,9/128). Kata Ibn Sa'ad: "Dia Munkarul Hadis" (rujuk: ath-Thabaqat al-Kubra,7090). Imam Ahmad berkata: "Buruk hafalannya". ad-Daraquthni berkata: "Sebahagian hadisnya idhthirab (goncang)" (rujuk: adz-Dzahabi,al-Mughni fi adh-Dhu'afa,6931). Kata an-Nasaie: "Tidak kuat dan tidak boleh dijadikan hujjah" (rujuk: Ibnu Jauzi,ad-Dhu'afa wal Matrukin,3694).

NOTA (2):
Akan tetapi,walaupun hadis ini tidak sahih,namun terdapat hadis sahih yg 'secara tidak langsung' menunjukkan bahawa tumit Rasulullah ﷺ rapat ketika sujud:

:: Hadis 3 ::
dari Aisyah,dia berkata,
“Pada suatu malam aku tidak mendapati Rasulullah ﷺ di perbaringan,lalu aku mencarinya. Tiba-tiba tanganku menyentuh di kedua tapak kakinya dan ternyata baginda sedang bersujud dan kedua tapak kakinya dalam keadaan tegak..”
(HR. Muslim,no.486. Abu Daud,no.745)

NOTA:
daripada hadis ini lah,Syaikh Soleh al-Utsaimin berpendapat bahawa merapatkan tapak kaki ketika sujud adalah Sunnah,kata beliau: "Yang tampak dalam sunnah adalah kedua tapak kaki dirapatkan. Ertinya dirapatkan satu sama lain sebagaimana terdapat dalam hadis sahih tatkala dia ('Aisyah) mencari-cari Nabi ﷺ lalu tangannya menyentuh kedua tapak kakinya yang sedang ditegakkan ketika dia sujud. Satu tangan tidak akan menyentuh kedua tapak kaki,kecuali kalau keduanya dalam keadaan rapat.” (rujuk: asy-Syarhul Mumti,3/169). Walaupun begitu,seorang Muhaddis (Ahli Hadis) iaitu Syaikh 'Abdul 'Aziz at-Tharifi berpendapat bahawa tapak kaki tetap direnggangkan. Kerana menurut beliau,ucapan 'Aisyah bahawa "tersentuh kedua-dua tapak kaki baginda" tidak semestinya mencantum tumit. Boleh jadi maknanya,satu tangan menyentuh kedua-dua kaki orang yg solat yg tidak bercantum (dirapatkan),seperti kedua kakinya hanya berdekatan. Maka tapak tangan menyentuh kaki kanannya sedangkan lengan tangan menyentuh kaki kirinya. (rujuk: Sifat Solat Nabi,132-133).

KESIMPULAN:
Perkara ini berlaku khilaf (perbezaan pendapat) di kalangan para Ulama',maka setiap orang boleh memilih mana-mana pendapat samada 'merenggangkan tapak kaki' ataupun 'merapatkan tapak kaki' berdasarkan keyakinan hujjah ataupun berdasarkan keselesaan masing-masing.
Wallahua'lam Bissowab.

Friday, November 4, 2022

Doa Selepas Makan (Yang Tidak Sahih & Doa Yang Sahih)

:: Hadis 1 ::
dari Mu'adz bin Anas al-Juhani,Rasulullah ﷺ bersabda,
“Sesiapa yang memakan suatu makanan, lalu mengucapkan:
الْحَمْدُ لِلَّهِ الَّذِي أَطْعَمَنِي هَذَا الطَّعَامَ وَرَزَقَنِيهِ مِنْ غَيْرِ حَوْلٍ مِنِّي وَلَا قُوَّةٍ
Alẖamdulillahil Ladzi Ath-‘Amani Hadza Ath-Tho'ama Wa Rozaqo-Nihi Min Ghoiri H̱aulin Minni Wa Laa Quwwah
(Segala puji bagi Allah yang memberiku makanan ini dan mengurniakannya untukku tanpa daya dan upaya daripadaku),
maka akan diampunkan baginya dosa-dosanya yang lalu.”
(HR. Abu Daud,no.4023. Ahmad,no.15079. at-Tirmidzi,no.3458. Ibnu Majah,no.3285)

NOTA:
Hadis ini 'Dhaif' (lemah: tidak sahih),kerana hadis ini diriwayatkan dari Sahl bin Mu'adz bin Anas al-Juhani dari ayahnya,yg mana kata Yahya Ibn Ma'in: "Sahl bin Mu'adz bin Anas dari ayahnya,Dha'if" (rujuk: Ibnu Abi Hatim,Jarh wa at-Ta'dil,4/204). Ibnu Hibban juga mempunyai dua pendapat yang saling berselisih tentangnya. Ibnu Hibban memujinya pada kitab lain (rujuk: Masyahir 'Ulama al-Amsar,195),namun beliau mengkritiknya dengan berkata (dalam kitabnya yg lain): "Munkar al-Hadis Jiddan" (rujuk: al-Majruhin,9/441). Hadis ini juga dinilai Dhaif oleh Syaikh Muthofa al-'Adawi (dalam video beliau).

:: Hadis 2 ::
dari Abu Sa'id al-Khudri,dia berkata,
“Apabila Nabi ﷺ selesai makan,baginda mengucapkan:
الْحَمْدُ لِلَّهِ الَّذِي أَطْعَمَنَا وَسَقَانَا وَجَعَلَنَا مُسْلِمِينَ
Alẖamdulillahil Ladzi Ath-‘Amana Wa Saqona Waja ‘Alana Muslimin
(Segala puji bagi Allah yang memberikan kami makan dan minum serta menjadikan kami dalam kalangan orang Islam).”
(HR. Abu Daud,no.3850. Ahmad,no.10846. at-Tirmidzi,no.3457. Ibnu Majah,no.3274)

NOTA:
Hadis ini dinilai 'Dhaif' oleh ramai Muhadditsin (Ulama' Hadis),kerana berlaku idthirab (kegoncangan) di dalam sanadnya. Hadis ini dinilai Dhaif oleh salah satunya Imam Ibn Qattan al-Fasi (rujuk: Bayan al-Wahm wa al-Alham,4/601),adz-Dzahabi (rujuk: Mizan al-I'tidal,1/228),Syaikh Syu'aib al-Arnauth (rujuk: Tahqiq Musnad Ahmad,3/98).

:: Hadis 3 ::
dari Abu ‘Umamah,dia berkata,
“Apabila Nabi ﷺ selesai daripada (makan) makanannya,baginda membaca:
الْحَمْدُ لِلَّهِ كَثِيرًا طَيِّبًا مُبَارَكًا فِيهِ غَيْرَ مَكْفِيٍّ وَلَا مُوَدَّعٍ وَلَا مُسْتَغْنًى عَنْهُ رَبَّنَا
  Alẖamdulillahi Katsiron Thoyyiban Mubarokan Fih,Ghoiro Makfiyyin Wala Muwadda‘in Wala Mustagh-nan ‘Anhu Robbana
(Segala puji bagi Allah dengan pujian yang banyak,yang baik lagi penuh berkat di dalamnya,tanpa kami merasa cukup (iaitu kami sentiasa perlukan nikmat-nikmat Allah),
diperlukan dan tidak dapat ditinggalkan,wahai Tuhan kami).”
(HR. Bukhari,no.5458)

:: Hadis 4 ::
dari Abu ‘Umamah,dia berkata,
“Nabi ﷺ apabila selesai dari (makan) makanannya,baginda membaca:
الْحَمْدُ لِلَّهِ الَّذِي كَفَانَا وَأَرْوَانَا غَيْرَ مَكْفِيٍّ وَلَا مَكْفُور
Alẖamdulillahil-ladzi Kafana Wa Arwana Ghoiro Makfiyyin Wala Makfur
(Segala puji bagi Allah yang mencukupkan kami dan menghilangkan dahaga kami,tanpa kami merasa cukup (iaitu kami sentiasa perlukan nikmat-nikmat Allah) dan kami tidak kufur nikmat)...”
(HR. Bukhari,no.5459)

:: Hadis 5 ::
الْحَمْدُ لِلَّهِ
dari Anas bin Malik,Rasulullah ﷺ bersabda,
“Sesungguhnya Allah sangat suka kepada hamba-Nya yang mengucapkan tahmid (Alẖamdulillah) selepas makan dan minum.”
(HR. Muslim,no.2734)

NOTA:
Sekalipun doa² pada Hadis 1 & 2 itu tidak sahih,akan tetapi tidaklah menjadi masalah untuk 'sekali sekala' membacanya kerana ia hanyalah doa. Hukum berdoa dengan doa yg berasal dari hadis yg tidak sahih (sekalipun Maudhu'/Palsu),tidaklah berdosa,dengan syarat tidak berkata & meyakini bahawa doa tersebut adalah “Sunnah” atau “dari Nabi ﷺ”. Namun melazimi ‘Bismillah’ sebelum makan adalah lebih afdhal (utama) kerana ia Sahih dari Nabi ﷺ dan akan mendapat pahala Sunnah.
Wallahua'lam Bissowab.

untuk Doa sebelum makan,rujuk & klik di sini: 'Doa Sebelum Makan (Yang Tidak Sahih & Doa Yang Sahih)'

Thursday, November 3, 2022

Di Mana 'Arasy Allah?

:: al-Quran 1 ::
Allah ﷻ berfirman:
“Allah yang menciptakan tujuh petala langit dan (Ia menciptakan) bumi seperti itu..”
(at-Thalaq [65]: ayat 12)

:: Hadis 1 ::
dari Anas bin Malik,Rasulullah ﷺ bersabda (ketika peristiwa Isra' Mi'raj),
“..Aku dibawa naik ke langit ketujuh. Jibril minta dibukakan (pintu langit),dia ditanya: ‘Siapakah kamu?’ Dia menjawab: ‘Jibril’. Ditanya lagi: ‘Lalu siapakah yang bersamamu itu?’ Jibril menjawab: ‘Muhammad’. Ditanya lagi: ‘Apakah dia telah diutus?’ Jibril menjawab: ‘Ya,dia telah diutus’. Lalu (pintu itu) pun terbuka. Di sana aku bertemu Nabi Ibrahim a.s. yang tengah bersandar pada Baitul Ma'mur. Ternyata,setiap hari ada tujuh puluh ribu malaikat masuk ke Baitul Ma'mur dan mereka tidak kembali lagi. Kemudian aku di bawa ke Sidratul Muntaha yang daunnya seperti daun telinga gajah dan buah-buahannya sebesar tempayan..”
(HR. Muslim,no.162)

:: al-Quran 2 ::
Allah ﷻ berfirman:
“Disisi Sidratul Muntaha. Yang disisinya terletak syurga Jannatul-Makwa”
(an-Najm [53]: ayat 14-15)

:: Hadis 2 ::
dari Abu Hurairah,Rasulullah ﷺ bersabda,
“..Jika kamu meminta kepada Allah,mintalah (syurga) Firdaus kerana itu adalah syurga yang paling tengah dan yang paling tinggi,dan di atasnya ada 'Arasy ar-Rahman (Allah) dan daripadanya terpancar sungai-sungai di syurga.”
(HR. Bukhari,no.2790)

NOTA:
Daripada dalil² di atas,maka dapat disimpulkan bahawa langit ada tujuh lapis. Di atas langit ketujuh ada Sidratul Muntaha. Sidratul Muntaha berdekatan dengan syurga. Dan banyak-banyak syurga,syurga Firdaus adalah syurga yang paling tinggi. Dan di atas syurga Firdaus ada 'Arasy Allah. Maka,'Arasy Allah terletak di atas langit ketujuh.
Wallahua'lam.

Wednesday, November 2, 2022

Kanak-Kanak Bukan Islam Yang Mati (Belum Baligh) Akan Masuk Syurga

:: al-Quran 1 ::
Allah ﷻ berfirman:
“Dan tiadalah Kami mengazabkan sesiapapun sebelum Kami mengutuskan seorang Rasul (untuk menerangkan yang benar dan yang salah).”
(al-Isra' [17]: ayat 15)

NOTA:
daripada ayat ini,Imam Ibnu Hajar al-Asqalani menukilkan kata² Imam an-Nawawi bahawa: “Sekiranya tidak diazab mereka yg berakal kerana keadaan mereka yg tidak sampai seruan dakwah,maka tidak diazab orang yang tidak berakal adalah lebih utama” (rujuk: Fath al-Bari,4/462)

:: al-Quran 2 ::
Allah ﷻ berfirman:
“Sesungguhnya Allah tidak sekali-kali menganiaya (seseorang) sekalipun seberat zarah (debu)..”
(an-Nisa' [4]: ayat 40)

:: Hadis ::
dari Samurah bin Jundab,Rasulullah ﷺ bersabda,
“..Adapun lelaki yang tinggi di dalam Raudhah (taman syurga),ia adalah Ibrahim ﷺ. Adapun anak-anak yang ada di sekelilingnya adalah setiap anak-anak yang dilahirkan yang mati di atas fitrah (yakni Islam dan dimasukkan ke dalam syurga). Lalu sebahagian orang Islam bertanya: ‘Wahai Rasulullah,adakah ia termasuk kanak-kanak orang musyrikin?’ Lalu Rasulullah ﷺ menjawab: ‘Termasuk anak-anak orang musyrikin’..”
(HR. Bukhari,no.7047)

Saturday, October 29, 2022

Makan Belalang: Halal?

:: Hadis 1 ::
dari Ibnu ‘Umar,Rasulullah ﷺ bersabda,
“Dihalalkan ke atas kita dua jenis bangkai dan dua jenis darah. (Dua jenis bangkai) iaitu belalang dan ikan. (Dua jenis darah) iaitu hati dan limpa.”
(HR. Ahmad,no.5456. Ibnu Majah,no.3218 & 3314)

NOTA:
Hadis ini 'Dhaif' (lemah: tidak sahih) kerana di dalam sanadnya terdapat perawi yg bernama Abdurrahman bin Zaid bin Aslam,yg mana dia dinilai Dhaif oleh ramai Ulama' Hadis,salah satunya imam Ahmad,dengan katanya: “Dhaif”. Kata Yahya Ibn Ma'in: “Hadisnya tiada nilai,Dhaif”. Ketika Ibnu Abi Hatim bertanya kepada ayahnya (Abu Hatim) tentang Abdurrahman bin Zaid bin Aslam,kata Abu Hatim: “Laisa bi qowi (tidak kuat)”. Kata Abu Zur'ah: “Dhaif” (rujuk: Jarh wa at-Ta'dil,5/234). Hadis ini juga dinilai Dhaif oleh Syaikh Musthofa al-'Adawi (dalam video beliau) dengan katanya: “Tidak sahih secara marfu' (kata² Nabi ﷺ),sesungguhnya yang sahih ia adalah mauquf (kata² sahabat: ‘Abdullah bin ‘Umar) dengan hukum marfu”.

Sekalipun hadis ini 'Dhaif',akan tetapi belalang halal untuk di makan,berdasarkan hadis sahih:

:: Hadis 2 ::
dari ‘Abdullah bin Abu Aufa,dia berkata,
“Aku pernah pergi berperang bersama Rasulullah ﷺ sebanyak enam atau tujuh kali. Kami memakan belalang bersama baginda.”
(HR. Muslim,no.1952)

Wednesday, October 19, 2022

Doa Masuk Tandas Dan Keluar Tandas (Yang Tidak Sahih & Yang Sahih)

 ● DOA MASUK TANDAS ●

:: Hadis 1 ::
dari Anas,dia berkata,
“Apabila Nabi ﷺ ingin memasuki tandas,baginda membaca:
اللَّهُمَّ إِنِّي أَعُوذُ بِكَ مِنْ الْخُبُثِ وَالْخَبَائِثِ
Allahumma inni A‘udzubika Minal Khubutsi Wal Khobaist
(Ya Allah,aku berlindung kepada-Mu daripada syaitan jantan dan syaitan betina).”
(HR. Bukhari,no.142. Muslim,no.375)


● DOA KELUAR TANDAS ●

:: Hadis 2 ::
dari Anas bin Malik,dia berkata,
“Jika Nabi ﷺ keluar dari tandas,baginda membaca:
الْحَمْدُ لِلَّهِ الَّذِي أَذْهَبَ عَنِّي الْأَذَى وَعَافَانِي
Alẖamdulillahil-Ladzi Adzhaba ‘Annil Adza Wa ‘Afani
(segala puji bagi Allah yang telah menghilangkan dariku sesuatu yang menyakiti dan menyihatkan aku).”
(HR. Ibnu Majah,no.301)

NOTA:
Hadis ini 'Dhaif' (lemah: tidak sahih),kerana di dalam sanadnya terdapat perawi yg bernama Ismail bin Muslim al-Basri,yg mana dia dinilai 'Munkar' oleh imam Ahmad ibn Hanbal,dengan katanya: "Munkar al-Hadis Jiddan" (rujuk: Sualat Abi Daud Li al-Imam Ahmad,171). at-Tirmidzi menilainya 'Dhaif Jiddan' (terlalu lemah) (rujuk: 'ilal at-Tirmidzi al-Kabir,237). Dia juga dinilai 'Dhaif' oleh Abu Daud (rujuk: Sualat Abi 'Ubaid al-Ajurri Li Abi Daud,no.2/212). Hadis ini dinilai 'Dhaif' oleh imam an-Nawawi (rujuk: Syarah al-Muhadzzab,2/83). Hadis ini juga datang melalui riwayat lain,daripada Abu Dzar,akan tetapi ia juga dinilai 'Dhaif' oleh Abu Hatim ar-Razi (rujuk: Ibnu Abi Hatim,al-'ilal,1/43).

:: Hadis 3 ::
dari 'Aisyah,dia berkata,
“Apabila Nabi ﷺ keluar dari tandas,baginda membaca:
غُفْرَانَكَ
Ghufronaka
(pengampunan-Mu).”
(HR. at-Tirmidzi,no.7. Ahmad,no.24063. Abu Daud,no.30)

NOTA:
Kata imam Abu Hatim ar-Razi: “Hadis yang paling sahih dalam bab ini (doa keluar tandas) adalah hadis 'Aisyah (maksud: hadis di atas” (rujuk: Ibnu Abi Hatim,al-'ilal,1/43). Daripada kenyataan Abu Hatim inilah 'salah satu sebab' Ulama' lain menilai 'Sahih' akan hadis ini,seperti Ibnu Hajar (rujuk: Bulugh al-Maram,86),as-Son'ani (rujuk: Subul as-Salam,1/80),asy-Syaukani (rujuk: Nail al-Authar,1/98),Syaikh Ahmad Syakir (rujuk: Sharh at-Tirmidzi,1/12) & Syaikh al-Albani (rujuk: Irwa' al-Ghalil,1/91).

Saturday, October 15, 2022

Larangan Bersalaman Dengan Wanita Bukan Mahram

:: Hadis 1 ::
dari Ma'qil bin Yasar,Rasulullah ﷺ bersabda,
“Sekiranya ditusuk kepala seorang lelaki itu dengan jarum besi,maka itu lebih baik buatnya daripada menyentuh wanita yang tidak halal baginya (bukan mahram).”
(HR. at-Thabrani [rujuk: Mu'jam al-Kabir,no.486 & 487]. Hadis ini dinilai 'Hasan' oleh Syaikh Al-Albani [rujuk: As-Sohihah,226])

NOTA:
Hadis ini dinilai 'Dhaif' (lemah: tidak sahih) oleh Syaikh Khalid al-Hayek (dalam Facebook rasmi beliau),kerana dalam sanadnya terdapat perawi yg bernama Syaddad bin Sa'id,yg mana kata Syaikh Khalid al-Hayek: "dia Soduq,hadisnya tidak dapat dijadikan sokongan kerana hadis ini menyanggahi perawi yang lebih tsiqah (dipercayai)". Hadis ini bercanggah pada sanad dan lafaznya dengan riwayat lain yang sahih:

:: Hadis 2 ::
dari Ma'qil bin Yasar,dia berkata,
“Mencari paku seorang dari kamu,lalu menusuknya di kepalaku lebih aku cintai daripada jika ada seorang perempuan membasuh kepalaku,dimana dia bukan orang yang ada hubungan mahram”.
(HR. Ibnu Abi Syaibah [rujuk: al-Musannaf,no.17310]).

NOTA:
Kata Syaikh Khalid al-Hayek lagi: "Dan inilah yang benar,ianya pendapat Ma'qil bin Yasar dengan lafaz ini (maka,ianya bukan kata² Rasulullah)". Sekalipun hadis yang jelas (dari Rasulullah) tentang 'larangan menyentuh bukan mahram' ini tidak sahih (Dhaif),akan tetapi Syaikh Khalid al-Hayek berpendapat bahawa menyentuh bukan mahram dengan sengaja itu tetap haram berdasarkan dalil yang lain:

:: al-Quran 1 ::
Allah ﷻ berfirman:
“Katakanlah kepada lelaki yang beriman,'Hendaklah mereka menundukkan pandangannya dan menjaga kemaluannya..”
(an-Nur [24]: ayat 30)

:: al-Quran 2 ::
Allah ﷻ berfirman:
“Katakanlah kepada wanita-wanita yang beriman,'Hendaklah mereka menundukkan pandangannya dan kemaluannya..”
(an-Nur [24]: ayat 31)

NOTA:
Berdasarkan kedua² ayat al-Quran ini dapat difahami bahawa,kalau memandang saja tidak dibenarkan,apatah lagi menyentuh.

:: Hadis 3 ::
dari ‘Aisyah,dia berkata,
“Dahulu apabila para wanita yang beriman hendak berhijrah kepada Rasulullah ﷺ,mereka diuji sebagaimana dalam firman Allah ‘Azza wa Jalla: ‘Wahai Nabi,apabila datang kepadamu para wanita yang beriman untuk berbai’ah (pengakuan janji setia),bahawa mereka tidak akan menyekutukan Allah,tidak akan mencuri,tidak akan berzina.." (al-Mumtahanah [60]: ayat 12). Siapa saja wanita mukminah yang mengikrarkan hal ini,maka ia telah diuji. Rasulullah ﷺ sendiri berkata ketika para wanita mukminah mengikrarkan yang demikian: ‘Kamu boleh pergi kerana aku sudah membai’at kamu’. Namun demi Allah,baginda sama sekali tidak pernah menyentuh tangan seorang wanita pun. Baginda hanya membai’at para wanita dengan ucapan baginda. Rasulullah ﷺ tidaklah pernah menyentuh wanita sama sekali sebagaimana yang Allah perintahkan. Tangan beliau tidaklah pernah menyentuh tangan mereka. Ketika bai’at,baginda hanya membai’at dengan berkata: ‘Aku telah membaiat kalian dengan perkataan’.”
(HR. Bukhari,no.5288. Muslim,no.1866)

Tuesday, October 11, 2022

Membuang Benda Yang Mengganggu Di Jalan Raya Pahalanya Besar?

:: Hadis 1 ::
Abu Barzah,dia berkata,
“Aku pernah bertanya: ‘Ya Rasulullah,ajarkanlah kepadaku sesuatu yang dapat aku ambil manfaatnya’. Rasulullah ﷺ menjawab: ‘Singkirkanlah gangguan (sesuatu yang berbahaya) dari jalan kaum muslimin’.”
(HR. Muslim,no.2618. Ibnu Majah,no.3671)

:: Hadis 2 ::
dari Abu Hurairah,Rasulullah ﷺ bersabda,
“Iman itu ada 70 lebih atau 60 lebih cabang. Yang paling utama adalah perkataan 'Laa ilaha illallah' (Tiada tuhan yang layak disembah melainkan Allah). Dan yang paling rendah adalah menyingkirkan gangguan dari jalan. Dan malu itu adalah sebahagian dari iman.”
(HR. Muslim,no.35)

:: Hadis 3 ::
dari Abu Hurairah,Rasulullah ﷺ bersabda,
“Ada seorang lelaki yang sedang berjalan,kemudian dia menjumpai ranting berduri di jalan,lalu diambilnya (untuk dibuang). Maka Allah bersyukur (berterima kasih) kepadanya dan mengampuni (dosa-dosanya).”
(HR. Bukhari,no.2472.  Muslim,no.4743. at-Tirmidzi,no.1881)

:: Hadis 4 ::
dari Abu Hurairah,Rasulullah ﷺ bersabda,
“Pada suatu ketika,ada seseorang yang melalui sebatang ranting pokok yang menjuntai ke jalan. Kemudian orang tersebut berkata: ‘Demi Allah,aku akan menyingkirkan ranting pokok ini agar tidak mengganggu kaum muslimin yang lalu’. Akhirnya orang tersebut dimasukkan ke dalam syurga”.
(HR. Muslim,no.1914)

:: Hadis 5 ::
dari Abu Hurairah,Nabi ﷺ bersabda,
“Sungguh aku melihat seseorang sedang bahagia (mendapat kenikmatan) di syurga disebabkan dia telah memotong batang pokok yang menjuntai ke jalan yang mengganggu orang lalu-lalang”.
(HR. Muslim,no.4744/1914)

:: Hadis 6 ::
dari Abu Hurairah,Rasulullah ﷺ bersabda,
“Setiap sendi manusia ada sedekahnya setiap hari bermula matahari terbit. Seseorang yang mendamaikan antara dua orang yang berselisih adalah sedekah. Menolong seseorang untuk naik ke atas haiwan tunggangannya (kenderaan) atau mengangkat barang-barangnya ke atas haiwan tunggangannya (kenderaan) adalah sedekah. Ucapan yang baik adalah sedekah. Setiap langkah yang ditujukan untuk menunaikan solat adalah sedekah dan menyingkirkan sesuatu (yang boleh menyakiti atau mengganggu) orang di jalanan adalah sedekah”.
(HR. Bukhari,no.2989. Muslim,no.1009)

Sunday, October 9, 2022

Wanita Diazab Kerana Seekor Kucing

:: Hadis 1 ::
dari Ibnu 'Umar,Nabi ﷺ bersabda,
“Seorang wanita masuk ke dalam neraka kerana seekor kucing yang diikatnya. Dia tidak memberinya makanan,bahkan tidak membiarkannya memakan serangga-serangga tanah.”
(HR. Bukhari,no.3318. Muslim,no.2242)

:: Hadis 2 ::
dari Abu Hurairah,Rasulullah ﷺ bersabda,
“Seorang wanita diazab (oleh Allah pada hari kiamat) kerana dia mengurung seekor kucing tanpa memberi makan dan minum dan tidak pula dilepaskannya supaya ia dapat mencari serangga-serangga yang terdapat di bumi.”
(HR. Muslim,no.2243)

:: Hadis 3 ::
dari Asma' binti Abi Bakar,Nabi ﷺ melaksanakan solat kusuf (gerhana) lalu bersabda,
“Neraka didekatkan kepadaku hingga aku berkata: ‘Wahai Rabb,aku bersama mereka. Manakala ketika itu aku melihat seorang wanita’.” Nafi' (perawi) berkata: “Aku menduga dia (Ibnu Abu Mulaikah) mengatakan: ‘Dicakar-cakar oleh seekor kucing’. Aku bertanya: ‘Apa yang menyebabkan demikian?’ Mereka menjawab: ‘Wanita tersebut menahan kucing tersebut sehingga mati disebabkan kelaparan’.”
(HR. Bukhari,no.2364)

NOTA:
Sebahagian Ulama' mengatakan bahawa wanita di dalam hadis ini adalah wanita kafir,bukan wanita islam kerana terdapat sebuah hadis yang mengatakan tentang itu:

:: Hadis 4 ::
dari Alqamah,dia berkata,
“Ketika kami sedang berada di sisi 'Aisyah,maka datanglah Abu Hurairah. Lalu 'Aisyah berkata: ‘Engkaukah yang telah meriwayatkan sebuah hadis bahawa seorang wanita diazab kerana seekor kucing yang dia ikat dan tidak memberinya makan dan minum?’ Abu Hurairah menjawab: ‘Aku mendengarnya dari baginda (Nabi ﷺ)’. Kemudian 'Aisyah berkata: ‘Apakah engkau tahu bagaimana status wanita itu? sesungguhnya wanita itu (dengan perbuatan yang telah dia lakukan) adalah seorang kafir,sedang seorang yang beriman di sisi Allah 'Azza wa Jalla lebih mulia bila harus diazab kerana seekor kucing. Jika engkau meriwayatkan hadis dari Rasulullah ﷺ,maka lihatlah bagaimana engkau meriwayatkannya’.”
(HR. Ahmad,no.10309)

NOTA:
Akan tetapi,hadis ini dinilai 'Dhaif' dan 'Bathil' oleh Syaikh Khalid al-Hayek (dalam website rasmi beliau),kerana di dalam sanadnya terdapat perawi yg bernama Soleh bin Rustum (Abu 'Amir al-Khazzaz),yg mana dia bertafarrud (bersendiri) meriwayatkan hadis ini. Dan Soleh bin Rustum juga dinilai 'Dhaif' oleh Abu Hatim ar-Razi,dengan katanya: "Syaikh,hadisnya ditulis dan tidak boleh berhujjah dengan (riwayat)nya" (rujuk: Ibnu Abi Hatim,Jarh wa at-Ta'dil,4/403). Ibnu Hajar berkata tentangnya: "Soduq,banyak kesalahan" (rujuk: at-Taqrib,272). Maka,yang tepat,insyaAllah,wanita itu adalah wanita islam,bukan kafir.
Wallahua'lam.

Mati Syahid: Mati Lemas, Mati Terbakar, Mati Dihempap Sesuatu Dan Lain-Lain

:: Hadis 1 ::
dari 'Abdullah bin 'Amru,Nabi ﷺ bersabda,
“Barangsiapa dibunuh kerana membela hartanya,maka dia adalah syahid.”
(HR. Bukhari,no.2480. Muslim,no.141)

:: Hadis 2 ::
dari Abu Hurairah,dia berkata,
“Seorang lelaki telah datang bertemu Rasulullah ﷺ seraya berkata: ‘Wahai Rasulullah,apakah pendapatmu sekiranya seorang lelaki datang kerana ingin mengambil hartaku?’ Baginda menjawab: ‘Jangan berikan hartamu’. Lelaki itu berkata: ‘Apa pendapatmu jika dia memerangiku?’ Baginda menjawab: ‘Perangilah dia’. Lelaki itu bertanya lagi: ‘Apa pendapatmu jika dia membunuhku?’ Baginda menjawab: ‘Maka kamu dikira syahid’. Lelaki itu bertanya lagi: ‘Apa pendapatmu jika aku membunuhnya?’ Baginda menjawab: ‘Dia di neraka’.”
(HR. Muslim,no.140)

:: Hadis 3 ::
dari Abu Hurairah,Rasulullah ﷺ bersabda,
“Syuhada ada lima iaitu: orang yang terkena wabak (penyakit),orang yang sakit perut,orang yang tenggelam,orang yang tertimpa sesuatu runtuhan,dan orang yang syahid (kerana berperang) di jalan Allah.”
(HR. Bukhari,no.2829. at-Tirmidzi,no.1063)

:: Hadis 4 ::
dari Abu Hurairah,Rasulullah ﷺ bersabda,
“‘Siapakah yang kamu hitung sebagai syahid dalam kalangan kamu?’ Mereka menjawab: ‘Wahai Rasulullah,sesiapa yang terbunuh pada jalan Allah,maka dia syahid’. Baginda bersabda: ‘Kalau begitu,para syuhada dalam kalangan umatku sedikit’. Mereka bertanya: ‘Siapakah mereka,wahai Rasulullah?’ Baginda menjawab: ‘Sesiapa yang terbunuh pada jalan Allah maka dia syahid,sesiapa yang mati pada jalan Allah maka dia syahid,sesiapa yang mati disebabkan (penyakit) tho’un maka dia syahid dan sesiapa yang mati disebabkan sakit perut maka dia syahid’.”
(HR. Muslim,no.1915)

:: Hadis 5 ::
dari Sa'id bin Zaid,Rasulullah ﷺ bersabda,
“Siapa yang dibunuh kerana mempertahankan hartanya,maka dia mati syahid. Siapa yang dibunuh kerana mempertahankan keluarganya,maka dia mati syahid. Siapa yang dibunuh kerana mempertahankan agamanya,maka dia mati syahid. Siapa yang dibunuh kerana mempertahankan dirinya,maka dia mati syahid.”
(HR. Ahmad,no.1652. Abu Daud,no.4772. an-Nasaie,no.4095. at-Tirmidzi,no.1421. at-Tirmidzi menilai hadis ini sebagai 'Hasan Sahih')

:: Hadis 6 ::
dari Jabir bin 'Atik,Rasulullah ﷺ bersabda,
“..Orang-orang yang mati syahid yang selain terbunuh di jalan Allah ada 7 orang,iaitu: korban wabak adalah syahid,mati kerana tenggelam adalah syahid,penderita penyakit radang paru-paru adalah syahid,mati kerana penyakit perut adalah syahid,korban kebakaran adalah syahid,yang mati tertimpa runtuhan adalah syahid dan seorang wanita yang meninggal ketika melahirkan anak adalah syahid.”
(HR. Abu Daud,no.3111. dinilai 'Sahih' oleh Syaikh Musthofa al-'Adawi)

:: Hadis 7 ::
dari Sahl bin Hunaif,Nabi ﷺ bersabda,
“Sesiapa yang memohon kepada Allah mati syahid dengan sebenar-benar pengharapan,Allah akan mengurniakannya kedudukan para syuhada’ sekalipun dia mati di atas katilnya (tempat tidur).”
(HR. Muslim,no.1909)

Sunday, October 2, 2022

Solat Sunat Wudhu': Solat Yang Membuat Bilal Masuk Syurga

:: Hadis 1 ::
dari Abu Hurairah,Nabi ﷺ bersabda kepada Bilal ketika waktu solat Subuh,
“Wahai Bilal,ceritakan kepadaku tentang amalan yang paling engkau harapkan,yang telah engkau lakukan apabila memeluk Islam. Sesungguhnya aku mendengar bunyi tapak kasut mu di hadapan ku di syurga”. Beliau menjawab: “Tidak ada amalan yang lebih aku harapkan berbanding apabila aku berwudhu' pada waktu malam atau siang,aku akan mendirikan solat dengan wudhu' itu apa yang telah ditakdirkan untuk aku solat”.
(HR. Bukhari,no.1149. Muslim,no.2458)

:: Hadis 2 ::
dari Humran,pelayan Ustman ibn 'Affan bahawasanya dia melihat Ustman meminta sebekas air lalu dibasuhnya kedua-dua tangannya (sehingga pergelangan tangan) tiga kali,kemudian dimasukkannya tangan kanannya ke dalam bekas untuk berkumur-kumur dan menyedut air ke dalam hidung kemudian menghembuskan air dari hidung,kemudian membasuh mukanya tiga kali,dan kedua-dua tangannya hingga ke siku tiga kali,kemudian mengusap kepalanya,kemudian membasuh kedua-dua kakinya tiga kali hingga ke buku lali,kemudian beliau berkata: “Aku melihat Rasulullah ﷺ berwudhu’ seperti wudhu’ ku ini,kemudian baginda ﷺ bersabda: ‘Sesiapa yang berwudhu’ seperti wudhu’ ku ini,kemudian dia solat dua rakaat dan tidak bercakap-cakap dalam dirinya (maksudnya solat dengan khusyu') nescaya Allah ampuni segala dosanya yang telah lalu’.”
(HR. Bukhari,no.164. Muslim,no.331)

Thursday, September 29, 2022

Jibril Masukkan Tanah Ke Dalam Mulut Firaun?

:: Hadis 1 ::
dari Ibnu Abbas,(salah satu perawi di dalamnya berkata) bahawa Nabi ﷺ bersabda,
“Sesungguhnya Jibril memasukkan tanah ke dalam mulut Fira’un,kerana bimbang Fira’un akan mengucapkan: ‘Tiada tuhan (yang berhak disembah) melainkan Allah,atau bimbang Allah akan merahmatinya’.”
(HR. at-Tirmidzi,no.3108. Ahmad,no.2037 & 2989. at-Tirmidzi berkata,hadis ini 'Hasan Sahih Gharib')

NOTA:
Hadis ini dinilai 'Dhaif' & Khata' (silap) oleh Syaikh Khalid al-Hayek (dalam website rasmi beliau) kerana hadis ini diriwayatkan (sanadnya) dari Syu'bah bin al-Hajjaj,dari 'Adi bin Tsabit,dari 'Atho' bin as-Sa'ib,yg mana Syu'bah bin al-Hajjaj berkata,salah seorang dari mereka ('Adi atau 'Atho') memarfu'kannya (mengatakan hadis ini sampai kepada Nabi ﷺ),dan (tentang) 'Adi bin Tsabit,kata Syu'bah,dia salah seorang dari orang yg memarfu'kannya. (rujuk: al-Uqaili,Dhu'afa al-Kabir,3/372). Kata Syaikh Khalid al-Hayek,Syu'bah adalah seorang perawi yg Tsiqah (dipercayai),akan tetapi dalam riwayat ini,seolah² berlaku waham (ragu-ragu) terhadap Syu'bah ketika meriwayatkan hadis² ini,kerana terdapat riwayat lain daripada imam Abu Daud at-Tayalisi (rujuk: Musnad-nya,341) bahawa Syu'bah meriwayatkan hadis ini daripada 'Adi bin Tsabit dari 'Atho' bin as-Sa'ib "tanpa ragu" bahawa ianya marfu' (sampai kepada Nabi ﷺ). Sedangkan dalam riwayat al-Baihaqi pula (rujuk: Syu'ab al-Iman,7/44),dari Abu an-Nadr,bahawa Syu'bah meriwayatkan hadis ini dengan berkata "Salah satunya dari Nabi ﷺ atau kedua²nya dari Nabi ﷺ",begitu juga riwayat daripada imam at-Thobari (rujuk: Tafsir-nya,11/163),dari Waki',kata Syu'bah,"Salah seorang dari mereka memarfu'kan (menyampaikannya) kepada Nabi ﷺ". Kata Syaikh Khalid al-Hayek lagi,"Ianya diriwayatkan dengan syak (keraguan)!". Syaikh Musthofa al-'Adawi juga menilai hadis ini Dhaif di dalam video beliau,katanya: "La Yasih (Tidak Sahih)".

:: Hadis 2 ::
dari Abu Hurairah,(salah satu perawinya atau kedua-dua perawinya berkata) bahawa Nabi ﷺ bersabda,
“Jibril berkata kepadaku: ‘Wahai Muhammad,sekiranya engkau melihatku ketika aku di laut,nescaya (engkau akan melihatku) memasukkannya ke dalam mulutnya. Kerana aku khuatir apabila rahmat Allah diberikan kepadanya sehingga dia diampunkan’.”
(HR. at-Thobari [rujuk: Tafsir at-Thobari,11/163]. al-Baihaqi [rujuk: Syu'ab al-Iman,7/44])

NOTA:
Hadis ini dinilai 'Dhaif' oleh Ulama' kerana di dalam sanadnya terdapat perawi bernama Katsir bin Zadan,yg mana ketika Ibnu Abi Hatim bertanya kepada ayahnya (Abu Hatim) dan Abu Zur'ah tentangnya,kata mereka "ini Syaikh yg Majhul (tidak dikenali)" (rujuk: Jarh wa Ta'dil,1/151). Kata adz-Dzahabi,banyak kejahilan di dalamnya (rujuk: Siyar A'lam an-Nubala',13/306). 

:: Hadis 3 ::
dari Ibnu 'Abbas,ia berkata,
“Sesungguhnya Fir’aun ketika hampir tenggelam,Jibril mengambil tanah lalu memasukkannya ke dalam (mulut Fir’aun) kerana takut Allah mengampuninya.”
(HR. at-Thobari [rujuk: Tafsir at-Thobari,11/164]. Ibnu Abi Hatim [rujuk: Tafsir Abi Hatim,6/1982])

NOTA:
Hadis ini dinilai 'Dhaif' oleh Syaikh Khalid al-Hayek Kerana di dalam sanadnya terdapat perawi yg disepakati akan Dhaif-nya,iaitu perawi yg bernama Umar bin Abdullah bin Ya'la,yg mana hadisnya dinilai Dhaif oleh imam Ahmad ibn Hanbal,Yahya Ibn Ma'in,Abu Hatim dan an-Nasaie. Malah,Abu Hatim menambah: "Hadis ini Munkar". Abu Zur'ah berkata: "Laisa bi Qowiy (tidak kuat)". ad-Daraquthni menilainya 'Matruk'. (rujuk: adz-Dzahabi,Tahdzib al-Kamal,7/85). Hadis ini juga mempunyai jalur yg lain,dari al-Hussein bin Amr bin Muhammad al-Anqazi,dari ayahnya,dari Syu'bah hingga di-marfu'-kan kepada Nabi ﷺ (rujuk: Tafsir at-Thobari,11/163),namun jalur ini juga dinilai Dhaif oleh Syaikh Khalid al-Hayek kerana Khata' (silap) pada perawi al-Hussein bin Amr,dia Dhaif dan dia dibicarakan (oleh Para Ulama' hadis).

:: Hadis 4 ::
dari Ibnu ‘Abbas,Nabi ﷺ bersabda,
“Ketika Allah menenggelamkan firaun,dia berkata: ‘Aku beriman bahawa tiada tuhan yang berhak disembah melainkan tuhan yang diimani oleh Bani Israel’. Maka Jibril berkata: ‘Wahai Muhammad,seandainya engkau melihat aku mengambil lumpur lautan lalu aku menyumbat lumpur tersebut ke dalam mulut firaun kerana takut dia mendapat rahmat tuhan’.”
(HR. at-Tirmidzi,no.3107. at-Thobari [rujuk: Tafsir at-Thobari,6/650]. Ibnu Abi Hatim [rujuk: Tafsir Ibnu Abi Hatim,6/1982])

NOTA:
Hadith ini 'Dhaif' kerana di dalam sanadnya terdapat perawi bernama ‘Ali bin Zaid dan Yusuf bin Mihran,yg mana kedua²nya dinilai Dhaif oleh ibnu Hajar al-Asqalani (rujuk: Talkhis al-Habir,4/199). Hadis ini juga dinilai Dhaif oleh at-Tirmidzi sendiri selepas meriwayatkan hadis ini dengan katanya "Hasan" (Hasan di sisi at-Tirmidzi bermaksud 'Dhaif'). Ibn 'Uyainah juga menilai Ali bin Zaid sebagai Dhaif (rujuk: adz-Dzahabi,Mizan al-I'tidal,ed. 'Ali Muhammad al-Bajawi [Beirut: Dar al-Ma'rifah,1963],3/127). Abu Zur'ah berkata: "Laisa bi Qowiy (dia tidak kuat)" (rujuk: adz-Dzahabi,Diwan ad-Dhu'afa' al-Matrukin,Hammad bin Muhammad al-Ansari [Mekah: Maktabah an-Nahdah al-Hadithah,1967],283). Syaikh Khalid al-Hayek (dalam website rasminya) merasa seolah² sebenarnya Syu'bah meriwayatkan hadith ini dari Ali bin Zaid,dari Yusuf Ibn Mihran,namun dia melakukan kesilapan dan meriwayatkan daripada 'Adi bin Tsabit dan 'Atho' bin as-Sa'ib. Syaikh Syu'aib al-Arnauth juga menilai hadith ini sebagai Dhaif dalam Tahqiq beliau ke atas kitab Sahih Ibnu Hibban (rujuk: Muhammad bin Hibban,Sahih Ibn Hibban,[e.d. 'Ala' ad-Din bin Bilban],14/98).

Wallahua'lam Bissowab.

Solat: Letak Tangan (Sedekap) Di Bawah Pusat? Atas Pusat? Di Dada?

● SEDEKAP DI BAWAH PUSAT ●



dari 'Ali bin Abi Thalib,dia berkata,
“Termasuk sunnah di dalam solat meletakkan telapak tangan di atas telapak tangan yang satu lagi,di bawah pusat”
(HR. Abu Daud,no.756)

NOTA:
Hadis ini 'Dhaif Jiddan' (terlalu lemah: tidak sahih) kerana di dalam sanadnya terdapat 2 orang perawi yg bermasalah. Pertama,perawi yg bernama Abdurrahman bin Ishaq al-Kufi,yg mana Ibnu Abi Hatim berkata,bahawa dia dinilai Dhaif oleh imam Ahmad ibn Hanbal,dengan katanya "Laisa bi syai (tiada apa-apanya/tiada nilai)" (rujuk: Jarh wa at-Ta'dil,5/213). Kata Yahya ibn Ma'in,"Matruk (ditinggalkan)" (rujuk: Ibnul Jauzi,ad-Dhu'afa,2/89). Kedua,perawi Ziyad bin Zaid,yg mana Ibnu Abi Hatim menukilkan dari ayahnya (Abu Hatim),bahawa Abu Hatim ketika berkata tentangnya,"Majhul (tidak dikenali)" (rujuk: Jarh wa at-Ta'dil,3/532). Juga dinilai Majhul oleh Ibn 'Abdil Hadi (rujuk: Tanqih al-Tahqiq,2/148). Hadis ini juga mempunyai jalur lain,daripada Abu Hurairah,namun hadis itu juga Dhaif kerana perawi Abdurrahman bin Ishaq al-Kufi ada di dalam sanadnya.


● SEDEKAP DI ATAS PUSAT ●



dari Ibnu Jarir ad-Dhabbi,dari ayahnya,dia berkata,
“Aku melihat tangan kanan ‘Ali memegang tangan kirinya pada pergelangannya,di atas pusat.”
(HR. Abu Daud,no.757)

NOTA:
Hadis ini dinilai 'Dhaif' oleh Syaikh al-Albani,kerana perawi Ibnu Jarir ad-Dhabbi (nama sebenarnya Ghazwan) & ayahnya adalah Dhaif,lemah hafalan (rujuk: Dhaif Sunan Abu Daud,1/294,no.130).


● SEDEKAP DI DADA ●



:: Hadis 1 ::
dari Wail bin Hujr,dia berkata,
“Aku pernah solat bersama Nabi ﷺ dan baginda meletakkan tangan kanannya di atas tangan kirinya,pada dadanya.”
(HR. Ibnu Khuzaimah,no.479. al-Baihaqi,no.2336)

NOTA:
Hadis ini 'Dhaif' & Munkar,kerana di dalam sanadnya terdapat perawi yg bernama Muamal bin Ismail,yg mana adz-Dzahabi menukilkan bahawa Imam Bukhari berkata (tentangnya): "Munkarul Hadith" (rujuk: al-Mizan,5/353). Dia juga dinilai Dhaif oleh Abu Hatim,kerana banyak kesalahan (rujuk: Jarh wa at-Ta'dil,8/31). Muamal bin Ismail juga tafarrud (bersendiri) dan menyelisihi perawi-perawi Huffazh yg lain dalam hadis ini kerana yg meriwayatkan dari ast-Tsauri seperti Abdurrazaq,al-Firyabi,al-Makhzumi dan lain² hanya meriwayatkan dengan lafaz 'meletakkan tangan kanan pada tangan kirinya',tanpa lafaz tambahan 'di dadanya' (rujuk: Musnad al-Jami',15/676). Hadis ini juga mempunyai jalur yg kedua,dari Muhammad bin Hujr al-Hadrami dari Sa'id bin 'Abdil Jabbar bin Wail dari ayahnya dari ibunya dari Wail bin Hujr,namun hadis ini juga 'Dhaif',kerana perawi Muhammad bin Hujr al-Hadrami yg mana adz-Dzahabi berkata "Lahu Manakir (memiliki hadis² yg Munkar)" (rujuk: al-Mizan,3/511) dan perawi Sa'id bin 'Abdil Jabbar adalah Dhaif (rujuk: at-Taqrib,2357).

:: Hadis 2 ::
dari Thawus,dia berkata,
“Rasulullah ﷺ meletakkan tangan kanannya di atas tangan kiri,kemudian menarik keduanya di atas dada ketika solat.”
(HR. Abu Daud,no.759)

NOTA:
Hadis ini 'Dhaif' kerana di dalam sanadnya terdapat perawi yg bernama Sulaiman bin Musa,yg mana Abu Hatim berkata (tentangnya): "mahalahu soduq (berada pada posisi orang yg jujur),namun beberapa hadisnya mempunyai idthirab (kegoncangan)". imam Bukhari berkata: "indahu Manakir (memiliki hadis² Munkar)",dan an-Nasaie berkata: "Laisa bi Qowi (tidak kuat)" (rujuk: al-Mizzi,Tahdzib al-Kamal,12/97). Kedua,hadis ini Mursal (sanad terputus: diriwayatkan dari Tabi'in secara terus kepada Nabi ﷺ tanpa melalui dari mana-mana sahabat Nabi). Thawus adalah Tabi'in,bukan sahabat Nabi ﷺ.

:: Hadis 3 ::
dari Qabishah bin Hulb,dari ayahnya,ia berkata,
“Aku melihat Nabi ﷺ dari kanannya dan dari kirinya (ketika solat),dan aku melihat ketika itu baginda meletakkan kedua tangannya di atas dadanya.”
(HR. Ahmad,no.20961)

NOTA:
Hadis ini 'Dhaif' kerana hadis ini diriwayatkan dari Simak bin Harb dari Qabishah bin Hulb,yg mana Qabishah dinilai 'Majhul' (tidak dikenali) oleh 'Ali ibn al-Madini dan an-Nasaie. 'Ali ibn al-Madini berkata lagi,bahawa tidak ada yg meriwayatkan hadisnya selain daripada Simak bin Harb (rujuk: adz-Dzahabi,Mizan al-i'tidal,3/384). Dan kata an-Nasaie,ketika Simak bin Harb bersendiri (dalam meriwayatkan hadis),maka dia tidak boleh dijadikan hujjah (rujuk: adz-Dzahabi,Siyar A'lam an-Nubala',5/248). Qabishah juga dinilai Majhul oleh Syaikh Syu'aib al-Arnouth (rujuk: Tahqiq Musnad Ahmad,5/226).

NOTA (2):
Walaupun hadis² tentang 'tempat' tangan diletakkan ketika solat kesemuanya 'Dhaif' (lemah: tidak sahih),namun amalan meletakkan tangan kanan di atas tangan kiri adalah Sunnah Nabi yg Sahih,berdasarkan 2 Hadis:

:: Hadis 4 ::
dari Sahl bin Sa'd,dia berkata,
“Dahulu manusia diperintahkan agar meletakkan tangan kanannya di atas lengan kiri dalam solat.”
(HR. Bukhari,no.740)

:: Hadis 5 ::
dari Wail bin Hujr,
“Bahawa dia melihat Nabi ﷺ mengangkat kedua tangannya ketika memulakan solat dan bertakbir. (Hammam menggambarkan,baginda mengangkatnya sejajar kedua telinganya),lalu baginda memasukkan kedua tangannya di bajunya,kemudian meletakkan tangan kanan di atas tangan kirinya..”
(HR. Muslim,no.401)

KESIMPULAN:
Meletakkan tangan kanan di atas tangan kiri adalah Sunnah yg Sahih,hanya saja 'tempat' diletakkan tangan tidak ada yg Sahih,sebagaimana yg dikatakan oleh imam Ibnu al-Mundzir,bahawa "tiada tempat tertentu dalam meletakkan tangan satu khabar (hadis²) yg sahih dari Nabi ﷺ,maka dibolehkan samada meletakkan kedua tangan di bawah pusat atau di atas pusat" (rujuk: al-Ausath,3/94). Kata imam at-Tirmidzi,sebahagian Ulama' berpendapat,kedua tangan diletakkan di atas pusat dan sebahagian yg lain lagi berpendapat kedua tangan diletakkan di bawah pusat,dan menurut Ulama',ia bebas untuk dipilih (rujuk: Jami' at-Tirmidzi,no.252). Dan tidak menjadi masalah juga untuk meletakkan kedua tangan di dada sebagaimana minoriti Ulama' seperti Syaikh al-Albani dan sewaktu dengannya. Dibolehkan untuk memilih mengikut keselesaan dan kesesuaian diri masing-masing.
Wallahua'lam bissowab.

Wednesday, September 28, 2022

Kesahihan Hadis: Doa Mustajab Ketika Hujan

:: Hadis 1 ::
dari Sahl bin Sa'd,Rasulullah ﷺ bersabda,
“Dua waktu yang doa tidak tertolak,atau jarang tertolak,iaitu ketika azan,dan ketika peperangan ketika manusia bertempur antara satu sama lain”. Dalam riwayat lain: “Ketika hujan.”
(HR. Abu Daud,no.2540. al-Baihaqi,no.6459)

NOTA:
Ziyadah (tambahan) 'Dan waktu hujan' adalah ziyadah yg 'Dhaif',tidak sahih kerana di dalam sanadnya terdapat 2 perawi Dhaif. Pertama,perawi yg bernama Musa bin Ya'qub az-Zam'i,yg mana dia seorang yg lemah hafalan. Kata an-Nasaie: "Laisa bi Qowi (tidak kuat)" (rujuk: Ibnul Jauzi,adh-Dhu'afa wa al-Matrukin,580). Kata ad-Daraquthni tentangnya: "La Yuhtajju Bihi (Tidak boleh berhujjah dengannya)" (rujuk: al-'ilal,2/339). Ibnu Hajar al-Asqalani juga mendhaifkan beliau dengan katanya: "Soduq,lemah hafalannya" (rujuk: at-Taqrib,7026). Kedua,perawi Rizq bin Sa'id bin Abdurrahman,yg mana Kata Syaikh al-Albani,Ibnu Hajar menilai beliau sebagai 'Majhul' (tidak dikenali) (rujuk: ast-Tsamar al-Musthathab,1/139).

:: Hadis 2 ::
dari Makhul,Nabi ﷺ bersabda,
“Berdoalah (mintalah) di waktu yang mustajab doa,iaitu ketika bertemunya dua pasukan di medan pertempuran,ketika solat hendak didirikan dan ketika turunnya hujan.”
(HR. asy-Syafi'i [rujuk: al-Umm,1/289])

NOTA:
Hadis ini 'Dhaif' kerana dua sebab. Pertama,kerana perawi Mubham (tidak diberi nama),iaitu Syaikh-nya imam Syafi'i meriwayatkan hadis ini kepada beliau,dalam masa yg sama,imam Syafi'i tidak menegaskan samada Syaikh-nya ini Tsiqah (dipercayai) atau tidak. Kedua,hadis ini 'Mursal' (sanad terputus),kerana Makhul adalah Tabi'in,bukan Sahabat Nabi ﷺ. Maka Makhul tidak pernah bertemu dengan Nabi ﷺ (kerana perbezaan zaman).

:: Hadis 3 ::
dari Makhul,dari sebahagian sahabat Nabi ﷺ,bahawa doa dianjurkan ketika turun hujan,dan ketika solat didirikan,ketika bertemunya kedua pasukan dalam perang,dan ketika turunnya hujan.
(HR. Ibnu Abi Syaibah [rujuk: al-Musannaf,no.19512])

NOTA:
Hadis ini 'Dhaif' kerana di dalam sanadnya terdapat perawi yg bernama 'Abdul 'Aziz bin Umar,yg mana imam Ahmad bin Hanbal berkata (tentangnya): "dia bukan termasuk orang yang hafalannya kuat dan cermat" (rujuk: al-Khattabi,Ma'alim as-Sunan,4/104).

:: Hadis 4 ::
dari Abu Umamah,Nabi ﷺ bersabda,
“Pintu-pintu langit dibuka dan doa diijabah pada empat waktu: ketika bertemunya pasukan (ketika perang),ketika turun hujan,ketika solat didirikan dan ketika melihat Ka’bah”.
(HR. al-Baihaqi [rujuk: Ma'rifat as-Sunan wal Atsar,7239-7240])

NOTA:
Hadis ini 'Munkar' kerana di dalam sanadnya terdapat perawi yg bernama 'Ufair bin Ma'dan,yg mana ramai Ahli Hadis menilainya 'Dhaif',lemah hafalan. imam Ahmad ibn Hanbal berkata tentangnya: "Munkarul Hadis,Dha'if" (rujuk: al-Kamil,1544). Yahya Ibn Ma'in berkata: "Laisa bi Syai (tiada apa-apanya/tiada nilai)" dan kata Abu Daud: "dia seorang Syaikh yg soleh,namun Dhaif al-Hadis (Dhaif di dalam hadis)" (rujuk: adz-Dzahabi,al-Mizan,8/134). Ibnu Abi Hatim ketika bertanya kepada ayahnya (Abu Hatim) tentang 'Ufair,kata Abu Hatim: "Dha'iful Hadis,dia banyak meriwayatkan riwayat yang palsu dari Sulaim bin Amir dari Abu Umamah dari Nabi ﷺ, jangan disibukkan dengan periwayatan darinya" (rujuk: Jarh wa at-Ta'dil,7/36). an-Nasaie berkata: "Tidak tsiqah (dipercayai)" (rujuk: ad-Dhu'afa',80). Kata Ibn 'Adiy: "Keumuman riwayatnya tidak mahfuzh (terpelihara)" (rujuk: al-Kamil,5/2018). Dia juga dinilai 'Dhaif' oleh Ibnu Hajar al-Asqalani (rujuk: at-Taqrib,4626),al-Haitsami (rujuk: Majma' az-Zawa'id,1571) dan al-'Aini (rujuk: Nakhab al-Afkar,2/253. Umdat al-Qari,3/130). 

:: Hadis 5 ::
dari Salim (bin Abdullah bin Umar),dari ayahnya,bahawa Nabi ﷺ bersabda,
“Pintu-pintu langit dibuka oleh 5 perkara: bacaan al-Qur’an,bertemunya dua pasukan (ketika perang),turunnya hujan,doa orang yang dizalimi dan adzan.”
(HR. ath-Thabrani [rujuk: ad-Du'a,no.490])

NOTA:
Hadis ini 'Dhaif Jiddan',kerana di dalam sanadnya terdapat perawi yg bernama Hafs bin Sulaiman yg mana imam Ahmad ibn Hanbal berkata (tentangnya): "Matrukul Hadis (Hadis²nya ditinggalkan)" (rujuk: al-'ilal,2698). Kata al-Bukhari: "Para Ulama' meninggalkan hadisnya" (rujuk: Tarikh al-Kabir,2/2767). an-Nasaie juga menilainya 'Matruk' dengan katanya: "Matruk al-Hadis (hadis²nya ditinggalkan)" (rujuk: adh-Dhu'afa wal Matrukin,134). Dia juga dinilai Dhaif oleh Abu Zur'ah dan ad-Daraquthni (rujuk: Ibnu al-Jauzi,ad-Dhu'afa wal Matrukin,1/221. Sunan ad-Daraquthni,2/263). Dia adalah ahli dalam Qira'ah al-Quran,namun dia lemah di dalam Hadis,sepertimana yg disebut oleh adz-Dzahabi (rujuk: Siyar A'lam an-Nubala',5/260).

Kesemua hadis² berkaitan doa dimustajabkan ketika hujan adalah 'Dhaif' (lemah: tidak sahih) kerana kesemuanya tidak terlepas dari kritikkan para Ulama' Hadis. Hadis² ini juga dinilai Dhaif oleh Syaikh Khalid al-Hayek,beliau berkata: "Tiada yg tsabit tentang ini" (dalam 'Soalan' - no.113' di website rasmi beliau). Hadis² ini juga dinilai Dhaif oleh Syaikh Musthofa al-'Adawi di dalam video beliau.
Wallahua'lam bissowab.