Thursday, September 29, 2022

Jibril Masukkan Tanah Ke Dalam Mulut Firaun?

:: Hadis 1 ::
dari Ibnu Abbas,(salah satu perawi di dalamnya berkata) bahawa Nabi ﷺ bersabda,
“Sesungguhnya Jibril memasukkan tanah ke dalam mulut Fira’un, kerana bimbang Fira’un akan mengucapkan: ‘Tiada tuhan (yang berhak disembah) melainkan Allah, atau bimbang Allah akan merahmatinya’.”
(HR. at-Tirmidzi,no.3108. Ahmad,no.2037 & 2989. at-Tirmidzi berkata,hadis ini 'Hasan Sahih Gharib')

NOTA:
Hadis ini dinilai ‘Dhaif’ & Khata’ (silap) oleh Syaikh Khalid al-Hayek (dalam website rasmi beliau) kerana hadis ini diriwayatkan (sanadnya) dari Syu’bah bin al-Hajjaj, dari ‘Adi bin Tsabit, dari ‘Atho’ bin as-Sa‘ib, yg mana Syu’bah bin al-Hajjaj berkata, salah seorang dari mereka (‘Adi atau ‘Atho’) memarfu’kannya (mengatakan hadis ini sampai kepada Nabi ﷺ), dan (tentang) ‘Adi bin Tsabit, kata Syu’bah, dia salah seorang dari orang yg memarfu’kannya. (rujuk: al-Uqaili,Dhu‘afa’ al-Kabir,3/372). Kata Syaikh Khalid al-Hayek, Syu’bah adalah seorang perawi yg Tsiqah (dipercayai), akan tetapi dalam riwayat ini, seolah² berlaku waham (ragu-ragu) terhadap Syu’bah ketika meriwayatkan hadis² ini, kerana terdapat riwayat lain daripada imam Abu Daud at-Tayalisi (rujuk: Musnad-nya,341) bahawa Syu’bah meriwayatkan hadis ini daripada ‘Adi bin Tsabit dari ‘Atho’ bin as-Sa‘ib “tanpa ragu” bahawa ianya marfu’ (sampai kepada Nabi ﷺ). Sedangkan dalam riwayat al-Baihaqi pula (rujuk: Syu'ab al-Iman,7/44), dari Abu an-Nadr, bahawa Syu’bah meriwayatkan hadis ini dengan berkata: “Salah satunya dari Nabi ﷺ atau kedua²nya dari Nabi ﷺ”, begitu juga riwayat daripada imam at-Thobari (rujuk: Tafsir-nya,11/163), dari Waki’, kata Syu’bah: “Salah seorang dari mereka memarfu’kan (menyampaikannya) kepada Nabi ﷺ”. Kata Syaikh Khalid al-Hayek lagi: “Ianya diriwayatkan dengan syak (keraguan)!”. Syaikh Musthofa al-‘Adawi juga menilai hadis ini Dhaif di dalam video beliau, katanya: “La Yasih (Tidak Sahih)”.


:: Hadis 2 ::
dari Abu Hurairah,(salah satu perawinya atau kedua-dua perawinya berkata) bahawa Nabi ﷺ bersabda,
“Jibril berkata kepadaku: ‘Wahai Muhammad, sekiranya engkau melihatku ketika aku di laut, nescaya (engkau akan melihatku) memasukkannya ke dalam mulutnya. Kerana aku khuatir apabila rahmat Allah diberikan kepadanya sehingga dia diampunkan’.”
(HR. at-Thobari [rujuk: Tafsir at-Thobari,11/163]. al-Baihaqi [rujuk: Syu'ab al-Iman,7/44])

NOTA:
Hadis ini dinilai ‘Dhaif’ oleh Ulama’ kerana di dalam sanadnya terdapat perawi bernama Katsir bin Zadan, yg mana ketika Ibnu Abi Hatim bertanya kepada ayahnya (Abu Hatim) dan Abu Zur‘ah tentangnya, kata mereka: “Ini Syaikh yg Majhul (tidak dikenali)” (rujuk: Jarh wa Ta’dil,1/151). Kata adz-Dzahabi, banyak kejahilan di dalamnya (rujuk: Siyar A’lam an-Nubala’,13/306). 

:: Hadis 3 ::
dari Ibnu ‘Abbas,ia berkata,
“Sesungguhnya Fir’aun ketika hampir tenggelam, Jibril mengambil tanah lalu memasukkannya ke dalam (mulut Fir’aun) kerana takut Allah mengampuninya.”
(HR. at-Thobari [rujuk: Tafsir at-Thobari,11/164]. Ibnu Abi Hatim [rujuk: Tafsir Abi Hatim,6/1982])

NOTA:
Hadis ini dinilai ‘Dhaif’ oleh Syaikh Khalid al-Hayek Kerana di dalam sanadnya terdapat perawi yg disepakati akan Dhaif-nya, iaitu perawi yg bernama ‘Umar bin ‘Abdullah bin Ya’la, yg mana hadisnya dinilai Dhaif oleh imam Ahmad ibn Hanbal, Yahya Ibn Ma‘in, Abu Hatim dan an-Nasaie. Malah, Abu Hatim menambah: “Hadis ini Munkar”. Abu Zur‘ah berkata: “Laisa bi Qowiy (tidak kuat)”. ad-Daraquthni menilainya ‘Matruk’. (rujuk: adz-Dzahabi,Tahdzib al-Kamal,7/85). Hadis ini juga mempunyai jalur yg lain, dari al-Hussein bin Amr bin Muhammad al-Anqazi, dari ayahnya, dari Syu’bah hingga di-marfu’-kan kepada Nabi ﷺ (rujuk: Tafsir at-Thobari,11/163), namun jalur ini juga dinilai Dhaif oleh Syaikh Khalid al-Hayek kerana Khata’ (silap) pada perawi al-Hussein bin ‘Amr, dia Dhaif dan dia dibicarakan (oleh Para Ulama’ hadis).


:: Hadis 4 ::
dari Ibnu ‘Abbas,Nabi ﷺ bersabda,
“Ketika Allah menenggelamkan firaun, dia berkata: ‘Aku beriman bahawa tiada tuhan yang berhak disembah melainkan tuhan yang diimani oleh Bani Israel’. Maka Jibril berkata: ‘Wahai Muhammad, seandainya engkau melihat aku mengambil lumpur lautan lalu aku menyumbat lumpur tersebut ke dalam mulut firaun kerana takut dia mendapat rahmat tuhan’.”
(HR. at-Tirmidzi,no.3107. at-Thobari [rujuk: Tafsir at-Thobari,6/650]. Ibnu Abi Hatim [rujuk: Tafsir Ibnu Abi Hatim,6/1982])

NOTA:
Hadis ini ‘Dhaif’ kerana di dalam sanadnya terdapat perawi bernama ‘Ali bin Zaid dan Yusuf bin Mihran, yg mana kedua²nya dinilai Dhaif oleh ibnu Hajar al-Asqalani (rujuk: Talkhis al-Habir,4/199). Hadis ini juga dinilai Dhaif oleh at-Tirmidzi sendiri selepas meriwayatkan hadis ini dengan katanya: “Hasan” (Hasan di sisi at-Tirmidzi bermaksud Dhaif). Ibn ‘Uyainah juga menilai ‘Ali bin Zaid sebagai Dhaif (rujuk: adz-Dzahabi,Mizan al-I’tidal,ed. ‘Ali Muhammad al-Bajawi [Beirut: Dar al-Ma'rifah,1963],3/127). Abu Zur‘ah berkata: “Laisa bi Qowiy (dia tidak kuat)” (rujuk: adz-Dzahabi,Diwan ad-Dhu'afa' al-Matrukin,Hammad bin Muhammad al-Ansari [Mekah: Maktabah an-Nahdah al-Hadithah,1967],283). Syaikh Khalid al-Hayek (dalam website rasminya) merasa seolah² sebenarnya Syu’bah meriwayatkan hadis ini dari ‘Ali bin Zaid, dari Yusuf Ibn Mihran, namun dia melakukan kesilapan dan meriwayatkan daripada ‘Adi bin Tsabit dan ‘Atho’ bin as-Sa‘ib. Syaikh Syu‘aib al-Arnauth juga menilai hadis ini sebagai Dhaif dalam Tahqiq beliau ke atas kitab Sahih Ibnu Hibban (rujuk: Muhammad bin Hibban,Sahih Ibn Hibban,[e.d. ‘Ala’ ad-Din bin Bilban],14/98).

Wallahua’lam Bissowab.

No comments:

Post a Comment