● MERENGGANGKAN TAPAK KAKI ●
:: Hadis 1 ::
dari Abu Humaid,dia berkata,
“..Apabila baginda sujud, baginda merenggangkan kedua pahanya dan menjauhkan perut dari pahanya.”
(HR. Abu Daud,no.735)
NOTA:
Hadis ini dinilai ‘Dhaif’ (lemah: tidak sahih) oleh Syaikh al-Albani (rujuk: Irwa' al-Ghalil,2/80). Namun hadis ini dijadikan hujjah oleh imam asy-Syaukani bahawa tapak kaki direnggangkan ketika sujud, kata beliau: “Ungkapan ‘merenggangkan kedua pahanya’ maksudnya adalah merenggangkan antara kedua pahanya, kedua lututnya dan kedua tapak kakinya.” Para ulama’ dalam mazhab Syafi‘i berkata: ‘Merenggangkan antara kedua tapak kaki kadar sejengkal” (rujuk: Nailul Authar,2/297).
● MERAPATKAN TAPAK KAKI ●
:: Hadis 2 ::
dari ‘Aisyah,dia berkata,
“Aku kehilangan Rasulullah ﷺ, padahal sebelumnya baginda tidur disisiku. Tiba-tiba aku menjumpai baginda sedang sujud dalam keadaan merapatkan kedua tumit baginda dan hujung-hujung jari kaki baginda menghadap Kiblat.”
(HR. Ibnu Khuzaimah,no.654. Ibnu Hibban,no.1933. al-Hakim,no.832)
NOTA:
Hadis ini diperselisihi kesahihannya oleh para ulama’ hadis. Hadis ini dinilai sahih oleh imam Ibnu Khuzaimah kerana beliau memasukkan hadis ini ke dalam kitab Sahihnya, dengan tajuk bab: بَابُ ضَمِّ الْعَقِبَيْنِ فِي السُّجُودِ (Bab merapatkan tumit ketika sujud), menunjukkan disisi beliau, merapatkan kedua telapak kaki ketika sujud adalah sunnah. Juga dinilai sahih oleh imam al-Hakim, dengan katanya: “Hadis ini sahih sesuai dengan kriteria asy-Syaikhain (Bukhari dan Muslim)”, dan imam adz-Dzahabi mempersetujuinya (rujuk: Sahih al-Mawarid,406). Dinilai sahih oleh Imam Ibn al-Mulaqqin (rujuk: al-Badr al-Munir,3/669), dinilai sahih oleh Syaikh al-Albani, dengan katanya: “Sahih menurut syarat Muslim sahaja” (rujuk: Aslu Sifati Solatin Nabiy,2/736), dinilai sahih oleh Syaikh Syu‘aib al-Arnauth, dengan katanya: “Isnadnya sahih menurut syarat Muslim” (rujuk: Takhrij Sahih Ibnu Hibban,1933). Namun hadis ini dinilai ‘Munkar’ (tidak sahih) oleh sebahagian ulama’ hadis yang lain, kerana di dalam sanadnya terdapat perawi yg bernama Yahya bin Ayyub al-Ghafiqi yg mana dia dinilai Dhaif oleh imam Abu Hatim dengan katanya: “La Yuhtajju Bihi (tidak boleh berhujjah dengannya)” (rujuk: Ibnu Abi Hatim,Jarh wa at-Ta’dil,9/128). Kata Ibn Sa‘ad: “Dia Munkarul Hadis” (rujuk: ath-Thabaqat al-Kubra,7090). Imam Ahmad berkata: “Buruk hafalannya”. Imam ad-Daraquthni berkata: “Sebahagian hadisnya idhthirab (goncang)” (rujuk: adz-Dzahabi,al-Mughni fi adh-Dhu’afa’,6931). Kata an-Nasaie: “Tidak kuat dan tidak boleh dijadikan hujjah” (rujuk: Ibnu Jauzi,ad-Dhu’afa’ wal Matrukin,3694).
NOTA (2):
Akan tetapi, walaupun hadis ini tidak sahih, namun terdapat hadis sahih yg secara tidak langsung menunjukkan bahawa tumit Rasulullah ﷺ rapat ketika sujud:
:: Hadis 3 ::
dari ‘Aisyah,dia berkata,
“Pada satu malam, aku mendapati Rasulullah ﷺ tiada di tempat tidur. Aku mencarinya, lalu tangan ku tersentuh dua kakinya, ketika itu baginda sedang sujud, kedua-dua kakinya ditegakkan...”
(HR. Muslim,no.486. Abu Daud,no.879. at-Tirmidzi,no.3493)
NOTA:
Berdasarkan hadis ini lah, Syaikh Soleh al-‘Utsaimin berpendapat bahawa merapatkan tapak kaki ketika sujud adalah Sunnah, kata beliau: “Yang zahir daripada sunnah ialah kedua-dua kaki (telapak kaki) dirapatkan, iaitu: seseorang merapatkan kedua kakinya antara satu sama lain. Seperti dalam hadis sahih (Sahih Muslim) daripada ‘Aisyah ketika beliau kehilangan (tidak melihat) Nabi ﷺ, lalu tangannya terkena pada bahagian bawah kedua telapak kaki baginda yang dalam keadaan tegak ketika baginda sedang sujud. Dan satu tangan tidak akan terkena pada kedua telapak kaki melainkan apabila kedua-duanya dirapatkan. Hal ini juga datang dalam Sahih Ibn Khuzaimah pada hadis ‘Aisyah yang disebutkan sebelum ini: (bahawa Rasulullah ﷺ merapatkan kedua tumitnya). Maka berdasarkan itu, sunnah pada kedua kaki ialah merapatkannya, berbeza dengan (kedudukan) dua lutut dan dua tangan (yang perlu dijarakkan).” (rujuk: asy-Syarhul Mumti,3/169). Walaupun begitu, seorang Muhaddis (Ahli Hadis) iaitu Syaikh ‘Abdul ‘Aziz at-Tharifi berpendapat bahawa tapak kaki tetap direnggangkan. Kerana menurut beliau, ucapan ‘Aisyah bahawa “tersentuh kedua-dua tapak kaki baginda” tidak semestinya mencantum tumit. Boleh jadi maknanya, satu tangan menyentuh kedua-dua kaki orang yg solat yg tidak bercantum (dirapatkan), seperti kedua kakinya hanya berdekatan. Maka tapak tangan menyentuh kaki kanannya sedangkan lengan tangan menyentuh kaki kirinya. (rujuk: Sifat Solat Nabi,132-133).
KESIMPULAN:
Perkara ini berlaku khilaf (perbezaan pendapat) di kalangan para Ulama’, maka setiap orang boleh memilih mana-mana pendapat samada merenggangkan tapak kaki ataupun merapatkan tapak kaki berdasarkan keyakinan hujjah ataupun berdasarkan keselesaan masing-masing.
Wallahua’lam Bissowab.
Saturday, November 12, 2022
Sujud: Tapak Kaki Direnggangkan Atau Dirapatkan?
Labels:
● Tatacara Solat
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment