Thursday, September 29, 2022

Solat: Letak Tangan (Sedekap) Di Bawah Pusat? Atas Pusat? Di Dada?

● SEDEKAP DI BAWAH PUSAT ●



dari ‘Ali bin Abi Thalib,dia berkata,
“Termasuk sunnah di dalam solat meletakkan telapak tangan di atas telapak tangan yang satu lagi, di bawah pusat”
(HR. Abu Daud,no.756)

NOTA:
Hadis ini ‘Dhaif Jiddan’ (terlalu lemah: tidak sahih) kerana di dalam sanadnya terdapat 2 orang perawi yg bermasalah. Pertama, perawi yg bernama ‘Abdurrahman bin Ishaq al-Kufi, yg mana Ibnu Abi Hatim berkata, bahawa dia dinilai Dhaif oleh imam Ahmad ibn Hanbal, dengan katanya: “Laisa bi syai (tiada apa-apanya/tiada nilai)” (rujuk: Jarh wa at-Ta’dil,5/213). Kata Yahya ibn Ma‘in: “Matruk (ditinggalkan)” (rujuk: Ibnul Jauzi,ad-Dhu‘afa’,2/89). Kedua, perawi Ziyad bin Zaid, yg mana Ibnu Abi Hatim menukilkan dari ayahnya (Abu Hatim), bahawa Abu Hatim ketika berkata tentangnya: “Majhul (tidak dikenali)” (rujuk: Jarh wa at-Ta’dil,3/532). Juga dinilai Majhul oleh Ibn ‘Abdil Hadi (rujuk: Tanqih al-Tahqiq,2/148). Hadis ini juga mempunyai jalur lain, daripada Abu Hurairah, namun hadis itu juga Dhaif kerana perawi ‘Abdurrahman bin Ishaq al-Kufi ada di dalam sanadnya.


● SEDEKAP DI ATAS PUSAT ●



dari Ibnu Jarir ad-Dhabbi,dari ayahnya,dia berkata,
“Aku melihat tangan kanan ‘Ali memegang tangan kirinya pada pergelangannya, di atas pusat.”
(HR. Abu Daud,no.757)

NOTA:
Hadis ini dinilai ‘Dhaif’ oleh Syaikh al-Albani, kerana perawi Ibnu Jarir ad-Dhabbi (nama sebenarnya Ghazwan) & ayahnya adalah Dhaif, lemah hafalan (rujuk: Dhaif Sunan Abu Daud,1/294,no.130).


● SEDEKAP DI DADA ●



:: Hadis 1 ::
dari Wail bin Hujr,dia berkata,
“Aku pernah solat bersama Nabi ﷺ dan baginda meletakkan tangan kanannya di atas tangan kirinya, pada dadanya.”
(HR. Ibnu Khuzaimah,no.479. al-Baihaqi,no.2336)

NOTA:
Hadis ini ‘Dhaif’ & ‘Munkar’, kerana di dalam sanadnya terdapat perawi yg bernama Muamal bin Isma‘il, yg mana adz-Dzahabi menukilkan bahawa Imam Bukhari berkata (tentangnya): “Munkarul Hadis” (rujuk: al-Mizan,5/353). Dia juga dinilai Dhaif oleh Abu Hatim, kerana banyak kesalahan (rujuk: Jarh wa at-Ta’dil,8/31). Muamal bin Isma‘il juga tafarrud (bersendiri) dan menyelisihi perawi-perawi Huffazh yg lain dalam hadis ini kerana yg meriwayatkan dari ast-Tsauri seperti ‘Abdurrazaq, al-Firyabi, al-Makhzumi dan lain² hanya meriwayatkan dengan lafaz “meletakkan tangan kanan pada tangan kirinya”, tanpa lafaz tambahan “di dadanya” (rujuk: Musnad al-Jami’,15/676). Hadis ini juga mempunyai jalur yg kedua, dari Muhammad bin Hujr al-Hadrami dari Sa‘id bin ‘Abdil Jabbar bin Wail dari ayahnya dari ibunya dari Wail bin Hujr, namun hadis ini juga ‘Dhaif’, kerana perawi Muhammad bin Hujr al-Hadrami yg mana adz-Dzahabi berkata: “Lahu Manakir (memiliki hadis² yg Munkar)” (rujuk: al-Mizan,3/511) dan perawi Sa‘id bin ‘Abdil Jabbar adalah Dhaif (rujuk: at-Taqrib,2357).

:: Hadis 2 ::
dari Thawus,dia berkata,
“Rasulullah ﷺ meletakkan tangan kanannya di atas tangan kiri, kemudian menarik keduanya di atas dada ketika solat.”
(HR. Abu Daud,no.759)

NOTA:
Hadis ini ‘Dhaif’ kerana di dalam sanadnya terdapat perawi yg bernama Sulaiman bin Musa, yg mana Abu Hatim berkata (tentangnya): “Mahalahu soduq (berada pada posisi orang yg jujur), namun beberapa hadisnya mempunyai idthirab (kegoncangan)”. imam al-Bukhari berkata: “Indahu Manakir (memiliki hadis² Munkar)”, dan an-Nasaie berkata: “Laisa bi Qowi (tidak kuat)” (rujuk: al-Mizzi,Tahdzib al-Kamal,12/97). Kedua, hadis ini Mursal (sanad terputus: diriwayatkan dari Tabi‘in secara terus kepada Nabi ﷺ tanpa melalui dari mana-mana sahabat Nabi). Thawus adalah Tabi‘in, bukan sahabat Nabi ﷺ.

:: Hadis 3 ::
dari Qabishah bin Hulb,dari ayahnya,ia berkata,
“Aku melihat Nabi ﷺ dari kanannya dan dari kirinya (ketika solat), dan aku melihat ketika itu baginda meletakkan kedua tangannya di atas dadanya.”
(HR. Ahmad,no.20961)

NOTA:
Hadis ini ‘Dhaif’ kerana hadis ini diriwayatkan dari Simak bin Harb dari Qabishah bin Hulb, yg mana Qabishah dinilai ‘Majhul’ (tidak dikenali) oleh ‘Ali ibn al-Madini dan an-Nasaie. ‘Ali ibn al-Madini berkata lagi, bahawa tidak ada yg meriwayatkan hadisnya selain daripada Simak bin Harb (rujuk: adz-Dzahabi,Mizan al-i’tidal,3/384). Dan kata an-Nasaie, ketika Simak bin Harb bersendiri (dalam meriwayatkan hadis), maka dia tidak boleh dijadikan hujjah (rujuk: adz-Dzahabi,Siyar A’lam an-Nubala’,5/248). Qabishah juga dinilai Majhul oleh Syaikh Syu‘aib al-Arnauth (rujuk: Tahqiq Musnad Ahmad,5/226).

NOTA (2):
Walaupun hadis² tentang ‘tempat’ tangan diletakkan ketika solat kesemuanya ‘Dhaif’ (lemah: tidak sahih), namun amalan meletakkan tangan kanan di atas tangan kiri adalah Sunnah Nabi yg Sahih, berdasarkan 2 Hadis:

:: Hadis 4 ::
dari Sahl bin Sa’d,dia berkata,
“Dahulu manusia diperintahkan agar meletakkan tangan kanannya di atas lengan kiri dalam solat.”
(HR. Bukhari,no.740)

:: Hadis 5 ::
dari Wail bin Hujr,
“Bahawa dia melihat Nabi ﷺ mengangkat kedua tangannya ketika memulakan solat dan bertakbir. (Hammam menggambarkan, baginda mengangkatnya sejajar kedua telinganya), lalu baginda memasukkan kedua tangannya di bajunya, kemudian meletakkan tangan kanan di atas tangan kirinya..”
(HR. Muslim,no.401)

KESIMPULAN:
Meletakkan tangan kanan di atas tangan kiri adalah Sunnah yg Sahih, hanya saja ‘tempat’ diletakkan tangan tidak ada yg Sahih, sebagaimana yg dikatakan oleh imam Ibnu al-Mundzir, bahawa “tiada tempat tertentu dalam meletakkan tangan satu khabar (hadis²) yg sahih dari Nabi ﷺ, maka dibolehkan samada meletakkan kedua tangan di bawah pusat atau di atas pusat” (rujuk: al-Ausath,3/94). Kata imam at-Tirmidzi, sebahagian Ulama’ berpendapat, kedua tangan diletakkan di atas pusat dan sebahagian yg lain lagi berpendapat kedua tangan diletakkan di bawah pusat, dan menurut Ulama’, ia bebas untuk dipilih (rujuk: Jami’ at-Tirmidzi,no.252). Dan tidak menjadi masalah juga untuk meletakkan kedua tangan di dada sebagaimana minoriti Ulama’ seperti Syaikh al-Albani dan sewaktu dengannya. Dibolehkan untuk memilih mengikut keselesaan dan kesesuaian diri masing-masing.
Wallahua'lam bissowab.

No comments:

Post a Comment