Sunday, January 5, 2025

Tinggalkan Perkara Yang Tidak Bermanfaat

:: Hadis 1 ::
dari Abu Hurairah,Rasulullah ﷺ bersabda,
“Di antara (contoh) bagusnya keislaman seseorang itu, adalah dengan dia meninggalkan sesuatu yang tidak bermanfaat baginya.”
(HR. at-Tirmidzi,no.2317. Ibnu Majah,no.3917)

NOTA:
Hadis ini dinilai Dhaif oleh imam at-Tirmidzi setelah beliau meriwayatkan hadis ini. Kata beliau: “Ini adalah hadis Gharib (ganjil). Kami tidak mengetahuinya daripada hadis Abu Salamah daripada Abu Hurairah daripada Nabi ﷺ kecuali melalui jalur ini sahaja” (rujuk: Jami’ at-Tirmidzi,no.2317).

:: Hadis 2 ::
dari ‘Ali bin Husain,Rasulullah ﷺ bersabda,
“Sesungguhnya, di antara (contoh) bagusnya keislaman seseorang itu, adalah dengan dia meninggalkan sesuatu yang tidak bermanfaat baginya.”
(HR. at-Tirmidzi,no.2318)

NOTA:
Hadis ini juga dinilai Dhaif oleh imam at-Tirmidzi, dengan katanya: “Demikianlah juga diriwayatkan oleh lebih daripada seorang daripada kalangan sahabat az-Zuhri, daripada az-Zuhri, daripada ‘Ali bin Husain, daripada Nabi ﷺ secara mursal, yang semakna dengan hadis Malik. Riwayat ini pada pandangan kami adalah lebih sahih daripada hadis Abu Salamah daripada Abu Hurairah. Adapun ‘Ali bin Husain, belum pernah bertemu dengan ‘Ali bin Abi Thalib” (rujuk: Jami’ at-Tirmidzi,no.2318). Namun, walaupun hadis-hadis ini tidak sahih, akan tetapi terdapat hadis sahih lain yang menganjurkan seseorang muslim untuk melakukan sesuatu yang bermanfaat:

:: Hadis 3 ::
dari Abu Hurairah,Rasulullah ﷺ bersabda,
“Mukmin yang kuat lebih Allah cintai daripada mukmin yang lemah. Pada setiap orang ada kebaikan. Bersungguhlah melakukan apa yang bermanfaat untuk kamu. Mohonlah pertolongan Allah, dan jangan merasa lemah. Jika sesuatu menimpa kamu, janganlah kamu berkata: ‘Kalaulah aku melakukan itu dan ini’. Sebaliknya sebutlah: ‘takdir Allah, dan apa yang dikehendaki-Nya pasti akan terjadi’. Sesunggu‏hnya ‘kalau’ membuka pintu kepada amalan syaitan.”
(HR. Muslim,no.2664)

:: Hadis 4 ::
dari Abu Hurairah,Rasulullah ﷺ bersabda,
“Sesiapa yang beriman kepada Allah dan hari akhirat, hendaklah dia berkata baik atau diam. Sesiapa yang beriman kepada Allah dan hari akhirat, hendaklah dia memuliakan jirannya. Dan barangsiapa yang beriman kepada Allah dan hari akhirat, maka hendaklah dia memuliakan tetamunya.”
(HR. Bukhari,no.6475. Muslim,no.47)

No comments:

Post a Comment