:: Hadis 1 ::
dari ‘Abdullah ibn Mas‘ud,Rasulullah ﷺ bersabda,
“Tiada seorang pun yang ditimpa kegelisahan atau kesedihan, lalu dia berdoa:
اَللَّهُمَّ إِنِّيْ عَبْدُكَ، ابْنُ عَبْدِكَ، ابْنُ أَمَتِكَ، نَاصِيَتِيْ بِيَدِكَ، مَاضٍ فِيَّ حُكْمُكَ، عَدْلٌ فِيَّ قَضَاؤُكَ، أَسْأَلُكَ بِكُلِّ اسْمٍ هُوَ لَكَ، سَمَّيْتَ بِهِ نَفْسَكَ، أَوْ عَلَّمْتَهُ أَحَدًا مِنْ خَلْقِكَ، أَوْ أَنْزَلْتَهُ فِيْ كِتَابِكَ، أَوِ اسْتَأْثَرْتَ بِهِ فِيْ عِلْمِ الْغَيْبِ عِنْدَكَ، أَنْ تَجْعَلَ الْقُرْآنَ رَبِيْعَ قَلْبِيْ، وَنُوْرَ صَدْرِيْ، وَجَلاَءَ حُزْنِيْ، وَذَهَابَ هَمِّيْ
Allahumma inni ‘abduka, ibnu ‘abdika, ibnu amatika, Naas̄iyati bi-yadika, Maadhin fiyya ẖukmuka, ‘Adlun fiyya qodhoo-uka, As-aluka bikullis-min huwa laka, sammayta bihi nafsaka, aw ‘allamtahu aẖadan min kholqika, aw anzaltahu fii kitabika, awistak-tsarta bihi fii ‘ilmil ghoibi ‘indaka, An taj-‘alal Qur-ana robi‘a qolbi, Wa nuuro s̄od-rii, Wa jalaa a-ẖuznii, Wa dzahaaba hammi
(Ya Allah, sesungguhnya aku adalah hamba-Mu, anak kepada hamba-Mu, dan anak kepada hamba perempuan-Mu, ubun-ubunku di tangan-Mu. Terlaksana ke atasku hukuman-Mu dan adil kehakiman-Mu terhadapku. Aku memohon kepada-Mu dengan setiap nama yang Engkau telah namakan dengannya diri-Mu, atau Engkau turunkan di dalam kitab-Mu, atau Engkau telah mengajarnya kepada seseorang daripada makhluk-Mu atau yang tersembunyi pada ilmu ghaib disisi-Mu. Jadikanlah al-Quran penenang hatiku, cahaya di dadaku, penghapus kedukaanku dan penghilang kesusahanku),
Maka Allah akan menghilangkan kesedihannya dan menggantikan tempatnya dengan kegembiraan’. Lalu baginda ditanya: ‘Wahai Rasulullah, tidakkah kami patut mempelajarinya?’ Baginda menjawab: ‘Ya, patut bagi sesiapa yang mendengarnya untuk mempelajarinya’.”
(HR. Ahmad,no.3712. Ibnu Hibban,no.972. at-Thabrani,no.10352. Dengan lafaz-lafaz yang berbeza. Dan ini lafaz riwayat Ahmad)
NOTA:
Hadis ini dinilai Dhaif oleh ulama’ hadis seperti imam ad-Daraquthni, kerana di dalam sanadnya terdapat perawi bernama Abu Salamah al-Juhani yang mana dia dinilai majhul (tidak dikenali) oleh para ulama’ Jarh wa Ta’dil (rujuk: al-‘ilal,5/201). Walaupun ada beberapa ulama’ hadis yang menganggap beliau (Abu Salamah al-Juhani) adalah Musa al-Juhani (perawi tsiqah) kerana bergantung dengan kata-kata imam Yahya Ibn Ma‘in: “Aku rasa dia adalah Musa al-Juhani” (rujuk: at-Tarikh [diwayat ad-Duri],3/442), akan tetapi beberapa ulama’ hadis yang lain menyebutkan kunyah Musa al-Juhani sebagai Abu ‘Abdullah (bukan Abu Salamah), sebagaimana yang disebutkan oleh imam ‘Abdullah bin Ahmad (anak imam Ahmad bin Hanbal): “Kata ayahku (imam Ahmad bin Hanbal): Abu ‘Abdullah, maula Juhainah, ialah Musa al-Juhani” (rujuk: al-‘ilal wa Ma‘rifat al-Rijal,3/287). Begitu juga imam al-Bukhari, kata beliau: “Musa bin ‘Abdullah al-Juhani, Abu ‘Abdullah, seorang Kufah...” (rujuk: al-Tarikh al-Kabir,7/288). Begitu juga imam Ibnu Abi Hatim menyebutkan: “Musa bin ‘Abdullah al-Juhani, Abu ‘Abdullah, seorang Kufah..” (rujuk: Jarh wa at-Ta’dil,8/149). Imam Muslim juga menyebut: “Abu ‘Abdullah Musa al-Juhani mendengar daripada Mus‘ab bin Sa’d...” (rujuk: al-Kuna wa Asma’,481). Maka, jelaslah bahawa Abu Salamah al-Juhani disitu adalah perawi yang majhul (tidak dikenali), bukan perawi tsiqah (Musa al-Juhani). Adapun tentang kenyataan imam Yahya ibn Ma‘in, itu bukanlah kepastian disisi beliau, namun itu hanya sangkaan beliau. Imam ad-Daraquthni juga menyebut jalur kedua hadis ini, beliau menyebut jalur ‘Ali bin Mushir, daripada ‘Abdurrahman bin Ishaq, daripada al-Qasim, daripada Ibnu Mas‘ud secara Mursal (sanad terputus), kemudian imam ad-Daraquthni berkata: “Isnadnya tidak kuat” (rujuk: al-‘ilal,200-201).
:: Hadis 2 ::
dari Anas,dia berkata,
“Nabi ﷺ biasa berdoa:
اللَّهُمَّ إِنِّي أَعُوذُ بِكَ مِنَ الْهَمِّ وَالْحَزَنِ، وَالْعَجْزِ وَالْكَسَلِ، وَالْجُبْنِ وَالْبُخْلِ، وَضَلَعِ الدَّيْنِ، وَغَلَبَةِ الرِّجَالِ
Allahumma inni A‘udzubika Minal Hammi Wal H̱azan, Wal ‘Ajzi Wal Kasal, Wal Jubni Wal Bukhl, Wa Dhola‘id-Dain, Wa Gholabatir Rijal
(Ya Allah, sesungguhnya aku berlindung kepada-Mu dari kedukaan dan kesedihan, sifat lemah dan malas, sifat pengecut dan bakhil, bebanan hutang dan penindasan manusia).”
(HR Bukhari,no.6369)
Sunday, January 5, 2025
Doa Ketika Sedih Dan Dukacita
Labels:
● Himpunan Doa
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment