:: al-Quran 1 ::
Allah ﷻ berfirman:
“Wahai orang-orang yang beriman! Sesungguhnya ramai dalam kalangan pendeta Yahudi dan paderi Nasrani itu mereka makan harta orang ramai dengan cara yang batil dan menghalang jalan Allah. Dan orang-orang yang menyimpan emas dan perak tanpa menyedekahkannya ke jalan Allah; maka sampaikanlah khabar gembira buat mereka dengan azab seksa neraka yang amat pedih!”
(at-Taubah [9]: ayat 34)
:: al-Quran 2 ::
Allah ﷻ berfirman:
“Dan (ingatlah) orang-orang yang menyimpan emas dan perak serta tidak membelanjakannya pada jalan Allah, maka khabarkanlah kepada mereka dengan (balasan) azab seksa yang tidak terperi sakitnya. (Iaitu) pada hari dibakar emas perak (dan harta benda) itu dalam neraka jahanam, lalu diselar dengannya dahi mereka, dan rusuk mereka, serta belakang mereka (sambil dikatakan kepada mereka): ‘Inilah apa yang telah kamu simpan untuk diri kamu sendiri, oleh itu rasalah (azab daripada) apa yang kamu simpan itu’.”
(at-Taubah [9]: ayat 34 - 35)
:: Hadis 1 ::
dari Abu Hurairah,Nabi ﷺ bersabda,
“Unta akan datang kepada pemiliknya dalam keadaan yang paling baik dan sempurna. Apabila dia (pemiliknya) tidak memberikan padanya haknya (mengeluarkan zakat), maka unta tersebut akan memijak-mijak orang itu dengan kakinya. Kambing juga akan datang kepada pemiliknya dalam keadaan yang paling sempurna. Apabila dia tidak memberikan padanya haknya (mengeluarkan zakat), maka kambing itu akan memijak-mijak orang itu dengan kukunya (kakinya) dan menanduknya. Antara haknya juga adalah supaya diperah susunya di kawasan yang ada air. Janganlah salah seorang daripada kamu nanti, datang pada hari kiamat dengan membawa seekor kambing yang mengembek di atas tengkuknya, lalu dia pun berkata: ‘Wahai Muhammad! (dengan niat untuk meminta syafaat dan bantuan)’ Maka aku menjawab: ‘Aku tidak memiliki sesuatu apa pun untukmu, (kerana) sesungguhnya aku telah sampaikan mengenai perkara itu kepadamu’. Janganlah salah seorang daripada kamu nanti, datang pada hari kiamat dengan membawa seekor unta yang mengeluarkan bunyi di atas tengkuknya, lalu dia pun berkata: ‘Wahai Muhammad!’ Maka aku menjawab: ‘Aku tidak memiliki sesuatu apa pun untukmu, (kerana) sesungguhnya aku telah sampaikan mengenai perkara itu kepadamu’.”
(HR. Bukhari,no.1402)
:: Hadis 2 ::
dari Abu Hurairah,Nabi ﷺ bersabda,
“Sesiapa yang Allah berikan harta kepadanya, namun tidak menunaikan zakatnya, maka pada hari kiamat kelak hartanya itu akan dijelmakan menjadi seekor ular yang sangat berbisa, licin kulit kepalanya dan memiliki dua taring berbisa (atau dua titik hitam di atas kedua matanya). Ia akan membelitnya pada hari kiamat. Kemudian, ia akan mematuknya dengan kedua rahangnya (taringnya), lalu berkata: ‘Akulah hartamu, akulah simpananmu’. Kemudian, baginda membaca (firman Allah): ‘Dan jangan sekali-kali orang-orang yang bakhil dengan harta benda yang telah dikurniakan Allah kepada mereka dari kemurahan-Nya menyangka (QS Ali ‘Imran [3]: ayat 180)...”
(HR. Bukhari,no.1403)
:: Hadis 3 ::
dari Abu Hurairah,Rasulullah ﷺ bersabda,
“Tiada seorang pun yang memiliki emas dan perak lalu tidak menunaikan haknya (zakatnya), melainkan pada hari kiamat akan dibentangkan untuknya kepingan-kepingan daripada api neraka. Kemudian kepingan itu dipanaskan di dalam neraka Jahannam, lalu dengannya diselar dahi, sisinya dan punggungnya. Setiap kali kepingan itu sejuk, ia akan dipanaskan semula untuknya dalam satu hari yang kadarnya adalah 50,000 tahun, sehingga selesai diadili di kalangan para hamba. Maka dia akan melihat jalannya, sama ada ke syurga atau ke neraka’. Ada yang bertanya: ‘Wahai Rasulullah, bagaimana pula dengan unta?’ Baginda menjawab: ‘Dan pemilik unta yang tidak menunaikan haknya (zakatnya) dan sebahagian daripada haknya ialah memberi minum susunya pada hari ia dibawa ke tempat minum, melainkan pada hari kiamat ia akan dibentangkan di atas tanah lapang yang rata. Unta-unta itu dalam keadaan paling gemuk dan tidak ada seekor pun yang hilang daripadanya, termasuk anaknya. Mereka akan memijak tuannya dengan kuku mereka dan menggigitnya dengan mulut mereka. Setiap kali barisan pertama selesai melalui tuannya, barisan terakhir akan kembali semula kepadanya, dalam satu hari yang kadarnya adalah 50,000 tahun, sehingga selesai diadili di kalangan para hamba. Maka dia akan melihat jalannya, sama ada ke syurga atau ke neraka’. Ada yang bertanya lagi: ‘Wahai Rasulullah, bagaimana pula dengan lembu dan kambing?’ Baginda menjawab: ‘Dan pemilik lembu dan kambing yang tidak menunaikan haknya (zakatnya), melainkan pada hari kiamat ia akan dibentangkan di atas tanah lapang yang rata. Tidak ada satu pun daripadanya yang cacat, tidak bertanduk bengkok, tidak tanduk patah, atau yang kakinya pendek. Mereka akan menanduk tuannya dengan tanduk mereka dan memijaknya dengan kuku mereka. Setiap kali barisan pertama selesai melalui tuannya, barisan terakhir akan kembali semula kepadanya, dalam satu hari yang kadarnya adalah 50,000 tahun, sehingga selesai diadili di kalangan para hamba. Maka dia akan melihat jalannya, sama ada ke syurga atau ke neraka’. Ada yang bertanya: ‘Wahai Rasulullah, bagaimana pula dengan kuda?’ Baginda menjawab: ‘Kuda itu ada tiga jenis: ada yang menjadi beban dosa bagi pemiliknya, ada yang menjadi perlindungan, dan ada yang menjadi pahala. Kuda yang menjadi beban dosa ialah kuda yang dipelihara untuk riak, kebanggaan, dan permusuhan terhadap orang Islam. Kuda yang menjadi perlindungan ialah kuda yang dipelihara untuk berjihad di jalan Allah dengan memenuhi haknya, seperti memberikan makanan dan penjagaan. Kuda yang menjadi pahala ialah kuda yang dipelihara untuk berjihad di jalan Allah bagi orang Islam, lalu apa sahaja yang dimakan oleh kuda itu di padang rumput atau ladang akan menjadi pahala, termasuk najisnya, air kencingnya, dan setiap langkahnya akan menambah pahala pemiliknya’. Ada yang bertanya: ‘Wahai Rasulullah, bagaimana pula dengan keldai?’ Baginda menjawab: ‘Tiada wahyu yang diturunkan kepadaku mengenai keldai, kecuali ayat yang umum ini: ‘(Allah berfirman) Maka sesiapa yang melakukan kebaikan seberat zarah, dia akan melihatnya. Dan sesiapa yang melakukan kejahatan seberat zarah, dia juga akan melihatnya’ (QS. az-Zalzalah [99]: ayat 7 - 8).”
(HR. Muslim,no.987a)
No comments:
Post a Comment