Thursday, May 30, 2024

Doa Kesembuhan: “Tuhanku Allah Yang Di Langit...”

dari Abu Darda’,Rasulullah ﷺ bersabda,
“Barangsiapa yang mengadu sakit di antara kamu atau saudaranya, hendaklah ia membaca:

رَبُّنَا اللَّهُ الَّذِي فِي السَّمَاءِ تَقَدَّسَ اسْمُكَ أَمْرُكَ فِي السَّمَاءِ وَالأَرْضِ كَمَا رَحْمَتُكَ فِي السَّمَاءِ فَاجْعَلْ رَحْمَتَكَ فِي الأَرْضِ اغْفِرْ لَنَا حُوبَنَا وَخَطَايَانَا أَنْتَ رَبُّ الطَّيِّبِينَ أَنْزِلْ رَحْمَةً مِنْ رَحْمَتِكَ وَشِفَاءً مِنْ شِفَائِكَ عَلَى هَذَا الْوَجَعِ
RobbanAllahul-ladzi fissama’, Taqad-dasas-muka, Amruka fissamaa-i wal ardh, Kamaa roẖmatuka fissama', Faj’al roẖmataka fil ardh, Aghfirlana ẖubanaa wa khothoyana, Anta robbuth thoyyibiin. Anzil roẖmatan min roẖmatika, wa syifaa-an min syifaa-ika ‘ala hadzal waja-‘i (Tuhanku Allah yang di langit, Maha Suci nama-Mu. Perintah-Mu di langit dan di bumi. Sepertimana rahmat-Mu di langit, jadikanlah rahmat-Mu juga di bumi. Ampunkanlah dosa kami dan kesalahan kami. Engkau adalah Tuhan orang-orang yang baik. Turunkanlah rahmat daripada rahmat-Mu, dan kesembuhan daripada ksembuhan-Mu atas penyakit ini)

maka ia akan sembuh.”
(HR. Abu Daud,no.3892)

NOTA:
Hadis ini dinilai ‘Dhaif’ oleh para ulama’ hadis, kerana dalam sanadnya terdapat perawi yang bernama Ziyadah bin Muhammad, yang mana dia dinilai Dhaif oleh imam ‘Ibn ‘Adiy (rujuk: al-Kamil,4/145) dan imam ibnu Hibban (rujuk: al-Majruhin,1/308). Imam adz-Dzahabi menukilkan bahawa imam al-Bukhari dan an-Nasaie menilainya sebagai “Munkar al-Hadis”. Imam adz-Dzahabi juga menyebut: “Dia bersendiri dalam hadis ruqyah” (rujuk: al-Mizan,2/98).

Wednesday, May 29, 2024

Zikir Yang Pahalanya Seperti Memerdekakan 10 Hamba,Dapat 100 Pahala Dan 100 Dosa Dihapuskan

dari Abu Hurairah,Nabi ﷺ bersabda,
“Barangsiapa yang mengucapkan:
لاَ إِلَهَ إِلَّا اللَّهُ، وَحْدَهُ لاَ شَرِيكَ لَهُ، لَهُ المُلْكُ وَلَهُ الحَمْدُ، وَهُوَ عَلَى كُلِّ شَيْءٍ قَدِيرٌ
Laa ilaha illAllah, waẖdahu laa syarikalah, lahul mulku wa lahul ẖamdu,wa huwa ‘ala kulli syai-in qodiir (Tiada tuhan yang berhak disembah melainkan Allah, tiada sekutu bagi-Nya, bagi-Nya kekuasaan dan bagi-Nya kepujian, dan Dia berkuasa ke atas setiap sesuatu)
sebanyak 100 kali dalam sehari, maka baginya pahala seperti pahala orang yang memerdekakan 10 hamba sahaya dan dituliskan baginya 100 kebaikan, dihapus darinya 100 keburukan, dan baginya pelindung daripada syaitan pada hari itu hingga petang hari. Dan tidak ada seorang pun yang dapat menandinginya melainkan yang mengamalkan lebih dari itu.”
(HR. Bukhari,no.3293. Muslim,no.2691. at-Tirmidzi,no.3468)

Saturday, May 25, 2024

Allah Memberi Syafa’at-Nya Di Akhirat Kelak

dari Abu Sa‘id al-Khudri,Rasulullah ﷺ bersabda,
“...Demi Tuhan yang diriku di tangan-Nya. Manusia-manusia beriman akan memohon dengan bersungguh-sungguh kepada Allah untuk memperjuangkan hak saudara mereka yang berada di neraka. Mereka berkata: ‘Tuhan kami, mereka berpuasa, solat dan mengerjakan haji bersama kami’. Lalu dijawab kepada mereka: ‘Keluarkan dari neraka sesiapa yang kalian kenal’. Lalu diharamkan mereka daripada neraka. Orang beriman itu pun mengeluarkan sejumlah manusia yang ramai, yang mana mereka telah dimakan neraka sedalam separuh betis hingga ke lutut. Kemudian orang beriman akan berkata: ‘Tuhan kami, sudah tiada seorang pun lagi yang kalian suruh kami keluarkan’. Lalu Allah menjawab: ‘Kembalilah lagi, sesiapa yang kalian dapati pada hatinya terdapat sebesar dinar kebaikan, keluarkan dia’. Lalu mereka mengeluarkan sejumlah manusia yang ramai, kemudian mereka berkata: ‘Tuhan kami, kami tidak meninggalkan seorang pun yang engkau suruh kami keluarkan’. Kemudian Allah berkata: ‘Kembalilah lagi, sesiapa yang kalian dapati dalam hatinya terdapat separuh dinar kebaikan, keluarkanlah dia’. Lalu mereka mengeluarkan sejumlah ramai manusia, kemudian mereka berkata: ‘Tuhan kami, kami tidak meninggalkan seorang pun yang engkau suruh kami keluarkan’. Kemudian Allah berkata: ‘Kembalilah, sesiapa yang kalian dapati dalam hatinya ada sebesar zarah kebaikan, keluarkanlah dia’. Lalu mereka mengeluarkan sejumlah manusia yang ramai. Kemudian mereka berkata: ‘Tuhan kami, kami tidak meninggalkan langsung sesiapa yang ada kebaikan di sana’...Maka berkata Allah Ta’ala: ‘Malaikat telah memberi Syafa’at, para Nabi telah memberi Syafa’at, dan kaum mukminin telah memberi Syafa’at dan tiada yang tinggal (untuk memberi Syafa’at) kecuali Yang Maha Mengasihani (Allah)’. Lalu Dia menggenggam segenggam daripada neraka dan dikeluarkan daripadanya kaum yang tiada amal kebaikan langsung (namun beriman) dan mereka menjadi arang. Kemudian Allah melempar mereka ke dalam sungai yang berada di tepi syurga yang disebut sebagai sungai kehidupan...”
(HR. Muslim,no.183)

Thursday, May 23, 2024

Rasulullah Tidak Boleh Mengubah Ajaran Islam

Allah ﷻ berfirman:
“(al-Quran itu) diturunkan dari Tuhan sekalian alam. Dan kalaulah (Nabi Muhammad yang menyampaikan al-Quran itu) mengatakan atas nama Kami secara dusta, sudah tentu Kami akan menyentapnya, dengan kekuasaan Kami, kemudian sudah tentu Kami akan memutuskan tali jantungnya (supaya ia mati dengan serta-merta); Maka tidak ada seorangpun di antara kamu yang dapat menghalang (tindakan Kami itu) daripada menimpanya.”
(al-Haqqah [69]: ayat 43 - 47)

Tuesday, May 21, 2024

Menggosok Gigi Setiap Kali Hendak Solat Adalah Sunnah

:: Hadis 1 ::
dari Abu Hurairah,Rasulullah ﷺ bersabda,
“Kalaulah tidak menyusahkan umatku, nescaya aku akan perintahkan mereka bersiwak (berus gigi) pada setiap solat.”
(HR. Bukhari,no.887)

:: Hadis 2 ::
dari ‘Aisyah,Nabi ﷺ bersabda,
“Siwak (berus gigi) menyucikan mulut dan keredhaan bagi Tuhan.”
(HR. an-Nasaie,no.5. Ahmad,no.23072,23778,24821. Ibnu Hibban,no.1067)

NOTA:
Hadis ini dinilai ‘Sahih’ oleh Syaikh Musthofa al-‘Adawi dalam video beliau.
Daripada hadis-hadis ini, kita digalakkan untuk berus gigi ketika hendak melaksanakan solat dengan menggunakan kayu sugi atau berus gigi & ubat gigi matau berus gigi tanpa ubat gigi. Semua termasuk dalam makna dan tujuan hadis, iaitu membersihkan mulut.
Wallahua’lam.

Saturday, May 18, 2024

Galakkan Memilih Orang Untuk Dijadikan Sahabat

:: al-Quran 1 ::
Allah ﷻ berfirman:
“Dan jadikanlah dirimu sentiasa berdamping rapat dengan orang-orang yang beribadat kepada Tuhan mereka pada waktu pagi dan petang, yang mengharapkan keredaan Allah semata-mata; dan janganlah engkau memalingkan pandanganmu daripada mereka hanya kerana engkau mahukan kesenangan hidup di dunia; dan janganlah engkau mematuhi orang yang Kami ketahui hatinya lalai daripada mengingati dan mematuhi pengajaran Kami di dalam Al-Quran, serta ia menurut hawa nafsunya, dan tingkah-lakunya pula adalah melampaui kebenaran.”
(al-Kahfi [18]: ayat 28)

:: al-Quran 2 ::
Allah ﷻ berfirman:
“(Ahli neraka berkata:) ‘Wahai celakanya aku, alangkah baiknya kalau aku tidak mengambil si dia itu menjadi sahabat karib! Sesungguhnya dia telah menyesatkan daku dari jalan peringatan (al-Quran) setelah ia disampaikan kepadaku’. Dan adalah Syaitan itu sentiasa mengecewakan manusia (yang menjadikan dia sahabat karibnya).”
(al-Furqan [25]: ayat 28 - 29)

:: Hadis 1 ::
dari Abu Musa al-Asy‘ari,Rasulullah ﷺ bersabda,
“Perumpamaan seorang individu yang baik (yang duduk bersama dengan kita) dan juga individu yang buruk adalah seperti penjual minyak wangi dan juga tukang besi. Duduk bersama penjual minyak wangi sama ada kamu akan membelinya atau kamu dapat menikmati bauan wanginya. Manakala duduk bersama tukang besi pula sama ada menyebabkan terpercik api ke badan atau baju kamu, atau kamu mendapati bauan yang busuk darinya.”
(HR. Bukhari,no.2101)

:: Hadis 2 ::
dari Abu Sa‘id al-Khudri,Nabi ﷺ bersabda,
“Ada seorang lelaki daripada kalangan umat yang terdahulu telah membunuh 99 orang. Lalu dia bertanya tentang orang yang paling mengetahui di atas bumi. Lalu dia ditunjukkan kepada seorang rahib (ahli ibadah). Lalu dia menemui si rahib dan menyebutkan bahawa dia telah membunuh 99 orang, adakah dia masih layak untuk bertaubat? Maka si rahib menjawab: ‘Tidak!’ lantas lelaki berkenaan membunuhnya sehingga genaplah 100 orang. Kemudian dia bertanya lagi tentang orang yang paling mengetahui di atas bumi. Maka dia ditunjukkan kepada seorang lelaki yang ‘alim (berilmu). Lalu dia menyebutkan bahawa dia telah membunuh 100 orang, adakah dia masih layak untuk bertaubat? Lelaki ‘alim itu berkata: ‘Ya, apakah yang menghalang antaranya dengan taubat? Pergilah ke tempat sekian. Di sana terdapat kelompok manusia yang beribadah kepada Allah, maka beribadahlah kamu bersama-sama mereka. Jangan pulang ke tempat kamu kerana ia adalah tempat yang buruk’. Dia pun bertolak ke tempat yang disebutkan sehinggalah sampai di pertengahan jalan, malaikat maut datang (mengambil nyawanya). Berselisihlah di antara malaikat rahmat dan juga malaikat azab. Malaikat rahmat berkata: ‘Dia datang ke sini dalam keadaan bertaubat, dia telah cenderungkan hatinya kepada Allah’. Malaikat azab pula berkata: ‘Dia belum melakukan apa-apa amalan kebaikan lagi’. Kemudian datanglah kepada mereka seorang malaikat di dalam bentuk manusia. Lalu dia berada di tengah-tengah mereka, lantas berkata: ‘Ukurlah di antara dua bumi ini. Yang mana yang lebih dekat maka dia menjadi miliknya’. Mereka pun mengukurnya lalu mereka dapati bahawa lelaki itu lebih dekat ke tempat yang dia mahu tujui. Lantas malaikat rahmat memegangnya.”
(HR. Bukhari,no.3740. Muslim,no.2766. Dan ini adalah lafaz Muslim)

NOTA:
Berdasarkan Hadis 3 ini juga, dapat difahami bahawa orang sekiling (termasuk sahabat) mampu memberi pengaruh negatif kepada seseorang,sebab itulah si ‘alim menyuruh si pembunuh tersebut agar berpindah ke tempat yang penduduknya ramai dari kalangan orang-orang yang rajin beribadah. Kerana itu akan membantunya dalam proses taubat & mendekatkan diri kepada Allah.

:: Hadis 3 ::
dari Abu Sa‘id al-Khudri,Nabi ﷺ bersabda,
“Janganlah kamu menjadikan teman kecuali seorang mukmin, dan janganlah ada yang memakan bekalmu kecuali orang yang bertakwa.”
(HR. Abu Daud,no.4832. at-Tirmidzi,no.2395)

NOTA:
Hadis ini dinilai ‘Dhaif’ oleh Syaikh Musthofa al-‘Adawi dalam video beliau.

Wednesday, May 15, 2024

Menasihati Orang Dengan Cara Yang Baik

:: al-Quran ::
Allah ﷻ berfirman:
“Pergilah kamu berdua (Nabi Musa dan Nabi Harun) kepada Fir’aun, sesungguhnya ia telah melampaui batas dalam kekufurannya. Kemudian hendaklah kamu berkata kepadanya, dengan kata-kata yang lemah-lembut, semoga ia beringat atau takut.”
(Taha [20]: ayat 43 - 44)

:: Hadis 1 ::
dari Mu‘awiyah bin al-Hakam as-Sulami,dia berkata,
“Ketika aku sedang menunaikan solat bersama Rasulullah ﷺ, tiba-tiba seorang lelaki bersin. Aku pun ucapkan kepadanya: ‘Yarhamukallah’. Lalu semua orang melihat kepadaku. Aku pun bertanya: ‘Mengapa kamu semua melihatku?’ Mereka pun menepuk tangan mereka ke pehaku. Aku lihat mereka semua menghendaki aku diam. Apabila selesai solat, sungguh aku tidak pernah melihat seorang guru sebelum dan selepas baginda yang lebih baik pengajarannya daripada baginda. Demi Allah, baginda tidak memasamkan muka kepadaku, tidak memukul dan tidak mengata padaku. Baginda bersabda: ‘Sesungguhnya bagi solat itu, tidak wajar di dalamnya dimasukkan perkataan manusia, sebaliknya hanyalah untuk tasbih, takbir dan bacaan al-Quran’.”
(HR. Muslim,no.537)

:: Hadis 2 ::
dari ‘Aisyah,dia berkata,
“Sekumpulan orang Yahudi meminta izin kepada Nabi ﷺ dan mengucapkan: ‘Assaamu‘alaika (maut ke atasmu)’. Aku menjawab: ‘Bal ‘alaikum assamu wal la‘nah (Bahkan untuk kamu maut dan juga laknat)’. Maka Nabi bersabda: ‘Wahai ‘Aisyah, sesungguhnya Allah itu lunak dan mencintai kelunakkan di dalam semua urusan’. Aku menjawab: ‘Tidakkah engkau mendengar apa yang mereka ucapkan?’ Baginda menjawab: ‘Aku menjawab ‘wa‘alaikum (ke atas kamu juga)’.”
(HR. Bukhari,no.6927. Muslim,no.2165)

Saturday, May 11, 2024

Orang Kafir Yang Baik Dibalas Kebaikannya Oleh Allah Ketika Di Dunia Sahaja

:: al-Quran 1 ::
Allah ﷻ berfirman:
“Dan sesiapa yang mencari agama selain agama Islam, maka tidak akan diterima daripadanya, dan ia pada hari akhirat kelak dari orang-orang yang rugi.”
(Ali ‘Imran [3]: ayat 85)

:: al-Quran 2 ::
Allah ﷻ berfirman:
“Perumpamaan orang yang ingkar kepada Tuhannya, perbuatan mereka seperti abu yang ditiup oleh angin keras pada suatu hari yang berangin kencang. Mereka tidak kuasa (mendatangkan manfaat) sama sekali dari apa yang telah mereka usahakan (di dunia). Yang demikian itu adalah kesesatan yang jauh.”
(Ibrahim [14]: ayat 18)

:: al-Quran 3 ::
Allah ﷻ berfirman:
“Dan Kami tujukan perbicaraan kepada apa yang mereka telah kerjakan dari jenis amal (yang mereka pandang baik), lalu Kami jadikan dia terbuang sebagai debu yang berterbangan.”
(al-Furqan [25]: ayat 23)

:: Hadis 1 ::
dari ‘Aisyah,dia berkata,
“Wahai Rasulullah, ibn Jud‘an adalah seorang yang menghubungkan silaturrahim pada zaman Jahiliyyah, dia banyak memberi makan pada orang miskin, apakah amalannya bermanfaat buatnya di sisi Allah?’ Rasulullah lalu menjawab: ‘Tidak. Tidak ada manfaat buatnya. Dia tidak pernah mengungkapkan: Wahai Tuhanku, ampunkan dosaku pada hari akhirat nanti’.”
(HR. Muslim,no.214)

:: Hadis 2 ::
dari Anas bin Malik,Rasulullah ﷺ bersabda,
“Sesungguhnya Allah tidak menzalimi seorang mukmin yang membuat amalan kebaikan kerana dia akan diberi balasan kebaikan di atas dunia, dan akan dibalas juga di akhirat kelak. Ada pun orang kafir mereka akan diberi ganjaran kebaikan di atas dunia terhadap perbuatan mereka tetapi di akhirat kelak tiada ganjaran yang akan diberikan.” Dalam riwayat lain: “Sesungguhnya orang kafir jika dia melakukan amalan kebaikan, maka dia akan dibalas dengan kebaikan di atas dunia. Ada pun orang yang beriman, Allah Ta’ala akan membalas amalan kebaikannya di akhirat kelak, dan menyediakan ganjaran rezeki di atas dunia kerana ketaatannya.”
(HR. Muslim,no.2808)

Friday, May 10, 2024

Allah Makbulkan Doa Dengan 3 Cara

dari Abu Sa‘id,Nabi ﷺ bersabda,
“Tidaklah seorang Muslim berdoa yang tidak mengandungi dosa dan tidak bertujuan memutus silaturrahim, melainkan Allah akan mengabulkannya dengan tiga cara: Allah akan mengabulkan doanya dengan segera, Allah akan menyimpan (menjadikannya pahala) baginya di akhirat kelak, Allah akan memalingkan darinya keburukan seumpamanya’. Mereka (para sahabat) berkata: ‘Kalau begitu, kami akan memperbanyak berdoa’. Baginda bersabda: ‘Allah akan banyak mengabulkan doa-doa kamu’.”
(HR. Ahmad,no.10709. Dinilai ‘sahih’ oleh Syaikh al-Albani [rujuk: Sahih al-Adab al-Mufrad,547])

Tuesday, May 7, 2024

Tiada Orang Yang Bujang Dalam Syurga

dari Abu Hurairah,Rasulullah ﷺ bersabda,
“Sesungguhnya orang yang awal masuk ke dalam syurga ialah atas rupa bulan purnama dan yang mengiringinya pula atas rupa seperti bintang yang sangat terang sinarnya di langit. Bagi setiap ahli syurga dari mereka itu dua isteri yang mana dapat dilihat dari belakang daging akan sumsum dua betisnya dan tiadalah di dalam syurga itu orang yang bujang.”
(HR. Muslim,no.2834)

Allah Merahmati Suami Isteri Yang Membangunkan Pasangannya Untuk Menunaikan Solat Malam (Qiyamullail)

dari Abu Hurairah,Rasulullah ﷺ bersabda,
“Allah memberi rahmat kepada lelaki yang bangun pada malam hari, lalu dia menunaikan solat dan mengejutkan isterinya. Kemudian isterinya pula bangun menunaikan solat. Jika isterinya enggan bangun, dia merenjiskan air ke wajah isterinya. Allah juga memberi rahmat kepada wanita yang bangun pada malam hari, lalu dia menunaikan solat dan mengejutkan suami. Kemudian suaminya bangun menunaikan solat. Jika suaminya enggan bangun, dia merenjiskan air ke wajah suaminya.”
(HR. Abu Daud,no.1308. an-Nasaie,no.1610. Ibnu Majah,no.1336)

NOTA:
Hadis ini didiamkan oleh imam Abu Daud setelah meriwayatkan hadis ini,dan diamnya imam Abu Daud bermaksud hadis itu ‘Soleh’ (sahih) disisi beliau. Hadis ini juga dinilai ‘Hasan’ oleh Syaikh Musthofa al-‘Adawi dalam video beliau.

Sunday, May 5, 2024

Perkara Yang Disukai Banyak Menjerumus Ke Neraka

dari Abu Hurairah,Rasulullah ﷺ bersabda,
“Neraka diselaputi perkara-perkara yang disukai, manakala syurga diselaputi perkara-perkara yang tidak disukai.”
(HR. Bukhari,no.6487)

Doa Yang Rasulullah Simpan Untuk Umatnya Di Akhirat Kelak

dari Abu Hurairah,Rasulullah ﷺ bersabda,
“Setiap nabi mempunyai satu doa yang akan diperkenankan, dan setiap nabi bersegera untuk berdoa dengannya. Dan sesungguhnya aku ingin menyimpan doaku sebagai syafaat (pertolongan) untuk umatku di akhirat nanti, dan ia diperolehi, dengan izin Allah, bagi sesiapa yang mati di kalangan umatku dalam keadaan tidak menyekutukan Allah dengan suatu apa pun.”
(HR. Bukhari,no.6304. Muslim,no.199)

Saturday, May 4, 2024

Memberi Hadiah Adalah Sunnah

:: Hadis 1 ::
dari ‘Aisyah,dia berkata,
“Rasulullah ﷺ menerima hadiah dan baginda membalasnya.”
(HR. Bukhari,no.2585)

:: Hadis 2 ::
dari Abu Hurairah,Nabi ﷺ bersabda,
“Hendaklah kamu saling memberi hadiah. Nescaya kamu akan saling mengasihi.”
(HR. Bukhari [rujuk: al-Adab al-Mufrad,no.594])

NOTA:
Hadis ini sanadnya dinilai ‘Jayyid’ (baik: Sahih) oleh imam al-‘Iraqi (rujuk: Takhrij al-Ihya’,2/53). Sanad hadis ini juga dinilai ‘Hasan’ oleh imam Ibnu Hajar al-Asqalani (rujuj: Talkhis al-Habir,3/1047).

Menipu Itu Haram Kecuali...

dari Ummu Kultsum binti ‘Uqbah,Rasulullah ﷺ bersabda,
“Tidaklah dikira orang yang banyak berdusta, siapa yang mahu mendamaikan antara dua orang yang berselisih, lalu diterbitkan daripadanya segala yang baik-baik atau dia berkata apa yang baik.”
(HR. Bukhari,no.2692. Muslim,no.4724)

NOTA:
Kata Ibnu Syihab: “Aku tidak pernah mendengar Rasulullah membolehkan orang berdusta melainkan dalam 3 keadaan: Ketika dalam peperangan, dalam mendamaikan dua orang yang berselisih dan percakapan suami kepada isterinya dan percakapan isteri kepada suaminya” (rujuk: Sahih Muslim,no.2605)