Saturday, May 18, 2024

Galakkan Memilih Orang Untuk Dijadikan Sahabat

:: al-Quran 1 ::
Allah ﷻ berfirman:
“Dan jadikanlah dirimu sentiasa berdamping rapat dengan orang-orang yang beribadat kepada Tuhan mereka pada waktu pagi dan petang, yang mengharapkan keredaan Allah semata-mata; dan janganlah engkau memalingkan pandanganmu daripada mereka hanya kerana engkau mahukan kesenangan hidup di dunia; dan janganlah engkau mematuhi orang yang Kami ketahui hatinya lalai daripada mengingati dan mematuhi pengajaran Kami di dalam Al-Quran, serta ia menurut hawa nafsunya, dan tingkah-lakunya pula adalah melampaui kebenaran.”
(al-Kahfi [18]: ayat 28)

:: al-Quran 2 ::
Allah ﷻ berfirman:
“(Ahli neraka berkata:) ‘Wahai celakanya aku, alangkah baiknya kalau aku tidak mengambil si dia itu menjadi sahabat karib! Sesungguhnya dia telah menyesatkan daku dari jalan peringatan (al-Quran) setelah ia disampaikan kepadaku’. Dan adalah Syaitan itu sentiasa mengecewakan manusia (yang menjadikan dia sahabat karibnya).”
(al-Furqan [25]: ayat 28 - 29)

:: Hadis 1 ::
dari Abu Musa al-Asy‘ari,Rasulullah ﷺ bersabda,
“Perumpamaan seorang individu yang baik (yang duduk bersama dengan kita) dan juga individu yang buruk adalah seperti penjual minyak wangi dan juga tukang besi. Duduk bersama penjual minyak wangi sama ada kamu akan membelinya atau kamu dapat menikmati bauan wanginya. Manakala duduk bersama tukang besi pula sama ada menyebabkan terpercik api ke badan atau baju kamu, atau kamu mendapati bauan yang busuk darinya.”
(HR. Bukhari,no.2101)

:: Hadis 2 ::
dari Abu Sa‘id al-Khudri,Nabi ﷺ bersabda,
“Ada seorang lelaki daripada kalangan umat yang terdahulu telah membunuh 99 orang. Lalu dia bertanya tentang orang yang paling mengetahui di atas bumi. Lalu dia ditunjukkan kepada seorang rahib (ahli ibadah). Lalu dia menemui si rahib dan menyebutkan bahawa dia telah membunuh 99 orang, adakah dia masih layak untuk bertaubat? Maka si rahib menjawab: ‘Tidak!’ lantas lelaki berkenaan membunuhnya sehingga genaplah 100 orang. Kemudian dia bertanya lagi tentang orang yang paling mengetahui di atas bumi. Maka dia ditunjukkan kepada seorang lelaki yang ‘alim (berilmu). Lalu dia menyebutkan bahawa dia telah membunuh 100 orang, adakah dia masih layak untuk bertaubat? Lelaki ‘alim itu berkata: ‘Ya, apakah yang menghalang antaranya dengan taubat? Pergilah ke tempat sekian. Di sana terdapat kelompok manusia yang beribadah kepada Allah, maka beribadahlah kamu bersama-sama mereka. Jangan pulang ke tempat kamu kerana ia adalah tempat yang buruk’. Dia pun bertolak ke tempat yang disebutkan sehinggalah sampai di pertengahan jalan, malaikat maut datang (mengambil nyawanya). Berselisihlah di antara malaikat rahmat dan juga malaikat azab. Malaikat rahmat berkata: ‘Dia datang ke sini dalam keadaan bertaubat, dia telah cenderungkan hatinya kepada Allah’. Malaikat azab pula berkata: ‘Dia belum melakukan apa-apa amalan kebaikan lagi’. Kemudian datanglah kepada mereka seorang malaikat di dalam bentuk manusia. Lalu dia berada di tengah-tengah mereka, lantas berkata: ‘Ukurlah di antara dua bumi ini. Yang mana yang lebih dekat maka dia menjadi miliknya’. Mereka pun mengukurnya lalu mereka dapati bahawa lelaki itu lebih dekat ke tempat yang dia mahu tujui. Lantas malaikat rahmat memegangnya.”
(HR. Bukhari,no.3740. Muslim,no.2766. Dan ini adalah lafaz Muslim)

NOTA:
Berdasarkan Hadis 3 ini juga, dapat difahami bahawa orang sekiling (termasuk sahabat) mampu memberi pengaruh negatif kepada seseorang,sebab itulah si ‘alim menyuruh si pembunuh tersebut agar berpindah ke tempat yang penduduknya ramai dari kalangan orang-orang yang rajin beribadah. Kerana itu akan membantunya dalam proses taubat & mendekatkan diri kepada Allah.

:: Hadis 3 ::
dari Abu Sa‘id al-Khudri,Nabi ﷺ bersabda,
“Janganlah kamu menjadikan teman kecuali seorang mukmin, dan janganlah ada yang memakan bekalmu kecuali orang yang bertakwa.”
(HR. Abu Daud,no.4832. at-Tirmidzi,no.2395)

NOTA:
Hadis ini dinilai ‘Dhaif’ oleh Syaikh Musthofa al-‘Adawi dalam video beliau.

No comments:

Post a Comment