:: al-Quran ::
Allah ﷻ berfirman:
“Pergilah kamu berdua (Nabi Musa dan Nabi Harun) kepada Fir’aun, sesungguhnya ia telah melampaui batas dalam kekufurannya. Kemudian hendaklah kamu berkata kepadanya, dengan kata-kata yang lemah-lembut, semoga ia beringat atau takut.”
(Taha [20]: ayat 43 - 44)
:: Hadis 1 ::
dari Mu‘awiyah bin al-Hakam as-Sulami,dia berkata,
“Ketika aku sedang menunaikan solat bersama Rasulullah ﷺ, tiba-tiba seorang lelaki bersin. Aku pun ucapkan kepadanya: ‘Yarhamukallah’. Lalu semua orang melihat kepadaku. Aku pun bertanya: ‘Mengapa kamu semua melihatku?’ Mereka pun menepuk tangan mereka ke pehaku. Aku lihat mereka semua menghendaki aku diam. Apabila selesai solat, sungguh aku tidak pernah melihat seorang guru sebelum dan selepas baginda yang lebih baik pengajarannya daripada baginda. Demi Allah, baginda tidak memasamkan muka kepadaku, tidak memukul dan tidak mengata padaku. Baginda bersabda: ‘Sesungguhnya bagi solat itu, tidak wajar di dalamnya dimasukkan perkataan manusia, sebaliknya hanyalah untuk tasbih, takbir dan bacaan al-Quran’.”
(HR. Muslim,no.537)
:: Hadis 2 ::
dari ‘Aisyah,dia berkata,
“Sekumpulan orang Yahudi meminta izin kepada Nabi ﷺ dan mengucapkan: ‘Assaamu‘alaika (maut ke atasmu)’. Aku menjawab: ‘Bal ‘alaikum assamu wal la‘nah (Bahkan untuk kamu maut dan juga laknat)’. Maka Nabi bersabda: ‘Wahai ‘Aisyah, sesungguhnya Allah itu lunak dan mencintai kelunakkan di dalam semua urusan’. Aku menjawab: ‘Tidakkah engkau mendengar apa yang mereka ucapkan?’ Baginda menjawab: ‘Aku menjawab ‘wa‘alaikum (ke atas kamu juga)’.”
(HR. Bukhari,no.6927. Muslim,no.2165)
No comments:
Post a Comment