:: Hadis 1 ::
dari Abu Sa‘id,Nabi ﷺ bersabda,
“Tidaklah seorang Muslim berdoa dengan doa yang tidak mengandungi dosa dan memutuskan silaturahim, kecuali Allah akan memberikan kepadanya salah satu daripada tiga perkara berikut: (1) Akan disegerakan doanya itu, (2) disimpan (dijadikan pahala) baginya di Akhirat kelak, (3) dijauhkan dari keburukan semisalnya. Para sahabat berkata: ‘Kalau begitu, kita perbanyakkan (berdoa)’. Baginda bersabda: ‘Allah (akan memberikan) lebih banyak lagi’.”
(HR. Ahmad,no.11133. Bukhari [rujuk: al-Adab al-Mufrad,no.710]. Ibnu Abi Syaibah,no.29780. Abu Ya’la,no.1019. Dengan sedikit perbezaan lafaz)
NOTA:
Hadis ini dinilai sahih oleh imam al-Haitsami dengan katanya: “Rijalnya (perawinya) adalah rijal as-Sahih (al-Bukhari & Muslim) kecuali ‘Ali bin ‘Ali ar-Rifa‘i, dia tsiqah” (rujuk: Majma’ az-Zawaid,10/151). Hadis ini juga dinilai sahih oleh Syaikh al-Albani (rujuk: Sahih at-Targhib,no.1633. Hidayah al-Ruwah,no.2199. Sahih al-Adab al-Mufrad,547), juga dinilai sahih oleh Syaikh Syu‘aib al-Arnauth dengan katanya: “Isnadnya Jayyid” (rujuk: Takhrij Musnad Ahmad,no.11133).
:: Hadis 2 ::
dari Abu Dzar,Nabi ﷺ meriwayatkan daripada Allah Tabaraka wa Ta‘ala,bahawa Dia berfirman,
“Wahai hamba-hamba Ku, sesungguhnya Aku telah mengharamkan kezaliman atas diri-Ku, dan Aku telah menjadikannya suatu yang haram sesama kamu, maka janganlah kamu saling menzalimi. Wahai hamba-hamba Ku, semua kamu berada dalam kesesatan, melainkan sesiapa yang aku beri hidayah kepadanya, maka mintalah hidayah daripada-Ku, Aku akan memberi hidayah kepada kamu semua. Wahai hamba-hamba Ku, semua kamu adalah orang yang lapar, melainkan sesiapa yang Aku berikan makan kepadanya, maka mohonlah makanan kepada-Ku, Aku akan memberi makan kepada kamu semua. Wahai hamba-hamba Ku, kamu semua bertelanjang melainkan sesiapa yang Aku memakaikan pakaian kepadanya, maka mohonlah pakaian kepada-Ku, Aku akan berikan pakaian kepada kamu semua. Wahai hamba-hamba Ku, sesungguhnya kamu semua melakukan kesalahan di malam hari dan di siangnya, dan Aku (tuhan) yang mengampunkan dosa keseluruhannya, maka pohonlah keampunan daripada-Ku, aku akan mengampunkan kamu semua. Wahai hamba-hamba Ku, mudharat yang dikenakan kepada kamu semua sama sekali tidak memudharatkan Aku, demikian juga manfaat yang menimpa kamu semua sama sekali tidak memberi manfaat kepada-Ku. Wahai hamba-hamba Ku, seandainya orang yang sebelum dan sesudah kamu semua, manusia mahupun jin, semuanya adalah (seumpama) seorang lelaki yang paling bertaqwa dari kalangan kamu, demikian itu tidaklah menambah sedikitpun dari perbendaharaan-Ku. Wahai hamba-hamba Ku, seandainya orang yang sebelum dan sesudah kamu semua, manusia mahupun jin, semuanya adalah (seumpama) seorang lelaki yang paling jahat dari kalangan kamu, demikian itu tidaklah mengurangkan sedikitpun dari perbendaharaan-Ku. Wahai hamba-hamba Ku, sekiranya orang yang sebelum dan sesudah kamu semua, manusia mahupun jin, berkumpul di satu tempat yang luas, lalu mereka semua meminta kepada-Ku, dan Aku perkenankan (berikan) setiap orang itu akan permintaannya, tidaklah yang demikian itu mengurangkan sedikitpun dari perbendaharaan-Ku, sepertimana seumpana sebatang jarum apabila dimasukkan ke dalam laut, Wahai hamba-hamba Ku sekelian, sebaliknya semuanya adalah amalan kamu yang akan Aku hitungnya, kemudian akan Aku sempurnakan balasannya (di hari kiamat), oleh kerana itu sesiapa yang memperolehi kebaikan, maka pujilah Allah dan sesiapa yang memperolehi selainnya, maka jangan sama sekali dia mencela melainkan dirinya sendiri.”
(HR. Muslim,no.2577a)
No comments:
Post a Comment