dari ‘Abdullah bin ‘Amr,Rasulullah ﷺ bersabda,
“Sesungguhnya dosa yang paling besar dalam dosa-dosa yang besar ialah seorang lelaki melaknat ibu bapanya”. Ditanya: “Wahai Rasulullah, bagaimana boleh seseorang itu melaknat ibu bapanya?” Baginda bersabda: “Seseorang itu mencaci ayah kepada orang lain, lalu orang itu mencaci ayahnya dan ibunya.”
(HR. Bukhari,no.5973. Muslim,no.90)
Saturday, June 24, 2023
Mencaci Ibu Bapa Orang Lain Adalah Dosa Besar
Friday, June 23, 2023
Dunia Merupakan Penjara Bagi Orang Beriman Dan Syurga Bagi Orang Kafir
dari Abu Hurairah,Rasulullah ﷺ bersabda,
“Dunia merupakan penjara bagi orang yang beriman dan syurga bagi orang yang kafir.”
(HR. Muslim,no.2956. at-Tirmidzi,no.2324. Ahmad,no.8289. Ibnu Majah,no.4113)
NOTA:
Imam an-Nawawi menjelaskan bahawa makna hadis ini bahawa orang mukmin (beriman) terpenjara di dunia kerana dia mesti menahan diri daripada pelbagai syahwat yang diharamkan dan dimakruhkan. Orang mukmin juga diperintahkan untuk melakukan ketaatan. Ketika dia mati, barulah dia rehat daripada hal itu. Kemudian dia akan memperoleh apa yang telah Allah janjikan dengan kenikmatan yang kekal, dan juga kerehatan yang sebenarnya tanpa berkurang sedikit pun. Adapun orang kafir, dunia yang dia peroleh sedikit ataupun banyak, ketika dia meninggal dunia, dia akan mendapat azab seksa selama-lamanya dan akan berada dalam kesusahan yang abadi (rujuk: Syarh ‘ala Sahih Muslim,18/93). Imam Ibn al-Qayyim menyebut dua pentafsiran daripada hadis ini, iaitu: Pertama, orang yang beriman di dunia ini, maka keimanannya yang kuat dapat menghalangnya daripada menuruti nafsu syahwat yang diharamkan oleh Allah. Sehingga dengan keadaan seperti ini, seolah-olah dia hidup dalam penjara. Atau dengan kata lain, dunia ini adalah tempat orang yang beriman memenjarakan (menahan) hawa nafsunya daripada perbuatan-perbuatan yang diharamkan oleh Allah, berbeza dengan orang kafir yang hidup bebas menurutkan nafsu syahwatnya. Kedua, dunia ini adalah penjara (bagi) orang yang beriman dan syurga (bagi) orang kafir apabila dibandingkan dengan keadaan atau balasan orang yang beriman dan orang kafir di hari akhirat kelak. Ini kerana, bagi orang yang beriman, meskipun hidupnya di dunia paling senang dan bahagia, namun keadaan tersebut tetap sahaja seperti penjara jika dibandingkan dengan besarnya balasan kebaikan dan kenikmatan yang Allah sediakan untuknya di syurga pada hari akhirat kelak. Manakala bagi orang kafir, meskipun hidupnya di dunia paling sengsara dan menderita, namun keadaan tersebut tetap sahaja seperti syurga jika dibandingkan dengan pedihnya balasan keburukan dan azab seksaan yang Allah akan timpakan kepadanya di neraka pada hari akhirat nanti (rujuk: Bada’i’ al-Fawa’id,3/696). Wallahua'lam.
Thursday, June 22, 2023
Puasa 3 Hari Setiap Bulan Umpama Berpuasa Sepanjang Tahun
:: Hadis 1 ::
dari ‘Abdullah bin ‘Amru bin al-‘As̄,Nabi ﷺ bersabda,
“...Puasa tiga hari (setiap bulan) adalah seperti puasa sepanjang tahun...”
(HR. Bukhari,no.1979. Muslim,no.1159)
:: Hadis 2 ::
dari Abu Hurairah,dia berkata,
“Kekasihku (Rasulullah) ﷺ berwasiat kepadaku supaya melakukan tiga perkara iaitu: Berpuasa tiga hari pada setiap bulan, dua rakaat Dhuha dan melakukan solat witir sebelum tidur.”
(HR. Bukhari,no.1981. Muslim,no.721)
:: Hadis 3 ::
dari Mu‘adz al-‘Adawiyah,bahawa dia bertanya kepada ‘Aisyah isteri Nabi ﷺ,
“Apakah setiap bulan Rasulullah ﷺ selalu berpuasa tiga hari?” ‘Aisyah menjawab: ‘Ya’. Aku bertanya lagi kepadanya: ‘Pada hari apa baginda berpuasa?’ ‘Aisyah menjawab: ‘Baginda tidak terlalu mempersoalkan pada hari apa sahaja baginda berpuasa’.”
(HR. Muslim,no.1160)
Makan Daging Unta Membatalkan Wudhu'
dari Jabir bin Samurah,dia berkata,
“Sesungguhnya seorang lelaki bertanya kepada Rasulullah ﷺ: ‘Apakah aku perlu berwudhu’ setelah (makan) daging kambing?’ Baginda menjawab: ‘Berwudhu’lah jika engkau mahu. Jika tidak, maka jangan berwudhu’. Orang itu bertanya lagi: ‘Apakah aku harus berwudhu’ setelah (makan) daging unta?’ Baginda menjawab: ‘Ya, berwudhu’lah setelah (makan) daging unta’. Orang itu bertanya lagi: ‘Bolehkah aku solat di kandang kambing?’ Baginda menjawab: ‘Ya, boleh’. Dia bertanya lagi: ‘Bolehkah aku solat di kandang unta?’ Baginda menjawab: ‘Tidak boleh’.”
(HR. Muslim,no.360)
NOTA:
Ulama’ berselisih pendapat tentang batalnya wudhu orang yg makan daging unta. Imam Ahmad ibn Hanbal dan Imam Ishaq bin Rahawaih berpendapat bahawa makan daging unta membatalkan wudhu’, namun imam Sufyan ast-Tsauri & sebahagian ulama' berpendapat ianya tidak membatalkan wudhu seperti yg dikatakan oleh imam at-Tirmidzi: “Ini pendapat Ahmad dan Ishaq. Dan telah diriwayatkan dari sebahagian ahli ilmu dari kalangan tabi‘in dan selainnya, mereka berpendapat bahawasanya tidak harus wudhu’ kerana makan daging unta. Ini adalah pendapat Sufyan ast-Tsauri dan penduduk Kufah” (rujuk: Jami' at-Tirmidzi,no.81)
Status Hadis: Wajib Berniat Puasa Pada Malam Hari
dari Hafsah,isteri Nabi ﷺ,bahawasanya Rasulullah ﷺ bersabda,
“Barangsiapa yang tidak berniat (pada malam hari) sebelum terbit fajar, maka tiada puasa baginya (pada hari tersebut).”
(HR. Abu Daud,no.2454. at-Tirmidzi,no.730. an-Nasaie,no.2331)
NOTA:
Hadis ini dinilai ‘Dhaif’ (lemah: tidak sahih) & Ma’lul (cacat) oleh para Ulama’ Hadis. Yg rajih (tepat), hadis ini Mauquf (ucapan Hafsah), bukan Marfu’ (ucapan Nabi ﷺ). Imam al-Bukhari berkata tentang hadis ini: “Tidak marfu’ lebih tepat” (rujuk: al-Awsath,2/253). imam an-Nasaie berkata: “Yg benar di sisiku adalah Mauquf, tidak sahih akan marfu’nya, wallahua’lam. Sebab Yahya bin Ayyub (perawi dalam sanad ini) tidak kuat, dan hadis ibnu Juraij, dari az-Zuhri tidak terpelihara” (rujuk: al-Mizzi,at-Tuhfah,11/286). Imam at-Tirmidzi menyebut bahawa dia telah tersilap (iaitu disandarkan kepada Nabi ﷺ), lalu at-Tirmidzi berkata: “Ia adalah hadis yg di dalamnya terdapat idthirab (kekeliruan), dan yg sahih dari ibnu ‘Umar adalah Mauquf, dan (perawi) Yahya bin Ayyub adalah seorang yg Soduq (benar)” (rujuk: al-‘ilal al-Kabir,118). Imam Abu Hatim ar-Razi menyebutkan riwayat dari Abdullah bin Abi Bakr, dan perbezaannya, lalu dia berkata: “Diriwayatkan dari az-Zuhri, dari Hamzah bin ‘Abdullah bin ‘Umar, dari Hafsah ucapannya, bukan Marfu’, dan ini bagiku lebih (tepat) seperti” (rujuk: al-‘ilal,1/225,no.654). Syaikh Yusuf al-Qaradhawi berkata: “Bagi mereka yang mengamalkan hadis di atas, maka waktu niat baginya adalah sebelum fajar, sedangkan bagi mereka yang tidak berpegang dengan hadis di atas, boleh saja berniat sebelum atau sesudah fajar (apabila telah siang) sebagaimana mazhab Abu Hanifah yg membolehkan niat di lakukan sehingga tengah hari” (rujuk: Fiqh as-Siyam,105). Wallahua'lam.
Wednesday, June 21, 2023
Urusan Dan Amal Yang Baik Naik Kepada Allah
:: al-Quran 1 ::
Allah ﷻ berfirman:
“Allah mentadbirkan makhluk-makhluk-Nya (bagi melaksanakan tadbir-Nya itu Ia menurunkan segala sebab dan peraturan) dari langit ke bumi, kemudian diangkat naik kepada-Nya (segala yang berlaku dari perlaksanaan tadbir-Nya itu untuk dihakimi-Nya) pada suatu masa yang (dirasai oleh orang-orang yang bersalah) banyak bilangan tahunnya menurut hitungan masa kamu yang biasa”
(as-Sajdah [32]: ayat 5)
:: al-Quran 2 ::
Allah ﷻ berfirman:
“Sesiapa yang mahukan kemuliaan (maka hendaklah ia berusaha mencarinya dengan jalan mematuhi perintah Allah) kerana bagi Allah jualah segala kemuliaan. Kepada Allah lah naiknya segala perkataan yang baik (yang menegaskan iman dan tauhid untuk dimasukkan ke dalam kira-kira balasan), dan amal yang soleh pula di angkatnya naik (sebagai amal yang makbul yang memberi kemuliaan kepada yang melakukannya). Dan sebaliknya, orang-orang yang merancangkan kejahatan (untuk mendapat kemuliaan) adalah bagi mereka azab seksa yang berat dan rancangan jahat mereka (kalau berkesan) akan rosak binasa”
(Faatir [35]: ayat 10)
:: Hadis ::
dari Abu Hurairah,bahawa Rasulullah ﷺ bersabda,
“Di antara kamu ada malaikat yang silih berganti bertugas mengiringi kamu di waktu malam dan siang, mereka berkumpul ketika solat Asar dan solat Subuh. Malaikat yang mengawasi amal kamu pada malam hari naik (ke langit) lantas Allah bertanya kepada mereka (dan Allah lebih tahu keadaan kamu): ‘Bagaimana kamu tinggalkan hamba-hamba-Ku?’ Para malaikat menjawab: ‘Kami tinggalkan mereka dalam keadaan mereka tengah mendirikan solat dan kami mendatangi mereka dalam keadaan mereka mendirikan solat’.”
Pada jalur lain,dari Abu Hurairah,bahawa Rasulullah ﷺ bersabda,
“Barangsiapa bersedekah dengan sebutir biji kurma dari penghasilan yang baik, dan tidak ada yang naik kepada Allah kecuali amal yang baik, maka Allah menerimanya dengan tangan kanan-Nya, kemudian mengembangkannya untuk pelakunya sebagaimana salah seorang diantara kamu merawat kuda peliharaannya hingga menjadi sebesar gunung”.
(HR. Bukhari,no.7429,7430. Muslim,no.632. Dan ini adalah lafaz riwayat Bukhari)
Malaikat Naik Kepada Allah
:: al-Quran ::
Allah ﷻ berfirman:
“Para malaikat dan Jibril naik (menghadap) kepada Tuhan, dalam sehari setara dengan lima puluh ribu tahun”
(al-Ma'arij [70]: ayat 4)
:: Hadis ::
dari Abu Hurairah,bahawa Rasulullah ﷺ bersabda,
“Di antara kamu ada malaikat yang silih berganti bertugas mengiringi kamu di waktu malam dan siang, mereka berkumpul ketika solat Asar dan solat Subuh. Malaikat yang mengawasi amal kamu pada malam hari naik (ke langit) lantas Allah bertanya kepada mereka (dan Allah lebih tahu keadaan kamu): ‘Bagaimana kamu tinggalkan hamba-hamba-Ku?’ Para malaikat menjawab: ‘Kami tinggalkan mereka dalam keadaan mereka tengah mendirikan solat dan kami mendatangi mereka dalam keadaan mereka mendirikan solat’.”
Pada jalur lain,dari Abu Hurairah,bahawa Rasulullah ﷺ bersabda,
“Barangsiapa bersedekah dengan separuh biji kurma dari penghasilan yang baik, dan tidak ada yang naik kepada Allah kecuali amal yang baik, maka Allah menerimanya dengan tangan kanan-Nya, kemudian mengembangkannya untuk pelakunya sebagaimana salah seorang diantara kamu merawat kuda peliharaannya hingga sebesar gunung”.
(HR. Bukhari,no.7429,7430. Muslim,no.632. Dan ini adalah lafaz riwayat Bukhari)
Mengatakan ‘Dosa Sekian Lebih Baik Dari Dosa Sekian’
dari ‘Abdullah ibnu Mas‘ud,dia berkata,
“Aku bersumpah dengan nama Allah lalu aku mendustai (sumpah itu), lebih aku sukai daripada aku bersumpah dengan selain-Nya, meskipun aku jujur (menunaikan sumpah itu)”.
(HR. Abdurrazaq,no.15929)
NOTA:
Hadis ini ‘Sahih’ kerana kata imam al-Mundziri (tentang sanad hadis ini): “Dan perawinya adalah perawi yg sahih” (rujuk: at-Targhib,5/209). Kata imam al-Haitsami: “Dan rijalnya adalah rijal yg sahih” (rujuk: al-Majma',4/177). Hadis ini juga dinilai Sahih oleh Syaikh al-Albani (rujuk: Irwa’ al-Ghalil,no.2562).
Dari hadis ini dapat difahami bahawa dibolehkan untuk kita membandingkan di antara dua dosa dengan tujuan untuk membandingkan bahawa dosa pertama adalah dosa besar, akan tetapi dosa kedua itu lebih dahsyat dan besar dosanya daripada dosa yg pertama. Bukan dengan maksud/tujuan untuk meringan-ringankan dosa. Wallahua’lam.
Monday, June 19, 2023
1 - 10 Dzulhijjah: Pahala Amal Ibadah Digandakan
:: Hadis 1 ::
dari Ibnu ‘Abbas,Nabi ﷺ bersabda,
“Tidak ada amalan pada hari-hari lain yang lebih utama daripada amalan pada hari ini (hari yang kesepuluh bulan Dzulhijjah). Mereka (sahabat) bertanya: ‘Meskipun jihad?’ Baginda menjawab: ‘(Ya), tidak juga jihad, melainkan seorang lelaki yang keluar untuk membahayakan dirinya dan hartanya (untuk jalan Allah), dan tidak kembali dengan membawa apa-apa’.”
(HR. Bukhari,no.969)
:: Hadis 2 ::
dari Ibnu ‘Abbas,Rasulullah ﷺ bersabda,
“Tiadalah hari di mana amalannya yang soleh lebih baik dan disukai oleh Allah daripada hari-hari sepuluh Dzulhijjah. Lantas sahabat bertanya: ‘Wahai Rasulullah sekalipun jihad pada jalan Allah?’ Baginda menjawab: ‘Sekalipun jihad pada jalan Allah, kecualilah seseorang lelaki keluar dengan dirinya dan hartanya kemudian tidak pulang daripada demikian itu (iaitu mati syahid)’.”
(HR. Abu Daud,no.2438)
Thursday, June 15, 2023
Allah Memaafkan Dosa Yang Disebabkan Tersilap,Terlupa Atau Dipaksa
:: al-Quran 1 ::
Allah ﷻ berfirman:
“...Dan kamu pula tidak dikira berdosa dalam perkara yang kamu tersilap melakukannya, tetapi (yang dikira berdosa itu ialah perbuatan) yang disengajakan oleh hati kamu melakukannya. Dan ingatlah, Allah Maha Pengampun lagi Maha Mengasihani”.
(al-Ahzab [33]: ayat 5)
:: al-Quran 2 ::
Allah ﷻ berfirman:
“Sesiapa yang kufur kepada Allah sesudah ia beriman (maka baginya kemurkaan dan azab dari Allah), kecuali orang yang dipaksa (melakukan kufur) sedang hatinya tenang tenteram dengan iman. Akan tetapi, sesiapa yang terbuka hatinya menerima kufur, maka atas mereka tertimpa kemurkaan dari Allah dan mereka pula beroleh azab yang besar.”
(an-Nahl [16]: ayat 106)
:: Hadis ::
dari Abu Hurairah,dia berkata,
“Ketika turun ayat pada Rasulullah ﷺ: “Segala yang ada di langit dan yang ada di bumi adalah kepunyaan Allah. Dan jika kamu melahirkan apa yang ada di dalam hati kamu atau kamu menyembunyikannya, nescaya Allah akan menghitung dan menyatakannya kepada kamu. Kemudian Ia mengampunkan bagi sesiapa yang dikehendaki-Nya dan menyeksa sesiapa yang dikehendaki-Nya (menurut undang-undang peraturan-Nya) Dan (ingatlah), Allah Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu (al-Baqarah [2]: ayat 284)”. Abu Hurairah berkata: ‘Maka hal tersebut terasa berat atas para sahabat Rasulullah ﷺ, lalu mereka mendatangi Rasulullah ﷺ dan mengucapkan salam di atas kenderaan lalu berkata: ‘Wahai Rasulullah, kami diberi beban amalan yang mana kami mampu melakukannya, iaitu solat, puasa, jihad dan sedekah. Sungguh telah diturunkan ayat ini kepadamu dan kami tidak mampu melakukannya’. Rasulullah ﷺ bersabda: ‘Apakah kamu ingin mengucapkan sebagaimana Ahlul Kitab sebelum kamu mengucapkan ‘Kami mendengar dan kami menderhakai’, akan tetapi katakanlah ‘Kami mendengar dan kami mentaatinya, ampunilah kami ya Rabb kami dan kepada Engkaulah tempat kembali.’ Mereka menjawab: ‘Kami mendengar dan kami mentaatinya, ampunilah kami ya Rabb kami dan kepada Engkaulah tempat kembali.’ Ketika kaum tersebut membacanya, maka lisan-lisan mereka tunduk dengannya, lalu Allah menurunkan selepasnya: “Rasul telah beriman kepada apa yang diturunkan kepadanya dari Tuhannya, demikian pula orang-orang yang beriman. Semuanya beriman kepada Allah, dan malaikat-malaikat-Nya, dan Kitab-kitab-Nya, dan Rasul-rasul-Nya. (Mereka berkata): ‘Kami tidak membezakan antara seorang dengan yang lain Rasul-rasulnya’. Mereka berkata lagi: ‘Kami dengar dan kami taat (kami pohonkan) keampunan-Mu wahai Tuhan kami, dan kepada-Mu jualah tempat kembali’ (al-Baqarah [2]: ayat 285)”. Ketika mereka melakukan hal tersebut, maka Allah menghapusnya, lalu menurunkan (ayat): “Allah tidak memberati seseorang melainkan apa yang terdaya olehnya. Ia mendapat pahala kebaikan yang diusahakannya, dan ia juga menanggung dosa kejahatan yang diusahakannya. (Mereka berdoa dengan berkata): “Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau mengirakan kami salah jika kami lupa atau kami tersalah”. Allah menjawab: ‘Ya’. (Mereka berdoa lagi): “Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau bebankan kepada kami bebanan yang berat sebagaimana yang telah Engkau bebankan kepada orang-orang yang terdahulu daripada kami”. Allah menjawab: ‘Ya’. (Mereka berdoa lagi): “Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau pikulkan kepada kami apa yang kami tidak terdaya memikulnya”. Allah menjawab: ‘Ya’. (Mereka berdoa lagi): “Dan maafkanlah kesalahan kami, serta ampunkanlah dosa kami,dan berilah rahmat kepada kami. Engkaulah Penolong kami. Oleh itu, tolonglah kami untuk mencapai kemenangan terhadap kaum-kaum yang kafir (al-Baqarah [2]: ayat 286)”. Allah menjawab: ‘Ya’.”
(HR. Muslim,no.125)
Wednesday, June 14, 2023
Allah Berbisik Kepada Seorang Hamba Yang Berdosa Di Akhirat
dari Sofwan bin Muhriz,dia berkata,
“Seorang lelaki pernah bertanya kepada Ibnu Umar: ‘Bagaimana engkau mendengar sabda Rasulullah ﷺ tentang an-Najwa (bisikan di hari kiamat)?’ Ibnu Umar menjawab: ‘Salah seorang dari kamu akan mendekat kepada Rabb-nya. Kemudian Dia meletakkan naungan-Nya di atasnya (maksudnya menutupi kesalahannya), kemudian Dia berfirman: ‘Apakah kamu telah berbuat (dosa) ini dan ini?’ hamba itu menjawab: ‘Ya, benar’. Dia berfirman lagi: ‘Apakah kamu telah melakukan (dosa) ini dan ini?’ Hamba itu menjawab: ‘Ya, benar’. Dia pun mengulang-ulang pertanyannya, kemudian berfirman: ‘Sesungguhnya Aku telah menutupinya (merahsiakannya) di dunia dan pada hari ini aku telah mengampuninya bagimu’.”
(HR. Bukhari,no.6070)
Tuesday, June 13, 2023
Adab & Sunnah Ketika Mengetuk Pintu Rumah Orang
dari ‘Abdullah bin Busr,dia berkata,
“Apabila Rasulullah ﷺ sampai di pintu rumah seseorang, baginda tidak akan berdiri menghadap pintu tersebut, sebaliknya baginda akan berdiri di sisi kanan atau kiri pintu sambil mengucap: ‘Assalamu‘alaikum, Assalamu‘alaikum’. Ini kerana ketika itu tiada langsir di pintu rumah.”
(HR. Abu Daud,no.5186. Hadis ini dinilai ‘Sahih’ oleh Syaikh al-Albani [rujuk: Sahih al-Jami',2/849,no.4638])
NOTA:
Hikmah dari perbuatan Nabi ﷺ ini adalah agar tetamu tidak terlihat perkara yang aib atau haram dilihat ataupun perkara yg mungkin ‘tuan rumah’ tidak suka jika dilihat oleh orang lain.
Monday, June 12, 2023
Orang Kafir Berjalan Menggunakan Wajahnya Di Akhirat Kelak
dari Anas,dia berkata,
“Sesungguhnya seseorang bertanya: ‘Wahai Rasulullah, bagaimanakah orang kafir dihimpunkan di atas wajah mereka pada Hari Kiamat?’ Rasulullah ﷺ bersabda: ‘Bukankah Allah yang menjadikannya berjalan dengan menggunakan dua kakinya semasa di dunia. Jadi, sudah tentu Dia mampu menjadikan mereka berjalan dengan menggunakan wajahnya pada Hari Kiamat’.”
(HR. Bukhari,no.4760. Muslim,no.2806)
Sunday, June 11, 2023
Makan Daging Yang Disembelih Oleh Muallaf
dari ‘Aisyah,dia berkata,
“Suatu kaum berkata kepada Nabi ﷺ: ‘Sesungguhnya ada suatu kaum datang kepada kami dengan membawa daging. Kami tidak tahu adakah ketika disembelih, (mereka) menyebut nama Allah atau tidak’. Baginda menjawab: ‘Hendaklah kamu menyebut nama Allah, kemudian makanlah’. Mereka baru sahaja meninggalkan kekufuran (baru masuk islam)”.
(HR. Bukhari,no.5507)
Rasulullah Makan Masakan Yahudi
:: Hadis 1 ::
dari Anas bin Malik,dia berkata,
“Ada seorang wanita Yahudi yang datang menemui Nabi ﷺ dengan membawa seekor kambing yang telah diracun, lalu baginda memakannya. Kemudian wanita itu diringkus dengan bukti daging tersebut dan dikatakan: ‘Tidakkah sebaiknya kita bunuh saja?’ Baginda menjawab: ‘Jangan’. Sejak itu aku sentiasa melihat bekas racun tersebut pada anak lidah Rasulullah ﷺ.”
(HR. Bukhari,no.2617)
:: Hadis 2 ::
dari Anas,dia berkata,
“Seorang wanita Yahudi menghantar daging yang telah dibubuh racun kepada Nabi ﷺ, lalu baginda makan sebahagian. Kemudian wanita itu dipanggil ke hadapan Rasulullah ﷺ, lalu baginda bertanya kepadanya tentang racun itu. Jawabnya: ‘Aku sengaja hendak membunuhmu’. Nabi ﷺ bersabda: ‘Tidak mungkin Allah S.W.T. akan memberi wewenang kepadamu untuk melakukan demikian’. Para sahabat bertanya: ‘Bolehkah kami bunuh wanita itu?’ Jawab baginda: ‘Jangan!’ Kami melihat jelas bekas racun itu kelihatan di leher Rasulullah ﷺ.”
(HR. Muslim,no.2190)
:: Hadis 3 ::
dari Abu Hurairah,dia berkata,
“Ketika Khaibar ditakluk, Rasulullah ﷺ diberi hadiah seekor kambing beracun. Rasulullah ﷺ langsung bersabda: ‘Tolong kumpulkan orang-orang Yahudi yang ada di sini’. Maka mereka dikumpulkan di hadapan baginda. Lalu Rasulullah ﷺ bersabda: ‘Aku akan bertanya kepada kamu tentang sesuatu, apakah kamu akan menjawab dengan jujur?’. Mereka menjawab: ‘Ya,wahai Abu Qasim (Nabi Muhammad ﷺ)’. Lalu Rasulullah ﷺ bertanya: ’Siapakah ayah kamu?’ Mereka menjawab: ‘Ayah kami si fulan’. Kemudian Rasulullah ﷺ bersabda: ‘Kamu bohong! Padahal ayah kamu adalah si fulan’. Mereka menjawab: ‘Engkau benar’. Lalu baginda bersabda kepada mereka: ‘Apakah kamu akan jujur jika aku tanya tentang sesuatu?’ Mereka menjawab: ‘Ya, dan jika kami berbohong (lagi), nescaya engkau mengetahuinya sebagaimana engkau mengetahui ayah-ayah kami’. Rasulullah ﷺ bertanya kepada mereka: ‘Siapakah penghuni neraka?’ Mereka menjawab: ‘Kami berada di dalamnya sebentar dan kemudian engkau menggantikan kami di dalamnya’. Maka Rasulullah ﷺ berkata kepada mereka: ‘Terhinalah kamu di dalamnya, demi Allah S.W.T., kami tidak akan menggantikan kamu di dalamnya selamanya’. Lalu Rasulullah ﷺ bertanya kepada mereka: ‘Apakah kamu akan berkata jujur terhadap pertanyaan yang akan aku tanyakan kepada kamu?’ Mereka menjawab: ‘Ya’. Baginda bersabda: ‘Apakah kamu membubuh racun pada (daging) kambing tersebut?’ Mereka menjawab: ‘Ya’. Baginda bertanya: ‘Apa yang menyebabkan kamu melakukan demikian?’ Mereka menjawab: ‘Kami ingin terbebas jika engkau seorang pembohong. Dan jika engkau benar seorang Nabi, maka (racun itu) tidak akan membahayakanmu’.”
(HR. Bukhari,no.5777)