Monday, November 25, 2013

Doa Tambahan Rasulullah Ketika Sujud

dari Abu Hurairah,ia berkata,
“Rasulullah ﷺ membaca di dalam sujud:
اللَّهُمَّ اغْفِرْ لِي ذَنْبِي كُلَّهُ دِقَّهُ وَجِلَّهُ وَأَوَّلَهُ وَآخِرَهُ وَعَلاَنِيَتَهُ وَسِرَّهُ
Allahummagh-Firli Dzanbi Kullahu, Diqqahu Wa Jillahu, Wa Awwalahu Wa Akhirahu, Wa ‘Alani-Yatahu Wa Sirrah
(Ya Allah, ampuni dosa ku kesemuanya. (Dosa yang) kecil, besar, yang awal, yang akhir, yang dibuat secara terbuka dan dibuat secara sembunyi)’.”
(HR. Muslim,no.483)

Monday, November 4, 2013

Suami Membantu Isteri Di Rumah Adalah Sunnah

:: Hadis 1 ::
dari al-Aswad,dia berkata,
“Aku bertanya kepada ‘Aisyah: ‘Apa yang Rasulullah ﷺ lakukan di rumahnya?’ Beliau menjawab: ‘Baginda membantu berkhidmat menguruskan urusan keluarga. Apabila masuknya waktu solat, baginda keluar mendirikan solat’.”
(HR. Bukhari,no.6039)

:: Hadis 2 ::
dari ‘Aisyah,dia berkata,
“Aku ditanya: ‘Apakah yang biasa dilakukan oleh Rasulullah ﷺ di dalam rumahnya?’. Aku jawab: ‘Baginda sama dengan manusia yang lain, baginda membersihkan pakaiannya, memerah susu kambingnya dan mengurus (keperluan) dirinya sendiri’.”
(HR. Ahmad,26194. Bukhari [rujuk: al-Adab al-Mufrad,no.541]. at-Tirmidzi [rujuk: Syamail Muhammadiyah,335]. Dan ini lafaz riwayat Ahmad)

NOTA:
Hadis ini dinilai ‘Sahih’ oleh Syaikh al-Albani (rujuk: Silsilah as-Sahihah,671).

:: Hadis 3 ::
dari ‘Aisyah,bahawa Rasulullah ﷺ bersabda,
“Sebaik-baik kalian adalah yang paling baik terhadap ahli keluarganya, dan aku adalah orang yang paling baik terhadap ahli keluargaku. Dan apabila salah seorang daripada ahli keluarga kalian meninggal dunia, maka biarkanlah dia (tinggalkanlah dia dan jangan berbicara tentang keburukannya).”
(HR. at-Tirmidzi,no.3895. Dinilai Hasan Gharib Sahih oleh imam at-Tirmidzi)

Sunday, November 3, 2013

Redakan Demam Dengan Air

:: Hadis 1 ::
dari Ibnu ‘Umar,Nabi ﷺ bersabda,
“Demam itu berasal daripada kepanasan api neraka Jahannam, maka padamkanlah (api itu) dengan air.”
(HR. Bukhari,no.5723. Muslim,no.2209)

:: Hadis 2 ::
dari Asma’ binti Abu Bakar,dia berkata,
“Dahulunya apabila didatangkan kepadanya perempuan yang demam untuk didoakan baginya, dia mengambil air, lalu menuangkannya di sekitar dadanya, beliau berkata: ‘Rasulullah ﷺ pernah memerintahkan kami untuk menyejukkannya dengan air’.”
(HR. Bukhari,no.5724)

:: Hadis 3 ::
dari ‘Aisyah,Nabi ﷺ bersabda,
“Demam itu berasal daripada kepanasan api neraka Jahannam, maka sejukkanlah ia dengan air.”
(HR. Bukhari,no.5725)

:: Hadis 4 ::
dari Rafi‘ bin Khadij,Nabi ﷺ bersabda,
“Demam itu berasal daripada kepanasan api neraka Jahannam, maka sejukkanlah ia dengan air.”
(HR. Bukhari,no.5726)

Friday, October 25, 2013

Rasulullah Memohon Ampun Lebih 70 kali Sehari

:: Hadis 1 ::
dari Abu Hurairah,Rasulullah ﷺ bersabda,
“Demi Allah, sesungguhnya aku beristighfar (memohon ampun) kepada Allah dan bertaubat kepada-Nya setiap hari lebih daripada 70 kali.”
(HR. Bukhari,no.6307)

:: Hadis 2 ::
dari al-Aghar al-Muzani,Rasulullah ﷺ bersabda,
“Sesungguhnya dilitupi pada hatiku (dengan kelalaian daripada berzikir) dan aku beristighfar (memohon ampun) kepada Allah, sehari 100 kali.”
(HR. Muslim,no.7033)

Hadis Cendawan

dari Sa'id bin Zaid,Rasulullah ﷺ bersabda,
“al-Kam’ah (Cendawan) itu berasal dari ‘Manna’ (yang Allah turunkan kepada orang bani Israel) dan airnya penyembuh sakit mata.”
(HR. Bukhari,no.5708. Muslim,no.5463)

NOTA:
Disebabkan cendawan mempunyai banyak jenis, maka tidak dapat dipastikan cendawan yang dimaksudkan oleh Rasulullah ﷺ.
Wallahua'lam.

Tuesday, October 15, 2013

Sederhana Dalam Beribadah

:: Hadis 1 ::
dari ‘Abdullah bin ‘Amru,ia berkata,
“Disampaikan kepada Rasulullah ﷺ, bahawa ada seseorang (aku) mengatakan: ‘Sesungguhnya, aku akan solat sepanjang malam, dan puasa sepanjang hari selama hidupku’. maka Rasulullah bertanya: ‘Benarkah kamu yang berkata begitu?’ Aku menjawab: ‘Benar, wahai Rasulullah’. Rasulullah bersabda: ‘Kamu tidak mampu melakukannya. Kamu berpuasalah sehari dan berbukalah sehari. Kamu tidur dan bangunlah solat (malam). Puasalah tiga hari dalam sebulan. Kerana setiap perbuatan baik dibalas sepuluh kali ganda, oleh itu puasa tiga hari sebulan seperti berpuasa sepanjang masa’. Aku berkata: ‘Aku mampu buat lebih daripada itu’. Rasulullah menjawab: ‘Sekiranya begitu, puasalah sehari dan berbukalah dua hari’. Aku berkata lagi: ‘Aku mampu buat lebih daripada itu’. Rasulullah menjawab: ‘Sekiranya begitu puasalah sehari dan berbukalah sehari. Itulah puasa Nabi Daud dan itulah puasa yang paling baik’. Aku berkata lagi: ‘Aku mampu buat lebih daripada itu’. Rasulullah pun menjelaskan: ‘Tidak ada yang lebih baik daripada itu’. (Apabila ‘Abdullah bin ‘Amru sudah tua), aku berkata: ‘Andainya aku menerima anjuran supaya berpuasa tiga hari sebulan yang disebut oleh Rasulullah dahulu, itu aku lebih suka berbanding keluarga dan hartaku’.”
(HR. Muslim,no.1962)

:: Hadis 2 ::
dari Anas bin Malik,dia berkata,
“Ada tiga orang mendatangi rumah isteri-isteri Nabi ﷺ dan bertanya tentang ibadah Nabi ﷺ. Dan setelah dikhabarkan kepada mereka, merekapun merasakan yang ibadah mereka terlalu sedikit berbanding ibadah Nabi. Mereka berkata: ‘Ibadah kita tidak ada apa-apanya dibanding Rasulullah ﷺ, bukankah baginda sudah diampuni dosa-dosanya yang telah lalu dan juga yang akan datang?’ Salah seorang dari mereka berkata: ‘Sungguh, aku akan melaksanakan solat malam selama-lamanya’. Kemudian yang lain berkata: ‘Kalau aku, maka sungguh, aku akan berpuasa Dahr (setahun penuh) dan aku tidak akan berbuka (berpuasa setiap hari sepanjang tahun)’. Dan yang lain lagi berkata: ‘Aku akan menjauhi wanita dan tidak akan bernikah selama-lamanya’. Kemudian datanglah Rasulullah ﷺ kepada mereka seraya bertanya: ‘Kamu berkata begini dan begitu. Ada pun aku, demi Allah, adalah orang yang paling takut kepada Allah di antara kamu, dan juga yang paling bertakwa. Aku berpuasa dan juga berbuka, aku solat dan juga tidur serta menikahi wanita. Barangsiapa yang membenci sunnahku, maka ia bukanlah dari golonganku’.”
(HR. Bukhari,no.5063. Muslim,no.1401)

:: Hadis 3 ::
dari ‘Aisyah,Rasulullah ﷺ bersabda,
“Amalan yang paling dicintai oleh Allah adalah amalan yang berterusan walaupun ia sedikit.”
(HR. Bukhari,no.6465. Muslim,no.783)

Saturday, October 12, 2013

Mimpi Melihat Rasulullah

dari Abu Hurairah,Nabi ﷺ bersabda,
“Sesiapa yang melihatku di dalam mimpi, maka sememangnya dia melihatku, kerana sesungguhnya syaitan tidak dapat menyerupai rupaku.”
(HR. Bukhari,no.6993. Muslim,no.2266)

Pahala Mengucapkan Salam

dari ‘Imran bin Hus̄ain,ia berkata,
“Seorang lelaki datang kepada Nabi ﷺ dan mengucapkan: ‘Assalaamu‘alaikum’. Maka dijawab oleh Nabi ﷺ kemudian ia duduk. Nabi ﷺ bersabda: ‘Sepuluh (pahala)’. Kemudian datang lagi orang yang kedua, memberi salam: ‘Assalaamu‘alaikum wa Rahmatullaah.’ Setelah dijawab oleh Nabi ﷺ ia pun duduk. Nabi ﷺ bersabda: ‘Dua puluh (pahala)’. Kemudian datang orang ketiga dan mengucapkan salam: ‘Assalaamu‘alaikum wa rahmatullaahi wa baraakaatuh’. Maka dijawab oleh Nabi ﷺ kemudian ia pun duduk dan Nabi ﷺ bersabda: ‘Tiga puluh (pahala)’.”
(HR. Bukhari [rujuk: al-Adabul Mufrad,no.986]. Abu Daud no.5195. at-Tirmidzi,no.2689. Hadis ini dinilai ‘Hasan Sahih Gharib’ oleh imam at-Tirmidzi)

Rezeki Kepada Orang Yang Bertawakkal

dari ‘Umar bin Khattab,Rasulullah ﷺ bersabda,
“Jika kamu bertawakkal kepada Allah dengan sebenar-benar tawakkal, nescaya Allah akan memberikan rezeki kepada kamu sebagaimana Allah memberi rezeki kepada burung yang keluar di pagi hari dalam keadaan lapar dan pulang di petang hari dalam keadaan kenyang.”
(HR. at-Tirmidzi,no.2344. Ibnu Majah,no.4164. Hadis ini dinilai ‘Hasan Sahih’ oleh imam at-Tirmidzi)

NOTA:
Hadis ini tidak sahih menurut Syaikh Musthofa al-‘Adawi (dalam video beliau) kerana ‘sanadnya Dhaif’. Akan tetapi, hadis ini maknanya benar, kerana di dalam al-Quran,Allah ﷻ berfirman:

“..Dan sesiapa yang bertaqwa kepada Allah (dengan mengerjakan suruhan-Nya dan meninggalkan larangan-Nya), nescaya Allah akan mengadakan baginya jalan keluar (dari segala perkara yang menyusahkannya). Serta memberinya rezeki dari jalan yang tidak terlintas di hatinya. Dan (ingatlah), sesiapa yang bertawakkal (berserah diri bulat-bulat) kepada Allah, maka Allah cukuplah baginya (untuk menolong dan menyelamatkannya)..”
(at-Thalaq [65]: ayat 2-3)

Ingatlah Allah Supaya Allah mengingat Kita

:: al-Quran ::
Allah ﷻ berfirman:
“Maka ingatilah Aku, nescaya Aku akan mengingatimu, dan syukurilah nikmat-Ku dan jangan sekali-kali kamu kufur (lupakan budi-Ku).”
(al-Baqarah [2]: ayat 152)

:: Hadis ::
dari Abu Hurairah,Rasulullah ﷺ bersabda,
“Allah Ta’ala berfirman: ‘Aku bersama hamba-Ku jika dia mengingati-Ku. Barangsiapa mengingati-Ku dalam dirinya, maka Aku ingat dia dalam diri-Ku. Barang siapa mengingat-Ku dalam kumpulan orang, Aku mengingatnya dalam kumpulan yang lebih baik darinya. Jika dia (hamba-Ku) dekat kepada-Ku sejengkal, Aku akan dekat kepadanya sehasta. Jika dia (hamba-Ku) dekat kepada-Ku sehasta, Aku dekat kepadanya sedepa. Jika dia (hamba-Ku) datang kepada-Ku dengan berjalan (biasa), maka Aku mendatanginya dengan berjalan cepat’.”
(HR. Bukhari,no.7405,7505 & 7537. Muslim,no.2675)

Saturday, September 28, 2013

Menutup Keburukan (aib) Orang Islam

:: Hadis 1 ::
dari Abu Hurairah,Nabi ﷺ bersabda,
“Tidaklah seseorang hamba menutup aib hamba yang lain, melainkan Allah tutup aib hamba yang pertama tadi di Hari Kiamat.”
(HR. Muslim,no.2590)

:: Hadis 2 ::
dari ‘Abdullah bin ‘Umar,Rasulullah ﷺ bersabda,
“Seorang muslim adalah saudara terhadap muslim (yang lain), dia tidak boleh menganiaya dan tidak akan dianiaya oleh orang lain. Sesiapa yang melaksanakan hajat saudaranya, maka Allah akan melaksanakan hajatnya. Sesiapa yang melapangkan kesusahan seseorang muslim, maka Allah akan melapangkan kesukarannya pada hari kiamat. Sesiapa yang menutupi aib seseorang muslim, maka Allah akan menutup aibnya pada hari kiamat.”
(HR. Bukhari,no.2442)

:: Hadis 2 ::
dari Abu Hurairah,Nabi ﷺ bersabda,
“Apabila seorang hamba perempuan berzina dan sudah terbukti dia melakukannya, maka hukum sebatlah dia, jangan dia dihina. Sekiranya dia berzina lagi, sebatlah dia dan janganlah dia dihina. Kemudian, jika dia berzina kali ketiga, maka juallah dia walaupun dengan harga senilai sehelai rambut.”
(HR. Bukhari,no.2234. Muslim,no.1703)

2 Nikmat Yang Memperdaya Manusia

dari Ibnu 'Abbas,Rasulullah ﷺ bersabda,
“Dua nikmat yang ramai manusia tertipu padanya iaitu: Sihat dan masa lapang.”
(HR. Bukhari,no.6412)

Monday, September 16, 2013

Penyakit Dan Musibah Adalah Penghapus Dosa

:: al-Quran ::
Allah ﷻ berfirman:
“Dan apa jua yang menimpa kamu dari sesuatu kesusahan (atau bala bencana), maka ia adalah disebabkan apa yang kamu lakukan (dari perbuatan-perbuatan yang salah dan berdosa) dan (dalam pada itu) Allah memaafkan sebahagian besar dari dosa-dosa kamu.”
(asy-Syura [42]: ayat 30)

:: Hadis 1 ::
dari Abu Hurairah,Rasulullah ﷺ bersabda,
“Ujian sentiasa menimpa orang mukmin dan mukminah pada dirinya, anaknya dan hartanya, sehingga ia berjumpa dengan Allah dalam keadaan tidak ada kesalahan pada dirinya.”
(HR. at-Tirmidzi,no.2399. dinilai ‘Hasan Sahih’ oleh Imam at-Tirmidzi)

:: Hadis 2 ::
dari ‘Abdullah bin Mas‘ud,dia berkata,
“Aku pernah menjenguk Rasulullah ﷺ, ketika itu baginda sedang menderita rasa sakit yang sangat berat, lalu aku memegang baginda sambil berkata: ‘Wahai Rasulullah, sepertinya engkau sedang menderita sakit yang sangat berat’. Baginda menjawab: ‘Benar, rasa sakit yang menimpaku ini sama seperti rasa sakit yang menimpa dua orang dari kamu’. Kataku selanjutnya: ‘Sebab itu engkau mendapatkan pahala dua kali lipat’. Baginda menjawab: ‘Benar’. Kemudian baginda bersabda lagi: ‘Tidaklah seorang muslim yang menderita sakit atau yang lain, melainkan Allah akan menghapuskan kesalahan-kesalahannya sebagaimana pohon menggugurkan dedaunannya’.”
(HR. Bukhari,no.5648)

:: Hadis 3 ::
dari Abu Hurairah,Nabi ﷺ bersabda,
“Tidaklah seorang Muslim yang ditimpa musibah seperti keletihan, penyakit, keresahan, kesedihan, gangguan dan kegundahan bahkan duri yang melukainya sekalipun melainkan Allah akan menghapuskan dosa-dosanya.”
(HR. Bukhari,no.5641)

:: Hadis 4 ::
dari ‘Aisyah,Rasulullah ﷺ bersabda,
“Tidaklah sesuatu yang memudaratkan seorang Mukmin walaupun duri yang memusibahkannya, melainkan dituliskan baginya satu kebaikan atau dihapuskan daripadanya satu kesalahan.”
(HR. Muslim,no.2572)

:: Hadis 5 ::
dari Syaddad bin Aus,Rasulullah ﷺ bersabda,
“Sesungguhnya Allah ‘azza wa jalla berfirman: ‘Sungguh Aku bila menguji seorang hamba-Ku yang mukmin, lalu ia memujiku atas ujian yang aku timpakan kepadanya, maka ia bangkit dari tempat tidurnya tersebut bersih dari dosa seperti hari ibunya melahirkannya’. Rabb ‘azza wa jalla berfirman: ‘Aku telah menahan hamba-Ku (dari amal soleh) dan Aku mengujinya. Maka berilah dia ganjaran sebagaimana kamu memberikan (menuliskan) ganjaran ketika dia berada dalam keadaan sihat’.”
(HR. Ahmad,no.16496. ath-Thabrani [rujuk: Mu’jam al-Kabir,7/297]. Dinilai ‘Hasan’ oleh Syaikh al-Albani [rujuk: Silsilah as-Sahihah,4/144]))

NOTA:
Hadis ini ‘Dhaif’ kerana terdapat 2 perawi dikritik. Kerana di dalam sanadnya terdapat perawi yang bernama Isma‘il bin Ayyash & Rasyid bin Daud al-Son’ani. Ismail bin Ayyash dinilai ‘Dhaif’ oleh imam an-Nasaie (rujuk: adh-Dhu’afa’ wal Matrukin,34). Kata Imam ‘Ali ibnu al-Madini,dia (Ismail bin Ayyash) tsiqah jika dia meriwayatkan dari sahabatnya Ahli Syam, tapi jika dia meriwayatkan dari selain Ahli Syam, maka di dalamnya terdapat kelemahan (rujuk: Abu Ja’far bin Abi Syaibah,Sualat Ibnu Abi Syaibah,233). Kata Imam Ahmad: “Apa yang dia riwayatkan dari al-Syamiyyin (orang-orang Syam) adalah sahih, namun apa yang diriwayatkan dari Ahli Hijjaz tidak sahih” (rujuk: Ibn ‘Adiy,al-Kamil,1/472). Imam al-Bukhari juga berkata: “Apa yang diriwayatkan dari al-Syamiyyin,ianya sahih” (rujuk: Tarikh al-Kabir,1/369). Perawi kedua adalah Rasyid bin Daud al-Son’ani,yang mana dia dinilai ‘Dhaif’ oleh imam ad-Daraquthni (rujuk: Abi Bakr al-Barqani,Sualat al-Barqani,157).

Saturday, September 14, 2013

Sifat Rendah Diri Rasulullah

:: Hadis 1 ::
dari ‘Umar al-Khattab,Nabi ﷺ bersabda,
“Jangan kamu semua berlebih-lebihan memujiku, seperti yang dilakukan oleh orang-orang Nasara (Kristian) terhadap Ibn Maryam (Nabi ‘Isa), sebaliknya aku hanyalah hamba-Nya. Maka kamu sebutlah (kepadaku): ‘Hamba Allah dan Rasul-Nya’.”
(HR. Bukhari,no.3445)

:: Hadis 2 ::
dari Anas bin Malik,ia berkata,
“Tiada seorang pun yang lebih mereka (para sahabat) cintai berbanding Rasulullah ﷺ. Namun, apabila mereka melihatnya, mereka tidak berdiri kerana mereka mengetahui bahawa baginda tidak menyukai perkara tersebut.”
(HR. at-Tirmidzi,no.2754. Ahmad,no.11895. at-Tirmidzi menilai hadis ini sebagai ‘Hasan Sahih Gharib’)

Thursday, September 12, 2013

Kelebihan Membaca, Mempelajari dan Mengajar Al-Quran

:: Hadis 1 ::
dari Abu Umamah,Rasulullah ﷺ bersabda,
“Bacalah al-Quran, kerana ia akan datang pada hari kiamat sebagai pemberi syafaat kepada pembacanya...”
(HR. Muslim,no.804)

:: Hadis 2 ::
dari ‘Ustman bin Affan,Nabi ﷺ bersabda,
“Sebaik-baik kamu adalah orang yang mempelajari al-Quran dan mengajarkannya.”
(HR. Bukhari,no.4640. at-Tirmidzi,no.2832. Abu Daud,no.1240)

:: Hadis 3 ::

dari ‘Abdullah bin Mas‘ud,Rasulullah ﷺ bersabda,
“Sesiapa yang membaca satu huruf daripada kitabullah (al-Quran), dia mendapat satu kebaikan (pahala). Satu kebaikan digandakan sebanyak sepuluh kali semisalnya. Aku tidak mengatakan “alif laam miim” itu satu huruf, namun “alif” satu huruf dan “miim” satu huruf.”
(HR. at-Tirmidzi,no.2835. Imam at-Tirmidzi menilai hadis ini ‘Hasan Sahih Gharib’)

:: Hadis 4 ::
dari ‘Aisyah,Rasulullah ﷺ bersabda,
“Seorang yang mahir dalam membaca al-Quran bersama al-Safarah al-Kiram al-Bararah (para malaikat yang membawa risalah, mulia lagi patuh) dan bagi yang membaca al-Quran namun tersangkut-sangkut dan berasa susah buatnya maka untuknya itu dua ganjaran.”
(HR. Muslim,no.798)

:: Hadis 5 ::
dari ‘Umar al-Khattab,Rasulullah ﷺ bersabda,
“..Sesungguhnya Allah mengangkat (memuliakan) dengan kitab ini (al-Quran) kaum-kaum dan menjatuhkan dengan kitab ini (al-Quran) golongan yang lain.”
(HR. Muslim,no.817)

:: Hadis 6 ::
dari Abi Musa,Nabi ﷺ bersabda,
“Perumpamaan orang yang beriman yang membaca al-Qur'an ialah seperti buah Utrujjah (limau sitrus), yang baik rasanya dan baik baunya. Dan perumpamaan orang yang beriman yang tidak membaca al-Quran adalah seperti buah tamar (kurma), mempunyai rasa yang baik tetapi tidak berbau. Dan perumpamaan orang munafik yang membaca al-Qur'an ialah seperti buah Raihana (kemangi), yang baik baunya tetapi pahit rasanya. Dan perumpamaan orang munafik yang tidak membaca al-Quran adalah seperti buah Hanzhalah (labu pahit), pahit rasanya dan tiada apa-apa bau.”
(HR. Bukhari,no.7560. Muslim,no.797)

:: Hadis 7 ::
dari Anas bin Malik,Rasulullah ﷺ bersabda,
“Sesungguhnya Allah mempunyai ahli-Nya dikalangan manusia. Mereka bertanya: ‘Wahai Rasulullah, siapakah mereka?’ Jawab baginda: ‘Mereka ialah ahli al-Quran, ahli Allah dan yang diistimewakan-Nya’.”
(HR. Ibnu Majah,no.215. Hadis ini dinilai ‘Hasan’ oleh Syaikh Khalid al-Hayek dalam website rasminya pada ‘Hadis ke-22’ dengan katanya: “Hadis ini Hasan, dan sanadnya Soleh”)

:: Hadis 8 ::
dari ‘Abdurrahman bin Syibl,bahawa Rasulullah ﷺ bersabda,
“Bacalah al-Quran, amalkanlah ia. Janganlah melalaikannya, dan jangan pula berlebih-lebihan terhadapnya. Jangan makan hasil darinya, dan jangan memperbanyak harta darinya.”
(HR. Ahmad [rujuk: Sahih al-Jami',no.1164]. dinilai ‘Sahih’ oleh Syaikh Khalid al-Hayek dalam website rasminya pada ‘Hadis ke-25’ dengan katanya: “Sanadnya Hasan”)

:: Hadis 9 ::
dari Abu Hurairah,Rasulullah ﷺ bersabda,
“Adakah setiap dari kamu suka jika apabila dia pulang bertemu keluarganya nanti, dia mendapati di sana ada tiga ekor unta bunting yang gemuk?” Kami berkata: “Ya”. Baginda pun bersabda: “Maka (ketahuilah bahawa) tiga ayat (al-Quran) yang dibaca oleh setiap seorang daripada kamu di dalam solatnya itu lebih baik daripada tiga ekor unta bunting yang gemuk”.
(HR. Muslim,no.802)

:: Hadis 10 ::
dari Abu Hurairah,Rasulullah ﷺ bersabda,
“..Dan tidaklah satu kaum itu berkumpul di rumah-rumah Allah (masjid) sambil membaca al-Quran dan mempelajarinya sesama mereka melainkan turunnya ketenangan kepada mereka, diliputi oleh rahmat Allah serta malaikat mengerumuninya dan Allah menjadikan makhluk-makhluk yang berada di sisi-Nya menyebut-nyebut mereka. Dan barangsiapa yang amalnya perlahan, maka nasabnya tidak dapat mengangkat darjatnya itu.”
(HR. Muslim,no.2699)

:: Hadis 11 ::
dari Abu Hurairah,Rasulullah ﷺ bersabda,
“al-Quran akan datang pada hari kiamat dan berkata: ‘Wahai Tuhanku berikanlah dia pakaian’, maka diberilah mahkota kemuliaan. Kemudian berkata lagi: ‘Wahai Tuhanku, berilah tambahan’. Maka diberilah pakaian kemuliaan. Kemudian al-Quran berkata: ‘Ya Tuhanku, redhailah dia’. Maka Allah pun meredhainya. Lalu dikatakan kepada orang tersebut: ‘Bacalah dan naiklah, sesungguhnya engkau akan ditambah satu kebaikan pada tiap-tiap ayat’.” 
(HR. at-Tirmidzi,no.2915)

NOTA:
Hadis ini dinilai ‘Hasan Sahih’ oleh imam at-Tirmidzi setelah meriwayatkan hadis ini. Namun imam at-Tirmidzi juga menjelaskan bahawa hadis ini terdapat jalur kedua yang mauquf (disandarkan kata-katanya kepada) Abu Hurairah (bukan kata-kata Rasulullah). Dan kata imam at-Tirmidzi, jalur mauquf itu lebih sahih dari yang marfu’. Akan tetapi, hadis jalur kedua (mauquf) ini dinilai ‘Dhaif’ oleh Syaikh Khalid al-Hayek dalam website rasmi beliau (pada hadis ke-13), kerana dalam sanadnya terdapat perawi yang bernama As̄im bin Bahdalah iaitu As̄im bin Abi an-Najud. Dia seorang qari yang terkenal dan mahsyur, namun dia Dhaif menurut ulama’. Kata Syaikh lagi, walaupun sebahagian ulama’ menilainya ‘Hasan’, akan tetapi tafarrud (bersendirinya) dia dalam periwayatan tidak boleh diterima. Wallahua’lam.