Thursday, September 12, 2013

Kelebihan Membaca, Mempelajari dan Mengajar Al-Quran

:: Hadis 1 ::
dari Abu Umamah,Rasulullah ﷺ bersabda,
“Bacalah al-Quran, kerana ia akan datang pada hari kiamat sebagai pemberi syafaat kepada pembacanya...”
(HR. Muslim,no.804)

:: Hadis 2 ::
dari ‘Ustman bin Affan,Nabi ﷺ bersabda,
“Sebaik-baik kamu adalah orang yang mempelajari al-Quran dan mengajarkannya.”
(HR. Bukhari,no.4640. at-Tirmidzi,no.2832. Abu Daud,no.1240)

:: Hadis 3 ::

dari ‘Abdullah bin Mas‘ud,Rasulullah ﷺ bersabda,
“Sesiapa yang membaca satu huruf daripada kitabullah (al-Quran), dia mendapat satu kebaikan (pahala). Satu kebaikan digandakan sebanyak sepuluh kali semisalnya. Aku tidak mengatakan “alif laam miim” itu satu huruf, namun “alif” satu huruf dan “miim” satu huruf.”
(HR. at-Tirmidzi,no.2835. Imam at-Tirmidzi menilai hadis ini ‘Hasan Sahih Gharib’)

:: Hadis 4 ::
dari ‘Aisyah,Rasulullah ﷺ bersabda,
“Seorang yang mahir dalam membaca al-Quran bersama al-Safarah al-Kiram al-Bararah (para malaikat yang membawa risalah, mulia lagi patuh) dan bagi yang membaca al-Quran namun tersangkut-sangkut dan berasa susah buatnya maka untuknya itu dua ganjaran.”
(HR. Muslim,no.798)

:: Hadis 5 ::
dari ‘Umar al-Khattab,Rasulullah ﷺ bersabda,
“..Sesungguhnya Allah mengangkat (memuliakan) dengan kitab ini (al-Quran) kaum-kaum dan menjatuhkan dengan kitab ini (al-Quran) golongan yang lain.”
(HR. Muslim,no.817)

:: Hadis 6 ::
dari Abi Musa,Nabi ﷺ bersabda,
“Perumpamaan orang yang beriman yang membaca al-Qur'an ialah seperti buah Utrujjah (limau sitrus), yang baik rasanya dan baik baunya. Dan perumpamaan orang yang beriman yang tidak membaca al-Quran adalah seperti buah tamar (kurma), mempunyai rasa yang baik tetapi tidak berbau. Dan perumpamaan orang munafik yang membaca al-Qur'an ialah seperti buah Raihana (kemangi), yang baik baunya tetapi pahit rasanya. Dan perumpamaan orang munafik yang tidak membaca al-Quran adalah seperti buah Hanzhalah (labu pahit), pahit rasanya dan tiada apa-apa bau.”
(HR. Bukhari,no.7560. Muslim,no.797)

:: Hadis 7 ::
dari Anas bin Malik,Rasulullah ﷺ bersabda,
“Sesungguhnya Allah mempunyai ahli-Nya dikalangan manusia. Mereka bertanya: ‘Wahai Rasulullah, siapakah mereka?’ Jawab baginda: ‘Mereka ialah ahli al-Quran, ahli Allah dan yang diistimewakan-Nya’.”
(HR. Ahmad,no.12279 & 12292. Ibnu Majah,no.215. an-Nasaie [rujuk: Sunan al-Kubra,no.7977 & 8031])

NOTA:
Hadis ini dinilai sahih oleh Syaikh Muqbil al-Wadi‘i (rujuk: al-Sahih al-Musnad,77), dan dinilai hasan oleh Syaikh Khalid al-Hayek dalam website rasminya, kata beliau: “Hadis ini hasan, dan sanadnya Soleh” (rujuk: ‘Hadis ke-22’).

:: Hadis 8 ::
dari ‘Abdurrahman bin Syibl,bahawa Rasulullah ﷺ bersabda,
“Bacalah al-Quran, amalkanlah ia. Janganlah melalaikannya, dan jangan pula berlebih-lebihan terhadapnya. Jangan makan hasil darinya, dan jangan memperbanyak harta darinya.”
(HR. Ahmad [rujuk: Sahih al-Jami',no.1164])

NOTA:
Kata Syaikh Khalid al-Hayek dalam website rasminya: “Sanadnya hasan” (rujuk: ‘Hadis ke-25’).

:: Hadis 9 ::
dari Abu Hurairah,Rasulullah ﷺ bersabda,
“Adakah setiap dari kamu suka jika apabila dia pulang bertemu keluarganya nanti, dia mendapati di sana ada tiga ekor unta bunting yang gemuk?” Kami berkata: “Ya”. Baginda pun bersabda: “Maka (ketahuilah bahawa) tiga ayat (al-Quran) yang dibaca oleh setiap seorang daripada kamu di dalam solatnya itu lebih baik daripada tiga ekor unta bunting yang gemuk”.
(HR. Muslim,no.802)

:: Hadis 10 ::
dari Abu Hurairah,Rasulullah ﷺ bersabda,
“..Dan tidaklah satu kaum itu berkumpul di rumah-rumah Allah (masjid) sambil membaca al-Quran dan mempelajarinya sesama mereka melainkan turunnya ketenangan kepada mereka, diliputi oleh rahmat Allah serta malaikat mengerumuninya dan Allah menjadikan makhluk-makhluk yang berada di sisi-Nya menyebut-nyebut mereka. Dan barangsiapa yang amalnya perlahan, maka nasabnya tidak dapat mengangkat darjatnya itu.”
(HR. Muslim,no.2699)

:: Hadis 11 ::
dari Abu Hurairah,Rasulullah ﷺ bersabda,
“al-Quran akan datang pada hari kiamat dan berkata: ‘Wahai Tuhanku berikanlah dia pakaian’, maka diberilah mahkota kemuliaan. Kemudian berkata lagi: ‘Wahai Tuhanku, berilah tambahan’. Maka diberilah pakaian kemuliaan. Kemudian al-Quran berkata: ‘Ya Tuhanku, redhailah dia’. Maka Allah pun meredhainya. Lalu dikatakan kepada orang tersebut: ‘Bacalah dan naiklah, sesungguhnya engkau akan ditambah satu kebaikan pada tiap-tiap ayat’.” 
(HR. at-Tirmidzi,no.2915)

NOTA:
Hadis ini dinilai ‘Hasan Sahih’ oleh imam at-Tirmidzi setelah meriwayatkan hadis ini. Namun imam at-Tirmidzi juga menjelaskan bahawa hadis ini terdapat jalur kedua yang mauquf (disandarkan kata-katanya kepada) Abu Hurairah (bukan kata-kata Rasulullah). Dan kata imam at-Tirmidzi, jalur mauquf itu lebih sahih dari yang marfu’. Akan tetapi, hadis jalur kedua (mauquf) ini dinilai ‘Dhaif’ oleh Syaikh Khalid al-Hayek dalam website rasmi beliau, kerana dalam sanadnya terdapat perawi yang bernama As̄im bin Bahdalah iaitu As̄im bin Abi an-Najud. Dia seorang qari yang terkenal dan mahsyur, namun dia Dhaif menurut ulama’. Kata Syaikh lagi, walaupun sebahagian ulama’ menilainya ‘Hasan’, akan tetapi tafarrud (bersendirinya) dia dalam periwayatan tidak boleh diterima (rujuk: ‘Hadis ke-13’). Wallahua’lam.

:: Hadis 12 ::
dari ‘Abdurrahman bin Yazid,‘Abdullah bin Mas‘ud berkata,
“al-Quran itu memberi syafa‘at (pertolongan dengan izin Allah), menjadi saksi yang jujur. Dan barangsiapa yang menjadikan al-Quran di hadapannya sebagai panduan, ia akan memandunya ke Syurga dan barangsiapa yang menjadikan al-Quran di belakangnya, al-Quran akan mengheretnya ke neraka.”
(HR. Ibnu Abi Syaibah,no.30053 & 30054. ad-Darimi,no.3368. at-Thabrani [rujuk: Mu’jam al-Kabir,no.8655]. Ibn al-Durais [rujuk: Fadhail al-Quran,no.93,96,106,107 & 108]. Abu ‘Ubaid [rujuk: Fadhail al-Quran,83])

NOTA:
Hadis ini dinilai Sahih Mauquf (sebagai kata-kata Ibnu Mas‘ud) oleh imam Abu Hatim dan imam ad-Daraquthni. Hadis ini diriwayatkan juga secara Marfu’ (disandarkan kepada Rasulullah), akan tetapi sanad-sanadnya Dhaif (lemah). Imam Ibnu Abi Hatim berkata: “Aku bertanya kepada ayahku (imam Abu Hatim) mengenai satu hadis yang diriwayatkan oleh al-Rabi’ bin Badr, daripada al-A’masy, daripada Abi Wail, daripada Hudzaifah, daripada Nabi ﷺ: (lalu menyebutkan hadis di atas), lalu ayahku berkata: ‘Ini adalah satu kesilapan, yang sebenarnya al-A‘masy meriwayatkannya dari al-Mu‘alla, daripada ‘Abdurrahman bin Yazid, daripada ‘Abdullah secara Mauquf (terhenti pada Ibnu Mas‘ud, bukan sabda Nabi ﷺ). Dan (perawi) al-Rabi’ bin Badr ini tidak boleh diambil riwayatnya, dan tidak boleh bersandar kepadanya” (rujuk: al-‘ilal,no.1681). Imam ad-Daraquthni ketika ditanya hadis ini (dengan sanad lain), katanya: “Hadis ini diriwayatkan oleh al-Rabi’ bin Badr, daripada al-A’masy, daripada Abi Wail, daripada ‘Abdullah (bin Mas‘ud). Yang sahih ialah riwayat dari al-Mu‘alla al-Kindi, daripada Muhammad bin ‘Abdurrahman bin Yazid, daripada bapanya, daripada ‘Abdullah (Ibn Mas‘ud). Dan Ibnu al-Ajlah meriwayatkannya daripada al-A‘masy, daripada Abu Sufyan, daripada Jabir, secara marfu‘ (disandarkan kepada Nabi ﷺ). Tetapi yang sahih ialah ia mauquf (hanya sampai kepada Ibnu Mas‘ud, bukan sabda Nabi ﷺ)” (rujuk: al-‘ilal ad-Daraquthni,no.748). Hadis ini juga dinilai sahih mauquf oleh Syaikh Khalid ak-Hayek dalam website beliau, dengan katanya: “Ibnu Hibban mensahihkannya (hadis yang marfu’). Namun, hadis ini Dhaif. Ia tidak sahih secara marfu’. Yang benar, ia adalah kata-kata ‘Abdullah bin Mas‘ud radhiallahu ‘anhu” (rujuk: ‘Hadis ke-9’)

No comments:

Post a Comment