Tuesday, October 15, 2013

Sederhana Dalam Beribadah

:: Hadis 1 ::
dari ‘Abdullah bin ‘Amru,ia berkata,
“Disampaikan kepada Rasulullah ﷺ, bahawa ada seseorang (aku) mengatakan: ‘Sesungguhnya, aku akan solat sepanjang malam, dan puasa sepanjang hari selama hidupku’. maka Rasulullah bertanya: ‘Benarkah kamu yang berkata begitu?’ Aku menjawab: ‘Benar, wahai Rasulullah’. Rasulullah bersabda: ‘Kamu tidak mampu melakukannya. Kamu berpuasalah sehari dan berbukalah sehari. Kamu tidur dan bangunlah solat (malam). Puasalah tiga hari dalam sebulan. Kerana setiap perbuatan baik dibalas sepuluh kali ganda, oleh itu puasa tiga hari sebulan seperti berpuasa sepanjang masa’. Aku berkata: ‘Aku mampu buat lebih daripada itu’. Rasulullah menjawab: ‘Sekiranya begitu, puasalah sehari dan berbukalah dua hari’. Aku berkata lagi: ‘Aku mampu buat lebih daripada itu’. Rasulullah menjawab: ‘Sekiranya begitu puasalah sehari dan berbukalah sehari. Itulah puasa Nabi Daud dan itulah puasa yang paling baik’. Aku berkata lagi: ‘Aku mampu buat lebih daripada itu’. Rasulullah pun menjelaskan: ‘Tidak ada yang lebih baik daripada itu’. (Apabila ‘Abdullah bin ‘Amru sudah tua), aku berkata: ‘Andainya aku menerima anjuran supaya berpuasa tiga hari sebulan yang disebut oleh Rasulullah dahulu, itu aku lebih suka berbanding keluarga dan hartaku’.”
(HR. Muslim,no.1962)

:: Hadis 2 ::
dari Anas bin Malik,dia berkata,
“Ada tiga orang mendatangi rumah isteri-isteri Nabi ﷺ dan bertanya tentang ibadah Nabi ﷺ. Dan setelah dikhabarkan kepada mereka, merekapun merasakan yang ibadah mereka terlalu sedikit berbanding ibadah Nabi. Mereka berkata: ‘Ibadah kita tidak ada apa-apanya dibanding Rasulullah ﷺ, bukankah baginda sudah diampuni dosa-dosanya yang telah lalu dan juga yang akan datang?’ Salah seorang dari mereka berkata: ‘Sungguh, aku akan melaksanakan solat malam selama-lamanya’. Kemudian yang lain berkata: ‘Kalau aku, maka sungguh, aku akan berpuasa Dahr (setahun penuh) dan aku tidak akan berbuka (berpuasa setiap hari sepanjang tahun)’. Dan yang lain lagi berkata: ‘Aku akan menjauhi wanita dan tidak akan bernikah selama-lamanya’. Kemudian datanglah Rasulullah ﷺ kepada mereka seraya bertanya: ‘Kamu berkata begini dan begitu. Ada pun aku, demi Allah, adalah orang yang paling takut kepada Allah di antara kamu, dan juga yang paling bertakwa. Aku berpuasa dan juga berbuka, aku solat dan juga tidur serta menikahi wanita. Barangsiapa yang membenci sunnahku, maka ia bukanlah dari golonganku’.”
(HR. Bukhari,no.5063. Muslim,no.1401)

:: Hadis 3 ::
dari ‘Aisyah,Rasulullah ﷺ bersabda,
“Amalan yang paling dicintai oleh Allah adalah amalan yang berterusan walaupun ia sedikit.”
(HR. Bukhari,no.6465. Muslim,no.783)

No comments:

Post a Comment