Wednesday, October 2, 2024

Pakai Kasut Ketika Solat

dari Abu Maslamah Sa‘id bin Yazid al-Azdi,dia berkata,
“Aku bertanya kepada Anas bin Malik: ‘Apakah dahulunya Nabi ﷺ pernah solat dengan memakai kasut baginda?’ beliau menjawab: ‘Ya’.”
(HR. Bukhari,no.386. Muslim,no.555)

NOTA:
Imam al-Bukhari letak hadis ini dalam kitab Sahihnya dengan tajuk bab: بَاب الصَّلَاةِ فِي النِّعَالِ (Bab solat menggunakan kasut). Ini menunjukkan bahawa imam al-Bukhari berpendapat boleh solat dengan memakai kasut (sebagai contoh, di kawasan yang ada rumput atau tanah. Adapun jika dalam masjid atau surau seperti zaman sekarang ini,maka tidak perlu memakai kasut untuk menjaga kebersihan masjid atau surau). Syaikh Soleh al-‘Utsaimin juga berkata di dalam fatwanya (12/386): “Solat dengan memakai kasut itu adalah sunnah”.
Wallahua’lam.

Sunday, September 29, 2024

Kelebihan Menghalalkan Hutang Atau Memberi Tempoh Kepada Orang Yang Berhutang

:: al-Quran ::
Allah ﷻ berfirman:
“Dan jika orang yang berhutang itu sedang mengalami kesempitan hidup, maka berilah tempoh sehingga ia lapang hidupnya dan (sebaliknya) bahawa kamu sedekahkan hutang itu (kepadanya) adalah lebih baik untuk kamu, kalau kamu mengetahui (pahalanya yang besar yang kamu akan dapati kelak).”
(al-Baqarah [2]: ayat 280)

:: Hadis 1 ::
dari Ka‘ab bin ‘Amru,Rasulullah ﷺ bersabda,
“...Sesiapa yang memberi tangguh waktu bagi orang yang berada dalam kesulitan untuk melunasi hutang atau membebaskan hutangnya, maka dia akan mendapat naungan Allah.”
(HR. Muslim,no.3006)

:: Hadis 2 ::
dari Abu Hurairah,Rasulullah ﷺ bersabda,
“Sesiapa yang menghilangkan kesulitan seorang mukmin di dunia, Allah akan menghilangkan kesulitannya pada hari kiamat. Sesiapa yang memudahkan urusan orang yang dalam kesusahan, Allah akan memudahkan urusannya di dunia dan akhirat. Sesiapa yang menutup keaiban seorang muslim, Allah akan menutup keaibannya di dunia dan akhirat. Allah akan sentiasa membantu hamba-Nya selagi mana hamba itu membantu saudaranya. Sesiapa yang menempuh perjalanan untuk menuntut ilmu, Allah akan memudahkan dengannya perjalanan ke syurga.
Tidaklah berkumpul sesuatu kaum di rumah daripada rumah-rumah Allah untuk membaca kitab Allah, dan mempelajarinya antara satu sama lain melainkan ketenangan akan turun ke atas mereka, rahmat akan menyeliputi mereka, malaikat akan mengelilingi mereka, dan Allah akan menyebut-nyebut mereka kepada makhluk-makhluk yang dekat dengan-Nya. Sesiapa yang lambat dalam melakukan amal (kebaikan), nasabnya tidak akan mempercepatkannya.”
(HR. Muslim,no.2699)

:: Hadis 3 ::
dari Abu Hurairah,Nabi ﷺ bersabda,
“Dahulu ada seorang pedagang yang biasa memberi pinjaman kepada orang. Ketika dia melihat ada yang kesulitan, dia berkata kepada hambanya: ‘Maafkanlah dia (halalkan hutangnya). Semoga Allah memberi ampunan kepada kita’. Maka, Allah pun mengampuninya.”
(HR. Bukhari,no.2078)

:: Hadis 4 ::
dari Hudzaifah,Nabi ﷺ bersabda,
“Beberapa malaikat menjumpai roh orang sebelum kamu untuk mencabut nyawanya. Kemudian mereka mengatakan: ‘Adakah kamu mempunyai sedikit dari amal kebajikan?’ Kemudian dia mengatakan: ‘Dahulu aku pernah memerintahkan pada hambaku untuk memberikan tangguhan waktu dan membebaskan hutang bagi orang yang berada dalam kemudahan untuk melunasinya’. Maka, Allah pun mengampuninya.”
(HR. Bukhari,no.2077)

Tidak Membayar Hutang, Padahal Mampu. Ini Ancamannya!

:: Hadis 1 ::
dari Ibn ‘Umar,Nabi ﷺ bersabda,
“Allah memberi keampunan buat orang yang mati syahid semua dosanya, kecuali hutang.”
(HR. Muslim,no.1886)

:: Hadis 2 ::
dari Salamah bin al-Akwa’,dia berkata,
“Kami pernah duduk di sisi Nabi ﷺ, tiba-tiba didatangkan kepadanya satu jenazah, maka mereka berkata: ‘Solatlah ke atasnya’. Baginda bertanya: ‘Adakah dia memiliki hutang?’ Mereka menjawab: ‘Tidak’. Baginda bertanya: ‘Adakah dia ada meninggalkan sesuatu?’ Mereka menjawab: ‘Tidak’. Maka Baginda mensolatkannya. Kemudian didatangkan pula jenazah yang lain dan mereka berkata: ‘Wahai Rasulullah, solatkanlah dia’. Baginda bertanya: ‘Adakah dia memiliki hutang?’ Dikatakan: ‘Ya’. Baginda bertanya lagi: ‘Adakah dia ada meninggalkan sesuatu?’ Mereka menjawab: ‘Tiga dinar’. Maka Baginda mensolatkannya. Kemudian didatangkan pula jenazah yang ketiga lalu mereka berkata: ‘Solatkanlah dia’. Baginda bertanya: ‘Adakah dia ada meninggalkan sesuatu?’ Mereka menjawab: ‘Tidak’. Baginda bertanya: ‘Adakah dia memiliki hutang?’ Mereka menjawab: ‘Tiga dinar’. Baginda bersabda: ‘Solatlah ke atas sahabat kamu’. Lantas Abu Qatadah berkata: ‘Solatkanlah dia, wahai Rasulullah, dan hutangnya menjadi tanggunganku’. Maka Baginda pun solat ke atasnya.”
(HR. Bukhari,no.2289)

:: Hadis 3 ::
dari Abu Hurairah,Rasulullah ﷺ bersabda,
“Sesiapa yang mengambil harta orang lain (berhutang) dengan tujuan untuk membayarnya (mengembalikannya), maka Allah akan tunaikan untuknya. Dan sesiapa yang mengambilnya untuk tujuan tidak melunasinya, maka Allah akan membinasakannya.”
(HR. Bukhari,no.2387)

Friday, September 27, 2024

Hati-Hati Bila Berkata-Kata!

:: Hadis 1 ::
dari Abu Hurairah,Nabi ﷺ bersabda,
“Sungguh, boleh jadi seorang hamba itu mengucapkan tentang satu perkataan tanpa diteliti, maka dia akan tergelincir ke dalam neraka yang jauhnya adalah sejauh arah timur.”
(HR. Bukhari,no.6477)

:: Hadis 2 ::
dari Abu Hurairah,Nabi ﷺ bersabda,
“Seorang hamba yang bercakap tentang satu perkataan yang diredhai Allah yang mana dia terlintas (untuk bercakap tentangnya) maka Allah akan mengangkat darjatnya. Dan sungguh, boleh jadi seorang hamba itu mengucapkan suatu kalimah yang dimurkai oleh Allah tanpa dia peduli (akan implikasi atau baik buruk)nya, dia akan jatuh ke dalam neraka Jahannam (kerana perkataannya itu).”
(HR. Bukhari,no.6478)

:: Hadis 3 ::
dari Abu Hurairah,Rasulullah ﷺ bersabda,
“Tahukah kalian siapakah yang disebut dengan orang yang muflis?” Para sahabat menjawab: “Orang yang muflis menurut kami wahai Rasulullah, adalah orang yang tidak punya dirham dan dinar serta harta benda.” Baginda bersabda: “Seorang muflis daripada kalangan umatku ialah seorang yang datang pada hari Kiamat dengan pahala solat, puasa dan zakat, namun (pada masa yang sama) dia juga membawa dosa mencaci maki, menuduh, serta memakan harta orang lain serta membunuh dan menyakiti orang lain.” “Setelah itu diberikan kepadanya sebahagian daripada pahala-pahala kebaikannya dan diberikan kepada orang itu pula sebahagian pahalanya, hinggalah akhirnya habis pahalanya namun belum lagi terbayar dosa-dosa yang tertanggung atasnya, lalu diambil sebahagian dosa-dosa mereka tadi untuk dibebankan ke atasnya hingga akhirnya dia dihumban ke dalam neraka (kerana banyak dosa).”
(HR. Muslim,no.2581)

:: Hadis 4 ::
dari Abu Hurairah,Rasulullah ﷺ bersabda,
“Sesiapa yang beriman kepada Allah dan hari akhirat, hendaklah dia berkata baik atau diam.”
(HR. al-Bukhari,no.6475. Muslim,no.47)

:: Hadis 5 ::
dari ‘Aisyah,dia berkata,
“Aku berkata kepada Nabi ﷺ: ‘Cukuplah untuk engkau, Sofiyyah itu begitu dan begini’. (Dalam riwayat lain: Beliau maksudkan Sofiyyah itu pendek). Lalu baginda membalas: ‘Sesungguhnya engkau telah menyatakan satu kalimah yang jika dicampurkan dengan air lautan, nescaya ia akan mencemarkannya’.”
(HR. Abu Daud,no.4875. at-Tirmidzi,no.2505. Dan ini lafaz Abu Daud. Dinilai sahih oleh Syaikh al-Albani [rujuk: Sahih al-Jami’,no.5140])

:: Hadis 6 ::
dari Abu Hurairah,dia berkata,
“Nabi ﷺ pernah ditanya berkaitan sebab kebanyakan orang dimasukkan ke dalam syurga. Baginda menjawab: ‘Bertaqwa kepada Allah dan baik akhlaknya’. Dan baginda turut ditanya berkaitan sebab kebanyakan manusia dimasukkan ke dalam neraka. Baginda menjawab: ‘Mulut dan kemaluan’.”
(HR. at-Tirmidzi,no.2004. Ibnu Majah,no.4246. Dinilai ‘sahih gharib’ oleh imam at-Tirmidzi)

:: Hadis 7 ::
dari Sahl bin Sa‘ad,Rasulullah ﷺ bersabda,
“Barangsiapa yang memberikan jaminan kepadaku terhadap apa yang ada di antara dua rahangnya (yakni lidah) dan apa yang ada di antara kedua kakinya (yakni kemaluan), maka aku akan menjaminkan syurga baginya.”
(HR. Bukhari,no.6474)

Thursday, September 26, 2024

Larangan Mengandaikan Hujan Turun Kerana Bintang & Suatu Peristiwa Alam Berlaku Kerana Kematian Seseorang

:: Hadis 1 ::
daripada Zaid bin Khalid al-Juhani,dia berkata,
“Rasulullah ﷺ mengimami kami solat Subuh di Hudaibiyah sesudah turun hujan pada malam harinya. Selesai solat, baginda menghadapkan (wajahnya) kepada orang ramai, lalu bersabda: ‘Adakah kamu tahu apa yang difirmankan oleh Tuhan kamu?’ Mereka menjawab: ‘Allah dan Rasul-Nya lebih mengetahui.’ Baginda bersabda: ‘Pagi ini, ada daripada kalangan hamba-hamba-Ku yang beriman kepadaku dan kufur kepada-Ku. Adapun yang mengatakan: ‘Hujan diturunkan kepada kami disebabkan kurniaan Allah dan rahmat-Nya’, maka itulah orang yang beriman kepadaku, dan kufur kepada bintang-bintang. Dan adapun yang mengatakan: ‘Diturunkan hujan kepada kami disebabkan bintang itu dan ini’, maka itulah orang yang kufur (mendustakan) kepadaku dan beriman kepada bintang-bintang’.”
(HR. Bukhari,no.846. Muslim,no.71)

:: Hadis 2 ::
dari Jabir,Rasulullah ﷺ bersabda,
“...Matahari dan bulan adalah dua daripada tanda keagungan Allah. Gerhana kedua-duanya berlaku bukan disebabkan mati atau hidup seseorang. Apabila mengetahui gerhana berlaku kamu hendaklah bersolat dan berdoa sehingga cahaya kelihatan semula.”
(HR. Muslim,no.904)

Monday, September 16, 2024

Allah Yang Menenangkan Dan Menyempitkan Hati Manusia

:: al-Quran 1 ::
Allah ﷻ berfirman:
“Dia lah yang menurunkan ketenangan ke dalam hati orang-orang yang beriman..”
(al-Fath [48]: ayat 4)

:: al-Quran 2 ::
Allah ﷻ berfirman:
“Maka sesiapa yang Allah kehendaki untuk memberi hidayah petunjuk kepadanya nescaya Ia melapangkan dadanya (membuka hatinya) untuk menerima Islam; dan sesiapa yang Allah kehendaki untuk menyesatkannya, nescaya Ia menjadikan dadanya sesak sempit sesempit-sempitnya, seolah-olah ia sedang mendaki naik ke langit (dengan susah payahnya). Demikianlah Allah menimpakan azab kepada orang-orang yang tidak beriman.”
(al-An'am [6]: ayat 125)

:: al-Quran 3 ::
Allah ﷻ berfirman:
“Tidak ada kesusahan (atau bala bencana) yang menimpa (seseorang) melainkan dengan izin Allah; dan sesiapa yang beriman kepada Allah, Allah akan memimpin hatinya (untuk menerima apa yang telah berlaku itu dengan tenang dan sabar); dan (ingatlah), Allah Maha Mengetahui akan tiap-tiap sesuatu.”
(at-Taghabun [64]: ayat 11)

Wednesday, September 11, 2024

Kelebihan Orang Yang Bertaqwa

Allah ﷻ berfirman:
“Sesiapa yang bertaqwa kepada Allah (dengan mengerjakan suruhan-Nya dan meninggalkan larangan-Nya), nescaya Allah akan mengadakan baginya jalan keluar (dari segala perkara yang menyusahkannya), serta memberinya rezeki dari jalan yang tidak terlintas di hatinya. Dan (Ingatlah), sesiapa berserah diri bulat-bulat kepada Allah, maka Allah cukuplah baginya (untuk menolong dan menyelamatkannya). Sesungguhnya Allah tetap melakukan segala perkara yang dikehendaki-Nya. Allah telahpun menentukan kadar dan masa bagi berlakunya tiap-tiap sesuatu.”
(at-Thalaq [65]: ayat 2-3)

Tuesday, September 10, 2024

Ucapan Jika Berlaku Perkara Yang Tidak Diingini

dari Abu Hurairah,Rasulullah ﷺ bersabda,
“Sekiranya kamu ditimpa sesuatu musibah, janganlah kamu mengatakan: ‘Kalaulah aku melakukan itu dan ini’. Akan tetapi katakanlah:
قَدَرُ اللَّهِ وَمَا شَاءَ فَعَلَ
Qadarullah,wa maa syaa-a fa‘al
(takdir (ketentuan) Allah, dan apa yang dikehendakinya pasti akan terjadi)’.”
(HR. Muslim,no.2664)

Monday, September 9, 2024

Sifat Kehendak Bagi Allah

 :: al-Quran 1 ::
Allah ﷻ berfirman:
“...Sesungguhnya Allah melakukan apa yang Dia kehendaki”
(al-Hajj [22]: ayat 18)

:: al-Quran 2 ::
Allah ﷻ berfirman:
“...Demikianlah Allah melakukan apa yang Dia kehendaki.”
(Ali ‘Imran [3]: ayat 40)

:: al-Quran 3 ::
Allah ﷻ berfirman:
“(Allah) Yang berkuasa melakukan segala yang dikehendaki-Nya.”
(al-Buruj [85]: ayat 16)

Saturday, September 7, 2024

Allah Tidak Mengampuni Dosa Hamba-Nya Yang Bermusuhan Sehingga Mereka Berdamai

:: Hadis 1 ::
dari Abu Hurairah,Rasulullah ﷺ bersabda, 
“Pintu-pintu Syurga dibuka pada hari isnin dan khamis. Maka semua hamba yang tidak menyekutukan Allah dengan sesuatu apapun akan diampuni dosa-dosanya, kecuali seseorang yang antara dia dan saudaranya ada permusuhan.”
(HR. Muslim,no.2565)

:: Hadis 2 ::
dari Abu Hurairah,Rasulullah ﷺ bersabda,
“Seluruh amal manusia dihadapkan kepada Allah dua kali dalam seminggu, iaitu pada hari isnin dan khamis. Lalu Allah mengampuni dosa setiap hamba-Nya yang mukmin, kecuali orang yang bermusuhan. Maka dikatakan kepada mereka: ‘Tundalah dulu pengampunan kepada dua orang ini, sampai mereka berdamai’.”
(HR. Muslim,no.2565)

Thursday, September 5, 2024

Kelebihan Mati Syahid Fisabilillah

:: Hadis 1 ::
dari ‘Abdullah bin ‘Amru,Nabi ﷺ bersabda,
“Diampunkan semua dosa bagi orang mati yang terkorban syahid, kecuali jika dia mempunyai hutang (kepada manusia).”
(HR. Muslim,no.1886)

:: Hadis 2 ::
dari al-Miqdam bin Ma’dan,Rasulullah ﷺ bersabda,
“Orang yang mati syahid di sisi Allah mempunyai enam keutamaan: diampunkan dosanya ketika darahnya tertumpah untuk pertama kalinya (pertempuran), diperlihatkan tempatnya di dalam Syurga, diselamatkan daripada azab kubur, diberi ketenangan daripada ketakutan ketika dibangkitkan dari kubur, diletakkan di atas kepalanya makhkota daripada permata yang mana permata itu lebih baik daripada dunia dan isinya, dikahwinkan dengan 72 isteri daripada bidadari dan diberi hak untuk memberi syafaat kepada 70 orang daripada ahli keluarganya.”
(HR. at-Tirmidzi,no.1663. Imam at-Tirmidzi berkata: “Hadis ini sahih gharib”)

:: Hadis 3 ::
dari Abu Hurairah,Rasulullah ﷺ bersabda,
“Setiap luka yang diderita oleh seseorang muslim di jalan Allah akan kelihatan pada Hari Kiamat nanti sepertimana ketika dia ditikam. Darahnya memancar keluar, warnanya warna darah tetapi baunya ialah bau kasturi.”
(HR. Bukhari,no.237. Muslim,no.1876)

:: Hadis 4 ::
daripada Masruq bin al-Ajda’,dia berkata,
“Kami pernah bertanya kepada ‘Abdullah (bin Mas’ud) tentang firman Allah: ‘Dan jangan sekali-kali engkau menyangka orang-orang yang terbunuh (yang gugur Syahid) pada jalan Allah itu mati, (mereka tidak mati) bahkan mereka adalah hidup (secara istimewa) di sisi Tuhan mereka dengan mendapat rezeki (Surah Ali ‘Imran [3]: ayat 169)’. Lalu ‘Abdullah bin Mas‘ud menjawab: ‘Adapun kami telah bertanya tentang hal ini (kepada Rasulullah), lalu baginda menjawab: “Sesungguhnya roh-roh para syuhada’ itu ada di dalam rongga burung hijau. Baginya ada pelita-pelita yang tergantung di ‘Arasy. Mereka bebas keluar dari syurga sebagaimana yang mereka mahu, kemudian mereka (roh-roh orang yang syahid) menuju ke arah pelita-pelita itu. Kemudian Rabb melihat kepada mereka dengan jelas, lalu Dia bertanya: ‘Apakah kalian inginkan sesuatu?’ Mereka menjawab: ‘Apalagi yang kami inginkan sedangkan kami bebas keluar dari syurga dengan semahu-mahu kami?’ Rabb mereka mengizinkan hal itu berlaku kepada mereka sebanyak tiga kali. Tatkala mereka melihat bahawasanya mereka tidak ditinggalkan daripada meminta sesuatu. Mereka berkata: ‘Wahai Rabb kami! kami ingin Engkau pulangkan semula roh-roh kami ke dalam jasad-jasad kami sehingga kami dibunuh di jalan-Mu sekali lagi. Maka tatkala Dia melihat bahawasanya mereka tidak mempunyai keinginan lagi, maka mereka ditinggalkan’.”
(HR. Muslim,no.1887)

Tuesday, September 3, 2024

Rasulullah Pernah Berwudhu’ Hanya Dengan Air Sebanyak 1 Mud

dari Anas,dia berkata,
“Rasulullah ﷺ berwudhu’ dengan 1 mud air dan mandi dengan 1 so’ hingga 5 mud air.”
(HR. Bukhari,no.201. Muslim,no.325)

NOTA:
Kata Ustaz Dr.Rozaimi, 1 mud itu lebih kurang 687ml. Manakala 1 so' pula bersamaan 2.75 liter air.
Wallahua’lam.

Boleh Berwudhu’ Satu Kali-Satu Kali Atau Dua Kali-Dua Kali Atau Tiga Kali-Tiga Kali

● SATU KALI-SATU KALI ●

dari Ibn ‘Abbas,dia berkata,
“Nabi ﷺ pernah berwudhu’ dengan membasuh setiap anggota wudhu’nya sekali demi sekali sahaja.”
(HR. Bukhari,no.157)


● DUA KALI-DUA KALI ●

dari Abdullah bin Zaid,dia berkata,
“Nabi ﷺ berwudhu’ dua kali-dua kali (dalam membasuh setiap anggota wudhu’).”
(HR. Bukhari,no.158)


● TIGA KALI-TIGA KALI ●

:: Hadis 1 ::
dari Humran maula ‘Ustman,dia beritahu,
bahawa dia melihat ‘Ustman bin ‘Affan meminta bekas air dan menuangkan air ke atas dua tapak tangannya sebanyak tiga kali lalu beliau membasuh kedua belah tapak tangannya. Kemudian beliau memasukkan tangan kanannya ke dalam bekas itu, lalu berkumur dan memasukkan air ke dalam hidung. Kemudian beliau membasuh mukanya tiga kali dan kedua belah tangannya hingga ke siku tiga kali. Setelah itu beliau menyapu kepala. Kemudian beliau membasuh pula kedua belah kakinya hingga ke buku lali sebanyak tiga kali. (Setelah selesai melakukan semua itu) beliau berkata: “Rasulullah ﷺ bersabda: ‘Sesiapa yang berwudhu’ seperti wudhu’ku ini, kemudian melakukan solat dua rakaat dalam keadaan dia tidak menyibukkan hatinya dengan perkara-perkara lain, nescaya akan diampunkan dosanya yang telah lalu’.”
(HR. Bukhari,no.159)

:: Hadis 2 ::
dari Yahya bin ‘Umarah,dia berkata,
“Seorang lelaki berkata kepada ‘Abdullah bin Zaid: ‘Bolehkah engkau tunjukkan kepada aku bagaimana Rasulullah ﷺ berwudhu’?’. Lalu ‘Abdullah bin Zaid berkata: ‘Ya, boleh’. Lalu beliau meminta dibawakan air lalu beliau menuangkan ia ke atas pergelangan tangan sebanyak dua kali, kemudian berkumur dan memasukkan air ke dalam hidung sebanyak tiga kali, kemudian membasuh muka tiga kali, kemudian membasuh kedua tangan hingga ke siku sebanyak dua kali, kemudian beliau mengusap kepalanya dengan kedua-dua tangannya, bermula dari bahagian hadapan kepala digerakkan ke belakang kepala, kemudian digerakkan kembali ke tempat ia bermula, kemudian beliau membasuk kedua kakinya.”
(HR. Bukhari,no.185)

NOTA:
Kecuali kepala dan telinga. Kerana kepala dan telinga hanya disapu dengan satu kali sapuan walaupun seseorang itu memilih untuk melakukan wudhu’ dua kali basuhan atau tiga kali basuhan untuk setiap anggota wudhu’ (berdasarkan kebanyakkan hadis).
(HR. Bukhari,no.159. Muslim,226. Abu Daud,no.111,121 & 134. an-Nasaie,no.92. at-Tirmidzi,no.37. Dan beberapa hadis yang lain)

Monday, September 2, 2024

Doa Agar Dijauhkan Dari Penyakit Yang Berbahaya

dari Quthbah bin Malik,bahawa Nabi ﷺ bersabda,
اللَّهُمَّ جَنِّبْنِي مُنْكَرَاتِ الْأَخْلَاقِ، وَالْأَعْمَالِ، وَالْأَهْوَاءِ، وَالْأَدْوَاءِ
Allahumma Jannib-nii Munkaril Akhlaq, Wal A’mal, Wal Ahwa’, Wal Adwa’.
(Ya Allah! Jauhkanlah aku daripada akhlak yang keji, amalan yang munkar, nafsu yang buruk dan penyakit yang berbahaya).
(HR. at-Tirmidzi,no.3591. Dinilai hasan gharib oleh imam at-Tirmidzi)

Kelebihan Jika Penjual Menerima Pengembalian Barang Yang Sudah Dibeli Dari Pembeli

dari Abu Hurairah,Rasulullah ﷺ bersabda,
“Sesiapa yang menerima iqalah (pengembalian barang yang sudah dibeli) dari seorang muslim, maka Allah akan mengampunkan dosanya pada hari Kiamat.”
(HR. Abu Daud,no.3460. Ibnu Majah,no.2199. Ibnu Hibban,no.5030. Ini adalah lafaz Ibnu Majah dan dinilai ‘Sahih’ oleh Syaikh al-Albani [rujuk: Sahih wa Dha’if Ibn Majah,no.1800])

NOTA:
Sebagai contoh, pada mulanya si pembeli membeli sesuatu barang daripada penjual. Kemudian, setelah sampai dirumah, ternyata barang tersebut sudah dibelikan oleh abangnya. Maka, si pembeli tadi pun pergi semula ke kedai si penjual dan serahkan barang tersebut kepada penjual, kemudian si penjual menyerahkan semula semula duit yang dibayar oleh pembeli tersebut. Walaupun si penjual ada hak untuk tidak menyetujuinya, namun si penjual redha dan menyetujui pengembalian tersebut. Maka berdasarkan hadis ini, dosa si penjual tersebut akan diampunkan oleh Allah di hari Kiamat kelak. Wallahua’lam.